Artikel "Semasa" Terkini
Jual Arak Di Premis Terbuka : Nga Kor Ming Perlu Hormati Hak Majoriti
BESUT, 2 Februari - Permintaan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menilai semula sekatan jualan arak di kawasan majoriti Islam adalah tidak wajar.
Malah ia juga disifatkan tidak menghormati hak majoriti rakyat negara beragama Islam sekali gus akan menimbulkan keadaan hura-hara serta kacau-bilau.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tidak dinafikan rakyat dalam negara terdiri daripada masyarakat majmuk namun perlu ditegaskan bahawa Malaysia adalah negara umat Islam sebagaimana termaktub di dalam perlembagaan.
"Maka masyarakat bukan Islam perlu menghormati umat Islam dalam negara ini apabila kita bercakap mengenai hak ia bukan sahaja membabitkan hak minoriti tetapi majoriti dalam negara yang merupakan umat Islam.
"Kalau kita hendak berikan kebebesan supaya arak oleh dijual secara terbuka, semua premis boleh jual arak atas orang hendak pergi beli atau tidak itu merupakan hak masing-masing jadi ia tidak kena daripada sudut 'Maqasid Syariah'.
"Jika hendak mengambil logik sebegitu, kalau kita izinkan semua orang jual dadah, ganja, pil kuda dan lain-lain, tidak perlu ada undang-undang dan peraturan yang menghalang penjualan perkara yang memudaratkan tersebut, sudah tentu masyarakat akan jadi kacau bilau, jadi sebagai masyarakat bertamadun perlu mempunyai peraturan dan undang-undang,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas hadir merasmikan Program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Peringkat Daerah Besut, di Masjid Al-Islah & Dewan Terbuka Kampung (Kg) Limbongan, di sini, semalam
Mengulas lebih lanjut, Khalil berkata Islam merupakan agama yang memandu kepada kehidupan bertamadun, sebab itu arak diharamkan secara jelas kerana boleh menimbulkan perkara yang memudaratkan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang ramai.
"Jadi masyarakat bertamadun adalah masyarakat yang mempunyai peraturan dan undang-undang, kadang-kadang saya pelik dengan menteri dalam Kerajaan Madani ini mereka sendiri pun tidak faham apa maksud madani.
"Madani itu maksudnya masyarakat yang memiliki undang-undang adil di situ kita lihat perlu ada di sana peraturan khusunya dalam konteks penjualan arak di premis-premis perlu ada kekangan sebagaimana yang diamalkan serta perlu diperkasakan lagi.
"Alhamdulillah, kita di negeri Terengganu menitik beratkan perkara ini dan ada Enakmen Jenayah Syariah yang meletakkan hukuman ke atas mereka yang meminum minuman kerasan dengan batasa had 356 sebagaimana yang kita maklum,"tegasnya.
02 Feb 25
198
Terengganu Terus Didik Rakyat Selami Keindahan Syariat Islam
BESUT, 1 Februari - Kerajaan Terengganu terus mendidik rakyat negeri ini memahami syariat Islam melalui program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat yang diadakan di setiap daerah.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, melalui karnival yang diadakan itu ia menjadi kesungguhan kerajaan negeri untuk mendidik rakyat secara berterusan agar memahami bahawa syariat Islam bukanlah bertujuan menyusahkan kehidupan manusia sebaliknya memandu mereka ke arah yang lebih baik.
"Kita hendak mendidik rakyat Terengganu bahawa syariat Islam ini merupakan satu perkara yang indah, penting untuk diamalkan dalam kehidupan kerana ia mudah, senang, diturunkan oleh Allah untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dalam anggota masyarakat.
"Ia juga selari dengan dasar dan polisi kerajaan negeri yang meletakkan agenda Islam sebagai perancangan utama dalam pentabiran dan insya-Allah kita akan meneruskan karnival ini di setiap daerah yang lain serta akan disusuli di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN),"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas hadir merasmikan program karnival Indahnya Hidup Bersyariat, di Masjid Al-Islah & Dewan Terbuka Kampung (Kg) Limbongan, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjur Dr. Muhammad Khalil berkata pendidikan kepada masyarakat merupakan perkara subjektif yang perlu diusahakan secara berterusan bukan sahaja oleh pihak kerajaan tetapi melibatkan semua pihak termasuk individu, keluarga dan seluruh anggota masyarakat.
"Jadi bila kita buat (karnival Indahnya Hidup Bersyariat) ia akan menjadi satu syiar dalam masyarakat, apabila begitu dengan sendirinya akan dirasai oleh mereka bahawa negeri Terengganu ini penuh dengan program-program yang berlandaskan Islam.
"Bertujuan untuk mendidik rakyat Terengganu ke arah rakyat yang beriman dan berpegang kepada ajaran Islam,"ujarnya.
Dalam pada itu beliau menyeru agar rakyat di negeri ini untuk memberikan sokongan dan hadir beramai-ramai ke Karnival Indahnya Hidup Bersyariat di setiap daerah kerana ia sesuai untuk seluruh lapisan masyarakat sama ada kanak-kanak, wanita dan anak muda.
Pelbagai segmen yang diadakan pada karnival itu antaranya pengisian agama melalui kuliah perdana, forum, Pahlawan Subuh, selain itu adanya pameran dari agensi dan jabatan serta jualan Pasar berkat yang menawarkan segala barang keperluan dengan harga yang rendah serta berpatutan.
01 Feb 25
319
Khatan Perdana DUN Kijal Imbau Nostalgia Zaman Silam
KEMAMAN, 30 Januari – Program Khatan Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal yang menghimpunkan seramai lebih 200 peserta berlangsung dengan meriah di samping mengimbau tradisi turun-temurun masyarakat Melayu.
ADUN Kijal, Datuk Razali Idris, berkata program tersebut bukan sekadar memenuhi tuntutan agama, tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara generasi serta memupuk semangat kebersamaan dalam komuniti.
"Program seperti ini penting untuk memastikan generasi muda memahami dan menghargai amalan yang diwarisi daripada nenek moyang kita.
"Selain itu, ia juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk," katanya ketika berucap pada Program Khatan Perdana DUN Kijal bertempat di Masjid Jamek Kijal pada hari ini.
Program yang bermula seawal jam 6.45 pagi itu menyaksikan kehadiran peserta dan ahli keluarga yang bersemangat untuk menyertai acara tersebut.
Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti perarakan selawat dan semburan air bomba serta kata-kata semangat kepada kanak-kanak yang menyertai khatan.
Razali berkata pelbagai gelagat peserta mencuit hati, ada yang berani, ada yang gementar, malah ada juga yang cuba lari.
"Program ini berakhir sekitar tengah hari dan diikuti dengan majlis jamuan rakyat dan tazkirah zuhur.
"Kejayaan penganjuran acara ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan warisan budaya dan nilai kekeluargaan terus kukuh dalam kalangan generasi muda," ujarnya.
30 Jan 25
170
Lebih Ramai Penceramah Wanita Diperlukan Sebagai Benteng Agama
Oleh: Nooreni Abu Bakar
KUALA NERUS, 30 Januari - Berada pada zaman yang amat mencabar hari ini memerlukan lebih ramai ikon-ikon penceramah wanita sebagai benteng kepada agama, bangsa dan negara.
Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Isteri Wakil Rakyat (KHAIRUNISA), To' Puan Sri Tuan Faezah Abd Rahman berkata dunia tanpa sempadan hari ini telah membuka ruang kepada berlegarnya pemikiran dan ideologi songsang mengadakan program-program atas nama memperkasakan wanita.
"Namun di sebaliknya terselit agenda membenihkan pemikiran feminisme dan liberalisme dalam kalangan wanita, inilah yang menjadi ancaman kepada dunia Islam kita berada sekarang ini.
"Justeru menjadi tanggungjawab yang besar dan wajib dipikul oleh wanita yang datangnya dari Negeri Terengganu Darul Iman," katanya.
Tuan Faezah berkata demikian dalam ucapan perasmian majlis penutup Pidato Gema Wawasan yang dibacakan oleh Timbalannya, To' Puan Zarani Othman.
Beliau berharap program tersebut akan memberikan ilmu dan kaedah yang lebih berkesan dalam penambahbaikan kaedah penyampaian penceramah.
"Dalam melahirkan ikon-ikon wanita dalam menyampaikan ceramah, penerangan dan komunisasi yang berkesan terutamanya dalam menyampaikan maklumat dan juga dalam kita menyampaikan Islam kepada seluruh masyarakat kita khususnya di Negeri Terengganu.
"Kehadiran mereka dalam zaman yang penuh dengan kemelut dan pergelutan pemikiran untuk menjernihkan semula pemikiran masyarakat khususnya para wanita," ujarnya.
Tambahnya lagi, dengan kecanggihan media sosial yang ada, tidak perlu menunggu jemputan daripada masjid ataupun dari mana-mana program untuk berpidato ataupun menyampaikan penerangan.
"Apa yang paling penting ialah kecanggihan yang ada di zaman ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baik dalam menyampaikan mesej Islam dalam dunia tanpa sempadan ini.
"Ini adalah satu platform mengangkat wibawa kreadibiliti wanita Terengganu ke peringkat yang lebih tinggi," jelasnya.
Seramai lapan orang peserta yang mewakili lapan kawasan telah menyertai program yang diadakan di Dewan Auditorium Stadium Tertutup Gong Badak di sini pada 27 Januari.
Salsabila Harun, wakil dari Marang telah dinobatkan sebagai johan pidato yang telah masuk tahun ketiga diadakan.
30 Jan 25
316
Tempoh Pajakan TKPM Dikurangkan Kepada 3 Tahun
KUALA TERENGGANU, 29 Januari – Kerajaan negeri Terengganu telah memperkenalkan dasar baharu bagi pajakan tanah di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dengan mengurangkan tempoh pajakan daripada 21 tahun kepada hanya 3 tahun.
Langkah ini bertujuan memastikan tanah pertanian dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak terbiar tanpa dimajukan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim, peserta yang menerima pajakan kini dikehendaki memasuki tapak dalam tempoh tiga bulan selepas perjanjian ditandatangani.
Katanya, sekiranya gagal, peserta lain akan menggantikan mereka bagi memastikan tanah tidak terbengkalai.
“Buat apa bagi tempoh lama atas kertas, tetapi di lapangan tanah penuh semak samun?
“Kalau berjaya, kita sambung lagi, kalau gagal, kita beri peluang kepada yang lebih berdaya saing,” katanya dalam satu hantaran Facebook rasminya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kadar sewa tanah TKPM di Terengganu adalah paling murah di Malaysia, hanya RM250 setahun bagi setiap hektar.
Selain itu, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur asas seperti jalan pertanian dan sistem saliran bagi memastikan tanah yang diwartakan sebagai TKPM dapat dimajukan sepenuhnya.
“Prinsip kerja yang paling asas ialah kenali punca sesuatu permasalahan dan selesaikan isu dari puncanya. Maka inilah yang kita telah buat. Cari peruntukan dan bangunkan infrastruktur.
“Kemudian masukkan peserta yang memenuhi kriteria dan mampu berdaya saing," tambahnya.
29 Jan 25
264
Duo 'Fijian' Perkuat Terengganu Marvels
KUALA LUMPUR, 29 Januari - Terengganu Marvels bakal diperkuatkan lagi dengan kehadiran dua tonggak import dari Fiji bagi menghadapi saingan Netball Super League (NSL) 2024 pada awal Februari.
Penolong jurulatih pasukan, Nur Asmidar A Halim berkata, dua pemain iaitu Reama Magdalene Verekauta yang bermain di posisi serangan dan Matila Georgina Vocea (pertahanan) melengkapkan 'missing puzzle' dalam pasukannya.
"Sebenarnya kita lihat dari segi apa yang pasukan kita perlukan, dari segi agility nya, ketinggian dan corak permainan lebih agresif.
"Kita mencari kelebihan dari segi serangan serta pertahanan, dan melihat dua orang pemain dari Fiji ini memenuhi keperluan Terengganu Marvels," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Memperkenalkan Pemain dan Penaja pasukan Terengganu Marvels di sini, semalam.
Majlis tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu (NGO), Hishamuddin Abdul Karim.
Asmidar menambah, saingan NSL kali ini bakal menyaksikan saingan sengit antara lapan pasukan bertanding.
"Setiap pasukan pasti akan berikan yang terbaik dan untuk Terengganu sendiri, kita jangkakan kita akan merebut kedudukan ketiga atau keempat terbaik.
"Persaingan agak sengit, dari segi prestasi pasukan tiga teratas yang bersaing kebanyakan ada lebih dari lima pemain kebangsaan," katanya.
Namun, cabaran pasukan pantai timur itu tidak boleh dipandang enteng apabila turut dibantu pengalaman bekas pemain kebangsaan iaitu Izyan Syazana Mohd Wazir dan tiga pemain muda kebangsaan (Fatin Najiha Rahmad, Nur Izzazrin Aizie Ahmad Yani dan I'dha Syamimi Muhammad Yusree).
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bola Jaring Negeri Terengganu (TNA), Zuraida Md Noor menyifatkan, meskipun dibarisi majoriti muka baharu, Terengganu Marvels bakal memberikan tentangan sengit kepada pasukan lain.
"Saingan agak sengit tetapi saya cukup positif dan optimis dengan pasukan Terengganu Marvel's, walaupun pemain muda tetapi mereka ada satu semangat luar biasa.
"Saya setuju kita mungkin turun sebagai pasukan 'underdog' tetapi dalam sukan, apa-apa pun boleh terjadi. Atas kesungguhan itu, saya rasa mungkin kita (berjaya capai) tiga terbaik," katanya.
Terengganu Marvels akan memulakan aksi pertama NSL 2025 dengan menentang Negeri Sembilan Venom di Stadium Juara, Bukit Kiara pada 1 Februari.
29 Jan 25
1325
Sweet Pinky Beauty House Suntik 'Tonik' Buat Terengganu Marvels
KUALA LUMPUR, 28 Januari - Sweet Pinky Beauty House tampil menjadi penaja utama pasukan Terengganu Marvels sebagai satu usaha memartabatkan kesihatan fizikal dan mental kaum wanita.
Pusat kecantikan yang berpusat di Terengganu itu memberikan tajaan sebanyak RM80,000 bagi membantu pasukan berkenaan menghadapi saingan dalam Netball Super League (NSL) 2025 yang bermula 1 Februari ini.
Pengarah urusan Sweet Pinky, Datin Farah Nizah Japilos berkata, hatinya tergerak untuk menaja Terengganu Marvels berikutan ia merupakan sukan utama untuk wanita.
"Saya berminat kerana ia untuk wanita, Sweet Pinky Beauty House memang berkonsepkan untuk wanita sahaja dan itu menarik saya untuk berkongsi rezeki sama-sama, apa yang boleh bantu memberi semangat mereka untuk menang.
"Realitinya, wanita zaman sekarang lebih banyak bekerjaya dan ramai yang sudah kurang bersukan.
"Wadah sukan ini secara tidak langsung perlu diketengahkan dan dipromosikan dalam melahirkan wanita yang sihat dari segi fizikal dan mental," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama suaminya, Dato' Mohd Azrul Zakaria pada Majlis Memperkenalkan Pemain Terengganu Marvels dan penaja pasukan yang berlangsung di Saloma Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Majlis tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim yang turut dihadiri Presiden Persatuan Bola Jaring Negeri Terengganu, Zuraida Md Noor.
Hadir sama, Timbalan Pengarah (Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Dr Nasree Najmi.
Selain Sweet Pinky Beauty House, dua anak syarikat kerajaan negeri iaitu Kumpulan EPIC dan TDM Berhad masing-masing turut menaja 10,000.
Antara penaja lain ialah Media Physio, Dexxe, Menteri Besar Incorporated (MBI) Terengganu, Koridor Utiliti Teknologi Terengganu (KUTT) dan Celebrity Fitness Wangsa Walk Branch.
28 Jan 25
287
RMK13: Terengganu Terajui Industri Penyimpanan Karbon
KUALA TERENGGANU, 28 Januari – Terengganu kini melangkah ke hadapan dengan perancangan strategik menjadikan negeri ini sebagai hab utama industri Carbon Capture, Utilization, and Storage (CCUS).
Langkah ini dilihat sebagai persediaan awal menghadapi masa depan ekonomi apabila pergantungan kepada minyak dan gas semakin menyusut.
Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Dato’ Nor Azmie Diron, industri CCUS adalah peluang besar yang mesti direbut untuk memastikan kelangsungan ekonomi negeri.
"Teknologi penyimpanan karbon ini penting, terutamanya apabila kita tahu sebahagian besar industri di Malaysia menyumbang kepada pelepasan karbon yang tinggi," katanya dalam sesi libat urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) di Primula Beach Hotel, di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Nara Setia, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu; Dato' Mohd Nor Hamzah, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Nor Azmie menjelaskan, CCUS adalah industri masa depan yang tidak hanya mengawal pelepasan karbon, tetapi juga menjadi tarikan kepada pelabur luar.
"Kita tahu 25% hingga 35% pelepasan karbon di negara ini datang daripada industri besar seperti gas, besi, keluli, dan simen.
"Dengan adanya kemudahan penyimpanan karbon di Terengganu, ia akan mendorong industri-industri ini berpindah ke pantai timur," katanya.
Tambah beliau, Terengganu mempunyai kelebihan dari segi infrastruktur sedia ada di Kertih dan kawasan sekitar yang sesuai untuk pelaksanaan CCUS.
"Kita ada medan minyak yang telah habis digunakan (depleted oil fields) yang boleh diubah menjadi kemudahan penyimpanan karbon.
"Peluang ini tidak wajar dilepaskan," katanya lagi.
Menurut Nor Azmie, walaupun margin keuntungan industri CCUS dilihat kecil, beliau optimis impaknya terhadap ekonomi negeri akan lebih besar pada jangka panjang.
"Ia adalah langkah strategik untuk menarik lebih banyak pelaburan industri baharu ke negeri ini," tegasnya.
Selain CCUS, Nor Azmie turut mengulas cabaran yang bakal dihadapi Terengganu apabila sumber minyak dan gas semakin berkurangan.
"Hari ini, kita tahu ekonomi Terengganu sangat bergantung kepada industri minyak dan gas, khususnya di Kertih dan Kemaman.
"Namun, sumber ini tidak kekal. Ia akan habis satu hari nanti," kata beliau.
Beliau menyatakan bahawa rancangan awal perlu dibuat untuk mengimbangi semula ekonomi negeri.
"Soalannya, apa yang akan berlaku kepada ekonomi negeri apabila sumber ini habis?.
"Kita perlu bersedia daripada sekarang," katanya lagi.
Dengan pelaksanaan industri CCUS, Nor Azmie percaya ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri baharu di Terengganu.
"Pantai timur mempunyai potensi besar untuk menjadi hab industri.
"Secara beransur-ansur, industri besar yang kini berada di pantai barat akan berpindah ke pantai timur kerana kos penyimpanan karbon lebih rendah di sini.
"Inilah masanya kita bergerak ke hadapan, dengan aset seperti Kertih dan Gebeng, kita mampu menjadi magnet pelaburan dan membuka lembaran baharu untuk ekonomi Terengganu,” ujarnya.
28 Jan 25
914
Trek Semula Jadi Bukit Jejulong Tarik Minat Peminat 4X4
MARANG, 28 Januari – Bukit Jejulong kini menjadi perhatian peminat sukan lasak, khususnya penggemar aktiviti 4X4, kerana trek semula jadinya yang mencabar dan unik.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, lokasi itu dilihat berpotensi besar untuk dijadikan pusat aktiviti off-road di negeri Terengganu.
Katanya, penganjuran Cabaran 4X4 Kampong Kiter membuktikan lokasi ini mampu menarik minat ramai peminat sukan lasak dari seluruh negara.
"Selain menjadi lokasi aktiviti lasak, ia juga membantu memperkenalkan keindahan alam semula jadi negeri kita,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabaran 4X4 Kampong Kiter bertempat di Bukit Jejulong, semalam.
Turut hadir, Timbalannya, Sulaiman Sulong, serta peserta-peserta dari pelbagai negeri.
Pada pertandingan tersebut, Farok Team Cass telah memenangi tempat pertama, diikuti dengan Team Mat Min dan Team Shah Ronggok.
Tambah Razali, aktiviti tersebut bukan sahaja mempromosikan pelancongan sukan tetapi juga memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk menjana pendapatan.
“Pelancongan sukan seperti ini bukan sahaja menarik pengunjung, tetapi juga membantu ekonomi penduduk setempat melalui penyediaan makanan, penginapan dan perkhidmatan lain,” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang peserta, Mohd Amirul Hazmi, berkata trek di Bukit Jejulong sangat mencabar dan menyeronokkan.
“Ini kali pertama saya menyertai cabaran di sini, dan saya sangat kagum dengan keindahan dan keadaan trek yang asli.
"Saya pasti akan kembali untuk mencuba lagi,” ujarnya.
27 Jan 25
336
RMK13: Terengganu Jadi Kilang Lahirkan Bakat Dunia, Azizulhasni Jadi Inspirasi
KUALA TERENGGANU, 28 Januari - Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bakal mengangkat Terengganu sebagai pusat melahirkan bakat bertaraf dunia.
Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Dato’ Nor Azmie Diron, berkata kehebatan anak-anak negeri ini dalam bidang akademik, sukan, dan kemahiran lain menjadi bukti kukuh bahawa Terengganu mampu menjadi pencetus perubahan nasional.
"Lihat sahaja kejayaan Azizulhasni Awang, anak jati Dungun yang kini dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’.
"Kejayaannya mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia membuktikan potensi bakat Terengganu yang tiada tandingan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), di Dewan Gamelan, Primula Beach Hotel, di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Nara Setia, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu; Dato' Mohd Nor Hamzah, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Beliau menambah, ikon seperti Azizulhasni bukan sahaja mencipta sejarah dalam sukan berbasikal tetapi juga menjadi inspirasi kepada generasi muda.
"Ini contoh jelas bagaimana bakat dari negeri ini boleh bersinar di pentas antarabangsa.
"RMK13 akan memperkukuh usaha untuk membangunkan lebih ramai ‘Azizulhasni’ dalam pelbagai bidang," katanya dengan penuh harapan.
Selain itu, Nor Azmie turut memuji prestasi pelajar Terengganu dalam akademik.
"Kejayaan anak-anak Terengganu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak boleh dinafikan.
"Negeri ini konsisten melahirkan pelajar cemerlang, dan RMK13 akan terus menumpukan kepada pendidikan untuk memastikan bakat generasi muda terus digilap," katanya.
Menurut beliau, RMK13 juga akan memberi penekanan kepada pendidikan berasaskan teknologi dan ekonomi digital.
"Kita mahu memastikan bakat tempatan bukan sahaja berjaya dalam bidang tradisional, tetapi juga mendominasi sektor teknologi, inovasi, dan keusahawanan.
"Ini adalah masa untuk Terengganu mengukir nama sebagai negeri yang melahirkan tenaga pakar bertaraf dunia.
"Dengan tumpuan kepada pembangunan bakat, pendidikan, dan sokongan teknologi, RMK13 dijangka menjadi pelan transformasi besar untuk menjadikan Terengganu sebagai pusat kecemerlangan bakat Malaysia," ujarnya.
27 Jan 25
345