lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Guna Wang Ehsan Baiki Hakisan – Razali Ajar Razif
Guna Wang Ehsan Baiki Hakisan – Razali Ajar Razif
KEMAMAN, 16 Januari – Exco Kerajaan Negeri Terengganu menyifatkan cadangan pihak tertentu supaya kerajaan negeri menggunakan wang ehsan atau royalti petroleum untuk membaiki hakisan pantai sebagai suatu saranan yang 'luar biasa'.   Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris menyatakan pihaknya menghargai cadangan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman, namun beliau melihat tindakan tersebut mempunyai muslihat tertentu.   Katanya, Ahmad Razif yang juga bekas Menteri Besar Terengganu seakan berpura-pura tidak tahu tentang bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, sedangkan isu hakisan pantai jelas melibatkan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. “Cadangan ini agak luar biasa kerana wang royalti kita pun tak boleh seperti biasa. Jadi, kalau nak guna wang ehsan, nak pakai bagaimana,” katanya kepada pemberita selepas program tinjauan di Pantai Teluk Kalong, Kemaman, hari ini.   Jelas Razali lagi, masalah hakisan pantai sepatutnya diselesaikan melalui peruntukan khas bencana daripada kerajaan pusat, bukan dengan membebankan dana ehsan yang diperuntukkan untuk pembangunan rakyat.   “Saya menyokong usaha menangani masalah hakisan ini, tetapi adalah lebih baik kita mendapatkan bantuan daripada pusat. Wang ehsan ini perlu digunakan untuk perkara lain yang memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh,” ujarnya.   Terdahulu, Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, mengumumkan Kerajaan Negeri sudah meluluskan peruntukan segera sekurang-kurangnya RM80,000 bagi menyelesaikan hakisan di Batu Rakit. Beliau juga telah berhubung dengan Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam menoktahkan isu terbabit. Ahmad Samsuri turut mengingatkan agar isu hakisan tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.   Ahmad Razif sebelum ini mencadangkan Kerajaan Negeri menggunakan wang ehsan bagi menangani segera masalah hakisan pantai di Kuala Nerus.  Namun, pandangan tersebut mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuk Razali, yang menegaskan pentingnya memanfaatkan peruntukan bencana pusat tanpa menyentuh dana ehsan negeri.    
16 Jan 25
5836
Genjatan Senjata : Warga Palestin Akan Mula Kecapi Kebebasan
Genjatan Senjata : Warga Palestin Akan Mula Kecapi Kebebasan
KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Warga Palestin diharap akan mula mengecapi kebebasan dan kemerdekaan serta Masjid Al-Aqsa turut bebas dari kepungan regim zionis Israel.  Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalid Abdul Hadi berkata, ia susulan pengumuman Perdana Menteri Qatar, Mohammed Abdulrahman Al-Thani dalam sidang medianya sebentar tadi berhubung kejayaan rundingan gencatan senjata di Semenanjung Gaza. “Hamas serta kumpulan pejuang Palestin dan regim zionis Israel telah bersetuju dengan syarat dan ketetapan gencatan senjata.  “Ia sekaligus menamatkan perang dan kekejaman regim zionis Israel selama 15 bulan di semenanjung Gaza yang telah mengorbankan lebih 46,707 warga Palestin dengan lebih 110,265 yang lain dilaporkan cedera,” ujarnya dalam satu hantaran di laman rasmi Facebooknya, hari ini. Menurut Muhammad Khalil, semenanjung Gaza ketika ini hampir 70 peratus musnah, tiada kemudahan asas dan dalam keadaan amat memerlukan khususnya makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan asas. “Gencatan senjata tersebut akan bermula Ahad ini yang dikategorikan sebagai fasa pertama selama 43 hari dan diikuti fasa seterusnya sehingga bertukar menjadi 'permanent ceasefire' jika kesemua syarat dan ketetapan dipatuhi.  “Ketika ini ratusan lori yang membawa bantuan kemanusiaan mula memasuki semenanjung Gaza melalui pintu sempadan Rafah,” ujarnya. Katanya, berita gembira tersebut disambut meriah di seluruh pelusuk semenanjung Gaza termasuk di tebing barat dengan warga Palestin keluar ke jalanan untuk menyambut hari yang bersejarah ini.  “Ia turut disambut gembira di Yaman, Lubnan, Iran, Iraq, Turkiye dan Insya-Allah akan dikuti oleh negara dunia Islam yang lain. “Sepanjang konflik ini berlangsung, zionis Israel gagal mencapai objektif yang ditetapkan khususnya untuk menghancurkan Hamas.  “Sokongan rakyat Palestin kepada Hamas tidak berbelah bagi. Warga Palestin tidak mengalah dan tidak mampu ditewaskan,” ujarnya. Muhammad Khalil berkata, Allah SWT tidak menghampakan doa-doa hambanya yang dizalimi dan dianiaya apatah lagi oleh zionis yahudi laknatullah.
16 Jan 25
207
Hakisan Pantai : Fokus Penyelesaian, Jangan Main Politik - Dr Sam
Hakisan Pantai : Fokus Penyelesaian, Jangan Main Politik - Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 15 Januari - Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru orang ramai agar tidak mempolitikkan isu hakisan pantai Batu Rakit, sebaliknya mahu ia ditangani dengan pendekatan profesional.  Menurutnya, Kerajaan Negeri sedang giat mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan kesan hakisan yang didakwa berpunca daripada beberapa pembinaan terdahulu, termasuk Lapangan Terbang Sultan Mahmud. "Kita tak boleh nafikan kesan daripada pembinaan sebelum ini, tapi yang penting sekarang ialah bagaimana nak atasi kesan itu.  "Fokus kita adalah cari penyelesaian, bukan polemik atau tunding jari," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini. Tambah beliau, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan pelbagai pihak berautoriti dalam bidang ini, termasuk Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir. Ts. Osman Abdullah dan Pengarah Institut Oseanografi dan Alam Sekitar (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Ts. Dr. Mohd Fadzil Mohd Akhir untuk menjalankan simulasi menangani kesan hakisan. "Kami sedar tentang kesan ini dan sudah ambil langkah proaktif dengan menjalankan simulasi bersama pakar-pakar. "Mereka sedang kaji bagaimana nak kurangkan impak hakisan ini, termasuk di kawasan Batu Rakit,” ujar Ahmad Samsuri. Jelasnya untuk langkah segera, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM120,000 untuk mengawal hakisan pantai di kawasan tersebut.  "Baru-baru ini, kita keluarkan RM50,000 dan RM30,000 secara berasingan untuk menyelesaikan beberapa perkara semasa di batu rakit. “Manakala RM40,000 adalah bajet sebelumnya,” katanya. Justeru itu, beliau menyeru semua pihak, termasuk netizen dan pihak berkepentingan, supaya tidak mempolitikkan isu tersebut. "Hakisan ini isu serius yang perlukan perhatian semua pihak, jangan jadikan ia alat politik. "Kita perlu fokus untuk selesaikan masalah dan jaga keindahan negeri,” ujarnya.
15 Jan 25
669
Faizal Saari 'Mengganas', THT Kekal Menang Bergaya
Faizal Saari 'Mengganas', THT Kekal Menang Bergaya
KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Penyerang sensasi Pasukan Hoki Terengganu (THT), Faizal Saari membantu melengkapkan kemenangan kelima dengan menjaringkan empat gol dalam aksi pada petang ini menyaksikan pasukan itu berjaya mengalahkan Armed Forces HT (AFHT). Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk, Faizal Saari berjaya menjaringkan gol seawal minit kedua menewaskan penjaga gawang AFHT, Mohamad Akmal Yussaini. Selang lima minit perlawanan, THT sekali lagi meneruskan aksi cemerlang menerusi Mohamad Akhirmullah Anuar Esook meletakkan THT mendahului pihak lawan 2-0 sehingga tamat babak pertama. Bersambung aksi babak kedua, THT terus garang meratah pasukan lawan  dengan jaringan gol cantik yang dihasilkan oleh Faizal Saari sekali hasil umpanan rakan sepasukan terus menyaksikan THT mendominasi perlawanan dengan kemenangan selesa. Akhirnya, pihak lawan berjaya menghasilkan satu jaringan menerusi tendangan sudut penalti pada minit 38 menerusi Muhamad Nazrey Din pada minit ke-38 yang menjadikan kedudukan 4-1. Tidak cukup dengan itu THT terus mendera pelawat dengan menambah dua lagi jaringan menerusi aksi yang cukup cemerlang dipamerkan oleh Faizal pada minit ke-46 dan 48 sekali gus melakarkan kemenangan cukup bergaya buat THT pada aksi Liga Hoki Malaysia (MHL). Kemenangan kelima itu menyaksikan skuad kendalian Mohd Hafizi Baharom mengumpul 15 mata menerusi lima perlawanan. THT bakal berdepan Kelab Liaoning Men's HT pada 20 Januari ini juga di SHBB yang akan menjadi perlawan terakhir di tempat sendiri.  
15 Jan 25
162
Terengganu Percepat Pembinaan 'Breakwater' di Kawasan Kritikal
Terengganu Percepat Pembinaan 'Breakwater' di Kawasan Kritikal
KUALA TERENGGANU, 15 Januari – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu akan mempercepatkan pembinaan pemecah ombak 'breakwater' di kawasan-kawasan kritikal akibat hakisan yang kian meruncing pada masa terdekat ini. Pengarahnya, Osman Abdullah berkata keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, pagi tadi. "Projek tersebut berjalan seperti dalam jadual, dalam 20 peratus untuk persiapan, dan dijangka siap pada September 2026. "Kita boleh buat apabila musim monsun ini reda, sebab kita bermain dalam kawasan 'offshore' iaitu di tengah laut," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika ditemui hari ini. Tambah beliau, pihaknya telah memperuntukkan RM3.49 juta untuk kerja-kerja pengawalan hakisan di beberapa lokasi di sepanjang Pantai Batu Rakit pada tahun 2024. Dalam pada itu, JPS juga mengenal pasti 34 kawasan berdepan dengan masalah hakisan susulan fenomena ombak besar sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini. Pembinaan benteng pemecah ombak yang kini giat dijalankan melibatkan kawasan hakisan pantai di negeri ini mampu meminimumkan kerosakan terutama sepanjang musim tengkujuh.  
15 Jan 25
1778
Kerajaan Terengganu, JPS Kenal Pasti Strategi Segera Atasi Hakisan
Kerajaan Terengganu, JPS Kenal Pasti Strategi Segera Atasi Hakisan
KUALA TERENGGANU, 15 Januari – Kerajaan negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu telah mengenal pasti beberapa kaedah bagi melakukan tindakan segera berhubung isu hakisan pantai yang berlaku di negeri ini. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata keputusan itu dicapai selepas mengadakan perbincangan bersama JPS hari ini dan beliau sendiri meninjau keadaan hakisan di Batu Rakit pada Sabtu lalu. Menurutnya, terdapat tiga strategi utama meliputi jangka panjang, pendek dan semasa.  “Ada beberapa langkah kita buat termasuk yang kita rancangkan sedang berjalan antaranya meletakkan batu dan sebagainya. “Kita juga akan memulakan Pelan Komunikasi dengan masyarakat supaya mereka faham tindakan yang sedang diambil dan apa jua perkara  yang perlu tindakan atau pandangan mereka dalam menyelesaikan masalah itu. “Untuk jangka panjangnya, JPS sudah ada 16  pemecah ombak atau breakwater yang difahamkan telah siap dalam 20 peratus tetapi terpaksa berhadapan dengan monsun yang tidak ‘menunggu’ projek itu siap atau tidak dan kita terpaksa hadap jika ia sampai walaupun projek sedang berjalan.  “Selain itu, di seluruh Terengganu (pantai) ini juga ada pelbagai cara digunakan untuk hakisan selain dalam bentuk ‘breakwater’, benteng hakisan atau groin dan sebagainya mengikut kesesuaian tempat dan nasihat pakar-pakar daripada JPS dan konsultan kita,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika ditemui hari ini. Dalam masa sama, Ahmad Samsuri berkata beliau turut berhubung dengan Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) bagi menyelesaikan isu hakisan tersebut. “Selain projek yang sedang berjalan, saya juga berhubung dengan TPM yang juga Menteri PETRA dan difahamkan beliau telah berhubung dengan Pengarah JPS Terengganu tentang masalah ini. “Saya juga berhubung dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi supaya sama-sama dapat membantu kita dan respon dari mereka sangat baik dan kita cuba senaraikan apa perkara yang boleh dilaksanakan dalam masa terdekat ini sebagai tindakan awal,” ujarnya.
15 Jan 25
611
Langkah Hibrid Kawal Hakisan Pantai Terengganu
Langkah Hibrid Kawal Hakisan Pantai Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Januari - Langkah hibrid iaitu menggabungkan pembinaan pemecah ombak (breakwater) dengan tukun bagi meminimakan kesan hakisan pantai di negeri ini perlu dilakukan. Pro Naib Canselor (Strategi, Prestasi dan Korporat) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Ts. Dr Mohd Fadzil Mohd Akhir berkata, cadangan tersebut telah dipanjangkan kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. “Dalam pertemuan dengan Menteri Besar sebentar tadi, kita telah utarakan cadangan ini. “Maksudnya, ia antara solusi alternatif yang boleh dipertimbangkan kerajaan selain projek pembinaan pemecah ombak yang sedang dilaksanakan ketika ini,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas lanjut katanya, berdasarkan kajian dilakukan pasukan penyelidik UMT, langkah hibrid dilihat berpontesi mengawal isu hakisan pantai.  “Tukun sebenarnya boleh mengurangkan impak gelombang dan memberi perlindungan daripada ombak, apabila kita letakkan tukun di antara pemecah ombak, ia boleh mengurangkan hakisan. “Justeru, kita cadangkan tukun-tukun tiruan turut diletakkan secara tersusun di pesisir pantai yang berisiko di negeri ini,” ujarnya. Tambah beliau, kerajaan telah menyediakan langkah penyelesaian terbaik dengan membina benteng pemecah ombak namun ia gagal mencegah hakisan kerana ada antaranya masih belum siap dengan sempurna. “Kalau ikutkan perancangan, pembinaan benteng pemecah ombak siap sepenuhnya pada 2026, jadi bila tidak siap sepenuhnya memang akan ada kesan bila berlaku gelombang besar. “Justeru,dalam tempoh tersebut kita kena bersedia dengan alternatif tertentu kalau ada ribut atau gelombang besar yang datang,” ujarnya.  
15 Jan 25
624
Dua Keluarga Mangsa Rumah Dibadai Ombak Besar Terima Bantuan
Dua Keluarga Mangsa Rumah Dibadai Ombak Besar Terima Bantuan
KEMAMAN, 15 Januari - Dua keluarga yang merupakan mangsa rumah yang dibadai ombak besar di Kampung Geliga Baru akan menerima bantuan bayaran rumah sewa secara bulanan. Dua keluarga ini adalah Mohd Shazmie Izwan Safiyee, 35 tahun dan W.Ahmad Ritmauddeen W.Abu Bakar, 45 tahun yang  akan mencari rumah sewa di kawasan yang lebih selamat untuk didiami. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata laporan yang diberikannya kepadanya mendapati kedua-dua keluarga mangsa ini layak menerima bantuan ini. Menurutnya, bantuan rumah sewa secara bulanan ini akan ditanggung oleh pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). "Saya telah memanggil pihak MAIDAM untuk menyelesaikan perkara ini dan permohonan akan diproses secepat mungkin.  "Satu keluarga lagi yang terlibat telah mempunyai rumah yang lain manakala sebahagian besar yang tinggal di sini merupakan penyewa rumah. Saya menasihati mereka ini agar mencari rumah sewa yang lain," katanya ketika ditemui pemberita, kelmarin. Dalam pada itu Hanafiah turut mengingatkan kepada pemilik rumah di kawasan tersebut agar tidak lagi memberikan rumah mereka kepada penyewa lain. "Ianya adalah bagi memastikan keselamatan penduduk setempat diutamakan agar tidak ada perkara yang tidak diingini akan berlaku,"jelas beliau.
15 Jan 25
975
MPK-IGNIS Meterai Perjanjian Konsesi Bagi Pengurusan Sisa Pepejal
MPK-IGNIS Meterai Perjanjian Konsesi Bagi Pengurusan Sisa Pepejal
KEMAMAN, 15 Januari - Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan Syarikat Ignis Wawwa (Terengganu) Sdn.Bhd telah memeterai Perjanjian Konsesi Bagi Pengurusan Sisa Pepejal di Tapak Pelupusan Bukit Takal, Mak Chili dan Tapak Pelupusan Bukit Gelugor, Kerteh di Hotel Saujana Subang, Shah Alam, semalam. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata MoU antara kedua-dua pihak itu mampu memberi impak yang sangat baik dan berjaya mencapai objektif bagi memastikan sampah lama dan baru dapat diurus dengan sempurna. "Perkara utama adalah menjaga alam sekitar dan ia mampu memberi impak yang lebih positif dan memenuhi keperluan industri dan negara selaras dengan prinsip alam sekitar, kestabilan, dan tadbir urus," katanya yang juga menyaksikan majlis yang bersejarah itu. Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) MPK, Fadli Yusof Zakaria berkata kapasiti sampah yang dapat dijana di Daerah Kemaman adalah 200 tan per hari. "Keadaan kedua-dua tapak memerlukan proses pemulihan yang stabil dan terurus bagi memastikan sampah lama dan baru dapat diurus dengan sempurna. "Oleh yang demikian, pihak MPK telah bersetuju melantik Syarikat Ignis Wawwa (Terengganu) Sdn.Bhd bagi menjalankan proses pemulihan tersebut. "Projek yang dijalankan ini adalah bertepatan dengan konsep kerajaan negeri bagi mengguna pakai kaedah "Waste To Energy" yang memberi pulangan tinggi kepada pihak MPK," ujarnya. Katanya lagi, dengan memproses sisa pepejal di tapak pelupusan sampah, jangka hayat tapak pelupusan lebih panjang. "Ianya juga mampu memberi penjimatan perbelanjaan pengurusan sisa buangan yang ditanggung oleh MPK. "Selain itu, ia akan mengurangkan pencemaran air bawah tanah melalui teknologi hijau yang digunakan dan juga akan merancakkan ekonomi melalui penghasilan pelbagai produk dan hasil serta menyediakan peluang pekerjaan terutamanya kepada penduduk setempat,"jelas beliau.    
15 Jan 25
458
RM600,000 Bina Pelindung Pantai, Baiki Jalan Runtuh
RM600,000 Bina Pelindung Pantai, Baiki Jalan Runtuh
KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengangkat permohonan peruntukan RM600,000 di bawah Marris untuk kerja-kerja baik pulih jalan dan langkah pencegahan hakisan yang lebih serius. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat berkata pihaknya komited untuk menangani isu-isu berkaitan infrastruktur dan alam sekitar demi memastikan kehidupan rakyat terus terpelihara. "Kita akan membina struktur 'rock revetment' sepanjang 400 meter dengan kelebaran 1.5 meter dari bahu jalan sebagai pelindung pantai daripada hakisan. "Selain itu, dari jumlah tersebut, kita membuat pembaikan terhadap jalan sedia ada yang telah rosak. "Kerja-kerja ini dijangka dimulakan dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang, tertakluk kepada kelulusan peruntukan Marris dan keadaan semasa ombak akibat Monsun Timur Laut (MTL)," ujarnya dalam satu kenyataan. Tambah beliau, langkah itu penting bagi memastikan hakisan pantai tidak bertambah buruk dan untuk menjaga keselamatan serta kesejahteraan penduduk Kampung Tanjung. Terdahulu, hakisan pantai yang berlaku di Kampung Tanjung, Batu Rakit, Kuala Nerus akibat fenomena MTL telah mengakibatkan kerosakan jalan yang teruk. Bencana alam tersebut juga memberi ancaman kepada keselamatan penduduk serta harta benda di kawasan berkenaan.  
14 Jan 25
1494