Artikel "Semasa" Terkini
Hentikan Sementara Penggunaan Belon - MB
Kerajaan negeri akan menghentikan sementara penggunaan belon dalam program-program rasmi kerajaan sehingga diberitahu kelak.Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata kerajaan negeri akan mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk lakukan pemantauan terutamanya di kawasan-kawasan rekreasi.Katanya, kejadian yang berlaku tersebut tidak pernah terjadi dan laporan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah dilakukan."Saya telah menerima laporan dari pihak hospital dan sekarang ini kita masih menunggu laporan dari PDRM untuk melihat samada betul atau pun tidak mereka menggunakan gas helium kerana difahamkan gas tersebut tidak akan memberi impak sebegitu."PBT akan diarahkan untuk melihat penjualan belon terutama di tepi-tepi pantai untuk kita pastikan penggunaan gas tersebut adalah jenis yang tidak menyebabkan kebakaran," katanya.Beliau ditemui pemberita ketika melawat mangsa terlibat tragedi letupan belon di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, hari ini.Turut hadir isteri Menteri Besar, Halina Zakaria dan Pengarah HSNZ, Dr. Nor Azimi Yunus.Tambahnya, kerajaan negeri akan turut memastikan mangsa-mangsa yang terlibat dalam kes letupan belon di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam, diberi perhatian."Kejadian semalam telah melibatkan 31 mangsa dimana tujuh daripada mereka diwadkan akibat kecederaan yang dialami dan rata-ratanya merupakan anak kepada staf Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)."Kita akan lihat balik apakah keperluan-keperluan yang boleh kerajaan negeri bantu kerana sebahagian besar mangsa ini merupakan kanak-kanak yang mempunyai masa depan yang baik selain memastikan kejadiaan tersebut tidak memberi kesan kepada mereka," katanya.
21 Oct 16
48
Projek Perumahan Baharu Di Tok Jembal
Kerajaan negeri bakal melaksanakan projek perumahan baharu di kawasan hampir 12 hektar di Tok Jembal, Kuala Nerus dalam masa terdekat bagi memenuhi keperluan pelbagai golongan di situ.Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, menerusi projek perumahan di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) itu, sebanyak 300 unit rumah akan dibina dengan peruntukan kira-kira RM75 juta.“Setelah diberi subsidi oleh kerajaan, harga yang ditawarkan untuk rumah mampu milik dengan harga RM68,000 manakala rumah sederhana iaitu rumah teres satu tingkat di bawah RM200,000 dan RM300,000,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada Teganukita selepas menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-39 Koperasi Nelayan Kampung Seberang Takir Berhad, di Dewan Sivik Kampung Seberang Takir, hari ini.Turut hadir, Pengerusi Koperasi Nelayan Kampung Seberang Takir Berhad, Mohamad Ibrahim.Katanya, projek perumahan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah tetapi turut memberi manfaat kepada semua golongan yang memerlukan kediaman idaman.
21 Oct 16
113
Setiu Juara Bola Sepak Piala YAB Menteri Besar Terengganu
Pasukan Setiu menjulang Piala YAB Menteri Besar Terengganu apabila muncul juara selepas menewaskan Kuala Nerus 2-0 di Kejohanan Bola Sepak Liga Darul Iman 2016, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.Ketua Jurulatih pasukan tersebut, Rosli Hasyim berkata, pada separuh masa pertama, pasukannya menggunakan strategi menekan dan menyerang pihak lawan sebelum menukarnya pada masa kedua.“Separuh masa kedua pula, pertukaran pemain serta taktikal dilakukan bagi memburu gol sekaligus memenangi kejohanan ini.“10 minit terakhir, taktikal yang digunakan mula berhasil apabila pihak lawan mula kehabisan stamina dan pada masa itulah kita berpeluang menjaringkan dua gol kemenangan,” katanya.Turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Dato’ Rozi Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof.Dalam perlawan tersebut, gol kemenangan dijaringkan oleh penyerang pasukan itu, Muhd Nuruddin Yusof pada minit ke-80 dan 84.Dengan kemenangan itu, Setiu membawa pulang piala pusingan, medal dan wang tunai RM10,000 manakala naib juara, Kuala Nerus membawa pulang medal serta wang tunai (RM7,000).Berkongsi di tempat ketiga, pasukan Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu dengan masing-masing membawa pulang RM3,000.Kejohanan berkenaan adalah penganjuran kali kedua, selepas pertama kali diadakan pada 2014.
19 Oct 16
156
Hadiah 20 Rumah Mampu Milik Sempena Deepavali
Kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan 20 unit Rumah Mampu Milik (RMM) kepada kaum India di Terengganu yang berkelayakan sebagai hadiah sempena sambutan perayaan Deepavali 2016.Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan kaum itu dan tiada sebarang masalah untuk mengagihkan RMM kepada mereka yang memerlukan dan menepati syarat mendapat bantuan kemudahan itu. “Bermula tahun hadapan, sebanyak 20,000 rumah akan mula dibina termasuk RMM, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan sebagainya. Kita bersetuju untuk memperuntukkan 20 rumah bekenaan kepada kaum India di Terengganu,” katanya.Beliau menyampaikan berita gembira itu ketika berucap sempena Majlis Malam Deepavali 2016 di Primula Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi. Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Mohd Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof.Dalam ucapannya, Ahmad Razif turut berharap agar komuniti India di negeri ini dapat bekerjasama dengan lebih erat bersama kerajaan negeri dalam meningkatkan ekonomi, taraf hidup dan pembangunan Terengganu.Pada majlis tersebut, Menteri Besar turut menyampaikan Bantuan Dana Deepavali berjumlah RM91,000 kepada 260 penerima.
18 Oct 16
113
Bazar Warisan Dimajukan Semula Syarikat Dari China
Bazar Warisan yang terletak berhampiran Pasar Payang akan dibangunkan semula menjadi restoran Cina Muslim oleh sebuah syarikat swasta dari China, Amber Resources Sdn Bhd.Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri menyerahkan Bazar Warisan kepada syarikat itu secara pajakan."Selain restoran halal Cina Muslim, syarikat itu juga akan mewujudkan gerai makanan antarabangsa dan hotel bajet. "Kita telah pun menandatangani kontrak untuk menyerahkan Bazar Warisan secara pajakan selama 20 tahun dengan tambahan lagi lima tahun (berdasarkan prestasi syarikat) kepada Amber Resources Sdn Bhd,” ujarnya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Paya Bunga Sentral dan paya Bunga Square, Kuala Terengganu, semalam.Turut hadir, Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu, Samiun salleh.Katanya, kos pengubahsuaian Bazar Warisan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat tersebut."Mereka akan membuat pengubahsuaian di Bazar Warisan dan kos itu ditanggung mereka sepenuhnya, apabila siap kelak, Kuala Terengganu adalah cawangan kedua restoran itu yang terletak luar dari China selepas cawangan pertama di Kuala Lumpur, " katanya.
17 Oct 16
284
Bajet 2017 Terus Utamakan Kesejahteraan Rakyat
Kesejahteraan rakyat akan kekal menjadi keutamaan kerajaan negeri, walaupun terpaksa mengurangkan perbelanjaan pada pembentangan Bajet 2017 yang akan dibentangkan 30 November ini.Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata, walaupun negeri kini menghadapi kekurangan pendapatan, kebajikan rakyat tetap didahulukan serta tidak akan terabai."Kita menghadapi kekurangan pendapatan. Kita akan minimumkan dari segi pembangunan dan mungkin tidak banyak sangat projek-projek besar."Sebaliknya, bajet kita fokus kepada kesejahteraan rakyat, iaitu menyelesaikan isu- isu rakyat, bagaimana menambah pendapatan dan juga kebaikan kepada rakyat," katanya semasa diminta mengulas berhubung bajet 2017 selepas melawat Paya Bunga Sentral dan Paya Bunga Square, Kuala Terengganu, hari ini.Turut hadir, Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu, Samiun salleh.Beliau berkata, sehubungan dengan itu juga kerajaan melaksanakan transformasi ekonomi dengan tidak mengharapkan sepenuhnya bajet kerajaan negeri bagi menjalankan projek pembangunan, sebaliknya bekerjasama dengan syarikat swasta."Kita adakan kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta, di mana kerajaan negeri akan laksana projek berasaskan aset dengan menjadikan tanah sebagai aset kita sebanyak 30 peratus manakala modal 70 peratus lagi oleh syarikat swasta."Melalui konsep ini, ia tidak membebankan kewangan kerajaan negeri. Maka kewangan kerajaan negeri akan lebih fokus untuk kesejahteraan rakyat, termasuk bantuan kepada rakyat, pendidikan dan tidak ketinggalan kepada sukan yang telah banyak memberikan kekuatan dan mempopularkan Negeri Terengganu."Selain itu, kita juga memfokuskan bajet 2017 kita juga kepada program-program menjayakan Tahun Melawat Terengganu," katanya.
17 Oct 16
43
PMINT Square Beroperasi Menjelang 2017
PMINT Square, di tengah-tengah pusat bandar Kuala Terengganu yang dilengkapi pusat komersial, ruang pejabat serta hotel bakal mengubah landskap Bandar Raya Kuala Terengganu, apabila beroperasi sepenuhnya menjelang awal 2017.Komponen bangunan seperti Plaza Paya Bunga, Paya Bunga Square, Paya Bunga Sentral, Paya Bunga Hotel, Wisma PMINT dan Menara PMINT dihubungkan dengan jejantas pejalan kaki akan menjadi mercu tanda baru Terengganu yang merubah landskap pembangunan Kuala Terengganu khasnya dan Terengganu, amnya.Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, projek yang dibangunkan menerusi Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dengan kos RM500 juta masih dalam pembinaan dan dijangka siap selewat-lewatnya Februari tahun hadapan.Katanya, pusat boling 36 lorong di Paya Bunga Sentral akan dibuka terlebih dahulu kepada orang ramai pada Disember ini.“Manakala 11 panggung wayang yang ditempatkan di bangunan yang sama akan mula beroperasi Februari tahun hadapan kerana terdapat beberapa masalah berkaitan rekaan dalaman yang memerlukan tempoh sekurang-kurangnya empat bulan untuk disiapkan.“Apabila kedua-dua pusat rekreasi keluarga di Paya Bunga Sentral ini beroperasi sepenuhnya secara tidak langsung ianya menjadi kekuatan dalam mempromosikan Tahun Melawat Terengganu 2017,” ujarnya kepada pemberita ketika melawat Paya Bunga Sentral dan Paya Bunga Square, Kuala Terengganu, hari ini.Turut hadir, Pengurus Besar PMINT, Samiun Salleh.Katanya, kerja-kerja hiasan dalaman 215 bilik hotel di Paya Bunga Square sedang rancak dilaksanakan sebelum hotel itu dijangka beroperasi pada Februari ini.
17 Oct 16
191
8.5 Peratus Tapak Pembinaan Biak Aedes
Sejumlah 8.5 peratus tapak pembinaan yang diperiksa secara mengejut di negeri ini didapati positif sebagai tapak pembiakan nyamuk aedes yang menjadi punca penyakit denggi.Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, pihaknya setakat ini sudah memeriksa 317 tapak pembinaan dan 27 daripadanya memang sah menjadi tapak nyamuk itu membiak.“Sebanyak 4 premis dikenakan kompaun, 22 premis dikenakan tindakan mahkamah dan 6 premis ditutup di bawah Seksyen 8 (3) (aa). “Manakala 108 notis di bawah seksyen 8 dikeluarkan terhadap tapak bina yang didapati banyak bekas pembiakan,” ujarnya kepada pemberita selepas mengikuti operasi penguatkuasaan di sebuah tapak pembinaan di Kuala Terengganu, hari ini.Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia memandang serius perkara ini dan telah mengarahkan 'Operasi Mega Perangi Aedes' dilaksanakan mulai 23 September 2016 sehingga 23 Oktober 2016 di seluruh negara dengan memberi fokus kepada dua aktiviti.“Antaranya aktiviti gotong royong perdana di lokaliti wabak dan tanah lot kosong di seluruh negara serta operasi penguatkuasaan ke atas tapak binaan dan projek rumah terbengkalai,” ujarnya.Katanya, sebanyak 36 tapak bina dan 16 tanah lot kosong atau lokaliti wabak juga telah dikenalpasti di seluruh Terengganu untuk dibuat pemeriksaan sepanjang tempoh operasi tersebut.“Lima tapak bina di daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus (5), Marang (2), Dungun (4), Kemaman (8), manakala Besut, Hulu Terengganu dan Setiu masing-masing empat dan 2 lot kosong atau lokaliti wabak bagi setiap daerah.Katanya, aktiviti ini adalah sangat bersesuaian ekoran terdapat peningkatan kejadian kes denggi yang ketara beberapa minggu kebelakangan ini negeri ini.“Sehingga 10 Oktober 2016, negeri Terengganu telah mencatat 1,835 kes denggi dengan 15 kematian pada tahun 2016,” ujarnya.
12 Oct 16
501
KPWKM Dekati Masyarakat Daftar OKU
Azizah berbual mesra dengan pelajar OKU pada Program Roadshow Pelan Tindakan OKU 2016-2022 Zon Pantai Timur, di Taman Sinar Harapan, Kuala Terengganu, Foto oleh Zulkifli Putra.Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini giat mendekati masyarakat, termasuk di kawasan pedalaman bagi memudahkan mereka mendaftarkan ahli keluarga yang terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU).Timbalan Menteri kementerian itu, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, OKU merupakan kumpulan sasaran agensi terbabit demi menjamin kebajikan mereka.Katanya, sepuluh peratus daripada jumlah penduduk Malaysia terdiri daripada golongan OKU namun hanya 50 peratus atau seramai 392,055 daripadanya berdaftar sebagai golongan OKU.“Oleh itu, saya menyeru kepada semua lapisan masyarakat termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan yang mewakili kepentingan OKU, segera berbuat demikian bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan yang disediakan pelbagai agensi kerajaan dan swasta,”katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengikuti Program Roadshow Pelan Tindakan OKU 2016-2022 Zon Pantai Timur, di Taman Sinar Harapan, Kuala Terengganu, hari ini.Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud.Azizah berkata, melalui pelan tindakan yang diperkenalkan itu, menyenaraikan 10 teras strategik, termasuk meningkat aksesibiliti golongan OKU, memperkasakan ekonomi, meningkatkan akses bidang pendidikan, memperkukuhkan perkhidmatan sosial dan konvensyen mengenai hak OKU.“Apa yang dilaksanakan itu semata-mata mahu golongan OKU mendapat pembelaan sewajarnya, baik daripada segi kebajikan, pendidikan dan hak-hak tertentu,” katanya.
10 Oct 16
47
Usaha Tingkat Kesedaran Jaga Kesihatan Perlu Diperhebat
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud ketika merasmikan Simposium Anjakan Paradigma Kesihatan Sempena 10 Tahun KTS di Hotel Permai, hari ini. Foto oleh Tg Syamim Tg IsmailHospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) hari ini buat julung kalinya menganjurkan Simposium Anjakan Paradigma Kesihatan dengan menghimpunkan pakar yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud berkata, inisiatif KTS menganjurkan pertemuan antara para cendiakawan bagi membincangkan isu kesihatan itu harus dipuji dan wajar dicontohi semua pihak dalam membantu kerajaan mempertingkatkan kesedaran masyarakat tentang penjagaan kesihatan.“Apa yang kita harapkan daripada program ini supaya sedikit sebanyak dapat menyedarkan orang ramai bahawa pentingnya menjaga kesihatan.“Malah program dan aktiviti berkaitan kesihatan perlu diperbanyakkan bagi mempertingkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya pengabaian kesihatan,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Simposium Anjakan Paradigma Kesihatan Sempena 10 Tahun KTS di Hotel Permai, hari ini.Turut hadir, Pengerusi KTS, Dato’ Fatimah Hamat.Menurut Roslee, kesedaran mengenai kesihatan di kalangan masyarakat negeri ini masih rendah.“Justeru, kita sarankan supaya pakar-pakar kesihatan bukan setakat mengadakan perbincangan dalam bentuk simposium sahaja, malah harus turun ke peringkat akar umbi.“Usaha untuk menyedarkan orang ramai bahawa pentingnya penjagaan kesihatan perlu diperhebat termasuklah mengadakan program-program komuniti dengan masyarakat setempat,” ujarnya.
09 Oct 16
83