lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Kilang Rempah Cap Bunga Rose Sasar Jualan RM6.6 Juta Tahun Ini
Kilang Rempah Cap Bunga Rose Sasar Jualan RM6.6 Juta Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd, pengeluar produk rempah masakan di bawah jenama Cap Bunga Rose milik bumiputera di sini, menyasarkan jualan sebanyak RM6.6 juta pada tahun 2025. Pengarah Jualan, Pembangunan Perniagaan & Perkongsian Strategiknya, Kamarul Hassan berkata, berbanding tahun lalu, jualan yang dicatat adalah sekitar RM5 juta dan peningkatan ini bakal disumbangkan daripada aktiviti promosi yang dipertingkat selain strategi pemasaran yang lebih efektif. Menurut beliau, program promosi pada tahun ini juga lebih menarik kerana syarikat telah melantik ‘Importers’ baru di Indonesia bagi membantu mengukuhkan lagi rangkaian pengedaran di negara terbabit. “Sebenarnya kita sudah bertapak di Indonesia sejak 2022 lagi selepas dapat sijil import Indonesia dan sekarang kita dapat ‘Importers’ yang baru. “Mereka (‘Importers’) telah menyusun produk Rempah Cap Bunga Rose ini dengan yang cara lebih jelas di mana menggunakan reka bentuk dan juga nama produk yang diinspirasikan oleh pihak di Indonesia selain menyusun strategi untuk memasuki pasaran yang lebih besar,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ariffin Deraman bersama Ketua Pegawai Eksekutif YPU Terengganu, Afnida Aini Alwi dan Pengarah MATRADE Wilayah Timur, Amilatun Fazlina Zakaria ke kilang Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd di Kepong, baru-baru ini. Berkongsi bagaimana perusahaan rempah berkenaan bermula, Kamarul berkata semuanya dibuat secara kecil-kecilan. “Rempah Cap Bunga Rose bermula kira-kira 57 tahun lalu iaitu pada 1968. Pada masa itu, emak saya, Hajah Kembang Abd Rahman hanya membuatnya dirumah untuk digunakan dalam masakan keluarga selain dijual kepada jiran, rakan dan sanak saudara. “Pada masa sama, arwah ayah, Haji Hassan Majid turut jual di pasar berdekatan dengan menunggang basikal. Selepas mendapat reaksi positif daripada orang ramai, maka dari situ bermulalah pelbagai inisiatif dilakukan oleh emak terutamanya dalam mencipta resipi tersendiri bagi mengkormesialkan rempah buatannya,” ujar beliau. Kamarul berkata, kini berkat kesabaran dan kerja keras mereka sepuluh beradik, perusahaan Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd terus berkembang sehingga berjaya mempunyai dua kilang yang masing-masing beroperasi di Kampung Kepong, Kuala Terengganu dan juga di Bukit Kor, Marang dengan kekuatan 34 pekerja. “Kami mengeluarkan rempah masak dan rempah gulai yang diproses menjadi kering dalam bentuk serbuk sehingga popular di segenap negeri dan menepati citarasa ramai, malah kebanyakkan kedai makan yang menyediakan juadah nasi dagang menggunakan rempah keluaran syarikat kami untuk memasak gulai ikan tongkol,” ujarnya. Katanya, selain dua jenis rempah tersebut, syarikat keluarganya itu turut memproses serbuk kacang hijau dan juga pes gulai ayam. Seperti pengusaha lain, Kamarul berkata, beliau dan adik beradiknya mempunyai wawasan untuk terus maju dalam bidang keusahawan yang mereka warisi dan mengharapkan perniagaan tersebut dapat dipertahankan dari generasi ke generasi. “Kami berhasrat untuk memasarkan produk Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd sehingga menembusi pasaran dunia memandangkan Rempah Cap Bunga Rose ketika ini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat di Indonesia dan turut ‘terbang’ ke Australia,” ujarnya. Dan terbaru katanya, syarikat mereka juga mempunyai Pusat Informasi & Cenderamata berasaskan produk Rempah Cap Bunga Rose yang beroperasi di Pasar Payang bermula Januari lalu bagi memenuhi tempahan 'goodies' perkahwinan, hantaran, dan hadiah VVIP. Sementara itu, Ariffin turut merakamkan ucapan tahniah kepada syarikat terbabit yang telah menerima pelbagai anugerah termasuk yang terbaru The Most Sustainable Company dalam Majlis Anugerah Usahawan (MARA) 2023/2024 pada Disember lalu.   
12 Feb 25
1570
TDM Santuni 200 Asnaf Kuala Besut
TDM Santuni 200 Asnaf Kuala Besut
BESUT, 12 Februari - TDM Berhad (TDM atau Kumpulan) telah menyantuni seramai 200 asnaf komuniti Kuala Besut dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat bagi tahun 2025. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin, berkata program itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat dalam memperkukuhkan hubungan dengan komuniti setempat serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi yang mampan. “Manifestasi hasrat kami untuk bersama-sama membangunkan komuniti, khususnya di Kuala Besut, ke arah masa depan yang lebih gemilang.  "Kami percaya bahawa kejayaan sesebuah syarikat bukan hanya diukur melalui keuntungan kewangan semata-mata, tetapi juga melalui sumbangan dan impak positif yang dapat kami kongsi kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Program tersebut adakah hasil kerjasama antara TDM dengan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, yang dirasmikan ADUNnya Azbi Salleh.  Tambahnya, TDM sentiasa komited dalam melaksanakan inisiatif CSR yang memberi impak positif kepada masyarakat setempat melalui Program TDM Bersama Masyarakat Kuala Besut.  Dalam jangka masa panjang, TDM jugak  berhasrat untuk perluaskan inisiatif seumpamanya ke kawasan-kawasan lain di Terengganu bagi memastikan lebih ramai golongan mendapat manfaat daripada program CSR syarikat.  Menurutnya, kejayaan program itu mencerminkan komitmen TDM dalam menyokong kesejahteraan masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan mampan yang lebih inklusif dan berdaya tahan.  
12 Feb 25
428
Untung Anak Syarikat Terengganu Disalur Bantu Keluarga B40
Untung Anak Syarikat Terengganu Disalur Bantu Keluarga B40
Oleh : Muhamad Irfan KUALA NERUS, 12 Februari - Anak Syarikat Kerajaan Negeri, Konsortium Perumahan Terengganu Sdn. Bhd. (KOPERAT) menyumbang peralatan sekolah di beberapa DUN terpilih sebagai satu usaha meringankan beban ibu bapa dan penjaga bagi menghadapi kemasukan persekolahan yang tidak lama lagi. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Zaharuddin Zahid menghargai sumbangan KOPERAT atas usaha murni yang dilakukan walaupun keuntungan syarikat tersebut tidak sebesar Syarikat GLC lain. “Terima kasih kepada KOPERAT kerana sudi menyampaikan barangan sekolah kepada penduduk Dun Bukit Tunggal. Bukan hanya setakat di Dun Bukit Tunggal sahaja, KOPERAT juga membuat sumbangan di DUN-DUN lain seperti Air Putih, Alur Limbat, Besut dan lain-lain. “Walaupun KOPERAT tidak banyak lagi keuntungan, tetapi akan cuba memberikan sumbangan sebanyak yang boleh kerana kita percaya semakin banyak yang diberi, semakin Allah SWT menambahkan lagi rezeki kita," katanya. Beliau juga berkata, penubuhan Anak Syarikat Terengganu (GLC) bukan hanya menjalankan perniagaan, malah keuntungan tersebut dikembalikan bagi membantu rakyat Terengganu.  “Hasrat Kerajaan negeri melalui GLC-GLC yang ditubuhkan untuk menjalankan perniagaan dan keuntungan tersebut diberikan semula kepada Kerajaan dan sebahagian disalurkan kepada rakyat semula," ujarnya. Sementara itu, Zaharuddin mengharapkan doa daripada penerima bantuan agar KOPERAT akan bertambah maju dan mampu untuk terus menyumbang kepada masyarakat. “Saya mengharapkan doa dari tuan puan, supaya Syarikat Konsotium Perumahan Terengganu (KOPERAT) akan maju bagi menghadapi cabaran ekonomi tahun akan datang," katanya.
12 Feb 25
896
200 Pelajar Miskin Terima Sumbangan Petronas
200 Pelajar Miskin Terima Sumbangan Petronas
KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Seramai 200 pelajar sekolah yang dikenalpasti daripada keluarga berpendapatan rendah di Terengganu menerima sumbangan kelengkapan tambahan untuk kembali ke sekolah melalui Program PETRONAS Memperkasakan Ilmu: Back to School 2025 (BTS 2025). Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata PETRONAS terus komited dalam menyokong usaha kerajaan mempertingkatkan kecemerlangan pelajar.  “Justeru, kami berharap sumbangan yang disampaikan, mampu meningkatkan motivasi pelajar yang kurang berkemampuan untuk terus gigih di dalam pembelajaran mereka, seterusnya mencipta kecemerlangan di dalam pembelajaran masing-masing.  “Adalah diharapkan juga, sumbangan ini mampu membantu meringankan beban kewangan ibu bapa terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah, untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak," katanya di program tersebut di Hotel Primula semalam. Sumbangan disampaikan kepada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Ahmad Shah Muhamed, pada satu majlis penyerahan di sini.  Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu Sulaiman Sulong. Tambahnya, setiap pelajar menerima satu set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut hitam, sepasang stokin dan sepasang pakaian sukan berupa kemeja-T berkolar dan seluar sukan, bekas makanan dan botol minuman.  “Selain daripada itu, mereka juga dibekalkan dengan peralatan pembelajaran seperti beg sekolah dan set alat tulis,”ujar beliau.  
12 Feb 25
156
Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Sediakan Peluang Pekerjaan
Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Sediakan Peluang Pekerjaan
KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Karnival Indahnya Hidup Bersyariat tidak hanya menyajikan program ceramah perdana, bengkel solat, pameran agensi ataupun sukaneka semata-mata sebaliknya ia turut menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang sedang mencari kerja. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, peluang untuk mendapatkan pekerjaan itu terhidang apabila Terengganu Human Reource Development Centre (THRDC) akan membawa majikan ke program itu nanti. "Ia akan memberikan peluang pekerjaan sempena Karnival IHB dan Bulan Penghayatan Isra' Mikraj Peringkat Daerah Marang. "Antara majikan yang menawarkan pekerajaan (di program itu) adalah, TM One, Bumi Teraju Resources Sdn Bhd. In Saff Travel & Tours Sdn Bhd. E-Beca dan Tarbiyaah Kreatif," ujarnya melalui satu kenyataan di facebooknya, di sini, kelmarin. Justeri beliau menyeru agar mereka yang sedang mencari pekerjaan untuk hadir ke program terbabit terutama komuniti berada berdekatan Masjid Rawai, Marang yang menjadi lokasi pilihan pada kali ini. "Jangan lepaskan peluang ini untuk menghadiri temuduga terbuka pada jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang pada 13 hingga 14 Februari. "Jom daftar untuk temuduga terbuka di link atau scan kod Qr dalam poster https://bit.ly/tprogramterkini,"ujarnya. Selain itu apa yang menarik di Karnival IHB yang menjadi tumpuan ramai ialah Pasar Berkat yang menawarkan harga sangat berpatutan iaitu ayam RM10 seekor, daging RM23 sekilogram, sayur-sayuran RM1 seikat serta satu treler ikan murah.  
12 Feb 25
208
Nasib Pesakit Buah Pinggang di Kijal Dapat Perhatian ADUN
Nasib Pesakit Buah Pinggang di Kijal Dapat Perhatian ADUN
KEMAMAN, 12 Februari – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, menziarahi seorang pesakit buah pinggang tahap lima, Nor Azlan Mohd Ghazali di Kampung Bukit Kuang, Kijal, hari ini bagi melihat sendiri keadaan pesakit dan keluarganya. Dalam lawatan itu, Razali menyampaikan bantuan keperluan harian serta sumbangan kewangan bagi meringankan beban mereka. “Saya turut meluangkan masa berbual dengan pesakit dan ahli keluarga untuk memahami lebih lanjut kesulitan yang dihadapi, terutama kos rawatan dialisis yang tinggi. “Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut hadir dan menyerahkan bantuan khas bagi membantu pesakit yang memerlukan rawatan berterusan. “Selain itu, proses pembayaran bagi rawatan dialisis pesakit sedang dalam tindakan, dengan permohonan sedang diusahakan bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM),” katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Kasih ADUN Kijal berkenaan. Razali berkata pihaknya juga sedang berusaha untuk memohon bantuan sara diri bagi pesakit dan isterinya yang merupakan penjaga utama agar mereka mendapat sokongan yang lebih berterusan. ”Kita akan terus bantu dan pastikan segala urusan berkaitan rawatan dan kebajikan mereka dipermudahkan. “Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi pusat khidmat DUN Kijal bagi mendapatkan maklumat lanjut. "Saya mendoakan agar Encik Azlan dan keluarga tabah dalam menghadapi ujian ini dan Semoga diberikan kesembuhan, kekuatan, dan rawatan terbaik," ujarnya.                                
11 Feb 25
123
Bantuan Sumbangan Pakaian Sekolah Ukir Senyuman Ibu-Bapa, Pelajar
Bantuan Sumbangan Pakaian Sekolah Ukir Senyuman Ibu-Bapa, Pelajar
HULU TERENGGANU, 11 Februari – Seramai 40 pelajar asnaf di Hulu Terengganu menerima sumbangan pakaian sekolah dalam satu program anjuran bersama Pewanis, Warga Cakna dan Nisa' Terengganu  di Pasar Raya Sakan, di sini hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata, kesemua penerima bantuan terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah dari empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Hulu Terengganu. "Hari ini saya hadir sama bagi menyampaikan sumbangan kepada 40 pelajar dan murid yang hadir bersama ibu bapa mereka. "Bantuan yang merangkumi pakaian sekolah bagi meringankan beban keluarga menjelang sesi persekolahan baharu tidak lama lagi. “Sumbangan ini sudah pasti dapat meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan. Ia juga bukti masih ramai anggota masyarakat yang prihatin dan peka untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik,” katanya. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh. Menurut Maliaman, inisiatif ini adalah sebahagian daripada sumbangan yang diberikan adalah hasil kerjasama dan sokongan daripada NGO Pewanis dan NGO Warga Cakna serta Nisa' Terengganu yang sentiasa komited dalam membantu masyarakat yang memerlukan. "Ramai ibu bapa mengeluh tentang perbelanjaan yang meningkat apabila sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi. "Oleh itu, kita berusaha sedaya mungkin untuk membantu mereka yang memerlukan," tambahnya. Tambah Maliaman, sekiranya masih ada pelajar dan ibu bapa yang belum mendaftar dan memerlukan bantuan, mereka boleh hadir ke Pusat Khidmat Masyarakat untuk memohon sumbangan. "Kami akan cuba membantu sebaik mungkin," katanya. Program ini mendapat sambutan positif daripada ibu bapa yang hadir, dengan ramai yang menyatakan rasa syukur dan berterima kasih atas bantuan yang diberikan menjelang sesi persekolahan yang bakal tiba.  
11 Feb 25
541
Banglo Biru Kembali Terancam Ekoran Ombak Besar
Banglo Biru Kembali Terancam Ekoran Ombak Besar
KUALA NERUS, 11 Februari - Pemilik banglo biru kembali resah apabila sebahagian tanah berhampiran pagar rumahnya telah runtuh akibat fenomena ombak besar setinggi 2.4 hingga 2.8 meter yang berlaku semalam. Mohd Yazit Idris, 66 berkata, ombak besar mula berlaku selepas pukul 5 petang semalam dan berlarutan hingga 5 pagi tadi. "Bila saya bangun, rasa lega tengok bahagian dapur masih selamat namun terkejut apabila melihat tanah di bahagian pagar di halaman rumah pula yang runtuh. "Saya difahamkan ombak besar akan berlaku untuk dua hari lagi, jadi saya mohon doa semua pihak untuk rumah ini dapat bertahan dalam berdepan situasi cemas ini," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya dekat Kampung Tanjung Batu Rakit di sini, semalam. Dalam pada itu,  bahagian dapur rumah yang sebelum ini seolah-olah 'tergantung' akibat hakisan ombak telah pun selamat apabila pembinaan benteng pemecah ombak siap kira-kira tiga minggu lalu. "Anak syarikat kerajaan negeri ada menyumbang batu-batu besar untuk dibuat benteng itu sebagai langkah pencegahan sementara. "Kemudian, saya gunakan wang sedekah kawan dan saudara mara untuk beli sebanyak 33 lori tanah bagi menambak bahagian yang runtuh akibat hakisan. "Setakat ini, bahagian belakang rumah agak kukuh namun tanah di tepi pagar pula yang menjadi kerisauan," katanya. Sebelum ini, banglo biru milik Mohd Yazit berisiko roboh akibat hakisan pantai yang teruk berlaku pada awal Januari lalu namun ia dapat diselamatkan hasil bantuan pelbagai pihak.
11 Feb 25
74
Garis Panduan Penting Dalam Memastikan Keharmonian Bersama
Garis Panduan Penting Dalam Memastikan Keharmonian Bersama
KUALA TERENGGANU, 11 Februari - Mufti Terengganu, Dato' Dr. Mohamad Sabri Haron berpendapat, cadangan mewujudkan garis panduan mengenai pembabitan umat Islam ke majlis atau upacara di rumah ibadat bukan Islam bukan sahaja penting untuk menjaga seorang Muslim tetapi melibatkan masyarakat bukan Islam dalam memastikan keharmonian bersama. katanya, garis panduan itu bertujuan bagi memupuk rasa hormat-menghormati antara semua pihak selain mengelakkan sebarang ketegangan yang mungkin timbul akibat salah faham dalam isu berkaitan agama. "Pada asasnya garis panduan ini penting sebab ia bukan sahaja menjaga umat Islam tetapi juga melibatkan bukan Islam. Maknanya semua pihak akan lebih menjaga dan menghormati keperluan masing-masing. "Ia baik untuk menjaga keharmonian semua pihak bukan sahaja pada umat Islam tetapi bukan Islam supaya saling berhati-hati dan menjaga kehormatan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas sebuah program di sini semalam. Mohamad Sabri berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dalam muzakarah pada bulan ini sebelum dibawa ke Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan. "Mengenai lokasi (muzakarah) difahamkan diadakan di Kuala Lumpur. Jadi bagi saya perkara itu (garis panduan) elok tetapi ia akan dibawa dalam muzakarah dan kita pun tidak pasti macam mana. "Kita akan tengok dahulu sebab ia melalui proses dan selepas dari muzakarah ini akan dibawa ke Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan, jadi kita tunggu resolusi dahulu,” jelasnya. Dalam pada itu, Mohamad Sabri menyatakan perbincangan secara menyeluruh terhadap isu tersebut adalah penting bagi memastikan garis panduan tersebut dapat diterima oleh semua pihak.  
11 Feb 25
157
Sultan Mizan Rasmi Buku Permata Negeri Terengganu: Setiu Wetlands
Sultan Mizan Rasmi Buku Permata Negeri Terengganu: Setiu Wetlands
KUALA TERENGGANU, 10 Februari - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan buku mewah bertajuk 'Permata Negeri Terengganu: Setiu Wetlands' yang diterbitkan oleh WWF-Malaysia dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic). Keberangkatan baginda turut diiringi Sultanah Nur Zahirah serta anakanda-anakanda Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Nadhirah Zahrah. Turut berangkat, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz merangkap Presiden WWF-Malaysia. Buku mewah tersebut menonjolkan keunikan dan keindahan Setiu Wetlands dengan memuatkan koleksi gambar serta fakta menarik hasil daripada kajian dan kerja lapangan serta interaksi bersama masyarakat tempatan.  Karya itu dihasilkan untuk meningkatkan kesedaran tentang keistimewaan alam semula jadi di Setiu Wetlands serta kepentingan usaha pemuliharaannya. Presiden WWF-Malaysia, Tunku Ali Redhauddin, berkata penerbitan buku mewah itu langkah penting dalam memupuk kesedaran tentang Setiu Wetlands sebagai permata semula jadi yang harus terus dipelihara demi kelestarian generasi kini dan masa depan. "Buku mewah ini juga adalah simbol penghargaan kepada masyarakat tempatan Setiu Wetlands, yang selama ini menjadi tunjang kepada usaha pemuliharaan WWF-Malaysia," ujarnya. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata buku mewah itu juga melambangkan pencapaian usaha sama antara CIMB Islamic dan WWF-Malaysia dalam memulihara Setiu Wetlands sejak tahun 2019 lagi.  "Kerjasama ini telah memainkan peranan penting dalam perkukuh perlindungan dan pengurusan Setiu Wetlands serta pemerkasaan komuniti tempatan. "CIMB Islamic sentiasa komited untuk menyepadukan pemuliharaan alam sekitar ke dalam penyelesaian kewangan, seperti yang ditunjukkan melalui sokongan kami dalam usaha pemuliharaan biodiversiti dan pemulihan ekosistem di Setiu Wetlands. "Ia didorong oleh keunikan dan peranan kritikalnya bagi kehidupan masyarakat tempatan," katanya lagi. Tambah beliau, berpandukan prinsip Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI), pihaknya memastikan produk dan perkhidmatan mereka mencipta impak positif dan mampan kepada komuniti tempatan serta alam sekitar.  
10 Feb 25
260