Artikel "Semasa" Terkini
Pegawai Syariah Malaysia Sokong Terengganu Sebat Pesalah Khalwat di Masjid
KUALA TERENGGANU, 22 Disember - Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) menyokong usaha memperkasa kewibawaan Mahkamah Syariah di negara ini.
Presidennya, Abu Suffian Abu Yaziz berkata, PPSM percaya bahawa pengukuhan institusi kehakiman Syariah merupakan asas penting dalam memastikan sistem perundangan Islam terus relevan, dihormati, dan dilaksanakan dengan penuh integriti.
"Usaha ini merangkumi penambahbaikan institusi, pemerkasaan undang-undang, serta pelaksanaan penghakiman yang berlandaskan kehendak undang-undang dan hukum syarak.
"Sehubungan dengan itu, PPSM amat menghormati keputusan Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Terengganu yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 11 November lalu berhubung hukuman sebatan di khalayak umum, iaitu di masjid terhadap pesalah tegar jenayah khalwat," ujarnya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya melihat keputusan tersebut sebagai cerminan ketegasan dan keadilan Mahkamah Syariah dalam menegakkan undang-undang Islam serta usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat Islam tentang keseriusan terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan syariah.
"PPSM juga menegaskan prinsip ihtiram (penghormatan) terhadap keputusan kolektif panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang mengekalkan hukuman tersebut.
"Keputusan tersebut dibuat berdasarkan
peruntukan Seksyen 31(A) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelaksanaan Hukuman Sebatan di Luar Penjara yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan
telah diendorskan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu melalui Arahan Amalan No. 11 Tahun 2023," ujarnya.
Jelas beliau, penyediaan SOP terbabit telah dibuat secara kolaborasi di antara Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Mahkamah Syariah Negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia dengan cukup teliti, cermat dan mengambil kira hak pihak-pihak yang terlibat dengan hukuman, yang melaksanakan hukuman dan pihak yang hadir menyaksikan hukuman.
"Dalam usaha mempertahankan kedaulatan undang-undang Islam, PPSM menolak sebarang pandangan yang mempertikaikan keputusan tersebut kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang, tetapi juga boleh diklasifikasikan sebagai satu penghinaan terhadap institusi kehakiman Syariah," katanya.
Tambah beliau, pihaknya komited untuk terus mendukung dan mempertahankan pelaksanaan undang-undang Syariah yang adil dan berkesan berdasarkan akta enakmen/ordinan dan Perlembagaan Persekutuan.
"Untuk itu, PPSM menyeru semua pihak agar memahami dan menghormati peranan Mahkamah Syariah sebagai institusi perundangan dan kehakiman yang berteraskan hukum Allah dan keadilan sejagat.
"Prinsip mempertahankan Mahkamah Syariah merupakan asas utama kepada kelangsungan ke arah menterjemahkan sistem perundangan Islam yang mementingkan prinsip keadilan, kemaslahatan umum dan menolak perkara yang merosakkan ummah," jelasnya.
22 Dec 24
1234
Kerajaan Laksana Dua Strategi Segera Atasi Banjir di RMM Teluk Kalong
KEMAMAN, 22 Disember - Kerajaan negeri mencari jalan bagi menyelesaikan masalah 500 buah rumah yang didiami 2,000 penduduk di Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong yang berhadapan musibah banjir setiap tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya setelah berbincamg dengan Majlis Perbandaran Kemaman, Kontraktor Utama Arus Juta dan pihak Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu telah bersetuju untuk membina longkang parit tanah sementara.
"Kita juga akan meninggikan sedikit ban di kawasan terbabit bagi mengurangkan risiko banjir.
"Supaya limpahan hujan ini yang mengalir dari bukit akan turun ke dalam parit tanah dan akan pergi ke saluran hadapan.
"Kedua, kita minta pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memeriksa semula aliran di luar jalan utama yang mengalir ke laut, memang (sebelum ini) telah dibina jambatan dan air pun sangat laju supaya ada satu aliran untuk memastikan air keluar dengan cepat.
"Selain itu, tidak dinafikan sepanjang 10 tahun ini berlaku hujan yang sangat lebat sehingga melebihi 270 hingga 300 milimeter (mm) sehari dan saya juga bersetuju supaya dekat kawasan padi itu dibuat satu takungan dan saya akan cari tanah untuk alirkan air ini secepat mungkin," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika mengadakan lawatan ke RMM Teluk Kalong, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut Hanafiah berkata, setelah banjir di situ dapat diatasi maka projek untuk membina perumahan baru di kawasan itu akan dapat diteruskan.
"Selepas projek ini siap akan dibina 600 unit rumah komersial pelbagai akan dibina dengan 20 peratus daripadanya akan dibina Rumah Mampu Milik (RMM)," ujarnya.
22 Dec 24
508
Menjaga Maslahat Umum Lebih Utama Berbanding Perasaan Malu Pesalah
KUALA TERENGGANU, 19 Disember - Pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai terhadap individu yang melakukan kesalahan khalwat berulang dilihat lebih menepati 'maqasid syariah' dalam menjaga maslahat umum berbanding perasaan malu pesalah.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tidak wajar jika masih ada golongan yang mahu hukuman itu diteliti sepenuhnya demi menjaga maruah individu terbabit.
Ujarnya, setelah diberikan kefahaman telah ramai yang mengakui bahawa hukuman mengikut perundangan Islam dan lebih baik berbanding sivil.
"Betul dari segi mudaratnya ia akan memalukan pesalah terbabit tetapi di sana ada maslahat yang lebih besar di mana kita hendak menyedarkan masyarakat supaya tidak melakukan perbuatan ini.
"Kerana perbuatan ini merosakkan masyarakat bukan hanya diri (pesalah), bahkan (jika dibiarkan tanpa diberi pendidikan dan pengajaran) akan meruntuhkan institusi kekeluargaan dan merosakkan masyarakat secara umumnya.
"Bila dilaksanakan hukuman ini kita hendak menjaga masyarakat agar sentiasa berkeadaan baik dalam suasan harmoni, kita perlu berfikir secara waras iaitu menjaga masyarakat lebih besar daripada menjaga perasaan malu pesalah yang degil," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Pejabatnya di Tingkat 6, Wisma Darul Iman (WDI), di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Muhammad khalil berkata daripada sudut ilmu perundangan Islam, ada perkara memalukan diizinkan syarak dan ada yang tidak dibenarkan.
"Perkara memalukan yang diizinkan syarak bahkan digalakkan syarak jika sekiranya terdapat maslahat yang lebih besar.
"Contohnya, sebagaimana melaksanakan hukuman takzir sebat terhadap pesalah degil di khalayak ramai bertujuan untuk menyedarkan masyarakat supaya tidak melakukan perbuatan ini dan menjauhinya," ujarnya.
19 Dec 24
1081
Polis Terengganu Rampas Dadah RM1.15 Juta
KUALA TERENGGANU, 19 Disember - Polis Terengganu berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan dan merampas dadah dianggarkan bernilai RM1.15 juta dalam satu operasi di Lebuhraya Pantai Timur 2(LPT2) kawasan Kemaman, pada Selasa.
Ketua Polis Terengganu, DCP Dato' Mohd Khairi Khairuddin berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan pelbagai fungsi (MPV) dinaiki lelaki berusia 29 tahun itu mendapati, dadah jenis syabu seberat 36 kilogram dijumpai dibungkus dalam 35 plastik lutsinar tertulis perkataan Guanyinwang.
"Semakan lampau mendapati suspek yang berasal dari Besut itu mempunyai rekod Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada tahun 2023 dan Seksyen 39A(1) Akta Dah Berbahaya 1952 pada tahun 2015 dengan sabitan 36 bulan penjara dan tiga sebatan.
"Suspek direman di bawah Seksyen 117 kanun prosedur jenayah bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, selama tujuh hari bermula semalam sehingga 24 Disember," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, hari ini.
Tambahnya, Bahagian Pelucuthakan Harta (FOP) turut menyita wang dalam akaun suspek berjumlah RM681,718.
19 Dec 24
1339
Nelayan Terjejas Kepala Air Terima Sumbangan Kerajaan
SETIU, 19 Disember – Nelayan di Kampung Telaga Papan yang terjejas akibat bencana kepala air menerima bantuan kerajaan negeri bagi meringankan beban mereka.
Kejadian pada 1 Disember 2024 itu mengakibatkan 17 bot rosak, termasuk 10 sampan milik nelayan tanpa lesen.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim, berkata bahawa kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap nasib rakyat yang terjejas.
“Hari ini kita raikan mereka sambil menyampaikan sumbangan untuk meringankan beban.
“Inisiatif ini turut menjadi pemangkin usaha menyelesaikan isu nelayan tanpa lesen melalui pendekatan lebih komprehensif.
“Nelayan berlesen pula sedang dibantu melalui Tabung Bencana Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM),” katanya dalam satu hantaran di Facebook baru-baru ini.
Menurut Azman, isu nelayan tanpa lesen menjadi persoalan utama.
“Kenapa masih ada nelayan sampan yang tak berlesen walaupun kita dah buat Task Force Lesen Sampan Nelayan pada 2019?.
“Task force tersebut sebelum ini berjaya menyelesaikan masalah lesen untuk lebih 600 nelayan.
“Namun, ada yang tercicir sama ada kerana gagal memenuhi syarat atau tidak membuat permohonan,” ujar beliau.
Dr. Azman turut mengumumkan inisiatif baharu Task Force Lesen Sampan Nelayan 2.0 untuk memastikan tiada lagi nelayan ketinggalan.
“Saya dah bincang dengan Pengarah Perikanan Terengganu. Kita akan kutip baki nelayan yang masih tercicir.
“KPI saya jelas: selepas ini, tiada lagi nelayan tanpa lesen!” tegasnya.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan usaha ini, termasuk Datuk Bandar Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu, Dato’ Rosli Latif.
“Terima kasih kepada Dato’ Rosli, Pegawai Daerah, JPKK, dan Persatuan Nelayan Setiu yang membantu mempermudahkan urusan kita dalam menjaga kebajikan nelayan,” katanya lagi.
Melalui langkah proaktif ini, kerajaan negeri komited untuk memastikan nasib semua nelayan terbela dan tiada lagi golongan yang terpinggir. Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban mereka yang terjejas, tetapi juga membuka jalan kepada penyelesaian jangka panjang yang lebih menyeluruh.
19 Dec 24
99
Golden Pharos Bantu Pendidikan Orang Asli Terengganu
KEMAMAN, 19 Disember - Usaha Golden Pharos Berhad (GPB) melalui dua anak syarikatnya, Kumpulan Perusahaan Kayu Kayan Terengganu (KPKKT) dan PESAMA Timber Corporation yang tampil menyumbang barangan keperluan sekolah kepada Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam, mampu memacu potensi pelajar-pelajar warga orang Asli dalam pembelajaran.
Penolong pegawai pendidikan daerah Kemaman, Ahmad Azli Ismail@Abdul Aziz berkata, penglibatan agensi membantu proses pendidikan terutama komuniti orang Asli membantu memupuk minat mereka untuk belajar.
"Kadang-kadang tarikan utama mereka (pelajar) untuk hadir ke sekolah disebabkan minat dan apa tarikan yang ada di sana.
"Mereka ini kalau kita lihat latar belakang ada dikalangan orang susah dari segi pendapatan dan tak mampu melengkapkan diri ke sekolah, jadi apabila ada bantuan sebegini kami sangat bersyukur.
"Dengan kemudahan sebegini, insya-Allah akan sampailah mereka ke sekolah dan ada harapan untuk berjaya," katanya ketika ditemui selepas program Sehari Bersama Pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam di dewan serbaguna kampung berkenaan, semalam.
Dalam program tersebut, GPB menyampaikan sumbangan bernilai RM10,000 dalam bentuk set pakaian sukan dan kasut sukan untuk semua pelajar SK Sungai Pergam.
Sumbangan yang disampaikan Pengerusi GPB, Dato' Yahaya Ali itu turut disertai dengan memorandum persefahaman (MOU) antara KPKKT dan PESAMA bersama SK Sungai Pergam.
Majlis menandatangani memorandum disempurnakan Eksekutif Kanan Operasi PESAMA yang mewakili Pengurus Besar PESAMA, Sani Yusof dan Timbalan Pengurus Besar KPKKT, Ahmad Bazli Razali.
Manakala, SK Sungai Pergam diwakili guru besar, Mohd Shafii A Bakar.
Dato' Yahaya dalam pada itu berharap, usahasama itu akan menjana lebih banyak program diantara kedua-dua pihak.
"Memorandum ini sebagai satu tanda kita mengadakan jalinan dengan pihak sekolah sebagai permulaan.
"Apabila ada MOU sebegini, kita boleh merancang program-program pada masa akan datang dalam pelbagai bentuk lain, sebagaimana yang dibuat dalam sumbangan banjir baru-baru ini," katanya.
19 Dec 24
173
Exco Tunggu NGO, Aktivis Haiwan Kemuka Solusi Isu Anjing Liar
KUALA TERENGGANU, 18 Disember – Exco yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Veterinar menyeru para aktivis dan NGO pencinta haiwan untuk mengemukakan cadangan alternatif bagi menangani isu populasi anjing liar yang semakin membimbangkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, masalah yang dicetuskan oleh anjing liar terhadap kehidupan masyarakat tidak lagi perlu dihuraikan kerana ia sudah diketahui umum.
Namun beliau menegaskan bahawa tindakan berdiam diri tanpa mencari penyelesaian adalah tidak bijak, memandangkan populasi haiwan tersebut terus meningkat.
"Saya juga telah dihubungi oleh beberapa aktivis dan NGO pencinta haiwan yang meluahkan rasa kecewa mereka berhubung insiden yang telah berlaku (di Besut).
"Dengan penuh hormat, saya mohon mereka supaya mengemukakan satu solusi untuk menyelesaikan isu ini.
"Setiap masalah mesti ada jalan penyelesaiannya," katanya mengulas tindakan saman pihak tertentu (aktivis anjing KOPI) terhadap Kerajaan Terengganu kerana membanteras anjing liar yang mengganggu orang awam.
Beliau turut mencadangkan agar NGO berkenaan mempertimbangkan pembinaan sebuah pusat perlindungan haiwan liar dan berkeliaran sebagai langkah proaktif untuk mengurangkan gangguan kepada masyarakat.
"Namun, sehingga kini katanya, pihak beliau masih belum menerima sebarang jawapan atau cadangan balas daripada pihak NGO.
“Saya berharap mereka bersedia untuk mengambil langkah-langkah yang dapat membantu mencari penyelesaian terbaik, demi kesejahteraan masyarakat dan juga haiwan-haiwan ini,” tambahnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang kanak-kanak lelaki berumur 2 tahun 7 bulan maut dipercayai akibat diserang dan digigit sekumpulan anjing liar di Kampung Sungai Tohok, Semporna bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Sabri Zainol berkata pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu semalam daripada bapa saudara mangsa pada 10.33 pagi.
Dalam pada itu, dua ekor kucing yang ditemui mati dalam keadaan sadis di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi (FPE) Universiti Malaya (UM) disahkan bukan kerana didera manusia tetapi akibat serangan anjing.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya telah menerima aduan berhubung kejadian itu pada pukul 6.20 petang semalam.
18 Dec 24
380
Nelayan Merchang Terima Berita Gembira Selepas Puluhan Tahun
MARANG, 18 Disember - Setelah puluhan tahun bergelut dengan masalah laluan keluar masuk yang cetek, nelayan Terengganu khususnya di Merchang menerima khabar gembira.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, para nelayan kini sudah boleh menarik nafas lega apabila projek pengorekan dan pemecah ombak bakal siap.
"Projek ini sudah diusahakan selama dua tahun untuk kemudahan nelayan Merchang berulang alik ke lautan.
"Sejak puluhan tahun dulu nelayan di sini sudah menyuarakan rungutan mereka mengenai muara Merchang yang mengundang risiko dan menjejaskan rezeki mereka.
"Sudah banyak usaha dilakukan bagi menyelesaikan isu ini sehinggalah projek ini dimulakan pada 15 Disember 2021 dengan kos keseluruhan RM30.5 juta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas meninjau projek terbabit hari ini.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata projek itu kini sudah sampai ke kemuncak.
"Alhamdulillah, saya harapkan sinar 2025 ini akan memberi keselesaan kepada para nelayan Merchang," jelas beliau.
Sebelum ini, Menteri Alam Sekitar dan Air ketika itu, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagi menangani masalah mendapan muara sungai dan hakisan pantai, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan dua (2) projek pembangunan di Daerah Marang.
“Kerja-kerja pembinaan ini dijangka siap dalam tempoh dua (2) tahun melibatkan pengorekan alur navigasi bermula muara Sungai Merchang sehingga Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)," katanya.
Tambah Tuan Ibrahim, situasi semasa mendapan di muara Sungai Merchang serta hakisan di Pantai Marang menimbulkan masalah terhadap navigasi bot nelayan dan pelancong, banjir pantai, kerugian harta benda dan sebagainya.
"Mendapan muara sungai juga turut memberi kesan negatif kepada kualiti air, menjejaskan hidupan akuatik dan aktiviti akuakultur.
"Setelah projek ini siap sepenuhnya, ia akan memberi limpahan manfaat kepada para nelayan dan usahawan bot pelancong untuk keluar masuk ke laut dengan selamat serta dapat melindungi lebih 100 buah bot berdaftar daripada rosak akibat kecetekan muara dan pukulan ombak," ujarnya.
18 Dec 24
758
Pantai Viral Besut Alami Hakisan Teruk Dibadai Ombak
Oleh : Muhammad Safwan Mohd Sukeri
BESUT, 17 Disember – Pantai di Pachakan di sini mengalami hakisan teruk selepas dibadai ombak besar, menyebabkan kerosakan kepada jalan kampung dan beberapa gerai milik Majlis Daerah Besut.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pachakan, Shafian Shafie, memaklumkan bahawa hakisan kecil telah berlaku sebelum ini, namun keadaan bertambah buruk selepas ombak besar membadai kawasan itu kelmarin.
"Jalan kampung yang terletak di pesisir pantai kini terputus sepenuhnya dan tidak dapat dilalui, manakala beberapa gerai berhampiran pantai hampir roboh akibat hakisan.
“Penduduk kampung amat bimbang kerana jika masalah ini tidak ditangani segera, ia boleh merebak dan menjejaskan kediaman penduduk berhampiran," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, semalam.
Menurutnya, Pantai Pachakan pernah menjadi tumpuan ramai kerana keindahan semula jadinya dan menarik kunjungan pelancong tempatan serta luar.
"Pantai yang pernah viral dulu ini bakal lenyap jika tiada usaha pemuliharaan segera dijalankan.
'Kini, penduduk Kampung Pachakan menantikan tindakan segera daripada pihak berkuasa bagi melindungi kawasan pesisir pantai tersebut daripada terus terhakis," ujarnya.
Justeru itu, beliau berharap penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang dapat dilaksanakan bagi memastikan kawasan pantai ini tidak hanya selamat, tetapi turut kekal sebagai destinasi tumpuan yang berharga.
18 Dec 24
413
Pahang Rayu Terengganu Kurangkan Harga Jual Air
KUANTAN, 17 Disember – Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, merayu agar kadar harga air yang dibeli daripada Terengganu dikaji semula supaya lebih murah.
“Terengganu kini menetapkan harga jualan air pada kadar RM1.40 semeter padu, jauh lebih tinggi berbanding kadar yang dikenakan oleh Pahang kepada Selangor dan Negeri Sembilan sebelum ini.
“Sebagai jiran yang berkongsi sempadan, saya memohon agar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan CEO Syarikat Air Terengganu (SATU) dapat berbincang untuk menyeimbangkan kadar harga ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Paip Agihan Air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang yang berlangsung di Gebeng, di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu; Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Nara Setia Dato' Zulkifli Ali, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri; Hanafiah Mat.
Menurut Wan Rosdy, Pahang sebelum ini menjual air kepada Negeri Sembilan pada kadar hanya 80 sen semeter padu.
“Namun, harga air yang kita beli daripada Terengganu kini RM1.40.
“Kalau boleh, saya harap harga tersebut dikurangkan walaupun sedikit,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama antara negeri jiran untuk mencapai situasi menang-menang.
“Kita saling memerlukan, jadi sewajarnya harga air ini lebih munasabah.
“Kalau lebih mahal sedikit daripada harga jualan kita ke Negeri Sembilan pun, kita masih boleh terima,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah menyerahkan projek paip agihan air terawat sepanjang 29.8 kilometer, yang menjadi penyelesaian penting kepada gangguan bekalan air di kawasan perindustrian Gebeng, Pahang.
Paip ini, yang menghubungkan Tangki Bukit Kolam, Kemaman, ke Tangki Central B, Gebeng, menyalurkan tambahan 90 juta liter air terawat sehari. Bekalan ini akan memastikan keperluan air bersih kawasan Gebeng dipenuhi, seiring dengan pertumbuhan industri di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Projek ini juga dijangka menangani lonjakan permintaan air bersih, yang diunjur meningkat kepada 466 juta liter sehari menjelang 2025, berbanding bekalan semasa sebanyak 290 juta liter sehari.
Projek ini kini membuka laluan kepada pertumbuhan industri yang lebih mapan, sekaligus memberi keyakinan kepada pelabur untuk terus menyokong pembangunan ekonomi wilayah ini.
17 Dec 24
5692