lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Kerajaan Negeri Peruntuk RM200,000 untuk Produk Pelancongan Kampung
Kerajaan Negeri Peruntuk RM200,000 untuk Produk Pelancongan Kampung
KUALA TERENGGANU, 11 Januari - Kerajaan negeri menerusi Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi pembangunan produk pelancongan berasaskan komuniti (CBT) untuk tahun ini Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, peruntukan tersebut merangkumi latihan peningkatan kemahiran untuk penggiat pelancongan dan program pembangunan infrastruktur bagi keselesaan pelancong. Katanya, ketika ini terdapat 30 produk pelancongan CBT yang aktif di seluruh Terengganu dengan penganjuran pelbagai aktiviti sepanjang tahun. “Daripada 30 CBT tersebut, Marang dan Kuala Nerus masing-masing mempunyai lima produk CBT diikuti Kemaman (empat), Besut (empat), Hulu Terengganu (empat), Setiu (empat), Dungun (dua) dan Kuala Terengganu (dua),” katanya ketika dihubungi pemberita pada hari ini. Razali berkata antara CBT yang terkenal ialah Dataran Batu Putih di Marang, Kalang Warisan di Kuala Terengganu, Desa Pancaran Delima (Setiu) dan Kampung Pasir Gajah (Kemaman). Menurutnya, produk CBT melibatkan komuniti setempat terbukti berjaya memikat pelancong kerana dapat mengenali budaya dan cara hidup penduduk kampung dengan lebih dekat. Beliau berkata, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu mempertimbang cadangan untuk mewujudkan sebanyak 11 lagi lokasi baharu CBT dalam masa terdekat. “Daripada jumlah itu, enam cadangan CBT ialah di daerah Dungun iaitu Wakaf Baharu, Pantai Teluk Bidara, Pantai Kampung Tanah Lot, Pantai Sura, Lubuk Kain dan Kolam Awam Tembesu di Paka. “Empat lagi terletak di daerah Hulu Terengganu iaitu Bukit Balik Hidung, Dataran Kampung Dusun, Bukit Jelutong, Belukar Bukit dan satu CBT di daerah Besut iaitu Lubuk Udang Sungai Tok Gong,” ujarnya.
11 Jan 25
404
THT: Tiada Masalah Prestasi Pemain Import
THT: Tiada Masalah Prestasi Pemain Import
KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Jurulatih pasukan Terengganu Hockey Team (THT), Mohd Harfizi Baharom, menegaskan bahawa tiada isu berkaitan prestasi dua pemain import pasukan itu, meskipun terdapat kritikan daripada pihak media. Beliau mempertahankan kemampuan kedua-dua pemain import tersebut, yang turut menyertai perlawanan Piala Sumbangsih dalam kempen Liga Hoki Malaysia 2025 baru-baru ini. Dua pemain import THT, Samkelo Mvimbi dari Afrika Selatan dan Lee Nam Yong dari Korea Selatan, masing-masing memainkan peranan penting dalam pasukan. Mohd Harfizi berkata, Samkelo beraksi sebagai penyerang, manakala Lee merupakan pemain serba boleh yang mampu beraksi di pelbagai posisi. “Saya rasa tiada masalah dengan prestasi mereka. Kita memang memerlukan pemain yang bekerja keras di atas padang, dan dari apa yang saya lihat, kedua-dua mereka memberikan impak besar kepada pasukan THT. ‘Work rate’ mereka sangat tinggi setiap kali diturunkan,” jelas Mohd Harfizi. Beliau berkata demikian dalam satu temu bual selepas perlawanan antara THT dan UiTM HA-KPT yang berlangsung di Stadium Hoki MBKT, Batu Buruk, semalam. Bagaimanapun, Mohd Harfizi mengakui bahawa Samkelo masih belum menjaringkan gol sepanjang kariernya bersama THT. Namun, menurutnya, posisi pemain itu yang diletakkan di bahagian tengah lebih berfungsi untuk menutup ruang dalam permainan. “Setakat ini, dia (Samkelo) belum menjaringkan gol kerana kita meletakkannya di posisi tengah untuk memastikan kawasan itu dilindungi dengan baik,” tambah beliau.
11 Jan 25
122
Perantau Faham, Simpati Kekangan Dihadapi Terengganu
Perantau Faham, Simpati Kekangan Dihadapi Terengganu
ALOR SETAR, 10 Januari - Rata-rata rakyat Terengganu yang berada di perantauan memahami situasi semasa dan kekangan yang dihadapi kerajaan Terengganu dalam membangunkan negeri. Menurut Presiden Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU), Prof Madya Dr Nuri Al-Amin Endut, langkah baru kerajaan Persekutuan yang menyukarkan pembayaran royalti, menimbulkan respon positif di kalangan mereka. "Anak-anak Terengganu (di perantauan) keseluruhannya, apabila kami bertemu, kami melihat mereka memahami situasi yang berlaku kerana ini bukannya kali pertama. "Perkara ini pernah dialami dahulu dan rakyat yang melaluinya buat kali kedua, lebih memahami dan lebih matang. "Mereka lebih bersimpati dengan situasi semasa dalam keadaan prestasi kerajaan negeri yang cukup baik, tetapi masih dihukum kerajaan Persekutuan atas alasan tidak munasabah," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pertemuan pimpinan kerajaan negeri bersama anak-anak Terengganu di Puji Arabian Delight; salah satu perniagaan yang diusahakan anak Terengganu di sini, semalam. Majlis pertemuan yang dihadiri sekitar 50 rakyat Terengganu yang menetap di Kedah dan Perlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Terengganu, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah. Hadir sama, ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail dan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Nasir Razak. Dr Nuri menambah bahawa PERANTAU sendiri memandang serius perkara berkenaan dan telah bertindak membawa memorandum ke parlimen tahun lalu. "Ini adalah suatu hak kerajaan negeri yang wajib dituntut, itu antara penegasan kita tentang royalti. "Kami terharu dengan tindakan kerajaan negeri yang sentiasa datang bertemu dengan kami (perantau) serta berusaha dengan bajet yang terhad, tetap menitikberatkan untuk menyelesaikan bantuan khususnya i- perantau," katanya. Dalam pada itu, mewakili penganjur program, Penolong Pengarah Kanan Urus Setia Wanita Terengganu (USWA), Nor Farahdila Mohamad memaklumkan bahawa anak-anak perantauan memberikan respon positif dalam pertemuan tersebut. "Sangat baik, rakyat Terengganu yang berada di luar teruja hadir dan ingin bertanya beberapa soalan tentang perkembangan yang berlaku di negeri Terengganu. "Antara soalan yang ditanya berkait dana perantau, bantuan persekolahan malah infrastruktur di Terengganu seperti perbaikan jalan," katanya.                    
11 Jan 25
3485
THT Teruskan Rentak Kemenangan, Benam UITM 3-1
THT Teruskan Rentak Kemenangan, Benam UITM 3-1
KUALA TERENGGANU, 10 Januari – Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) meneruskan rentak kemenangan dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025 selepas menewaskan UiTM HA-KPT (UiTM) dengan skor 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung hari ini. THT memecahkan kebuntuan pada minit ke-18 melalui jaringan sudut penalti yang disempurnakan oleh Muhammad Arif Syafie. Gol tersebut memberi tonik awal kepada pemain THT untuk terus menyerang meskipun keadaan padang licin akibat hujan. Hasilnya, pada minit ke-32, pemain THT, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, berjaya menjaringkan gol kedua hasil gerakan menarik rakan sepasukan.  Jaringan tersebut meningkatkan kedudukan THT kepada 2-0. Bersambung babak kedua, baru empat minit permainan berlangsung, THT menambah jaringan melalui pukulan penalti yang disempurnakan oleh Mohd Fitri Saari. Selesa dengan kedudukan 3-0, Terengganu mengendurkan sedikit serangan dan membolehkan UiTM memberi ancaman bahaya. Akibatnya, pada minit ke-51, UiTM berjaya memecahkan kebuntuan apabila pemain nombor 28, Muhammad Idris Samad, menjaringkan gol pertama pasukan mereka selepas menerima hantaran cantik daripada rakan sepasukan.  Jaringan itu mengubah kedudukan kepada 3-1, tetapi gagal menutup jurang yang besar diperoleh Terengganu. Jurulatih THT, Mohd Harfizi Baharom, mengakui bahawa UiTM memberikan saingan yang sengit pada peringkat awal perlawanan. "Kami akui UiTM menggunakan corak permainan bertahan dalam babak pertama. "Jadi, kami cuba mengubah strategi untuk mendapatkan gol pertama, terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu. Alhamdulillah, strategi itu berhasil, dan kami berjaya mencapai matlamat kami," katanya dalam sesi temu bual selepas perlawanan di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk. THT dijadualkan bertemu pasukan TNB Thunderbolts dalam perlawanan seterusnya pada 12 Januari, jam 4 petang, di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk.
10 Jan 25
105
Hidup Bersyariat Mampu Hindari Hedonisme
Hidup Bersyariat Mampu Hindari Hedonisme
SETIU, 9 Januari - Budaya hedonisme yang mementingkan keseronokan melampau perlu dibendung terutamanya dalam golongan belia yang makin berleluasa ketika ini. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata pendekatan kerajaan negeri melaksanakan karnival Indahnya Hidup Bersyariat merupakan antara langkah bagi membentuk negara dan masyarakat yang lebih bertamadun. Katanya, kematian yang melibatkan empat individu dalam sebuah konsert di Bandar Sunway, Subang Jaya baru-baru ini perlu menjadi peringatan berguna buat semua rakyat Malaysia. “Itu perkara malang kepada negara kita apabila tidak ada batas, kerajaan madani kita lihat sangat longgar dalam aspek hiburan ini. “Sehingga tidak ada satu garis panduan yang boleh menjaga dan memelihara anak muda kita. “Hiburan melampau seolah-olah menjadi satu matlamat dalam hidup sekumpulan pihak ketika ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia penerangan Darul Iman, selepas perasmian Program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM), di Masjid Kg. Putera Jaya, semalam. Tambah Dr. Muhammad Khalil, berhibur dalam agama Islam berlandaskan konsep wasatiyyah dan ia sepatutnya menjadi garis panduan dalam kalangan masyarakat. Mengulas lebih lanjut, hiburan tanpa batas menjurus kepada pergaulan bebas, pengambilan bahan terlarang dan haram yang memabukkan. Jelas beliau lagi, Islam tidak mengharamkan hiburan sepenuhnya kerana ada hiburan-hiburan yang diizinkan. “Itulah konsep wasatiyyah dan itulah apa yang kita laksanakan di negeri Terengganu, antaranya melalui pendekatan hidup bersyariat dan bukan sebagaimana yang kita lihat berlaku baru-baru ini. “Hiburan ini adalah fitrah kepada manusia. Namun, apa yang Islam lakukan ialah Islam memandu kita supaya tidak terbabas dalam hiburan," katanya.
10 Jan 25
88
Lebih 300 Nelayan Terima Bantuan
Lebih 300 Nelayan Terima Bantuan
KEMAMAN, 10 Januari - Seramai lebih 300 orang nelayan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai menerima bantuan sempena Program Santuni Nelayan DUN Cukai 2025 yang diadakan, baru-baru ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata bantuan seperti itu diberikan setiap tahun kepada para nelayan, di sini. "Kami memahami apa yang dirasai oleh para nelayan. Di musim tengkujuh, mereka tidak dapat turun mencari rezeki akibat ombak yang kuat. Keselamatan mereka perlu diutamakan. "Oleh yang demikian, program sebegini diadakan bagi membantu mereka. Semoga dapat meringankan sedikit bebanan yang mereka sedang hadapi," katanya. Program tersebut telah berlangsung di pekarangan Surau Haji Muda, Kampung Geliga. Dalam majlis ini, Hanafiah telah menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan beras kepada setiap penerima. Semua nelayan yang hadir turut diraikan dengan jamuan tengah hari.
10 Jan 25
131
Rakyat Gusar Kerajaan Madani Dedah Identiti Sebenar
Rakyat Gusar Kerajaan Madani Dedah Identiti Sebenar
SETIU, 10 Januari- Rakyat di negara ini gusar dengan sikap Kerajaan Madani yang sengaja tidak memaparkan masjid di dalam video montaj 'Visit Malaysia 2026' sekali gus mendedahkan identiti sebenar mereka selama ini tidak menjaga sensitiviti umat Islam dalam negara. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pada pandangannya parti yang memerintah negara pada hari ini bersikap kononnya mahu meraikan semua agama dan anutan sebaliknya terpesong jauh daripada prinsip Islam. "Ia adalah satu dasar yang jauh daripada prinsip Islam, sehingga dalam perkara asas, Masjid yang menjadi salah satu syiar Islam tidak ditunjukkan. "Dia (Kerajaan Madani) tidak menjaga sensitiviti umat Islam," ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas merasmikan Program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM), di Masjid Kg. Putera Jaya, di sini, semalam. Tambah Muhammad Khalil, sewajarnya masjid menjadi sebahagian daripada video montaj itu kerana mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.  "Salah satunya mereka datang untuk melihat seni bina Masjid dan juga konsep pengurusan institusi itu sendiri kerana memiliki keunikanya yang tersendiri berbanding negara-negara lain," ujarnya.  
10 Jan 25
339
Terengganu Sedia Kongsi Kepakaran Pelancongan Bersama SG4
Terengganu Sedia Kongsi Kepakaran Pelancongan Bersama SG4
KUALA LUMPUR, 9 Januari - Terengganu sedia berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bidang pelancongan dengan negeri-negeri di bawah Kerajaan Empat Negeri (SG4). Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris, berkata keseragaman budaya antara negeri SG4 memberikan peluang untuk mengembangkan aktiviti pelancongan semasa negeri. “Antara program pelancongan unik Terengganu yang boleh dicontohi termasuk Festival Pelita dan aktiviti mencandat sotong,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) bertempat di Hotel Putra, Kuala Lumpur semalam. Razali berkata pada bulan Ramadan Terengganu ada Festival Pelita pada minggu pertama dan bagi tahun 2025 negeri-negeri lain termasuk Perlis, Kedah dan Kelantan akan turut mengikuti festival itu. “Aktiviti mencandat sotong juga tiada di tempat. Hanya di perairan Terengganu sahaja, dan tahun 2025 kita panggil negeri SG4. Negeri-negeri lain yang berminat pun boleh datang termasuk Thailand dan Singapura. “Kita akan sediakan bot kepada mereka bagi menyertai program tersebut,” ujarnya. Beliau berkata, Terengganu mempunyai karnival pantai yang diadakan secara besar-besaran melibatkan wakil daripada setiap daerah di negeri itu. Menurutnya, karnival pantai dan pelita rakyat juga boleh dianjurkan di negeri lain di bawah SG4.
09 Jan 25
175
'Alasan Dangkal, Naif' - Pensyarah Bidas Jawapan Menteri Abai Masjid?
'Alasan Dangkal, Naif' - Pensyarah Bidas Jawapan Menteri Abai Masjid?
KUALA TERENGGANU, 9 Januari - "Alasan yang sangat dangkal, naif dan bodoh," bidas Pensyarah terkenal, Prof. Dr Riduan Tee Abdullah yang dipercayai ditujukan kepada Menteri Pelancongan berhubung jawapan ketiadaan paparan masjid dalam video montaj Tahun Melawat Malaysia 2026. Tegas Dr. Riduan, dalam video montaj identiti negara sebenar mesti diutamakan, bukan identiti minoriti seperti kuil dan gereja. "Membaca alasan pemimpin ultra kiasu yang suka minum menjadikan saya begitu geram. "Tidakkah pemimpin ultra kiasu ini membaca perlembagaan Persekutuan dan dasar negara seperti Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1970 (DKK). "DKK begitu jelas mengungkapkan apa jua jenis pertunjukan budaya negara, identiti negara, Islam dan Melayu mesti diutamakan. Kenapa ada pemimpin yang amat jahil tidak tahu perkara asas ini. Inikah bentuk pemimpin negara yang kita ada," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini. Menurutnya, pada fikiran beliau pemimpin ultra kiasu itu akan meminta maaf atas kesalahan tersebut namun sebaliknya berlaku apabila Menteri tersebut mempertahankan lagi tindakan berkenaan. "Wahai pemimpin negaraku, bersuaralah, bertindaklah. Perkara seperti ini sudah menjadi tersangat melampau. Ini bukan pertama kali, malah sudah berkali-kali. "Negara kita sudah menjadi negara, negara tanpa bangsa," ujar beliau.
09 Jan 25
239
Terengganu, Persekutuan Sepakat Rangka Kerjasama Strategik Pertanian
Terengganu, Persekutuan Sepakat Rangka Kerjasama Strategik Pertanian
KUALA LUMPUR, 8 Januari – Kerajaan Terengganu terus meningkatkan jalinan bersama Kerajaan Persekutuan bagi membentuk dan merangka pelan kerjasama yang strategik. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata usaha ini diteruskan demi kelangsungan dan keterjaminan makanan negara yang amat penting. "Kerajaan Persekutuan ada dana, Terengganu pula mempunyai tanah, air, perancangan strategik dan kumpulan yang siap bekerja. Maka kita perlu bekerjasama demi memperkukuhkan program keterjaminan makanan negara," katanya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan kunjung hormat Kerajaan Negeri Terengganu kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Bilik Mesyuarat Wawasan Galeria Putrajaya. Tambah Dr. Azman, Terengganu sentiasa bersedia memberikan kerjasama dan hasil perbincangan bakal dimanfaatkan kepada rakyat khususnya petani, penternak dan nelayan. "Petang ini, delegasi Kerajaan Negeri Terengganu mengadakan pertemuan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak serta pegawai-pegawai kanan kementerian. "Banyak perkara berkaitan program dan projek-projek keterjaminan makanan yang dibincangkan serta diambil kata sepakat dalam rangka membentuk kerjasama strategik Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri. Doakan semoga segalanya dipermudahkan Allah," ujarnya.
09 Jan 25
650