Artikel "Semasa" Terkini
Terengganu Rekod 7.8 Juta Pelancong Pada 2024
KUALA TERENGGANU, 31 Disember – Statistik pelancongan di Terengganu bagi tahun 2024 menunjukkan prestasi yang amat membanggakan, apabila jumlah kedatangan pelancong melebihi sasaran awal dengan angka yang mencecah 7.8 juta orang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris, menyatakan bahawa sambutan terhadap pelancong yang datang ke negeri ini tahun ini adalah amat memberangsangkan.
“Alhamdulillah, pada tahun ini kita berjaya melepasi sasaran awal, yang pada mulanya dijangka sebanyak 3.5 juta, kini mencatatkan lebih 7.8 juta pelancong.
"Namun, untuk sasaran tahun depan, kami masih belum menetapkan angka pasti kerana kami sedang menguji satu formula baru yang dijangka memberikan impak yang lebih besar,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada media dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KTBM) 2024/2025 di Mayang Mall, semalam.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman.
Dalam pada itu, Razali turut mengumumkan bahawa pihaknya akan merangka formula baharu untuk mengukur pulangan pelaburan (ROI) daripada kehadiran pelancong.
Katanya, ia termasuk menilai perbelanjaan mereka, serta mengenal pasti latar belakang demografik pengunjung, sama ada daripada golongan berpendapatan tinggi atau rendah.
“Kami sedang mencari kaedah baru untuk menilai ROI berdasarkan kehadiran pelancong sebanyak 7.8 juta.
"Kami ingin melihat berapa banyak yang dibelanjakan, dan mengetahui jenis pelancong yang datang ke sini,” katanya.
Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa semua program pelancongan akan dikendalikan oleh pegawai daerah tanpa perlu melibatkan pihak ketiga.
Menurutnya lagi, setiap program di daerah-daerah yang berkenaan akan dipantau oleh pegawai daerahnya sebagai 'person in charge'.
"Setiap program utama dan acara kecil yang dianjurkan di daerah akan diuruskan oleh pegawai daerah masing-masing," katanya.
Tambah beliau, salah satu faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong ke Terengganu adalah penganjuran acara-acara bermusim di setiap daerah.
"Sebagai contoh, Festival Cabaran Monsun Perahu Panjang Tanjung Sabtu 2024 baru-baru ini berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya.
"Walaupun beberapa program baharu belum dimasukkan dalam senarai acara pelancongan 2025, acara-acara bermusim yang mendapat sambutan hangat pada tahun 2024 dijangka akan diteruskan dan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan tahun depan, sebagai usaha untuk terus meningkatkan jumlah pelancong ke negeri ini," katanya.
01 Jan 25
453
15,000 Ribu Rakyat Terengganu Bermunajat di Malam Tahun Baharu
KUALA NERUS, 1 Januari - Hampir 15,000 orang ramai menyambut ketibaan tahun baru 2025 di Malam Munajat Terengganu yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan pelbagai pengisian yang sarat program keagamaan.
Yang Dipertua Dun, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, program itu bagi memastikan perjalanan dalam menempuh tahun 2025 akan dapat dilalui dengan baik oleh setiap rakyat.
"Malam ini, kita adakan munajat sempena memasuki tahun baharu 2025, kita sama-sama berdoa semoga pada tahun mendatang lebih banyak kebaikan yang kita boleh usahakan.
"Semoga diberikan keberkatan kepada negeri dan rakyat Terengganu,"ujarnya ketika berucap merasmikan program Malam Munajat "Indahnya Hidup Bersyariat" di Dewan Arena, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, semalam.
Mengulas lebih lanjut, beliau juga berkata, ia menjadi impian dan harapan setiap rakyat agar tahun 2025 ini, Malaysia berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding sebelum ini.
"Kita juga berhajat agar Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita untuk terus istiqamah memperjuangkan agama-Nya, insya-Allah," ujarnya.
01 Jan 25
532
'Indahnya Hidup Bersyariat' Pugar Pemerkasaan Syariah di Terengganu
KUALA NERUS, 1 Januari - Tema 'Indahnya Hidup Bersyariat' yang diangkat oleh kerajaan negeri merupakan salah satu daripada proses pendidikan dan kempen yang dijalankan dalam memugarkan lagi pemerkasaan syariah di Terengganu.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, proses tersebut bagi menyedarkan masyarakat ke arah kehidupan mengikut syariah akan dilaksanakan secara berterusan dengan penuh kesabaran dan ketekunan.
"Dalam masa yang sama, pada keadaan yang tertentu, kerajaan negeri akan menggunakan peruntukan perundangan yang ada untuk melakukan penguatkuasaan sebagai 'amar makruh nahi mungkar'.
"Sebetulnya, masih terlalu banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan. Memahami 'waqie' dan 'aulawiyyat', kerajaan negeri mengambil pendekatan secara tadaruj (berperingkat-peringkat) bermula dengan kesedaran dan pendidikan yang berterusan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Munajat Terengganu "Indahnya Hidup Bersyariat", di Dewan Arena Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, semalam.
Tambah Mohd Nor, memperkasakan syariat Islam di Terengganu secara khsusnya perlu berhadapan dengan cabaran fahaman liberal dan sekular yang meresap masuk dalam pemikiran umat Islam yang telah memisahkan kehidupan daripada agama.
"Agama atau ibadat hanya dilihat pada hal solat, puasa, zakat dan haji sahaja.
"Sekularisme inilah yang perlu dihakis dalam benak pemikiran umat Islam. Lebih mencabar, kita terpaksa bertempur dengan fahaman Islam Liberal yang merungkai satu demi satu tiang asas dalam agama.
"Agenda mereka untuk melemahkan akidah umat Islam dengan pelbagai propaganda dan persepsi tidak benar,"katanya.
Tegasnya, apa jua cabaran yang datang kerajaan negeri tidak akan berganjak dari usaha untuk memperkasakan syariat di negeri ini dengan mengajak pemimpin dan rakyat seluruhnya untuk tunduk dan taat kepada yang Maha Esa.
"Syarat untuk negeri kita diberkati Allah adalah dengan warganya beriman dan bertakwa,"ucap beliau.
01 Jan 25
211
Karnival Beautiful Terengganu Malaysia Sasarkan 100,000 Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 31 Disember – Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) menyasarkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung tempatan dan luar Terengganu untuk menghadiri Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) 2024/2025 bermula pada 29 Januari sehingga 1 Disember 2025.
KBTM 2024/2025 yang sedang berlangsung di Mayang Mall, Kuala Terengganu telah disenaraikan sebagai salah satu daripada 25 acara ikonik dalam Kalendar Acara Tahunan (COE) 2025 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu.
Acara tersebut dijangka menjadi pembuka tirai bagi merancakkan industri pelancongan negeri pada tahun hadapan.
Sepanjang empat hari penganjuran, KBTM menawarkan lebih 30 aktiviti menarik termasuk pelancaran Kalendar Acara Tahunan (COE) 2025, serta lagu tema terbaru Terengganu, "Dok Rilek".
Selain itu, pengunjung juga dapat menyaksikan persembahan Tunas SUKTRA, pertandingan mewarna, kuiz Kahoot yang disediakan oleh Pusat Sains dan Kreativiti Kuala Terengganu, serta pelbagai aktiviti interaktif lain.
Karnival itu juga menyajikan persembahan seni dan budaya tradisional Terengganu seperti angklung, kertuk ulu, permainan rakyat, dan ‘busking’.
Program keagamaan turut diadakan untuk merayakan warisan budaya negeri. Selain itu, 15 gerai jualan makanan turut disediakan, menjanjikan pengalaman gastronomi yang memukau pengunjung.
Sebanyak lapan daerah dan beberapa agensi swasta turut terlibat dalam karnival ini, menyediakan ruang pameran yang menawarkan aktiviti kreatif, berinformasi, dan interaktif.
Antara agensi-agensi yang mengambil bahagian termasuk Kampung Budaya Terengganu, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), Muzium Negeri Terengganu, Tourism Malaysia Wilayah Timur, dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).
Penganjuran KBTM dijangka memberi impak ekonomi positif kepada komuniti tempatan dengan memperluaskan rantaian ekonomi dan meningkatkan kesedaran tentang keunikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama kepada lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.
Salah satu tarikan utama karnival ini adalah pertandingan lagu "Terengganu Dok Rilek" yang telah menerima penyertaan daripada lebih 30 individu dari seluruh negara.
31 Dec 24
892
Peniaga Santan Terharu Terima Sumbangan
KUALA TERENGGANU, 31 Disember – Seorang peniaga santan, Rozimah Abdullah, 47 tahun, dari Kg Gong Kekabu, Bukit Payung, tidak dapat menahan perasaan sebak apabila menerima sumbangan berharga melalui Program Komuniti Usahawan hari ini.
Bantuan yang diterima dalam bentuk mesin proses santan, kereta tolak dan beberapa peralatan perniagaan lain diharapkan dapat memberikan dorongan baru untuk memperkasa perniagaannya yang dimulakan pada Mac 2024.
Rozimah, yang memulakan perniagaannya tanpa pengalaman, berkongsi rasa syukur dan terima kasih atas bantuan yang diterima.
“Saya sangat terharu dengan kehadiran Yang Berhormat (YB) Ariffin dan pegawai Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) pada hari ini.
“Saya tidak menyangka akan menerima bantuan ini, apatah lagi dalam keadaan yang baru memulakan perniagaan,” ujarnya dengan nada penuh emosi.
Beliau juga meluahkan rasa terima kasih yang mendalam kepada kerajaan negeri atas keprihatinan yang diberikan kepada peniaga kecil sepertinya.
“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada YB dan kerajaan negeri.
“Semoga mereka dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan yang baik, dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Ibu kepada tiga orang anak itu memulakan perniagaan santan di Bukit Payung sebelum berpindah ke halaman rumahnya pada Mei 2024.
Walaupun tanpa pengalaman dan menghadapi pelbagai cabaran, dia tetap bersemangat untuk terus menjalankan perniagaan demi masa depan keluarganya.
Bantuan yang diterimanya hari ini diharap dapat meringankan beban dan memberi impak positif dalam memperkembangkan lagi perniagaannya.
31 Dec 24
246
Lombong REE : Kerajaan Negeri Perkemas SOP Elak Pencerobohan Haram
KUALA TERENGGANU, 31 Disember - Kerajaan negeri sedang memperkemas prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani kemungkinan kes kecurian sumber hutan dan pemburuan haram apabila perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negeri ini bermula kelak.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato' Razali Idris berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku pencerobohan susulan adanya akses jalan ke lokasi perlombongan.
"Ketika ini projek perlombongan REE di negeri ini masih di peringkat eksplorasi serta persampelan.
"Jadi ada kebarangkalian (pencerobohan) apabila dah ada akses jalan ke kawasan perlombongan, pemburu atau pembalak haram boleh masuk," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Beautiful Terengganu Malaysia 2024/2025 dan Pelancaran Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan serta Pelancaran Lagu Tranung Dok Rilek di Mayang Mall, hari ini.
Bagaimanapun tegas beliau, setakat ini tiada kes pencerobohan hutan dan pemburuan haram dilaporkan berlaku.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan tidak bercadang menubuhkan jawatankuasa khas baru, sebaliknya jawatankuasa khas sedia ada akan diperkemas dan ditingkatkan apabila perlombongan REE mula beroperasi.
"Jawatankuasa khas dianggotai Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sudah diwujudkan bertujuan mengaktifkan kekerapan rondaan, termasuk di kawasan perlombongan REE.
"Kita sudah mempunyai maklumat jumlah keseluruhan harimau dan gajah yang berada di hutan simpan di negeri ini dan jika berlaku kehilangan, tindakan mengesan akan segera dilakukan," katanya.
31 Dec 24
130
Terengganu Salur RM2 Juta Bantu Usahawan Kecil Tahun 2024
KUALA TERENGGANU, 1 Januari – Kerajaan negeri terus memberikan komitmen tinggi dalam menyokong usahawan kecil dengan menyalurkan hampir RM2 juta sepanjang tahun 2024 melalui pelbagai inisiatif.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi, dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman, berkata kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) merancang memperluas lagi bantuan kepada usahawan pada tahun 2025.
Menurutnya, selain pinjaman melalui Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS), yang menawarkan pinjaman sehingga RM30,000 bagi setiap penerima, kerajaan juga bercadang menghidupkan semula geran perniagaan bergantung kepada kemampuan kewangan negeri.
“Pada tahun 2024, hampir RM2 juta telah dibelanjakan melalui TUGAS, manakala tahun sebelumnya jumlah itu mencecah RM3 juta, pernah juga kami salurkan hingga RM6 juta dalam setahun.
“Kami berharap inisiatif ini dapat diteruskan dengan lebih baik pada tahun hadapan,” kata beliau kepada pemberita selepas selesai Program Komuniti Usahawan, di sini semalam.
Dalam program tersebut, bantuan peralatan perniagaan bernilai RM15,000 telah diagihkan kepada empat usahawan terpilih di Kampung (Kg) Padang Mengkuang, Kg Pak Madah, dan kawasan sekitar Bukit Payung.
“Kerajaan negeri amat prihatin terhadap cabaran yang dihadapi oleh usahawan kecil.
“Hari ini, setiap penerima menerima bantuan bernilai antara RM1,000 hingga RM3,000, bergantung kepada keperluan masing-masing,” katanya.
Menurut beliau, bantuan tersebut diberikan dalam bentuk barangan seperti mesin kukur kelapa, alatan membuat kuih-muih, dan peralatan lain yang relevan dengan jenis perniagaan penerima.
“Langkah ini bertujuan meringankan beban para usahawan, khususnya mereka yang menghadapi cabaran seperti modal terhad atau kerosakan aset.
“Bantuan ini bukan sekadar sumbangan, tetapi satu usaha untuk memperkasakan komuniti perniagaan secara menyeluruh.
“Kami mahu mereka terus maju dan mampu berdaya saing,” jelasnya.
Dalam masa sama, kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan Pusat Khidmat Masyarakat(PKM) dan wakil rakyat untuk memastikan sumbangan diagihkan secara adil di semua 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu.
“Setiap kawasan akan ditentukan jumlah penerima berdasarkan keperluan, agar bantuan ini benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.
“Walaupun menghadapi kekangan masa, kami tetap komited untuk memberikan yang terbaik demi kelangsungan usahawan kecil di negeri ini,” ujarnya.
31 Dec 24
310
Sebat di Khalayak: Mufti Wilayah Gesa Semua Pihak Hormati Terengganu
KUALA TERENGGANU, 31 Disember – Mufti Wilayah Persekutuan menggesa semua pihak agar menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu yang melaksanakan hukuman sebatan syariah di khalayak ramai terhadap pesalah khalwat berulang pada Jumaat lalu.
Prof. Madya Datuk Dr. Luqman Abdullah menegaskan, orang ramai perlu berhati-hati sebelum memberikan pendapat kerana dikhuatiri mengandungi komentar tanpa asas terhadap pelaksanaan hukuman tersebut.
Beliau berkata, pelaksanaan sebatan di bawah Mahkamah Syariah di Malaysia telah mengambil kira semua aspek termasuk syarak.
“Sebagai contoh, di Wilayah Persekutuan, berdasarkan Seksyen 125 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560), dinyatakan syarat-syarat yang mesti dipenuhi berkaitan alat sebatan, kaedah dan bahagian badan yang boleh disebat.
“Isu yang dipolemikkan ialah pelaksanaan sebat di Negeri Terengganu yang dilaksanakan di khalayak ramai. Ia dilaksanakan berdasarkan bidang kuasa Negeri Terengganu, iaitu mengikut prosedur dan undang-undang seperti yang diperuntukkan oleh sub-seksyen 125(3)(c) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Terengganu 2001. Enakmen ini memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mengarahkan hukuman sebat dilaksanakan di mana-mana tempat yang bersesuaian atau di lokasi yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.
“Memandangkan hukuman yang dijalankan adalah hukuman takzir, keputusan pemerintah terhadap pelaksanaan hukuman tersebut perlulah dihormati. Dalam kes ini, hukuman tersebut telah dilaksanakan di sebuah dewan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam pelaksanaan hukuman tersebut, pihak mahkamah hanya membenarkan seramai 70 orang untuk menyaksikan hukuman tanpa dibenarkan membawa sebarang alat komunikasi atau perakam video.
“Ini juga selaras dengan SOP Pelaksanaan Hukuman Sebatan di Luar Penjara yang menetapkan bahawa kehadiran adalah tertakluk kepada perintah mahkamah,” jelasnya.
Tambah Dr. Luqman, isu ini pada hakikatnya bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan pada tahun 2018, Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Terengganu pernah menjatuhkan hukuman sebatan terhadap pesalah yang melakukan hubungan sejenis.
“Hukuman tersebut dilaksanakan di sebuah dewan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu dan disaksikan oleh lebih 100 orang,” katanya.
31 Dec 24
1855
MBKT Cadang Wujudkan Lampu Isyarat Pintar Atasi Kesesakan Lalu Lintas
KUALA TERENGGANU, 31 Disember - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bercadang untuk mewujudkan Lampu Isyarat pintar bagi mengawal kesesakan lalu lintas yang makin kerap berlaku pada akhir-akhir ini apabila Terengganu menjadi tumpuan ramai pelancong.
Datuk Bandar, Dato' Rosli Latif berkata, untuk peringkat permulaan pihaknya bercadang untuk mewujudkan enam lampu isyarat dahulu.
Ujarnya, lampu isyarat itu merupakan salah satu elemen dalam pelan tindakan menjadikan Kuala Terengganu sebagai 'Smart City'.
"Perkara ini telah dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah semasa melancarkan pelan tindakan 'Smart City Negeri Terengganu' dan akan dibuat mengikut keutamaan rakyat.
"Sekarang ini kita berhadapan isu trafik, jadi kita akan mulakan dengan 'smart traffic light' yang telah disiapkan dokumen ,tunggu iklan untuk pengambilan tender sahaja,"ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa sidang medianya selepas menghadiri Masli pelancaran Program Cabutan Bertuah Cukai Taksiran 2025 dan Penyampaian Hadiah Pemenang Cabutan Taksiran, di Menara MBKT, Tingkat 6, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut, Rosli berkata, lampu isyarat pintar itu akan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dengan aliran trafik itu akan dikawal dari menara MBKT.
"Bagi mengatasi kesesakan lalu lintas yang berlaku sekarang kita tidak berniat untuk ubah laluan untuk menjadikan laluan di Jambatan Angkat satu hala.
"Kerana untuk melakukan perkara tersebut perlu juga mengambil kira parameter perniagaan supaya ia tidak akan mendatangkan kesan kepada peniaga-peniaga yang merupakan rakyat negeri Terengganu sendiri,"ujarnya.
31 Dec 24
1785
'Signature' Tanjung Sabtu Diangkat Ke Pentas Nasional
KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Acara tradisi masyarakat sekitar yang sinonim dengan Tanjung Sabtu iaitu perlumbaan perahu panjang yang berakhir Sabtu, bakal diangkat sebagai acara ikonik dalam kalendar pelancongan Terengganu pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Dato' Razali Idris berkata, kesungguhan ditunjukkan penganjur yang melibatkan pihak keselamatan, pejabat daerah, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan penduduk kampung berpotensi membawa program itu ke peringkat lebih berprestij.
"Dalam program bertaraf antarabangsa atau nasional, saya tidak mahu ambil rancangan daripada kerajaan negeri, sebaliknya kita mahukan sokongan daripada rakyat (dalam menjayakannya). Sebab itu saya tanya tadi kepada masyarakat di sini sama ada ingin pergi kepada peringkat nasional atau antarabangsa?.
"Melihat kepada semangat mereka, saya ambil jalan tengah supaya untuk tahun 2025, kita angkat perlumbaan perahu panjang di Tanjung Sabtu ini sebagai acara nasional.
"Dari situ, kerajaan negeri di bawah Jabatan Pelancongan Terengganu akan ambil bahagian untuk bekerjasama dengan pasukan penganjur dan kita akan bincang dari sudut promosi setahun sebelum penganjurannya. Kalau tahun depan berjaya, maka kita akan angkat lagi bertaraf antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutup Festival Cabaran Monsun Perahu Panjang Tanjung Sabtu 2024, pada Sabtu yang menyaksikan kehadrian lebih 10,000 pengunjung sepanjang dua hari festival berlangsung.
Hadir sama ialah ADUN Buluh Gading, Ridzuan Hashim, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Azran Amin Mazlan bersama pihak berkuasa terlibat iaitu Bomba, Polis dan Agensi Pertahanan Maritim Malaysia (Maritim).
Tambah Razali, acara tersebut bakal dijadikan penutup tahunan serta diangkat sebagai salah satu aktiviti pelancongan ketika Monsun Timur Laut (MTL) di Terengganu.
"Kita sebenarnya sudah masukkan dalam Kalendar Pelancongan Terengganu, cuma belum diangkat sebagai 'signature event', selepas ini akan diangkat sebagai acara ikonik bagi bulan Disember sebagi penutup aktiviti pelancongan tahunan.
"Kerajaan negeri ingin angkat 'signature event' ini untuk melihat orang kampung sekitar dapat cari makan, tidaklah orang kata musim tengkujuh perlu tutup perniagaan di Terengganu.
"Cuma, kadang-kadang mari musibah (banjir), jadi kena hadapi walaupun bukan tiap-tiap tahun dan kalau ada kesungguhan Tourism Terengganu akan buat perancangan, promosi dan sebagainya," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, lebih tujuh juta kehadiran pengunjung ke Terengganu telah direkodkan pada hujung tahun ini.
"Cuma, pelancong yang hadir banyak datang dengan kereta, dengan penerbangan kurang kerana mereka lebih suka 'ride', 'drive' sejauh 200-300 kilometer juga dengan bas. Homestay (sering) penuh, hotel melebihi sasaran bilangan tempahan.
"Pendapatan pelancongan walaupun menjadi kedua terbesar selepas industri minyak dan gas, tetapi kerajaan negeri hanya dapat melalui cukai sekitar 15 peratus dan yang lainnya terus kepada pemain industri.
"Namun sekurang-kurangnya dalam kekangan ekonomi dalam tekanan kerajaan Persekutuan ini, kita berjaya juga memberi peluang perniagaan dan pendapatan kepada rakyat negeri ini," tambahnya.
30 Dec 24
153