Artikel "Semasa" Terkini
Karnival Mung Belia Nelang Akan Diperluas Ke Setiap Daerah
Karnival 'Mung Belia Nelang' akan diperluaskan ke seluruh Terengganu bagi merealisasikan konsep Transformasi Nasional(TN 50) di peringkat akar umbi.Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, Dato' Rozi Mamat berkata program di bawah majlis belia itu terlebih dahulu akan dimulakan di Hulu Terengganu sebagai perintis."Saya rasa bersyukur kerana ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari golongan anak muda."Walaupun tidak secara keseluruhan, tapi mencukupi sebahagian besar daripada golongan anak muda di peringkat akar umbi memberi maklum balas yang amat bagus, cadangan dan sebagainya untuk kita realisasikan konsep TN 50 di peringkat daerah kita sendiri bukan sahaja di peringkat nasional,"kata Rozi.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Karnival Mung Belia Nelang Dan Dialog TN50 di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu,Kuala Berang semalam.Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Dato’Tengku Putera Tengku Awang merangkap Adun Kuala Berang.Menurut Rozi, program itu sebagai persediaan di daerah masing-masing terutama di Hulu Terengganu dalam konteks pembangunan, modal insan, ekonomi, agama selepas tahun 2020 nanti."Ini merupakan petanda yang baik, saya sangat berpuas hati respon daripada golongan belia pada malam ini walaupun ia sesuatu benda yang agak baru, mereka nampak teragak-agak, termasuk diri saya kerana kali pertama berdialog seperti ini."Malam ini saya nampak satu dimensi dan transformasi baru yang dapat di terima dengan cepat oleh anak anak muda kita walaupun tak pernah kita lakukan dan dibuat secara spontan, tapi mereka cepat mengikuti sesi dialog malam ini,"katanya lagiSementara itu,Pengerusi Majlis Belia Daerah Hulu Terengganu Md Nasir Mat Ali berkata program ini adalah satu platform untuk anak muda terutamanya di daerah Hulu Terengganu untuk mereka meluah perasaan dan pendapat kepada pemimpin pemimpin tempatan."Apa yang kita nak,ada idea dan pandangan dari golongan belia untuk keperluan mereka dimasa akan datang,"Melalui program ini,kita ada satu sasaran terutamanya untuk membuat mereka berani bersuara yang mana selama ini ada pihak yang tidak berani bersuara di hadapan wakil rakyat kerana adanya protokol,"kata Md Nasir.Menurutnya,disebabkan adanya protokol ni kadang kala menjadi batasan bagi golongan muda ini untuk bercakap dengan pemimpin mereka."Sebab itu masalah tidak boleh diselesaikan..jika mereka berani meluahkan suara dan pendapat, Insya Allah hasrat golongan belia ini akan terus sampai kepada golongan pemimpin untuk dilaksanakan menjelang TN50,"ujarnya lagi
17 Feb 17
43
Gagasan Sasar Guru Pemimpin Masyarakat Di Setiap Daerah
Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) Negeri Terengganu mahu mewujudkan kumpulan guru pemimpin masyarakat yang boleh menguruskan jenazah di setiap daerah menjelang pertengahan tahun ini.Pengerusi Gagasan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Zubir Embong berkata, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai ahli Gagasan yang bertindak sebagai guru pemimpin masyarakat.Katanya, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya di setiap daerah mempunyai 15 ahli yang boleh menggerakkan satu kumpulan untuk menguruskan jenazah apabila berlaku kematian di kalangan masyarakat setempat."Sejak diperkenalkan tahun lalu setakat ini, Kuala Terengganu dan Setiu telah ada dan diharapkan selewat-lewatnya bulan Jun nanti setiap daerah mempunyai ahli yang secara sukarela akan menguruskan jenazah dari awal hingga akhir termasuk kerja-kerja memandikan jenazah, solat, kafan dan lain-lain sehingga selamat dikebumikan," ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia Negeri Terengganu yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail di Hotel Primula, hari ini.Mohd Zubir yang juga merangkap Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri berkata, peranan sebagai pendidik bukan tertumpu di sekolah semata, malah khidmat mereka turut diperlukan dalam masyarakat."Bila sebut sahaja guru, golongan ini sangat dihormati. Sebab itulah peranan dan khidmat mereka amat penting termasuk dalam hal-hal menguruskan jenazah,"ujarnya.Katanya, dengan adanya kumpulan guru pemimpin masyarakat di setiap daerah, ianya bukan sahaja dapat membantu melancarkan urusan pengebumian jenazah malah meluaskan peranan dan perjuangan setiap ahli dalam konteks yang lebih luas dan tidak hanya tertumpu pada memperkasa pendidikan.
17 Feb 17
146
Pentadbir Tanah Disaran Semak Status Tanah Bukan Hak Milik
Pihak pentadbir tanah diminta menyemak kembali mana-mana penduduk di Terengganu yang masih menumpang di atas tanah milik kerajaan atau berstatus bukan hak milik.Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata kerajaan bercadang melaksanakan program tanah rentahan yang akan diberikan kepada mana-mana rakyat yang layak dan masih tinggal di tanah haram itu."Sebelum ini kerajaan ada melaksanakan konsep tanah rentahan yang mana akhirnya tanah itu akan diberikan kepada mana-mana yang tinggal di tanah itu dengan syarat mereka menepati segala ciri -ciri yang diperlukan."Jadi kita akan laksanakan konsep sama kepada rakyat yang masih tinggal di tanah haram ini terutama mereka yang masih tidak memiliki tanah dan tergolong dalam keluarga yang kurang berkemampuan,"katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Geran Rumah Kepada Peserta Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir, petang semalam.Ahmad Razif berkata pendekatan itu satu agenda kerajaan menyediakan perumahan kepada rakyat termasuk membantu rakyat yang tidak mempunyai tanah."Selain itu, saya juga meminta pentadbir tanah menyenarai tanah dibawah pemilikan kerajaan,tabung warisan atau mana-mana GLC yang mempunyai keluasan tinggi untuk bangunkan projek perumahan."Kita juga akan mengenalpasti dan memohon dengan kerajaan pusat, tanah kerajaan yang masih tidak digunakan bagi mendirikan perumahan bagi membantu rakyat memiliki rumah,"katanya.
16 Feb 17
141
Ketengah Sedia Peruntukan 580 Ribu Untuk Program Bantuan Rumah
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menyediakan peruntukan sebanyak RM580,000 bagi Program Bantuan Rumah (PBR)di Ajil.Pengurus Bahagian Kesejahteraan Rakyat Ketengah, Asnawi Mohd Amin berkata peruntukan itu melibatkan lapan rumah bina baru dengan peruntukan RM320,000 dan 16 rumah di baik pulih (RM176,000)."Program hari ini adalah hasil dari peruntukan dari tahun sebelum ini yang mana projek bermula pada Ogos tahun lalu dan siap sepenuhnya untuk didiami pada tahun ini."Matlamat program kami adalah untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar mendiami rumah yang lebih selamat dan selesa berbanding kediaman terdahulu,"katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan PBR Wilayah Ketengah di Kampung Pela,Ajil,Hulu Terengganu, hari ini.Menurut Asnawi,kos bina bagi setiap satu unit rumah bina baru adalah sebanyak RM40,000 dan bagi rumah baik pulih adalah sebanyak RM11,000."Bagi bantuan 2017,pihak Ketengah sedang menilai serta memperhalusi peemohonan melalui e-kasih dan bagi mereka yang layak tapi belum mendaftar dengan e-kasih. Diharapkan mereka dapat daftar segera untuk kami ambil tindakan,"ujarnya.Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi,Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri,Ghazali Taib merangkap Adun Ajil.Seramai lapan orang penerima yang terdiri daripada golongan miskin dan berdaftar dengan e-kasih di DUN Ajil menerima kunci rumah mereka pada hari ini.Sementara itu,Ghazali berkata sepanjang 2010 hingga 2016 sebanyak 43 buah rumah bina baru dan 137 buah rumah baik pulih telah disumbangkan oleh Ketengah kepada golongan miskin yang terpilih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil."Ini merupakan satu angka yang cukup besar kepada kami di sini kerana berjaya membantu golongan miskin mendapat kediaman yang lebih selesa."Sebagai wakil rakyat,saya mengucapkan terima kasih kepada Ketengah yang merupakan salah satu agensi kerajaan kerana dapat membantu menyelesaikan banyak masalah berkaitan keperluan rumah di DUN Ajil dan jika ada pertambahan peruntukan untuk tahun ni,saya alu-alukan demi kepentingan bersama,"kata Ghazali.Sementara itu,kegembiraan jelas terpancar pada wajah seorang lelaki yang bergelar ketua keluarga,Mohamad Napiah Harun,42,daripada Kampung Pela,Ajil apabila hasrat untuk mendiami rumah yang lebih sempurna pada kali ini telah terlaksana.Mohamad Napiah ketika di temui berkata, dia tidak mampu untuk membina rumah sendiri kerana hanya bekerja sendiri dengan pendapatan kurang dari RM1,000 sebulan."Sebelum ni,saya hanya menumpang rumah ibu saya kerana tidak mampu...bila pihak Ketengah menawarkan PBR,terus saya menerimanya kerana ini adalah impian saya untuk punyai rumah sendiri bersama isteri dan anak-anak,"Hanya ucapan terima kasih yang mampu saya berikan kepada pengurusan Ketengah kerana memberi rumah baharu untuk kami sekeluarga," katanya.
16 Feb 17
97
Projek ECRL Beri Impak Ekonomi Kepada Orang Ulu
Hulu Terengganu bakal menerima impak ekonomi secara berterusan susulan pembangunan projek Landasan Keretapi Timur (ECRL) akan dibina di Kuala Telemong.Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Dato’Tengku Putera Tengku Awang berkata projek tersebut kini dalam proses terakhir gerak kerja dan diperhalusi bagi memastikan projek tersebut dapat dilancarkan pada Mei ini sebagaimana diumumkan oleh Menteri Besar Terengganu semalam.Katanya, Projek ECRL akan menjadi pengubah utama kerana kemudahan ini akan menghubungkan taman-taman industri dan kawasan pertumbuhan utama di Terengganu dan kawasan yang terlibat."Ketika ini, kita dah selesaikan masalah jajaran iaitu laluan keretapi dan pemilihan Kuala Telemong sebagai stesen juga adalah tepat dan strategik kerana di situ juga terletak masuk Lebuh Raya Pantai Timur 2," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya Pusat Khidmat Masyarakat OKB,Kuala Berang,hari ini.Menurut Tengku Putera, budaya kerja untuk menambah pendapatan perlu diserapkan dalam diri terutama golongan belia dan ini merupakan budaya terbaik daripada menghabiskan masa dengan sia-sia."Dengan adanya fasiliti ini akan merancakkan lagi ekonomi dan pelancongan di Terengganu termasuk menarik lebih ramai pelabur asing ke negeri ini."Saya nampak banyak peluang yang boleh diambil oleh Terengganu terutamanya orang Hulu Terengganu berkaitan dengan pembinaan kereta api laju ini.Orang muda perlu bijak bertindak dan gunakan peluang yang ada untuk tingkatkan pendapatan masing-masing,"katanya.Untuk rekod,Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRR) bagi perkhidmatan kereta api laju bermula tahun ini yang menghubungkan Gombak-Dungun-Tumpat dengan belanja kira-kira RM55 bilion.Projek pembinaan laluan kereta api laju di Pantai Timur sejauh 600 kilometer itu mengikut dua fasa iaitu fasa pertama melibatkan landasan yang menghubungkan Gombak, Selangor ke Dungun, Terengganu yang bermula tahun hadapan dan dijangka siap pada 2022.Fasa kedua pula, akan menghubungkan Dungun ke Tumpat, Kelantan dan kesemua projek berkenaan yang melibatkan laluan sejauh 600 kilometer dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030.
16 Feb 17
201
Laluan ECRL Diubah, Rancak Sektor Pelancongan
Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Pantai Timur akan mengalami beberapa perubahan laluan di negeri ini demi merancakkan lagi sektor pelancongan negeri.Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri telah memutuskan dalam mesyuarat Exco Rabu lalu penambahan beberapa jajaran baru bagi projek ECRL yang akan bermula Julai ini.Menurut Ahmad Razif, ianya akan mengekalkan lapan stesen dengan pindaan lokasi stesen dan penambahan empat jejari jajaran berbanding dua sebelum ini.Beliau berkata, mengikut cadangan asal, ia membabitkan jarak sepanjang 234 kilometer (km) dari Kampung Raja ke Kemaman tetapi cadangan baru adalah sejauh 227 km dengan cadangan bagi empat jejari jajaran adalah 71 km."Ia membabitkan jarak sejauh 298 km yang mana kita mengekalkan Stesen Kampung Raja, Stesen Penarik, Stesen Dungun dan Stesen Chukai."Selain itu, kita turut mencadangkan stesen baru iaitu Stesen Kuala Nerus, Stesen Kuala Telemong dan Stesen Pengkalan Berangan yang pada asalnya adalah Stesen Ajil serta Stesen Kemasik bagi menggantikan Stesen Paka," ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pengkalan Titian, Lembah Harapan dan menyampaikan bantuan kepada penerima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta mengadakan lawatan ke atas pesakit dan warga emas di Seberang Takir, hari ini.Bagaimanapun katanya, Stesen Bukit Besar tidak dapat direalisasikan kerana merentasi banyak kawasan pembangunan selain radius dan sudut laluan terlalu tajam yang tidak sesuai dengan kelajuan kereta api.Menurut Ahmad Razif, perubahan dilakukan kerana beberapa faktor seperti lokasi tidak sesuai dan keselamatan yang mana pemilihan lokasi baru berdasarkan konsep pelancongan dan warisan.Sebelum ini, Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak ketika pembentangan Bajet 2017 mengumumkan kerajaan akan membina landasan kereta api laju dari Kuala Lumpur ke Terengganu seterusnya ke Tumpat, Kelantan membabitkan perbelanjaan keseluruhan RM55 bilion yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2022.
16 Feb 17
153
UMNO Terengganu Nafi Ahli Parlimen, Adun BN sertai PPBM
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman menafikan seorang Ahli Parlimen dan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).Katanya, provokasi dilakukan pemimpin parti pembangkang tidak melemahkan semangat empat ahli parlimen dan 17 Adun BN negeri, sebaliknya akan terus menunaikan setiap tanggungjawab diamanahkan rakyat."Saya nampak hari ini, pembangkang cuba menutup isu parti mereka dengan menunding jari parti lain. Cukup-cukuplah, masing-masing jaga parti masing-masing. Tidak perlu provokasi dan cetuskan keadaan yang tidak baik kepada rakyat."Parti UMNO dan BN Terengganu tidak akan ambil peduli perkara sebegini, apa yang lebih besar sekarang ini adalah meneruskan tanggungjawab untuk memastikan kepentingan rakyat diutamakan," ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pengkalan Titian, Lembah Harapan dan menyampaikan bantuan kepada penerima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta mengadakan lawatan ke atas pesakit dan warga emas di Seberang Takir, hari ini.Ahmad Razif yang juga Menteri Besar berkata, pemimpin parti pembangkang cuba menutup isu perpecahan yang berlaku dalam kalangan kepimpinan termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang sebelum ini mengatakan seorang menteri kanan meletak jawatan."Bagaimanapun, beberapa hari selepas itu, empat pemimpin DAP Melaka mengumumkan meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen dan Adun. "Disebabkan terdesak dan cuba menutup isu itu, pemimpin pembangkang terutamanya PPBM memviralkannya di laman sosial dengan mendakwa seorang Ahli Parlimen serta empat Adun BN Terengganu menyertai parti itu," katanya.Menurut Ahmad Razif, tiada seorangpun Ahli Parlimen dan Adun BN di negeri ini meletak jawatan dan menyertai PPBM, walaupun terdapat bekas ahli serta pemimpin UMNO dilantik sebagai ketua bahagian parti itu.
16 Feb 17
101
Kakitangan WDI Zahirkan Sokongan Untuk TSG Di LTdL
Kakitangan Wisma Darul Iman (WDI) menyatakan sokongan penuh kepada pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) yang akan mewakili negeri ini dalam perlumbaan basikal berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 yang dijadualkan berlangsung bermula 22 Februari sehingga 1 Mac ini.Sokongan itu dizahirkan melalui pemuafakatan 10 kelab di WDI yang telah berjaya menghasilkan kain rentang sepanjang 101 meter dan menyasarkan dapat mencapai 1.5 kilometer sebelum perlumbaan tersebut bermula di perkarangan Wisma Darul Iman, hari ini.Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin berkata, pihaknya turut mengalu-alukan jabatan, agensi serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk turut sama merealisasikan hasrat itu sebagai tanda sokongan dan solidariti kepada pasukan TSG.Katanya, antara yang telah mengambil bahagian dalam membuat kain rentang bagi menaikkan lagi semangat pelumba negeri termasuk Majlis Sukan Negeri Terengganu, Kolej Komuniti, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Persatuan Basikal Negeri Terengganu serta 84 buah sekolah terlibat.“Ianya sebagai tanda sokongan rakyat Terengganu kepada pasukan TSG dan penghargaan kepada LTdL yang menjadikan Terengganu sebagai tuan rumah rasmi majlis pengenalan pasukan dan peringkat satu dan kedua perlumbaansekali gus menyemarakkan lagi Visit Beautiful Terengganu,” katanya kepada Teganukita, hari ini.Katanya, orang ramai dialu-alukan untuk bersama-sama turun padang bagi memegang cantuman kain rentang itu bermula dari Dataran Shah Bandar, yang merupakan antara laluan dalam perlumbaan kali ini, sebagai menyokong serta memeriahkan lagi LTdL di Terengganu.Sebagaimana jadual asal, LTdL yang dijangka akan disertai 20 pasukan profesional seluruh negara itu melibatkan dua peringkat perlumbaan di negeri ini iaitu dari Kuala Berang ke Jertih dan Jertih ke Grik.
15 Feb 17
36
Pegawai Kerajaan Terikat Dengan SOP
Dato' Wan Nawawi Wan IsmailSetiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail menegaskan bahawa pegawai kerajaan negeri menjalankan tugas berkaitan pentadbiran dan pembangunan negeri secara profesional serta mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).Beliau mengulas demikian berikutan sejak minggu lalu, banyak isu yang diviralkan secara khususnya di Terengganu termasuk pelaburan Yayasan Islam Terengganu (YIT) dalam pelaburan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) serta pembinaan hotel di kawasan masjid di Kuala Berang, Hulu Terengganu.Katanya, perkara itu tidak perlu diperbesar serta diviralkan berikutan pegawai kerajaan yang dipertanggungjawabkan melaksanakan semua urusan dan proses berkaitan adalah di kalangan mereka yang profesional di samping mempunyai kelayakan di bidang masing-masing.“Contohnya dalam kes FGV, pegawai pelaburan YIT merupakan orang yang telah lama melakukan tugasan itu. Selama ini dialah juga yang menguruskan pelaburan di YIT dengan memberi keuntungan dengan nilai jutaan ringgit jadi bila ada sedikit masalah tidak sepatutnya kita persoalkan kredibilitinya,” katanya.Beliau ditemui pemberita pada Majlis Menandatangani Kain Rentang Solidariti Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.Mengulas isu pembinaan hotel di kawasan masjid pula, Wan Nawawi berkata pegawai-pegawai berkenaan yang memberi kebenaran telah melihat semua isu-isu teknikal dan sebagainya.Katanya, sebagai penjawat awam, mereka terikat dengan perlaksanaan SOP serta beberapa syarat yang perlu diikuti.“Jadi, sebarang keputusan yang dibuat, mereka telah mengambil kira bahawa ianya berada dalam landasan yang betul dan tidak perlu dipersoalkan.“Saya rasa, kita semua perlu faham dengan tugas pegawai kerajaan iaitu adalah memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat,” katanya.
15 Feb 17
111
Terengganu Lancar `Hari Tanpa Mesyuarat' Setiap Isnin
Wan Nawawi bersama sebahagian daripada peserta yang menyediakan kain rentang sempena LTdL bagi menzahirkan sokongan mereka dalam kejohanan penuh prestij tersebut. Foto oleh Zulkifli CW Putra.Kempen `Hari Tanpa Tali Leher' yang bermula pada setiap Isnin sejak Februari tahun lalu diteruskan dengan `Hari Tanpa Mesyuarat' pada hari yang sama, berkuat-kuasa serta-merta. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail berkata, sempena kempen itu, kerajaan negeri menetapkan bahawa setiap Isnin menjadi hari untuk semua pentadbir serta penjawat awam negeri memberi sepenuh tumpuan dan fokus kepada pelanggan.Katanya, pada hari tersebut, ketua-ketua jabatan negeri serta persekutuan tidak dibenarkan mengadakan sebarang mesyuarat bagi memberi peluang untuk mereka turun padang bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat tanpa mengira peringkat.“Pada hari Isnin, mereka (ketua jabatan) tidak dibenarkan untuk mengadakan sebarang mesyuarat kecuali ianya terlalu mustahak dan perlu diberi keutamaan.“Saya berharap agar ketua-ketua jabatan khususnya dapat mematuhi dan menjadikan hari Isnin ini sebagai hari untuk mereka turun kelapangan bertemu dengan pelanggan-pelanggan dan cuba menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat,” katanya. Beliau ditemui pemberita pada Majlis Menandatangani Kain Rentang Solidariti Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.Tambah Wan Nawawi, dengan adanya keputusan sebegitu, ianya akan memberi kebebasan kepada ketua-ketua jabatan untuk bertemu secara langsung dengan pegawai-pegawai di peringkat bawah.“Sudah sampai masanya untuk kakitangan kerajaan sentiasa bersama dengan rakyat bagi memahami apakah permasalahan sebenar yang berlaku di peringkat bawah.“Hari tanpa tali leher dan mesyuarat ini diharapkan juga dapat menjadi satu hari yang bebas dan boleh dijadikan sebagai salah satu platform kepada ketua-ketua jabatan untuk turut bersama dengan kakitangan,” katanya.
15 Feb 17
48