lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Kantin Sekolah Tidak Wajar Beroperasi Sepanjang Ramadan
Kantin Sekolah Tidak Wajar Beroperasi Sepanjang Ramadan
DUNGUN, 21 Februari - Tindakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mahu kantin beroperasi seperti biasa ketika di bulan Ramadan adalah tidak wajar sekiranya ia turut melibatkan sekolah yang majoriti pelajarnya adalah beragama Islam. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, adalah lebih baik kantin di sekolah kebangsaan tidak dibuka sebagai menghormati bulan yang penuh kemuliaan itu. "Sebagai satu galakan atau dorongan supaya pelajar berpuasa, kalau mereka tidak berpuasa dia akan makan secara sembunyi bagi menghormati pelajar lain. "Sebagai contoh pelajar darjah satu maka ibu bapa yang perlu menyediakan 'bekal' di samping memberikan pendidikan tentang puasa dalam bentuk memberi nasihat. "Kita tidak perlu untuk paksa pelajar darjah satu ini berpuasa tetapi perlu diberi pendidikan agar kemuliaan bulan Ramadan itu dapat dihayati, tetapi saya lihat kebanyakan anak-anak masa kini bepuasa walaupun masih berada di bangku sekolah rendah,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Majlis Solat Hajat dan Pecah Tanah Pembinaan Kolej Islam Darul Iman, berhampiran Balai Bomba Jalan Santong,Paka, di sini, baru-baru ini. Mengulas lebih lanjut, Satiful berkata pihak pengusaha kantin sendiri pun tidak ada keperluan untuk meneruskan operasi mereka di bulan Ramadan. "Sebenarnya tidak menguntungkan sangat pengusaha kantin, sebab pelajar ramai yang berpuasa maka sedikit sangat yang pergi makan di kantin. "Jadi tidak padan untuk dia menyediakan makanan, adalah lebih baik mereka cuti dan boleh melakukan pekerjaan lain seperi menjual di pasar Ramadan yang lebih mendatangkan keuntungan,"jelas beliau.
21 Feb 25
177
'Pulau Petang Tak Pernah Siap, Dah Lama Terbengkalai'
'Pulau Petang Tak Pernah Siap, Dah Lama Terbengkalai'
KUALA TERENGGANU, 21 Februari – Pulau Petang di Tasik Kenyir tidak pernah siap sepenuhnya sejak mula dibangunkan pada tahun 2010, demikian ujar Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu. Datuk Razali Idris berkata, ia bukan baru terbengkalai sejak 2021 seperti yang didakwa sesetengah pihak. "Pulau Petang telah bermula sejak 2010 dan kemudiannya ditutup pada tahun 2022. "Pulau ini sebenarnya pembangunannya tidak pernah siap dan pulau ini dipelopori oleh Ketengah,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini Terdahulu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mengumumkan akan membaik pulih Resort Pulau Petang yang telah terbiar. Pengerusi Ketengah, Dato' Seri Ahmad Said berkata, kos baik pulih resort yang berusia kira-kira 25 tahun itu akan menggunakan sebahagian daripada peruntukan RM16 juta yang diluluskan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Jelas Razali, sebelum ini peruntukan besar telah digunakan untuk membangunkan Pulau Petang, namun ia tidak siap seperti dirancang. “Zaman Ahmad Said sebagai Menteri Besar, beliau telah belanjakan sebanyak RM25 juta untuk membuat penambahan tetapi Pulau Petang tidak menjadi satu pulau yang siap dengan resort dan sebagainya seperti mana yang didakwa oleh beliau dan pada ketika itu Syarikat Nika Niaga sebagai pengurus. “Apabila saya sebagai Pengerusi Ketengah saya tukar Nika Niaga kepada Ketengah Niaga. Jadi itulah sejarah Pulau Petang yang dibina oleh Ketengah pada asalnya selepas itu Kerajaan Negeri, selepas itu diuruskan oleh Ketengah. “Kita bukan nak cari kesilapan siapa, siapa yang buat terbengkalai, siapa yang merosakkan perniagaan itu sebenarnya,” soalnya. Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berpendapat sebarang isu berkaitan pembangunan Pulau Petang perlu diselesaikan melalui perbincangan profesional bukannya menerusi media. "Saya pun tak faham tindakan Pengerusi Ketengah. Sepatutnya kita berbincang secara ilmiah dengan saya sebagai Exco Pelancongan, bukan membuat kenyataan melalui media. "Sekiranya pihak Ketengah enggan bekerjasama, fungsi pemasaran Tasik Kenyir boleh diserahkan kembali kepada Kerajaan Negeri. "Jika mereka tidak berminat untuk bekerjasama, kita boleh minta Ketengah menyerahkan kembali fungsi pemasaran yang telah diberikan kepada mereka kepada Kerajaan Negeri," katanya. Mengulas lanjut, Kerajaan Negeri Terengganu menyatakan sokongan penuh terhadap peruntukan sebanyak RM16 juta daripada Kerajaan Pusat bagi kerja-kerja baik pulih Pulau Petang, yang terletak di Tasik Kenyir. Razali berharap peruntukan itu dapat menjadikan Pulau Petang sebagai lokasi hentian utama bagi pelancong yang ingin mengunjungi ke Santuari Kelah. "Kita harap supaya kerja baik pulih ini dapat disiapkan sepenuhnya dan menjadikan Pulau Petang satu hentian untuk ke Santuari Kelah," ujarnya.
21 Feb 25
5160
Terengganu-Putrajaya Perkukuh Kerjasama Sektor Pertanian
Terengganu-Putrajaya Perkukuh Kerjasama Sektor Pertanian
KUALA TERENGGANU, 20 Februari – Kerajaan Terengganu terus memperkukuh hubungan strategik dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha memperkasa sektor pertanian negeri agar berkembang pesat dan mampan. Kerjasama erat ITU diyakini mampu memberi manfaat maksimum kepada rakyat, khususnya golongan petani dan pengusaha industri asas tani. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim, menegaskan bahawa kerajaan negeri komited dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Wisma Darul Iman (WDI) dan Putrajaya. Beliau menyatakan bahawa kedua-dua pihak berkongsi visi dan misi yang seiring menerusi Pelan Strategik Pertanian Terengganu (PSPT) 2019-2023 serta Dasar Agro Makanan Negara (DAN) yang mula diperkenalkan sejak tahun 2000. "Hasil daripada kerjasama erat yang bersifat simbiosis ini, kedua-dua pihak saling melengkapi dan memanfaatkan antara satu sama lain. "Prinsip kami jelas, Terengganu datang bukan untuk meminta, tetapi untuk bekerjasama," tegasnya. Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran PSPT 2024-2030 yang berlangsung di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini semalam. Majlis berprestij itu turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, yang berkenan mencemar duli menyaksikan majlis perasmian tersebut. Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham. Menurut Azman, sektor pertanian bergantung kepada dua elemen utama, iaitu tanah dan air, di mana kedua-dua elemen penting itu berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. "Oleh itu, sinergi antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan akan memastikan pengurusan sumber ini dilakukan secara optimum, sekali gus memberikan impak positif kepada kesejahteraan rakyat," jelasnya.
21 Feb 25
161
Terengganu, E&H Energy Meterai Perjanjian Kukuh Sektor Gas Asli Cecair
Terengganu, E&H Energy Meterai Perjanjian Kukuh Sektor Gas Asli Cecair
KUALA TERENGGANU, 21 Februari - Kerajaan Terengganu menerusi anak syarikatnya, Mentri Besar Trengganu Incorporated (MBI) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan E&H Energy Sdn Bhd bagi mengukuhkan sektor gas asli cecair (LNG) di negeri berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian & Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab.Rahman berkata, pengalaman syarikat terbabit diperlukan dan dijangka boleh menyumbang kepada ekosistem di Terengganu. "MoU ini  adalah kerjasama strategik antara anak syarikat Terengganu dengan pihak tersebut dengan memiliki pengalaman lebih 15 tahun di dalam industri, E&H Energy Sdn Bhd akan menyumbang kepada ekosistem tenaga di Terengganu dan mengukuhkan rantaian bekalan LNG tempatan. "Kerajaan Negeri Terengganu komited menyokong pelaburan LNG dengan menyediakan kemudahan dan sokongan dasar yang diperlukan. "Kerjasama ini diharapkan akan dapat menjadikan Terengganu sebagai destinasi pilihan bagi perniagaan LNG dan menyokong peralihan tenaga hijau," jelasnya di Facebook rasminya kelmarin. Ujar Nurkhuzaini, melalui Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030), pihaknya telah mengenal pasti pelaburan dalam minyak dan gas serta tenaga sebagai kluster utama untuk pembangunan ekonomi. Ujarnya, sektor LNG berperanan sebagai alternatif lebih bersih bagi mengurangkan emisi karbon dan Terengganu bakal menjadi Hub LNG. "E&H Energy Sdn Bhd telah menganjurkan Majlis 'RGT Kemaman Market Engagement- Business Procpect& Talk' yang telah mempertemukan Terengganu dengan pengusaha utaman LNG," jelasnya. Katanya, permintaan global untuk LNG dijangka akan berlaku peningkatan lebih 50 peratus menjelang 2030 kerana peralihan industri arang baru batu kepada gas. "Pasaran LNG Global dianggarkan berninail USD135.21 bilion pada 2023 dan dijangka mencapai USD 284.10 bilion pada 2032, mencerminkan potensi pelaburan besar dalam infrastruktur dan pendagangan LNG. "'Liberalisation' pasaran gas di Malaysia perlukan pengembangan termila LNG untuk meningkatkan kecekapan dan keselamatan bekalan," tambah beliau.    
21 Feb 25
1268
Semua Pihak Harus Hormati Etika Pakaian Sopan Di Terengganu
Semua Pihak Harus Hormati Etika Pakaian Sopan Di Terengganu
KUALA TERENGGANU,20 Februari- Kerajaan negeri menegaskan tidak pernah mengeluarkan arahan kepada orang bukan Islam untuk menutup aurat sebaliknya meminta mereka memahami dan menghormati etika berpakaian sopan yang diamalkan di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Maliaman Kassim berkata, etika pemakaian yang digariskan kerajaan negeri itu hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.  "Dalam acara sukan contohnya, sekiranya jurulatih bukan beragama Islam tetapi pemain Islam. Jadi jurulatih mesti menghormati etika pakaian yang telah digariskan oleh Kerajaan Terengganu. "Kita paksa pemain muslim sahaja yang pemain bukan Islam ikut tatacara pemakaian sukan yang biasa," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Terengganu Hijab Day 2025 di Laman Payang, Pasar Kedai Payang di sini, hari ini. Katanya, pendekatan yang digunapakai sebenarnya lebih kepada mendidik orang Islam dan memberi kefahaman kepada orang bukan Islam supaya mereka bersama-sama memahami tanggungjawab masing-masing dalam aspek pemakaian sopan dan menutup aurat. "Bagaimanapun bila 'non muslim' berpakaian kena jaga juga, jangan terlalu menjolok mata dan yang boleh menggangu ketenteraman awam," ujarnya. Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai program Terengganu Hijab Day 2025 beliau berkata, kerajaan negeri terus memperkasakan usaha pendidikan pemakaian hijab yang sempurna kepada wanita Islam negeri ini. "Antaranya menerusi usaha dakwah jalanan dengan mengedarkan risalah garis panduan pemakaian tutup aurat buat wanita. "Sekiranya seseorang wanita itu Islam walaupun tidak bertudung, kita beri galakan kepada mereka untuk bertudung kerana itulah hasrat daripada kempen ini. "Kita akan turut ke daerah-daerah untuk kempen ini, insyaAllah pada satu tahap kita akan capai 100 peratus wanita muslim di Terengganu yang berhijab," ujarnya
20 Feb 25
585
Majlis Pembangunan Usahawan, Peniaga Kecil Ditubuh di Setiap Daerah
Majlis Pembangunan Usahawan, Peniaga Kecil Ditubuh di Setiap Daerah
MARANG, 20 Februari - Kerajaan negeri mewujudkan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja Dan Peniaga Kecil peringkat daerah di Terengganu bermula tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata ia bagi merancang, melaksana serta memantau pelbagai aktiviti pembangunan yang dapat membantu meningkatkan kesejahteraan usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil di Terengganu. Menurutnya, ia termasuk membantu penyaluran maklumat antara usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil berkenaan fungsi, peranan dan perkhidmatan yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (Kuskop), termasuk agensi-agensi kerajaan di peringkat daerah, negeri dan persekutuan yang berkaitan. “Tujuan kita nak membantu usahawan membangunkan ekonomi setempat serta menimbang dan mencadangkan penambahbaikan serta penyelesaian isu berkaitan usahawan. “Dalam masa sama nak merapatkan jurang dan meningkatkan kerjasama di antara usahawan dan jabatan dan agensi,”katanya kepada pemberita selepas Program Jejak Usahawan Daerah Marang, semalam. Tambahnya, majlis tersebut akan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah masing-masing dan dianggotai oleh agensi-agensi berkaitan seperti Koperasi, Yayasan Pembangunan Usahawan(YPU), Tekun dan pihak-pihak berkenaan termasuk persatuan penjaja serta usahawan. Dalam masa sama, pihaknya juga mengadakan jejak usahawan setiap daerah untuk melihat sendiri permasalahan dan keperluan mereka dengan bantuan agensi terbabit yang akan turun bersama-sama. 
20 Feb 25
135
Pok Alang Pikat Riders Seluruh Negara Singgah Setiu
Pok Alang Pikat Riders Seluruh Negara Singgah Setiu
SETIU, 20 Februari - Pemilik kedai makan Setiu Route T1 yang bertemakan permotoran, Pok Alang Azhar, berjaya menarik minat riders dari seluruh Malaysia untuk singgah di Setiu.   Menurutnya, konsep unik kedainya serta hidangan istimewa seperti 'sup power rindu-merindu’ menjadikannya tempat persinggahan wajib bagi geng-geng motor yang melalui daerah berkenaan. "Sejak mula beroperasi pada tahun 2009, saya menggunakan konsep permotoran untuk memperkenalkan Setiu kepada komuniti bikers.  "Kedai ini bukan sekadar tempat makan, tetapi juga lokasi lepak bagi 'riders' yang ingin menikmati suasana santai sambil berkongsi minat terhadap motosikal," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian 'Setiu All Bikers' bertempat di Kedai Setiu Route T1 di Jalan Penarik, Kampung Bari Kecil baru-baru ini. Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris. Azhar berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja menarik minat riders tempatan, kedainya juga pernah dikunjungi selebriti terkenal seperti Fauziah Latif dan Shamsul Ghau-Ghau, yang menambah daya tarikan kepada tempat itu.  Menurutnya, lebih menarik, pengunjung yang datang turut menampal sticker kelab permotoran dan gambar di dinding sebagai kenang-kenangan, menjadikan kedai tersebut penuh dengan memori para 'bikers' "Gabungan elemen permotoran dan makanan tradisional menjadikan kedai ini satu lokasi unik di Setiu.   "Saya berhasrat untuk terus mengembangkan perniagaan dan mempromosikan Setiu sebagai destinasi pilihan bagi para riders," ujarnya.  
20 Feb 25
439
Pengubahan Akta Pembaharuan Semula Bandar Timbulkan Banyak Masalah
Pengubahan Akta Pembaharuan Semula Bandar Timbulkan Banyak Masalah
KUALA TERENGGANU, 20 Februari - Cadangan Penggubahan Akta Pembaharuan Semula Bandar didakwa akan menimbulkan banyak masalah. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, cadangan yang asalnya datang dari kerajaan DAP Pulau Pinang itu secara umumnya pernah ada di negeri lain dan menimbulkan pelbagai kesan negatif. Ujarnya, ia akan memberi kesan terhadap penduduk, pemik tanah dan pembangunan bandar secara keseluruhan. "Beberapa masalah utama akan muncul antaranya pengusiran dan pemindahan paksa dimana penduduk yang telah lama menetap di sesuatu kawasan sering terpaksa berpindah akibat pembangunan baru. "Pampasan yang diberikan mungkin tidak mencukupi untuk mereka mendapatkan tempat tinggal setanding. Akan timbulnya gentrifikasi apabila kawasan diperbaharui dengan projek mewah, kos sara hidup dan harga rumah meningkat. "Penduduk asal, terutamanya dari golongan berpendapatan rendah tidak mampu untuk tinggal di kawasan itu lagi," ujarnya melalui satu hantaran di facebooknya, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut kesan yang akan timbul dari Akta Pembaharuan Semula Bandar itu, Amzad berkata ia juga akan mengakibatkan berlaku ketidakseimbangan sosial dan ekonomi. "Pembaharuan bandar sering memberi manfaat kepada pemaju dan pelabur tetapi mengabaikan kepentingan penduduk asal (dan) wujud jurang antara golongan kaya dan miskin yang semakin melebar. "Kehilangan identiti budaya (kerana) banyak bangunan atay tapak warisan sejarah dimusnahkan untuk memberi laluan kepada pembangunan moden (serta)komuniti yang mempunyai nilai budaya tinggi mungkin lenyap akibat perubahan drastik,"katanya. Malah jelas beliau, ia akan turut memberi kesan terhadap alam sekitar melalui projek pembangunan berskala besar yang akan mengakibatkan berlakunya pencemaran udara, bunyi dan air malah lebih menyedihkan kawasan hijau dan ekosistem semula jadi sering dikorbankan untuk pembinaan infrastruktur baru. "(Selain itu akan) kurangnya penyertaan awam apabila keputusan pembaharuan bandar sering dibuat oleh kerajaan dan pemaju tanpa rundingan menyeluruh dengan masyarakat sertempat ini boleh menimbulkan ketidakpuasan hati dan protes daripada penduduk yang terkesan," katanya. Justeru tegasnya, masalah-masalah yang dikemukakan itu menunjukkan bahawa pembaharuan bandar harus dirancang dengan lebih teliti. "Mengambil kira kepentingan sosial, ekonomi dan alam sekitar bagi memastikan pembangunan yang lebih adil dan lestari,"ujarnya.
20 Feb 25
180
Makin Ramai Anak Muda Terengganu Pilih Pertanian Sebagai Kerjaya
Makin Ramai Anak Muda Terengganu Pilih Pertanian Sebagai Kerjaya
KUALA TERENGGANU, 20 Februari – Sangkaan bahawa anak muda tidak berminat dalam bidang pertanian ternyata meleset selepas semakin ramai golongan muda di Terengganu memilih pertanian sebagai kerjaya utama mereka. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim mendedahkan bahawa sebahagian besar penerima bantuan pertanian di Terengganu adalah anak muda.  "Penternak lembu sado? 80 peratus anak muda! Peserta fertigasi? Terengganu nombor satu di Malaysia dengan 700 peserta. "Ini membuktikan bahawa pertanian bukan lagi profesion lapuk, tetapi industri masa depan yang menjanjikan pulangan lumayan," katanya. Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran PSPT 2024-2030 di Dewan Besar Wisma Darul Iman (WDI) di sini semalam. Turut berkenan mencemar duli berangkat menyaksikan Majlis Perasmian PPST 2024-2030, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.  Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pegawai Kewangan negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham. Menurut beliau, kejayaan PSPT 2019-2023 telah membuka mata ramai belia terhadap potensi dalam sektor ini.  "Melalui sesi libat urus dan dialog di seluruh negeri, kami dapati majoriti peserta adalah anak muda yang berkelulusan tinggi dan berhasrat menjadikan pertanian sebagai kerjaya mereka," jelasnya. Menyedari trend ini, Azman turut menambah bahawa PSPT 2024-2030 akan memberi lebih banyak peluang kepada golongan muda.  "Kami mahu mereka bukan sekadar bekerja dalam industri ini, tetapi menjadi usahawan pertanian yang berjaya.  "Oleh itu, lebih banyak bantuan, latihan, dan akses kepada teknologi moden akan disediakan," ujarnya.  
20 Feb 25
516
Sektor Pertanian Sasar Sumbang KDNK 12 Peratus
Sektor Pertanian Sasar Sumbang KDNK 12 Peratus
KUALA TERENGGANU, 20 Februari – Kerajaan Terengganu menyasarkan sektor pertanian menyumbang 12 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menerusi Pelan Strategik Pertanian Terengganu (PSPT) 2024-2030. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim menegaskan target itu bukan sekadar angka, tetapi realistik berdasarkan kejayaan pelaksanaan PSPT 2019-2023. "Pada 2018, sektor pertanian negeri berada di tahap negatif dengan KDNK -2.5 peratus, Sektor pertanian bukan setakat tidak mampu menyumbang malah menjadi beban kepada negeri serta tiada perancangan hala tuju yang jelas. "Tahun 2019 iaitu tahun pertama perlaksanan PSPT 2019-2023, KDNK Pertanian meningkat kepada 6 peratus dan menyumbang 8.4 peratus kepada KDNK negeri.  "Ia bukan suatu kejayaan yang besar, tetapi kita telah menukar kegagalan menjadi sedikit kejayaan,” katanya. Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran PSPT 2024-2030 di Dewan Besar Wisma Darul Iman (WDI) di sini semalam. Menurut beliau, meskipun Terengganu tidak mempunyai ‘exit and entry point’ untuk eksport produk pertanian, tetapi hasil buah-buahan tempatan serta hasil laut telah menembusi pasaran antarabangsa.  "Sebenarnya hasil pertanian negeri kita seperti Melon Manis Terengganu, tembikai, nenas, hasil laut dan hasil akuakultur seperti kerapu hibrid dan siakap memasuki pasaran eksport.  "Cuma ia dieksport melalui pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa yang berada di negeri lain, maka angka KDNK dapatlah kepada negeri-negeri tersebut," jelasnya. Menurut Azman, sebanyak 56 daripada 58 program dalam PSPT 2019-2023 telah berjaya dilaksanakan dengan kadar kejayaan 96.5 peratus.  "Sejak pelaksanaannya, KDNK pertanian meningkat kepada 6 peratus pada 2019 dan mencapai 7.4 peratus pada 2023, walaupun berdepan cabaran seperti pandemik COVID-19 dan banjir besar. "Dengan pencapaian ini, kerajaan negeri yakin sasaran 12 peratus dalam PSPT 2024-2030 mampu direalisasikan, sekali gus memperkukuh sektor pertanian sebagai pemacu ekonomi Terengganu," ujarnya.
20 Feb 25
175