lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

708 Kilogram Sampah Dikumpul di Pantai Tok Kita
708 Kilogram Sampah Dikumpul di Pantai Tok Kita
KUALA TERENGGANU, 30 Disember – Pantai Tok Kita di Chendering kini kembali bersih dan indah selepas Program Pembersihan Pantai Monsun. Program tersebut berjaya mengumpulkan sebanyak 708 kilogram sampah dan botol, hasil limpahan Monsun Timur Laut baru-baru ini. Pengerusi Geng Plastik Ija, Zulkifli Sarji, berkata program pembersihan pantai ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya untuk memastikan keindahan pantai-pantai di Terengganu terpelihara. “Ini adalah program ke-146 yang kami jalankan sepanjang tahun 2024.  “Dengan sokongan ramai, kami telah berjaya mengumpulkan lebih 39 tan sampah dari pesisiran pantai bermula dari Kemaman sehingga ke Besut,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di Pantai Chendering, di sini baru-baru ini. Beliau turut melahirkan harapan agar inisiatif sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan.  “Kami berharap program seperti ini dapat diteruskan untuk memastikan pantai-pantai kita kekal bersih, indah, dan menjadi kebanggaan bersama,” tambahnya lagi. Menurut Zulkifli, program ini bukan sahaja berjaya membersihkan pantai tetapi juga memperkukuh hubungan antara komuniti melalui semangat gotong-royong. “Ia menjadi bukti bahawa usaha kecil yang dilakukan bersama mampu mencipta impak besar terhadap alam sekitar,” jelasnya. Zulkifli turut menjelaskan bahawa acara tersebut adalah hasil kerjasama Geng Plastik Ija bersama Unit 6 Polis FRU Wakaf Tapai, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), SMK Sultan Sulaiman, dan penduduk setempat.  “Kehadiran mereka memberikan inspirasi untuk terus menjaga warisan semula jadi yang berharga ini. “Kini, Pantai Tok Kita kembali berseri, tidak hanya bebas daripada sampah tetapi juga menjadi simbol semangat cinta alam yang dilakukan dengan rendah hati dan tanggungjawab,” ujarnya.
30 Dec 24
491
Banjir Pulih, Sebahagian Penduduk Mukim Tersat Pulang Ke Rumah
Banjir Pulih, Sebahagian Penduduk Mukim Tersat Pulang Ke Rumah
HULU TERENGGANU, 30 Disember – Keadaan banjir di Mukim Tersat menunjukkan sedikit perubahan apabila sebahagian penduduk telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Namun, jalan ke Kampung Kemat masih ditutup kepada semua jenis kenderaan akibat limpahan air yang belum surut sepenuhnya. Menurut pihak berkuasa tempatan, beberapa penduduk di Kampung Kemat masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Kemat kerana rumah mereka masih terjejas. Usaha sedang dilakukan untuk memastikan keselamatan mereka dan membantu mereka kembali ke rumah sebaik keadaan pulih. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail berkata, kerajaan negeri akan terus memberi komitmen untuk  membantu penduduk yang terkesan. "Kerajaan Negeri bersama agensi-agensi berkaitan akan terus memantau situasi banjir dan memberi perhatian terhadap keperluan mangsa dengan memastikan segala bantuan disalurkan segera. “Kami akan memastikan semua mangsa mendapat bantuan sewajarnya, dan usaha pemulihan kawasan akan dilaksanakan segera sebaik keadaan mengizinkan,” katanya ketika meninjau keadaan mangsa banjir di PPS balairaya Kampung Kemat. Dalam masa sama, penduduk diminta untuk terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa. Mereka yang masih berada di PPS dinasihatkan agar bersabar sementara menunggu situasi kembali normal.
30 Dec 24
107
Banjir Di Hulu Terengganu, Jalan Matang - Kuala Telemong Masih Ditutup Untuk Kenderaan Ringan
Banjir Di Hulu Terengganu, Jalan Matang - Kuala Telemong Masih Ditutup Untuk Kenderaan Ringan
HULU TERENGGANU, 30 Disember –Jalan Matang ke Kuala Telemong di Kampung Nibong kekal ditutup kepada kenderaan ringan, menjadikan penduduk sekitar kawasan tersebut terputus hubungan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong,  Mohd Zawawi Ismail, mengesahkan bahawa situasi masih belum selamat untuk kenderaan kecil.  “Air masih berada di atas jalan dan kenderaan ringan belum boleh melaluinya untuk keselamatan. "Banjir ini menyebabkan penduduk berhadapan dengan cabaran besar apabila kenderaan tidak dapat melalui jalan utama, sekali gus menyukarkan urusan harian mereka. “Saya menasihatkan penduduk agar sentiasa berhati-hati, menjauhkan diri daripada kawasan berisiko banjir, dan segera melaporkan sebarang insiden kecemasan kepada pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui pagi tadi. Sementara itu pihak berkuasa kini sedang memantau paras air dengan teliti dan telah mengeluarkan amaran kepada penduduk agar berhati-hati serta mengelakkan perjalanan yang tidak perlu. Penduduk yang terjejas dinasihatkan untuk berpindah ke pusat pemindahan banjir yang telah disediakan oleh pihak berkuasa tempatan. Setakat ini, tiada kejadian yang tidak diingini dilaporkan, namun pihak bomba dan penyelamat serta agensi lain sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Bantuan berupa makanan dan keperluan asas turut dihantar kepada penduduk yang terkandas. Penduduk dinasihatkan mengikuti perkembangan terkini melalui saluran rasmi dan mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan semua pihak.
30 Dec 24
199
Empat Kali Banjir Dalam Tempoh Dua Bulan
Empat Kali Banjir Dalam Tempoh Dua Bulan
HULU TERENGGANU, 30 Disember - Lebih 70 keluarga di PPSK Kampung Menerong terpaksa berhadapan empat gelombang banjir dalam tempoh dua bulan. Salah seorang penduduk terkesan, Nurul Fadilah Che Mat, 41, berkata ia menjadi rutin tetap yang mereka semua perlu hadapi ketika menjelang musim tengkujuh jika hujan lebat berterusan. "Pada bulan November, PPSK dinaiki air dua kali dan pernah  mencecah hampir dua meter. "Kali ketiga pada awal Disember dan semalam yang mana paras air lebih rendah sedikit lebih kurang 1.5 meter," ujarnya ketika ditemui. Dia yang sudah menetap hampir 17 tahun di kawasan penempatan itu berkata walaupun sudah lali tetapi tetap terasa penat dengan situasi berkenaan. "Setiap hujan, hati kami memang berdebar-debar, perlu peka dengan aras Sungai Berang dan Sungai Perih. "Sebab itu, sejak Oktober lagi, kami dah mula menyimpan barang-barang di tempat yang lebih tinggi supaya kerugian dapat dikurangkan," katanya. Sementara itu, Mek Seri Husin , 52, menyifatkan waktu paling meletihkan adalah ketika membersihkan rumah dari sisa banjir. "Hujan berhenti jer dan air mula surut, terus pulang ke rumah untuk basuh apa yang perlu. "Dalam hati berdoa supaya tidak berlaku lagi banjir dalam masa terdekat sebab penat tu tidak boleh nak ceritakan dan perasaan bila tengok keadaan rumah," katanya.
30 Dec 24
138
Kenaikan Tarif Elektrik Tambah Derita Rakyat
Kenaikan Tarif Elektrik Tambah Derita Rakyat
Oleh : Muhammad Izzat Muslim KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Kenaikan tarif elektrik yang mahu dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dibimbangi bakal menambah derita rakyat yang sudah tertekan dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan penjelasan lanjut berikutan kenyataannya berkaitan isu kenaikan tarif elektrik. Katanya, sekiranya kenaikan tarif sebanyak 14 peratus berkuatkuasa pada tahun 2025, ia boleh menggugat usaha kerajaan untuk menstabilkan kos sara hidup rakyat. “Sekalipun data ekonomi dan mata wang Malaysia setakat ini didakwa menunjukkan semakin naik dan sebagainya, tetapi ia tidak ‘merakyat’. “Ia tidak sampai kepada rakyat dalam bentuk harga barang yang lebih murah di mana harga barang tetap naik juga”, ujar beliau. Tambah beliau lagi, kenaikan tarif elektrik tentu akan memberi impak secara langsung kepada isi rumah dan perniagaan.  Akan tetapi, jelasnya kenyataan terkini daripada Perdana Menteri mengatakan bahawa kenaikan tarif elektrik tidak akan membebankan rakyat sangat luar biasa, “Isu kenaikan tarif elektrik sudah lama dibincang semasa kita di dalam Perikatan Nasional (kerajaan), tetapi kita mengambil kira keadaan rakyat dan mengambil Keputusan untuk menangguhkan kenaikan tersebut. “Tetapi apabila Anwar menyebut kenaikan tarif elektrik tidak membebankan rakyat saya rasa kenyataan itu terlalu mudah. “Seolah-olah tidak mengambil kira terhadap kesusahan rakyat yang ada sekarang," jelasnya. Oleh itu tegas beliau, kerajaan perlu memastikan kenaikan tarif ini jika tetap mahu dilaksanakan, ia mestilah berjalan secara berperingkat dan diimbangi dengan sokongan yang sesuai kepada golongan yang memerlukan, seperti melalui subsidi atau bantuan lain. 
30 Dec 24
574
APC Bulanan WDI Pencetus Kecemerlangan
APC Bulanan WDI Pencetus Kecemerlangan
KUALA TERENGGANU, 30 Disember – Anugerah Pekerja Cemerlang (APC) Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman Tahun 2024 menjadi pencetus azam kepada tenaga kerja kerajaan Negeri Terengganu untuk menjadi lebih cemerlang. Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Nara Setia berkata, penyampaian anugerah itu bertujuan bagi meningkatkan mutu dan daya hasil kerja dalam kalangan penjawat awam terutamanya di Wisma Darul Iman untuk menjadi lebih proaktif dan produktif dalam menjalankan tugas. Seramai 20 orang penjawat awam yang terdiri daripada pelbagai jabatan, bahagian dan unit Wisma Darul Iman telah terpilih menjadi penerima APC bulanan WDI bagi bulan Oktober, November dan Disember tahun 2024. Beliau berharap bahawa pemberian anugerah wang berjumlah RM500 dan sijil penghargaan itu bakal menjadi pemangkin dan penanda aras kepada semua penjawat awam di Wisma Darul Iman untuk terus mengekalkan prestasi yang baik. Beliau juga menekankan bahawa keinginan untuk mengubah diri adalah salah satu faktor yang memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan kendiri dan kecemerlangan yang berterusan. “Walaupun dengan sistem baik yang ada di Wisma Darul Iman ini sekalipun, jika kita tidak ingin berubah kita akan kekal berada di takuk yang lama. “Justeru, untuk menjadi cemerlang, kita harus beriltizam untuk berubah dari segala segi dan muhasabah akan kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri. “Untuk mencipta masa depan yang lebih baik, kita harus mencabar diri dengan memikirkan langkah-langkah baru yang lebih efisien dan relevan dalam setiap cabaran kerja seharian. Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Dewan Besar, Wisma Darul Iman semalam.  
30 Dec 24
34
Banjir di DUN Telemong, 116 Mangsa Dipindahkan, Laluan Terjejas
Banjir di DUN Telemong, 116 Mangsa Dipindahkan, Laluan Terjejas
HULU TERENGGANU, 29 Disember – Banjir yang melanda kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong sejak petang tadi telah menyebabkan 29 keluarga yang melibatkan 116 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS). Hujan lebat berterusan sejak semalam juga telah mengakibatkan limpahan air di beberapa sungai utama, sekaligus menenggelamkan kawasan rendah di tiga mukim yang terjejas iaitu Hulu Telemong, Jenagor, dan Tersat. Beberapa laluan utama turut ditutup akibat paras air yang naik mendadak, termasuk Jalan Kampung Basung, Kuala Ping, Felcra Bukit Kapah, Bukit Gemuruh, dan Kuala Menjing. Penutupan jalan ini menyebabkan pergerakan penduduk terjejas teruk, terutamanya untuk mendapatkan bekalan asas dan bantuan kecemasan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Zawawi Ismail, telah turun padang meninjau keadaan banjir di kawasan yang terjejas. Dalam lawatannya, beliau menyatakan komitmen untuk memastikan semua mangsa banjir mendapat bantuan yang diperlukan secepat mungkin. “Kami sedang bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan pihak bomba untuk memastikan kebajikan mangsa banjir dijaga. "Laluan yang terputus juga sedang dipantau untuk tindakan lanjut,” kata beliau ketika ditemui di PPS. Setakat ini, keadaan cuaca masih tidak menentu, dan penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan untuk terus berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa. Mereka juga diingatkan untuk segera berpindah ke PPS sekiranya keadaan semakin buruk. Pihak berkuasa tempatan terus memantau paras air di kawasan berisiko, dan maklumat terkini mengenai banjir akan disalurkan dari semasa ke semasa.
29 Dec 24
259
Banjir Dijangka Melanda Hulu Terengganu Mulai 29 Disember
Banjir Dijangka Melanda Hulu Terengganu Mulai 29 Disember
HULU TERENGGANU, 29 Disember 2024 – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)  mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan banjir yang dijangka melanda kawasan Hulu Terengganu bermula hari ini, 29 Disember 2024, pada jam 6:00 petang hingga 31 Disember 2024, jam 12:00 tengah malam. Penduduk di kawasan yang berisiko dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga. Orang ramai disarankan untuk memantau keadaan cuaca serta mendapatkan maklumat terkini melalui Portal Bencana NADMA dan saluran media rasmi. Menurut NADMA, situasi ini mungkin berpunca daripada hujan lebat yang berterusan, yang berpotensi menyebabkan limpahan air sungai dan banjir kilat di beberapa kawasan rendah. Pasukan penyelamat dan bantuan kecemasan telah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
29 Dec 24
273
'Bah' Gelombang Ketiga Landa Hulu Terengganu, Dua PPS Dibuka
'Bah' Gelombang Ketiga Landa Hulu Terengganu, Dua PPS Dibuka
KUALA TERENGGANU, 29 Disember - Hulu Terengganu menjadi daerah pertama dilanda banjir pada gelombang ketiga Monsun Timur Laut (MTL) di negeri ini susulan hujan lebat berterusan sejak semalam. Gelombang 'bah' kali ini menyaksikan dua  pusat pemindahan sementara (PPS) mula dibuka bermula jam 6 petang. Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, seramai 48 mangsa daripada 15 keluarga ditempatkan di PPS Kampung Lubok Periuk dan Balairaya Kampung Peneh. Berdasarkan laporan https://publicinfobanjir.water.gov.my/, setakat jam 5.30 petang Ahad, Sg. Telemong di Kuala Ping (F1), menunjukan aras air sungai 19.95m iaitu melebihi aras bahaya sebanyak 0.25m. Sementara itu, Sg. Berang di Kg. Menerong, aras air sungai adalah 25.33m iaitu melebihi aras bahaya sebanyak 0.83m.  
29 Dec 24
216
Kes Khalwat di Terengganu Turun Mendadak
Kes Khalwat di Terengganu Turun Mendadak
KUALA TERENGGANU, 29 Disember – Kes tangkapan khalwat di negeri Terengganu antara tahun 2019 hingga 2023 telah menunjukkan penurunan yang sangat ketara.  Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kes-kes khalwat yang direkodkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) pada tempoh tersebut menunjukkan trend pengurangan positif. Katanya, dalam tempoh lima tahun terbabit, kes tangkapan khalwat turun kepada 184 kes tahun berbanding 359 kes pada tahun 2019.  “Pada 2019 Terengganu mencatakan 359 kes, tahun 2020 ia berkurang kepada 258 kes, 2021 turun lagi kepada 193 kes, 186 kes pada 2022 dan pada tahun 2023 hanya 184 kes. “Penurunan ini adalah hasil daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya menjaga akhlak dan mematuhi peraturan agama, selain daripada tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan oleh JHEAT. "Selain daripada penguatkuasaan undang-undang, kejayaan ini juga tidak lepas daripada usaha bersama pihak berwajib, institusi pendidikan dan masyarakat dalam mendidik dan membentuk generasi yang lebih bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini. Dr. Muhammad Khalil. Dr. Muhammad Khalil juga berkata, usaha pihaknya meningkatkan program-program dakwah serta pendekatan yang lebih holistik untuk menangani isu-isu sosial membuahkan hasil. Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun kes khalwat semakin berkurang, usaha untuk memastikan masyarakat sentiasa berpegang kepada nilai-nilai agama perlu diteruskan.  "Terengganu akan terus mempergiatkan kempen pencegahan dan program kesedaran dalam usaha membentuk masyarakat yang lebih sejahtera dan terhindar daripada perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam. “Termasuk pada Jumaat lalu kita melaksanakan hukuman sebat syariah terhadap pesalah khalwat di depan 70 saksi bagi memberi pengajaran dan mendidik masyarakat agar tidak melakukan apa yang dilarang dalam agama,” tegasnya.
29 Dec 24
3860