Artikel "Semasa" Terkini
Video Promosi VisitMalaysia2026 Perlu Mencerminkan Majoriti Masyarakat Majmuk
KUALA LUMPUR, 8 Januari- Video promosi Visit Malaysia 2026 yang diterbitkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) perlu lebih mencerminkan identiti majoriti kaum di Malaysia serta peranan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris bekata, seni bina masjid sebagai simbol keindahan Islam, harus ditonjolkan dalam promosi tersebut untuk memberi gambaran sebenar tentang keunikan Malaysia.
“Masjid bukan sekadar tempat ibadah, ia adalah simbol perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.
“Elemen ini penting untuk menonjolkan identiti Malaysia sebagai negara Islam yang kaya dengan warisan budaya,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat majlis kerajaan negeri bertempat di Hotel, Sunway Putra, hari ini.
Razali turut menyeru MOTAC agar lebih sensitif dalam memberi gambaran tentang kemajmukan agama dan budaya di Malaysia.
Tambahnya lagi, dengan memaparkan elemen-elemen seperti seni bina masjid, adat Melayu, dan pakaian tradisional akan memberi impak yang lebih bermakna kepada promosi antarabangsa.
“Video promosi itu perlu mencerminkan realiti Malaysia, di mana Islam menjadi teras identiti negara, sambil meraikan kepelbagaian kaum dan agama yang lain.
“Ini bukan sahaja dapat menarik pelancong tetapi juga memperkukuh semangat patriotisme rakyat,” ujarnya.
Beliau berharap agar video promosi tersebut dapat dipinda dengan menampilkan lebih banyak elemen budaya Melayu dan seni bina Islam, khususnya masjid-masjid ikonik seperti Masjid Kristal dan Masjid Putra.
08 Jan 25
157
Asma Rangkul Pingat Perak di Kejohanan Pencak Silat Dunia
HULU TERENGGANU, 8 Januari – Gadis kelahiran Ajil, Asma Mohd Nazri, mencipta sejarah apabila berjaya merangkul pingat perak dalam 20th World Pencak Silat Championship 2024 yang berlangsung di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada 18 Disember lalu.
Asma, 25, yang mewakili Malaysia dalam kategori seni tunggal wanita, mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan dengan memukau juri dan penonton dari seluruh dunia.
Beliau berjaya menawan perhatian ramai dengan persembahan bertenaga dan penuh seni, yang menunjukkan kehebatan budaya silat warisan Melayu.
Menurutnya, perjalanan untuk mencapai kejayaan ini bukanlah mudah, terutama dengan cabaran latihan intensif dan persaingan sengit daripada peserta dari negara lain seperti Indonesia, Vietnam, dan Thailand.
“Saya tidak menyangka dapat melangkah sejauh ini, apatah lagi membawa pulang pingat perak di pentas dunia. Ini adalah detik yang sangat bermakna buat saya dan keluarga,” kata beliau ketika ditemui di kediamannya.
Terdahulu, Asma telah memenangi emas dalam silat seni kategori Regu Putri yang berpeluang mengisi tempat ke team kebangsaan dan memenangi pingat perak pada Sukan SUKMA 2022 dalam kategori Silat Seni Tunggal Puteri sebelum memenangi emas di 8th Asian Pencak Silat Championship 2024 yang berlangsung di Bukhara, Uzbekistan.
Anak jati Ajil itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi sokongan, termasuk keluarganya, jurulatih, serta rakan-rakan pasukan silat negara.
“Pengorbanan ini adalah untuk semua rakyat Malaysia, terutamanya mereka di kampung halaman saya di Ajil. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada anak-anak muda untuk terus mengangkat martabat seni silat di persada dunia,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Maliaman Kassim, turut memuji dedikasi dan semangat juang Asma sepanjang kejohanan.
Beliau menyifatkan Asma sebagai atlet berbakat besar yang mampu pergi lebih jauh dalam kariernya.
“Asma telah menunjukkan disiplin yang tinggi dan semangat yang luar biasa. Pingat perak ini adalah permulaan diperingkat dunia kepada lebih banyak kejayaan di masa hadapan.
"Kejayaan Asma bukan sahaja mengharumkan nama Ajil, tetapi juga Malaysia di pentas dunia. Ia menjadi bukti bahawa warisan budaya Melayu seperti silat masih relevan dan dihormati di arena antarabangsa" katanya.
08 Jan 25
268
BPIM Bertepatan Teras Strategik PITAS2030, Mengukuh Pembangunan Insan
KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Bulan Penghayatan Israk dan Mikraj (BPIM) bertepatan dengan teras yang terkandung dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) iaitu mengukuhkan pembangunan insan bagi melahirkan masyarakat beragama, bermasyarakat dan berkebajikan.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun ia dijenamakan semula dari Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) yang dilaksanakan sebelum ini namun masih memiliki matlamat yang sama.
Ujarnya, sambutan rakyat terhadap pelancaran BPIM itu jelas membuktikan rakyat negeri ini menyambut baik setiap usaha dilakukan oleh kerajaan negeri melalui setiap pelaksanaan yang dilakukan mencapai objektif yang dihasratkan.
"Ini menandakan bahawa rakyat Terengganu memang dahaga dan cintakan ilmu. Masing-masing berlumba untuk hadir ke (setiap) majlis-majlis ilmu yang dianjurkan.
"Insya-Allah sepanjang bulan ini, kerajaan negeri akan menganjurkan pelbagai program yang telah dirangka dan disusun.
"Oleh itu, saya menyeru kepada semua masyarakat mengambil bahagian dalam setiap program yang dilaksanakan pada kali ini," ujarnya menerusi satu hantaran, di facebooknya, semalam.
Tambah beliau, adalah menjadi harapan agar matlamat mengukuhkan pembanguan insan itu akan mendapat keberkatan di sisi Allah SWT.
"Sekalung penghargaan juga kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan program BPIM yang diadakan sepanjang bulan ini,"ujarnya.
08 Jan 25
108
Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030 Bakal Gapai Kejayaan Lebih Unggul
KUALA TERENGGANU, 7 Januari - Pelan Strategik Pertanian Terengganu (PSPT) 2024-2030 menyasarkan kejayaan lebih unggul berbanding PSPT yang lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata ia bakal dilancarkan pada hujung bulan Februari ini oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
"PSPT 2019-2023 telah menutup tirainya. Impak daripada pelaksanaan ratusan program dan projek dalam PSPT itu telah menghasilkan natijah positif dalam pembangunan sektor pertanian Negeri Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam laman rasmi miliknya hari ini
Tambah Dr. Azman, sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2018 sebanyak -2.5 peratus telah berjaya meningkat kepada 7.5 peratus pada 2023.
"Masih tidak banyak yang boleh dibanggakan, tetapi kita telah berjaya menukar angka negatif menjadi positif. Meneruskan kejayaan itu biasa, mengubah kegagalan menjadi kejayaan itu yang luar biasa.
"Sebagai kesinambungan kepada PSPT lepas, insya-Allah pelan 2024-2030 bakal dilancarkan oleh YAB MB Terengganu pada minggu ketiga Februari tahun ini,
"Tentu sekali kejayaan PSPT 2019-2023 sedang diteruskan lagi pada skala yang lebih besar dalam PSPT 2024-2030, dalam masa yang sama kelemahan dan kekurangan akan diperbaiki. Bila kita gagal merancang kita sebenarnya merancang untuk gagal," tambahnya.
07 Jan 25
564
Khairunnisa' Hulur Bantuan Kepada 100 Mangsa Banjir
SETIU, 6 Januari – Khairunnisa’ Terengganu menghulurkan bantuan kepada 100 mangsa dari empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan tersebut sebagai tanda keprihatinan terhadap mereka yang terjejas akibat musibah.
Pengerusinya, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, program tahunan yang telah memasuki tahun keenam itu bertujuan meringankan beban golongan mangsa yang terlibat dengan musibah alam.
Selain itu, katanya, acara sebegini dapat mengeratkan hubungan antara pasukan Khairunnisa', kepimpinan setempat, serta komuniti yang terlibat.
"Matlamat utama ialah sebagai tanda keprihatinan dan kecaknaan pihak kami terhadap rakyat di negeri ini.
"Di samping mengeratkan ukhuwah dengan mangsa banjir dan kami ingin mereka merasa bahawa mereka tidak keseorangan menghadapi ujian ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Sumbangan Banjir Khairunnisa' Terengganu ke Kawasan Setiu di Dewan Sivik, Gong Terap, pada hari ini.
Tuan Faizah turut menjelaskan bahawa setiap tahun, Khairunnisa’ akan memilih satu kawasan untuk menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir dan pada tahun ini, kawasan Setiu menjadi lokasi pilihan.
Tambah beliau, bantuan yang disampaikan berbentuk barangan dapur dan sumbangan wang tunai.
“Meskipun sumbangan ini tidak besar, ia diharap mampu membawa sedikit keceriaan kepada mangsa banjir yang diuji dengan musibah ini.
“Kehadiran kami adalah tanda cakna dan solidariti bersama mereka yang terkesan,” ujar beliau.
Selain di Terengganu, Khairunnisa’ turut menyampaikan bantuan ke negeri-negeri lain seperti Pahang dan Kelantan.
Tambahnya, Pasukan Khairunnisa’ dijadualkan ke DUN Gual Periok, Rantau Panjang, Kelantan pada 13 Januari ini bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di sana.
“Mungkin bantuan yang diberikan tak banyak mana tetapi boleh melahirkan rasa gembira ada orang cakna memberi sumbangan kepada mangsa banjir.
"Kami berharap dengan sedikit bantuan ini dapat membantu sedikit sebanyak keperluan yang diperlukan oleh mangsa banjir.
"Semoga ujian yang diterima menatijahkan sesuatu yang lebih baik, seperti munculnya keindahan pelangi setelah berhentinya hujan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba, RELA, Jabatan Amal, Khidmat Malaysia, dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat yang banyak membantu semasa musim banjir
Justeru itu, Tuan Faizah berharap dengan usaha kecil ini dapat meringankan beban merek dan memberi semangat baharu kepada mangsa banjir untuk terus bangkit.
Sementara itu, seorang penduduk DUN Jabi, Kamariah Mustafa, 63, melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak Khairunnisa atas sumbangan yang diberikan.
Menurut Kamariah, bantuan itu sedikit sebanyak telah meringankan beban yang dihadapinya selepas terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Renek akibat banjir baru-baru ini.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Khairunnisa atas keprihatinan mereka terhadap nasib kami yang terjejas.
“Sumbangan ini benar-benar membantu meringankan beban kami, terutama selepas segala penat-lelah berpindah demi keselamatan dalam meneruskan kehidupan selepas bencana,” katanya ketika ditemui.
06 Jan 25
199
Terengganu Bawa Identiti Negeri Ke Pentas Antarabangsa
KUALA LUMPUR, 7 Januari – Terengganu terus memperkenal identiti negeri ke peringkat antarabangsa sempena pelaksanaan Kempen Melawat Malaysia (Visit Malaysia 2026).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya akan memfokuskan promosi produk pelancongan yang mencerminkan identiti budaya, alam semula jadi, dan konsep pelancongan Islamik.
“Kami akan memanfaatkan sepenuhnya keindahan alam seperti pulau-pulau indah, serta aktiviti tradisional seperti candat sotong yang berpotensi menjadi acara nasional.
"Selain itu, elemen pelancongan Islamik akan ditonjolkan, termasuk program-program yang sesuai dengan nilai dan budaya Islam, sejajar dengan identiti Terengganu sebagai sebuah negeri yang kaya dengan tradisi dan kesenian Islam,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Majlis Pelancaran Kempen Melawat Malaysia 2026 bertempat di Hangar 6, MAB Engineering Complex, KLIA, semalam.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Razali berkata, melalui kempen ini, pihaknya berharap dapat meningkatkan kesedaran terhadap keunikan Terengganu dan menjadikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan utama yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan penciptaan peluang pekerjaan.
“Kempen ‘Visit Malaysia 2026’ ini dijangka memberi impak positif kepada industri pelancongan negara, dengan peningkatan ketara dalam jumlah pelancong yang akan mengunjungi Malaysia, khususnya Terengganu," ujarnya.
Terdahulu, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) telah mengumumkan bahawa dua program pelancongan Terengganu, iaitu Fiesta Candat Sotong Terengganu dan Program Pelita Raya Terengganu, akan dimasukkan sebagai atur cara utama dalam kalendar pelancongan negara.
Pengumuman tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Tuan Khairul Firdaus Akhbar Khan, sewaktu sesi penggulungan jawapan Titah Tuanku Agong di Dewan Negara.
06 Jan 25
1522
Kerajaan Negeri Memperkasa Sukan Permotoran
KUALA TERENGGANU, 6 Januari – Kerajaan negeri memberi komitmen untuk memperkasakan pembangunan sukan permotoran di Terengganu, khususnya melalui Litar Permotoran Gong Badak di Kuala Nerus.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata satu mesyuarat telah diadakan bagi membincangkan penyelarasan antara kerajaan negeri, agensi penguatkuasa, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan persatuan permotoran negeri.
"Ia berkaitan dengan sukan permotoran yang akan diadakan mengikut lunas undang-undang dan pertimbangan yang bersesuaian.
"Pihak kerajaan negeri akan terus memperkasa pembangunan sukan permotoran di negeri ini khususnya di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus," katanya dalam satu hantaran rasmi akaun Facebooknya.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Sukan Negeri Terengganu, Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), dan persatuan sukan permotoran.
Justeru itu, beliau berharap belia-belia dapat menggunakan litar itu dengan sebaiknya dan meletakkan keselamatan sebagai perkara yang utama.
06 Jan 25
112
Pulau Perhentian Jadi Lokasi Paling Pesat Terima Kehadiran Pelancong Antarabangsa
KUALA NERUS, 4 Februari - Pulau Perhentian kini menjadi destinasi baharu paling pesat menerima kehadiran pelancong antarabangsa sebagaimana yang diumumkan platform percutian digital Agoda.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pulau tersebut kini menjadi pilihan komuniti nomad digital yang menjadikannya sebagai pejabat atau rumah kedua.
"Pelancaran program 'Nomad Digital' yang kita buat di Perkampungan Budaya pada tahun 2024 telah membuahkan hasil serta maklum balas yang cukup baik.
"Komuniti Nomad Digital ini dia pilih lokasi pulau yang mempunyai infrastruktur cukup lengkap dan 'coverage internet' yang kuar kerana mereka hendak gunakan sepanjang masa.
"Sebagai contoh orang Amerika duduk di Pulau Perhentian dia buat kerja sambil melancong sehingga ia menjadi viral dan Pulau Perhentian menjadi tumpuan dan diakui bertaraf antarabangsa,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas hadir ke Program Bersih Pantai Monsun Terengganu 2024 : Platform Pemuliharaan Pantai, di Pantai Batu Burok dan Pantai Seberang Takir, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Razali berkata komuniti digital nomad dari Timur Tengah serta Eropah yang paling ramai memilih Pulau Perhentian untuk dijadikan rumah kedua atau tempat mereka bekerja.
"Dengan memiliki keindahnya yang mempersonakan, pantai yang cantik dan pemandangan di bawah laut yang memukau menyebabkan pelancong boleh menginap berbulan-bulan,"katanya.
Dalam pada itu, Razali berkata pihak kerajaan negeri bercadang untuk turut memastikan Pulau Redang akan turut menjadi pilihan utama.
"Kita berhasrat hendak pasarkan lagi Pulau Redang serta besarkan lagi nomad digital di pulau tersebut serta akan turut memperluaskannya ke Pulau Kapas, Pulau Tenggol dan lain-lain untuk 'full swing' bagi dijadikan nomad digital ini.
"Justeru, saya terlah berbincang dengan beberapa pengusaha menara telekomunikasi bagi memastikan setiap pulau di negeri Terengganu sekurang-kuranya mendapat 70 peratus liputan internet," ujarnya.
05 Jan 25
306
Jangan Anggap Kehadiran Pelancong Menyusahkan Akibat Berlaku Kesesakan
KUALA NERUS, 5 Januari - Jangan pernah melontarkan kata-kata negatif serta membina naratif bahawa kehadiran pelancong ke negeri ini menyusahkan kerana berlaku kesesakan luar biasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kehadiran pelancong ke negeri ini tidak boleh dihalang sebaliknya ia merupakan pintu rezeki kepada rakyat dan menyumbang kepada limpahan ekonomi.
"Kalau boleh kita hendak ramaikan lagi kerana ia menyumbang kepada pendapatan terus kepada rakyat yang akan menerima hasil berganda.
"Mengenai kenyataan yang minta supaya pelancong jangan datang ke negeri Terengganu itu hanya cakap-cakap luar yang tidak berasas dan sangat tidak wajar kerana Terengganu kini menjadi destinasi pilihan utama untuk pelancong datang berkunjung ke negeri ini.
"Kita hendak seramai mungkin datang ke negeri ini, cuma kita akan cari jalan bagi mengatasi kesesakan lalu lintas yang berlaku dengan melakukan kajian untuk mewujdukan 'smart traffic'," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas menghadiri Porgram Bersih Pantai Monsun Terengganu 2024, di sini, semalam.
Mengulas mengenai sasaran jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini pada tahun 2025, Razali berkata pihaknya masih belum menetapkan jumlah kerana ingin melakukan beberapa perubahan baharu.
"Tahun ini kita hendak berbincang lagi dengan beberapa agensi supaya mendapat dapat menjangkakan jumlah yang lebih efisien untuk memastikan akan berlaku lonjakan yang lebih ketara.
"Saya rasa kita boleh mencapai angka lebih 7.8 juta sebagaimana yang dicatatkan pada tahun lalu bagi tahun ini,"katanya.
05 Jan 25
176
Hanafiah Jawab Dakwaan Kerajaan Negeri Abai Loji Air
KUALA TERENGGANU, 5 Januari - Tular satu hantaran di laman sosial yang mendakwa Loji Rawatan Air (LRA) Sementara Pasir Tinggi dikatakan milik Syarikat Air Terengganu (SATU) dibiarkan usang dan tidak diselenggara seolah-olah sengaja memberi gambaran buruk kepada kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, hantaran tersebut turut mempertikaikan peranan beliau sebagai Exco.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, ia satu isu yang cuba dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Untuk makluman, fasiliti ini bukan aset milikan Kerajaan Negeri atau SATU.
“Fasiliti ini milik kontraktor Kuala Terengganu Utara (KTU) yang dipinjamkan kepada SATU semasa projek KTU,” ujar Hanafiah dalam satu hantaran di laman facebook rasmi beliau, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, sejak Julai 2022 lagi kontraktor berkenaan diminta untuk membuka semula pembinaan tersebut untuk dialihkan.
“SATU hanya membayar kos alihan loji sementara ini dari lokasi asal di Pulau Bahagia ke lokasi sekarang di Pasir Tinggi,” ujarnya.
05 Jan 25
76