lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Tadabbur Al-Quran 'Resipi' Umat Cemerlang
Tadabbur Al-Quran 'Resipi' Umat Cemerlang
DUNGUN, 24 Januari - Ayat-ayat al-Quran bukan sekadar hikmah, sebaliknya ia merupakan panduan yang membawa kesejahteraan di dunia dan Akhirat. Demikian titah disampaikan KDYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin sewaktu berkenan mencemar duli mewakili KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin dan membaca teks titah ucapan KDYMM seri paduka ayahandanya. "Beta menyeru hadirin-hadirat dan rakyat jelatan keseluruhannya agar tidak hanya menjadikan al-Quran sebagai bacaan, tetapi menghayati dan mentadabbur isi kandungannya. "Marilah kita terus berusaha mempraktikkan ajaran-ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian. Semoga dengan berpegang teguh kepada wahyu Ilahi, kita mampu menjadi umat yang cemerlang. "Beta mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), atas usaha berterusan qari dan qariah berkualiti serta hafiz dan Hafizah yang unggul," titah Baginda ketika berucap menyempurnakan Majlis Penutup Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat Negeri Terengganu di Arena Merdeka, di sini semalam. Terdahulu, keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Muda Terengganu, diiringi adindanya Tengku Sri Setia Mahkota Raja pada jam 9.00 malam disambut Menteri Besar, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman serta Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah dan isteri. Hadir sama menyambut keberangkatan tiba ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nara Setia dan isteri, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham dan isteri, serta Penasihat Undang-undang Negeri, Mohd Nawawi Ismail dan isteri. Majlis dimulakan dengan persembahan ucapan Menteri Besar dan persembahan bacaan al-Quran oleh bekas pemenang qari dan qariah antarabangsa kelahiran Terengganu iaitu Ahmad Tarmizi Ali dan Nor Hidayah Abd Rahman. Tengku Muhammad Ismail seterusnya berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada para pemenang sebelum berangkat pulang pada sekitar jam 10.30 malam.
24 Jan 25
266
Hotel Paya Bunga Kini Bertaraf Empat Bintang
Hotel Paya Bunga Kini Bertaraf Empat Bintang
KUALA TERENGGANU, 23 Januari – Hotel Paya Bunga (PB) di Terengganu kini secara rasmi diiktiraf sebagai sebuah hotel bertaraf empat bintang bagi kategori hotel bandar. Pengiktirafan ini diberikan di bawah Penggredan Bintang Premis Penginapan Pelancongan (PPP) oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).  Majlis penyerahan sijil telah diadakan baru-baru ini dengan penyerahan dilakukan oleh Pengarah MOTAC Terengganu, Mazshida Ruslal, kepada Pengurus Besar PB Hotel, Abdul Hadi Alias. Menurut kenyataan pihak hotel, pengiktirafan tersebut menjadi simbol kejayaan usaha mereka dalam menawarkan perkhidmatan dan hospitaliti berkualiti tinggi kepada para tetamu. "Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MOTAC atas pengiktirafan ini.  “Ia pastinya menjadi pemangkin semangat buat kami untuk terus memberikan perkhidmatan dan hospitaliti yang cemerlang kepada semua tetamu kami," katanya. PB Hotel, yang terletak di tengah-tengah Kuala Terengganu, merupakan sebahagian daripada kompleks bersepadu Paya Bunga Square, Sentral, dan Plaza, dengan akses mudah melalui jambatan berhawa dingin.  Hotel ini menawarkan 208 bilik dan suite yang menggabungkan elemen budaya tradisional Terengganu dengan kemudahan moden, termasuk bilik standard, suite keluarga, dan suite eksekutif dengan pemandangan bandar atau laut. Hotel ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, ruang acara, dan dewan besar, menjadikannya pilihan utama bagi pelancong perniagaan, pelancong santai, dan penganjur acara.  Reka bentuk interiornya menonjolkan elemen warisan budaya Terengganu, memberikan pengalaman unik kepada para tetamu. Selain itu, lokasi strategiknya yang berhampiran mercu tanda utama seperti Chinatown, Pasar Payang, dan Masjid Sultan Zainal Abidin, PB Hotel terus memainkan peranan penting dalam menyokong sektor pelancongan negeri. Sempena pengiktirafan berkenaan, Hotel PB berhasrat untuk mengekalkan dan meningkatkan kualiti perkhidmatannya, sejajar dengan visinya untuk menjadi pilihan utama penginapan di Terengganu. 
23 Jan 25
2732
NACCOL Janji Selesai Isu Beras Dalam 3 Bulan, Realistik atau Retorik? - Dr Azman
NACCOL Janji Selesai Isu Beras Dalam 3 Bulan, Realistik atau Retorik? - Dr Azman
KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Kenyataan Ketua Task Force Pemantauan Kluster Makanan (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz, yang percaya beliau dapat menyelesaikan masalah padi dan beras dalam tempoh tiga bulan, menimbulkan persoalan.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim, meluahkan keraguan terhadap cadangan NACCOL tersebut.  Menurut beliau, masalah padi dan beras bukanlah isu yang boleh diselesaikan dalam masa yang singkat. "Isu ini bukan sesuatu yang boleh selesai dalam tiga bulan sahaja.  "Ia melibatkan kenaikan kos yang memberi kesan mendalam kepada pesawah, dan kita perlukan lebih daripada sekadar janji kosong untuk menanganinya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu. Azman tidak menafikan kesan besar yang ditanggung oleh sektor pertanian akibat kenaikan harga diesel yang melambung tinggi. "Kesan berantai kenaikan kos yang ditanggung oleh pesawah akibat kenaikan harga diesel memang tidak dapat dinafikan.  "Kos bajak sawah, kos meratakan sawah, kos jentuai, kos tambang lori dan lain-lain semuanya telah naik, yang jatuh hanyalah air mata petani,” tambahnya dengan nada sinis. Menurut Azman, mereka yang tidak memahami kesulitan pesawah ini hanya boleh berbicara dari pejabat berhawa dingin tanpa pernah merasai realiti mereka yang bekerja keras di sawah. Azman turut mengusulkan supaya harga lantai padi dinaikkan dari RM1,300/tan kepada harga yang lebih wajar antara RM1,500 hingga RM1,800/tan. "Peningkatan harga padi sudah tentu akan memberi kesan kepada harga beras, tetapi itu lebih baik berbanding beras tempatan yang disamar menjadi beras import dan dijual lebih mahal. "Rakyat akan lebih menerima sedikit kenaikan harga beras demi menjaga kualiti dan kelestarian padi tempatan,” jelasnya. Azman juga mengingatkan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu telah mengambil langkah-langkah konkrit, seperti membuka sekatan penjualan padi agar pesawah dapat menjual padi mereka ke kilang yang menawarkan harga tertinggi.  "Sekarang harga padi di Terengganu sudah naik ke RM1,550/tan," ujarnya. Beliau turut menegaskan bahawa NACCOL tidak mempunyai kuasa untuk mengawal atau menguatkuasakan undang-undang berkaitan padi.  "NACCOL tidak ada punca kuasa berkaitan kawalan dan penguatkuasaan fungsi kawal selia.  "Itu adalah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)," jelasnya. Azman turut mempersoalkan mengapa masalah yang sudah jelas di hadapan mata masih tidak ada penyelesaian yang konkrit.  "Ada kepentingan pihak tertentu yang ingin dilindungi sehingga KPKM hilang keupayaan untuk bertindak?" soalnya.
23 Jan 25
188
Projek ECRL di Terengganu Capai Kemajuan 90 Peratus
Projek ECRL di Terengganu Capai Kemajuan 90 Peratus
DUNGUN, 22 Januari - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu telah mencapai kemajuan paling pantas dalam negara dengan mencapai 90 peratus berbanding negeri-negeri lain. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembinaan projek itu masih mengikut jadual dan stesen di Dungun yang dilawatnya hari ini sudah 58 peratus siap. Menurutnya, kerajaan negeri mengalu-alukan mana-mana pelabur yang ingin melabur dan membangunkan Tapak Pembangunan Berorientasi Transit (TOD) di Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kawasan Dungun. "Ada cabaran tertentu tetapi saya rasa kerajaan negeri sangat terbuka untuk bincang dengan mana-mana pelabur yang ingin melabur untuk sama-sama bangunkan TOD. "Memang kalau kita cakap dengan para pelabur yang ingin sama membangunkan TOD ini adalah kedudukan infrastruktur yang perlu sedia supaya mereka dapat terus menjalankan pembangunan di sini dan itu antara cabaran kita," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Dungun, di sini hari ini. Dalam masa sama, Ahmad Samsuri juga telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan negeri  bersama Pegawai Kewangan negeri  untuk koordinat dengan Unit Perancangan Ekonomi negeri (UPEN) bagi merangka strategi bagaimana untuk mempersiapkan infra ini supaya memudahkan pelabur datang dengan cepat. "Dan kalau kita tengok secara spesifiknya cabaran di sini, saya rasa jelas ini adalah kawasan yang green area (kawasan baru) dan ada stesen yang berada pada kedudukan lapan hingga sembilan meter atas aras laut...maka ia perlu ditimbun bagi mengelakkan banjir. "Kita perlukan koordinasi dengan Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya termasuk Tenaga Nasional Berhad untuk pastikan jalan masuk ke sini tiada gangguan banjir dan kawasan pembinaan pembangunan juga dapat meminimumkan kesan banjir itu sendiri," katanya. Tambahnya, kerajaan negeri turut mengadakan perbincangan dengan pihak majlis dan Pejabat Daerah Dungun tentang potensi pembangunan TOD di kawasan tersebut.
22 Jan 25
391
100 Asnaf, Anak Yatim DUN Kijal Terima Baucer Persekolahan RM20,000
100 Asnaf, Anak Yatim DUN Kijal Terima Baucer Persekolahan RM20,000
KEMAMAN, 22 Januari – Seramai 100 asnaf dan anak yatim dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menerima bantuan baucer persekolahan berjumlah RM20,000 pada Program ‘EPIC back to school 2025’ di sini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, berkata inisiatif itu bertujuan meringankan beban keluarga kurang berkemampuan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan untuk anak-anak mereka. Katanya, setiap penerima menerima baucer bernilai RM200, yang boleh digunakan untuk membeli keperluan persekolahan seperti pakaian seragam, beg, dan alat tulis. “Bantuan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan DUN Kijal bersama anak syarikat negeri, EPIC Berhad untuk memastikan golongan asnaf dan anak yatim tidak ketinggalan dalam mendapatkan pendidikan yang sempurna,” katanya ketika menyampaikan baucer di Dewan Serbaguna EPIC, Kijal. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Dr. Ts.  Muhtar Suhaili. Razali berkata pihaknya ingin memastikan mereka mempunyai peluang yang sama untuk berjaya dalam pelajaran. “Program ini merupakan program tahunan yang dilaksanakan EPIC Berhad bagi membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik. “Inisiatif ini turut mendapat sokongan daripada pihak sukarelawan dan pelbagai agensi setempat yang bersama-sama menjayakan agenda kebajikan ini,” ujarnya.              
22 Jan 25
322
Fitnah Pukul OKU : 'Kalau Nak Jawab Di Hadapan Tuhan, Silakan'
Fitnah Pukul OKU : 'Kalau Nak Jawab Di Hadapan Tuhan, Silakan'
DUNGUN, 22 Januari – "Kalau nak jawab di hadapan Tuhan, silakan," itu antara respon Menteri Besar Terengganu ketika diminta mengulas mengenai penyebaran fitnah oleh pihak tertentu yang cuba mengaitkan Kerajaan Terengganu dan PAS dengan insiden kekasaran terhadap Orang Kurang Upaya (OKU) di Kemaman baru-baru ini. Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata segala fakta perlu diteliti sebaik mungkin dan bukan membuat tuduhan melulu bagi mengelak timbulnya fitnah memandangkan kes itu menjadi tular dan mendapat perhatian ramai pihak di seluruh negara. "Cuma, saya minta kepada semua pihak di luar sana supaya meneliti fakta sebenar dan mengelakkan fitnah (berkenaan kes ini) sebab saya lihat sangat viral (tular) fitnah kiri dan kanan yang sangat tidak berasas. "Berkenaan kes ini kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya malah ia telah pun di peringkat akhir siasatan sebelum diberi kepada pihak berikutnya, "Berpolitik, politik juga tetapi fitnah jangan diamalkan sebab itu tanggungjawab kita dengan tuhan, kalau nak jawab di hadapan tuhan, silakan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Dungun, di sini pada Rabu.  Tambah Ahmad Samsuri, perkara tersebut juga disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris dan ADUN Chukai, Hanafiah Mat baru-baru ini. "Saya tak nak komen lebih lanjut cuma saya rasa cukup dengan apa yang disebut oleh ADUN Chukai dan ADUN Kijal yang juga selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini," jelasnya.
22 Jan 25
13609
Terengganu Tubuh Akademi Al-Quran
Terengganu Tubuh Akademi Al-Quran
DUNGUN, 22 Januari - Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu  (JHEAT) dalam perancangan untuk menubuhkan Akademi Al-Quran yang bakal menjadi mercu tanda dalam memartabatkan syiar Islam secara konsisten. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, akademi itu ditubuhkan sebagai inisiatif menjadikan pendidikan berasakan al-Quran sebagai fokus utama agar dapat dihayati dengan baik. "Akademi ini bertujuan untuk memberikan pendekatan yang lebih sistematik dan berterusan dalam pengajaran dan pembelajaran al-Quran. "Sekali gus memperkukuhkan penghayatan terhadap wahyu ilahi dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Arena Square, di sini, semalam. Mengulas mengenai tilawah dan hafazan yang diadakan bermula semalam itu, Ahmad Samsuri berkata ia merupakan manifestasi kecintaan terhadap al-Quran terhadap wahyu ilahi yang menjadi sumber inspirasi dan pedoman hidup. "Penghayatan al-Quran, tidak seharusnya terhad kepada pembacaan atau hafazan sahaja, tetapi perlu diterjemahkan dalam bentuk amalan berkerajaan, bermasyarakat, hubungan merentasi kaum dan agama, berurus niaga, berkeluarga dan akhlak yang mulia. "Majlis (seumpama ini) memberikan peluang kepada kita untuk lebih memahami keindahan seni bacaan al-Quran namun ia juga mengingatkan kita bahawa intipati sebenarnya adalah seruan kepada kebenaran, keadilan dan kasih sayang," jelas beliau.    
22 Jan 25
524
Wakil OKU Kecewa Tindakan Pukul OKU
Wakil OKU Kecewa Tindakan Pukul OKU
KUALA NERUS, 22 Januari – Persatuan OKU Seberang Takir kecewa dengan peristiwa yang berlaku di Kemaman baru-baru ini apabila seorang insan OKU yang telah diperlakukan dengan tidak wajar oleh sekumpulan individu di Pasar Tani Padang Astaka di Kemaman pada Jumaat lalu. Biro Media dan Belia Pusat Sumber PERTIS, Anis Sakinah Abdul Aziz berkata, beliau terkilan apabila mendengar peristiwa yang tular berlaku melibatkan warga OKU. “Walaupun siapa kita sama ada OKU atau normal, tindakan sedemikian sangat zalim dan tidak bertamadun. Apabila sesuatu berlaku kenapa kita perlu guna kekerasan. Ditanya lagi, apa perlu dibuat jika berlaku lagi perkara yang sama. “Kalau berlaku depan mata akita, segera lapor kepada Polis bukan bertindak sendiri," ujarnya lagi kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman. Sementara itu, Abdul Halim Che Ibrahim, 65, turut senada tidak bersetuju dengan tindakan sendiri yang dibuat. "Akibat tidak berpuas hati dan mengambil tindakan sendiri maka kesalahan kecil bertukar kepada kes jenayah. "Beliau yang juga pengerusi JPKK Seberang Takir menasihati orang ramai jangan bertindak mengikut emosi, lapor kepada pihak berkuasa, negara kita ada undang-undang," jelasnya. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim turut bersimpati terhadap kejadian yang berlaku, ketika menziarahi saudara Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, yang sedang diberikan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu kelmarin. “Melihat kepada kehangatan isu yang sedang diperkatakan, masih ada segelintir pihak mengambil kesempatan dengan mempolitikkan isu tersebut bagaikan setiap perkara perlu dijadikan modal politik.  “Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu peka terhadap nasib mereka yang tergolong dalam kategori OKU mental agar peristiwa sebegini tidak berulang dengan merujuk kepada pihak bertanggungjawab bagi mendapatkan bantuan,” tegasnya lagi
22 Jan 25
230
Gloden Pharos Ambil Langkah Proaktif Tangani krisis Kelapa
Gloden Pharos Ambil Langkah Proaktif Tangani krisis Kelapa
KUALA TERENGGANU, 19 Januari - Dalam usaha menangani krisi kekurangan bekalan kelapa, anak syarikat kerajaan negeri, Golden Pharos Bhd (GPB) telah mengambil langkah proaktif dengan mengimport bahan mentah itu dari Indonesia untuk pasaran tempatan. Ketua Pegawai Eksekutif GPB, Mohd Roslan Mamat berkata, bekalan kelapa tua kira-kira 30,000 biji atau 30 tan diterima daripada pembekal utama itu, Selasa lalu. Katanya, bekalan itu akan diedarkan kepada beberapa pemborong utama untuk dipasarkan ke seluruh negeri ini serta Pasir Puteh di Kelantan. "Setakat ini seorang pemborong kelapa di Jertih, Besut sudah bersetuju mendapatkan kelapa yang dijenamakan Sayosega untuk diedarkan kepada peniaga di Besut dan Setiu di Terengganu dan Pasir Puteh di Kelantan. "Pemborong kelapa di Kuala Terengganu dan Dungun juga sudah menghubungi kami bagi mendapatkan kelapa untuk dipasarkan kepada peniaga di Kuala Nerus dan Marang," katanya kepada pemberita. Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim melalui Facebooknya memaklumkan GPB dilantik untuk menangani krisis bekalan kelapa sejak bulan lalu. Mengulas lanjut, Mohd Roslan berkata, pembekal utama yang juga memiliki permit import (AP) bahan pertanian turut bersetuju membekalkan kelapa bagi mengurangkan krisis bekalan sepanjang Ramadan akan datang. "Pada fasa pertama, kita mengimport 30 tan mengandungi kira-kira 30,000 biji kelapa bagi mengurangkan krisis bekalan untuk kegunaan domestik. "Langkah diambil GPB adalah untuk memastikan bekalan kelapa mencukupi bagi kegunaan masyarakat menjelang musim perayaan, terutama pada sambutan Aidilfitri nanti," katanya. Mengulas harga kelapa, Mohd Roslan berkata, harga ditawarkan kepada pemborong antara RM2.90 dan RM3.20 sebiji bergantung jumlah kuantiti. "Langkah GPB mengimport kelapa bukan bertujuan mencari keuntungan, sebaliknya lebih kepada penyelesaian krisis bekalan. "Kita akan menghentikan mengimport bekalan kelapa apabila krisis berakhir," katanya.
21 Jan 25
229
Exco Terengganu Lapor Polis Fitnah Burukkan Imej Kerajaan dan Rakyat
Exco Terengganu Lapor Polis Fitnah Burukkan Imej Kerajaan dan Rakyat
KEMAMAN, 21 Januari - Exco Pelancongan Terengganu, Datuk Razali Idris membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, pagi ini bagi menafikan tuduhan yang tular di media sosial mengaitkan beliau sebagai salah seorang individu yang memukul orang kurang upaya (OKU) di Pasar Tani Kemaman, baru-baru ini. Beliau yang menyifatkan itu adalah fitnah terhadap dirinya, mengambil tindakan tersebut bagi memastikan tidak ada lagi orang lain menjadi mangsa fitnah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. "Saya melihat apabila gambar saya disebarkan berkali-kali, ia merosakkan imej saya sebagai seorang exco di negeri ini dan paling penting ia merosakkan imej kerajaan Terengganu. "Ada juga komen (terhadap gambar yang disiarkan) yang menyebut negeri Terengganu kini tidak lagi selamat untuk dikunjungi dan ini berkait (secara langsung) dengan pelancongan, jadi saya mengambil kesempatan untuk membuat laporan hari ini," katanya ketika ditemui di luar Balai Polis IPD Kemaman, hari ini. Tambahnya, laporan itu secara khususnya di tujukan kepada laman Facebook yang dinamakan 'Raja Mohd Shahrim I', diikuti laman Aman Muhammad dan Pak Ya Siam. "Ada banyak lagi, tetapi saya sempat memetik tiga 'page' ini yang didahulukan page Raja Mohd Shahrim I. "Semakin lama saya lihat, semakin bahaya kerana mereka tertumpu kepada kritikan dan menumpukan supaya jangan hadir ke Terengganu. "Pada tahun 2024 kehadiran pelancongan ke Terengganu melebihi 7 juta, jadi jika disebabkan kes ini saya bimbang kalau tidak buat laporan polis ia akan menurun pada tahun 2025,"ujarnya lagi. Justeru itu, beliau berkata, setiap orang boleh berpolitik tetapi jangan sampai  memfitnah. "Saya yakin negeri Terengganu masih lagi negeri cantik, budaya menarik dan orangnya juga baik-baik," katanya.    
21 Jan 25
1417