Artikel "Semasa" Terkini
Cadangan Wujudkan Menteri Hal Ehwal Bukan Agama Islam Cetuskan Kebimbangan
Pada 12 Februari lalu, Ahli Parlimen Raub, Tuan Chow Yu Hui, mencadangkan dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua, iaitu satu untuk urusan agama Islam dan satu lagi untuk urusan agama bukan Islam, kononnya untuk membentuk Malaysia yang lebih inklusif, majmuk dan juga harmoni.
Ini ialah kenyataan lengkapnya menurut Penyata Rasmi Parlimen:
“Saya mencadangkan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua. Satu khusus untuk urusan agama Islam dan satu lagi untuk hal ehwal bukan Islam.
Menteri ini boleh melantik seorang pemimpin yang dihormati daripada kalangan masyarakat bukan Muslim untuk menguruskan hal ehwal bukan Islam.
Kerajaan melantik seorang Menteri Hal Ehwal Islam dan seorang Menteri Hal Ehwal Bukan Islam bukan saja dapat memastikan pengurusan agama yang adil, tetapi juga dapat mengukuhkan perpaduan negara serta mengelakkan mana-mana pihak daripada terpinggir.
Kedua-dua Menteri ini juga dapat berkomunikasi secara mendalam mengenai pelbagai isu keagamaan bagi mengelakkan sebarang kontroversi yang tidak perlu. Langkah ini akan membantu membentuk Malaysia yang lebih inklusif, majmuk dan juga harmoni.”
Cadangan ini telah mencetuskan kebimbangan banyak pihak dari pelbagai golongan dan aliran yang melihatnya sebagai berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat serta mengandungi agenda tersirat.
Malaysia telah sekian lama hidup dalam keadaan harmoni dan saling menghormati antara agama. Namun, kebelakangan ini, DAP sering mencetuskan cadangan yang dilihat menggugat keseimbangan sedia ada. Percubaan ini boleh membuka ruang kepada tuntutan yang lebih besar pada masa akan datang.
Dalam hal ini, adalah penting untuk meneliti peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam hal ini. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, namun agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
Perkara 11(4) pula membenarkan kawalan terhadap penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.
Ini menunjukkan bahawa Perlembagaan telah menyediakan mekanisme mencukupi bagi menjaga kepentingan agama di Malaysia. Oleh itu, kewajaran penubuhan Menteri Hal Ehwal Bukan Islam perlu dipersoalkan.
Tambahan pula, Pakar Perlembagaan, Prof. Madya Datuk Dr. Shamrahayu Abd Aziz, turut menegaskan bahawa Perlembagaan tidak pernah membincangkan pelantikan menteri untuk agama bukan Islam. Sebaliknya, kedudukan Islam jelas dinyatakan dalam Perkara 12(2), yang memperuntukkan penubuhan institusi Islam.
Beliau berpandangan bahawa melantik Menteri Hal Ehwal Bukan Islam boleh membawa kepada kesamarataan antara agama (pluralisme), yang bercanggah dengan niat asal Perlembagaan yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan.
Sebenarnya ini bukan kali pertama pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan berunsur sedemikian. Sebagai contoh, pada 11 Jun 2014, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, menyatakan bahawa hak untuk meninggalkan agama harus dihormati, selaras dengan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan.
Ini petikan kata-katanya: “Saya ingin menegaskan kalau kita semua boleh menghormati peruntukan dalam Perlembagaan kita, semua masalah ini boleh diselesaikan dengan baik dan Perkara 11(1) jelas menyatakan bahawa setiap orang ada hak untuk menganut dan mengamalkan agamanya… Saya berharap juga orang-orang Islam juga boleh terima peruntukan 11(1) ini yang memberi hak mutlak untuk mengamalkan sesuatu agama itu oleh orang perseorangan dan kalau seseorang itu memang hendak meninggalkan agama itu dan beliau (berusia) lebih daripada 18 tahun, kita mesti menghormati hak yang telah Tuhan berikan kepada seseorang itu dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan kita ini”.
Pada 28 Disember 2023 pula, Ngeh mencadangkan agar kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan kompetensi DUN dalam kerangka yang ditetapkan Perlembagaan bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.
Katanya, "Dalam mengharmonikan undang-undang syariah dengan Perlembagaan, adalah penting pandangan orang bukan Islam diambil kira supaya hak dan perlindungan yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang bukan Islam serta asas negara kita tidak terjejas.”
Semua ini adalah simptom kepada masalah dalam asas perjuangan DAP. Jika dilihat kepada Matlamat DAP dalam Perlembagaannya ada disebut pengiktirafan DAP ke atas kebebasan beragama sebagai hak asasi. Di dalam Fasal II Perlembagaannya ada disebut DAP “Mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama daripada diancam oleh undang-undang yang bersifat menindas dan akta-akta yang berunsur diskriminasi.”
Namun, jika DAP benar-benar komited terhadap keharmonian negara, ia sepatutnya turut mengiktiraf kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Sepatutnya Matlamat DAP dipinda dengan memasukkan sama “Mengiktiraf kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan”.
Jika ini tidak dibuat maka cabaran ke atas kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan akan berterusan.
Sekiranya cadangan mewujudkan Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam ini diterima, ia boleh membawa kepada persoalan besar dalam masyarakat Islam, termasuk kemungkinan hilangnya keistimewaan Islam dalam pentadbiran negara. Ini boleh membuka ruang kepada fahaman bahawa semua agama adalah sama, seterusnya melemahkan pegangan umat Islam terhadap agama mereka.
Justeru, umat Islam perlu sedar akan kepentingan politik dalam mempertahankan kedudukan Islam di Malaysia. Politik adalah alat utama dalam memastikan Islam terus terpelihara di bumi bertuah ini serta menghalang sebarang usaha yang boleh menggugat keharmonian agama di negara ini.
Adli Mohamad adalah seorang penganalisis sosio-politik tempatan
15 Feb 25
139
Hukuman Sebat Di Luar Penjara, Terengganu Menunaikan Kewajipan
MARANG, 15 Februari - Hukuman sebat di khalayak ramai yang dilaksanakan pada penghujung tahun lalu terhadap pesalah khalwat berulang bukanlah untuk menerima sebarang respon maklum balas sama ada positif ataupun negatif.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sebaliknya ia dijalankan kerana kewajipan serta tuntutan dalam agama Islam supaya ia menjadi pengajaran sekali gus mendidik masyarakat.
"Kita menyedari apabila ia dilaksanakan akan menerima pelbagai respon dan saya melihat langkah-langkah yang diambil sangat berhati-hati dan bijaksana.
"Alhamdulillah kita berjaya melaksanakannya dengan baik dan sempurna,"ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas merasmikan Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk Mikraj, di Masjid Kampung Rawai, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Khalil berkata hukuman sebatan itu bukan perkara baru di dalam Islam sebaliknya ia sudah lama dilaksanakan.
"Tetapi kita mahu ia dilihat oleh masyarakat kerana itu kita buat di luar penjara dan menjadikan negeri pertama melaksakannya di Malaysia, Alhamdulillah,"ujarnya.
Tegas beliau, apa yang penting ialah kerajaan negeri akan terus memikirkan cara-cara seterusnya untuk memperkasakan agenda pemerkasaan syariah di Terengganu.
"Ini termasuklah dari aspek enakmen pelaksanaan hukuman dan lain-lain lagi,"katanya.
15 Feb 25
278
TNB Hulur Bantuan Kepada Mangsa Banjir DUN Telemong
HULU TERENGGANU, 14 Februari – Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di DUN Telemong yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.
Majlis penyampaian bantuan berlangsung di Dewan Sivik Kampung Kuala Pueh dengan penyampaian sumbangan oleh Pengurus Besar TNB Negeri Terengganu, Ir. Mohamad Mohyddin Mohd Noor.
Sebanyak 100 bakul makanan diagihkan kepada penduduk yang terkesan dalam usaha meringankan beban mereka pasca bencana.
Mohamad Mohyddin, berkata TNB telah memperuntukkan bajet sebanyak RM100,000 untuk program CSR bagi mangsa banjir di negeri Terengganu.
“TNB sentiasa prihatin terhadap kebajikan masyarakat, terutamanya mereka yang terjejas akibat bencana alam.
"Sebagai sebahagian daripada usaha kami, dua bulan lalu, TNB turut menyalurkan sumbangan sebuah rumah bernilai RM80,000 kepada salah seorang mangsa banjir di Kampung Kuala Pueh,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif seperti ini akan diteruskan bagi memastikan masyarakat yang memerlukan mendapat bantuan sewajarnya, sejajar dengan tanggungjawab sosial TNB dalam membantu komuniti yang terkesan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Maliaman Kassim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail, yang turut menyaksikan penyerahan bantuan kepada penerima.
Para penerima menyatakan penghargaan mereka terhadap keprihatinan TNB dan berharap lebih banyak pihak akan tampil memberikan bantuan kepada mereka yang masih berusaha memulihkan kehidupan selepas banjir.
Program ini diharapkan dapat memberi manfaat serta mengurangkan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir di kawasan ini.
14 Feb 25
236
Zawawi Juara Urutan Asia Tenggara
KEMAMAN, 14 Februari - Terengganu terus mencipta nama di persada dunia apabila mengharumkan nama negara (Malaysia) setelah berjaya memenangi gelaran SouthEast Asia Massage Championship 2025.
Zawawi Abdullah, 41, berkata dia tidak menjangkakan kemenangan tersebut dan berasa sangat teruja apabila diumumkan sebagai pemenang.
Katanya, pertandingan itu melibatkan lebih 150 peserta (lelaki dan perempuan) daripada 11 buah negara termasuk Thailand, Singapura, Taiwan, Indonesia, Vietnam, Myanmar, Laos, Brunei, Cambodia dan Philippines.
"Syukur Alhamdulillah, pada awalnya saya hanya menyasarkan tempat dalam kalangan 20 terbaik namun tidak menyangka rezeki memihak kepada saya ketika itu.
"Saya ingin berterima kasih kepada semua pihak yang banyak memberikan sokongan kepada saya selama ini terutamanya ibu, adik beradik, kawan-kawan, guru-guru dan bekas-bekas pelajar saya," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika ditemui.
Tambahnya, semua peserta adalah pemenang dan dalam urutan tiada siapa yang paling hebat kerana yang menilai adalah pelanggan itu sendiri.
"Jika pelanggan itu selesa dengan kita, maka kitalah yang terbaik bagi mereka. Kita juga adalah pemenang jika kita memanfaatkan kemahiran ini dengan sebaiknya," ujarnya.
Zawawi yang sebelum itu memenangi tempat pertama dalam kategori Spa & Wellness Massage kemudian bersaing di peringkat seterusnya bersama pemenang-pemenang kategori lain bagi merebut gelaran juara keseluruhan SouthEast Massage Championship 2025.
Kejohanan tersebut telah diadakan pada 24-26 Januari lalu dan berlangsung di Movenpick Hotel, Sepang.
Katanya lagi, dia berharap suatu hari nanti dapat membuka sebuah akademi urutan di negeri Terengganu ini.
"Macam saya sendiri ketika ingin belajar dulu, harga kelas urutan kebiasaanya agak mahal dan juga biasanya kelas-kelas ini di luar negeri Terengganu.
"Jadi ianya akan melibatkan yuran, penginapan, pengangkutan, makan minum dan lain-lain yang menyebabkan kos keseluruhan menjadi sangat tinggi.
"Oleh yang demikian, saya berharap dapat membuka satu akademi urutan bagi memudahkan kepada mereka yang berminat untuk mendalami bidang urutan ini," ujarnya.
Zawawi mula meminati bidang urutan sejak berusia lapan tahun apabila mewarisi minat ini daripada arwah datuknya.
Dia mula menjadikan minat tersebut sebagai kerja sampingan sejak tahun 2005 dan telah berkecimpung sepenuh masa sebagai kerjayanya pada tahun 2016.
Beliau telah menerima pengiktirafan dalam bidang ini selepas menyertai beberapa akademi seperti Avicenna Academy Malaysia di Kajang, Selangor dan Malaysia Institute of TVET Educators (MITE) di Cyberjaya, Selangor.
Dalam pada itu, mana-mana pihak yang ingin mendapatkan khidmat urutannya boleh hubungi di talian 017-7606097 atau boleh terus ke AZ Massage Treatment yang beralamat di 3034 Jalan Senangin Kampung Geliga, 24000 Kemaman, Terengganu.
Kebiasaannya, harga urutan bermula serendah RM30 sehingga RM250 mengikut kepada tempoh masa dan jenis urutan yang diinginkan oleh pelanggan.
14 Feb 25
926
Medan Selera D’Muara Lonjak Pembangunan ‘Promenade’
KUALA TERENGGANU, 13 Februari - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dengan kerjasama kerajaan negeri telah mewujudkan Medan Selera D’Muara yang terletak di Kampung Hulu Takir untuk melonjakkan pembangunan di Muara Selatan.
Datuk Bandar MBKT, Datuk Rosli Latif berkata kewujudan Medan Selera D’Muara itu adalah untuk menempatkan peniaga-peniaga yang sebelum ini bertapak di Medan Selera Tanjung bagi membolehkan pembangunan ’promenade’ di Muara Selatan terlaksana.
“Kita perlu alihkan segera Medan Selera Tanjung disebabkan oleh kerja-kerja pembinaan 'promenade' telah terbantut disebabkan kita gagal menyiapkan projek ini (Medan Selera D’Muara).
“Jadi, kita minta datang (berpindah) juga walaupun dalam keadaan sebegini bagi memberi ruang kepada pembinaan 'promenade' berkenaan.
“Kita tidak mahu dijadikan alasan oleh pihak kontraktor, kelewatan kita alih menyebabkan projek dikenakan denda yang kosnya akan ditanggung oleh kerajaan.
Beliau berkata demikian dalam satu ucapan ketika merasmikan majlis perasmian Medan Selera D’Muara, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Wan Sukairi Wan Abdullah bagi menyempurnakan majlis perasmian Medan Selera D’Muara itu tadi.
Rosli menjelaskan signifikan pembinaan ‘promenade’ itu dalam merealisasikan Kuala Terengganu sebagai ‘Bandaraya Warisan Pesisir Air’ yang turut akan berfungsi sebagai penguraian trafik yang kini semakin serius di kawasan itu.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa pihak MBKT akan menyelesaikan segala kekurangan dan permasalahan dihadapi oleh peniaga-peniaga di medan selera yang telah menelan perbelanjaan sebanyak RM4,243,800 itu.
“Kita dapat tempat yang baru, orang yang pertama menduduki kawasan ini, pemandangan yang cantik.
“Tapi saya akui fasiliti di sini masih ada sana-sini yang saya sendiri pun rasa belum lengkap.
“Saya berjanji dengan bantuan kerajaan negeri, insya-Allah dalam masa terdekat kita akan membuat ‘parameter grade’, ‘interlocking paving’ dan kita juga akan membuat sedikit lanskap bagi menyejukkan sedikit kawasan,” ujarnya.
Pihak MBKT juga akan memberi tumpuan yang lebih dalam menyelesaikan permasalahan dari segi ruang meletak kenderaan yang turut menjadi aduan daripada peniaga di premis tersebut, tambahnya.
13 Feb 25
546
Tengku Muhammad Ismail Tinjau Projek Kawalan Hakisan Pantai Kuala Nerus
KUALA NERUS, 13 Februari - Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli 'turun padang' meninjau pelaksanaan projek Pengawalan Hakisan Pantai di sekitar pantai Kuala Nerus, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Pengarah Unit Pembangunan Negeri Terengganu (UPEN), Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak ke lokasi pada jam 10.00 pagi, disambut Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir Ts GS Osman Abdullah, Pegawai daerah Kuala Nerus, Ahmad Azizi Zulkifli dan Jurutera Awam Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, Ir Ts Nazman Mohamad.
Hadir sama menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif GPQ Sdn Bhd, Noor Mohd Suhaimie Ismail dan kakitangannya.
Setibanya di lokasi, Tengku Muhammad Ismail berkenan mendengar taklimat berkenan situasi semasa hakisan yang disampaikan Tun Ahmad Faisal dan Osman sebelum mencemar duli melawat kawasan terjejas hakisan.
Baginda melakukan tinjauan di dua lokasi iaitu Pengkalan Maras dan Kampung Tanjung dan berangkat pulang sekitar jam 12.00 tengahari.
Untuk makluman, projek Pengawalan Hakisan Pantai melibatkan pesisir sejauh lapan kilometer itu dilaksanakan kontraktor anak syarikat kerajaan negeri iaitu GPQ Sdn Bhd.
Projek berkenaan melibatkan pembinaan 16 buah pemecah ombak luar pesisir (off shore breakwater) dan penyuburan pantai sejauh dua kilometer.
Projek tersebut dijangka siap pada awal tahun 2027 dan kini berada pada 22 peratus status kemajuan kerja, lebih cepat 0.15 peratus dari jadual asal.
13 Feb 25
3997
Hari Sapu Bersih Terengganu Dijadual 22 April 2025
KUALA TERENGGANU, 13 Februari – Hari Sapu Bersih Terengganu akan diadakan secara besar-besaran pada 22 April ini bersempena Hari Bumi Sedunia dan akan menjadi program tahunan bermula 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata jika sebelum ini program pembersihan dijalankan secara kecil-kecilan, kali ini kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk melaksanakannya secara menyeluruh di seluruh Terengganu.
“Program yang diberi nama Hari Sapu Bersih Terengganu ini akan menghimpunkan seluruh rakyat Terengganu, termasuk pelajar universiti, badan bukan kerajaan (NGO), serta pelancong yang berada di negeri ini.
“Pada hari tersebut, semua orang akan turun padang bagi membersihkan kawasan masing-masing, termasuk kampung, bandar, institusi, kawasan pelancongan, serta perairan seperti pantai, sungai, dan laut.
“Aktiviti pembersihan dalam air pula akan melibatkan penyelam profesional, nelayan, serta sukarelawan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman pada Mesyuarat ‘Signature Event Terengganu’ yang berlangsung di Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridwan Abdul Rahman.
Menurut Razali, program Hari Sapu Bersih Terengganu juga telah menjadi ‘signature event’ bagi negeri itu dan telah dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Terengganu 2025.
Tambahnya, program itu juga akan memperkukuhkan kebersihan sebagai produk pelancongan utama Terengganu.
Beliau berkata, dengan tema warna putih pada hari tersebut, program itu simbolkan kebersihan dan kesucian, di mana semua peserta digalakkan memakai pakaian putih sebagai tanda komitmen terhadap kebersihan.
"Program tersebut menggunakan 'hashtags #SapuBersih dan #CleanSlate untuk menonjolkan usaha pembersihan dan permulaan baru dalam menjaga kebersihan negeri.
“Program ini bukan sekadar menekankan kebersihan fizikal, tetapi turut mengangkat aspek rohani kerana kebersihan adalah sebahagian daripada iman.
“Usaha ini bertujuan mendidik masyarakat bahawa kebersihan bukan sahaja tanggungjawab sosial, tetapi juga tuntutan agama,” ujarnya.
13 Feb 25
3684
Dua Beranak Maut, Seorang Cedera Parah di Kg Kepah
HULU TERENGGANU, 13 Februari – Seorang wanita bersama anaknya maut, manakala seorang lagi anaknya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer (km) 13, Jalan Gaung – Kuala Ping – Teris, berhampiran Kampung Kepah, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, mangsa yang terkorban dikenali sebagai Nursaidatul Aishah Zakri, 36, dan anaknya, Wan Nur Izara Aina Tun Mohd Khairul, 12.
Menurut beliau, kejadian berlaku sekitar jam 11.55 pagi ketika mangsa bersama seorang lagi anaknya, Tun Nur Ufaira Afifa Tun Mohd Khairul, 9, dalam perjalanan pulang dari kedai di Kampung Kepah menuju ke Kampung Tengkawang.
"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, sebuah Perodua Axia yang dinaiki lima pelajar lelaki dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh menghala ke Kuala Berang, sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal jenis Yamaha Ego Solariz yang ditunggang mangsa," katanya.
Tun Nur Ufaira Afifa yang mengalami kecederaan parah turut dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Insiden ini turut mendapat perhatian
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail, yang turun meninjau lokasi kejadian serta menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa.
Sementara itu, lima pelajar yang terlibat dalam kemalangan tersebut terselamat, dengan hanya seorang daripada mereka mengalami kecederaan di tangan dan telah menerima rawatan.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," tambah Abdul Wahab.
13 Feb 25
803
EPIC Berhad Peruntuk RM75,000 Bagi 'Back To School 2025'
BESUT, 13 Februari – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memperuntukkan sebanyak RM75,000 bagi menyantuni 300 orang penerima melalui program 'EPIC Back To School 2025' kali ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Haji Muhtar Suhaili, berkata program tahunan tersebut bertujuan membantu keluarga yang memerlukan dan menyokong pembangunan pendidikan di Terengganu melalui bantuan kelengkapan sekolah kepada murid kurang berkemampuan di Terengganu.
Tambahnya, program itu diperluaskan ke beberapa kawasan pada tahun ini, memberi manfaat kepada 300 murid di tiga lokasi berbeza; 100 murid dari empat DUN di Kuala Terengganu pada siri pertama, 100 murid dari DUN Kijal, Kemaman pada siri kedua dan 100 murid dari DUN Jabi pada siri ketiga.
“Bagi CSR 'Back To School 2025' siri ketiga kali ini, ia melibatkan 185 orang murid di mana 100 orang murid ditaja oleh EPIC.
“Manakala, 85 orang murid lagi ditaja oleh Pusat Khidmat Dun Jabi, daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr. Azman Ibrahim sendiri.
“Jadi program ini sebahagian daripada program CSR yang memang setiap tahun kita buat. Cuma tahun ini lebih ramai daripada tahun lepas. Tahun lepas hampir 100 orang dan tahun ini 300 orang, tiga kali ganda lebih ramai,” jelasnya kepada pemberita di program tersebut di Pasar Raya Zon Ria, Jerteh, semalam..
Tambahnya, dalam usaha membantu persiapan itu, murid yang terpilih telah menerima baucer bernilai RM200 untuk ditebus dengan barang kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam, beg dan pelbagai lagi keperluan asas persekolahan di pasar raya tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, usaha EPIC Berhad dalam membantu murid-murid yang memerlukan sangat dipuji.
“Saya berharap semoga tanggungjawab korporat sosial yang dilaksanakan oleh anak-anak syarikat negeri berkongsi keuntungan untuk dinikmati oleh ahli masyarakat kita diteruskan.
“Dan di pihak DUN Jabi kita akan terus sentiasa bersedia untuk bekerjasama bagi menyediakan program-program dalam bentuk CSR dan kemasyarakatan seperti ini.
“Mudah-mudahan, anak-anak kita ceria untuk kembali ke awal sesi persekolahan dengan pakaian seragam baru dan semangat baru dan semoga mereka menjadi bakal-bakal pewaris untuk meneruskan apa yang kami pikul sekarang ini," ujarnya.
Menurutnya lagi, program tersebut bukan sekadar meringankan beban ibu bapa, tetapi juga memberi semangat kepada anak-anak untuk lebih bersedia menghadapi sesi persekolahan.
13 Feb 25
237
UniSZA Lakar Sejarah Pulihara Tasik GunaTeknologi Multi-Fiber Modular
KUALA NERUS, 13 Februari – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sekali lagi melakar sejarah apabila menjadi universiti pertama menyelesaikan fasa pertama projek pemuliharaan dan naik taraf Tasik UNISZA dengan menggunakan teknologi Multi-Fiber Modular Termaju.
Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam berkata, projek itu bertujuan untuk memperbaiki kualiti air tasik yang terjejas akibat pencemaran dan sisa domestik yang dibuang berhampiran.
Menurutnya, itu bukan sahaja memberi impak positif kepada kualiti air di Tasik UniSZA, tetapi juga meletakkan kampus UniSZA sebagai salah satu contoh utama dalam pembangunan kampus lestari.
“Pada Mei 2023, UniSZA digemparkan dengan kejadian ribuan ikan yang ditemukan mati di tasik dan kejadian ini berpunca daripada pencemaran dan telah menimbulkan kebimbangan mengenai kualiti alam sekitar di kampus.
“Ini bukanlah kali pertama insiden seperti ini berlaku, kerana kejadian yang serupa juga telah terjadi pada tahun 2017”, katanya ketika ditemui pada sesi lawatan projek berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, analisa yang dijalankan oleh pihak Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur UniSZA (ESERI) menunjukkan bahawa kualiti air tasik semakin merosot dengan bacaan Indeks Kualiti Air (IKA) berada pada kelas IV, yang menunjukkan tahap pencemaran yang sangat tinggi.
“Menyedari masalah ini UniSZA telah mengambil inisiatif untuk berbincang dengan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi mencari penyelesaian yang tuntas.
“Alhamdulillah, KPT telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM3 juta untuk pelaksanaan projek ini yang diterima pada Julai 2023," katanya lagi.
Dr. Fadzli juga berkata projek tersebut terbahagi kepada dua fasa utama iaitu fasa satu, melibatkan pemuliharaan pencemaran dan naik taraf tasik dan fasa dua untuk pemuliharaan, naik taraf, dan pembangunan lestari tasik.
Tambahnya lagi, bermula pada Januari 2024, kerja-kerja pembinaan rumah pam dan pembangunan sistem multi-fiber dimulakan dan dengan pemasangan teknologi Multi-Fiber Modular Termaju, yang berjaya disiapkan pada September 2024, projek itu telah menunjukkan kejayaan besar.
Beliau berkata, hasilnya kualiti air tasik UniSZA telah mengalami peningkatan ketara iaitu berubah daripada kelas IV kepada kelas II.
Selain itu, sistem rawatan air yang dibangunkan melalui projek itu juga mampu menghasilkan 500,000 liter air terawat sehari.
Dalam masa sama, projek itu juga merangkumi pelan pembangunan jangka panjang yang akan memastikan Tasik UniSZA terus menjadi mercu tanda bagi kampus yang berdaya saing dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
13 Feb 25
256