Artikel "Semasa" Terkini
Pendaki Terengganu Tawan Gunung Latimojong
12 pendaki yang mewakili Terengganu dalam pendakian yang penuh cabaran.Selepas menempuh pendakian selama 32 jam, 12 pendaki Kembara Terengganu De Latimojong berjaya menakluk puncak Rante Mario, Gunung Latimojong, Makassar setinggi 3,478 meter tepat pukul 12 tengah hari, 4 Oktober lalu.Pendakian selama dua hari satu malam itu disertai Angkatan Pertahanan Awam Terengganu (APM), pengamal media Terengganu, Pejabat Menteri Besar dan Kelab Eksplorasi Terengganu.Ketua Koordinator, Mohd Rafi Kori, 38, berkata cabaran pendakian bermula dari pos satu di Desa Karangan pada jam 9 pagi, 3 Oktober lalu, di mana pendaki diuji dengan laluan yang sempit serta memerlukan kekuatan tangan dan kaki untuk menyusur di tepi-tepi lereng bukit."Ada satu masa pendaki terpaksa menahan cuaca pergunungan yang tidak menentu yang disertai hujan lebat, suhu yang dingin mencecah empat darjah celsius dan angin kencang sepanjang pendakian untuk menawan puncak kelima tertinggi Indonesia," katanya kepada Bernama.Bagaimana pun bermula dari pos lima pada ketinggian 2,500 meter sehingga ke puncak pendaki dapat menikmati pemandangan indah hutan lumut dan perkampungan Karangan yang saujana mata memandang."Alhamdulillah kesemua pendaki selamat tiba di puncak pada pukul 12 tengah hari 4 Okt dan pendaki melakukan gimik kejayaan pendakian menggunakan pakaian tradisional berkain batik dan memakai terendak sebagai identiti warisan Melayu Nusantara."Lebih manis, pendaki Indonesia turut teruja dan bersama-smaa merakam detik kenangan dengan mengibarkan bendera kedua-dua negara Malaysia Dan Indonesia bagi menandakan hubungan akrab dan integrasi kedua-dua negara.Sementara itu, Chief De Mission yang juga Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata pendakian ini lebih bermakna apabila pasukan kendaliannya turut membuat khidmat amal kepada penduduk Desa Karangan dengan menyampaikan bantuan kewangan dan keperluan harian."Alhamdulillah..syukur kepada Allah perancangan untuk menawan puncak Rante Mario dipermudahkan dengan kesemua 12 pendaki berjaya turun dengan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan selepas menempuh perjalanan yang panjang dan mencabar."Saya selaku ketua ekspedisi berasa agak tersentuh melihat kedaifan penduduk di Desa Karangan yang serba kekkurangan dan jauh ketinggalan dari segi ekonomi."Diharap dengan bantuan yang dihulurkan dapat memberi sedikit kegembiraan dan keceriaan kepada masyarakat di situ," katanya.
07 Oct 17
108
Felcra In Situ Hulu Berang Perintis Dapat Akses Internet VSAT Di Terengganu
Felcra In Situ Hulu Berang bakal menjadi lokasi pertama di Terengganu dan kedua di Malaysia yang mendapat manfaat kemudahan akses internet melalui alat pemancar telekomunikasi 'Very Small Aperture Terminal' (VSAT) menerusi program Strategi Lautan Biru (NBOS) Menghubung Menyatu (CTU) di bawah Kementerian Komunikasi Dan Mutimedia Malaysia (KKMM).Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia Malaysia, Dato' Jailani Johari berkata WiFi Setempat ini akan memberi peluang kepada lebih 400 penduduk Felcra In Situ Hulu Berang terutamanya dalam melayari perkhidmatan jalur lebar atau akses internet secara percuma.Jelasnya,liputan perkhidmatan tersebut akan meliputi persekitaran sejauh 150 meter daripada lokasi pemasangan itu nanti."Bila adanya WiFi Setempat ini, ianya dapat memberi akses kepada masyarakat setempat untuk menggunakan WiFi secara percuma, selain juga dapat dimanfaatkan oleh pelajar di sekolah berhampiran."Felcra In Situ Hulu Berang bakal menjadi lokasi kedua di Malaysia dan pertama di Terengganu yang mempunyai WiFi Setempat selepas Kampung Baru Salong, Chini, Pekan, Pahang sejak diperkenalkan pada awal tahun ini,"kata Jailani.Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pemimpin Bersama Peserta Felcra Berhad Hulu Berang Dan Dialog Transformasi Nasional(TN50) Belia Felcra Wilayah Timur di Perkarangan Pejabat Felcra Berhad Kawasan Hulu Berang, hari ini.Turut hadir Pengerusi Felcra Berhad, Dato' Seri Bung Moktar Radin, Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Ghazali Taib; Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad,Zulkarnain Mohd Usoup; Ketua Pengarah Seranta Felcra Berhad, Dato' Najmil Fais Mohamed Aris dan Pengurus Besar Felcra Berhad, Saipudin Omar.Menurut Jailani, Pengerusi Felcra Berhad, Dato' Seri Bung Moktar Radin bersetuju meluluskan sebuah dewan baru di Felcra In Situ Hulu Berang, justeru itu sistem WiFi Setempat akan ditempatkan di dalam dewan baru itu nanti.Sementara itu, Mohd Shakri Jusoh, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (J3K)Kampung Betong berkata,dengan pemasangan WiFi Setempat akan dapat menyelesaikan masalah perhubungan yang dialami oleh masyarakat setempat di kawasan tersebut."Setakat ini kita memang bermasalah dalam talian komunikasi seperti dapatkan isyarat dan internet..sekali ada,sekali tak ada.Ini menyukarkan kami untuk berhubung terutama jika ada kecemasan dan sebagainya termasuk anak-anak yang memerlukan jalur lebar untuk mengulangkaji pelajaran."Saya ucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen yang prihatin dengan masalah talian komunikasi kami dengan cadangan mewujudkan WiFi Setempat dan berharap ianya dapat disegerakan,"ujarnya.Untuk rekod,CTU merupakan salah satu projek yang dilaksanakan oleh KKKM dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan di samping penyertaan syarikat telekomunikasi swasta yang terpilih untuk memberi peluang kepada masyarakat luar bandar menikmati faedah perkhidmatan jalur lebar atau akses internet secara percuma.
07 Oct 17
513
20,000 Penduduk Kuala Nerus Meriahkan Minggu Wanita Dan Kesihatan
Ahmad Razif ketika merasmikan Majlis Penutup Minggu Wanita dan Kesihatan di padang bola Perumahan Telaga Daing, Kuala Nerus, hari ini. Foto oleh Zulkifli C.W. PutraHampir 20,000 penduduk sekitar Kuala Nerus, terutamanya penduduk Seberang Takir memenuhi padang bola Perumahan Telaga Daing, Kuala Nerus sepanjang program Minggu Wanita dan Kesihatan yang berlangsung selama tiga hari bermula Khamis lalu.Sepanjang tiga hari berlangsung, pelbagai acara disediakan kepada rakyat setempat bagi memeriahkan suasana di kawasan tersebut.Antara aktiviti yang diadakan adalah Basikal Fun Ride, Forum Perdana, Demo Kecantikan, Demo Masakan, Pertandingan Kuih Tradisional dan pelbagai acara menarik lain.Acara itu digerakkan untuk menghargai, memupuk kesedaran dan penglibatan wanita dalam peranan meningkatkan kesejahteraan kehidupan keluarga.Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata penglibatan segenap lapisan masyarakat membuktikan sambutan Minggu Wanita dan Kesihatan Seberang Takir berjaya mencapai fokusnya yang bersifat kekeluargaan dan mengukuh hubungan masyarakat justeru, akan diteruskan sebagai acara tahunan.Katanya, menerusi platform itu secara tidak langsung semangat solidariti, muafakat dan kerjasama dalam kalangan penduduk dapat diterjemahkan dan diperkasakan demi manfaat bersama."Misalnya dalam pertandingan memasak bubur asyura semalam yang disertai oleh 45 kumpulan dengan juadahnya diagih-agihkan kepada masyarakat setempat, saya nampak peserta berbalah secara sahabat dan berbalah secara sayang yang sekali gus mengeratkan hubungan sesama mereka."Ini adalah cara hidup kita, yang perlu saling bantu-membantu jadi teruskan nilai-nilai murni yang dibuat ini kerana ia merupakan yang terbaik untuk meningkatkan kesejahteraan kehidupan," katanya.Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan majlis penutup program tersebut.Turut hadir, Isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Halina Zakaria, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato' Tengku Farouk Hussin Tengku Abdul Jalil, Ketua Pegawai Operasi Institut Jantung Negara, Akmal Arief Mohamed Fauzi dan Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Dato' Basir Ismail.Pada majlis tersebut, bekas guru, Maimunah Yahya, 69, dinobatkan sebagai Tokoh Wanita Seberang Takir di atas jasa yang diberikan kepadanya.Dengan anugerah tersebut, beliau turut dihadiakan wang tunai sebanyak RM500, plak dan sepersalinan pakaian.
07 Oct 17
217
MBKT Perkenal Laluan Bebas Kenderaan
Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menganjurkan Program Pagi Bebas Kenderaan di bandar raya ini secara bulanan pada Sabtu minggu kedua, setiap bulan untuk memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.Datuk Bandar MBKT, Mohd Zulkifli Abu Bakar berkata, pelaksanaan program membabitkan laluan dua kilometer bermula dan berakhir di tapak Pasarnita, Tanjung Kuala Terengganu itu melalui Jalan Pantai, bangunan baru MBKT dan sekitar bandar Kuala Terengganu.Katanya, selain berbasikal, orang ramai turut berpeluang berjalan kaki di sekitar laluan yang disediakan di kawasan pantai di samping melakukan aktiviti riadah seperti senamrobik, joging dan pertunjukan kesenian.“Saya percaya ada ramai peminat sukan berbasikal di bandar raya ini sama ada dalam kalangan persendirian mahupun agensi kerajaan atau swasta.“Insya-Allah pada masa depan, kita berhasrat mengumpulkan kesemua kumpulan berbasikal yang ada di sini untuk bersama-sama terlibat dalam kayuhan sekali gus menikmati keindahan persekitaran dan udara nyaman di bandar raya Kuala Terengganu,” katanya.Menurut Mohd Zulkifli, jalan yang terlibat akan ditutup buat sementara waktu antara jam 7.00 pagi hingga 10.00 pagi dan dalam tempoh itu dijangka dapat mengurangkan kira-kira 200 kenderaan di jalan raya.“Laluan sama akan diperkemaskan dari semasa ke semasa di samping mempertingkatkan penguat kuasa bagi kawalan lalu lintas di lokasi terlibat.“Sehubungan itu, orang ramai terutama yang ingin ke Pasar Besar Kedai Payang atau kawasan berdekatan diminta menggunakan laluan alternative,”katanya
06 Oct 17
51
Usahawan Online Perlu Guna Sepenuhnya Kemudahan Media Sosial Untuk Pasar Produk
Para usahawan yang menceburi perniagaan dalam talian perlu sentiasa mengikuti trend terkini untuk terus kekal berdaya saing, selain memperkemaskan pangkalan data pelanggan dan sentiasa bergerak seiring perubahan teknologi maklumat semasa.Pengarah SME Corp Terengganu, Muhammad Ibrahim berkata, mengikut kajian yang dibuat oleh SME Corp. Malaysia, daripada responden yang dikaji dalam tempoh suku pertama tahun ini, sebanyak 4.7 peratus usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Terengganu menggunakan perniagaan melalui dalam talian berbanding hanya 2.5 peratus pada suku tahun ketiga 2016 manakala 7.4 peratus secara keseluruhan di Malaysia.“Ini memperlihatkan peningkatan syarikat yang menggunakan platform digital media sosial seperti Facebook dan Twitter dalam urus niaga.“Selain itu, peningkatan atau perkembangan perniagaan online sebenarnya secara tidak langsung menunjukkan kepercayaan orang ramai terhadap peniaga serta jaminan barangan yang dibeli itu sampai kepada pembeli,” katanya ketika sidang media “Program Sembang Peniaga Online” yang dihadiri lebih 100 peniaga atas talian di Sumai Hotel, Kuala Terengganu, semalam.Program anjuran SME Corp. Terengganu dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Persatuan Tunas Usahawan Terengganu (PATUT) itu bertujuan memberi peluang kepada peniaga online untuk berkongsi pengalaman dengan peniaga atas talian yang telah berjaya menggunakan platform tersebut untuk memasarkan produk mereka.Menurutnya, peningkatan itu juga menunjukkan kecenderungan PKS dalam fasiliti baru ini dan usahawan Terengganu disaran memanfaatkan ekosistem digital ini supaya mereka kekal berdaya saing secara dalam talian.“PKS perlu meletakkan perniagaan mereka pada ekosistem yang tepat untuk bersaing pada peringkat global terutamanya melalui Zon Perdagangan Bebas Digital (Digital Free Trade Zone) yang baru dilancarkan pada tahun ini. Sektor PKS adalah tunggak penting ekonomi Malaysia kerana sektor ini menyumbang hampir 36 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).“Kita juga akui ada beberapa kes penipuan atau kes memperdaya pelanggan melalui perniagaan atas talian dan ini sukar dibendung kerana kebanyakan peniaga tidak mendaftarkan perniagaan mereka, sekali gus menyukarkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap sebarang aduan,” ujarnya.Muhammad berkata, beliau nasihatkan usahawan Terengganu yang berniaga secara atas talian untuk mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi melindungi perniagaan selain memberi keyakinan kepada pengguna.Dalam pada itu, beliau turut memberi pandangan agar PKS perlu kreatif memasarkan produk seperti mengadakan perkhidmatan selepas jualan serta membina hubungan baik dengan usahawan lain agar dapat bekerjasama dan saling bertukar pendapat. Malah, turut menyarankan peniaga untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh KPDNKK terutama yang melibatkan isu mempamerkan harga barang seperti yang termaktub di bawah Akta Perihal Dagangan (pindaan) 2017.
03 Oct 17
53
ICESR Dan TADMIC 2017 Kumpul 109 Penyelidik, Bentang Lebih 90 Kertas Kerja
Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur, (ESERI), Universiti Sultan Zainal (UniSZA) bersama Institut Teknologi Sains Perubatan, Universiti Kuala Lumpur (MESTECH, UniKL) dan Teknologi Astronautik (M) Sdn. Bhd. (ATSB) menganjurkan Persidangan Antarabangsa Persekitaran, Sukan dan Rekreasi serta Teknologi Aplikasi Pengurusan Bencana 2017 (ICESR & TADMIC 2017) bermula 3 hingga 5 Oktober bertempat di KEM 1M4U Outreach, Merang, Setiu.ICESR & TADMIC 2017 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dirasmikan oleh , Timbalan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (Penyelidikan dan Pembangunan), Prof. Ir. Dr. R. Badlishah Ahmad.Program tersebut bertujuan mengumpul kepakaran membabitkan pelbagai disiplin berkaitan alam sekitar, sukan, rekseasi dan pengurusan bencana serta bertujuan menggalakkan pertukaran idea dan pengalaman daripada pakar sekali gus mewujudkan usahasama penyelidikan.Pengarah ESERI UniSZA, Prof Madya Dr Hafizan Juahir berkata, seminar antarabangsa itu mengumpulkan 109 penyelidik tempatan dan antarabangsa daripada pelbagai bidang untuk membentangkan lebih 90 kertas kerja."Seminar ini berfungsi bagi memberi ruang kepada para peserta untuk berkongsi pengetahuan dan membincangkan perkara berkaitan kajian alam sekitar, perlindungan dan pemuliharaan daripada persekitaran bahaya serta melibatkan program kesedaran alam sekitar,” katanya kepada media, di Merang, Setiu, semalam.Menurut Hafizan Juahir, antara aktiviti semasa program ialah peserta akan dibahagikan kepada beberapa sesi mengikut bidang penyelidikan. Selain itu, setiap peserta akan diberi slot selama 15 minit untuk pembentangan kertas kerja mereka secara santai dengan hanya menggunakan medium poster.“Keunikan seminar itu terletak pada pengaplikasikan konsep mesra alam sekitar yang lebih santai, yang mana persembahan lisan akan diadakan di sekitar kawasan kem. Malah, sebanyak 28 daripada 90 artikel penyelidikan yang terpilih berjaya diterbitkan dalam jurnal yang diindeks dan penerbitan jurnal berkenaan akan diteruskan selepas seminar berakhir," katanya.Acara itu direalisasikan dengan kerjasama Institut Sukan Negara (ISN), Fakulti Matematik dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA) Universiti Padjadjaran Indonesia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu (SUK Terengganu), Majlis Sukan Negari Terengganu (MSNT), Jabatan Kimia Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM).
03 Oct 17
221
Cari Keberkatan Dalam Bekerja-SUK
Wan Nawawi ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Wisma Darul Iman (WDI), di Dewan Besar WDI, Kuala Terengganu, pagi ini. Foto Oleh: Zulkifli C.W. PutraSetiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail mengingatkan semua penjawat awam agar mencari keberkatan dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.Katanya, pendapatan yang diterima tidak membawa erti sekiranya ianya tidak berkat.“Jumlah pendapatan atau gaji yang kita terima tidak akan membawa apa-apa makna kalau ianya tidak ada keberkatan.“Jadi sekarang ini yang perlu kita cari ialah keberkatan. Dan untuk mendapat satu keberkatan yang optimum adalah dengan mensyukuri dan redha dengan apa yang kita perolehi,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Bulanan Wisma Darul Iman (WDI), di Dewan Besar WDI, Kuala Terengganu, pagi ini.Wan Nawawi turut mengajak kakitangan awam muhasabah diri dan menilai sejauhmana keberkatan gaji yang diterima sebelum ini. “Tanya balik diri kita, adakah gaji yang kita terima berkat dan sejauh mana gaji yang kita dapat yang betul-betul boleh manfaatkan.“Redha dan bersyukurlah dengan apa yang kita ada dan sentiasalah bergerak ke hadapan untuk memacu kejayaan demi kejayaan dalam kerjaya kita sebagai seorang penjawat awam,” ujarnya.
03 Oct 17
292
124 `Mahasiswa' SMKTB Diraikan Di Majlis Graduasi
Jailani menyampaikan anugerah kepada seorang pelajar cemerlang SMKTB sempena majlis graduasi sekolah itu, semalam. Foto oleh Harish fadzillah Abu Kassim Seramai 124 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah (SMKTB) diraikan sempena Majlis Graduasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke-16 2017, di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Terengganu, semalam.Majlis dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri, Dato' Jailani Ngah.Hadir sama, Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Dato’ Mohd Sabri Alwi yang juga Yang Dipetua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKTB serta Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, Jelani Sulong.Pengetua SMK Tengku Bariah, Mohamad A.Ghani berkata,majlis berkenaan sebagai menyuntik semangat kemahasiswaan di kalangan pelajar yang bakal menempuhi SPM serta menamatkan alam persekolahan."Sekolah dan institusi pendidikan berperanan penting dalam menentukan hasrat dan cita-cita negara bagi merealisasikan Wawasan 2020 nanti menerusi kejayaan menghasilkan mahasiswa cemerlang. “Untuk itu kita perlu menghayati dan mendalami budaya kecemerlangan dengan menjadikan peningkatan dan pengurusan kualiti yang menyeluruh sebagai agenda dalam memartabatkan institusi pendidikan,”katanya.Dalam majlis itu, SMKTB turut memberi anugerah penghargaan kepada empat pelajar terbaik percubaan SPM tahun ini, iaitu Nor Amirah Mazlan, Nur Amirah Faqihah Roslan, Nur Adriana Amirah Noor Rozaiman dan Wan Muhammad Hanif Wan Lokman.
02 Oct 17
757
Warga Emas Uzur Bersyukur Terima Bantuan Rumah Baharu
A.Latiff (tengah) menyerahkan sumbangan berupa barangan dapur kepada Kelsom ketika menziarahi warga emas itu di Kampung Batu Kelikir, Marang. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu Kassim.Kehidupan seorang warga emas di Kampung Batu Kelikir, Marang yang mendiami rumah pusaka yang uzur dengan atap bocor serta dinding berlubang dan reput, kini berubah apabila dibantu pemimpin setempat.Jika sebelum ini, Kelsom Salleh, 93, tidak mempunyai pilihan lain kerana kedaifan hidup menghalangnya daripada memiliki sebuah rumah yang lebih baik dan terpaksa mendiami rumah usang peninggalan arwah suaminya itu dengan ditemani anaknya, Saadiah Mat Adam,80.Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, A.Latiff Awang membawa berita gembira apabila meluluskan pembinaan rumah baharu menerusi Program Cakna @ Komuniti.Cucunya, Ngah Ismail, 58, yang mewakili neneknya yang sakit tua berkata dan kadang kala tidak boleh bertutur dengan jelas mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang membantu neneknya itu.“Terima kasih juga kepada yang terlibat meroboh dan membina rumah baru untuk tok, InsyaAllah rumah baru nanti akan beri lebih keselesaan kepadanya.“Sebelum ini, jika hari hujan atap akan bocor, emak yang menjaga tok terpaksa memindahkan tok ke tempat yang lebih selamat,” ujarnya kepada Teganukita pada program ziarah dan tinjauan kerja-kerja meroboh rumah oleh A.Latiff di Kampung Batu Kelikir, Marang, semalam.Turut hadir, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Marang, Senator To’ Puan Zaiton Mat Amin dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, Zuhami Omar.Pembinaan kediaman baharu untuk Kelsom yang bernilai RM18,000 itu menggunakan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), iaitu penglibatan semua peringkat termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin masyarakat.Para sukarelawan terdiri daripada anggota RELA, Giat Mara, JKKK dan juga komuniti setempat bergotong-royong meroboh dan membina rumah baru di tapak asal kediaman warga emas itu.Sementara menanti rumah baharu siap, Kelsom dan Saadiah akan tinggal buat sementara waktu di rumah Ngah yang terletak bersebelahan rumah pusaka itu.
02 Oct 17
241
Gotong-Royong Bina Rumah Warga Emas Uzur Di Kampung Batu Kelikir
A.Latiff (tengah) bersama sukarelawan melakukan kerja-kerja meroboh rumah lama milik Kelsom untuk pembinaan rumah baharu di Kampung Batu Kelikir, Pengkalan Berangan, hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu Kassim.Dua beranak yang tinggal di rumah pusaka di Kampung Batu Kelikir, Marang antara keluarga yang mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan bagi menerima bantuan menerusi Program Cakna @ Komuniti.ADUN berkenaan, A. Latiff Awang berkata, nasib Kelsom Salleh, 93, yang dijaga anaknya Saadiah Mat Adam, 80, mendapat pembelaan sewajarnya apabila menerima rumah baharu berikutan keadaan rumah yang didiami sebelum ini begitu daif.Menurut A.Latiff, pihaknya mengambil langkah segera untuk membela nasib keluarga itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan dan memberi kesejahteraan kepada rakyat.Katanya, pembinaan kediaman baharu bagi warga emas berkenaan menggunakan konsep secara gotong-royong menerusi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), iaitu penglibatan semua peringkat termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin masyarakat.“Dengan sokongan dan peruntukan kewangan daripada agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Terengganu dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) kita dapat mengumpul dana sebanyak RM18,000."Ini merupakan satu program NBOS yang disarankan kerajaan yang dapat kita laksanakan dan pada hari ini lebih 50 sukarelawan terdiri daripada anggota RELA, Giat Mara, JKKK dan juga komuniti setempat bergotong-royong meroboh kediaman lama milik Puan Kelsom untuk membina rumah baharu di tapak asalnya,” ujarnya kepada Teganukita selepas meninjau kerja-kerja meroboh dan menziarahi warga emas itu, hari ini.Turut hadir, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Marang, Senator To’ Puan Zaiton Mat Amin dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, Zuhami Omar.A.Latiff yang juga Ketua UMNO Bahagian Marang berkata, pendekatan NBOS cukup berkesan kerana dapat mengurangkan perbelanjaan berikutan menggunapakai kepakaran-kepakaran daripada agensi serta badan yang menyertainya.“Jika menggunakan peruntukan sedia ada untuk membina rumah baharu ini ianya belum tentu mencukupi tetapi dengan konsep NBOS, insyaAllah ia dapat disiapkan dengan sempurna kerana penglibatan agensi-agensi yang akan melaksanakannya secara gotong royong termasuk anggota Rela, Giat Mara, JKM, Maidam, JKKK dan juga komuniti setempat,” ujarnya.Katanya, konsep NBOS ini juga akan diteruskan untuk membina lebih banyak rumah bagi membantu warga miskin dan keluarga yang terlibat dengan bencana alam khususnya di Daerah Marang.
02 Oct 17
642