Artikel "Semasa" Terkini
Bekas Guru Dirai Dalam Majlis Jasamu Dikenang
A.Latif menyampaikan sijil penghargaan kepada bekas pengarah pada Majlis Jasamu Dikenang. Foto oleh Zulkifli C W Putra.Seorang guru cemerlang tidak pernah mengenal erti berputus asa dan penat lelah dalam menabur bakti mendidik anak bangsa menjadi seorang yang cemerlang, gemilang dan terbilang.Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains Teknologi Dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang berkata, guru cemerlang sanggup berkorban apa sahaja, masa hatta wang ringgit bagi melaksanakan pelbagai program demi memastikan anak didiknya beroleh kejayaan.Katanya, komitmen tinggi guru cemerlang inilah yang menyaksikan ramai pelajar di Terengganu mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama setiap tahun, sehingga membolehkan pelajar terbabit melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, kadangkala mengatasi guru mereka sendiri."Menyedari sumbangan besar guru-guru, golongan itu perlu dirai dan dihargai sewajarnya, "katanya.Beliau berkata demikian pada Majlis Jasamu Dikenang di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, petang ini.Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Shafruddin Ali Hussin.Dalam majlis itu seramai 1,569 bekas guru dan kakitangan kumpulan sokongan yang telah bersara bermula 2014 hingga 2017 dirai dalam dua majlis berasingan.Pada sebelah pagi program sama yang bertujuan menghargai jasa mereka yang telah menamatkan perkhidmatan pula dirasmikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Zubir Embong.
23 Oct 17
44
Pemohon Skim Khas RTB Akan Ditawar Tanah Mulai Disember Ini
Menteri Besar ketika berucap di depan pemimpin dan ketua jabatan sempena program turun padang ke Daerah Kuala Terengganu, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.Rakyat yang memohon Skim Khas Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) untuk pembinaan rumah kediaman dijangka akan menerima tawaran tanah itu pada penghujung tahun ini.Lebih 45,000 permohonan atas talian menerusi laman sesawang http://tanahrtb.terengganu.gov.my diterima kerajaan negeri sejak ia dibuka kepada orang ramai mulai 2 Ogos 2017 sehingga 31 Ogos 2017.Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, semua permohonan itu sudah selesai ditapis dan proses memanggil pemohon bagi menjalani temuduga akan dilaksanakan dalam masa terdekat.“Kita sudah selesai membuat penapisan dan dalam masa terdekat proses temuduga akan dibuat. Jadi, selepas ini mana-mana pemohon yang berjaya dalam temuduga akan terus dibawa ke mesyuarat majlis daerah sebelum ke Mesyuarat (Mingguan) Exco untuk kelulusan.“Saya jangka pada Disember ini kita akan membuka tawaran kepada pemohon yang berjaya memohon program tanah kosong (RTB) kediaman baru-baru ini,”katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Turun Padang Menteri Besar Terengganu Ke Daerah Kuala Terengganu, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail, Pengarah Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) Terengganu, Dato’ Mohd Akil Mat dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Dato’ Mohd Yasim Awang.Ahmad Razif berkata, PTG juga akan mengenal pasti tanah kosong yang baharu memandangkan permohonan yang diterima lebih 45,000, berbanding tanah kosong yang dikenalpasti serta ditawarkan sebelum ini hanya lebih 5,000 lot.Tanah kosong berkenaan melibatkan Setiu (3362), Dungun (1332), Kemaman (928), Kuala Terengganu (109),Marang (71), Besut (69), Hulu Terengganu dan Kuala Nerus masing-masing, 34 lot. “InsyaAllah dalam masa terdekat kita juga akan mengumumkan tanah-tanah yang kosong yang boleh dipohon oleh rakyat yang memerlukan kerana kita membuka Skim Khas RTB dari semasa ke semasa bergantung kepada jumlah lot tanah baharu yang dikenal pasti,”katanya. Menurut Menteri Besar lagi, PTG dengan Pejabat Perhutanan Negeri juga juga akan mengenal pasti kawasan pembalakan yang sudah dikosongkan sebagai hasil negeri dan lokasi yang berdekatan dengan akses jalan raya untuk dijadikan RTB bagi memberi peluang kepada lebih ramai anak Terengganu memiliki satu lot tanah kediaman.Dalam pada itu, Ahmad Razif dijadualkan akan mengadakan program turun padang ke setiap daerah pada setiap Isnin bagi bersemuka dan mendapatkan maklum balas dengan pegawai di seluruh jabatan negeri dan daerah serta pemimpin masyarakat mengenai permasalahan rakyat serta projek `touch point’ yang boleh membantu rakyat di seluruh Terengganu.Tambahnya, program turun padang akan datang juga akan ditambah baik termasuk mewujudkan `free market’ atau tabbaruk supaya dapat memberi manfaat kepada rakyat yang memerlukan dan memupuk amalan bersedekah di kalangan rakyat yang berkemampuan.
23 Oct 17
424
GPMS Terengganu Sokong Agenda Sosial Baharu
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Terengganu menyokong penuh terhadap usul yang dibawa oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam artikelnya di Utusan Malaysia bertarikh 20 Oktober 2017 bertajuk Agenda Sosial Untuk Bajet 2018.Pengerusi GPMS Terengganu, Tengku Haphiz Dato’ Tengku Putera berkata, usul yang dikemukakan Khairy menjelang pembentangan Bajet 2018 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak merangkap Menteri Kewangan itu adalah dengan harapan Bajet 2018 dapat mengangkat satu agenda sosial untuk membangunkan modal insan kelas pertama.Katanya, pada bulan Mei yang lalu GPMS Terengganu telah mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muda Terengganu dan hasil perbincangan telah dipersetujui ahli DUN Muda kepada pembangunan belia khususnya di Terengganu.“Antaranya mewujudkan ‘Tertiary Education’ iaitu program bimbingan serta pendedahan berterusan kepada anak- anak muda bagi mengelakkan gejala tidak sihat dalam kalangan belia dan dikelola oleh satu unit khas sebagai permulaan bagi merangka dan menyelia pelaksanaan program,” ujarnya.Selain itu katanya, mengadakan Program Wacana Intelektual yang boleh dibuat secara NBOS supaya dapat dirancang dan dilaksanakan bersama bagi memberi impak yang lebih berkesan kepada para belia yang boleh dipelbagaikan bentuk diskusi dan melibatkan pelbagai pihak seperti AADK dan PDRM.“Kami percaya banyak program yang telah diadakan oleh pihak agensi kerajaan mahupun NGO kepada para belia dapat menangani isu sosial. Dengan semangat dan komitmen yang berterusan, mewujudkan sebuah pusat sehenti bagi anak-anak muda melatih diri dalam bidang kepimpinan. Di situ lah, mereka dapat mencungkil dan menggilap potensi bakat mereka terutama dalam ‘soft-skills” dan kemahiran-kemahiran lain,” ujarnya.Tengku Haphiz berkata, GPMS Terengganu amat yakin sekiranya agenda baharu ini ditekankan oleh kerajaan akan memberi impak yang amat berkesan. “Kerajaan seharusnya menjadi contoh dan ‘leader’ dalam sesuatu isu berkaitan belia yang perlu diberi perhatian sewajarnya bagi melahirkan belia yang hebat seiring dengan arus pembangunan negara menjelang Transformasi Nasional 2050,” katanya.
23 Oct 17
76
250 Warga JHEAT Dan Maidam Lafaz Ikrar Bebas Rasuah
Seramai 250 warga Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) hari ini menandatangani ikrar bebas rasuah (IBR) sekali gus menyatakan komitmen untuk memerangi rasuah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).Lafaz ikrar diketuai Pesuruhjaya JHEAT, Dato’ Wan Mohd Wan Ibrahim dan kesemua IBR yang ditandatangani itu diserahkan kepada Timbalan Pengarah SPRM Terengganu, Zainal Ayop.Perjanjian itu turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Mutimedia Dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah Pegawai JHEAT dan Maidam di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.Ketika berucap dalam majlis itu, Wan Mohd berkata, ikrar dilafaz itu menjadi satu perjanjian di mana ia turut mengingatkan semua warga kerja JHEAT dan Maidam supaya jangan sesekali mengamalkan budaya rasuah.“IBR merupakan satu langkah yang patut dipuji kerana ia mampu meningkatkan rasa tanggungjawab pemimpin dan warganya dalam melaksanakan tugas mereka dan menjauhkan diri daripada melakukan perlakuan rasuah selama mana mereka menjawat jawatan yang disandang.“Malah, secara tidak langsung memberi mesej kepada masyarakat bahawa jabatan kita ini samada JHEAT dan Maidam berjanji menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tidak prejudis ke atas mana-mana warganya yang melibatkan perbuatan rasuah,” ujarnya.Katanya, semuanya perlu bermula daripada pembudayaan intergriti dalam penjawat awam terutamanya warga JHEAT dan Maidam kerana ia merupakan satu batu asas untuk menyampaikan perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat.“Justeru, elemen amalan positif berteraskan nilai murni yang dikenalpasti dalam pelan integriti nasional seperti jujur serta ikhlas perlu dihayati dan sentiasa diamalkan oleh semua pihak.“Hal ini amatlah penting apabila kita mempunyai kesedaran, serta menjadikan integriti sebagai amalan harian maka akan wujudlah satu persekitaran kondusif ke arah pembudayaan nilai integriti dalam organisasi,” katanya.
22 Oct 17
138
Bantuan Mangsa Ribut Akan Disegerakan- Ahmad Razif
Menteri Besar bersama kepimpinan negeri dan kawasan meninjau kesan kejadian ribut petang semalam di sekitar Paya Resak, Marang. Foto oleh Zulkifli CW PutraKerajaan negeri akan memastikan semua rumah yang rosak akibat kejadian bencana ribut melanda beberapa kawasan di negeri ini, petang semalam akan segera diberi bantuan membaik pulih kediaman terlibat.Difahamkan, sebanyak 458 rumah membabitkan 390 rumah di Marang, Kuala Terengganu 61 rumah dan Hulu Terengganu pula membabitkan tujuh buah rumah.Bagaimanapun, jumlah itu dijangka bertambah memandangkan ada sebilangan kecil mangsa yang masih belum membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri untuk tindakan selanjutnya.Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, beliau sudah mengarahkan pihak berkaitan khususnya pemimpin setempat dan JKM untuk mengenal pasti jumlah sebenar mangsa dan rumah yang terlibat bagi memastikan bantuan diterima dengan tepat dan cepat.“Keutamaannya sekarang adalah menyelesaikan masalah rakyat tanpa mengira fahaman politik, sama ada secara bergotong royong untuk memasang atap, menggantikan dinding, membersihkan kawasan atau sebagainya.“Jumlah kerugian masih dalam tafsiran dan yang pasti tiada mangsa cedera,” katanya selepas melawat beberapa rumah mangsa ribut di Kampung Paya Resak, Marang, hari ini.Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail, Pengarah JKM Negeri Zuhami Omar, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat, Saiful Bahri Baharuddin dan Pegawai Penyelaras DUN Bukit Payung, Mohamad Nor Endut.Seorang mangsa kejadian itu, Ramlan Ramli, 36, berkata ribut yang berlaku petang semalam adalah yang paling teruk sepanjang dia menetap di Kampung Pusu Tiga sehingga beranggapan seperti sudah tiba hari kiamat.“Saya ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah hanya mampu mengucap dan lafaz Allahuakbar untuk meredakan kejadian ribut.“Sebaik tiba di rumah hanya mampu melihat isteri Shamsiah Ramli, 35 dan empat anak dalam ketakutan kerana hampir keseluruhan atap rumah kami tercabut, peralatan dan kelengkapan rumah juga basah,”katanya.
22 Oct 17
42
Kompleks Ibu Tunggal Di Chendering Bakal Siap Penghujung Tahun Ini
Kompleks ibu tunggal di Chendering, Kuala Terengganu bakal siap menjelang penghujung tahun ini.Terengganu bakal memiliki sebuah kompleks aktiviti ibu tunggal yang pertama di negeri ini apabila sebuah bangunan baru bernilai RM4.4 juta dijangka siap sepenuhnya pada Disember ini.Timbalan Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Ramlah Idris berkata, kerajaan negeri membina sebuah pusat aktiviti yang dinamakan Kompleks Kegiatan Ibu Tunggal terletak di Chendering, Kuala Terengganu."Kerja-kerja pembinaanya di peringkat akhir dan dijangka siap sepenuhnya Disember nanti."Selain itu terdapat sebuah bilik mesyuarat, tiga buah bilik aktiviti (spa, memasak, menjahit), sebuah pejabat pengurusan persatuan, surau, perpustakaan, gimnasium, cafe, enam buah kedai usahawan berserta lima buah kiosk," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Transformasi Ibu Tunggal- Kerana Dirimu Dicakna di Bandar Permaisuri, Setiu, semalam.Seramai 250 ibu tunggal dari Parlimen Setiu hadir pada program itu dan ianya dirasmikan oleh Ketua Wanita UMNO Bahagian Setiu, Wan Nasiah Wan Abdul Majid.Hadir memberi ceramah pada program itu ialah Pakar Motivasi Dr. Robiah K. Hamzah.Ramlah berkata, antara kemudahan yang disediakan di kompleks itu seperti sebuah dewan utama yang memuatkan sehingga 250 peserta.Beliau berkata, kompleks itu juga dapat memberi kemudahan dan keselesaan serta dapat menampung lebih ramai ibu tunggal untuk menjalankan aktiviti yang memberi manfaat kepada golongan itu dan masyarakat sekitar amnya.Dalam pada itu, Ramlah berkata, sepanjang tahun ini, beberapa program sudah dan akan dilaksanakan seperti Program Bimbingan Usahawan, Bengkel Latihan dan Kemahiran Ekonomi, Bengkel Bimbingan Perundangan serta Program Pendampingan dan Kaedah Mediasi."Saya berharap agar golongan ibu tunggal akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan sentiasa bergerak ke hadapan bagi kelangsungan kehidupan.Tambahnya, sehingga kini, kira-kira 27,000 orang ibu tunggal yang berdaftar di seluruh Terengganu.
22 Oct 17
1445
Kisah Pilu Di Sebalik Konvokesyen Ke-9 UniSZA
Sebalik kegembiraan ribuan pelajar bersama keluarga meraikan Majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kali ke-9 di Dewan Al Muktafi Billah Shah, UniSZA Gong Badak semalam, seorang ibu menyimpan kisah duka apabila terpaksa mengambil sendiri ijazah arwah anaknya.Ibu kepada empat anak, Rofidah Hussein, 51, mewakili anak sulungnya Muhammad Azadi Mohamad Anuar, 24, penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Rangkaian Komputer) yang meninggal dunia pada 25 Januari lalu kerana masalah jantung.Menurut pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah itu, dia terpaksa menguatkan semangat untuk naik ke pentas menerima ijazah bagi pihak Allahyarham Muhammad Azadi sebagai mengenang kegigihan arwah menghabiskan pengajian ketika sedang melawan penyakit sejak 2015."Arwah didiagnosis mengalami masalah jantung pada 2015 dan akibat masalah itu dia terpaksa menangguhkan pengajiannya di UniSZA selama setahun."Walaupun sakit arwah sangat cekal, tidak banyak mengeluh dan berdikari sendiri berulang-alik dari Terengganu ke Kedah termasuk di penghujung hayatnya ketika sedang praktikal di UniSZA, arwah kuatkan semangat pulang ke kampung di Alor Setar bagi bertemu semua keluarga untuk menyambut hari lahirnya tanggal 20 Januari lalu, lima hari sebelum pergi meninggalkan kami,"katanya.Kata Rofidah lagi, walaupun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan, arwah tidak menyusahkannya dan suami, Mohamad Anuar Ismail, 51, dan tiga adiknya yang berusia 16, 20 dan 23 tahun malah kekuatan yang ditunjukkan arwah menjadi contoh terbaik kepada adiknya.Walaupun masih sedih kerana tidak dapat melihat arwah mengambil sendiri ijazahnya, Rofidah dan suaminya tetap gembira kerana arwah mengharumkan nama keluarga walaupun kini tanpa jasad di sisi mereka.Ijazah berkenaan disampaikan Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Prof Dr Mohd Yusof Md Nor.Terdahulu, istiadat pembukaan majlis itu disempurnakan Canselor UniSZA, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.Turut berangkat Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan anakanda baginda, Tengku Fatimatuz Zahra’.Hadir sama, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, To' Puan Seri Halina Zakaria; Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Yusof Md. Nor; Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, Prof. Emeritus Dato' Dr. Kamarudin Hussin dan Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif.Seramai 2,359 graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) diraikan dalam Majlis Konvokesyen Ke-9 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA, Gong Badak, Kuala Nerus sepanjang tiga hari bermula semalam.Daripada jumlah itu, seramai 18 graduan dianugerahkan ijazah doktor falsafah, graduan sarjana (59), sarjana muda (1,321) dan diploma (961).
22 Oct 17
453
Jalan Berisiko Di Telok Kalong - Bandar Baru Kijal Akan Dibaiki Segera
Kerajaan negeri akan membaik pulih jalan rosak dan berisiko menyebabkan kemalangan di sepanjang Kawasan Perindustrian Telok Kalong ke Bandar Baru Kijal, Kemaman dengan kadar segera.Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri Ir. Rosli Othman berkata, pihaknya sedia maklum dengan struktur permukaan jalan yang boleh mengundang bahaya serta memandang serius aduan orang ramai mengenai perkara itu."Kerajaan negeri menetapkan strategi jangka masa pendek dan panjang bagi menaik taraf jalan raya di laluan tersebut bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna."Sebagai langkah jangka masa pendek kita mengarahkan (Syarikat) Roadcare M. Sdn Bhd dan Jabatan Kerja Raya Daerah Kemaman untuk membuat pemantauan serta kajian rapi di beberapa lokasi bahaya di sepanjang laluan itu bagi tujuan pembaikan segera," katanya.Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Terengganu mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Uptown Kemasik semalam.Rosli berkata, sebelum ini ramai pemandu dan pengguna mendakwa terdapat beberapa lokasi di sepanjang laluan berkenaan rosak dan tidak stabil serta menyebabkan berlaku banyak kemalangan termasuk kemalangan maut membabitkan dua anggota polis trafik baru-baru ini.Tambah beliau, laluan tersebut juga merupakan satu-satunya jalan utama menuju ke Kawasan Perindustrian Telok Kalong dan Pelabuhan Bekalan Kemaman (KSB)."Kerajaan negeri sememangnya mempunyai langkah jangkamasa panjang untuk menaik taraf sepanjang laluan berkenaan kepada empat lorong selepas peruntukan yang dipohon melalui Koridor Ekonomi Wilayah Timur (ECER) diperolehi nanti."Apabila ia siap kelak, Terengganu bakal mempunyai sistem jalan raya empat lorong untuk memberikan perkhidmatan lebih selesa dan selamat kepada pengguna," katanya.Program anjuran Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu turut mendapat kerjasama pelbagai agensi lain termasuk Petronas Berhad, Repsol, Tenaga Nasional Berhad, CJ Bio Malaysia, Bakti Malaysia Sdn.Bhd., Felda Global Ventures, Kemaman Bitumen Sdn. Bhd dan beberapa lagi.Pelbagai acara menarik diadakan seperti senamtari, Enviro Walk, Berjalan 10 Ribu Langkah, Pertandingan Mewarna, Mencanting Batik, Bolasepak, Sukaneka, pameran agensi kerajaan swasta dan sebagainya.
22 Oct 17
93
Sultan Mizan Seru Umat Islam Hati-Hati Gerakan Menongkah Arus Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah
Sultan Mizan bertitah merasmikan Kolokium Ahli Sunnah Wal Jamaah Peringkat Negeri di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, hari ini. Foto Oleh: Tg Syamim Tg IsmailSultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam di negeri ini agar berhati-hati dengan pelbagai aliran pemikiran dan gerakan yang menongkah arus fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dalam diam cuba menyelinap masuk dan menjadi barah dalam masyarakat Islam.Baginda bertitah, segelintir masyarakat Islam seolah-olah cuba untuk memperbesarkan jurang perbezaan dan menyalahkan pengamalan ibadat seharian yang tidak sealiran dengan mereka. “Penularan ini merupakan satu cabaran baharu dan jika dibiarkan ianya boleh merungkai pegangan akidah, amalan syariah serta akhlak umat Islam di rantau ini.“Sebagai umat Islam yang menjunjung perintah Allah S.W.T dan rasul, kita hendaklah menjernihkan kembali kekeliruan dan kekusutan yang ditimbulkan oleh mereka yang cuba memporak-porandakan agama Islam yang mulia ini,” ujar baginda dalam titah ucapan sempena Majlis Perasmian kolokium Ahli Sunnah Wal Jamaah Peringkat Negeri di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, hari ini.Turut hadir, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail; Ahli Dewan Pangkuan DiRaja, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, wakil-wakil rakyat dan pegawai-pegawai kerajaan.Titah baginda, penjernihan kekusutan dan kecelaruan ini tidak akan dapat diselesaikan dengan mudah kecuali umat Islam kembali kepada al-Quran dan Sunnah yang diamanahkan oleh Rasulullah S.A.W untuk dipegang selamanya.“Oleh itu, beta menyeru kepada para ulama dan pendidik intelektual Islam , Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Jabatan Agama dan semua pihak agar dapat menangani isu ini dengan lebih bijaksana serta dengan semangat permuafakatan secara ilmiah, halus dan berhikmah.“Beta juga mengharapkan agar masyarakat bukan Islam sewajarnya diberikan kefahaman yang jelas tentang Islam bahawa Islam adalah agama berkasih sayang dan mencintai keamanan dan keharmonian.“Diharapkan agar kolokium yang diadakan pada hari ini dapat memberi impak yang besar dan kefahaman yang jelas demi memperkukuh lagi pegangan rakyat negeri ini kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah,” titah Sultan Mizan.
21 Oct 17
319
2,359 Graduan UniSZA Dirai Di Majlis Konvokesyen Ke-9
Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UniSZA menyempurnakan istiadat pembukaan majlis konvokesyen UniSZA pada hari pertama, hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku IsmailSeramai 2,359 graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) diraikan dalam Majlis Konvokesyen Ke-9 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA, Gong Badak, Kuala Nerus sepanjang tiga hari bermula hari ini.Daripada jumlah itu, seramai 18 graduan dianugerahkan ijazah doktor falsafah, graduan sarjana (59), sarjana muda (1,321) dan diploma (961).Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UniSZA menyempurnakan istiadat pembukaan majlis berkenaan.Turut berangkat Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan anakanda baginda, Tengku Fatimatuz Zahra’.Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmaf Razif Abd Rahman dan isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Yusof Md. Nor; Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, Prof. Emeritus Dato' Dr. Kamarudin Hussin dan Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif.Pada majlis konvokesyen ke-9 ini, UniSZA turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Undang-undang kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai pengiktirafan kepada sumbangan beliau dalam bidang kehakiman negara selama ini.Selain itu, UniSZA juga menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah bagi bidang Pengurusan dan Kepemimpinan kepada Gabenor Sulawesi Selatan, Indonesia, Dr. H. Syahrul Yasin Limpo.Anugerah Pelajaran Diraja dirangkul dua pelajar masing-masing graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Usuluddin), Mohamad Farid Abdul Talib, 24, dan Muhammad Fauzan Abdul Hamid, 25, yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan.Sementara itu, Nur Izzati Suhaimi, pemegang Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris menerima Anugerah Terbaik Fakulti Bahasa dan Komunikasi dan bagi Fakulti Biosumber dan Industri Makanan pula menjadi milik Nurul Hidayah Yaakob (Pingat Ibnu Al-Awwam).Chang Yue Mei pula meraih Anugerah Malaysian Institute of Food Technology manakala Nur Afifa Hashim (Anugerah Alumni Teknologi Makanan) di samping Maizatul Aqmal Mazlan (Fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan).
21 Oct 17
821