lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

'Gag Order' Sekat Rakyat Suarakan Kepentingan Awam
'Gag Order' Sekat Rakyat Suarakan Kepentingan Awam
KUALA LUMPUR, 16 Februari - Tindakan kerajaan memohon perintah larangan bersuara (gag order) berhubung isu Titah Adendum disifatkan sebagai cubaan untuk menyekat  rakyat menyuarakan kepentingan awam. Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli mempertikai kewajaran larangan berkait dengan sesuatu perkara yang sepatutnya perlu dibahaskan. "Bagaimana nak dihalang daripada kita memperkatakan sesuatu sedangkan kita boleh bercakap?," soalnya ketika bangun berucap di Persidangan Parlimen dalam Persidangan Dewan Rakyat 2025, pada Jumaat. Menurutnya dalam disiplin ilmu Islam, salah satu daripada pengajian ilmu adalah ilmu mantiq yang memasukkan kaedah ‘al-insan haiwanun natiq’: manusia itu ialah haiwan tetapi bezanya dengan haiwan ialah boleh berkata-kata. "Manusia ini bila berkata-kata ada yang boleh berkata-kata dan ada yang tidak boleh berkata-kata dengan makna bisu.  "Tapi yang bisu pun masih lagi menggunakan bahasa isyarat, apatah lagi kita pula manusia yang boleh berkata-kata," katanya yang membuat permohonan membahaskan perkara berkenan  kerana kes tersebut menyentuh isu sensitif. Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan memaklumkan, kerajaan akan memohon di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan perintah larangan bersuara bagi melarang mana-mana pihak membincangkan permohonan semakan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu Titah Adendum.  
16 Feb 25
153
Kerajaan Terengganu Sedia Rumah Sementara Mangsa Kebakaran
Kerajaan Terengganu Sedia Rumah Sementara Mangsa Kebakaran
KUALA NERUS, 16 Februari – Mangsa kebakaran di hadapan Masjid Seberang Takir telah mendapat perhatian segera Kerajaan Terengganu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat. Khazan berkata pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Seberang Takir telah menyediakan kediaman sementara untuk mangsa berlindung sementara waktu. “Dalam pada itu kita juga telah menghulurkan bantuan segera seperti barangan keperluan seperti alas toto, selimat, bantal dan barangan keperluan yang lain. “Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi meringankan beban keluarga terbabit,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi keluarga berkenaan di sini semalam. Dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat, dua buah rumah telah musnah dijilat api, manakala dua buah lagi mengalami kerosakan teruk. Sementara itu Pengerusi JPKK Seberang takir, Abdul Halim Che Ibrahim memaklumkan mangsa telah ditempatkan sementara di rumah rehat miliknya tanpa dikenakan sebarang bayaran. “Pihak MAIDAM dan Tabung Darul Iman telah mengetahui perkara ini dan kita berharap agar ada berita baik untuk mereka untuk kembali mendapatkan kediaman semula,” jelas beliau.
16 Feb 25
1433
Sembilan RTB Diserah, Serlah Kecaknaan Kerajaan
Sembilan RTB Diserah, Serlah Kecaknaan Kerajaan
DUNGUN, 16 Februari 2025 – Dokumen hak milik membabitkan sembilan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi diserahkan dalam Majlis Penyerahan Dokumen Hak Milik Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Dewan Sivik Jerangau, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman menyatakan bahawa penyerahan dokumen kepada 97 peserta terlibat bukan sekadar simbolik, tetapi bukti komitmen kerajaan negeri dalam memastikan rakyat memiliki tanah secara sah. "Tanah bukan hanya aset untuk tempat berteduh, tetapi juga sebagai sumber ekonomi yang boleh diwarisi oleh generasi akan datang. "Jadi, memanfaatkan tanah ini dengan penuh tanggungjawab sama ada untuk pertanian, perniagaan atau pembangunan yang boleh memberi faedah kepada keluarga dan masyarakat," katanya ketika ditemui pemberita selepas program, semalam. Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan SyariahDr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, yang menyampaikan dokumen hak milik kepada para penerima.  Ghazali turut berterima kasih kepada pelbagai agensi kerajaan yang telah bertungkus-lumus memastikan proses pemilikan tanah berjalan lancar. "Semoga dengan penyerahan geran tanah ini, para penerima dapat menikmati hasilnya dan meningkatkan taraf hidup mereka," katanya. RTB yang diluluskan bagi DUN Bukit Besi ialah RTB Darat Kampung Minda, RTB Sungai Bel, RTB Pecah Mangkuk, RTB Rantau Panjang, RTB Talong, RTB Sungai Tepung dan RTB Batu Tiong S. Perlis bagi tanah pertanian. Manakala bagi tapak rumah membabitkan dua RTB iaitu RTB Dendang dan RTB Taman Mulia.
16 Feb 25
230
Inisiatif MBKT Terima Pujian Ramai
Inisiatif MBKT Terima Pujian Ramai
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Inisiatif Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memasang papan tanda yang memaparkan kalimah suci membesarkan Allah SWT di jalan-jalan utama negeri ini menerima respon positif daripada masyarakat setempat. Rata-rata rakyat negeri ini menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri itu kerana secara tidak langsung apabila melihat papan tanda itu setiap orang akan turut berzikir. Usaha tersebut dilihat terus mengekalkan identiti Terengganu yang mana sebelum ini telah menarik perhatian artis terkenal tanah air, Khairil Ridzwan Anuar atau lebih dikenali sebagai Monoloque. Monoloque kagum dengan slogan-slogan dalam bahasa Melayu serta jawi yang ada di negeri ini. Sebelum ini, penyanyi itu berkongsi pengalaman ketika berada di Terengganu apabila melihat papan tanda yang menyatakan 'Berjudi dan Arak Membinasakan'. "Slogan-slogan seperti itu sudah tidak ada di Kuala Lumpur semuanya ingin menggunakan bahasa Inggeris," ujarnya. Inisiatif yang dilaksanakan oleh MBKT itu bagi menerapkan syiar Islam mula diletakkan di beberapa kawasan yang difikirkan sesuai. Terutama di pembahagi-pembahagi jalan telah pun dipasang dengan papan-papan tanda tersebut.  
16 Feb 25
1112
Terengganu Bakal Perkenal Wangian Berasaskan Pokok Gelam, Cucur Atap
Terengganu Bakal Perkenal Wangian Berasaskan Pokok Gelam, Cucur Atap
SETIU, 16 Februari – Terengganu berpotensi untuk memiliki produk wangian tersendiri, dihasilkan daripada pokok gelam dan cucur atap yang banyak terdapat di kawasan Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetlands). Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar & Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berpendapat bahawa usaha tersebut dijangka mampu mewujudkan identiti negeri, sekali gus membuka peluang baharu dalam industri pelancongan dan produk wangian tempatan. Katanya, pihaknya sedang meneliti inisiatif tersebut melalui kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk agensi penyelidikan, usahawan tempatan dan kerajaan negeri. “Kawasan Setiu Wetlands ini kaya dengan pokok gelam dan cucur atap, yang berpotensi menghasilkan pati minyak berkualiti tinggi.  “Jika dikomersialkan, wangian ini boleh menjadi identiti Terengganu seperti mana Bali, Thailand dan Mekah yang memiliki aroma tersendiri,” katanya.  Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam satu sidang media selepas merasmikan majlis perasmian program sambutan ‘World Wetlands Day’ 2025 peringkat negeri Terengganu di Jeti Gong Batu, Setiu, semalam. Menurut beliau, beberapa langkah awal telah diambil termasuk kajian oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang sebelum ini telah berjaya mengeluarkan produk kesihatan dan bau-bauan berasaskan sumber semula jadi. “Kita boleh mulakan projek ini secara percubaan dengan menggunakan wangian tersebut di lapangan terbang, pejabat kerajaan dan lokasi pelancongan utama di Terengganu.  “Jika kita mendapat penerimaan baik daripada masyarakat tempatan, kita boleh kembangkan ke pasaran lebih luas," katanya. Razali turut menggesa pihak Taman Negeri untuk mengenal pasti pengusaha yang berminat bagi menjayakan inisiatif berkenaan demi manfaat ekonomi negeri. “Jika kita berjaya mewujudkan satu ‘perfume’ khas yang melambangkan Terengganu, ia bukan sahaja meningkatkan daya tarikan pelancongan tetapi juga memberi peluang perniagaan kepada usahawan tempatan,” jelasnya. Inisiatif itu selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk memperkaya industri pelancongan dengan produk unik dan berkualiti tinggi, sekali gus memperkukuh identiti Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia.
16 Feb 25
620
Hishamuddin Dipilih EXCO FAM Dengan Undi Kedua Tertinggi
Hishamuddin Dipilih EXCO FAM Dengan Undi Kedua Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim telah dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029 pada Kongres Tahunan FAM Kali Ke-61. Beliau mendapat undi kedua tertinggi bagi jawatan EXCO FAM dengan mendapat 17 undi, di belakang pemain bola sepak lagenda Datuk Zainal Abidin Hassan yang meraih 18 undi. Beliau merakamkan penghargaan sokongan semua pihak dan menyedari ia tanggungjawab besar. "Ia bukanlah satu kegembiraan atau kebanggaan, malah ia merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu digalas. "Situasi sempena kongres ini antara yang paling sukar untuk membuat keputusan sama ada bersedia untuk bertanding atau tidak. "Harapan persatuan-persatuan negeri dan gabungan lain yang mencadangkan nama saya sebagai salah seorang calon perlu diambil kira," ujarnya melalui suatu kenyaatan di facebooknya, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut, beliau berkata pihak terbabit sebelum ini telah berulang kali berusaha bagi memastikan namanya tersenarai dalam pemilihan ini. "Paling utama adalah harapan pihak FA Terengganu sendiri yang mengharapkan agar ada wakil dari Terengganu yang berada dalam kepimpinan FAM. "Doakan saya dan semua pimpinan FAM yang terpilih dapat melaksanakan tugasan dengan baik dan penuh persaudaraan bersama semua ahli gabungan yang bernaung untuk pembangunan bola sepak negara," jelas beliau.
16 Feb 25
331
1,252 Penduduk DUN Kijal Terima Bantuan Banjir
1,252 Penduduk DUN Kijal Terima Bantuan Banjir
KEMAMAN, 16 Februari - Seramai 1,252 penerima yang terdiri daripada mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menerima bantuan bagi meringankan beban mereka akibat musibah yang melanda baru-baru ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata, bantuan tersebut disalurkan secara berperingkat kepada mangsa yang ditempatkan di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan terbabit. “Pada Jumaat lepas, Seramai 702 penerima dari tiga PPS iaitu Teluk Kalong, Meraga Beris, dan Titian Berayun telah menerima bantuan yang disampaikan di Surau Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong. “Seterusnya, Khamis lepas pula, seramai 368 penerima dari PPS Dewan Sivik Bukit Kuang dan PPS Balairaya Kampung Bukit Kuang bertempat di Masjid Ar-Rahman,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini. Razali turut memaklumkan bahawa seramai 182 penerima dari empat PPS iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Ibok, PPS Padang Kemunting, PPS Batu 9, dan PPS Padang Kubu menjadikan jumlah keseluruhan 1,252 penerima. “Kami berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu mangsa-mangsa banjir untuk bangkit semula selepas berdepan dengan ujian ini,” katanya.                              
16 Feb 25
360
Tanah Bencah Aset Ekopelancongan Terengganu
Tanah Bencah Aset Ekopelancongan Terengganu
SETIU, 16 Februari – Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetlands), yang terkenal dengan kepelbagaian biodiversiti dan ekosistem uniknya, terus menjadi aset ekopelancongan penting bagi negeri Terengganu.  Sempena sambutan ‘World Wetlands Day’ 2025 peringkat negeri, kerajaan Terengganu menegaskan komitmennya dalam memelihara khazanah semula jadi kawasan tanah bencah itu sambil menaikkan pelancongan ekologi. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar & Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris menekankan kepentingan tanah bencah dalam menyeimbangkan ekosistem, membekalkan sumber air bersih, dan memastikan kelangsungan biodiversiti. “Tema sambutan tahun ini, ‘Melindungi Tanah Bencah Demi Masa Depan Bersama,’ amat bertepatan dengan peranan penting yang dimainkan oleh tanah bencah dalam menyokong ekopelancongan.  “Tanah Bencah Setiu merupakan contoh terbaik khazanah alam yang bukan sahaja menjadi habitat pelbagai flora dan fauna, tetapi juga daya tarikan kepada pelancong yang ingin merasai pengalaman alam semula jadi,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis perasmian program sambutan ‘World Wetlands Day’ 2025 Peringkat Negeri Terengganu bertempat di Jeti Gong Batu, Setiu, hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof dan Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman. Tambah Razali, kewujudan sepuluh ekosistem berbeza dalam satu kawasan di Tanah Bencah Setiu turut mampu bertindak sebagai benteng semula jadi terhadap kesan perubahan iklim seperti banjir dan hakisan pantai. Ujarnya, Kerajaan Terengganu tetap komited dalam menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti. Agensi seperti Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN), Jabatan Perhutanan, dan WWF Malaysia terus bekerjasama dalam program pemuliharaan yang mengimbangi pertumbuhan pelancongan dengan pemeliharaan ekologi. “Penglibatan pelbagai pihak dalam program hari ini membuktikan bahawa pemuliharaan adalah tanggungjawab bersama.  “Pembangunan pelancongan lestari di Tanah Bencah Setiu amat penting untuk memastikan generasi akan datang terus menikmati keindahan semula jadi dan manfaat ekologi yang ditawarkan," jelasnya. Sambutan itu turut menyaksikan penglibatan aktif masyarakat setempat, pelajar, NGO, serta agensi kerajaan melalui pelbagai aktiviti seperti berkayak, jelajah alam semula jadi, penanaman pokok bakau dan gelam, serta pelepasan ketam. Kerajaan menyeru semua pihak, termasuk sektor swasta dan komuniti setempat, untuk terus memainkan peranan aktif dalam memastikan kelestarian tanah bencah ini agar kekal sebagai salah satu destinasi ekopelancongan utama di Malaysia.
16 Feb 25
353
Malaysia Dalam Bahaya, DAP Pura-Pura Faham Islam
Malaysia Dalam Bahaya, DAP Pura-Pura Faham Islam
MARANG, 16 Februari - Malaysia kini berada dalam bahaya apabila parti DAP berpura-pura faham mengenai Islam sehingga seringkali dilihat berlaku percubaan mencampuri urusan umat Islam dan menuntut sesuatu yang tidak relevan. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkara itu dapat dilihat melalui Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui mempertikaikan tentang hak orang Islam. Menurut beliau, amat dikesali kerana DAP menunjukkan mereka kononnya mengambil cakna tentang Islam dan juga agama-agama selainnya pada hakikatnya jelas mengandungi agenda tersembunyi. "Juga telah dituntut supaya mewujudkan Kementerian Hal Ehwal Agama Bukan Islam, pada hakikatnya kita perlu sedari bahawa DAP adalah sebuah parti yang tidak berlandaskan kepada agama. "itu boleh dilihat dari Perlembagaan DAP, sebenarnya mereka memperjuangkan Malaysian Malaysia dan mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas merasmikan Program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk dan Mikraj di Masjid Kampung (Kg) Rawai, di sini, kelmarin. Tegas Khalil, tindakan DAP itu dilihat melampau melalui ucapan dan tuntutan yang sengaja menyentuh sensitiviti rakyat di negara ini terutama kepada mereka yang beragama Islam. "Sedangkan kita sudah hidup dalam keadaan aman dan damai keranaa pengorbanan orang Melayu Islam dan juga Bumiputera yang berjiwa besar menerima masyarakat pendatang yang dibawa oleh penjajah British sebagai warganegara setelah negara mencapai kemerdekaan. "Mereka sepatutnya menghormati Malaysia sebagai sebuah negara yang dihuni oleh majoriti masyarakat Islam dan Islam merupakan agama rasmi persekutuan diambil daripada semangat negeri-negeri di bawah Persekutuan Tanah Melayu yang menjadikan Islam sebagai agama negara. "Sejak zaman kesultanan Melayu Islam sehingga kewujudan Malaysia apabila mencapai kemerdekaan itu dapat dilihat daripada undang-undang tubuh negeri seperti Terengganu, Johor, Selangor, Kelantan dan lain-lain,"ucap beliau.  
16 Feb 25
421
Pelita Raya Terengganu 2025 Dinaik Taraf ke Peringkat Nasional
Pelita Raya Terengganu 2025 Dinaik Taraf ke Peringkat Nasional
SETIU, 16 Februari - Program Pelita Raya Terengganu bakal melakar sejarah baharu apabila dinaik taraf ke peringkat nasional pada tahun ini, dengan pembabitan negeri-negeri lain serta penyertaan antarabangsa. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar & Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris mengumumkan perkembangan program tahunan itu dalam sidang media selepas perasmian sambutan ‘World Wetlands Day’ 2025 peringkat negeri di Jeti Gong Batu, Setiu, semalam. Menurut beliau, Pelita Raya bagi tahun 2025 masih akan mengekalkan tradisi pemasangan pelita menggunakan minyak gas dan sumbu, tetapi juga akan menggabungkan elemen pelita elektronik bagi menjaga kelestarian alam sekitar. “Kita tetap kekalkan identiti pelita minyak gas, tetapi kita akan mengurangkan penggunaannya bagi mengelakkan pencemaran asap. “Sebagai ganti, kita akan menambah pelita elektronik atau konsep pencahayaan lain yang mesra alam,” katanya. Pada tahun ini, program tersebut akan dipindahkan ke lokasi yang lebih luas bagi menampung peningkatan penyertaan. Berbanding anjuran terdahulu yang hanya melibatkan penyertaan dari daerah-daerah di Terengganu, program kali ini akan dibuka kepada negeri-negeri dalam kumpulan SG4, iaitu Kelantan, Kedah, Perlis, dan Terengganu. Walau bagaimanapun, Razali menjelaskan jika terdapat negeri-negeri lain yang berminat, mereka turut dijemput untuk mengambil bahagian dalam pertandingan pemasangan pelita itu. Lebih menarik, Pelita Raya 2025 juga akan menampilkan dimensi antarabangsa dengan penyertaan dari negara jiran seperti Thailand (kawasan Pattani), Singapura, Brunei, dan Indonesia. Negara-negara ini dipilih kerana mereka turut mempunyai budaya menyambut Hari Raya, sekali gus dapat menyemarakkan lagi kemeriahan acara ini. Datuk Razali turut menegaskan bahawa program ini akan terus diperbesarkan dari tahun ke tahun. “Ini tahun keempat Pelita Raya diadakan. Dari peringkat kampung, kita kembangkan ke daerah, kemudian GLC, dan seterusnya peringkat negeri. “Sekarang kita buka kepada negeri lain dan juga peringkat antarabangsa. Setiap tahun kita akan besarkan program ini,” ujarnya. Pelita Raya 2024 sebelum ini telah berlangsung di Tasik Pahlawan, Taman Tamadun Islam, Terengganu, dan berjaya menarik lebih 40,000 pengunjung sepanjang lima hari penganjurannya. Acara tersebut menampilkan pemasangan lebih 150 pelita oleh setiap agensi yang bertanding dengan keutamaan penggunaan bahan kitar semula seperti tempurung, tin minuman, buluh, dan botol. Seperti edisi sebelum ini, Pelita Raya 2025 akan diadakan dalam tempoh seminggu, bermula selepas minggu pertama Ramadan dan berakhir sebelum pertengahan bulan tersebut. Menurut beliau lagi, pelbagai hadiah menarik turut disediakan bagi para peserta, meskipun butiran lanjut mengenai ganjaran tersebut masih dirahsiakan.
16 Feb 25
341