lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Armada JAK FC  Ke Final Piala Parlimen Hulu Terengganu 2024
Armada JAK FC  Ke Final Piala Parlimen Hulu Terengganu 2024
Oleh : Muhammad Aqil Bin Mat Ali HULU TERENGGANU, 4 Januari – Armada JAK FC berjaya melayakkan diri ke pentas akhir Piala Parlimen Hulu Terengganu 2024 selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas DPCH FC dalam perlawanan separuh akhir kedua yang berlangsung sengit malam tadi. Kejayaan itu melakar sejarah bagi Armada JAK FC, yang kini selangkah lagi untuk merebut gelaran juara dalam kejohanan tersebut. Jaringan tunggal yang membezakan kedua-dua pasukan telah dijaringkan oleh Armada JAK FC, sekaligus menyingkirkan DPCH FC dan memastikan langkah mereka ke peringkat akhir.  Aksi kedua-dua pasukan di padang nyata mendebarkan dengan DPCH FC menunjukkan semangat juang yang tinggi sehingga ke wisel penamat, namun gagal menemui gol penyamaan. Mereka akan berdepan cabaran sengit daripada pemenang separuh akhir pertama yang juga sedang bersiap sedia untuk perlawanan akhir yang bakal menjanjikan aksi mendebarkan nanti.
05 Jan 25
545
500 Peserta Konvoi Mega Ride Ukhwah Meriahkan Hulu Terengganu
500 Peserta Konvoi Mega Ride Ukhwah Meriahkan Hulu Terengganu
Oleh: Muhammad Aqil Bin Mat Ali HULU TERENGGANU, 4 Januari – Deruman lebih  500 buah motosikal berjaya membuka tirai tahun baharu melalui Program Konvoi Mega Ride Ukhwah Terengganu 2025 anjuran Persatuan Roda Amal Variasi Malaysia (RAVM) di sini, semalam.   Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato Rosol Wahid berkata program yang bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan komuniti permotoran itu juga  berjaya menarik kehadiran  ahli dari pelbagai kelab motosikal di Malaysia. “Saya rasa bangga atas inisiatif RAVM dalam menyatukan pelbagai lapisan masyarakat melalui aktiviti bermotor yang disertai oleh golongan muda dan dewasa.  “Ini termasuk  pemilihan lokasi program di Taman Strawberi Madrasah Darul Zahra yang turut memperkenalkan keindahan kawasan Hulu Terengganu sebagai destinasi pelancongan unik,”ujarnya. Antara aktiviti yang dianjurkan sepanjang program termasuk sesi tazkirah ringkas, acara santai bersama keluarga, dan lawatan ke kawasan sekitar bagi mempromosikan keindahan serta keunikan Hulu Terengganu. Sementara itu, Presiden RAVM, Mohd Shahrul Azman Johari dalam satu kenyataan berkata  bahawa program itu bukan sahaja bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah tetapi juga memupuk kesedaran tentang pentingnya menjaga keselamatan jalan raya dalam kalangan komuniti permotoran. “Melalui aktiviti seperti ini, kami berharap dapat menyemarakkan semangat kerjasama dan persaudaraan di samping menyampaikan mesej positif kepada masyarakat mengenai gaya hidup bermotor yang bertanggungjawab,” katanya. Program julung kali itu berjaya mencipta suasana penuh harmoni dan ceria, sekaligus meletakkan Hulu Terengganu sebagai tumpuan aktiviti komuniti permotoran pada awal tahun 2025.  
05 Jan 25
1258
Penyu Agar 60Kg Ditemui Terdampar
Penyu Agar 60Kg Ditemui Terdampar
KUALA NERUS, 5 Januari - Seekor penyu agar dianggarkan seberat 60 kilogram (kg) ditemui telah terdampar di Pantai Seberang Takir, di sini, semalam. Bangkai penyu yang hampir reput itu telah dijumpai oleh seorang peserta yang terlibat dalam program pembersihan pantai di Pantai Seberang Takir. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata tragedi itu membawa peringatan tentang pentingnya menjaga kebersihan pantai dan berusaha melindungi hidupan laut itu yang menjadi ikonik pelancongan negeri. Jelasnya, pencemaran plastik di laut adalah faktor kepada kematian reptilia berkenaan selain disebabkan oleh pukat tunda serta perbuatan khianat membunuh ibu penyu untuk mendapatkan telur. "Kita akan bendung dan mencari langkah bagi memastikan 'ikonik' negeri Terengganu ini terus terpelihara tambahan pula penyu yang ada skearang ini adalah dari jenis penyu agar setelah penyu belimbing telah tiada akibat telah pupus. "Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Perikanan untuk buat 'enforcement' kepada pukat-pukat nelayan yang mematikan penyu. "Ini memberi  mesej serta gambaran yang jelas bahawa kerajaan negeri sangat prihatin serta serius bagi memastikan penyu di negeri ini akan terus terpelihara," ujarnya. Beliau berkata demikian semasa ditemui pihak media, semasa menghadiri Program Bersih Pantai Monsun Terengganu, di sini, semalam. Dalam pada itu, Razali menasihatkan orang ramai agar bertanggungjawab memelihara kebersihan laut dan pantai. "Saya menyeru semua pihak supaya tidak membuang sampah ke laut, menghormati habitat semula jadi kehidupan marin dan menyokong usaha konservasi. "Bersama-sama kita mampu memastikan keindahan alam sekitar ini kekal untuk generasi akan datang," tegasnya.
05 Jan 25
861
BPIM Didik Rakyat Capai Kesempurnaan Solat
BPIM Didik Rakyat Capai Kesempurnaan Solat
KUALA TERENGGANU, 3 Januari - Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM) yang merupakan penjenamaan semula program Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) bermatlamat untuk terus mendidik dan memotivasikan rakyat ke arah mencapai kesempurnaan mengerjakan rukun Islam kedua itu. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, BPIM juga bagi menyemarakkan kesedaran, kepekaan dan solidariti umat Islam terhadap tanah suci Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa tempat berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj. "Bertepatan dengan itu, saya ingin mengajak semua rakyat di negeri ini agar menghayati dan mengambil peluang limpahan keberkatan bulan Rejab ini dalam mengetuk pintu hati kita semua dalam menuju 'sayyidus syuhur' (penghulu segala bulan) iaitu Ramadan al-Mubarak. "Dalam meniti bulan Rejab yang penuh keberkatan, kerajaan negeri melancarkan BPIM yang didalamnya penuh dengan takwim pengisian dan aktiviti melibatkan semua peringkat dan segenap lapisan masyarakat," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan Program BPIM Peringkat Negeri Terengganu, di Masjid Al-Ikhlas, Kampung Banggol Tuan Muda, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut, Khalil berkata sejajar dengan 'Indahnya Hidup Bersyariat' yang diangkat pada penggal ini adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan pembudayaan dan penghayatan terhadap pensyariatan kewajipan solat. "Program yang dilaksanakan seperti hari ini turut akan berulang dilaksanakan di setiap daerah termasuk di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam mengambarkan bagaimana kerajaan negeri begitu komited untuk mencapai matlamat Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera. "Sudah semestinya faktor utama pencapaiannya kepada kesempurnaan solat rakyat," jelasnya.  
03 Jan 25
165
Hospital KMIKT Terima Anugerah Majikan Terbaik KWSP Terengganu 2024
Hospital KMIKT Terima Anugerah Majikan Terbaik KWSP Terengganu 2024
KUALA TERENGGANU, 3 Januari – Hospital KMI Kuala Terengganu (KMIKT) sekali lagi mengukir kejayaan apabila dinobatkan sebagai Majikan Terbaik KWSP Terengganu 2024.  Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata anugerah itu adalah pencapaian luar biasa yang mencerminkan komitmen KMIKT terhadap kebajikan pekerja serta amalan pengurusan sumber manusia yang cemerlang."Pengiktirafan ini menonjolkan dedikasi KMIKT dalam menyediakan persekitaran kerja yang kondusif, harmoni, dan produktif kepada semua warga kerja.   "Antara faktor utama yang menyumbang kepada pencapaian ini adalah pelaksanaan inisiatif kebajikan pekerja, pematuhan pembayaran caruman KWSP yang konsisten, dan sokongan terhadap pembangunan profesional kakitangan," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.Sementara itu, pihak pengurusan KMIKT dalam kenyataan rasmi menyatakan bahawa pencapaian ini adalah hasil usaha kolektif seluruh warga kerja hospital yang sentiasa menjunjung nilai profesionalisme dan keprihatinan terhadap kesejahteraan kakitangan.   "Kami percaya, pekerja yang gembira dan dihargai akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat," katanya.   Pengurusan KMIKT turut menegaskan bahawa anugerah ini akan dimanfaatkan untuk terus memperkukuh jenama hospital sebagai organisasi yang mengutamakan keseimbangan antara pencapaian korporat dan kebajikan pekerja.
03 Jan 25
877
ADUN, Komuniti Kijal Bantu Warga Emas Diuji Strok
ADUN, Komuniti Kijal Bantu Warga Emas Diuji Strok
KEMAMAN, 2 Januari – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris bersama komuniti setempat berganding bahu membantu seorang warga emas, Yaacob Chik, 82, yang diuji dengan penyakit strok sejak tiga bulan lalu.   Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Payoh, Yahya Ismail berkata bantuan diberikan termasuk katil hospital boleh laras bagi memudahkan penjagaan harian beliau.  Katanya, usaha tersebut turut melibatkan kerjasama erat antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan JPKK Kampung Payoh. “Kami memahami kesukaran yang dialami oleh saudara Yaacob dan keluarga dan diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban mereka," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada hari ini.   Yahya berkata, Yaacob merupakan seorang bekas penoreh getah yang gigih menyara keluarganya suatu ketika dahulu. Namun ujarnya, setelah diserang strok, beliau tidak lagi mampu bekerja dan kini bergantung kepada penjagaan ahli keluarga. "Sebelum ini, beliau tinggal bersama anak bongsunya di Batu 14, namun setelah diserang penyakit, beliau berpindah ke Kampung Payoh untuk mendapatkan penjagaan lebih rapi daripada ahli keluarga yang lain," jelasnya.   Tambah beliau, pihak JPKK turut menyeru agar lebih banyak pihak tampil membantu golongan yang memerlukan, terutamanya warga emas seperti Yaacob yang sedang berdepan ujian kehidupan.   “Kesungguhan ADUN Kijal, JKM, dan komuniti menunjukkan betapa pentingnya sokongan padu dalam memastikan kebajikan penduduk terpelihara. "Semoga Yaacob diberikan kesembuhan dan kekuatan dalam menempuh ujian ini,” ujarnya.  
02 Jan 25
189
EPIC Berhad Menang Kontrak Utama Baharu daripada PETRONAS
EPIC Berhad Menang Kontrak Utama Baharu daripada PETRONAS
KUALA TERENGGANU, 2 Januari - Syarikat Berkaitan Negeri Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad), melalui anak syarikatnya EPIC OG Sdn Bhd (EOGSB), berjaya meraih kontrak selama lima tahun daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PETRONAS Carigali). Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, kontrak tersebut melibatkan penyediaan perkhidmatan Penyelenggaraan, Pentauliahan, dan Pengubahsuaian (Maintenance, Commissioning, and Modification-MCM) dan Penyambungan dan Pentauliahan (Hook-Up and Commissioning-HUC) Pan Malaysia bagi Pakej A2– (Aset Semenanjung Malaysia (Peninsular Malaysia Asset-PMA)–Gas). Katanya, kontrak berkenaan memperkukuh kedudukan EOGSB sebagai penyedia perkhidmatan diyakini yang berperanan menyokong kemapanan aset dan kecekapan operasi PETRONAS Carigali di Semenanjung Malaysia untuk memenuhi keperluan tenaga semasa dan masa hadapan. “Ia akan berkuat kuasa sehingga September 2029, dengan pilihan lanjutan selama tiga tahun, diikuti dua tahun tambahan, sekali gus meletakkan EOGSB dalam kedudukan strategik untuk pertumbuhan mampan dan kerjasama jangka panjang dalam sektor minyak dan gas negara. “Pihak syarikat berbangga dapat meraih kontrak daripada PETRONAS Carigali yang jelas menunjukkan komitmen kami dalam menyediakan perkhidmatan berkelas tinggi dalam sektor minyak dan gas. “Pencapaian ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai salah satu peneraju dalam industri tenaga di Malaysia, tetapi juga sejajar dengan matlamat untuk menjana pertumbuhan lestari dan menjalin kerjasama jangka panjang bagi menyokong keperluan tenaga negara,” jelasnya dalam satu kenyataan. Mengulas lanjut katanya, EOGSB memiliki rekod prestasi cemerlang dalam mengendalikan projek penyelenggaraan minyak dan gas berskala besar dan kompleks.  “Syarikat sebelum ini telah dianugerahkan kontrak Penyelenggaraan, Pembinaan, dan Pengubahsuaian Pan Malaysia (PM-MCM) bagi Pakej B2 oleh ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc (EMEPMI). Bernilai RM500 juta, kontrak enam tahun termasuk satu tahun lanjutan tersebut telah bermula pada 17 Julai 2018 dan tamat pada 31 Disember 2024. “Selain kontrak besar dan utama tersebut, EOGSB baru-baru ini juga telah dilantik sebagai kontraktor panel untuk Unit Operasi Hiliran PETRONAS bagi kerja-kerja Pembinaan dan Pengubahsuaian (Construction and Modifications Works - CMW),” ujarnya. Katanya, kontrak tiga tahun dengan pilihan lanjutan selama satu tahun diikuti satu tahun lagi ini meliputi Pantai Timur, Pantai Barat, dan Selatan Malaysia.  “Pakej pembinaan dan pengubahsuaian (CMW) ini jelas membuktikan keupayaan syarikat dalam menguruskan projek bernilai tinggi secara cekap untuk operasi di pelbagai wilayah. “Dengan kejayaan meraih pelbagai kontrak besar dan utama, EPIC Berhad berada dalam haluan strategik untuk terus mengukuhkan kedudukannya dalam landskap tenaga Malaysia dan memperkasakan keterjaminan tenaga negara,” katanya.
02 Jan 25
2726
Sukarelawan Syariah Dungun Dilancarkan Ambang Tahun Baru 2025
Sukarelawan Syariah Dungun Dilancarkan Ambang Tahun Baru 2025
DUNGUN, 1 Januari - Skuad Sukarelawan Syariah Kawasan Dungun dilancarkan sempena ambang tahun baru 2025 bagi memperkasakan gerakan dakwah di kawasan berkenaan, malam tadi. Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Dungun, Wan Hapandi Wan Nik berkata, penubuhan Sukarelawan Syariah dengan penglibatan seramai 100 sukarelawan tu diharap dapat mengurangkan gejala tidak bermoral di kalangan masyarakat di daerah itu. "Tahniah kepada Lajnah Dakwah PAS Dungun kerana telah berusaha mewujudkan skuad ini. "Skuad ini bukan semata - mata untuk menangkap pelaku jenayah syariah, sebaliknya kita akan turut mendidik masyarakat  dan menimbulkan kesedaran untuk membina generasi muda yang lebih baik," katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Skuad Sukarelawan Syariah Kawasan Dungun. Dalam program sama, skuad berkenaan memulakan 'langkah pertama' dengan turun melakukan rondaan dan mengedarkan risalah kempen pencegahan jenayah syariah di kawasan bandar Dungun, Pengarah Program Skuad Sukarelawan Syariah Dungun, Ridzuan Mohd Noor berkata, rondaan secara berkala itu akan dilakukan di sekitar kawasan ‘panas’ yang sering dikunjungi anak muda dan pasangan pasangan yang belum berkahwin. "Semoga dengan rondaan ini menjadi asbab kepada mereka untuk tidak lagi membuat maksiat, Insya-Allah.  "Terima kasih kepada semua petugas Sukarelawan Syariah Kawasan Dungun, Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Dungun dan Polis Daerah Dungun yang sentiasa menyokong kami," katanya.
01 Jan 25
853
JPJ Keluar Lebih 6,000 Saman Dalam Ops Khas Motosikal
JPJ Keluar Lebih 6,000 Saman Dalam Ops Khas Motosikal
KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Sebanyak  6,267 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan ke atas 27,239 motosikal dalam tempoh dua bulan pelaksanaan Op Khas Motosikal yang bermula 1 November lalu Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zamri Samion berkata dalam tempoh itu 858 lain-lain notis turut dikeluarkan dan 231 motosikal disita atas pelbagai kesalahan termasuk ubah suai kenderaan yang ekstrem. “Kesalahan paling banyak dilakukan nombor pendaftaran ekstrem, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, dan tiada cermin sisi. "Selain itu bagi Op Khas Gempur Teknikal Kenderaan Perdagangan pula, 338 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam tempoh tujuh hari pelaksanaan bermula 25 Disember lalu, hasil pemeriksaan ke atas 1,015 kenderaan perdagangan," katanya ketika Op Khas Motosikal di Jambatan Sultan Mahmud malam tadi. Tambahnya, operasi itu juga bertujuan memburu pemilik motosikal yang melakukan ubah suai ekstrem kenderaan.  ”Kita dapati perkara ini semakin menular sejak September lalu dan perlu dicegah segera sebelum terjebak ke aktiviti lumba haram," katanya. Dalam pada itu Zamri berkata sebanyak 31 kes kemalangan maut melibatkan motosikal direkodkan dalam tempoh 1 November hingga 31 Disember lalu, dengan jumlah kematian seramai 19 orang. Selain itu sebanyak 338  saman telah dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 1,015 kenderaan dalam Ops Gempur Teknikal Kenderaan Perdagangan dalam tempoh   tujuh hari pelaksanaan  bermula 25 Disember lalu. "Menerusi tindakan penguatkuasaan tersebut, pemilik syarikat atau kenderaan perdagangan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 56 Akta 715 atas kesalahan melanggar lesen pengendali iaitu gagal memberi keutamaan yang tinggi terhadap pengguna jalan raya lain," katanya.  
01 Jan 25
200
Petah Berpidato, Si Cilik Enam Tahun 'Pukau' Lebih 15 Ribu Penonton
Petah Berpidato, Si Cilik Enam Tahun 'Pukau' Lebih 15 Ribu Penonton
KUALA NERUS, 1 Januari - Si cilik, Amatullah Hamidah Muhammad Luqman Al-Hakim dari Kuala Terengganu berjaya mencuri tumpuan ramai kerana kepetahan berpidato dengan intonasi serta gaya yang cukup menyakinkan di Malam Munajat Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan negeri . Anak kecil yang baru berusia enam tahun menceritakan perjalanan serta semangat perjuangan Rasulullah SAW tanpa rasa gentar di pentas utama dengan lebih 15 ribu penonton di hadapannya. Pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI)  Al-Furqan itu sangat teruja dan gembira kerana menyampaikan pidato di khalayak umum seumpama itu merupakan pengalaman pertama dan sangat berharga tanpa rasa takut. "Saya rasa bangga dan sangat bersyukur kepada Allah kerana berjaya menyampaikan pidato di pentas seumpama ini di hadapan orang dewasa. "Saya tidak gementar kerana telah menerima bimbingan yang cukup baik oleh guru PASTI serta ibu dan bapa saya sendiri yang bersungguh-sungguh melatih saya untuk memastikan perjalanan saya hari ini berjalan lancar. "Sebelum ini saya muncul Johan Pidato pada program Alam Ria PASTI peringkat Malaysia,"ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, semalam. Tambah Hamidah, dia berazam untuk melangkah jauh ke hadapan bagi terus mengharumkan nama Terengganu dan akan membawa nama baik PASTI. Sementara itu, ayahnya, Muhammad Luqman Al-Hakim Mohd Radzi, 32, berkata, bakat yang ada pada diri Hamidah telah dikesan oleh Guru PASTI sejak berusia lima tahun. "Di PASTI penguasaannya terhadap ilmu menulis, membaca, menghafal al-Quran begitu cepat, Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana berikan kepadanya ingatan yang kuat. "Ketika berusia lima tahun, dia pernah menyertai pertandingan Hafazan Terbuka Anjuran Alam Ria PASTi peringkat negeri namun tidak muncul sebagai juara pada ketika itu kerana lelah, dan kemudiannya sekali lagi menyertai Hafazan Terbukan Anjuran Sri Showme dan telah muncul sebagai juara," ujarnya. Setelah mengetahui bakatnya dalam pidato, dia dan isteri, Hasmah Darwis, 31, bekerjasama dengan gurunya membimbing Hamidah dengan memastikan Hamidah sentiasa berlatih dan menghafal teks dari sudut gaya serta intonasi. "Pada bulan Januari ini, dia akan menyertai pertandingan antarabangsa untuk kategori sajak yang dianjurkan oleh 'Global Arts, Sports And Culture Association',"katanya. Dalam pada itu, Muhammad Lukman menasihatkan mana-mana ibu bapa yang melihat kebolehan serta bakat yang ada pada anak mereka agar memberikan dorongan serta galakan. "Dengan mengesan bakat yang ada pada diri mereka, kita cuba bantu dan dorong anak-anak agar mereka dapat pergi jauh dengan bakat yang mereka miliki,"katanya.  
01 Jan 25
2157