lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Kerajaan Ajak Rakyat Bermunajat Sempena Tahun Baharu
Kerajaan Ajak Rakyat Bermunajat Sempena Tahun Baharu
KUALA TERENGGANU, 25 Disember - Kerajaan Terengganu mengajak seluruh rakyat negeri ini menyambut tahun baharu 2025 dengan bermunajat serta mengangkat tema Indahnya Hidup Bersyariat bagi mengundang kehidupan yang lebih berkat ke arah menjadi sebuah negeri Maju, Berkat dan Sejahtera. "Ayuh seluruh rakyat negeri Terengganu dan sekitarnya! sertai Malam Munajat Terengganu, sebuah program penuh keberkatan yang mengajak kita semua mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa," ujar kerajaan negeri melalui suatu kenyataan. Program yang bakal diadakan pada 31 Disember itu akan diadakan selepas Maghrib hingga jam 12.00 malam bertempat di Dewan Arena, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu. Antara pengisian program yang akan diadakan nanti selain Solat Maghrib dan Isyak berjemaah akan ada Bicara Murabbi bersama Pendakwah Terkenal, Ustaz Azhar Idrus. Selain itu akan ada Zikir Munajat dan Selawat Perdana serta Bacaan Doa Untuk Ummah. "Keistimewaan Malam Munajat adalah menyucikan hati dengan zikir dan doa, memohon keberkatan dan kesejahteraan untuk diri, keluarga dan negara. "Bersama-sama menghidupkan malam dengan cahaya keimanan maka jangan lepaskan peluang. "Mari kita bersatu dalam doa, memohon keredaan Allah SWT untuk kehidupan yang lebih tenang, diberkati dan dirahmati,"ujar kenyataan itu lagi.
25 Dec 24
598
Krismas : 176 Anggota KPDN Terengganu Ditugaskan Pantau Harga
Krismas : 176 Anggota KPDN Terengganu Ditugaskan Pantau Harga
KUALA TERENGGANU, 26 Disember- Seramai 118 Pegawai Penguat Kuasa dan 58 Pegawai Pemantau Harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu ditugaskan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan pematuhan oleh peniaga sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 berkuatkuasa 23 hingga 27 Disember ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, sebanyak sembilan jenis barangan telah diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Krismas di Terengganu tahun ini. “Senarai barangan yang terlibat adalah daging kambing biri-biri bertulang import, kobis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), tomato, lada benggala hijau, ubi kentang import (China) cili merah, bawang merah besar import, bawang kuning besar dan lobak merah. “SHMMP Krismas 2024 dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024 di Mecarto, Mayang Mall, semalam. Turut hadir, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Terengganu, Saharuddin Mohd Kia. Mengulas lanjut katanya, Kementerian akan terus menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim terbabit. “Semua pihak diharap dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan mengunakan label merah jambu bagi barangan tersebut.  “Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini,” ujarnya.
25 Dec 24
127
Yaya ‘Kaut’ Hadiah Utama IMCT 2024
Yaya ‘Kaut’ Hadiah Utama IMCT 2024
HULU TERENGGANU, 16 Disember – "Kalah dalam menang," begitulah kata-kata pemenang cabutan bertuah bagi pertandingan International Monsoon Casting Tournament 2024 (IMCT 2024) yang telah dijalankan di Tasik Kenyir, Terengganu baru-baru. Berkongsi cerita, Nor Hidayah Alias, 30, atau lebih dikenali sebagai Yaya (Yayers Toure) melalui platform media sosialnya, dia telah menyertai pertandingan ini sebagai wakil TCE Tackles. Pada awalnya, ujar Yaya situasi tidak memihak kepadanya apabila dia tidak berjaya untuk mendaratkan ikan sepanjang empat hari dan tiga malam program itu berlangsung. “Semua orang tahu Tasik Kenyir adalah salah satu tasik terbesar di Malaysia tapi saya tetap 'kumpau'. “Allah dah tetapkan rezeki saya dari awal di sini. Tidak bernasib baik ‘time’ memancing tapi bernasib baik dapat ‘Grand Lucky Draw of MCT 2024. Alhamdulillah,” ujarnya dalam satu hantaran di facebooknya beberapa hari yang lalu. Dalam pertandingan tersebut, dia berjaya membawa pulang hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah bot fiber lima lapis berukuran 14 kaki hasil buatan tangan Khairol Fiber Group dan sebuah enjin berjenama Suzuki berkeupayaan 20Hp. Yaya yang juga merupakan seorang wakil kepada salah satu syarikat pembekal peralatan memancing terbesar di Malaysia itu tidak menyangka bahawa kata-kata gurauannya sebelum pertandingan bermula telah menjadi satu realiti.
24 Dec 24
105
Hotel di Pulau Poh Beroperasi Tahun Depan
Hotel di Pulau Poh Beroperasi Tahun Depan
HULU TERENGGANU, 24 Disember – Projek pembangunan hotel di Pulau Poh, Tasik Kenyir yang telah mengambil masa lebih kurang sepuluh tahun dengan nilaian kos sebanyak RM97.4 juta itu akhirnya menghampiri peringkat akhir pembangunan dan dijangka mula beroperasi sekitar pertengahan tahun 2025. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, pembinaan hotel itu sangat penting kerana ia merupakan salah satu komponen pembangunan di Tasik Kenyir selepas terbinanya jambatan ikonik sebelum ini di bawah projek ‘Kenyir Island Hopping’. “Jadi hotel ini dianggap sebagai pelengkap kepada pelaksanaan projek-projek tersebut. Apatah lagi, Kenyir telah pun diisytiharkan sebagai ‘Geopark’ dan memerlukan satu ekosistem pelancongan yang lengkap.”, ujarnya. Beliau yang juga merupakan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) berkata demikian kepada pihak pemberita semasa sidang media di dewan konvensyen hotel berkenaan, hari ini. Mengulas lebih lanjut, Tun Faisal berharap hotel itu bakal menarik lebih ramai pelancong ke Tasik Kenyir sekali gus menjadikanya sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa utama di Malaysia. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa pengurusan hotel bertaraf tiga bintang dengan ketinggian lapan tingkat itu akan dikendalikan oleh Terengganu Incorporated, anak Syarikat Kerajaan Negeri Terengganu (GLC). Dalam pada itu, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Encik Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun turut berkata bahawa projek susulan untuk membesarkan kawasan Kenyir Waterpark akan dijalankan setelah proses penyerahan hotel sulung di Tasik Kenyir itu selesai. Justeru itu, dengan kepelbagaian prasarana dan kemudahan yang telah dibangunkan di sini pihak UPEN berharap prestasi sektor pelancongan di Tasik Kenyir dapat dipertingkat sekali gus menaikkan ekonomi masyarakat setempat.
24 Dec 24
763
KPDN Terengganu Rekod 559 Kes Kesalahan Sejak 1 Januari
KPDN Terengganu Rekod 559 Kes Kesalahan Sejak 1 Januari
KUALA TERENGGANU, 24 Disember- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu telah mengambil tindakan ke atas 559 kes pelbagai kesalahan melibatkan rampasan hampir RM4 juta untuk tempoh 1 Januari lalu sehingga semalam. Pengarahnya, Saharuddin Mohd. Kia berkata, tindakan itu hasil pemeriksaan ke atas 21,103 premis perniagaan di seluruh negeri ini  yang turut menyaksikan kompaun sebanyak RM268,200. “Daripada 599 kes itu, kesalahan tertinggi melibatkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu sebanyak 218 kes, diikuti Akta Timbang dan Sukat 1972 sebanyak 214 kes. “Selain itu, 70 kes adalah kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perlindungan Pengguna 1999 pula sebanyak 45 kes dan Akta Cap Dagangan (enam kes). Kita juga mengesan lima kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 (satu kes) ,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman di Mecarto, Mayang Mall, hari ini. Katanya, bagi hukuman denda oleh mahkamah pula, sebanyak dua kes telah disabit kesalahan dan dikenakan hukuman denda berjumlah RM102,500 bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perlindunggan Pengguna 1999. Menurut beliau, 559 kes kesalahan itu dikesan pihaknya hasil 48,697 pemeriksaan yang telah dijalankan. “Daripada jumlah itu, sebanyak 18,626 pemeriksaan dijalankan di Kuala Terengganu, Dungun (10,826), Besut (8,781), Kemaman (5,994) dan Hulu Terengganu (4,470),” ujarnya.  
24 Dec 24
85
Jualan Rahmah Di Terengganu Catat Nilai Jualan Lebih RM39 Juta
Jualan Rahmah Di Terengganu Catat Nilai Jualan Lebih RM39 Juta
KUALA TERENGGANU, 24 Disember- Jualan Rahmah di Terengganu mencatatkan nilai jualan melebihi RM39 juta daripada penganjuran 854 program (siri) bagi tempoh 1 Januari hingga 22 Disember lalu. Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di negeri ini melibatkan tiga jenis model pelaksanaan. Katanya, sebanyak 366 siri dibuat di dalam premis, dua siri secara terbuka dan 486 siri secara bergerak di kesemua lapan kawasan Parlimen di seluruh Terengganu.  “PJRM di negeri ini dianggarkan telah memberi manfaat kepada 928,410 orang pengunjung dan berjaya mencatatkan rekod hasil jualan melebihi RM39 juta,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman di Mecarto, Mayang Mall, hari ini. Tambah beliau, berdasarkan maklum balas pengunjung, rata-rata menyambut baik dan meminta PJRM ini dilaksanakan secara berkala dan mengakui bahawa harga barangan yang dijual adalah berpatutan serta membantu meringankan beban kewangan mereka. “Berdasarkan kepada jumlah kutipan ini, ia menggambarkan PJRM memberi manfaat dan sentiasa ditunggu-tunggu oleh orang ramai. “Justeru itu, kita akan buat program ini secara berjadual di lokasi yang telah ditentukan di seluruh Terengganu,” ujarnya.  
24 Dec 24
165
20 Mangsa Banjir Lumpur di Kg Hulu Lerek Terima Ganti Rugi
20 Mangsa Banjir Lumpur di Kg Hulu Lerek Terima Ganti Rugi
HULU TERENGGANU, 24 Disember – Syarikat East Rock Kuari hari ini membayar ganti rugi berhubung masalah banjir lumpur melanda penduduk di Kampung Hulu Lerek, Ajil pada 27 Disember lalu. Syarikat terbabit kesal dengan kejadian tersebut yang berpunca daripada sisa yang melimpah sehingga menyebabkan banjir lumpur itu berlaku. Wakil East Rock kuari, Azizul Hasyim berkata, pihaknya bersama penduduk sudah mengadakan perjumpaan dengan syarikat berkenaan sebelum ini bagi mencari jalan penyelesaian bagi masalah yang berlaku dan mengambil tanggungjawab dengan kejadian tersebut. “Kami memohon maaf dengan apa yang telah berlaku dan dengan ini pihak Syarikat mengambil tanggungjawab untuk memberi sedikit pampasan bagi mangsa banjir lumpur ini. “Kami akan memastikan kejadian ini tidak akan berulang Kembali,” katanya. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim menjelaskan, kejadian banjir lumpur itu ada hikmahnya. "Apa yang berlaku bukan dirancang. Lain yang dirancang lain yang berlaku. “ Itulah yang dipanggil musibah dan kita telah mengadakan beberapa rundingan sebelum ini dengan East Rock bagi mencari penyelesaian diatas isu tersebut,” katanya. Turut hadir  Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Jabatan Mineral dan Geosains, Penghulu Mukim. Sementara itu, seorang penerima, Mazlan Haron, 61, meluahkan rasa syukur kerana menerima saguhati. "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah mengambil berat tentang banjir lumpur yang melanda kampung Hulu Lerek. "Terima kasih juga diatas sumbangan ini walaupun tidak seberapa namun sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan di musim banjir ini," katanya. Dalam masa sama, dia berharap kejadian tersebut tidak akan berulang lagi.    
24 Dec 24
512
RMM di Bawah Kerajaan Negeri Dilindungi Insuran
RMM di Bawah Kerajaan Negeri Dilindungi Insuran
KEMAMAN, 23 Disember - Setiap Rumah Mampu Milik (RMM) di bawah anak syarikat Kerajaan Negeri, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dilindungi insuran kebakaran dan musibah. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato' Wan Adnan Wan Derahman berkata, pada kebiasaan ia dilihat dari sudut kerosakan fizikal seperti kerosakan pintu hadapan dan belakang rumah. Ujarnya, yang tidak dilindungi insuran adalah peralatan atau perkakas elektrik dan elektronik di dalam rumah. "Dengan tuntutan dalam RM200 hingan RM250 apabila berlaku kerosakan pada pintu. "Insya-Allah pihak kita (PMINT) akan lihat balik beberapa perkara dan akan berbincang untuk tambah baik beberapa kriteria supaya pemilik RMM dapat manfaat sekurang-kurangnya dapat membantu menghadapi segala kesulitan yang dialami," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika mengadakan lawatan ke Tapak Perumahan RMM Teluk Kalong bersama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, di sini, semalam. Dalam pada itu, Wan Adnan turut berkata pihak PMINT juga ada menyediakan Tabung Prihatin dalam membantu mangsa banjir. "Insya-Allah kita akan salurkan segera kepada masyarakat di sini yang membabitkan hampir 500 buah rumah,"katanya.
23 Dec 24
474
Terengganu Laksana Sistem E-Invoice Menjelang 2026
Terengganu Laksana Sistem E-Invoice Menjelang 2026
KUALA TERENGGANU, 23 Disember - Terengganu akan setanding dengan negara-negara Eropah apabila merancang untuk melaksanakan sistem E-Invoice bagi cukai menjelang 2026. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman berkata, langkah proaktif itu juga akan mengoptimumkan hasil pendapatan negeri. "Alhamdulillah, perbincangan awal mengenai pelaksanaan E-Invoice di Negeri Terengganu telah memberikan gambaran yang jelas dan positif. "Ini adalah langkah proaktif yang perlu diteruskan oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan hasil negeri," ujarnya dalam satu kenyataan di facebooknya, di sini, baru-baru ini. Tambah Khuzaini dengan pelaksanaan E-Invoice itu juga Terengganu akan berpeluang bukan sahaja berupaya mengoptimumkan kutipan cukai malah akan turut memperbaiki sistem pengurusan kewangan. "Ini menunjukkan bahawa kita berada di landasan yang tepat untuk mengikuti arus kemajuan global," katanya.  
23 Dec 24
269
Kerajaan Bertukar Baru Nasib Terbela
Kerajaan Bertukar Baru Nasib Terbela
Oleh : Syahida Mohd KUALA NERUS, 22 Disember – “Dulu tiada siapa pun peduli keadaan kami, turun ke laut atau tidak, tiada siapa ambil tahu,” luah Zahawi Putih, nelayan dari Kampung Duyong Kelab Aya. Zahari berkata, nasib mereka akhirnya berubah selepas berlaku perubahan kerajaan negeri pada 2018. “Selama 40 tahun menjadi nelayan, ini kali pertama saya dapat bantuan sebegini. "Semuanya bermula sejak kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran negeri pada 2018,” katanya bersyukur menerima bantuan dalam program Temu Murni Nelayan yang berlangsung di Kompleks Tarbiyah Darul Taqwa baru-baru ini. Menurut Zahari, sejak Terengganu dipimpin oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, barulah nasib para nelayan mendapat perhatian yang sewajarnya. Zahari juga berkongsi cabaran getir yang dihadapinya sepanjang menjadi nelayan, termasuk pengalaman hampir maut apabila botnya karam akibat dipukul ombak. Sementara itu, ADUN Bukit Tunggal, Sr. Zaharuddin Zahid, menjelaskan bahawa program tersebut bertujuan meringankan beban nelayan yang tidak dapat turun ke laut akibat musim tengkujuh. “Program ini telah diadakan sejak beberapa tahun lalu bagi membantu nelayan yang kehilangan sumber pendapatan sepanjang Monsun Timur Laut. "Kali ini, kita mengagihkan bantuan hasil kerjasama dengan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak,” jelasnya. Menurut beliau, sumbangan kali ini merangkumi bantuan kewangan dan keperluan asas seperti beras, sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat. “Kami amat berterima kasih kepada YB Ahli Parlimen Kuala Nerus atas sokongan beliau. Bantuan ini akan diagihkan kepada semua nelayan yang memerlukan di kawasan DUN Bukit Tunggal,” tambahnya. Seramai 213 nelayan dari kawasan DUN Bukit Tunggal menerima bantuan musim tengkujuh dalam program ini, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri Terengganu sejak 2018 untuk membantu golongan terjejas. Majlis tersebut turut dirasmikan oleh Dr. Alias yang turut menyeru agar usaha murni ini diteruskan bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
22 Dec 24
437