Artikel "Semasa" Terkini
JPKK Pelaksana Dasar Kerajaan
KEMAMAN, 28 Disember - Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) adalah salah satu agensi yang perlu melaksanakan keputusan sebuah kerajaan.
Ahli Dewan Negara, Yang Berhormat Senator Che Alias Hamid menyatakan bahawa JPKK merupakan akar umbi kerajaan yang paling hampir dengan rakyat di dalam sesebuah pentadbiran negeri.
"Di samping pegawai kerajaan, JPKK juga perlu menjalankan tanggungjawabnya bagi merealisasikan perancangan kerajaan untuk kepentingan rakyatnya dengan sebaik mungkin.
"Walaupun kita dilihat kecil oleh sesetengah pihak, tapi kitalah sebagai tulang belakang yang diperlukan bagi menjayakan agenda yang dibawa oleh kerajaan sekarang.
"Dan ingatlah bahawa usaha memertabatkan syariat islam yang diperjuangkan puluhan tahun ini telah menjadi dasar kerajaan pada hari ini dan ianya mesti diteruskan walaupun ada beberapa kekangan dari segi kewangan dan sebagainya," ucapnya.
Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman itu berucap di Majlis Apresiasi Dan Sanjungan Budi JPKK DUN Air Putih Bersama ADUN Air Putih di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman baru-baru ini.
Beliau juga mengingatkan bahawa tugasan yang dipikul ini akan ditanya dan hitung oleh Allah SWT samada baik ataupun sebaliknya.
"Semoga usaha yang kita lakukan ini akan dipermudahkan dan diberkati oleh Allah, InsyAllah akan dibalas dengan balasan yang baik oleh Allah kelak," ucapnya lagi.
29 Dec 24
684
Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
KUALA TERENGGANU, 28 Disember - Pelaksanaan hukuman sebat di khalayak tidak membangkitkan isu Islamofobia dalam kalangan masyarakat dan ia dijalankan menurut prinsip Islam.
Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd Amran Mat Zain berkata, prosedur operasi standard (SOP) menetapkan bahawa kehadiran khalayak adalah sangat terhad dan ditentukan Mahkamah Syariah.
Katanya, hukuman sebatan di luar penjara itu adalah berdasarkan peruntukan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah dan enakmen negeri yang relevan, dan pelaksanaannya mematuhi garis panduan yang dibangunkan dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan seperti JKSM, Jabatan Penjara, Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa agama negeri.
"Kehadiran pihak lain (semasa hukuman) bergantung kepada budi bicara dan arahan mahkamah yang biasanya mengambil kira sensitiviti dan keperluan menjaga maruah serta keselamatan semua pihak.
"SOP hukuman terbabit tidak menyebut tentang kehadiran khalayak awam secara umum, lebih-lebih lagi dalam jumlah besar kerana menekankan aspek privasi, pengurusan tertib dan pematuhan kepada undang-undang serta etika," katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.
Mohd Amran.
Jelas Mohd Amran, hukuman berkenaan juga bukan bertujuan menghukum secara kejam.
Sebaliknya kata beliau, ia untuk mendidik, mencegah dan menyedarkan masyarakat tentang kepentingan menjaga nilai-nilai agama.
"Hukuman dijalankan dengan mengambil kira prinsip kemanusiaan serta dilakukan dengan penuh etika.
"Pegawai perubatan akan memastikan keadaan kesihatan pesalah sebelum dan selepas pelaksanaan hukuman, malah alat sebatan direka khas untuk mengurangkan risiko kecederaan fizikal,” katanya.
"Saya juga percaya dengan hukuman sebatan syariah ini akan memberi maklumat dan pengetahuan kepada masyarakat bahawa ia berbeza dengan sebatan sivil,” jelasnya.
Semalam, tukang rumah, Mohd Affendi Awang, 42, menjadi individu pertama dihukum dengan enam sebatan di hadapan kira-kira 70 saksi di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu pada Jumaat.
Hukuman itu diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 20 November lalu setelah lelaki terbabit mengaku salah atas kesalahan khalwat berulang mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Sebelum itu, dia pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman pada 11 Julai 2023.
28 Dec 24
626
Sebatan Syariah: Permulaan Terengganu Mendaulatkan Perundangan Islam
KUALA TERENGGANU, 28 Disember – Terengganu melakar sejarah apabila melaksanakan hukuman sebatan syariah di luar penjara semalam, satu langkah signifikan dalam mendukung undang-undang Islam di negeri dan negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah, dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan bahawa pelaksanaan tersebut adalah sebahagian daripada komitmen negeri untuk mendidik masyarakat dan menegakkan keadilan berlandaskan Islam.
“Hukuman ini dikenakan terhadap pesalah khalwat kali ketiga yang ditentukan oleh Mahkamah, menandakan langkah awal negeri ini dalam mendaulatkan undang-undang Islam secara menyeluruh.
“Ini bukan sekadar hukuman fizikal, tetapi satu peringatan untuk kita semua bahawa undang-undang Islam bertujuan memupuk kesejahteraan, menitikberatkan prinsip keadilan, dan kasih sayang.
“Dalam Islam, hukuman ini adalah simbolik, untuk mendidik dan membawa kesedaran,”katanya dalam satu hantaran di Facebook pada hari ini.
Menurut Muhammad Khalil, hukuman tersebut dilaksanakan berdasarkan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Takzir) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Garis panduan telah ditetapkan oleh Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Ketua-ketua Hakim Syarie seluruh Malaysia, Jabatan Penjara, dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Alat sebatan yang digunakan ringan, dan pelaksanaannya memastikan tiada kecederaan fizikal pada pesalah.
“Hukuman ini berbeza dengan sebatan sivil yang lebih menyeksakan pesalah,” jelas beliau.
Dr. Muhammad Khalil menjelaskan bahawa kehadiran semasa pelaksanaan juga dikawal rapi.
“Had bilangan yang dibenarkan hadir adalah seramai 70 orang sahaja, tidak termasuk barisan petugas.
“Setiap prosedur dilaksanakan dengan cermat bagi memastikan hukuman ini berjalan lancar dan mematuhi syarat syariah,” tambahnya.
Kerajaan Negeri turut mengutamakan usaha mendidik masyarakat tentang keadilan dalam hukuman syariah.
“Kami akan mempergiatkan program penerangan dan pendidikan agar rakyat memahami maksud sebenar undang-undang syariah ini.
“Kami perlukan sokongan rakyat supaya pelaksanaan ini dapat dijalankan dengan harmoni tanpa salah faham atau polemik yang tidak perlu,” kata beliau.
Beliau berharap langkah ini menjadi model kepada negeri-negeri lain untuk mengangkat martabat undang-undang syariah di negara ini.
“Langkah ini merupakan salah satu usaha Terengganu untuk memperkukuhkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran, sejajar dengan aspirasi rakyat yang mahukan pelaksanaan undang-undang Islam secara holistik.
“Terengganu mahu menunjukkan bahawa pentadbiran Islam yang adil dan berhemah boleh diwujudkan.
“Semoga pelaksanaan ini menjadi permulaan kepada masyarakat yang lebih harmoni, berdisiplin, dan dirahmati Allah SWT,” ujarnya.
28 Dec 24
735
Sebat : Terengganu Junjung Syariat Islam, Undang-Undang Negara
KUALA TERENGGANU, 28 Disember – Kerajaan Terengganu menegaskan pihaknya komited dalam mendaulatkan syariat Islam dan undang-undang negara sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengatakan perkara tersebut selepas pelaksanaan hukuman sebat syariah yang telah berlangsung di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu semalam.
"Alhamdulillah, hari ini kita menyaksikan satu lagi langkah penting dalam melaksanakan hukum syariah di negeri ini.
"Pelaksanaan hukuman sebat syariah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah yang berjalan lancar ini telah menandakan satu lagi langkah penting dalam pelaksanaan hukum Islam di negeri ini.
"Proses tersebut dijalankan dengan tertib dan mematuhi prinsip keadilan yang digariskan oleh Islam," ujar beliau di dalam kenyataan di Facebook.
Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan proses penghukuman itu dapat dilaksanakan dengan sempurna.
"Saya mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan ini, termasuk pihak Mahkamah Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Jabatan Penjara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, pihak masjid, pasukan kesihatan dan para pegawai penguatkuasa.
"Kecekapan dan kesungguhan mereka memastikan bahawa proses ini dilaksanakan dengan telus, adil, dan penuh hikmah," tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan orang ramai bahawa tujuan utama hukuman itu bukan hanya untuk menghukum, tetapi sebagai bentuk pendidikan, pengajaran dan pencegahan agar masyarakat lebih dekat dengan nilai-nilai Islam.
"Usaha ini menjadi contoh pelaksanaan syariah yang bakal memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.
"Justeru itu, pelaksanaan hukuman ini bukanlah sekadar mengenai penghukuman, tetapi turut memainkan peranan yang lebih besar dalam struktur agama, sosial dan moral masyarakat," katanya.
Untuk rekod, hantaran yang telah menerima 1.8 ribu ‘likes’ dan 99 perkongsian itu telah menerima komen-komen positif, jelas menunjukkan bahawa masyarakat menzahirkan sokongan mereka dalam pelaksanaan hukuman berlandaskan syariah.
28 Dec 24
480
Hukuman Sebat Dikhalayak Ramai Selesai Dilaksanakan
KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Individu pertama dijatuhi hukuman sebat dikhalayak ramai, Mohd Affendi Awang, 42, tiba di Masjid Al-Muktafi Billah Shah untuk menjalani hukuman enam sebatan pada jam 2.29 petang.
Tertuduh tiba menaiki kenderaan Penjara Marang, diiringi dua kereta peronda Penjara, dikerumuni pihak media dan orang ramai.
Tertuduh yang berpakaian lokap berwarna merah dan berpelitup muka dibawa masuk ke dewan masjid oleh pegawai penjara Marang.
Difahamkan, pegawai kesihatan melakukan pemeriksaan keadaan tertuduh sebelum hukuman sebatan dilaksanakan.
Tertuduh dibawa keluar dari dewan pada jam 3.01 petang dan dibawa keluar dari masjid diiringi kereta peronda penjara.
Lebih 100 jemaah masjid yang siap menunaikan solat Jumaat menunggu sehingga hukuman selesai dilaksanakan bagi melihat tertuduh dari jarak dekat.
Terdahulu, tukang rumah berasal dari Kerteh itu dijatuhkan hukuman mengaku salah berkhalwat kali ketiga dengan seorang wanita berusia 52 tahun di hadapan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail dalam prosiding pada 20 November lalu.
Hukuman itu diputuskan mahkamah selepas tertuduh, Mohd. Affendi Awang, 42, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Selain enam sebatan, tertuduh juga dihukum denda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda itu.
27 Dec 24
623
Pembayar Cukai Taksiran Premis Perniagaan Terima Penghargaan
KUALA TERENGGANU, 31 Disember - Kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu sangat menghargai pembayar cukai taksiran premis perniagaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, seramai 100 orang yang diraikan dalam Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah itu merupakan pembayar-pembayar cukai taksiran yang setia menjalankan aktiviti perniagaan di premis MBKT.
"Ini merupakan suatu inisiatif yang dilakukan oleh MBKT bagi memberi galakan kepada warganya untuk membayar cukai.
"Juga merupakan satu penghargaan kepada pembayar-pembayar cukai yang membayaranya pada awal waktu.
"Hasil pembayaran cukai ini adalah digunakan oleh pihak MBKT bagi menjamin keselesaan, kesenangan serta kesejahteraan yang manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh warga termasuklah mereka yang mencari rezeki dengan peniagaan dan sebagainya dalam kawasan pentadbiran MBKT," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui ketika sidang medianya, selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Porgram Cabutan Bertuah dan Penyampaian Hadiah Pemenang Cabutan Cukai Taksir, di Menara MBKT baru-baru ini.
Dalam pada itu Wan Sukairi memaklumkan cukai pintu kediaman rakyat di negeri ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri bermula 2019.
"Sehingga sekarang kita masih menanggung kos tersebut, cukai itu dikenakan kepada semua rumah-rumah kediaman, cuma ia dibayar oleh kerajaan negeri kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," ujarnya.
26 Dec 24
97
Sebat Syariah di Masjid Tetap Diteruskan Esok
KUALA TERENGGANU, 26 Disember – Sejarah baharu akan tercipta apabila Terengganu tetap akan melaksanakan hukuman sebat syariah di luar penjara di sebalik bantahan sebilangan kecil kumpulan tertentu.
Hukuman ini akan dijalankan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, sebagai usaha memperkasa undang-undang syariah secara praktikal dan mendidik masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah, dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata persiapan rapi telah dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak.
“Kami telah diberikan taklimat oleh pihak mahkamah bersama wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara, dan agensi lain.
“Persiapan dilakukan supaya pelaksanaan esok berjalan lancar dan teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita selepas menghadiri lawatan tapak hukuman di Masjid Ladang, di sini hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa hukuman ini bukan hanya bertujuan menghukum pesalah tetapi sebagai langkah mendidik masyarakat selaras dengan prinsip maqasid syariah.
“Pelaksanaan terbuka ini bertujuan memberi pengajaran kepada orang ramai agar memahami hikmah di sebalik undang-undang syariah,” jelasnya.
Dr. Khalil juga mengakui terdapat bantahan daripada pelbagai pihak, namun kerajaan negeri tetap komited melaksanakan hukuman ini.
“Walaupun ada kritikan, kami percaya ini langkah tepat untuk memperkasa undang-undang syariah, yang selama ini hanya dilaksanakan di penjara,” tambah beliau.
Beliau juga menyeru umat Islam mendoakan kelancaran pelaksanaan hukuman ini.
“Doa masyarakat amat penting agar segala urusan esok berjalan dengan baik dan memberi kesan positif kepada semua.
“Pelaksanaan ini menjadi titik perubahan dalam sejarah undang-undang syariah negara, bukan sekadar simbolik tetapi satu langkah serius untuk mendidik dan memperkasa masyarakat secara berkesan,” ujarnya.
26 Dec 24
1292
Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
KUALA TERENGGANU, 25 Disember - Pembatalan pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menimbulkan kontroversi apabila alasan kesihatan yang diberikan oleh Perdana Menteri dinafikan oleh pihak Indonesia.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim menyifatkan insiden itu sebagai memalukan dan mencalar kredibiliti negara, dan mendesak kerajaan menjelaskan kekeliruan ini secara telus.
“Bagaimana kenyataan Perdana Menteri bercanggah dengan kenyataan rasmi Indonesia? Ini tidak boleh dibiarkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada hari ini.
Beliau menekankan bahawa hubungan Malaysia dan Indonesia adalah asas penting dalam kerjasama serantau.
“Sebarang salah faham atau percanggahan maklumat boleh memberi kesan buruk kepada hubungan dua hala ini.
“Situasi ini bukan sahaja mencetuskan spekulasi dalam kalangan rakyat, malah menjejaskan imej diplomasi Malaysia di peringkat antarabangsa,” tambahnya.
Ahmad Amzad turut menyeru Perdana Menteri supaya segera tampil memberikan penjelasan.
“Rakyat ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku.
“Jangan biarkan kekeliruan ini berlanjutan,” tegasnya.
Beliau juga mengingatkan bahawa hubungan diplomatik dengan negara jiran seperti Indonesia perlu diuruskan dengan penuh berhati-hati.
“Setiap langkah mesti mencerminkan keprihatinan terhadap sensitiviti dan hubungan baik antara dua negara.
“Sebagai jiran strategik, hubungan Malaysia dan Indonesia memainkan peranan penting dalam kestabilan serantau,” ujar beliau.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu menegaskan bahawa salah urus dalam isu seperti ini boleh memberi kesan besar kepada hubungan yang telah lama terjalin.
“Kerajaan perlu segera bertindak untuk memulihkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa.
“Ketelusan adalah kunci untuk menjaga kredibiliti negara,” ujarnya.
25 Dec 24
428
Hukuman Sebat, Saksi Dilarang Bawa Masuk Peranti - Polis
KUALA TERENGGANU, 25 Disember - "Sebarang rakaman oleh 70 individu yang dibenar menyaksikan hukuman sebatan pesalah khalwat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini pada Jumaat ini, tidak dibenarkan bagi mematuhi arahan dikeluarkan pihak kehakiman," tegas Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu.
Justeru itu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mereka adalah dilarang membawa masuk sebarang peranti ke ruangan hukuman.
"Hanya 70 individu dibenarkan memasuki ruangan pelaksanaan hukuman tersebut.
"Mereka ini tidak boleh membawa masuk sebarang alatan komunikasi seperti telefon bimbit, perakam video dan sebagainya.
"Orang ramai diminta mematuhi peraturan itu bagi memastikan pelaksanaan hukuman berjalan lancar," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Mohd Azli berkata, seramai 40 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan untuk mengawal keselamatan sepanjang pelaksanaan hukuman itu.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan kira-kira 40 pegawai dan anggota ketika pelaksanaan hukuman sebatan tersebut.
"Ia sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang provokasi atau tindakan melampaui batasan sehingga mengganggu proses itu," katanya.
Beliau juga meminta orang ramai yang menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan supaya terus beredar keluar dari masjid sebaik selesai menunaikan ibadah itu.
"Saya menyeru kepada para jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat supaya tidak mencetuskan provokasi kepada petugas-petugas mahupun kepada pesalah.
"Tidak perlu berkumpul yang boleh menyebabkan kesesakan di pekarangan masjid. Hukuman telah diputuskan, beri ruang kepada pihak yang bertanggungjawab melaksanakan," katanya.
25 Dec 24
2354
Bersiap siaga Hadapi Gelombang Banjir Seterusnya
KEMAMAN, 25 Disember - Saban tahun kebiasaan akan berlaku empat gelombang banjir dalam edah menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) justeru kerajaan negeri sentiasa dalam keadaan bersiap siaga bagi memastikan bencana itu dapat diurus dalam keadaan baik.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, walau bagaimanapun adalah diharapkan agar rakyat di negeri ini sentiasa bermunajat dan berdoa supaya tidak akan berlaku musibah banjir yang besar dan teruk.
"Semua agensi kerajaan macam biasa dalam keadaan bersiap siaga dan mana-mana barang keperluan yang kurang kita minta tambah.
"Terutama dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya menambah bekalan makanan,"ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika mengadakan lawatan ke kawasan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong yang saban tahun menghadapi musibah banjir, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Hanafiah mewakili pihak kerajaan negeri memohon maaf kerana pada hari pertama gelombang banjir berlaku sedikit masalah dari sudut penyediaan makanan kerana jumlah mangsa banjir di awal kejadian di luar jangkaan.
"Cuma berlaku pada hari pertama ia akan berlaku di mana-mana Pusat Pemindahan Sementara (PPS) apabila menerima 2,000 orang sekali gus.
"Bagi pihak kerajaan negeri saya memohon maaf sehingga ada yang sarapan pagi pada pukul 11 pagi, bila hari kedua dan seterusnya kembali teratur dan semua yang kita jumpa berpuas hati di atas layanan yang baik.
"Alhamdulillah bagi membantu meringankan mangsa banjir, Kerajaan Malaysia melalui Agensi Pengurusan Bencana Banjir Negara (NADMA) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri 1 telah mengumumkan bantuan RM1,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR)," ujarnya.
25 Dec 24
1662