lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Tahun Melawat 2027 : Transformasi Pelancongan Jadi Keutamaan
Tahun Melawat 2027 : Transformasi Pelancongan Jadi Keutamaan
KUALA TERENGGANU, 27 Januari - Dengan keindahan semula jadi yang memukau dan kekayaan warisan budaya, Terengganu kini giat merancang strategi pelancongan mampan menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, berkata kerajaan negeri menyokong penuh inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 dan melihatnya sebagai batu loncatan untuk mempromosikan Terengganu ke peringkat antarabangsa.  "Kami bercadang untuk menjadikan Tahun Melawat Terengganu 2027 lebih ikonik dengan memperkenalkan produk pelancongan baharu dan menaik taraf fasiliti sedia ada,” katanya dalam Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), di Primula Beach Hotel, di sini semalam. Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi; Dato’ Nor Azmie Diron, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu; Dato' Mohd Nor Hamzah, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham. Menurut beliau, fokus utama adalah pada aktiviti pelancongan yang dekat dengan alam, seperti recreational vehicle (RV), camping, dan food hunting.  "Kami mahu menarik lebih ramai pelancong yang sukakan pengalaman unik.  "Aktiviti seperti ini bukan sahaja mempromosikan keindahan alam semula jadi Terengganu tetapi juga memberikan impak langsung kepada ekonomi tempatan," tambah beliau. Beliau turut mengulas mengenai rekod cemerlang sektor pelancongan Terengganu yang menerima 8 juta pelawat pada tahun 2024.  "Ini adalah pencapaian besar, dan kami berazam untuk meningkatkan angka ini dengan menyediakan pengalaman pelancongan yang lebih menarik dan mesra pengunjung,” jelasnya. Dalam usaha itu, kerajaan negeri telah memperuntukkan dana untuk memperbaiki fasiliti pelancongan di pulau-pulau peranginan seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, dan Pulau Kapas.  "Kami ingin memastikan setiap pelawat yang datang ke Terengganu membawa pulang pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” katanya. Dato’ Nara Setia juga menekankan bahawa pelancongan bukan sekadar menarik pelawat tetapi juga membantu komuniti setempat.  "Pelancongan mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat, dan mempromosikan warisan budaya negeri.  "Ia adalah tonggak penting dalam pembangunan ekonomi kami,” ujar beliau. Kerajaan Negeri turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan projek untuk memperbaiki kemudahan pelancongan dan mengurangkan kadar kehilangan air (NRW) di kawasan strategik.  "Pelan ini akan memastikan kemudahan asas lebih cekap dan bersedia menyambut pertambahan pelawat pada masa hadapan. "Dengan perancangan rapi dan komitmen tinggi, Terengganu kini bersedia untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia dan rantau Asia," katanya.
27 Jan 25
194
RMK13: Terengganu Pacu Keterjaminan Makanan, ECRL Jadi Pemangkin Logistik
RMK13: Terengganu Pacu Keterjaminan Makanan, ECRL Jadi Pemangkin Logistik
KUALA TERENGGANU, 28 Januari - Dalam usaha mencapai keterjaminan makanan yang mampan, Kerajaan Negeri Terengganu merangka strategi holistik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk memanfaatkan kelebihan infrastruktur East Coast Rail Link (ECRL) bagi mengukuhkan rantaian bekalan pertanian. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, berkata sektor pertanian menjadi tunjang utama dalam memastikan keterjaminan makanan negeri.  "Kami komited meningkatkan pengeluaran melalui pertanian komersial dan teknologi moden bagi mencapai kadar self-sufficient rate (SSR) yang lebih tinggi.  "ECRL pula akan menjadi laluan strategik untuk mengangkut hasil pertanian dengan lebih pantas dan efisien ke pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya ketika Sesi Libat Urus RMK13, di Primula Beach Hotel, di sini baru-baru ini. Turut bersama, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi; Dato’ Nor Azmie Diron, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu; Dato' Mohd Nor Hamzah, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham. Menurut Nara Setia, ECRL yang menghubungkan kawasan Pantai Timur dengan pusat ekonomi di Pantai Barat, membuka peluang besar bagi petani Terengganu untuk memperluas pasaran mereka.  "Dengan jaringan logistik yang lebih baik, hasil pertanian seperti padi, sayur-sayuran, dan hasil laut dapat dihantar ke destinasi dalam masa lebih singkat, sekali gus meningkatkan daya saing produk tempatan,” jelas beliau. Selain itu menurut beliau, Kerajaan Negeri turut memberi penekanan terhadap pembangunan sistem pengairan moden dan pengurusan risiko bencana.  "Kami memahami bahawa banjir sering menjejaskan produktiviti pertanian.  "Oleh itu, langkah seperti sistem saliran tahan lasak dan perlindungan tanah pertanian akan diperkenalkan," tambahnya. Nara Setia juga mengakui pentingnya kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan pelabur swasta untuk menjayakan visi ini.  "Dengan sokongan dana, teknologi, dan infrastruktur seperti ECRL, kami yakin Terengganu mampu menjadi hab keterjaminan makanan yang bukan sahaja memenuhi keperluan negeri tetapi juga negara," katanya penuh optimis. Beliau turut menegaskan bahawa peluang pelaburan dalam sektor logistik pertanian kini terbuka luas.  "ECRL membuka pintu kepada pelabur untuk membina kemudahan pengedaran, gudang simpanan sejuk, dan pusat pemprosesan makanan.  "Ini akan membantu mengurangkan pembaziran hasil dan meningkatkan nilai tambah produk pertanian. "Terengganu kini berada di landasan kukuh untuk memacu keterjaminan makanan sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai negeri ekonomi berdaya tahan di Malaysia," ujarnya.
27 Jan 25
215
Terengganu Catat Pelaburan RM3.178 Bilion pada 2024
Terengganu Catat Pelaburan RM3.178 Bilion pada 2024
KUALA TERENGGANU, 27 Januari - Terengganu mencatatkan kejayaan besar apabila menerima pelaburan sebanyak RM3.178 bilion pada tahun 2024, yang bukan sahaja mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelaburan berdaya saing tetapi juga membuka 2,356 peluang pekerjaan baharu untuk rakyatnya. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi Terengganu.  "Pelaburan yang diterima adalah hasil usaha gigih kerajaan negeri bersama Kerajaan Persekutuan dalam merangka dasar ekonomi yang kukuh.  "Ia membawa impak besar kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya. Beliau berkata demikian dalam Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), di Dewan Gamelan, Primula Beach Hotel, di sini semalam. Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi; Dato’ Nor Azmie Diron, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu; Dato' Mohd Nor Hamzah, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham. Menurut Nara Setia, selain rekod pelaburan yang memberangsangkan, Terengganu turut mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM38.2 bilion dengan pertumbuhan 2.3% pada tahun 2023.  "Sektor perkhidmatan mendominasi ekonomi negeri dengan sumbangan 52%, diikuti sektor perkilangan (36.9%) dan sektor pertanian (7.5%)," jelasnya. Beliau juga menekankan peranan infrastruktur strategik seperti East Coast Rail Link (ECRL) dalam menarik pelaburan baharu.  "ECRL adalah pemangkin utama pembangunan ekonomi Terengganu.  "Ia menghubungkan kita dengan Pantai Barat, menjadikan negeri ini lebih kompetitif, terutamanya dalam sektor logistik dan perdagangan," ujar beliau. Menurut beliau, pembesaran Pelabuhan Kemaman dan pembangunan konsep Transit Oriented Development (TOD) di sepanjang laluan ECRL turut menarik perhatian pelabur domestik dan antarabangsa.  "TOD akan mencipta pusat-pusat ekonomi baharu, sementara pelabuhan yang diperluas akan meningkatkan kapasiti logistik, memberi manfaat kepada sektor perkilangan dan eksport,” tambahnya. Pelaburan ini turut memberi kesan langsung kepada rakyat melalui penciptaan pekerjaan dan peningkatan taraf hidup.  "Peluang pekerjaan yang diwujudkan bukan sekadar angka, tetapi ia memberi jaminan masa depan yang lebih baik kepada rakyat Terengganu. "Dengan rekod pelaburan ini, Terengganu berada di landasan kukuh untuk terus maju dalam ekonomi mampan dan inklusif, menjadikan negeri ini hab pelaburan utama di Pantai Timur," ujarnya.
27 Jan 25
1607
Contohi Pendekatan Dana Amanah, Sarawak Pimpin Pelihara Tanah Melayu
Contohi Pendekatan Dana Amanah, Sarawak Pimpin Pelihara Tanah Melayu
KUALA TERENGGANU, 26 Januari – Cadangan penubuhan dana amanah oleh YAB Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, dilihat sebagai langkah proaktif dalam usaha memelihara pemilikan tanah milik orang Melayu, terutama di kawasan bandar. Ahli Parlimen, Ahmad Amzad, menyatakan bahawa cadangan ini selari dengan resolusi yang pernah dibincangkan dalam Perundingan Meja Bulat Lajnah Tanah PAS Pusat. “Perkara ini adalah sama seperti salah satu yg terkandung dalam Resolusi Perundingan Meja Bulat Lajnah Tanah PAS Pusat, “Tentang keperluan diwujudkan satu entiti yang didanai secukupnya untuk membeli mana mana tanah, hartanah milik orang Melayu yg sama ada disebabkan oleh lelongan, faraid dan seumpamanya terpaksa dilupuskan.” Beliau berkata demikian melalui satu hantaran Facebooknya. Dalam pada itu, Ahmad Amzad juga bersetuju bahawa tanpa kewangan yang mencukupi, waris Melayu sering kehilangan peluang untuk membeli semula tanah atau hartanah tersebut. Oleh hal yang demikian, akhirnya ia akan jatuh ke tangan pihak lain dan keadaan ini menyebabkan aset-aset penting masyarakat Melayu semakin terhakis. Cadangan YAB Premier Sarawak untuk menubuhkan dana amanah bertujuan mengatasi isu ini. Dana tersebut akan berfungsi sebagai mekanisme untuk membeli tanah atau hartanah yang dijual, memastikan pemilikannya kekal dalam kalangan masyarakat Melayu.  Sebagai contoh, dana amanah Satok berjaya membeli Arif Hotel yang sebelumnya perlu dijual kerana pembahagian faraid. Dengan dana tersebut, hotel itu kekal sebagai aset orang Melayu dan tidak terlepas kepada pihak luar. “Ini adalah langkah strategik untuk memperkukuhkan ekonomi masyarakat Melayu agar pemilikan aset kekal dalam komuniti kita.  “Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan Sarawak atas inisiatif ini,” tambah Ahmad Amzad. Namun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang itu turut meluahkan kekecewaannya di dalam hantaran itu apabila ada pihak yang menolak cadangan serupa dengan alasan beliau berfikiran sempit. “Ketika saya menyuarakan kebimbangan berhubung pemilikan tanah orang Melayu, terutama di kawasan bandar, seorang menteri persekutuan menuduh saya ‘berfikiran sempit’, asabiyyah, dan kononnya tidak mahu ‘move on’,” katanya. Beliau menegaskan bahawa ‘move on’ tidak bermaksud mengabaikan tanggungjawab untuk melindungi kepentingan agama dan bangsa. “Kita tidak boleh mengorbankan pemilikan tanah orang Melayu atas nama kononnya mahu ‘semua sama rata’. “Sebaliknya, kita perlu memperkukuhkan asas ekonomi masyarakat Melayu agar aset ini dapat diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya lagi.
26 Jan 25
593
Paijang Dalam Pemantauan, Pertuduhan Bergantung Kepada Rekod Kesihatan
Paijang Dalam Pemantauan, Pertuduhan Bergantung Kepada Rekod Kesihatan
KUALA TERENGGANU, 26 Januari – Kes insiden tular yang melibatkan Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, seorang lelaki kelainan upaya (OKU) yang diserang selepas terlibat dalam kemalangan di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, masih belum dapat dilanjutkan ke fasa pertuduhan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Paijang kini masih di bawah pemerhatian pihak hospital. Menurut beliau, pihak berkuasa perlu menunggu laporan perubatan yang lengkap sebelum mengambil langkah seterusnya dalam pendakwaan terhadap empat individu yang telah ditahan kerana menyerang Paijang. “Sehingga semalam, saya berhubung dengan pihak hospital. Masih lagi belum ada satu tarikh tertentu untuk kita selesaikan kes perubatan mangsa.   “Buat masa ini, setakat yang kita dimaklumkan, mangsa masih berada di bawah pemerhatian pihak hospital. Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas menyempurnakan majlis perasmian Kempen Keselamatan Kebakaran sempena Tahun Baru Cina tahun 2025 di Key Tronic Corporation (KTCC) Mall, hari ini. Dalam pada itu, Wan Sukairi menjelaskan beliau turut dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa mangsa berada dalam keadaan stabil. Keempat-empat suspek yang berusia antara 18 hingga 60 tahun itu kini sedang disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
26 Jan 25
364
Kempen Keselamatan Kebakaran Tingkat Kesedaran Rakyat
Kempen Keselamatan Kebakaran Tingkat Kesedaran Rakyat
KUALA TERENGGANU, 26 Januari - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu telah mengadakan satu Kempen Keselamatan Kebakaran bersempena perayaan Tahun Baru Cina bertempat di Key Tronic Corporation (KTCC) Mall hari ini. Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu, YS PPjB Nor Mahathir Muhamad berkata, tujuan kempen itu dilancarkan adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan masyarakat terutamanya sempena musim perayaan ini. “Saya percaya di musim cuti yang panjang ini, akan dimanfaatkan oleh masyarakat untuk menziarahi rakan dan saudara serta keluarga mahupun melakukan aktiviti riadah di tempat percutian rekreasi. “Namun, pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia ingin mengingatkan supaya langkah-langkah kawalan keselamatan kebakaran perlu sentiasa dititik beratkan bagi melindungi kita dari sebarang kebarangkalian musibah yang boleh berlaku. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Keselamatan Kebakaran tersebut hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Kesihatan Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah bagi menyempurnakan majlis pelancaran itu. Mahathir menegaskan bahawa kesiapsiagaan membendung kebakaran bergantung kepada persediaan awal daripada semua pihak masyarakat kerana ia mampu menentukan aspek keselamatan kebakaran. “Untuk tujuan itu, Pihak Bomba Dan Penyelamat Malaysia telah menfokuskan penegasan dan penguatkuasaan melalui pemeriksaan menghapus bahaya kebakaran (MBK) serta memastikan pematuhan kehendak kebombaan kepada setiap premis. “Ini bagi memastikan pembangunan infrastruktur dan juga ekonomi yang pesat di negeri ini terjamin daripada aspek keselamatan kebakaran seterusnya melindungi daripada risiko kemusnahan dan kehilangan nyawa”, ujarnya. Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa 103 pemeriksaan MBK pada tahun ini bermula sejak 13 Januari lalu telah dijalankan di premis tumpuan awam. Pemeriksaan itu dijadualkan untuk terus berkuatkuasa sehingga enam Febuari 2025. “Daripada pemeriksaan ini, sebanyak 26 notis telah dikeluarkan yang membabitkan pelbagai kesalahan.   “Seperti kegagalan membina penggera kebakaran, ketidakfungsian lampu papan tanda keluar dan pelbagai lagi perkara yang tidak mematuhi akta bomba 1988”, tambahnya.  
26 Jan 25
164
600 Helai 'Baju-T Percuma Untuk Geng Subuh Macam Jumaat 2.0 DUN Bandar
600 Helai 'Baju-T Percuma Untuk Geng Subuh Macam Jumaat 2.0 DUN Bandar
Oleh : Haida Al-Ayyash KUALA TERENGGANU, 26 Januari- Sebanyak 600 helai t-shirt akan diberikan secara percuma kepada peserta program Geng Subuh Macam Jumaat 2.0 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar yang bakal diadakan di Masjid Abidin, esok.  Pengarah Program Subuh Macam Jumaat 2.0, Syed Abdrahman Syed Hasan berkata, daripada jumlah itu, 100 helai dikhaskan untuk muslimah yang turut sama mengimarahkan masjid melalui program yang pernah mencetuskan fenomena pada tahun lalu. Katanya, agihan t-shirt secara percuma itu akan diberikan sewaktu pendaftaran pada hari program yang bermula seawal 4.30 pagi dengan mengenakan konsep siapa cepat dia dapat. "Program Subuh Macam Jumaat DUN Bandar 1.0 pada tahun lepas telah mencetuskan fenomena dengan limpahan jemaah menunaikan solat sehingga melepasi ke luar pagar Masjid Abidin dan juga jalan raya sekitarnya, maka program yang sama bakal diadakan juga tahun ini. "Bagi tahun 2025, yang memasuki tahun ke-2 penganjurannya bakal tampil lebih istimewa kerana ianya selari dengan kempen yang dibawakan oleh Kerajaan Negeri, iaitu Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM) yang baharu sahaja dilancarkan awal Rejab baru-baru ini. "Justeru, kita ambil tanggungjawab ini dengan menggerakkan kempen BPIM untuk tarik seramai mungkin warga Terengganu bersama dengan program kali ini," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman. Katanya, beliau optimis sekitar 3,000 jemaah akan hadir dalam kalangan muslimin dan muslimat termasuk kanak-kanak, remaja, belia sehingga di kalangan veteran. "Ayuh semua anak muda kita bangkit pada hari cuti peristiwa 'Israk Mikraj' dengan berqiamullail, solat subuh berjemaah, santai kuliah Subuh dan 'funwalk' bersama-sama asatizah selebriti iaitu Ustaz Syed Norhisyam dan teristimewa bersama Murabbi Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus", ujarnya.
26 Jan 25
971
Bukan Melayu Terengganu Tak Terpinggir
Bukan Melayu Terengganu Tak Terpinggir
KUALA NERUS, 23 Januari – Kerajaan Negeri Terengganu terus mempelbagaikan program melibatkan masyarakat bukan Melayu Islam bagi memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian kaum di negeri terbabit. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya tidak ketinggalan menganjurkan aktiviti ziarah komuniti Tionghua di Kampung Pulai Baharu, Tepoh bagi mengukuhkan perpaduan antara kaum. Katanya, program agihan limau Mandarin yang dijalankan petang semalam itu menjadi simbolik hubungan erat antara Kerajaan Negeri dan masyarakat pelbagai kaum. “Program agihan limau Mandarin ini adalah usaha tahunan pihak Kerajaan Negeri untuk meraikan kepelbagaian budaya di Terengganu. "Kami berpegang teguh kepada prinsip bahawa setiap rakyat, tanpa mengira kaum dan agama, adalah sebahagian daripada keluarga besar negeri ini. Agenda perpaduan dan keharmonian antara kaum sentiasa menjadi keutamaan kami,” ujar Hishamuddin selepas program itu. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulai Baharu, Lai Liang Qing bersama pimpinan setempat lain. Tahun ini, sebanyak 250 kotak limau Mandarin telah diagihkan kepada komuniti Tionghua di kawasan DUN Tepoh, termasuk JPKK Pulai Baharu, JPKK Taman Perumahan Wakaf Tembesu, JPKK Padang Air, JPKK Padang Nenas, JPKK Gong Badak 4, dan JPKK Jeram Hulu.   Hishamuddin sendiri hadir bagi menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kampung Pulai Baharu, manakala agihan di kawasan lain diselaraskan melalui Pengerusi JPKK masing-masing sebelum sambutan Tahun Baharu Cina. Menurut ADUN Tepoh itu lagi, sumbangan tersebut diharap dapat memberikan kegembiraan dan keceriaan kepada masyarakat Tionghua sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Dalam pada itu, 'Uncle Ho', salah seorang penerima bantuan, menyatakan rasa terharu dengan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap masyarakat Tionghua di kampung tersebut. “Kami rasa dihargai dan disayangi. Terima kasih atas usaha Kerajaan Negeri Terengganu yang tidak pernah mengabaikan komuniti kami,” katanya. Selain itu, Hishamuddin turut memaklumkan beberapa program lain yang dirancang selepas perayaan ini untuk terus mengeratkan hubungan dengan komuniti Tionghua. "Antaranya ialah Jamuan Makan Malam di Dewan Kampung Pulai Baharu, yang dianjurkan bersama oleh JPKK Kampung Pulai Baharu dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh. “Pendekatan ini bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan keikhlasan kerajaan dalam memastikan tiada kaum yang merasa terpinggir. Terengganu adalah negeri yang majmuk dan aman, dan kita akan terus berusaha mengekalkan keharmonian ini demi generasi akan datang,” tambah beliau. Usaha ini menjadi bukti jelas bahawa Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa komited dalam menjaga kebajikan semua rakyatnya, tanpa mengira bangsa dan agama, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan antara kaum di negeri ini.  
26 Jan 25
1134
KPDN Pantau Harga Barangan Sempena Tahun Baharu Cina
KPDN Pantau Harga Barangan Sempena Tahun Baharu Cina
Oleh : Muhamad Irfan KUALA NERUS, 26 Januari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Terengganu akan memantau harga barangan di negeri ini bagi memastikan ia terkawal sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata KPDN Terengganu telah mepaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2025. Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan harga barangan tidak melambung tinggi sepanjang musim perayaan. “KPDN mengambil inisiatif memperkenalkan skim ini kerana pada musim perayaan, ramai peniaga cenderung menaikkan harga barangan tanpa kawalan. "Oleh itu, kerajaan bertindak menetapkan harga siling untuk memastikan harga kekal stabil dan berpatutan,” katanya. Majlis pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2025 telah diadakan di Pasar raya Xiri, Kuala Nerus, dan skim kawalan harga ini akan dilaksanakan bermula 25 Januari hingga 2 Februari 2025. Ariffin turut menjelaskan bahawa kawalan harga tersebut hanya melibatkan 15 jenis barangan keperluan terpilih, antaranya minyak masak, telur, bawang putih dan bawang besar. “Di bawah skim ini, harga barangan keperluan tersebut akan berada di bawah harga maksimum yang diluluskan oleh kerajaan. Langkah ini penting untuk mengelakkan kenaikan harga melampau yang boleh membebankan pengguna,” jelasnya. Beliau juga menegaskan bahawa pihak berkuasa akan menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan semua peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan. Jelasnya, mana-mana pihak yang melanggar peraturan kawalan harga akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang. Kerajaan Negeri Terengganu berharap usaha tersebut dapat meringankan beban rakyat, terutama pengguna yang menyambut Tahun Baru Cina dan pada masa yang sama memastikan keharmonian dalam ekosistem ekonomi tempatan.
26 Jan 25
145
'Fun Run' Dungun 2025, Didik Peserta Patuhi Syariah
'Fun Run' Dungun 2025, Didik Peserta Patuhi Syariah
DUNGUN, 25 Januari - Acara 'Fun Run Tahun Baru 2025 Jambatan Seberang Pintasan' bukan sekadar bersukan tetapi juga untuk mendidik peserta supaya mematuhi syariah. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, program berkenaan memperkenalkan budaya mesra syariah kepada masyarakat dengan bersukan tetapi menutup aurat. Penganjuran program juga tambahnya, selaras dengan ajaran Islam yang amat menggalakkan umatnya bersukan sebagai usaha untuk menjaga kesihatan badan. "Untuk beribadat kepada Allah SWT kita memerlukan badan yang sihat agar ibadat kita lebih berkualiti, jadi aktiviti sukan membantu kita menjaga kesihatan tubuh badan. "Namun, dalam bersukan, masyarakat perlu di didik mematuhi syariat yang datang daripada Allah SWT terutamanya dalam pematuhan dan tatacara menjaga aurat dan pergaulan. "Sebab itu, antara syarat kita letakkan ialah setiap peserta yang ingin menyertai program ini maka perlu berpakaian patuh syariat," katanya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup acara tersebut di Padang Bola Kampung Seberang Pintasan di sini, semalam. Seramai 500 peserta di seluruh Dungun telah mengambil bahagian melibatkan dua kategori larian iaitu sejauh 5 kilometer dan 2.5 km (kategori pra sekolah).   
25 Jan 25
217