Artikel "Semasa" Terkini
Sebat Pesalah Khalwat Berulang Dilaksana 27 Disember
KUALA TERENGGANU, 16 Disember- Pelaksanaan hukuman sebat terhadap individu pertama di Terengganu yang melakukan kesalahan khalwat berulang akan dilaksanakan pada 27 Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, rentetan penggantungan hukuman sebatan luar penjara terhadap pesalah khalwat pada 3 Disember lalu, Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu yang telah bersidang pada 11 Disember lepas memutuskan bahawa Permohonan Semakan yang dibuat adalah teratur dan selaras dengan Seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.
“Hasil persidangan itu, Mahkamah turut memutuskan bahawa hukuman enam kali sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya denda gagal dibayar, sebagaimana keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November lalu dikekalkan.
“Hukuman sebatan itu juga kekal dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang sebagaimana keputusan terdahulu dan akan dilaksanakan pada 27 Disember ini selepas solat Jumaat,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tegas beliau, keputusan tersebut dibuat sebulat suara oleh Panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu.
“Maklumat lanjut berhubung prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan hukuman akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa sebelum hukuman dilaksanakan kelak.
“Di kesempatan ini, saya ingin menegaskan bahawa hukuman sebatan yang dikenakan terhadap pesalah jenayah takzir ini adalah sebagai pengajaran agar individu lain tidak melakukan dan mengulangi kesalahan yang sama,” ujarnya.
Tambah Muhammad Khalil, pelaksanaan hukuman sebatan Takzir ini juga bertujuan untuk menunjukkan perbezaan antara sebatan sivil dan syariah.
“Kerajaan Negeri ingin mengajak orang ramai untuk mendoakan agar proses pelaksanaan hukuman jenayah syariah (takzir) ini berjalan dengan lancar,” katanya.
Terdahulu, media sebelum ini melaporkan, seorang tukang rumah menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai kerana kesalahan khalwat berulang.
Pada 20 November lalu, Mahkamah Tinggi Syariah telah memutuskan enam hukuman sebatan di luar penjara terhadap pesalah iaitu di sebuah masjid (Masjid Al-Muktafi Billah Shah Kuala Terengganu) pada 6 Disember lalu (selepas solat Jumaat) bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah.
Hukuman itu diputuskan oleh Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail.
Sabitan hukuman tersebut adalah berdasarkan kepada pengakuan salah oleh OKT itu sendiri terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 31 (a), Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) 2001.
16 Dec 24
541
Dr. Sam Reveals Reason for Resigning from PN
KUALA TERENGGANU, December 15 - The resignation of Terengganu Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, as Treasurer of Perikatan Nasional (PN) is a move to strengthen the party.
According to Ahmad Samsuri, who is also the Vice President of PAS, this action is not related to any internal rift within PN, as claimed by certain parties.
"There is no rift at all; instead, we are seeking the best way to strengthen PN so that it becomes a more robust political coalition before we face the elections in two years' time," he said.
He made these comments after the 5th Imaratul Ilmi event at the Terengganu Quran College (KQT) at the Islamic Civilization Park Convention Center (TTI) here earlier today.
In the meantime, Ahmad Samsuri also emphasized that his resignation has no connection to the decision of the Sabah Progressive Party (SAPP) to leave PN yesterday.
"There is no rift, that is a separate issue, and it has nothing to do with the Sabah party. The issue concerning the Sabah party is unrelated to the issues in Peninsular Malaysia," he said.
When asked if any other individuals would take similar action, Ahmad Samsuri said he had no information on the matter.
"I don't know, you can ask the individual concerned," he said.
Recently, he announced his resignation through a brief statement to the leadership of PAS Central and PN.
15 Dec 24
471
Terengganu Giat Baik Pulih Rumah Terjejas Banjir
KUALA TERENGGANU, 15 Disember – Kerajaan negeri kini sedang dalam proses membaik pulih segala kerosakan rumah-rumah terkesan dengan dua gelombang banjir yang melanda Terengganu baru-baru ini.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata situasi banjir yang menimpa Terengganu dalam tempoh berkenaan tidak begitu teruk sebagaimana tahun-tahun sebelumnya khususnya jika dibandingkan dengan negeri lain.
“Kerosakan ini (rumah) sedang dibaiki sebenarnya…bukan dinilai sahaja tapi dibaiki terus.
"Kita guna apa jua peruntukan yang ada pada negeri dan juga memohon peruntukan Persekutuan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui di Majlis Imaratul Ilmi ke-5 Koleh Al-Quran Terengganu (KQT) di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI),di sini hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri, kerosakan jalan dan infrasturuktur juga berada di tahap minima kerana golambang banjir masih terkawal berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Jalan rosak termasuk infrastruktur yang terjejas juga minima..tidak ada jambatan yang rosak cuma tanah runtuh di jalan- jalan persekutuan yang mana telah diambil tindakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR),”katanya lagi.
Dalam pada itu ketika ditanya tentang kerugian serta perbelanjaan yang telah dikeluarkan, beliau berkata, jumlah keseluruhan peruntukan termasuk kerosakan belum dirumuskan kerana MTL secara teorinya masih belum berakhir dan pihaknya sentiasa memantau perkembangan dari semasa ke semasa .
“Perbincangan sentiasa dilakukan untuk peruntukan dan kita luluskan.Untuk penjumlahan kita akan buat selepas MTL berakhir nanti,”ujar beliau.
Terdahulu, gelombang pertama merekodkan sebanyak 307 PPS dibuka yang menempatkan 43,273 mangsa daripada 11,707 keluarga.Gelombang seterusnya di Terengganu menjejaskan 5,853 orang melibatkan dua daerah iaitu Kemaman dan Dungun.
15 Dec 24
223
KUTT Bayar Royalti RM1.1 Juta kepada Kerajaan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Disember - Kerajaan Terengganu telah menerima bayaran royalti daripada anak syarikat kerajaan negeri (GLC), Koridor Utiliti Teknologi Terengganu Sdn Bhd (KUTT) sebanyak RM1,101,489.15 bagi tahun 2024.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, KUTT selama ini diberi tanggungjawab untuk membangunkan koridor utiliti negeri termasuk menyediakan pangkalan data bersepadu bagi semua jajaran utiliti.
Katanya, ia merangkumi tenaga elektrik, bekalan air, rangkaian telekomunikasi dan sistem kumbahan.
"Imbalan bagi pelantikan itu, KUTT disyaratkan untuk membayar sebahagian daripada pendapatan sebagai kontribusi kepada negeri bagi setiap tahun beroperasi,"katanya dalam satu kenyataan media sempena Sesi Penyerahan 'Mock Cheque' di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif KUTT, Ir. Ts. Ahmad Azhan Suhaili.
Cek pembayaran royalti itu diserahkan oleh Ahmad Azhan kepada Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Dalam pada itu, Ahmad Azhan berkata KUTT telah mencatatkan pertumbuhan kewangan memberansangkan hasil prestasi cemerlang daripada semua bahagian membolehkan syarikat sekali lagi berpeluang mengembalikan bayaran kontribusi buat kerajaan negeri.
Di samping itu juga, KUTT turut sama berganding bahu dengan kerajaan negeri bagi membantu rakyat Terengganu dengan menyerahkan cek sumbangan RM350,000 kepada Tabung Darul Iman di bawah peruntukan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Cek itu telah diserahkan kepada Timbalan Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md. Noor.
Selain daripada itu, KUTT bersama Menteri Besar Incorporated (MBI) Terengganu bekerjasama menyalurkan sumbangan RM500,000 untuk Program MBI-Youth Talent Scholarship melalui tabung biasiswa GLC kerpada Yayasan Terengganu yang mengendalikan dan mengurus biasiswa pelajar cemerlang terpilih.
Cek pembayaran sumbangan Tabung Biasiswa GLC tersebut telah diserahkan oleh Ketua pegawai Eksekutif KUTT kepada Pengarah Yayasan Terengganu.
15 Dec 24
7094
Terengganu Komited Bangunkan Bidang Pengajian Al-Quran
KUALA TERENGGANU, 15 Disember - Kerajaan Terengganu melalui Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi & Pembangunan Insan negeri komited untuk membangunkan sektor pendidikan tinggi khususnya dalam bidang pengajian al-Quran.
Pengerusinya, Datuk Satiful Bahari Mamat berkata justeru itu , menaikkan taraf Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) kepada Kolej Universiti Islam di bawah kelolaan kerajaan negeri sedang giat dipersiapkan mencapai hala tuju dan perancangan pendidikan tinggi dan pembelajaran sepanjang hayat.
Menurutnya, penyediaan fasiliti pengajian tinggi untuk KQT yang sedang giat dijalankan di Kampus Pengkalan Gawi dan Kampus Induk Durian Mentangau.
“Manfaat dari pembangunan Kampus Induk Durian Mentangau ini akan menempatkan seramai 1500 orang mahasiswa pada fasa satu dan seramai 3000 orang mahasiswa pada fasa dua.
“Pendidikan tinggi di negeri Terengganu juga bakal menyaksikan hub pendidikan Islam Nusantara dikembalikan semula. Ini bertepatan dengan visi KQT yang sentiasa berusaha menjadi pusat kecemerlangan pengajian Al-Quran dengan pelbagai disiplin ilmu secara bersepadu yang terunggul di Malaysia,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Imaratul Ilmi ke-5 Koleh Al-Quran Terengganu (KQT) di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI),di sini hari ini.
Tambah Satiful, bagi mencapai objektif itu, institusi-institusi Pendidikan tahfiz di Malaysia amnya dan Terengganu khasnya perlu diperkasakan samada dalam pengurusan atau pentadbiran dan juga proses pengajaran dan pembelajaran.
“Kedua-dua elemen ini dilihat sebagai faktor utama untuk mencapai pendidikan yang berkualiti bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dan mencapai pendidikan yang berkualiti serta dapat melahirkan pelajar yang berketerampilan.
“Oleh yang demikian, kerajaan negeri akan terus mendokong usaha untuk meningkatkan kapasiti pentadbiran dan pengurusan KQT serta menyediakan prasarana pengajian yang kondusif seiring dengan Teras Strategik Jawatankuasa portfolio ini,”jelasnya.
15 Dec 24
215
Dr. Sam Dedah Punca Letak Jawatan PN
KUALA TERENGGANU, 15 Disember - Peletakan jawatan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Bendahari Perikatan Nasional (PN) adalah langkah memperkukuhkan parti tersebut.
Menurut Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS, tindakan itu tidak berkait dengan keretakan sesama parti dalam PN sebagaimana didakwa sesetengah pihak.
"Tidak berlaku keretakan apa-apa, sebaliknya kita sedang mencari jalan terbaik untuk memperkukuhkan PN supaya menjadi kuasa politik yang lebih baik berbanding kerajaan sedia dan memberi alternatif kepada rakyat sebelum kita menghadapi Pilihan Raya dalam tempoh dua tahun lagi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Imaratul Ilmi ke-5 Koleh Al-Quran Terengganu (KQT) di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), di sini sebentar tadi.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut menegaskan, peletakan jawatan beliau turut tidak mempunyai sebarang kaitan dengan keputusan Parti Progresif Sabah (SAPP) untuk keluar daripada PN semalam.
"Tiada keretakan, itu isu yang berasingan, tidak ada kaitan antara isu ini dengan parti Sabah tersebut, isu parti Sabah tidak berkait dengan isu Semenanjung," katanya.
Ketika ditanya adakah ada individu lain yang akan mengambil tindakan sama, Ahmad Samsuri berkata beliau tiada maklumat tentang perkara itu.
"Saya tak tahu, boleh tanya individu tersebut," katanya.
Baru-baru ini beliau mengumumkan peletakan jawatan itu menerusi satu kenyataan ringkas kepada barisan kepimpinan PAS Pusat dan PN.
15 Dec 24
9852
Tasik Kenyir Jadi Tumpuan Dunia, 10 Negara Sertai IMCT 2024
HULU TERENGGANU, 14 Disember – Tasik Kenyir sekali lagi menjadi tumpuan apabila acara International Monsoon Casting Tournament (IMCT) 2024 berjaya menarik minat 260 peserta, termasuk 60 peserta antarabangsa dari sembilan negara.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti, dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Zawawi Ismail berkata program seperti IMCT penting untuk mempromosikan keunikan eko-pelancongan negeri.
“Dengan adanya acara ini, Tasik Kenyir mendapat pendedahan antarabangsa.
“Antara negara yang turut serta ialah Thailand, Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun, China, Perancis dan Belanda.
“Ia membuktikan kawasan ini kaya dengan tarikan unik seperti Pulau Poh, Taman Burung, dan Gua Bewah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelepasan Peserta Pertandingan IMCT 2024 di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, di sini hari ini.
Menurut beliau, kehadiran peserta antarabangsa menunjukkan potensi besar Tasik Kenyir untuk terus menarik pelancong asing.
“Kita mahu mereka bukan sahaja menikmati aktiviti memancing tetapi juga melihat sendiri keindahan dan keunikan alam sekitar di sini,” tambahnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong itu turut menekankan kepentingan keselamatan sepanjang acara berlangsung.
“Keselamatan perlu menjadi keutamaan kita semua, terutama dalam aktiviti melibatkan air,” kata beliau.
Beliau turut mengingatkan para peserta agar menjaga etika dan mematuhi peraturan demi menjamin pengalaman yang selamat dan menyeronokkan.
“Semoga semua yang hadir membawa pulang pengalaman manis di Tasik Kenyir kali ini,” ujarnya.
Katanya, acara tahunan tersebut mendapat sokongan padu daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, selain pertandingan memancing, peserta dan pengunjung juga berpeluang menikmati pemandangan indah dan menyelami budaya serta keunikan Tasik Kenyir.
“Dengan kejayaan penganjuran IMCT 2024, Terengganu kini semakin dikenali sebagai destinasi pilihan untuk sukan rekreasi air.
“Program ini bukan sahaja mempromosikan negeri di mata dunia tetapi turut meningkatkan ekonomi tempatan melalui kehadiran pelancong dalam dan luar negara.
“Mari jadikan Tasik Kenyir sebagai lokasi wajib bagi penggemar aktiviti luar dan pencinta alam,” ujarnya.
14 Dec 24
3917
Terengganu Salur Bekalan Air Bersih ke Pahang
KUANTAN, 12 Disember – Terengganu kini memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan ekonomi Pantai Timur apabila menyalurkan bekalan air bersih ke Pahang menerusi Projek Paip Pengagihan Air Kemaman-Gebeng.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata projek sepanjang 29.8 kilometer yang dikendalikan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) itu akan memastikan penyaluran bekalan air terawat yang stabil ke kawasan perindustrian Gebeng, sekali gus menyokong pertumbuhan industri dan ekonomi di Wilayah Pantai Timur.
"Projek ini bukan sekadar infrastruktur, tetapi simbolik kepada hubungan erat antara Terengganu dan Pahang.
“Dengan saluran air ini, kita memenuhi keperluan industri sambil memperkukuhkan kerjasama dua negeri," ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Paip Agihan Air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang yang berlangsung di Gebeng, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang; Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia Dato' Zulkifli Ali, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat.
Menurut Ahmad Samsuri, projek itu juga menjadi bukti kepada kerjasama strategik antara ECERDC, Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).
“Peranan Terengganu sebagai penyedia bekalan air menunjukkan komitmen negeri ini untuk berkongsi sumber demi kemajuan bersama.
"Terengganu bangga dapat menyumbang kepada pembangunan industri di Pahang.
“Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama antara Kerajaan Persekutuan, negeri, dan semua pihak berkepentingan," jelasnya.
Kata beliau, dengan bekalan air yang mencukupi, kawasan perindustrian Gebeng, termasuk Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), kini lebih bersedia untuk menyokong pelaburan dan operasi industri bernilai tinggi.
Tambahnya, selain memberi manfaat kepada Pahang, projek tersebut turut menjana pertumbuhan ekonomi di Daerah Kemaman.
“Aktiviti industri yang berkembang dijangka mencipta peluang pekerjaan baharu untuk penduduk setempat, sekaligus merancakkan ekonomi Terengganu.
"Inisiatif ini adalah pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dua negeri, memperkukuhkan kedudukan Wilayah Pantai Timur sebagai destinasi pelaburan strategik," ujarnya.
Dalam pada itu, projek itu turut menyumbang kepada pengukuhan daya saing kawasan perindustrian Gebeng menerusi sambungan infrastruktur utama seperti Pelabuhan Kuantan, Lebuhraya Pantai Timur, dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)
“Ia adalah contoh terbaik bagaimana perkongsian sumber dan kerjasama strategik dapat memacu pembangunan serantau secara mampan,” katanya.
Sebagai rekod, projek tersbut mencatat pencapaian signifikan dengan membekalkan tambahan 90 juta liter air terawat setiap hari dari Tangki Bukit Kolam, Kemaman ke Tangki Central B, Gebeng, Pahang.
Bekalan ini menjadi tonggak utama dalam memenuhi permintaan air bersih yang dijangka melonjak kepada 466 juta liter sehari menjelang 2025, jauh mengatasi kapasiti semasa sebanyak 290 juta liter sehari.
Sebagai nilai tambah, SATU memastikan bekalan ini diberikan kepada PAIP pada kadar kompetitif RM1.40 setiap meter padu, menjadikannya penyelesaian mampan yang mesra kos untuk pembangunan industri di kawasan ini.
12 Dec 24
536
Hafl Al-Takrim Kokurikulum Usaha JPINT Lahir Pelajar Berminda Kelas Pertama
KUALA TERENGGANU, 12 Disember - Majlis Hafl Al-Takrim Kokurikulum Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu Kali Ke-2 yang diadakan pada tahun ini merupakan usaha Jabatan pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) bagi melahirkan pelajar agama yang memiliki minda kelas pertama.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Ahmad Shah Muhamed berkata, semua pihak perlu memainkan peranan untuk terus memberikan sokongan bagi memastikan pelajar bergiat aktif dalam bidang kokurikulum.
"Sudah tentu ia akan turut membantu pelajar mencipta kecemerlangan dalam bidang kurikulum.
"Momentum seperti inilah yang kita perlukan agar anak-anak sentiasa cerdas dan cergas sama ada di sekolah mahupun di rumah, maka akan lahirlah pelajar minda kelas pertama yang sentiasa kita harapkan.
"Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat di atas semangat juang tinggi yang telah anak-anak (pelajar) tonjolkan, kalah atau menang bukan ukuran tetapi semangat kesukanan yang kental itu perlu ada dalam setiap jiwa," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hafl Al-Takrim Kokurikulum Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu itu, di Dewan Utama Ar-Riyadah Residence Majlis Sukan Negeri Terengganu, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Shah turut mengucapkan tahniah atas kejayaan kontinjen Terengganu yang telah muncul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) dan Mahrajan Memanah Sekolah Menengah Agama Malaysia (MESMA).
"Saya percaya kejayaan para pelajar kita ini bukan sahaja terletak pada usaha-usaha mereka sendiri untuk berjaya.
"Bahkan usaha-usaha yang luar biasa daripada jurulatih yang cukup komited memberi tunjuk ajar serta semangat kepada pelajar kita sehingga membuahkan hasil kejayaan yang cemerlang.
"Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada JPINT kerana berjaya mengadakan majlis gemilang seperti ini saban tahun bagi menghargai pelajar-pelajar dan jurulatih yang berjaya dalam kejohanan yang telah dianjurkan," ujarnya.
12 Dec 24
154
YPU Sedia Bantu Usahawan TUGAS Terjejas Banjir
KUALA TERENGGANU, 11 Disember - Usahawan di bawah Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) yang terkesan dengan banjir disaran menghubungi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) untuk mendapatkan khidmat nasihat berhubung dengan bayaran pembiayaan balik skim tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya bersedia untuk memberikan sokongan kepada semua pelanggannya yang terjejas akibat banjir
“Antaranya mereka boleh memohon untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman bagi membantu usahawan terbabit memulihkan kembali perniagaan yang terjejas akibat bencana banjir,"katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada Peminjam kali ke 4/2024 di Cafecitto, Coffee & Food Tok Molor di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, seramai 18 usahawan yang telah berjaya dalam permohonan pembiayaan TUGAS akan menerima anatara RM7,000 hingga RM30,000 setiap seorang melibatkan peruntukan sebanyak RM310,000.
11 Dec 24
157