lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

THT Belasah TNB-T 6-1
THT Belasah TNB-T 6-1
KUALA TERENGGANU, 12 Januari – Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) terus mengekalkan kecemerlangan dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) apabila mencatatkan kemenangan buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan TNB Thunderbolts (TNB-T) dengan keputusan 6-1 semalam. Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk itu menyaksikan THT memulakan perlawanan dengan cemerlang. THT berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-17 melalui penyudahan pukulan sudut penalti oleh Faizal Saari. Tidak menunggu lama, THT menambah jaringan kedua pada minit ke-19 menerusi Muhammad Akhimullah Anuar Esook yang menyempurnakan hantaran cantik daripada Muhammad Faris Hamzan, meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan 2-0. TNB-T tidak menyerah begitu sahaja dan berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-36, Muhammad Fahmi Khalid menyempurnakan satu pukulan penalti sudut untuk menjadikan skor 2-1. Bersambung babak berikutnya, perlawanan menjadi lebih sengit, THT kembali melebarkan jurang jaringan pada minit ke-41, kapten pasukan, Mohd Fitri Saari, menghantar bola dari garisan tengah padang yang kemudiannya disambut baik oleh Syarman Mat Tee untuk menambah gol ketiga bagi THT, 3-1. Tidak lama selepas itu, pada minit ke-43, Faizal Saari sekali lagi menjaringkan gol menerusi satu lagi pukulan sudut penalti, memperkukuhkan kedudukan THT dengan 4-1. Walaupun THT gagal menambah jaringan menerusi beberapa peluang penalti sudut, mereka tetap terus menguasai permainan. Pada minit ke-52, Muhammad Amirul Hanif Mamat menjaringkan gol kelima selepas satu serangan pantas, membawa THT mendahului 5-1. Menjelang minit ke-57, THT mengesahkan kemenangan bergaya dengan jaringan kedua dari Muhammad Akhimullah, sekali gus menutup perlawanan dengan kemenangan 6-1. Dengan kemenangan ini, THT terus berada dalam landasan kemenangan dan dijadualkan untuk bertemu Armed Forces HT pada 15 Januari, jam 4 petang, di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk.
13 Jan 25
97
14 Tahun Penduduk Kampung Darat Hidup Tanpa Elektrik
14 Tahun Penduduk Kampung Darat Hidup Tanpa Elektrik
SETIU, 13 Januari – Setelah 14 tahun hidup dalam kegelapan, keluarga Tumiran Munawar dan penduduk Kampung Darat, Batu Rakit akhirnya dapat menikmati kemudahan elektrik yang amat mereka dambakan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, sebelum ini, Tumiran, 73, dan keluarganya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada generator untuk meneruskan kehidupan seharian mereka sejak mereka mula menetap di kampung tersebut pada tahun 2010.  Katanya, setiap tahun, keluarga ini terpaksa mengeluarkan belanja yang tinggi untuk menggantikan generator yang rosak, sehingga kini mereka telah menukar sebanyak tujuh generator. "Keadaan ini sangat membebankan mereka. Bayangkan, di tengah kesulitan hidup sebagai petani, mereka terpaksa berhadapan dengan masalah bekalan elektrik yang tidak menentu.  "Tumiran dan isterinya, bersama anak-anak, juga menggunakan lampu solar sebagai sumber pencahayaan yang terhad. Tiada peluang untuk menikmati kemudahan asas yang dianggap biasa oleh ramai orang," kata Mohd Shafizi. Menurut beliau, kehidupan mereka akhirnya berubah dengan adanya bekalan elektrik yang stabil, suasana yang dulunya suram dan gelap kini penuh dengan cahaya, memberi harapan baru kepada mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.  "Alhamdulillah, hari ini, kehidupan mereka berubah. Mereka tidak lagi perlu bergantung kepada generator yang sering rosak, dan boleh menikmati keselesaan hidup yang sepatutnya dinikmati oleh setiap insan," tambahnya dengan penuh rasa syukur. Menurut Mohd Shafizi, projek pemasangan bekalan elektrik ini melibatkan pemasangan 69 tiang elektrik, yang bukan sahaja akan memberi manfaat kepada keluarga Tumiran, tetapi juga seluruh penduduk Kampung Darat.  "Dengan adanya bekalan elektrik yang stabil, penduduk setempat kini boleh merancang untuk membangunkan rumah, mengusahakan pertanian, dan membuka peluang pekerjaan baru. "Harapan saya, projek ini bukan sekadar memberi kemudahan elektrik, tetapi juga membuka jalan kepada pembangunan yang lebih pesat dan memberi peluang kepada penduduk untuk mengecapi kehidupan yang lebih baik," katanya, penuh optimis. Beliau turut merakamkan penghargaan yang mendalam kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu, yang diketuai oleh Pengurus Besar, Ir. Mohamad Mohyddin Mohamed Nor, serta seluruh pasukan TNB dan kontraktor yang telah berusaha gigih merealisasikan projek ini.  "Ucapan terima kasih yang tidak terhingga saya hulurkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan projek ini. Kerjasama dan usaha yang berterusan ini telah membawa perubahan besar kepada masyarakat luar bandar yang sebelum ini hidup dalam kegelapan.  "Ini adalah bukti bahawa dengan tekad dan sokongan bersama, kita boleh mengubah kehidupan insan lain," ujarnya.
13 Jan 25
211
Armada Jak FC Juara Piala Parlimen Hulu Terengganu 2024
Armada Jak FC Juara Piala Parlimen Hulu Terengganu 2024
Oleh : Muhammad Aqil Mat Ali HULU TERENGGANU, 13 Januari – Malam penuh aksi di Stadium Mini Kuala Berang menyaksikan Armada Jak FC muncul juara Piala Parlimen Hulu Terengganu 2024 selepas menundukkan Padang Machang FC dalam perlawanan dramatik yang berakhir dengan jaringan 3-2.  Kemenangan itu bukan sahaja menobatkan Armada Jak FC sebagai juara, tetapi juga membuktikan keunggulan mereka di pentas bola sepak tempatan. Pertarungan bermula dengan penuh intensiti, Armada Jak FC mencipta momentum awal apabila Muhammad Firas bin Mohd Tarmizi (jersi no. 9) meledak gol pembukaan pada minit ke-10, menghidupkan semangat pasukan serta penyokong mereka.  Namun, Padang Machang FC enggan menyerah mudah, mereka bangkit dengan dua gol menerusi jaringan mantap Shahir Nasrul bin Aziz (jersi no. 14) pada minit ke-35 dan ke-55, membuatkan perlawanan bertukar arah. Walaupun ketinggalan, Armada Jak FC tetap tenang, mereka kembali memberi saingan dengan gol penyamaan hasil jaringan Mohammad Syamsul Arif bin Ibrahim (jersi no. 5) pada minit ke-75.  Saat perlawanan seakan menuju masa tambahan, Firas sekali lagi muncul sebagai wira dengan gol kemenangan pada minit ke-90+1, membawa sorakan gemuruh di stadium. Sebagai penghormatan kepada persembahan hebat, penjaga gol Armada Jak FC, Mohd Fazrol Anuar bin Mohamed Hashim, dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik atas kehebatannya menjaga gawang sepanjang kejohanan.  Anugerah Pemain Terbaik pula jatuh kepada Mohd Asrol bin Ibrahim (jersi no. 5) dari Padang Machang FC, yang menunjukkan aksi luar biasa sepanjang pertandingan. Sebagai juara, Armada Jak FC membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, sebuah piala kejuaraan, serta medal.  Tempat kedua, Padang Machang FC, menerima RM2,000 beserta medal, manakala Parit Che Ha (DPCH) FC dan Kg Baru Ajil FC yang berkongsi tempat ketiga, masing-masing menerima RM1,000 beserta medal. Piala Parlimen Hulu Terengganu 2024 bukan sahaja tentang persaingan, tetapi juga simbol perpaduan masyarakat.  Kejohanan ini sekali lagi berjaya menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan komuniti tempatan, menjadikan bola sepak sebagai platform yang mengeratkan hubungan antara pasukan dan penyokong. Tahniah Armada JAK FC atas kejuaraan penuh bergaya!   
13 Jan 25
696
ADUN Kijal Hulur Bantuan Segera kepada Pesakit Strok
ADUN Kijal Hulur Bantuan Segera kepada Pesakit Strok
KEMAMAN, 13 Januari – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, menghulurkan bantuan segera kepada seorang pesakit strok, Mohd Adnan Ali dalam program Ziarah Kasih yang diadakan di Kampung Ibok, semalam. Razali berkata bantuan tersebut merangkumi sebuah katil khas bagi memudahkan penjagaan harian dan beberapa bantuan lain. "Dahulunya, Saudara Adnan merupakan usahawan yang dikenali seorang yang rajin bekerja demi mencari rezeki untuk keluarganya. “Sama-sama kita doakan agar beliau segera sembuh, dan saya akan terus memastikan Saudara Adnan mendapat perhatian serta bantuan yang diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan. Dalam pada itu, Razali turut melawat seorang mangsa kemalangan, Razali Rahim, di Kampung Bukit Kuang yang baru sahaja keluar dari Hospital Kemaman selepas menjalani pembedahan. "Saya berharap dengan ziarah seperti ini, bukan sahaja dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, tetapi juga memberi semangat kepada mereka untuk terus kuat menghadapi cabaran. “Program Ziarah Kasih ini akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk memastikan masyarakat yang memerlukan sentiasa mendapat perhatian,” ujarnya.            
12 Jan 25
62
Nelayan, Penoreh Getah Terima Bantuan Bencana
Nelayan, Penoreh Getah Terima Bantuan Bencana
Oleh: Muhammad Zulkifli Sulaiman KUALA NERUS, 12 Januari - Seramai 250 nelayan dan penoreh getah yang terjejas akibat monsun baru-baru ini menerima bantuan kewangan dan keperluan asas daripada kerajaan negeri. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, bantuan berkenaan diharap mampu meringankan beban golongan terbabit. "Pihak Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa cakna terhadap kebajikan rakyat negeri ini dan menjadikan perkara kebajikan sebagai fokus utama. "Diharapkan sumbangan yang diberikan ini dapat meringankan beban yang dihadapi selepas mereka hilang mata pencarian akibat perubahan cuaca," katanya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian bantuan berbentuk kewangan dan keperluan asas terbabit hari ini. Majlis yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Dun Tepoh dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Kuala Nerus itu turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak, Penolong Pegawai Daerah Kuala Nerus (Pembangunan Masyarakat), Izzudin Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif GPQ Sdn Bhd, Noor Suhaimi Ismail. Menurut Hishamuddin, anak syarikat Terengganu Incorporated, GPQ turut tampil membantu para nelaya dan penoreh di DUN terbabit. "Mereka menyumbang zakat wakalah sebagai salah satu bantuan kepada penduduk setempat bagi tujuan pelaksanaan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat," jelasnya. Tindakan pihak prihatin ini dipuji oleh penerima dan menyatakan mereka sentiasa dibantu oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing yang menjadi tempat untuk penduduk mendapatkan bantuan jika terputus bekalan keperluan asas.  
12 Jan 25
185
Orang Ramai Dinasihatkan Tidak Hampiri Kawasan Pantai
Orang Ramai Dinasihatkan Tidak Hampiri Kawasan Pantai
KUALA TERENGGANU, 12 Januari- Orang ramai dinasihatkan agar tidak menghampiri kawasan pantai ketika ini berikutan fenomena angin kencang yang sedang melanda perairan Terengganu. Pengarah Pejabat Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Terengganu, Rosli Zakaria menjelaskan fenomena tersebut dikhuatiri menyebabkan berlaku risiko pokok tumbang atau struktur binaan runtuh yang boleh mendatangkan kecederaan terhadap individu. "Kelajuan angin yang direkodkan di Kuala Terengganu ketika ini ialah sekitar 25 kilometer sejam (km/jam). "Memang tinggi berbanding hari-hari biasa iaitu 10-20 km/j pada musim Monsun Timur Laut malah pada malam tadi, kelajuan angin yang direkodkan ialah 40 km/j. "Situasi ini agak berisiko kepada sesiapa sahaja berada di kawasan pantai tanpa sebarang keperluan," katanya seperti dipetik melalui laporan Sinar Harian, hari ini.  Pada Selasa lalu, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di enam negeri selama tiga hari bermula Jumaat. MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan kawasan terlibat termasuk Terengganu di Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman, manakala di Pahang melibatkan Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin. Mengulas lanjut, Rosli berkata, waktu kemuncak berlakunya kejadian angin kencang pada hari ini dan esok. Justeru, Rosli menyatakan orang ramai diminta berwaspada serta menjauhi kawasan pantai bagi memastikan keselamatan sepanjang musim tersebut.
12 Jan 25
336
Anak IC Lain, Bolehkah Dapat Bantuan Terengganu?
Anak IC Lain, Bolehkah Dapat Bantuan Terengganu?
IPOH, 12 Januari - Kebanyakan dilema ibu bapa kelahiran Terengganu di perantauan adalah berkait dengan bantuan pendidikan anak-anak mereka. Antara isunya ialah kesukaran memperoleh bantuan pendidikan disebabkan anak-anak mereka lahir di luar Terengganu, namun tidak mendapat kelebihan negeri tempat lahir berikutan ibu bapa berasal dari Terengganu. Dalam hal ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri memberi kelonggaran untuk memberikan bantuan pendidikan yang diperlukan. "Kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu (YT) dan beberapa agensi lain ada menawarkan pelbagai kemudahan untuk pendidikan dalam bentuk pinjaman dan biasiswa berdasarkan beberapa kelayakan. "Walaupun lahir di negeri lain, anak-anak ini layak memperolehi bantuan ini sekiranya ibu atau bapanya berasal dari Terengganu dan mengundi di sana. "Jadi, nasihat saya sekiranya ibu dan bapa berasal dari Terengganu, maka pasti salah seorang atau kedua-duanya mengundi di Terengganu untuk mengekalkan kelayakan asas ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika memberi jawapan dalam sesi dialog di Program Temu Mata Anak-anak Terengganu di Perantauan di sini, hari ini. Hadir sama dalam program tersebut ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional merangkap ADUN Ladang, Zuraida Md Noor dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa. Untuk makluman, selain bantuan pendidikan Terengganu turut menawarkan bantuan pembiayaan kepada usahawan kelahiran Terengganu yang mengusahakan perniagaan di tempat lain. Malah, ketika bencana banjir menimpa Lembah Klang beberapa tahun lalu, kerajaan Terengganu turut memberi bantuan pelbagai bentuk kepada anak-anak negeri yang terkena musibah dalam usaha meringankan beban mereka.  
12 Jan 25
2666
Kerajaan Negeri Gembira Perantau Kritik, Sumbang Idea
Kerajaan Negeri Gembira Perantau Kritik, Sumbang Idea
SEBERANG PERAI, 12 Januari- Kerajaan negeri berbesar hati menerima kritikan dan pandangan daripada rakyat Terengganu yang berada di perantauan dalam usaha menambah baik pentadbiran negeri. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan merangkap ADUN Wakaf Mempelam, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program pertemuan bersama anak-anak perantauan menjadi medan terbaik bagi mendapatkan sebarang idea kritikan dalam memantapkan lagi pengurusan khidmat dan bakti kerajaan negeri kepada rakyat. Beliau turut melahirkan rasa gembira mendengar luahan daripada anak-anak Terengganu yang memberi pelbagai respon berkenaan pelaksanaan dasar-dasar di negeri Terengganu. "Musuh utama kepada manusia adalah kejahilan, apabila manusia mendapat maklumat yang benar dan sahih, itulah yang menghapuskan semua kekeliruan dan salah faham dalam minda manusia. "Inilah tujuan kita mengadakan jelajah ke seluruh pelusuk tanah air bertemu perantau. "Kita ingin mendengar sebarang kritikan juga idea-idea baru yang boleh dikongsikan terus kepada kepimpinan kerajaan negeri tanpa pihak ketiga, sebab kita tahu anak-anak Terengganu di luar ini terdiri daripada pelbagai segmen dan kepakaran masing-masing," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pertemuan bersama anak-anak Terengganu di perantauan anjuran Urus Setia Wanita Terengganu (USWA) dengan kerjasama PERANTAU, di sini semalam. Hadir sama ialah ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail dan Timbalan Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMITS), Hamidi Jusoh. Tambah Wan Sukairi, kehadiran kepimpinan negeri dalam program tersebut memberikan satu 'signal' keprihatinan kerajaan negeri kepada rakyat di perantauan bagi menguatkan hubungan dua hala kedua-dua pihak. Program pertemuan bersama anak-anak perantauan kali ini merupakan siri kedua dianjurkan bagi tahun 2025. Siri kedua kali ini meliputi PERANTAU di wilayah utara merangkumi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Program selama tiga hari di tiga lokasi berasingan itu menghimpunkan sekitar 200 anak-anak Terengganu yang berkelana di luar, secara keseluruhannya.    
12 Jan 25
173
Bina Benteng Sementara Selamatkan Rumah Hampir Roboh- Hishamuddin
Bina Benteng Sementara Selamatkan Rumah Hampir Roboh- Hishamuddin
KUALA NERUS, 12 Januari – Kerajaan negeri memandang serius masalah hakisan pantai yang hampir memusnahkan sebuah rumah di Kampung Tanjung dekat Batu Rakit  dengan membina benteng sementara sebelum kerja-kerja selanjutnya dilaksanakan pihak berwajib Mac depan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata benteng sementara itu akan dibina di kediaman itu secara bergotong-royong  "Penduduk dengan kerjasama pengusaha jentera pengorek (excavator) akan bergotong-royong bina benteng sementara di rumah ini. "Buat masa terdekat ini kita berusaha untuk selamatkan rumah dahulu dan kerja-kerja itu telah bermula hari ini," katanya kepada pemberita. Hishamuddin sebelum itu meluangkan masa melawat keluarga berkenaan pada petang Jumaat lalu untuk mengetahui perkembangan lanjut mengenai masalah dialami. Sementara itu, pemilik rumah, Mohd Yazit Idris, 66, berkata, dia bersyukur kerana masalah itu mendapat perhatian ramai termasuk pihak kerajaan negeri. "Saya bersyukur kerana usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu saya menyelamatkan rumah ini daripada roboh dan dihanyutkan ombak. "Terima kasih tidak terhingga kepada wakil rakyat yang turut membantu saya dan keluarga mengatasi masalah hakisan ini dalam tempoh terdekat. "Saya harap usaha ini dapat mengurangkan dan melambatkan masalah hakisan di sini sebelum saya memikirkan inisiatif lain bagi menyelamatkan rumah ini untuk tempoh jangka masa panjang," ujarnya. Warga emas berasal dari Puchong, Selangor berkata, rumah dibina atas tanah dibeli dengan nilai RM100,000 itu kini menunggu masa roboh selepas dilanda ombak besar pada 4 Januari lalu.
12 Jan 25
1293
Terengganu Rancakkan Program Indahnya Hidup Bersyariat di Setiap DUN
Terengganu Rancakkan Program Indahnya Hidup Bersyariat di Setiap DUN
SETIU, 10 Januari - Kerajaan negeri serius dalam membiasakan masyarakat hidup dengan syariat di negeri ini melalui pelaksanaan program ‘Karnival Indahnya Hidup Bersyariat’. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Sri Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar sangat menekankan agenda pelaksanaan syariat. “Pada penggal ini, kami (kerajaan negeri) membawa satu kelainan di mana kami mengetengahkan satu tema, ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ bertujuan untuk mendidik rakyat negeri Terengganu bahawa syariat Islam yang diturunkan oleh Allah SWT ke atas Nabi Muhammad SAW perlu kita laksanakan. “Dalam tempoh setahun ini, Insya-Allah kita akan buat di peringkat DUN pula selepas ini. Dengan pengisian lain selain kuliah dan forum bagi merangkumi semua aspek-aspek yang lain supaya kita dapat menyantuni masyarakat di bawah. “Ini juga bertujuan untuk kita membuang persepsi buruk musuh-musuh Islam yang menggambarkan syariat Islam sebagai melampau, ganas, mundur ke belakang dan lain-lain lagi perkara negatif yang seolah-olah mengekang kehidupan kita," katanya. Muhammad Khalil berkata demikian dalam ucapan perasmiannya bagi program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM) peringkat daerah Setiu yang bertempat di Masjid Kg. Putera Jaya, Setiu semalam. Tegasnya lagi, ajaran Islam merupakan ajaran yang fleksibel dan mudah, ia tidak sewenang-wenangnya melarang umatnya dalam melakukan sesuatu melainkan jika ia mendatangkan mudarat. “Contohnya mengenai makan dan minum, kita hanya dilarang untuk memakan daging khinzir, minum arak, bangkai dan juga apa jua yang boleh memberikan mudarat. “Selain daripada itu, semua boleh dimakan. Yang penting, ia halal lagi baik. “Sama juga dalam bab pemakaian dan pergaulan. Semuanya begitu mudah untuk kebaikan manusia,” ujar beliau. Jelas beliau, walaupun dengan keterbatasan kuasa pada masa ini, kerajaan negeri akan terus berkomitmen untuk memperkasakan syariat Islam di dalam hukum-hakam terutamanya bagi perihal berkaitan dengan perundangan. Kerajaan negeri juga menyeru masyarakat untuk menghayati peristiwa Israk dan Mikraj sempena bulan Rejab.   Pelancaran sulung yang bertempat di daerah Setiu dan Hulu Terengganu, itu juga telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada masyarakat setempat. Kata Dr. Muhammad Khalil, ia menunjukkan sokongan mereka yang jitu terhadap usaha kerajaan negeri dalam pembawaan tema hidup bersyariat. “Saya dapat perhatikan kehadiran yang sangat memberangsangkan daripada masyarakat setempat dan juga penyertaan daripada jabatan dan agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba dan lain-lain lagi turut memeriahkan lagi suasana. Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis perasmian program itu.  
11 Jan 25
225