Artikel "Semasa" Terkini
Hijab Bukan Pilihan Tapi Kewajiban Bersama
KUALA TERENGGANU, 18 Februari - Kerajaan negeri terus memperkasakan usaha pendidikan pemakaian hijab yang sempurna kepada kaum wanita islam negeri ini menerusi penganjuran Terengganu Hijab Day (THD).
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Maliaman Kassim, berkata gelombang yang digerakkan Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) itu sebagai usaha mendidik rakyat serta memperkenalkan pakaian yang benar-benar menutup aurat diadakan secara berterusan sekali gus membendung kesalahan jenayah syariah.
Menurutnya, Islam tidak melarang untuk berfesyen tetapi pakaian yang dipilih dan dipakai perlulah selari dengan tuntutan syariat agama.
“Pada kali ini, kita akan membuat sedikit pembaharuan dalam program itu dengan memberi peluang kepada wanita yang tidak berhijab untuk mencuba memakai hijab bersempena dengan sambutan ‘World Hijab Day’ yang diadakan pada 1 Februari setiap tahun di seluruh dunia.
“Kempen ini adalah untuk memupuk toleransi dan pemahaman dalam agama dengan mengalu-alukan seluruh kaum wanita tidak kira siapa pun merasai pengalaman berhijab.
“Diharapkan kempen ini dapat memberi pengalaman terindah buat semua dan pemahaman kenapa wanita diwajibkan berhijab malah penggunaan hijab bukanlah tekanan kepada mereka,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Beliau berkata, pengisian program yang diadakan lebih kepada proses mendidik masyarakat selaras dengan hasrat kerajaan negeri dalam usaha memperkasakan syariat Islam di Terengganu melalui kempen 'Indahnya Hidup Bersyariat' .
Tambah Maliaman, hijab merupakan pakaian untuk memelihara kehormatan dan perhiasan wanita.
“Dunia dipenuhi dengan perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah.
“Program ini bukan sekadar sebuah acara tetapi satu simbol penghormatan terhadap keindahan dan keanggunan wanita berhijab yang menyuntik inspirasi kepada semua,”katanya.
18 Feb 25
163
'Jangan Normalisasikan Perbuatan Songsang Lelaki Berpakaian Wanita'
KUALA TERENGGANU, 18 Februari – Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan lelaki berpakaian menyerupai wanita atau sebaliknya seperti yang berlaku dalam acara Karpet Merah Anugerah Juara Lagu (AJL) baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi mengutuk tindakan tersebut.
Katanya, isu itu tidak harus dibiar dan dinormalisasikan dalam masyarakat.
“Kerajaan Negeri Terengganu memandang serius isu tular melibatkan beberapa individu lelaki yang berpakaian menyerupai wanita di acara Karpet Merah AJL baru-baru ini.
“Tindakan tersebut bukan sahaja bertentangan dengan norma masyarakat dan nilai-nilai Islam, malah boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media melalui hantaran Facebook rasminya hari ini
Dalam pada itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan negeri amat menitikberatkan syariat Islam dan mempunyai undang-undang yang jelas dalam mengekang perkara ini.
“Terengganu sebagai sebuah negeri yang menitikberatkan syariat Islam mempunyai Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.
“Di mana Seksyen 33 memperuntukkan bahawa orang lelaki berpakaian dan berlagak seperti wanita dan Seksyen 33A orang perempuan berpakaian dan berlagak seperti lelaki adalah satu kesalahan.
“Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman sebagaimana yang termaktub dalam enakmen berkenaan.
Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen dalam memastikan syariat Islam terus ditegakkan dan masyarakat kekal berpegang teguh kepada ajaran Islam.
Dengan ketegasan ini, beliau berharap agar seluruh lapisan masyarakat terus memelihara nilai-nilai Islam dan menjauhi sebarang bentuk perlakuan yang boleh merosakkan moral serta pegangan agama.
Sementara itu, dalam satu kenyataan media lain, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato' Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata pihaknya juga mengambil perhatian serius terhadap isu itu.
"Jakim telah menghubungi dan memanjangkan perkara ini kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang bertanggungjawab mengawal selia industri komunikasi dan multimedia di negara ini berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
"Pihak JAKIM turut akan memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan mengadakan sesi perbincangan secara tertutup bagi memberikan nasihat dan bimbingan," jelasnya.
18 Feb 25
205
TDM Jayakan Program ‘Ceria Ke Sekolah’ Bersama Murid SK Kampung Fikri
KUALA TERENGGANU, 18 Februari- TDM Berhad meneruskan komitmennya terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui penganjuran program ‘Ceria ke Sekolah’ bersama murid-murid Sekolah Kebangsaan Kampung Fikri (SKKF), Sungai Tong.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, program CSR syarikat berbentuk pembelajaran itu menjadi platform penting untuk mengukuhkan hubungan antara syarikat dan komuniti.
Katanya, ia selaras dengan komitmen TDM dalam menyokong pembangunan sosial dan pendidikan.
“Kami memilih SKKF yang merupakan salah sebuah sekolah dalam ladang kami yang mempunyai murid paling ramai iaitu seramai 122 orang berbanding sekolah lain dalam Kompleks Sungai Tong seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Tayor (34 murid), SK Bari (32 murid) dan SK Jaya (48 murid),” ujarnya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut katanya, TDM mengambil peluang untuk bersama-sama anak komuniti tempat beroperasi dengan tagline ‘Ceria ke Sekolah’ bagi memulakan sesi persekolahan tahun 2025 dengan ceria dan bersemangat.
“Dengan adanya program ini, diharapkan para pelajar dapat memasuki alam persekolahan dengan lebih yakin dan bermotivasi, seterusnya mencapai kecemerlangan dalam pendidikan mereka,” katanya.
Menurut beliau program tersebut bukan sahaja melibatkan aktiviti berkumpulan dan penyerahan cenderahati kepada murid-murid, tetapi turut diserikan dengan aktiviti penanaman cili.
“Aktiviti ini dijalankan bersama Guru Besar SKKF, Mazlan Che Ismail, pihak pengurusan TDM dan murid-murid dengan kerjasama TDM Agrobiz Sdn Bhd.
“Melalui program ini, murid-murid berpeluang mempelajari teknik penanaman cili sambil memupuk minat dalam bidang pertanian,” ujarnya.
Najman berkata, pihaknya bukan sahaja menumpukan kepada pertumbuhan perniagaan tetapi juga menyokong pendidikan dan memperkasa kesejahteraan komuniti.
“Program ini adalah salah satu cara untuk kami memahami keperluan komuniti di tempat kami beroperasi untuk manfaat jangka panjang,” ujarnya.
18 Feb 25
202
Kiosk Lemang Beroperasi di Hentian Kijal LPT2 Ramadan Ini
KEMAMAN, 18 Februari – Kerajaan negeri Terengganu akan membuka lapan kiosk lemang di Hentian Sebelah Kijal Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menjelang Ramadan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman, berkata usaha tersebut sudah lama dirancang bagi membawa Lemang Kijal ke lokasi lebih strategik.
"Inisiatif ini bagi memudahkan pengguna lebuh raya membeli lemang tanpa perlu memasuki jalan lama.
"Lemang memang sinonim dengan orang Terengganu, terutama Lemang Kijal. Sebelum ini, pengguna lebuh raya perlu melalui laluan pantai untuk mendapatkannya, tetapi sekarang mereka boleh membelinya di lokasi yang lebih mudah," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak ke cadangan Kiosk Lemang di Hentian Sebelah Kijal (arah Barat) di sini semalam.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, berkata projek tersebut hasil perbincangan bersama pengusaha lemang, YPU dan para Usahawan untuk memastikan perniagaan makanan tradisional itu terus berkembang.
"Sebelum ini, lemang hanya popular di peringkat negeri. Sekarang, kita mahu ia menjadi buah mulut orang ramai dan menarik lebih banyak pelancong ke Terengganu.
"Hari ini, kita telah mendapat persetujuan daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia dan pihak Lebuhraya Pantai Timur (LPT) untuk lokasi yang sesuai. InsyaAllah, 'port' lemang akan berpindah ke sini," katanya.
Beliau berkata hanya peniaga tempatan dari Kijal yang terlibat dalam projek ini. Daripada 30 peniaga asal di jalan lama, lapan orang telah dipilih untuk berpindah ke lokasi baharu.
"Kami mahu memastikan kualiti lemang terjaga, dari segi rasa, kebersihan, dan layanan kepada pelanggan kerana mereka kini beroperasi di peringkat kebangsaan.
"Jadi, kami akan mengadakan bengkel khas untuk mengajar peniaga tentang etika perniagaan dan cara melayan pelanggan dengan baik," ujarnya.
18 Feb 25
557
Terengganu Sokong Fatwa Larang Umat Islam Hadiri Ritual Agama Lain
KUALA TERENGGANU, 17 Februari - Kerajaan Terengganu tampil memperkukuh pendirian dalam mempertahankan kesucian Islam dengan menyatakan sokongan penuh terhadap fatwa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang melarang umat Islam daripada menghadiri sebarang ritual keagamaan bukan Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan keputusan ini dilihat sebagai langkah kritikal dalam memastikan umat Islam kekal berpegang teguh kepada akidah tanpa sebarang pengaruh luar yang boleh mencetuskan kekeliruan atau polemik baharu dalam Masyarakat.
“Kami berdiri teguh bersama fatwa yang dikeluarkan oleh MAINJ.
“Ini bukan sekadar larangan biasa, tetapi satu tuntutan syarak untuk memelihara akidah dan mengelakkan kekeliruan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa Islam adalah agama yang jelas dalam soal batas dan pergaulan antara agama.
“Islam tidak pernah melarang kita untuk hidup dalam suasana harmoni dengan penganut agama lain, tetapi ada batas yang tidak boleh dilanggar.
“Menghadiri ritual agama lain bukan sekadar satu tindakan simbolik, tetapi boleh membawa kepada kekeliruan dan akhirnya menjejaskan keimanan seseorang Muslim,” tegasnya.
Menurut Muhammad Khalil, fatwa ini bukan sahaja berlandaskan prinsip hukum syarak, malah selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Fatwa ini turut mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar sejak Februari 2023, memperkukuh lagi ketetapan ini sebagai garis panduan rasmi yang perlu dipatuhi.
“Kerajaan Negeri menegaskan bahawa garis panduan ini amat penting bagi mengelakkan umat Islam daripada dipengaruhi atau dikelirukan dengan amalan keagamaan lain yang bertentangan dengan prinsip tauhid,” jelas beliau.
Tambah beliau, perkara ini juga telah ditegaskan oleh Mufti Terengganu, Dato' Dr. Mohamad Sabri Haron bahawa garis panduan bagi umat Islam yang menghadiri acara bukan Islam penting bukan sahaja menjaga seseorang Muslim, tetapi perlu dalam menjaga keharmonian negara.
“Kerajaan Terengganu komited untuk terus memperkukuh dasar-dasar pemerkasaan syariah serta meningkatkan usaha pendidikan dan pemahaman masyarakat mengenai kepentingan menjaga akidah serta syariat Islam.
“Meskipun Islam menggalakkan toleransi dan hubungan harmoni antara kaum, ini tidak bermaksud umat Islam boleh melibatkan diri dalam sebarang bentuk ritual agama lain yang boleh mengaburkan keimanan mereka,” ujarnya.
17 Feb 25
163
Graduan Perlu Tingkat Kemahiran Bagi Penuhi Keperluan Industri
KUALA TERENGGANU, 17 Februari - Dunia pekerjaan pada masa kini bukan hanya menuntut graduan untuk cemerlang akademik, tetapi perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran tinggi untuk bersaing di pasaran kerja.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, graduan perlu bijak mengambil peluang dengan belajar ilmu tambahan selain bidang utama untuk meningkatkan lagi kebolehpasaran mereka.
“Konvokesyen merupakan suatu titik permulaan bagi graduan mengorak langkah ke tahap yang lebih tinggi dan memahami erti dan cara kehidupan berkerjaya.
“Bagi mereka yang memasuki alam pekerjaan perlu menyiapkan diri secara mental dan fizikal bagi memenuhi keperluan majikan.
“Gunakan masa yang ada bagi mengasah dan menambah kemahiran para graduan agar dapat menjadi warga kerja efisien, kreatif dan inovatif,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Kemahiran Yayasan Terengganu (KKYT) Kali Ke-7 di Duyong Marina Resort, di sini, semalam.
Dalam pada itu Satiful berkata, pembangunan modal insan dan pembangunan tenaga kerja di dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan dua elemen utama dalam usaha melonjakkan kemajuan bagi mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi.
Menurut beliau, stigma masyarakat pada hari ini yang masih beranggapan bahawa TVET dilihat sebagai sektor pendidikan kelas kedua perlu diubah.
“Perkara ini amat berbeza sekali dengan negara-negara maju seperti Jerman dan Jepun di mana kebanyakkan sektor pekerjaan telah lama memberi fokus kepada sektor tenaga berkemahiran dalam pelan pembangunan modal insan mereka.
Oleh itu, saya amat berharap agar kita juga tidak ketinggalan dalam memantapkan pembangunan modal insan terbaik di bidang kemahiran bagi menyokong kelestarian bidang TVET di Terengganu,” ujarnya.
17 Feb 25
143
720 Bekas Banduan Temui 'Sinar' Untuk Bangkit Semula
KUALA TERENGGANU, 18 Februari- Jabatan Penjara Negeri Terengganu menyasarkan seramai 720 bekas banduan mendapat peluang pekerjaan sebelum akhir tahun ini memandangkan semakin banyak majikan yang sanggup menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan tersebut.
Menurut Pengarah Penjara negeri, Penolong Kanan Komisioner Penjara, Mohd. Nasir Yusof, sasaran itu optimis untuk dicapai dengan kebanyakan bekas banduan itu bekerja dalam sektor perkhidmatan seperti kedai makan, restoran, bengkel perkhidmatan mencuci kereta, bidang pertanian, perladangan dan pelancongan.
“Pada tahun 2024, seramai 410 bekas banduan mendapat pekerjaan yang disediakan 62 majikan seluruh Terengganu. Daripada jumlah itu, hanya empat bekas banduan yang melanggar syarat ditetapkan dan diberhentikan kerja.
“Ia adalah kes sangat terpencil dan Terengganu menunjukkan kejayaan cemerlang dalam program ini untuk menarik lebih banyak majikan dalam masa terdekat,” katanya selepas mengadakan sesi libat urus Pejabat Penjara Negeri Terengganu bersama majikan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Terengganu di sini, semalam.
Katanya, antara keistimewaan yang bakal diperoleh majikan yang menggajikan bekas banduan ialah pelepasan cukai hingga RM4,000 serta pemantauan berterusan daripada Jabatan Penjara.
17 Feb 25
77
Remaja 13 Tahun Ketagih 'Vape Mushroom', Kerajaan Digesa Bertindak Segera
KUALA TERENGGANU, 17 Februari - Kerajaan digesa bertindak segera bagi membendung masalah dadah 'magic mushroom' menggunakan rokok elektronik atau vape yang kian parah dalam kalangan remaja belasan tahun.
Pengurus Pusat Pemulihan Dadah Holistik milik Terengganu, Alif Mahari berkata, beliau sedih melihat sorang remaja lelaki berusia 13 tahun dihantar ke pusat pemulihan Darul Barakah itu akibat ketagihan dadah tersebut.
"Dadah ini dilaporkan semakin menular dalam kalangan pelajar sekolah dan boleh menyebabkan gangguan mental yang serius jika digunakan secara berterusan selama setahun.
"Remaja tersebut memperoleh bahan terlarang ini daripada seorang pelajar senior perempuan di sekolahnya, yang mendapat bekalan daripada penjual vape yang mementingkan keuntungan tanpa mempedulikan kesan buruk terhadap generasi muda.
"Dengan harga serendah RM1 untuk setitik, dadah ini mudah diakses oleh pelajar, menjadikannya ancaman serius kepada kesihatan mental mereka," kata beliau di Facebook.
Mengulas lanjut, Alif berkata setelah dua minggu di Darul Barakah, remaja tersebut dipindahkan ke pusat lain kerana pusat Perkampungan Darul Barakah hanya menerima individu berusia 18 tahun ke atas.
Bertitik tolak daripada itu, beliau menggesa kerajaan untuk menarik balik lesen penjualan vape dan menutup semua operasi berkaitan.
"Mudaratnya lebih besar daripada manfaat dan jika dibiarkan berterusan, negara mungkin akan menghadapi situasi di mana setiap rumah mempunyai seorang penagih.
"Tindakan segera mesti diambil untuk melindungi masa depan generasi muda dan mengejar keuntungan tidak seharusnya mengorbankan masa depan anak bangsa," tegasnya.
17 Feb 25
243
Kedah Jadi Rujukan Terengganu Dalam Pengurusan Sisa Pepejal
ALOR SETAR, 17 Februari – Kerajaan Terengganu menjadikan Kedah sebagai rujukan bagi pelaksanaan Akta 672 (Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007) dalam usaha meningkatkan keberkesanan pengurusan sisa pepejal serta kebersihan awam di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata pelbagai faktor perlu dipertimbangkan sebelum akta ini dapat dilaksanakan bagi memastikan sistem pengurusan sisa pepejal lebih sistematik dan lestari.
“Kehadiran delegasi kerajaan negeri ke Kedah hari ini adalah untuk melihat sendiri pelaksanaan Akta 672 yang telah dikuatkuasakan di Kedah sejak 15 tahun lalu.
“Terengganu masih belum menandatangani pelaksanaan akta ini, sama seperti Perak dan Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan tersebut, semalam.
Ketibaan beliau bersama 22 delegasi di Wisma Darul Aman telah disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria.
Turut hadir dalam lawatan tersebut, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Ir. Saiful Azmi Suhaili dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr. Zaharudin Zahid.
Dalam pada itu, Wan Sukairi memaklumkan, kerajaan negeri telah menjalankan beberapa kajian serta lawatan ke beberapa buah negeri sebelum ini, termasuk ke Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara dan Negeri Selangor.
"Tujuannya bagi mendapat maklumat lebih mendalam sebelum membawa perkara ini kepada perbincangan yang lebih khusus di peringkat negeri,” ujarnya.
Sementara itu, Mejar (B) Mansor Zakaria menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Terengganu atas kesudian hadir bagi mendapatkan maklumat secara langsung mengenai pelaksanaan pengurusan sisa pepejal di Kedah.
“Apa yang kami kongsikan hari ini adalah terbuka kepada semua. Negeri Kedah melihat pelaksanaan Akta 672 sebagai satu keperluan penting kerana ia telah membantu mengurangkan aduan berkaitan sampah.
“Selain itu, kerajaan negeri turut menerima manfaat melalui program kemasyarakatan dan kebajikan yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi yang bertanggungjawab dalam pengurusan sisa pepejal,” katanya.
17 Feb 25
466
KKYT Sasar 90 Peratus Kebolehpasaran Graduan Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 17 Februari- Kolej Kemahiran Yayasan Terengganu (KKYT) meletakkan sasaran 90 peratus kebolehpasaran graduannya untuk tahun ini, berbanding pencapaian sekitar 80 peratus pada tahun lepas.
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KKYT, Dr Wan Mansor Wan Mahmood berkata, pihaknya telah menyediakan pelbagai inisiatif dan program kepada mahasiswa bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam bidang pekerjaan.
“Bagi memberi nilai tambah kepada graduan, kita menggalakkan mereka mengikuti kursus-kursus tertentu seperti kursus bahasa, teknologi dan maklumat serta lain-lain yang sesuai semasa mereka mengikuti pengajian di sini.
“Ini kerana, ketika di kolej tidak cukup dengan hanya menumpukan kepada pengajian dalam kelas, tetapi mereka mesti juga mempersiapkan diri dengan kemahiran lain supaya akan ‘laku’ apabila memasuki pasaran kerja,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen KKYT Kali Ke-7 yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat di Duyong Marina Resort, di sini, semalam.
Sementara itu, Wan Mansor berkata, KKYT dijangka menawarkan program kulinari selewatnya akhir tahun ini sebagai inisiatif melahirkan lebih ramai graduan berkemahiran dalam bidang berkenaan.
“Tahun ini akan ada kursus baru, kita cuba bekerjasama dengan mana-mana institut kemahiran yang berminat dan sekarang di peringkat perbincangan,” ujarnya.
Menurut beliau, ketika ini KKYT menawarkan program bagi Diploma Pentadbiran Sistem Komputer dan Diploma Pentadbiran Sistem Maklumat.
“Serta Sijil Operasi Sistem Komputer dan Sijil Pentadbiran Pejabat,” katanya.
17 Feb 25
278