Artikel "Semasa" Terkini
Pertanian Terengganu Fokus Lima Teras Utama
KUALA TERENGGANU, 19 Februari – Pelan Strategik Pertanian Terengganu (PSPT) 2024-2030 menjadi mercu tanda baharu dalam landskap sektor pertanian negeri ini.
Dengan lima teras utama yang digariskan, kerajaan negeri optimis mampu melonjakkan pertanian ke tahap lebih moden, cekap dan berdaya saing.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa PSPT kali ini lebih berfokus dan sistematik.
“Kita bukan hanya merancang, tetapi memastikan setiap strategi dilaksanakan dengan penuh komitmen.
"Fokus utama termasuk pemodenan dan pendigitalan pertanian, pembangunan rantaian nilai dan pemasaran, serta kelestarian dan pemuliharaan sumber asli,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran PSPT 2024-2030 di Dewan Besar Wisma Darul Iman (WDI) hari ini.
Turut berkenan mencemar duli berangkat menyaksikan Majlis Perasmian PPST 2024-2030, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, hadir sama Pegawai Kewangan negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim
Tambah beliau, kesejahteraan petani dan agropreneur turut diberi penekanan, selain memastikan pentadbiran dan tadbir urus sektor pertanian dilaksanakan dengan penuh integriti.
"Sebenarnya, Kejayaan PSPT 2024-2030 ini tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata, tetapi memerlukan penglibatan dan kerjasama semua pihak termasuk sektor swasta, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta masyarakat petani secara keseluruhannya," jelasnya.
Menurut Ahmad Samsuri, dalam usaha mempercepatkan impak, teknologi moden seperti analitik data dan sistem pengairan pintar akan diperkenalkan secara menyeluruh.
"Fokus yang dibangunkan dalam pelan strategik ini secara asasnya mengambil kira perkembangan teknologi dalam sektor pertanian. Inovasi teknologi ini akan meningkatkan lagi kecekapan pengeluaran hasil pertanian.
"Perancangan secara menyeluruh juga perlu ditingkatkan untuk memastikan para petani dapat mengamalkan pertanian lestari dengan penggunaan baja organik, kawalan biologi dan kaedah mesra alam.
"Dengan pendekatan pelan tersebut, Terengganu yakin dapat meningkatkan hasil pertanian tanpa menjejaskan kelestarian alam dan perolehi hasil secara maksima," ujarnya.
19 Feb 25
391
Apa Khabar Agaknya Insentif SUKMA Terengganu?
KUALA TERENGGANU, 19 Februari – Sejak berakhirnya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, tiada kedengaran apa-apa perkembangan tentang insentif dan imbuhan kepada atlet-atlet yang berjaya meraih kejayaan ketika itu.
Sekalipun menduduki tempat kelima, kontinjen Terengganu meraih keseluruhan 124 pingat dengan 41 pingat emas, 36 perak dan 47 gangsa pada temasya itu.
Adapun, Para SUKMA menduduki tempat kesembilan dengan meraih 10 pingat emas, 19 perak dan 15 gangsa.
Itu antara suara-suara yang muncul di media sosial bagi menimbulkan persepsi negatuf terhadal industri sukan Terengganu.
Walau bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim, baru-baru ini memaklumkan, kerajaan Terengganu telah meluluskan pembayaran insentif kepada atlet yang berjaya meraih pingat dalam temasya berkenaan.
Menurutnya, proses pengagihan insentif telah pun disediakan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
“Alhamdulillah, berita baiknya kerajaan negeri telah meluluskan pembayaran insentif bukan sahaja untuk atlet SUKMA tetapi juga buat atlet Para SUKMA.
“Ini satu pakej yang bersekali, di mana atlet Para SUKMA akan menerima jumlah insentif yang sama dengan atlet SUKMA.
"Namun, beberapa proses pentadbiran perlu dilaksanakan sebelum keputusan akhir dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya sekali gus menangkis tohmahan liar.
Tambahnya, majlis rasmi penyampaian insentif bakal diadakan dalam masa terdekat, namun jumlah bayaran yang akan diberikan akan diumumkan kemudian berikutan dianggarkan kira-kira 500 atlet bakal menerima manfaat tersebut.
Walaupun Terengganu tidak muncul sebagai juara keseluruhan SUKMA 2024, kerajaan negeri masih mengekalkan formula pembayaran insentif yang telah diguna pakai sebelum ini.
Sebagai rekod, MSNT telah menetapkan pembayaran insentif sebanyak RM3,000 kepada pemenang pingat emas, RM2,000 bagi pemenang perak dan RM1,000 untuk gangsa. Manakala, sebarang tambahan imbuhan diputuskan berdasarkan pencapaian semasa kontinjen dalam SUKMA.
Langkah itu dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan negeri untuk menghargai pencapaian atlet tempatan serta memberi dorongan kepada mereka untuk terus cemerlang dalam bidang sukan.
19 Feb 25
1630
RM30.8 Bilion Disalur Bangun Tiga Negeri Maju, Terengganu Hanya RM4.2 bilion
KUALA TERENGGANU, 20 Februari - Kerajaan Persekutuan membelanjakan lebih RM30.8 bilion perbelanjaan pembangunan untuk negeri Johor, Selangor dan Pahang dalam Rolling Plan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) berbanding hanya sekitar RM4.2 bilion sahaja untuk Terengganu.
Ketua Jabatan Penyelidikan & Pembangunan Dasar Institut Strategik dan Integriti Terengganu (TSIS), Mohd Eikhwan Ali berkata, jumlah itu merangkumi 49.3 peratus daripada jumlah keseluruhan RM62.5 bilion bagi perbelanjaan untuk negeri-negeri di Semenanjung Malaysia setakat ini.
Selain itu katanya, Johor, Selangor, Perak dan Pahang juga merupakan antara negeri yang merekodkan jumlah terimaan tertinggi pelbagai pemberian oleh Kerajaan Persekutuan.
"Justeru, tidak hairanlah negeri-negeri ini mempunyai infrastruktur pengangkutan, utiliti dan komunikasi yang jauh lebih baik berbanding negeri-negeri lain.
"Negeri-negeri ini juga mendapat kelebihan perdagangan daripada pelabuhan dan lapangan terbang bertaraf antarabangsa seperti Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pulau Pinang serta KLIA, KLIA2, Senai International Airport dan Penang International Airport ditambah pula dengan jaringan lebuh raya yang menghubungkan dengan banyak destinasi.
"Kemudahan-kemudahan ini sangat penting untuk kemampanan ekonomi sesebuah negeri terutamanya dalam merapatkan jurang jarak, masa dan kos untuk perbekalan bahan mentah dan manarik pelaburan asing untuk mempercepat pembangunan dan menambah peluang pekerjaan," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Mohd Eikhwan.
Jelas Mohd Eikhwan, landskap negeri-negeri berkenaan juga sangat berbeza dengan Terengganu yang tiada lapangan terbang dan pelabuhan bertaraf antarabangsa manakala Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 2 juga hanya menghubungkannya dengan Pahang dan Selangor serta KL.
"Setelah 68 tahun sejak Rancangan Malaya Pertama diperkenalkan, saiz ekonomi Terengganu sekarang hanya 2.5 peratus daripada saiz ekonomi negara.
"Terbukti, betapa terpinggirnya negeri ini sejak dahulu. Tidak mudah untuk membawa keluar negeri ini daripada keterpinggiran ini lebih-lebih lagi oleh Kerajaan Negeri yang baru memasuki penggal kedua," jelasnya.
Walau bagaimanapun ujar beliau, berdasarkan data, Terengganu mencatatkan peningkatan lebih baik dalam kadar pertumbuhan ekonomi berbanding negeri maju lain terutamanya selepas pemulihan ekonomi pasca-pandemik Covid-19 pada 2021, meskipun masih belum mampu menyaingi negeri-negeri maju yang memiliki belanja pembangunan yang tinggi.
"Di Semenanjung Malaysia, negeri-negeri yang boleh disifatkan sebagai maju seperti Selangor, Johor, Pulau Pinang, Perak dan Pahang mempunyai KDNK yang besar.
"Ini antaranya adalah disokong oleh populasi yang besar atau oleh perbelanjaan pembangunan besar diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan," ujarnya.
19 Feb 25
1102
Putra Aerospace Nyata Hasrat Bina Pesawat di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 19 Februari - Syarikat Putra Aerospace Industri (PAI) menyatakan hasrat untuk membina pesawat di negeri Terengganu dalam kunjungan hormat terhadap Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar semalam.
Ahmad Samsuri berkata, beliau sangat berbesar hati menerima kunjungan daripada PAI setelah mengetahui hasrat pihak terbabit yang diketuai oleh Tuan Hassanuddin Tuan Kob.
"Kita sedang meneliti cadangan ini dan mengenalpasti lokasi yang strategik untuk projek fasa pertama ini iaitu di dalam kawasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud seluas lebih 50 ekar.
"Manakala cadangan untuk fasa kedua dan seterusnya juga telah dikenalpasti di kawasan yang sama," ujarnya melalui satu hantaran di Facebooknya.
Mengulas mengenai kemampuan PAI, Ahmad Samsuri menjelaskan beliau akan melihat dengan teliti permohonan itu kerana difahamkan syarikat itu bukan hanya mampu membawa alat ganti pesawat bahkan mereka memiliki lesen untuk membina pesawat baru.
"Semoga kerjasama antara kerajaan negeri dan pihak PAI ini dapat meningkatkan ekonomi (serta) membuka ruang untuk melahirkan lebih ramai kepakaran dalam bidang aeroangkasa dan bermanfaat buat rakyat secara menyeluruh," tambah beliau.
19 Feb 25
1676
Terengganu Sedia Hadapi Kekurangan Bekalan Kelapa Menjelang Puasa
KUALA TERENGGANU, 19 Februari - Kerajaan negeri bersedia mengatasi masalah bekalan kelapa yang dijangka berkurang menjelang Ramadan tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata jangkaan kekurangan bekalan bahan mentah itu turut akan menyebabkan berlakunya kenaikan harga.
“Kelapa mungkin ada sedikit kekurangan bekalan sebab pokok kelapa ia akan melalui satu tempoh di mana ia tidak akan mengeluarkan mayang (tidak berbunga atau berbuah).
“Jadi boleh dikatakan, secara umumnya pada bulan puasa ini kita menjangkakan bekalan kelapa muda ataupun kelapa santan akan mengalami sedikit penurunan.
“Dan dengan sendirinya situasi ini bakal menyebabkan berlakunya peningkatan harga untuk kelapa,” katanya.
Dr. Azman berkata demikian kepada pihak media selepas merasmikan program siri ketiga ‘EPIC Back to School 2025’ di Pasar Raya Zon Ria, Jerteh, baru-baru ini.
Namun, beliau menjelaskan bahawa anak syarikat kerajaan negeri, Golden Pharos Berhad (GBP) telah melaksanakan usaha awal bagi mengatasi kekurangan bekalan bahan mentah itu yang telah bermula sejak awal tahun lagi.
“Anak syarikat negeri, Golden Pharos Berhad telah menjalankan usaha bagi isu ini dengan mengimport kelapa dari Indonesia untuk mengimbangi sumber bekalan.
“Tapi harga santan di pasaran mungkin masih ada sedikit ‘trend’ kenaikan harga disebabkan oleh permintaan yang agak tinggi buat masa ini.
Untuk rekod, GPB menerusi anak syarikatnya GP Plywood Sendirian Berhad telah menerima kira-kira 30 tan bekalan kelapa daripada pembekal utama pada bulan Januari yang lalu bagi mengatasi krisis tersebut.
Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jabi juga menyatakan bahawa tiada gangguan bekalan dan kenaikan harga bagi sumber keperluan asas lain.
“Setakat ini Alhamdulillah, bekalan sumber keperluan asas kita terkawal dan pada tahun ini kita tidak ada satu bencana besar yang memberikan satu impak kepada sektor pengeluaran makanan kita.
“Dari apa yang saya nampak, ia berjalan seperti biasa dan keperluan ini kita tidak hadkan kepada negeri sahaja kerana ada barang-barang keperluan negeri Terengganu yang dihantar ke negeri lain dan keperluan dari negeri lain masuk ke Terengganu mengikut permintaan semasa.
“Maka, setakat ini kita tengok dari segi harga, biasa sahaja, tiada sebarang lonjakan,” tambahnya.
19 Feb 25
311
Abdul Hadi Gesa Martabat Bahasa Melayu
KUALA LUMPUR, 18 Februari - Bahasa Melayu perlu dimartabatkan dalam urusan rasmi negara, terutamanya dalam acara besar yang melibatkan kepentingan rakyat Malaysia, kata Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Beliau menegaskan bahawa penggunaan Bahasa Inggeris dalam majlis rasmi, meskipun majoriti hadirin adalah rakyat Malaysia, menimbulkan kecelaruan dan tidak mencerminkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang telah diterima secara rasmi.
“Dalam majlis, orang putih ada tiga orang sahaja, yang rakyat kita ini ramai, semua boleh bertutur dalam Bahasa Melayu, tetapi masih juga menggunakan Bahasa Inggeris.
"Surat rasmi, bicara di mahkamah, masih lagi menggunakan bahasa Inggeris,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, pemimpin negara lain tetap berpegang kepada bahasa mereka sendiri dalam acara rasmi di peringkat antarabangsa seperti di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kecuali negara yang dijajah secara pemikiran.
"Negara yang mempunyai identiti dan jiwa bangsa akan menggunakan bahasa mereka sendiri. Oleh itu, memperkasakan bahasa kebangsaan sangat penting dan perlu disedari oleh semua pihak," ujarnya.
Dalam ucapannya, Abdul Hadi turut menyuarakan kebimbangan terhadap penggunaan pelbagai bahasa pada papan tanda di bandar-bandar utama, yang dilihat mencetuskan kekeliruan serta menghakis identiti kebangsaan.
"Kita tidak dilarang untuk belajar bahasa lain, malah menuntut ilmu dalam pelbagai bahasa itu adalah baik. Namun, apa yang berlaku hari ini sangat bercelaru. Kedai-kedai di bandar menggunakan pelbagai bahasa, tetapi Bahasa Melayu hanya ditulis kecil sedangkan Bahasa Inggeris lebih besar," katanya.
Beliau menyeru agar pihak berkaitan mengambil langkah untuk memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan sektor awam, selari dengan peranannya sebagai bahasa kebangsaan negara.
18 Feb 25
152
Syarikat Terengganu, EPIC Berhad Sasar Pendapatan RM477 Juta
KUALA LUMPUR, 18 Februari - Anak syarikat kerajaan Terengganu, Eastern Pasific Industrial Corporation Sdn Bhd (EPIC Berhad) menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan kepada RM477 juta tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, pihaknya optimis sasaran itu dapat dicapai melalui perancangan serta strategi yang telah dirangka.
"Antaranya EPIC Berhad telah mengembangkan portfolio perniagaan melalui pengambil alihan 70 peratus kepentingan dalam Rahar Niaga Sdn Bhd, syarikat yang terlibat dalam pembekalan bahan api marin.
"Selain kita mendapat dua kontrak besar syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS iaitu 'Pan Malaysia, maintenance, commissioning and modification (MCM) and Hook-Up and Commissioning (HUC) services for package A2- (Penninsular Malaysia Asset (PMA) (5+3+2)' .
"Selain itu kita juga juga mendapat kontrak 'Panel contractor for Petronas' Downstream operating units under the provision of panel contractors for construction and modification works (CMW). (3+1+1)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama Antara EPIC Berhad dan Rakan Perniagaan Strategik di Junior Ballroom, Aras 6A, Four Seasons Hotel, di sini, hari ini.
Tambah Muktar, antara strategi yang dilakukan bagi meningkatkan pendapatan adalah menambahbaik Pengkalan Kemaman Sdn. Bhd. dengan beberapa inisiatif baharu.
Terdahulu, EPIC berhad telah melakar rekod baharu dalam sejarah selepas meraih pendapatan berjumlah RM404 juta bagi tahun 2024.
Menurut Muhtar, sejak ditubuhkan pada tahun 1981 tahun lalu merupakan kali pertama pendapatan mencecah sebanyak itu.
18 Feb 25
745
EPIC, Tujuh Rakan Strategik Jalin Kerjasama
KUALA LUMPUR, 18 Februari - Syarikat Kerajaan Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) dan anak-anak syarikatnya telah memeterai kerjasama strategik dengan tujuh rakan perniagaan bagi merancakkan lagi pertumbuhan serta memperkukuh daya saing dan ekonomi tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian & Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, kerjasama yang dijalinkan melalui majlis menandatangani memorandum itu melambangkan satu lagi pencapaian penting untuk EPIC Berhad serta anak-anak syarikatnya.
"Saya percaya perancangan dan perbincangan rapi telah dijalankan bagi memastikan kerjasama ini dapat memenuhi potensi dan objektif yang ingin dicapai bersama.
"Kerjasama ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada EPIC Berhad untuk terus meningkatkan keupayaan syarikat, menyediakan perkhidmatan yang kompetitif dan memberi manfaat yang besar kepada rakyat serta ekonomi negeri Terengganu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama Antara EPIC Berhad dan Rakan Perniagaan Strategik di Junior Ballroom, Aras 6A, Four Seasons Hotel, di sini, hari ini.
Turut Hadir, ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr.Ts. Mukhtar Suhaili.
Mengulas lebih lanjut, Nurkhuzaini berkata melalui majlis bersejarah yang telah diadakan itu ia membuktikan bahawa EPIC Berhad kini berada pada landasan yang kukuh dalam menyokong agenda pembangunan ekonomi negeri.
"Jalinan kerjasama yang dibina ini selaras dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030) dan Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023-2030.
"Dasar ini bertujuan mempercepatkan transformasi Terengganu ke arah menjadi hab industri berteknologi tinggi dan mampan," ujarnya.
Mengulas mengenai kerjasama yang diadakan itu, Mukhtar berkata ia membabitkan tujuh rakan perniagaan strategik yang akan menjadi pemangkin kemajuan industri yang akan memberi nilai tambah kepada pihak berkepentingan dan memacu perkembangan sosioekonomi negeri.
Jalinan kerjasama itu menurutnya membabitkan sebuah syarikat pengendali pelabuhan, Begas Energy Sdn Bhd, Saujana Upstream Sdn Bhd, Saujana Marine Sdn Bhd, University College TATI (UC TATI).
"Serta pengoperasian rasmi Rahar Niaga Sdn Bhd, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan bunkering yang diambil alih oleh EPIC Berhad pada akhir tahun 2024,"jelas beliau.
18 Feb 25
319
Terap Sepenuhnya Konsep Islam Sebagai Agama Negara
KUALA LUMPUR, 18 Februari –Konsep Islam sebagai agama negara perlu diterapkan sepenuhnya bagi memastikan negara ini berlandaskan prinsip-prinsip keadilan, kesejahteraan dan kerukunan.
Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Islam mengajarkan keadilan untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama.
Tegas beliau, Islam adalah agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara dan Islam juga menjamin ketulusan agama-agama lain.
"Umat Islam perlu memahami objektif Islam yang berbeza dengan pengenalan agama lain dan menafsirkan ajaran Islam melalui Al-Quran sebagai panduan utama.
"Allah juga melarang umat Islam merobohkan tempat-tempat pertapaan, gereja-gereja (kaum Nasrani), serta tempat sembahyang (kaum Yahudi) sebagaimana terkandung dalam Al-Quran.
"Sejarah menunjukkan persatuan agama-agama lain berusaha menunggang kekuasaan atas agama Islam. Islam mengharamkan paksaan terhadap agama lain dan menegaskan bahawa umat Islam dilarang memaki agama-agama lain," ujarnya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.
Dalam ucapannya, Abdul hadi turut menyuarakan kebimbangan terhadap masalah ketidakseimbangan ekonomi dengan majoriti yang miskin terdiri daripada orang Melayu dan pengagihan hasil bumi yang tidak adil turut menyumbang kepada masalah ini.
"Peluang pekerjaan harus diperbaiki kerana ramai golongan berpendidikan masih menjadi penganggur.
"Walaupun ekonomi negara meningkat, ia tidak memberi manfaat kepada rakyat malah bebanan bertambah dengan kenaikan cukai yang menambah kesulitan," ujarnya.
Justeru, beliau menyeru agar kerajaan memperbaiki situasi ini demi kesejahteraan rakyat dan keadilan sosial.
18 Feb 25
129
Raja Muda Terengganu Lawat Kampung Budaya
KUALA TERENGGANU, 18 Februari- Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli ‘turun padang’ ke Kampung Budaya Terengganu (KBT) bagi mengetahui lebih lanjut berkaitan seni, budaya dan warisan negeri.
Keberangkatan tiba baginda di perkampungan budaya yang mempunyai pelbagai tarikan berkonsepkan ‘muzium hidup’ itu disambut Pengarah Unit Pembangunan Negeri Terengganu (UPEN), Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Turut menyambut ketibaan baginda, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Azran Amin Mazlan, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridzwan Abd Rahman, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Fauzi Muda dan Pengurus Besar KBT, Ahmad Fathil Abd Ghani.
Sebaik tiba, Tengku Muhammad Ismail berkenan mendengar taklimat ringkas berkaitan KBT oleh Pengarah JPNT dan juga taklimat berkaitan projek membina dan menaiktaraf KBT oleh Pengarah Kerja Raya Negeri.
Dalam lawatan sama, baginda dibawa melihat aktiviti demontrasi permainan tradisonal seperti tuju selipar, baling nyiur, ting ting bulu ayam, tapak gajah, terompah gergasi dan gelek rim.
Yang di-Pertuan Muda turut mencemar duli melihat demonstrasi songket, tanjak dan seni telepuk selain demonstrasi memproses makanan tradisional, antaranya laksa kebok, kuih mas cotek, jala emas, lok lik dan ketupat palas.
Sebelum berangkat pulang, baginda sempat menyaksikan persembahan kebudayaan iaitu silat kura-kura dari Hulu Terengganu, Muzik Gamelan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman serta tarian rakyat oleh Sekolah Kebangsaan Tok Jembal.
18 Feb 25
1967