Artikel "Semasa" Terkini
Adakan Aktiviti di Pusat Pemindahan Banjir-Ahmad Razif
Selain membantu mangsa banjir di pusat pemindahan menerusi penyediaan penginapan, makan dan minum, jabatan bertanggungjawab diminta untuk melaksanakan aktiviti yang mampu menceriakan serta memberi motivasi kepada mangsa banjir.Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, hasil lawatan ke beberapa pusat pemindahan di negeri ini, beliau berpuas hati dengan gerak kerja dan perkhidmatan yang diberikan kepada mangsa banjir.“Cuma dalam Mesyuarat Mingguan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tadi, kita memutuskan untuk dilaksanakan segera program dan aktiviti di pusat pemindahan banjir kerana ianya sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekalkan 'Gold Standard' agar 'Templat Kemaman Siapsiaga' yang menjadi ikutan dalam menguruskan bencana dapat diterjemahkan dengan berkesan.“Peruntukan segera juga akan disalurkan untuk buat aktiviti dan program di pusat pemindahan terlibat,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusi Mesyuarat Mingguan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, hari ini.Katanya, jabatan seperti KEMAS, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, JASA, Pejabat Agama mungkin boleh mengadakan aktiviti seperti bacaan yasin, permainan untuk kanak-kanak serta menugaskan kaunselor untuk bantu mangsa banjir yang tertekan dan sebagainya.
29 Nov 17
43
50 Tahun Hadapi Banjir,Terima Dengan Redha
Segelintir penduduk di beberapa kampung di Telemong menyifatkan banjir yang melanda kawasan mereka adalah yang perkara biasa yang perlu dihadapi dengan redha dan tabah sejak bertahun-tahun yang lalu.Seorang warga emas, Rokiah Md Nor,72, yang tinggal di Kampung Kepah berkata, dia berasal daripada Tanah Merah telah menetap lebih dari 50 tahun sejak berkahwin dengan arwah suaminya dan kini tinggal bersama anak perempuannya serta menantu."Rumah tok dekat dengan Sungai Kepah jadi cepatlah kena banjir..memang tidak boleh nak lari, pindah saja pilihan yang ada."Tok cuma redha dengan kejadian ini sebab dah biasa banjir sejak pindah lagi...dah banyak kali berpindah randah setiap kali banjir berlaku di kampung ni," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Pemindahan Dewan Seri Budiman Kampung Kepah, Hulu Terengganu, hari ini.Menurut Rokiah, sepanjang tinggal di kampung itu, banyak pengalaman banjir yang tidak dapat dilupakannya terutama banjir besar yang berlaku pada 1986 dan pada awal tahun ini apabila rumahnya hampir tenggelam."Awal tahun baru-baru ini, tiga kali kami terpaksa pindah dengan sehelai sepinggang..banyak barang dalam rumah rosak sebab banjir di luar jangkaan."Banjir mengingatkan tok tentang banjir yang pernah berlaku lebih 30 tahun dulu, apabila kampung hampir tenggelam semuanya,"katanya lagi.Sementara itu, anaknya, Hasnah Ismail, 40, pembantu guru tadika berkata walaupun sentiasa terpaksa berpindah paling awal setiap tahun tetapi tidak menghalangnya untuk terus tinggal di rumah tersebut."Rumah itu rumah pusaka, yang ditinggalkan oleh arwah ayah untuk mak dan anak-anaknya...jadi memang terasa sayang untuk pindah ke rumah lain."Kami cuma tiga beradik,yang sulung dan bongsu tinggal jauh dari sini maka tinggallah saya seorang untuk jaga mak lagi pun mak yang tidak mahu pindah..ada kenangan katanya pada saya,"katanya lagi..Hujan turun tidak berhenti sejak beberapa hari menyebabkan air naik mendadak dan hampir 85 peratus Kg Kepah, Kuala Ping, Tengkawang dan Tok Lawit ditenggelami banjir.
29 Nov 17
86
Makanan Di Pusat Pemindahan Banjir Bagai Di Restoran
Biarpun berstatus Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tetapi makanan yang disediakan untuk mangsa banjir hampir sama dengan restoran.Begitulah pandangan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Kuala Besut 2, Besut yang mendapat layanan makan minum sama seperti disediakan di mana-mana kedai makan.Penyediaan pelbagai menu menarik dan lazat mulai sarapan pagi, makan tengahari dan malam menyebabkan mangsa banjir tidak pernah merungut mengenai aspek itu, malah berasa gembira walaupun terpaksa tinggal beramai-ramai sementara waktu.Mereka dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan mengikut kesesuaian waktu yang ditetapkan oleh pengurusan PPS.Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, pihaknya menyediakan 20 tukang masak khas yang bertugas mengikut giliran bagi menyediakan makanan dengan mencukupi dan bersih kepada mangsa banjir.Katanya, petugas memasak dianggotai Wanita dan Puteri UMNO serta sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Besut"Apabila cukup waktu minum dan makan petugas akan menyembunyikan loceng dan mangsa beratur untuk mendapatkan makanan," katanya.Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Shahidan Kasim yang kebetulan melawat pusat itu turut dibawa melawat ke bahagian dapur.Shahidan turut memuji cara penyediaan makanan yang turut dianggap sama seperti di restoran dan disajikan dalam keadaan cukup bersih." Mangsa banjir di sini sememangnya istimewa dan jarang berlaku ditempat lain, katanya.
29 Nov 17
1295
Talian Hotline 24 Jam Pejabat MB
Ahmad Razif melancarkan Talian Hotline Pejabat Menteri Besar Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto Oleh: Zulkifli C.W. PutraKerajaan negeri memperkenalkan Talian Hotline 24 Jam Pejabat Menteri Besar Terengganu bermula hari ini untuk memudahkan orang ramai menyampaikan sebarang aduan.Talian Hotline berkenaan dilancarkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman selepas mempengerusi Mesyuarat Mingguan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, hari ini.Menurut Ahmad Razif, talian tersebut berperanan menerima maklumat, aduan dan bertindak menyalurkan kepada jabatan atau agensi yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan setiap permasalahan yang dilaporkan.“Selain membantu pihak kerajaan mengenalpasti isu-isu semasa dan kritikal melalui aduan yang diterima, dengan khidmat kemudahan komunikasi 24 jam yang ditawarkan secara tidak langsung akan membantu kerajaan negeri mendapatkan dan menyalurkan maklumat kepada pihak bertanggungjawab secara lebih bersepadu,” ujarnya.Katanya, orang awam boleh boleh mengutarakan apa sahaja isu, permasalahan serta aduan di talian 09 6225994 (waktu pejabat) dan 012 6103900 (luar waktu pejabat).“Berpegang kepada tagline ‘Mudoh Sokmo’, orang ramai kini boleh mengemukakan sebarang aduan samada melalui panggilan telefon, Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), aplikasi WhatsApp dan sebagainya dengan lebih sistematik,” ujarnya.
28 Nov 17
112
Kerajaan Negeri Mahu JPS Kaji Punca Banjir
Menteri Besar menyapa sekumpulan penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan Kampung Kepah, Telemong. Foto oleh Tengku Mohd Syamim Tengku IsmailKerajaan negeri mahu Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) melaksanakan kajian terperinci punca banjir di beberapa daerah di Terengganu walaupun hujan dalam tempoh hanya dua hari.Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kajian itu bagi mengenal pasti punca yang menyebabkan banjir besar dan usaha bagi menangani banjir besar berulang."Biasanya banjir akan berlaku jika hujan lebat turun dalam tempoh lima hingga enam hari, ini tidak..baru dua hari dah berlaku banjir besar."Jadi saya minta pihak JPS melihat apa permasalahan yang menyebabkan perkara ini berlaku dan mengenal pasti punca dan mencari penyelesaiannya,"katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Dewan Seri Puteh, Kampung Tok Lawit,Telemong, Hulu Terengganu, hari ini.Terdahulu, beliau turut melawat pusat pemindahan banjir di Dewan Seri Budiman, Kampung Kepah dan di Tengkawang.Hadir sama, isteri Menteri Besar To' Puan Seri Halina Zakaria, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Dato' Rozi Mamat, ADUN Ajil, Ghazali Taib,Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Azmi Razik, Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Terengganu, Azlimin Mat Nor.Ahmad Razif juga bimbang jika punca berlakunya banjir disebabkan projek pembangunan yang sedang dijalankan termasuklah sistem perparitan yang tidak sempurna.Beliau seterusnya meminta JPS mempercepatkan urusan yang berkaitan rekabentuk dan teknikal sistem pengairan negeriWalau bagaimanapun, beliau berkata situasi banjir di Terengganu masih terkawal walaupun berlaku peningkatan kawasan terlibat banjir dan mangsa yang berpindah di beberapa daerah.Sehingga tengahari tadi, sebanyak 35 tempat pemindahan dibuka di seluruh negeri melibatkan seramai 1,748 mangsa di enam daerah terlibat.
28 Nov 17
32
MOA Sedia Kerjasama SPRM, Polis Tangani Ketirisan Bantuan Pertanian
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tiada ketirisan berlaku dalam penyaluran bantuan oleh kementerian berkenaan.Menterinya, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, memandangkan kementerian itu paling banyak menyalurkan pelbagai bantuan dan subsidi kepada rakyat serta tidak menafikan kemungkinan wujudnya penyalahgunaan kuasa dalam pengagihan bantuan berkenaan.“Ketirisan mungkin berlaku yang melibatkan penerima bantuan yang tidak layak ataupun pihak yang menguruskannya mengambil kesempatan kerana ianya melibatkan penerima yang ramai dan peruntukan yang besar," katanya selepas diminta mengulas mengenai kes penyelewengan pemberian subsidi baja dan racun berjumlah RM80 juta yang didedahkan oleh sebuah akhbar tempatan hari ini.Beliau berkata demikian selepas merasmikan simulasi pengurusan pusat pemindahan banjir di Pusat Pemindahan Banjir Kampung Pasir Gajah, Kemaman, petang tadi.Shabery berkata, akhbar berkenaan mendedahkan kemungkinan wujudnya sindiket menjual baja dan racun.“Sindiket baja dan racun yang dibekalkan kementerian tersebut adalah secara percuma kepada golongan petani.“Bagaimanapun sindiket berkenaan dikatakan mengemukakan tuntutan palsu kepada kementerian pertanian sebagai bayaran kepada bekalan yang diterima oleh petani terbabit,” katanya.Dalam pada itu, kementeriannya turut mengalu-alukan siasatan menyeluruh dilakukan pihak berkaitan untuk menentukan sama ada perkara yang didakwa itu berasas atau sebaliknya.“Saya juga mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai untuk membanteras penyalahgunaan pemberian bantuan subsidi itu,” katanya.
28 Nov 17
23
Pelajar Raih 10A PT3, Mangsa Pertama Banjir Di Besut
Seorang pelajar yang baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi mangsa lemas pertama banjir di Besut, petang ini.Mangsa, Zulfaiz Zukarmi, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong (SMKBP) ditemui di sungai kira- kira 150 meter dari rumahnya, di Kampung Bukit Payong, Hulu Besut.Kejadian berlaku kira- kira jam 5 petang ketika mangsa bersama enam rakan lain sedang melintasi sebuah jambatan di kampung itu.Datuknya, Hashim Seman,61, berkata sebelum kejadian arwah beberapa kali meminta izin untuk keluar bermain air bersama rakan.Bagaimpun, katanya, beliau bertanya arwah sama ada pandai berenang atau tidak tetapi arwah menjawab tidak pandai.Katanya, beliau kemudian melarang arwah supaya tidak meneruskan hasratnya tetapi arwah merayu beberapa kali dan dia memberi izin.Beliau berkata, tidak lama selepas arwah keluar rumah beliau menerima berita cucunya ditemui mati lemas.Katanya, arwah dipercayai tergelincir ketika melalui jambatan itu dan air sedang naik di atas jambatan." Mayat arwah ditemui bapa saudaranya kira-kira dua meter dari tempat dia tergelincir" katanya ketika ditemui di Hospital Besut, malam ini.Hashim berkata, arwah yang menduduki peperiksaan kertas akhir subjek Kimia kelmarin sebelum ini banyak membantu mengemas barang rakan- rakan untuk dibawa pulang ke rumah.Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Abdul Halim Hassan berkata, mengikut rekod arwah adalah pelajar cemerlang sekolah itu dan mendapat 10A dalam penilian Penaksiran Tingkatan 3 (PT3).Katanya, arwah adalah antara pelajar harapan peperiksaan SPM sekolah itu tahun ini.Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
28 Nov 17
230
Bomba Nasihat Pindah Tanpa Perlu Tunggu Arahan- Azlimin
Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Terengganu menasihatkan orang ramai yang terlibat dengan banjir segera berpindah ke pusat pemindahan tanpa perlu menunggu arahan demi keselamatan diri masing-masing.Pengarahnya, Azlimin Mat Nor berkata, ini bagi menggelakkan berlakunya masalah mangsa terkandas di kediaman masing-masing sekiranya banjir semakin buruk dan meningkatkan risiko keselamatan terutama pada waktu malam.Jelas beliau lagi, pihaknya tetap bersedia menyelamatkan mangsa walaupun terpaksa menghadapi risiko tinggi seperti arus deras, kayu hanyut dan cuaca yang tidak menentu."Situasi banjir terkini di Negeri Terengganu menunjukkan peningkatan mangsa banjir di dua daerah utama iaitu Hulu Terengganu dan Besut, justeru itu pihak kami ingin memastikan keselamatan mangsa terjamin."Saya juga ingin nasihatkan kepada ibu bapa supaya menjaga keselamatan anak-anak mereka, jangan biarkan terlalu bebas bermain air banjir tanpa pemantauan supaya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini,"katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Seri Puteh, Kampung Tok Lawit sempena lawatan Menteri Besar ke pusat pemindahan itu,hari ini.Setakat ini, bomba mempunyai kekuatan lebih 1,200 anggota bagi menghadapi situasi banjir di seluruh Terengganu.
28 Nov 17
32
APM Hulu Bawa Guru, Pelajar SPM Terkandas
Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Terengganu melancarkan operasi membawa empat guru pengawas peperiksaan bersama kertas soalan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan dua calon pelajar SPM yang terkandas di rumah akibat banjir, hari ini.Dua calon SPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jenderis yang terkandas di rumah masing-masing di Kampung Payang Kayu dan Kampung Tok Lawit tidak dapat ke sekolah akibat laluan utama dinaiki air dan terputus hubungan hampir satu meter.Pelajar berkenaan, Mohamad Hafiz Kassim dan Muhammad Hairi Izwan antara 12 calon yang akan mengambil kertas terakhir SPM dalam subjek MPV Menservis Motosikal, hari ini.Turut bersama dalam operasi pagi ini, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Terengganu, Jalaluddin Ismail dan Pegawai APM Daerah Hulu Terengganu, Lt. (PA) Sansuri Yaakob.Sansuri berkata, pihaknya mendapat panggilan daripada PPD pada jam 9.02 malam tadi berhubung masalah pelajar yang terkandas termasuk empat guru pengawas bersama kertas soalan SPM berkenaan."Setelah itu, pihak kami membuat tinjauan laluan yang boleh dilalui pada jam 2 hingga 3 pagi, pada mulanya laluan Kepah dipilih, bagaimanapun terpaksa diubah saat akhir menggunakan laluan Kuala Pueh kerana paras air semakin naik di situ dan merbahaya ."Alhamdulillah misi kami berjaya pada pagi ini dan setakat ini cuaca masih mendung di Hulu Terengganu dan hujan turun renyai-renyai,"katanya.
27 Nov 17
213
Waspada Bah Melanda - Ghazali
"Berikutan Musim `Bah' (Banjir) yang kini mula melanda Pantai Timur, saya mahu ingatkan dan nasihatkan kepada semua khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, yang mana kampung-kampung yang terlibat banjir, berwaspadalah dengan keadaan semasa," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Ghazali Taib.Beliau mengulas demikian di laman facebook Pejabat DUN Ajil susulan banjir yang melanda kawasan itu berikutan gelombang pertama yang bermula semalam.Jelasnya, hujan yang turun agak lebat sejak dua hari lalu dan mengikut ramalan akan berlarutan hingga hujung bulan ini berkemungkinan besar boleh menyebabkan limpahan air sungai dan menyebabkan banjir di kawasan rendah terutama di kampung pedalaman seperti Kampung (Kg) Pengkalan Ajal, Kg Kua, PPSK Gunung Menerong, Lubuk Periok, Peneh, Menerong, Peris, Betong, Lubuk Batu dan juga Kg. Bukit Kolam."Oleh yang demikian, saya mohon agar semua penduduk yang kampung terlibat banjir supaya sentiasa berada dalam keadaan bersedia dan sentiasa mendengar arahan pihak berkuasa seperti J3K, Sukarelawan Banjir Tempatan,Angkatan Pertahanan Awam( APM), Bomba, Polis, Rela dan juga yang lain."Awasi keselamatan diri sendiri, ahli keluarga dan juga jiran tetangga. Marilah sama-sama kita doakan agar keadaan supaya tidak begitu teruk dan semuanya selamat,"katanya.Katanya, insyaAllah pihak DUN dan juga Sukarelawan Banjir DUN Ajil akan menghulurkan bantuan sedaya upaya dengan kadar segera bagi menjaga kesejahteraan dan keselesaan bersama."Antara pusat pemindahan banjir yang dibuka dan kawasan yang dinaiki air setakat semalam adalah Kg. Pengkalan Ajal ,Kg. Tok Gebok,Kg. Hulu Lerek,Kg. Durian Kassim,Kg. Baru Sg. Mali ,PPMS Bukit Ara ,Kg. Tok Randok ,Kg. Bukit Kolam ,Kg. Lubuk Batu ,Kg. Merbau Pulas,Taman Ajil Perdana dan Pekan Ajil,"katanya.
27 Nov 17
66