lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

106 Mangsa Terkesan Fenomena Air Pasang, Ombak Besar Berlindung di PPS
106 Mangsa Terkesan Fenomena Air Pasang, Ombak Besar Berlindung di PPS
KUALA TERENGGANU – Seramai 106 mangsa banjir di daerah Kemaman dan Dungun masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) setelah rumah mereka terjejas akibat fenomena air pasang dan ombak besar. Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat pukul 4 petang ini, seramai 92 mangsa daripada 24 keluarga berada di PPS Balairaya Kampung Geliga Pantai di Kemaman. “Manakala seramai 14 mangsa daripada lima keluarga terpaksa berlindung di PPS Balai Raya Bandar Paka, Dungun,” ujarnya. Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora dengan angin Timur Laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) di kawasan perairan Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor hingga 18 Januari. Justeru, penduduk di kawasan pantai diminta lebih berwaspada dan tidak menghampiri pantai.   
14 Jan 25
153
Lebih RM2.4 Bilion Diperlukan Baiki Hakisan Pantai Terengganu
Lebih RM2.4 Bilion Diperlukan Baiki Hakisan Pantai Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Lebih RM2.4 bilion diperlukan untuk membina benteng pemecah ombak di 34 pantai sepanjang 244 kilometer (km) bagi mengelakkan hakisan  terutama menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL)  Pengerusi Jawatankuasa  Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata kos membina benteng pemecah ombak biasanya antara RM5 juta hingga RM10 juta setiap kilometer, bergantung pada spesifikasi. Menurutnya, ia bergantung pada beberapa faktor antaranya panjang pantai terlibat dan kos ditentukan oleh jumlah panjang pantai yang memerlukan perlindungan. “Jenis benteng yang digunakan  akan mempengaruhi kos yang boleh berbeza bergantung kepada reka bentuk, sama ada benteng konkrit, tetrapod, atau gabion. “Tahap hakisan  juga menentukan perbelanjaan apabila lokasi dengan hakisan yang lebih teruk mungkin memerlukan struktur yang lebih kukuh dan kos yang lebih tinggi. “Selain itu juga, kos bahan dan buruh tempatan serta harga bahan binaan seperti batu, simen, dan kos tenaga kerja juga memainkan peranan. "Segala kos ini kita akan berusaha untuk memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan memandangkan ia membabitkan bidang kuasa dan tanggungjawab mereka,” ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman. Tambah Hanafiah, jumlah  anggaran peruntukan yang diperlukan adalah secara kasar, oleh itu kajian mendalam oleh pakar diperlukan untuk mendapatkan jumlah sebenar berdasarkan keadaan setempat.  “Anggaran ini adalah berdasarkan panjang pantai setiap daerah dan kos purata pembinaan tidak termasuk penyelenggaraan jangka panjang. “Kajian lebih terperinci diperlukan untuk mengenal pasti tahap hakisan dan keperluan pembinaan di setiap lokasi,” jelasnya. Justeru itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan untuk segera meluluskan peruntukan tambahan bagi menangani isu hakisan yang kian mengancam kawasan pantai tersebut.  
14 Jan 25
2568
Basong Rangers Mula Beraksi Awasi Serangan Gajah Liar
Basong Rangers Mula Beraksi Awasi Serangan Gajah Liar
HULU TERENGGANU, 14 Januari – Pasukan komuniti pertama di Kampung Basong, Hulu Terengganu, yang dikenali sebagai Basong Rangers, kini memulakan operasi mengawal pencerobohan gajah liar di kawasan berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata kerajaan telah memperuntukkan RM500,000 setiap tahun untuk kerja penyelenggaraan dan pembersihan SPEG bagi memastikan keberkesanannya dalam mengurangkan serangan gajah liar. “Basong Rangers ditubuhkan sebagai projek perintis yang melibatkan kerjasama erat antara komuniti dengan Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Jabatan PERHILITAN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta beberapa agensi lain. “Pasukan ini bertanggungjawab memantau dan mengambil langkah segera dalam mengawal pencerobohan gajah liar di Kampung Basong,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Operasi Bersepadu Basong Rangers Kali 1/2025 bertempat di Pos Kawalan Sementara Kampung Basong semalam. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Lizan Mat dan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Zainul Mujahidin Mat Yudin. Media pada 5 Oktober lalu melaporkan seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar ke kebunnya di Kampung Basung, ditemui maut dengan kesan lebam seluruh badan dan hidung berdarah. Mayat Musa Ahmad, 65, dijumpai kira-kira jam 7 pagi dalam semak yang dikatakan laluan gajah liar di kawasan bawah laluan kabel berhampiran kebunnya.    
14 Jan 25
461
Kedai ‘Ditelan’ Ombak, Warga Emas Hilang Punca Pendapatan
Kedai ‘Ditelan’ Ombak, Warga Emas Hilang Punca Pendapatan
KUALA NERUS, 14 Januari - Seorang warga emas hilang punca pendapatan utama selepas kedai makan dan bangsal memproses hasil laut yang diusahakan sejak 20 tahun lalu di Kampung Tanjung, Pantai Batu Rakit di sini, roboh ekoran dibadai ombak besar.  Manan Ali, 70, berkata dia berputih mata melihat kemusnahan perusahaan tersebut yang merupakan perniagaan turun temurun daripada ayahnya. Menurutnya, bangsal  yang dibina pada tahun 1990 pada mulanya terhakis pada tahun lepas tetapi selepas dibuat benteng batu, keadaan kembali stabil. Namun katanya, Monsun Timur Laut (MTL) pada tahun lepas menyaksikan  hakisan yang semakin teruk apabila ombak yang membadai memusnahkan pantai Batu Rakit dan persekitarannya. "Hakisan tahun ini terburuk dalam tempoh 20 tahun, ombak besar serta angin kencang kali ini berlainan berbanding tahun-tahun sebelumnya dan sangat menakutkan dalam sejarah saya tinggal di sini. “Pada tahun lepas, pada  29 November, belakang kedai runtuh, diikuti runtuhan kedua pada 28 Disember. "Kejadian pada jam 9.30 malam semalam menjadi peristiwa hitam bagi kami apabila angin kuat dan ombak besar meranapkan kedai yang menjadi punca rezeki keluarga,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika ditemui. Bapa kepada dua anak itu berkata dia ,redha dengan ujian berkenaan namun berharap ada  penyelesaian terbaik untuk membantu penduduk di kawasan itu yang diancam masalah hakisan serius.
14 Jan 25
206
Keuntungan Selepas Cukai Terengganu Inc Dijangka Naik 200 Peratus
Keuntungan Selepas Cukai Terengganu Inc Dijangka Naik 200 Peratus
KUALA TERENGGANU, 13 Januari – Keuntungan selepas cukai (PAT) syarikat pelaburan strategik kerajaan negeri, Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) dijangka naik melebihi 200 peratus bagi 2024 berbanding 2023. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, berdasarkan laporan kewangan terakhir untuk tahun 2024 yang masih belum diaudit, pendapatan dijangka meningkat kepada RM21.6 juta. “Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 15.5 peratus berbanding RM18.7 juta pada tahun 2023. “Manakala dari segi keuntungan selepas cukai (PAT), prestasi Terengganu Inc dijangka meningkat dengan begitu memberangsangkan. “Iaitu kenaikan melebihi 200 peratus berbanding tahun sebelumnya, iaitu berjumlah RM10.6 juta pada tahun 2024 dan RM3.3 juta pada tahun 2023," katanya. Beliau berkata demikian dalam satu hantaran melalui akaun Facebook rasminya semalam. Menurut Ahmad Samsuri, bagi tahun ini pula, Terengganu Inc menyasarkan jumlah hasil pendapatan mencecah sehingga RM2.27 bilion. Bagi merealisasikan sasaran itu, beliau menyeru seluruh kakitangan untuk terus bekerja keras sebagai satu pasukan "Setiap individu mempunyai peranan penting dalam mencapai kejayaan organisasi. “Kita berada dalam satu perjalanan yang mencabar tetapi tidak mustahil untuk dicapai atau dilaksanakan,” tegasnya. Beliau turut mengimbau perjalanan Terengganu Inc sejak kerajaan negeri mengambil alih tampuk kepimpinan pada Mei 2018, sambil mengaitkan pencapaian organisasi itu dengan pepatah motivasi daripada filem-filem ikonik antarabangsa.
13 Jan 25
1038
Terengganu Rancang Labuh 140 Tukun Tiruan
Terengganu Rancang Labuh 140 Tukun Tiruan
KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Kerajaan negeri dalam perancangan untuk merancakkan lagi sektor perikanan di negeri tersebut dengan melabuhkan 140 unit tukun tiruan pada tahun 2025. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, setiap daerah kecuali Hulu Terengganu akan diperuntukkan 20 unit tukun tiruan pada tahun ini. “Bagi tahun 2025, kita (kerajaan negeri) target untuk melabuhkan 20 unit tukun tiruan bagi setiap daerah kecuali Hulu Terengganu. “Bermakna kita akan melabuhkan 140 unit tukun dengan peningkatan 40 unit ketimbang 100 unit pada tahun 2024. Beliau berkata demikian dalam satu hantaran akaun Facebook rasminya, semalam. Dalam usaha yang sama, sebanyak 1,579 unit tukun tiruan telah dilabuhkan oleh kerajaan negeri dengan peruntukan berjumlah  RM13 juta, bermula sejak tahun 2006 sehingga tahun lepas. Dalam pada itu, beliau yang juga ahli dewan undangan (ADUN) Jabi, turut menjelaskan bahawa sektor perikanan air tawar juga akan diberikan insentif bagi memenuhi keperluan nelayan darat di kawasan Hulu Terengganu.     “Hulu Terengganu walaupun ada Pantai Ali, tapi kita tak dapat nak labuh tukun. “InsyaAllah, kita ganti dengan program pelepasan benih anak ikan ke sungai dan tasik sebagai sumber rezeki nelayan darat,” tambah beliau. Untuk makluman, Terengganu juga termasuk antara negeri yang berada di kedudukan teratas dalam pengeluaran benih ikan, menghampiri satu billion ekor pada tahun 2020.
13 Jan 25
314
Jalan Pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit Ditutup Sepenuhnya
Jalan Pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit Ditutup Sepenuhnya
KUALA NERUS, 13 Januari - Jalan Pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini, ditutup sepenuhnya apabila laluan dari Batu Rakit menghala ke Mengabang Telipot runtuh akibat dibadai ombak, kira-kira 9 malam tadi. Laluan sepanjang kira-kira 50 meter (m) itu dikatakan runtuh selepas dibadai ombak besar setinggi 2.4 m serta angin kencang bermula 6 petang dan berlarutan sehingga awal pagi ini. Tinjauan pagi tadi mendapati, terdapat rekahan baru dan dijangka menjadi lebih teruk apabila ombak pada malam ini  dikatakan lebih tinggi mencecah sehingga tiga meter dengan kelajuan angin yang lebih kuat. Salah seorang penduduk yang ditemui, Mohd Nor Ali, 69, berkata sepanjang hidupnya, itulah pertama kali dia berhadapan hakisan paling teruk di Pantai Batu Rakit. “Sejak tahun kebelakangan ini, ombak makin dekat dan mengganas pada musim tengkujuh membuatkan kami semua rasa takut dengan situasi itu. “Kalau dulu kami ada pantai yang indah tetapi kini sebahagian besar hilang ditelan ombak termasuk kediaman, kedai dan tanah perkuburan yang turut musnah,” katanya. Berkongsi keresahan, Mohd Nor melahirkan kebimbangan jika tidak ada tindakan segera oleh pihak berwajib, tidak mustahil hakisan itu merebak sehingga ke pantai Merang, Setiu. “Segerakan benteng pemecah ombak supaya hakisan ini dapat disekat dan saya mohon terutama kerajaan pusat tolong percepatkannya kerana saya tahu ini bawah peruntukannya,” tambahnya lagi. Bagi Zamri Mohamad, 51, dia merasa sedih melihat tempat permainan zaman kecil telah lenyap apabila daratan pasir memutih kini hilang dari pandangan mata. “Dulu kawasan pantai dengan pasir lebih kurang 500 meter dari jalan raya tapi kini angkara ombak… semua itu telah lenyap dan hanya tinggal kenangan. “Redha tetapi tolong percepatkan benteng atau apa jua cara supaya kami tidak kehilangan lebih banyak memori di tanah kelahiran yang mana satu hari nanti  tidak mustahil ia akan hanya tinggal sejarah,” katanya.
13 Jan 25
1112
Hakisan : Terpaksa Punggah Kedai Elak Bencana Lebih Teruk
Hakisan : Terpaksa Punggah Kedai Elak Bencana Lebih Teruk
KUALA NERUS, 13 Januari - Enggan mengambil risiko kerugian, pemilik francais Kopi Payung Batu Rakit terpaksa memunggah sebahagian kedainya sebelum runtuh dibadai ombak. Muhd Rushdi Samsudin, 43, berkata dia terpaksa membuat keputusan tersebut apabila melihat situasi semakin memburuk sejak semalam. "Apa yang boleh kita selamatkan, saya bawa keluar barang-barang sejak semalam ekoran ombak yang sangat tinggi sampai cecah atap. "Pagi ni kita cabut atap dan tengok esok macam mana keadaannya kerana pokok kelapa depan kedai dah tumbang semuanya ke dalam laut," ujarnya ketika ditemui. Tambahnya, hakisan tetap berlaku walaupun terdapat timbunan batu menghalang di hadapan kedainya yang dibuat sejak tahun 2023. "Benteng batu berkenaan nampaknya tidak berupaya melawan ombak ganas pada kali ini. "Ini kerana batu-batu berkenaan makin mendap menyebabkan ombak berjaya menghakis tebing," ujarnya. Dia yang kerugian lebih separuh pendapatan sejak kejadian hakisan itu terpaksa mencari jalan untuk meneruskan perniagaannya. "Kita cuba berniaga dulu di kawasan tanah lapang depan kedai tapi jika  masih berisiko maka terpaksalah mencari lokasi baru untuk memulakan perniagaan," jelasnya. Dalam masa sama, dia berharap kerajaan persekutuan dan negeri dapat mencari solusi bagi masalah hakisan itu demi kebaikan semua pihak.  
13 Jan 25
1345
Hakisan Pantai Batu Rakit Kritikal, Kerajaan Terengganu Salur Bantuan RM80,000
Hakisan Pantai Batu Rakit Kritikal, Kerajaan Terengganu Salur Bantuan RM80,000
KUALA NERUS, 13 Januari – Kerajaan Negeri telah meluluskan bantuan segera bernilai RM80,000 untuk menangani masalah hakisan yang semakin parah di Pantai Batu Rakit, yang kini mengancam lebih enam buah rumah, jalan raya, serta kawasan perkuburan.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, berkata peruntukan tersebut akan digunakan untuk membina benteng batu bagi melindungi kawasan kritikal, termasuk sekitar rumah penduduk dan tanah perkuburan di Kampung (Kg) Pengkalan Maras. “Setakat ini, Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah meluluskan RM50,000 minggu lalu untuk membina benteng batu di kawasan perkuburan. “Hari ini, RM30,000 lagi diluluskan untuk melaksanakan gotong-royong menyelamatkan rumah yang terancam,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kawasan hakisan di Pantai Batu Rakit. Beliau menegaskan bahawa usaha segera ini adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam menjaga keselamatan penduduk. “Kami mahu pastikan semua penduduk selamat, baik nyawa mahupun harta benda mereka. “Walaupun jalan raya dan sebahagian rumah sukar diselamatkan, kami tetap berusaha sedaya upaya,” tambahnya. Menurut Mohd Shafizi, sehingga kini, empat keluarga telah dipindahkan dari kawasan berisiko di Pantai Batu Rakit ke Kg Kolam, dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan. “Alhamdulillah, keluarga yang dipindahkan kelihatan ceria dan berterima kasih atas usaha ini. “Keutamaan kami adalah keselamatan dan juga nyawa mereka,” ujar beliau. ADUN Batu Rakit turut menjelaskan bahawa ancaman hakisan masih berterusan dengan beberapa rumah dan kedai turut menjadi mangsa. “Mangsa hakisan kini kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian, menjadikan keadaan semakin meruncing. “Hakisan bukan sahaja memusnahkan rumah, malah ia turut meranapkan kedai-kedai yang menjadi sumber rezeki penduduk.  “Kita memohon doa daripada semua pihak agar Allah melindungi mangsa-mangsa ini, terutama rumah-rumah yang masih terancam,” jelasnya. Mohd Shafizi turut mengucapkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang tampil membantu, termasuk kontraktor dan syarikat swasta. “Saya ingin berterima kasih kepada GPQ Sdn. Bhd. dan Aen Projek, yang merupakan anak jati kampung ini, atas keprihatinan mereka. “Sumbangan batu daripada Rimbun Tekad Sdn. Bhd. sangat bermakna kepada penduduk dalam usaha membantu mengawal hakisan. “Dengan sumbangan ini, kami mengharapkan keberkatan dari Yang Maha Esa, semoga urusan penyumbang dan penerima dipermudahkan. Kami percaya, dengan doa dan sokongan semua, masalah ini dapat diatasi,” ujarnya.  
13 Jan 25
3437
Polis Pantau Empat Lokasi Pantai , Orang Ramai Dinasihatkan Jauhi Kawasan Berisiko
Polis Pantau Empat Lokasi Pantai , Orang Ramai Dinasihatkan Jauhi Kawasan Berisiko
KUALA NERUS, 13 Januari - Seramai 22 petugas termasuk pegawai dan anggota polis dikerah untuk menjalankan pemantauan secara berkala di empat lokasi pantai yang menjadi tumpuan orang ramai berikutan fenomena ombak besar dan angin kencang. Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, lokasi berkenaan adalah Pantai Tanjung, Pantai Mengabang Telipot dan Pantai Seberang Takir di Kuala Nerus serta Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu. Beliau berkata, pemantauan ini bertujuan memastikan keselamatan orang ramai susulan fenomena ombak besar dan angin kencang yang dijangka mencapai kelajuan 60 hingga 70 kilometer sejam (km/j) sepanjang minggu hadapan. "Malam ini dijangka berlaku air pasang besar pada jam 10 malam. Jadi, saya nasihatkan penduduk dan orang ramai agar tidak menghampiri kawasan pantai kerana ia sangat berbahaya. "Saya minta orang ramai tidak mengambil mudah soal keselamatan kerana kami dapati masih ramai, terutama golongan remaja yang berkumpul di tepi tembok di Pantai Seberang Takir untuk melihat ombak," katanya seperti dipetik melalui laporan Sinar Harian, hari ini.  Dalam pada itu, Azli berkata, dua jalan pantai iaitu di Kampung Mengabang Telipot dan Kampung Tanjung, telah ditutup sepenuhnya kepada semua pengguna jalan raya bermula Sabtu. Menurutnya, lokasi tersebut yang menjadi tumpuan orang ramai untuk aktiviti rekreasi terpaksa ditutup kerana rosak dan atas faktor keselamatan lain. "Kami terpaksa menutup jalan pantai Mengabang Telipot sepanjang 300 meter dan jalan Kampung Tanjung sekitar 330 meter sebagai langkah berjaga-jaga berikutan fenomena angin kencang dan air pasang besar. "Kami akan menutup jalan ini sehingga keadaan angin atau ombak kembali reda. Dalam tempoh ini, orang ramai boleh menggunakan beberapa jalan alternatif yang boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan," katanya. 
13 Jan 25
211