Artikel "Semasa" Terkini
Wira TBSS Hanelang Terima Ganjaran RM10,000
Ahmad Razif menyerahkan sumbangan kepada Sofian yang telah menamatkan kembara solonya sejauh 22,000 kilometer di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. Foto oleh Zulkifli Putra.Kerajaan negeri menghadiahkan insentif sebanyak RM10,000 kepada Wira TBSS Hanelang, Sofian Mohd yang berjaya menamatkan jelajah solo berbasikal mengelilingi dunia di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah, Kuala Terengganu, pada Sabtu lalu.Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ganjaran tersebut diberikan sebagai galakan kepada rakyat Terengganu supaya mampu mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang.Katanya, selain insentif berkenaan, wira negeri itu juga akan menerima ganjaran lain berikutan kejayaannya membawa nama Terengganu di persada antarabangsa.“Dato’ Rozi Mamat dan A. Latiff Awang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri telah diberi tugas untuk memberi Sofian ruang menceritakan pengalamannya terutama kepada pelajar sekolah, atlet-atlet serta belia di negeri ini sebagai motivasi kepada mereka.“Selain itu, kisah pengembaraan Sofian ini turut akan dimasukkan ke dalam galeri yang ditempatkan di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu bersama dengan kejayaan anak-anak Terengganu yang lain,” katanya.Beliau ditemui pemberita pada Program Minum Pagi Menteri Besar Bersama Wira TBS Hanelang di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu.Sofian memulakan jelajah solonya pada 1 Ogos 2015 dan berjaya menamatkannya selepas 16 bulan.Sepanjang tempoh itu, beliau berkayuh sejauh 22,000 kilometer melibatkan 22 buah negara.
15 Nov 16
174
Keluarga Arwah Alfian Dihadiahkan Rumah Pangsa Kampung Kolam
Ahmad Razif menyerahkan replika kunci kepada Fauziah ketika melawat ahli keluarga allahyarham Alfian di Rumah Pangsat Kampung Kolam, petang semalam . Foto oleh Zulkifli PutraKerajaan negeri menghadiahkan seunit rumah pangsa di Kampung Kolam, Kuala Terengganu kepada keluarga bekas pemain bola sepak Terengganu, Allahyarham Alfian Aziz, 36, yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 55, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Hentian Titiwangsa di Grik, Perak pada Ahad lalu.Keluarga berkenaan sebelum ini menyewa rumah itu dengan kadar RM105 sejak 1991 dan kerajaan negeri bersetuju menukarkan status rumah itu menjadi hak milik keluarga berkenaan.Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman yang mengunjungi keluarga malang itu, semalam turut melahirkan rasa simpati dengan nasib menimpa mereka yang hilang tempat bergantung selepas pemergian arwah yang sebelum ini membantu ibunya, seorang ibu tunggal, Fauziah Ngah, 58, bagi menanggung dan menguruskan enam adik beradiknya yang dikategorikan orang kurang upaya.Katanya, bkerajaan negeri menawarkan Rumah Mampu Milik di Banggol Tuan Muda, Manir tetapi Fauziah memohon untuk terus tinggal di Flat Seri Kolam.“ Mungkin dengan keadaan anak-anaknya selain sudah biasa dengan persekitaran dan jiran yang banyak membantu serta kemudahan asas yang lebih dekat dengan kawasan bandar.“Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban kerana selepas ketiadaan Alfian sememangnya memberi kesan besar kepada keluarga arwah," katanya ketika melawat ahli keluarga Allahyarham Alfian di Rumah Pangsa Kampung Kolam.Dalam laporan akhbar, Alfian maut manakala isteri dan dua anaknya berusia setahun dan tiga tahun cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan di KM 55, JRTB berhampiran Hentian Titiwangsa di Grik, Perak.Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, mangsa bersama keluarganya menaiki Perodua Alza dipercayai dalam perjalanan dari Alor Setar, Kedah, menuju Terengganu melalui laluan berkenaan sebelum kenderaan dinaiki hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan.Arwah yang juga anak sulung daripada lapan beradik mempunyai enam adik yang disahkan menghidap penyakit genetik menyebabkan empat daripada mereka diserang penyakit sawan manakala dua lagi dikategorikan sebagai hiperaktif.
15 Nov 16
451
JPNT Cadang Perkenal Program Budayakan Penjagaan Kesihatan, Keselamatan
Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) bercadang memperkenalkan beberapa aktiviti baharu dalam membudayakan penjagaan kesihatan dan keselamatan di kalangan pelajar sekolah negeri ini, tahun hadapan.Pengarahnya, Shafruddin Ali Hussin berkata, antara aktiviti itu seperti asas pertolongan cemas termasuk bantuan Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari (CPR).CPR ialah satu teknik untuk menyelamatkan nyawa yang digunakan ketika kecemasan apabila mangsa tidak bernafas dan nadi mangsa sudah tidak berdenyut.“Tahun depan, kita akan perkenalkan teknik CPR kepada guru-guru terlebih dahulu, mungkin akan dibuat simulasi, diberi latihan dan disertakan video sebagai panduan untuk mereka aplikasikan sekiranya terdapat kecemasan melibatkan pelajar sekolah.“Selain itu, latihan renang juga akan diperkenalkan JPNT kepada pelajar sekolah,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Kanak-Kanak Sahabat Bijak bertemakan ‘Safe and Protect’ di Sekolah Kebangsaan Seberang Takir, hari ini.Tambah beliau, selain itu, turut diperkenalkan seni mempertahankan diri, pendedahan oleh pasukan bomba mengenai aspek keselamatan dan perlindungan diri apabila binatang berbisa memasuk kawasan sekolah juga akan dilaksanakan.“Ini adalah antara perkara yang kita akan buat sebagai pendedahan awal kepada pelajar sekolah mengenai aspek keselamatan dan perlindungan berdepan dengan situasi di luar jangka,” ujarnya.
15 Nov 16
80
RM16 Juta Kepada Kontraktor G1 Seluruh Terengganu
Ahmad Razif menyerahkan inden kepada salah seorang kontraktor gred G1 pada Majlis Penyerahan Inden Kepada Kontraktor G1 Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini. Foto oleh Harish Fadzillah Kasim. Kerajaan negeri memperuntukkan RM16 juta kepada kontraktor gred G1 terutama kepada yang tidak pernah mendapat mana-mana projek sebelum ini di seluruh Terengganu.Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, bajet yang digunakan untuk pengagihan projek kepada seluruh 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan setiap DUN mendapat RM500,000.Beliau berkata, pengagihan projek yang bernilai bawah RM20,000 kepada kontraktor gred G1 adalah bagi menyelesaikan isu-isu menerusi Majlis Perundingan Rakyat (MPR).“Hasil daripada bengkel yang dilakukan oleh jawatankuasa MPR telah mengenalpasti apakah keperluan rakyat dan kita telah bersetuju untuk menyelesaikan sebahagian besar daripada projek-projek tersebut yang bernilai RM20,000 ke bawah.“Peruntukan untuk menyelesaikan projek-projek tersebut pula menggunakan bajet dari luar kerana kita tidak mahu kontraktor terburu-buru menyiapkan projek yang diserahkan sehingga menjejaskan mutu kerja mereka,”katanya.Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Inden Kepada Kontraktor G1 Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini.Turut hadir, Yang Dipertua DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato’ Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil. Ahmad Razif berkata, semua pejabat daerah pula diminta melakukan pemantauan kepada pelaksanaan projek-projek itu supaya berjalan lancar dan mengikut jadual.“Kita nak pastikan projek-projek yang dihasilkan ini dapat menyelesaikan isu MPR disamping membantu kontraktor G1 ini selain memberi peluang pekerjaan kepada mereka terutama dalam musim tengkujuh,” katanya.
14 Nov 16
178
Pusat Permindahan Banjir Qaseh OKB Mampu Tampung 350 Mangsa Banjir
Tengku Putera (kiri) kelengkapan asas untuk mangsa banjir pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Pusat Pemindahan Banjir Kompleks Qaseh OKB di Kampung Paya Besar, Hulu Terengganu. Foto Tg Syamim Tg Ismail Tiga pusat pemindahan banjir Kompleks Qaseh OKB yang bernilai RM2.5 juta sedia digunakan untuk penempatan sementara mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang, pada bila-bila masa.Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang, Dato' Tengku Putera Tengku Awang berkata, pusat pemindahan itu mampu menampung kira-kira 350 mangsa banjir yang kebiasaannya membabitkan penduduk Kampung (Kg) Paya Besar, Kg Bukit Tok Bat, Kg Batu 23 dan Kg Bukit Murtaja."Kompleks Pemindahan Qaseh di Kampung Bukit Tok Bat dan Kampung Paya Besar dibina membabitkan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM1.3 juta."Sementara yang dibina di Kg Batu 23 pula melalui peruntukan Kerajaan Pusat berjumlah RM1.2 juta,"katanya.Tengku Putera yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Pusat Pemindahan Banjir Kompleks Qaseh OKB di Kampung Paya Besar, semalam.Turut hadir, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Azmi Razik dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Terengganu,Norazmy Adenan.Projek pembinaan kompleks Qaseh OKB mula dilaksanakan pada 1 Oktober tahun lalu dan siap sepenuhnya 23 Disember 2015."Setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan semua keperluan termasuk khemah, tilam, tandas, bilik mandi dan sebagainya bagi menjamin keselesaan mangsa banjir."Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) turut menyediakan keperluan kit banjir seperti barangan penjagaan diri kepada setiap mangsa banjir," katanya.Tengku Putera turut memberitahu, dua pusat pemindahan banjir di Sungai Bajar dan Paya Besar akan digunakan sebagai pusat pemangkin pembangunan di kawasan tersebut kerana bangunan tersebut mempunyai dewan dan perkedaian yang boleh di majukan selepas musim banjir.Menurutnya, pusat pemindahan banjir di Kampung Bukit Tok Bat boleh dijadikan inap desa untuk disewakan kepada orang ramai dan pendapatannya akan disalurkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) kawasan tersebut.Katanya, bagi memudahkan pergerakan orang ramai terutama pesakit dan petugas hospital ke Hospital Hulu Terengganu akibat laluan yang menghubungkan bandar kuala berang terputus, penggunaan bas amfibia bomba akan digunakan termasuklah 'pontoon' sejauh 100 meter untuk laluan pejalan kaki.Selain itu, beliau berkata, permohonan kepada Kerajaan Pusat untuk menaiktaraf jalan tersebut dan meninggikan aras jalan sehingga 200 meter membabitkan peruntukan kira-kira RM18 juta pada tahun lalu, masih menunggu kelulusan.
13 Nov 16
398
Suntikan Kecantikan Vitamin C Tidak Dapat Kelulusan KKM
Basir bersama Mohamad melakukan gimik perasmian pada Program Sambutan Karnival Farmasi Bersama Duta Kenali Ubat Anda di Seberang Takir, Kuala Nerus, semalamJabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memberi amaran tegas kepada peniaga termasuk pengusaha ubat ubatan dan kosmetik agar tidak menjual produk yang tidak berdaftar dan kosmetik yang tidak bernotifikasi.Malah, pengguna juga dinasihatkan supaya mengelakkan pembelian ubat-ubatan khususnya produk kecantikan yang tidak mendapat kelulusan kementerian melalui atas talian.Pengarah jabatan itu, Dr Mohammad Omar berkata terlalu banyak produk kecantikan terutama suntikan vitamin C tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).Katanya, buat masa ini memang tiada produk suntikan mendapat kelulusan daripada kementerian tetapi banyak dijual di negara ini.“Malah, Jabatan Kesihatan Negeri melalui Cawangan Penguatkuasa Farmasi merampas 1,000 jenis ubat-ubatan dan kosmetik yang didapati melanggar peruntukan undang-undang yang dikuatkuasa kementerian bernilai hampir RM600,000."Rampasan berkenaan hasil daripada risikan dan serbuan terhadap premis perniagaan dan persendirian di seluruh negeri bermula Januari hingga Oktober lalu," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Sambutan Karnival Farmasi Bersama Duta Kenali Ubat Anda di Seberang Takir, Kuala Nerus, semalam.Hadir merasmikan program itu, Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Dato' Basir Ismail.Mohammad Omar berkata, sebahagian besar rampasan terdiri daripada ubat yang tidak berdaftar termasuk kosmetik tidak bernotifikasi dengan jumlah rampasan 953 jenis bernilai RM500,000."Sesetengah ubat dan kosmetik yang dirampas itu mengandungi racun yang disenarai di bawah Akta Racun 1952 seperti steroid, merkuri, hydroquinone, sibutranjbe dan agen peransang seks seperti sildenafil."Malah, sepanjang Januari hingga November ini, sebanyak 47 operasi serbuan sudah dijalankan atas premis yang disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta RacuN 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952 termasuk sembilan premis kediaman yang disyaki menjalankan perniagaan ubat-ubatan dan kosmetik tidak berdaftar,"katanya.
12 Nov 16
185
Wira TBSS Hanelang, Akhiri Jelajah Keliling Dunia
Wira TBSS Hanelang, Sofian Mohd, 56, mengakhiri jelajah solo berbasikal mengelilingi dunia di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah, Kuala Terengganu, kira-kira jam 11.00 pagi tadi.Menceritakan pengalamannya mengharungi 22 negara dengan jarak 22,000 kilometer tersebut, Sofian berkata ianya merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila dapat menamatkan perjalananan berbasikal pada hari ini.Beliau berkata, sepanjang pembembaraannya selama 16 bulan tersebut, pelbagai cabaran dan dugaan telah dilalui namun ianya tidak mematahkan semangat bagi menamatkan misi jelajah yang dimulakan pada Julai tahun lalu.“Dugaan terbesar yang saya terima semasa melakukan jelajah berbasikal secara solo ini adalah apabila menerima mendapat berita bahawa adik saya, Sukri Mohd meninggal dunia.“Saya menerima berita tersebut semasa berada di negara China. Selama tiga hari saya melakukan kayuhan sambil menitiskan air mata mengenangkan arwah,” katanya.Beliau ditemui pemberita selepas tiba di SMK Tengku Bariah, Kuala Terengganu, hari ini.Ketibaan beliau disambut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Dato’ Rozi Mamat, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zainal Abidin Hussein dan Pegawai Penyelaras DUN Ladang, Datuk Mohd Sabri Alwi.Tambah bapa kepada dua anak tersebut, perbezaan bahasa untuk berkomunikasi serta keadaan cuaca di negara-negara yang dilalui merupakan antara cabaran yang perlu ditempuhi oleh beliau.“Saya terpaksa tempuhi beberapa kesukaran untuk melepasi sempadan menggunakan bahasa ibunda mereka kerana sebahagian negara yang dilalui terutama di Asia Tengah mereka mempunyai rasa curiga terhadap warga asing yang tinggi.“Dari segi cuaca pula, saya perlu tempuhi cuaca sejuk melampau sehingga -20 darjah Celsius sehinggakan perlu memakai baju sebanyak lima lapisan, seluar (empat), stokin (tiga) serta sarung tangan (dua) supaya tidak mengalami masalah,” katanya.
12 Nov 16
240
Promosi Terengganu Di WTM 2016 London
Kerajaan negeri melalui Sekretariat Beautiful Terengganu bersama-sama 50 agensi kerajaan dari negara ini menyertai World Travel Market (WTM) di London sebagai usaha mempromosi Malaysia termasuk Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017.Program yang berlangsung selama tiga hari, berakhir 9 November itu turut disertai lebih 180 negara untuk mempromosi keunikan dan tarikan di negara masing-masing.Timbalan Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, berkata WTM 2016 merupakan program pelancongan terbesar di dunia dan platform terbaik bagi memperkenalkan Terengganu di mata dunia terutama kepada masyarakat Eropah.“Pihak kami mengambil langkah proaktif menjual nama Terengganu sempena WTM 2016 yang membolehkan pelbagai saluran dan ruang dimanfaat, bersemuka dengan pelbagai agensi pelancongan terkemuka dan media luar negara,” katanya dalam kenyataan kepada Teganukita sempena program itu.Pada program itu, gerai pameran pelancongan Terengganu telah dirasmikan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada 7 November lalu.Hadir sama Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail dan Timbalan Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Tengku Zaihan Che Abd Rahman.
09 Nov 16
82
Nasi Dagang, Keropok Lekor Sejuk Beku Masuk Pasaran Kota London
Makanan tradisional Terengganu, nasi dagang dan keropok lekor sejuk beku diperkenalkan kepada masyarakat di kota metropolitan London, menerusi Pameran World Travel Market (WTM) London 2016.Produk lain yang turut dijual di pameran antarabangsa tiga hari berakhir 9 November itu, adalah pakej-pakej pelancongan dibawa kerajaan negeri melalui Sekretariat Beautiful Terengganu.Inisiatif yang digembleng oleh kerajaan negeri bersama penggiat pelancongan itu bagi menarik pelancong asing ke negeri ini, terutama sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017.Timbalan Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, Terengganu bersama Pahang dan Perak menggunakan peluang WTM tahun ini bagi mempromosi produk dan keunikan negeri masing-masing melalui pakej kolaborasi tiga negeri.“Buat permulaan, wakil dari tiga negeri bersetuju mengadakan pelbagai aktiviti pelancongan melalui pakej lawatan sepuluh hari, sembilan malam dan sembilan hari, lapan malam,” katanya.Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz melancarkan nasi nasi dagang dan keropok lekor sejuk beku di Sidang Media Malaysia sempena WTM 2016.Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail dan Timbalan Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Tengku Zaihan Che Abd Rahman.Tetamu kehormat lain, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan Pahang, Datuk. Mohd Sharkar Shamsuddin.
09 Nov 16
91
Penduduk Kemaman Lebih Bersedia Hadapi Banjir
Seorang penduduk memindahkan barangan ke tempat lebih tinggi sebagai persediaan menghadapi musibah banjir yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Gambar oleh Tg Syamim Tg IsmailPenduduk di beberapa kawasan di Kemaman mula membuat persiapan bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir akibat air pasang besar yang diramal berlaku pada 14 November ini.Tinjauan Teganukita di Kampung Pasir Gajah, Chukai dan Air Putih yang terjejas teruk akibat bencana alam itu pada 2013 dan 2014, mendapati penduduk mula memindahkan barang-barang terutama dokumen penting ke tempat lebih tinggi di dalam rumah masing-masing.Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Pasir Gajah, Badrul Hisyam Jusoh berkata, majoriti penduduk kampung membuat persiapan awal dengan membina ruang khas untuk meletakkan barangan yang mudah rosak seperti perkakasan elektrik di tempat tinggi dan sebahagiannya pula sudah tersedia tempat penyimpanan barangan yang dibina selepas kawasan perkampungan itu terjejas teruk akibat banjir sebelum ini.“Dalam kejadian banjir pada 2013, kira-kira 1,000 daripada 2,130 penduduk kampung ini terlibat dengan bencana banjir dan terpaksa dipindahkan di pusat pemindahan. Suasana ketika itu sangat kelam-kabut. Pada masa yang sama, sistem telekomunikasi turut terjejas menyebabkan kesukaran untuk berhubung.“Kini, penduduk masih lagi trauma dengan bencana banjir besar yang pernah berlaku apabila harta benda musnah menyebabkan mereka lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pada tahun ini,” ujarnya kepada Teganukita.Seorang penduduk, Rosli Yusoff, 50, berkata, oleh kerana ketika banjir melanda dia tiada di rumah, semua perkakasan musnah dan dia hanya tinggal sehelai sepinggan tanpa sempat menyelamatkan apa jua barangan.“Mujurlah ketika kejadian kedua orang tua saya sempat dibantu orang kampung untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat. “Saya turut bersyukur kerana dengan keprihatinan kerajaan, pelbagai bantuan dalam bentuk makanan, keperluan asas dan sebagainya sampai dalam masa yang cepat kepada mangsa banjir di kawasan ini termasuk keluarga saya,” ujarnya.Seorang lagi penduduk, Mohd Nazri Othman, 45, berharap bencana banjir tahun ini tidak seteruk tiga tahun lalu.“Kami, penduduk kampung sentiasa dalam keadaan berwaspada dan berjaga-jaga. Bila masuk musim tengkujuh, kita terpaksa mengangkat barang-barang ke tempat lebih tinggi memandangkan telah ada pengalaman menghadapi bencana banjir yang teruk,” ujarnya.Zaharah Umar, 69, dari Air Putih pula mengakui, telah membuat persiapan awal kerana air selalunya naik dengan cepat setiap kali musim tengkujuh sehingga menyebabkannya tidak sempat menyelamatkan barang-barang seperti yang pernah berlaku pada 2013.Katanya, berdasarkan pengalaman sebelum ini, dia telah meletakkan semua dokumen penting serta barangan yang perlu dibawa di tempat yang mudah diambil, manakala selebihnya di tempat tinggi sekiranya berlaku banjir.“Memang kawasan rumah makcik selalu dinaiki air setiap kali banjir tetapi tidak teruk. Pada tahun 2013 memang makcik tidak akan lupa apabila rumah hanya nampak bumbung dan semua barang tidak dapat diselamatkan.“Makcik ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada kerajaan kerana banyak bantu kami mangsa banjir termasuk bagi bantuan kewangan, barangan elektrik dan sebagainya. Tanpa bantuan daripada kerajaan mungkin sukar untuk kami mulakan hidup baru,” katanya yang masih sukar untuk melupakan detik cemas berdepan musibah banjir waktu itu.
08 Nov 16
386