Artikel "Semasa" Terkini
PSPT 2024-2030: Terengganu Janjikan Transformasi Besar
KUALA TERENGGANU, 24 Februari – Terengganu kini memasuki era baharu dalam revolusi pertanian menerusi Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu (PSPT) 2024-2030, yang menjanjikan transformasi besar bagi sektor ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim, menegaskan bahawa kejayaan PSPT 2019-2023 menjadi pemangkin kepada perancangan strategi yang lebih berkesan untuk tahun-tahun mendatang.
"Tanggungjawab besar digalas oleh keluarga besar Pertanian Terengganu untuk memastikan 27 peratus teras strategi dan 56 program utama PSPT 2024-2030, merangkumi Kluster Padi, Kluster Tanaman Makanan, Kluster Penternakan, Kluster Perikanan dan Kluster Industri Asas Tani, dapat dipacu ke tahap lebih tinggi dan mampan.
"Pelan ini bukan sekadar perancangan di atas kertas, tetapi satu ikhtiar besar bagi meningkatkan keterjaminan makanan dan kesejahteraan rakyat.
"Kita tidak mahu hanya merancang tanpa tindakan, setiap langkah yang diambil mesti memberikan impak segera kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran PSPT 2024-2030 yang berlangsung di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.
Majlis berprestij itu turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, yang berkenan mencemar duli menyaksikan majlis perasmian tersebut.
Hadir sama, Menteri Besar Terengganu; Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Menurut Azman, antara fokus utama pelan ini termasuk meningkatkan pengeluaran buah-buahan premium seperti Musang King dan Mangga King Terengganu, menaik taraf Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), memperkasa industri penternakan ayam pedaging, lembu pedaging dan kambing tenusu, serta memperkayakan sumber perikanan marin dan darat.
"Kita juga akan memperhebat pembangunan Padang Ragut dan Zon Industri Akuakultur (ZIA) bagi menjamin kesinambungan industri pertanian negeri.
"Pelaksanaan PSPT 2024-2030 akan memberi keutamaan kepada Program Imersif Tinggi (HIP) yang dipilih berdasarkan ciri-ciri ‘quick win’ dan ‘low hanging fruit’ agar manfaatnya dapat dinikmati dalam tempoh singkat dengan kos yang minimum," jelas beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa analisis kelemahan dan kekuatan daripada PSPT 2019-2023 menjadi asas penting dalam perancangan baharu ini.
"Kita belajar daripada pengalaman. Apa yang kurang kita perbaiki, dan apa yang sudah baik kita tingkatkan lagi," tegasnya.
Tambah Dr. Azman, PSPT 2024-2030 bukan sekadar satu strategi tetapi satu gerakan menyeluruh bagi memastikan pertumbuhan sektor pertanian lebih kukuh dan berdaya saing.
"Kita mahu semua pihak mendapat manfaat tanpa ada yang tercicir.
"Pelabur besar dialu-alukan, manakala rakyat biasa juga diberi perhatian.
"Pelan ini milik kita semua. Kita rangka bersama, kita laksanakan bersama," ujarnya.
24 Feb 25
891
Vape Lebih Bahaya Daripada Morphin
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Penggunaan vape jenis tertentu didakwa boleh menyebabkan kerosakan otak hanya dalam tempoh 14 hari, jauh lebih pantas daripada kesan morphin yang mengambil masa 40 tahun untuk merosakkan akal manusia.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah mendedahkan kebimbangan ini berdasarkan satu kajian yang menunjukkan bahawa vape jenis 'mushroom' boleh menyebabkan penyakit mental dalam tempoh dua minggu sahaja.
"Morphin memerlukan 40 tahun untuk merosakkan akal, tetapi vape jenis 'mushroom' hanya memerlukan 14 hari. Ini sangat membimbangkan," kata beliau kepada pemberita di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Beliau juga berkongsi bahawa pusat pemulihan dadah Darul Barakah menerima banyak kes ibu bapa yang membawa anak-anak mereka kerana ketagihan vape.
Malangnya kata beliau, tiada pelan pemulihan yang tepat kerana vape memberi kesan terus kepada mental, bukan sekadar ketagihan biasa.
"Kesannya bukan sekadar ketagihan fizikal, tetapi juga menyebabkan gangguan mental yang serius.
"Mereka sepatutnya mendapatkan rawatan di hospital, bukan di pusat pemulihan dadah," tambahnya lagi.
Menurut Wan Sukairi, Kerajaan negeri dalam perbincangan akhir untuk melaksanakan pengharaman vape secara menyeluruh di negeri ini.
"Jika cadangan ini diluluskan, pengharaman ini bukan hanya tertumpu kepada vape jenis 'mushroom' sahaja, tetapi melibatkan semua perisa vape tanpa pengecualian," tegasnya.
24 Feb 25
259
Street Dakwah-Hijab Talk di Pasar Malam Tarik Minat Rakyat
Oleh: Amira Amijuddin
BESUT, 24 Februari – Program Street Dakwah-Hijab Talk yang diadakan sempena Terengganu Hijab Day berlangsung dengan penuh meriah di Pasar Malam Pasir Akar, menarik perhatian ramai pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Ketua Nisa Besut, Rafidah Razak, berkata acara itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan hijab sebagai simbol maruah dan ketaatan kepada syariat Islam.
"Program ini bukan sahaja memberi kesedaran tentang nilai-nilai Islam tetapi juga menjadi inspirasi kepada wanita Muslimah untuk terus istiqamah dalam menutup aurat," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, program ini dianjurkan oleh Beliawanis I-MiTS Hulu Besut, Nisa Besut, DUAT, dan UPDI.
Beliau berharap ia dapat meningkatkan kefahaman masyarakat tentang hijab sebagai lambang kesederhanaan, kesopanan, dan ketaatan kepada perintah Allah SWT.
"Saya berharap program ini dapat memberikan inspirasi dan motivasi kepada wanita-wanita di luar sana untuk terus istiqamah dalam menutup aurat dan memelihara maruah diri.
"Semoga Terengganu Hijab Day ini dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.
Tambah Rafidah, sambutan luar biasa daripada pengunjung menunjukkan keberkesanan pendekatan dakwah secara santai dan terbuka dalam mendidik serta menarik minat masyarakat mengenai kepentingan berhijab.
"Semoga program seperti ini dapat diteruskan untuk terus menyemarakkan kesedaran dalam kalangan wanita Muslimah mengenai kepentingan berhijab dengan penuh kefahaman dan keyakinan," ujarnya lagi.
Antara pengisian menarik sepanjang program ialah edaran risalah dan stoking percuma kepada pengunjung wanita, kuiz interaktif, serta hadiah cabutan bertuah yang menambah kemeriahan acara.
Selain itu, kemuncak program ialah ceramah bertajuk Hijabku, Maruahku yang disampaikan oleh Ustaz Nik Roslan Mustaffa, Pembantu Penyelia Latihan I-MiTS Hulu Besut.
24 Feb 25
356
Terengganu Bakal Haramkan Vape Secara Total?
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Kerajaan Terengganu sedang dalam perbincangan untuk melaksanakan pengharaman 'total' ke atas vape di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri untuk mengharamkan vape secara menyeluruh di Terengganu.
"Kertas cadangan ini sedang dalam proses akhir dan akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (MMKN) untuk dibincangkan.
"Pengharaman turut melibatkan penjualan, pengiklanan dan sebarang aktiviti berkaitan vape di seluruh premis di negeri ini," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Menurut beliau, jika cadangan ini dipersetujui, satu undang-undang ketat akan diperkenalkan bagi memastikan pengharaman itu dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.
"Jika cadangan pengharaman ini diluluskan, semua jenis vape tanpa mengira perisa atau kandungannya akan diharamkan sepenuhnya di Terengganu.
"Pengharaman ini bukan hanya tertumpu kepada vape jenis 'mushroom' sahaja, tetapi melibatkan semua perisa vape tanpa pengecualian," jelasnya.
Sebelum ini, Mantan Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan agar penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total.
Baginda bertitah, saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkat terutama dalam kalangan belia berdasarkan statistik oleh Agensi Anti Dadah Kebangsan (AADK).
Titah baginda, antara punca utama golongan muda terjebak dalam ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung bermula dengan penggunaan vape.
24 Feb 25
1993
Usahasama Terengganu Inc- Xiangxi Furong Town Bawa Budaya Terengganu ke Persada Dunia
BESUT, 23 Februari - Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd tampil menjalinkan persefahaman bersama Xiangxi Furong Town Cultural & Tourism Development Co. Ltd. dalam usaha membantu mempromosikan Terengganu di peringkat antarabangsa.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@ Harun berkata, menerusi memorandum persefahaman (MOU) yang terjalin dapat merancakkan lagi industri pelancongan di negeri tersebut.
"Kita hendak menggalakkan MOU sebegini, apabila kita tandatangan persefahaman dengan badan pelancongan tempatan, kita akan dapat mempromosikan Terengganu kepada mereka dan ini akan dapat merancakkan lagi industri pelancongan kita.
"Saya rasa kalau kita bawa orang-orang yang berpengaruh dan mempunyai hubungan seperti Marriot, (impaknya) akan boleh ke bandar Kuala Terengganu juga. Selain meningkatkan pelancongan, kita akan dapat kembangkan ekonomi negeri kita.
"Terengganu Inc. sebagai penggerak serta kita akan gunakan mana-mana kemudahan pelancongan yang dimiliki, kita ada hotel dan mula mengendalikan Pulau Poh pertengahan tahun ini begitu juga mempromosikan Tasik Kenyir dan sebagainya.
"Banyak tempat yang kita boleh gunakan untuk capai sasaran peningkatan pelancong di negeri Terengganu," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menandatangani memorandum persefahaman dengan Xiangxi Furong Town Cultural & Tourism Development Co. Ltd., di Perhentian Marriot Resort & Spa, semalam.
MOU tersebut ditandatangani Burhanuddin dan Naib Presiden Komunikasi Strategik Kumpulan, Suridah Supian mewakili Terengganu Inc bersama Pengarah Jenama Huaxia Investment Group, Jun Su dan Timbalan Ketua Pengarah Cultural Tourism Radio and Television Bureau, Lichao Li yang mewakili pihak daerah Xiangxi.
Hadir sama menyaksikan majlis berkenaan ialah Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Ahmad Rdzwan Abd Rahman dan Pengarah Urusan Kumpulan Ikhasas Group, Ir Tan Chee Kian.
Burhanuddin turut berterima kasih kepada Perhentian Marriot Resort & Spa yang banyak membantu mempromosikan Terengganu di peringkat antarabangsa.
"Ikhasas Group merupakan pemilik kepada Marriot Perhentian Hotel dan mereka ingin merancakkan ekonomi dengan membawa pelancong-pelancong luar ke Terengganu, saya rasa mereka banyak melabur di Terengganu dan salah satu pelabur penting di sini dalam sektor pelancongan serta beberapa sektor lain yang terlibat dengan Terengganu Inc.
"Saya berterima kasih kepada pengarah urusannya, Mr Tan yang banyak membantu kita dengan mempromosikan Pulau Perhentian sebagai destinasi antarabangsa. Marriot adalah jenama antarabangsa yang mempunyai ramai pelanggan di seluruh dunia dan kita akan saksikan lebih ramai datang ke negeri Terengganu dengan kerjasama mereka," tambahnya.
Dalam pada itu, Tan Chee Kian menyifatkan jalinan persefahaman yang diusahakan Terengganu Inc. merupakan satu langkah besar.
"Cinta pertama selalunya amat penting, sekurang-kurangnya kita memecahkan persepsi dengan membuatkan delegasi Xiangxi ingin melaburkan wang dan masa datang ke sini.
"Tentunya untuk kali pertama ia bukan mudah, segala yang pertama perlukan kesungguhan, tetapi saya percaya setiap langkah pertama akan ada langkah seterusnya. Semoga dengan langkah ini, kita akan dapat membawa lebih banyak delegasi ke Terengganu dalam sektor pelancongan," katanya.
23 Feb 25
277
Jalinan Budaya Terengganu- Xiangxi Tingkat Industri Pelancongan
BESUT, 24 Februari - Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) memuji usahasama dijalinkan anak syarikat kerajaan negeri (GLC), Terengganu Incorporated Sdn Bhd dan Xiangxi Furong Town Cultural & Tourism Development Co. Ltd untuk mengetengahkan keunikan Terengganu di wilayah negara China itu.
Pengarah Tourism Terengganu, Ahmad Rdzwan Abd Rahman menyifatkan memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara kedua-dua pihak itu sangat tepat berikutan Terengganu yang memiliki keindahan pulau dan pesisir pantai saling melengkapi Xiangxi yang kaya dengan keunikan gunung-ganangnya.
"Ini merupakan satu inisiatif daripada anak syarikat kerajaan negeri Terengganu dan membuktikan komitmen GLC serta swasta akan dapat membantu meningkatkan lagi tahap permintaan industri pelancongan di Terengganu ini.
"Untuk hari ini, MOU yang ditandatangani daripada pihak Terengganu Inc dan Xiangxi merupakan satu kolaborasi untuk kita mengenal pasti produk-produk pelancongan di antara dua tempat ini, sudah tentu di Xiangxi mempunyai permintaan yang tinggi dari (pelancong) China.
"(Perkara) ini akan meluaskan promosi untuk negeri Terengganu di persada antarabangsa.
"Setakat ini kita dapati Pulau Redang mendapat tumpuan mereka, jadi dengan adanya MOU yang dibuat di Perhentian Marriot Resort & Spa, kita akan mendapat pasaran dari China untuk Pulau Perhentian pula," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman tersebut pada Sabtu.
Tambahnya, Tourism Terengganu akan terus menggiatkan usaha mengangkat budaya dan kesenian tempatan dalam memastikan usahasama itu berlangsung dengan baik.
"Sebenarnya, produk sedia ada kita sudah ada banyak dari segi aktiviti budaya dan produk bersifat kesenian. mereka (Xiangxi) juga mempunyai budaya yang tersendiri dan melalui kolaborasi ini, kita akan boleh menjalinkan konsep pertukaran budaya (pengetahuan)
"Untuk seterusnya, kita akan sentiasa berhubung dan MOU ini bukan sekadar persefahaman sahaja, kita akan mengambil tindakan seterusnya untuk memastikan apa usaha-usaha yang kita boleh jalinkan secara bersama," katanya.
23 Feb 25
49
Kadar Zakat Fitrah Terengganu Mininum RM10
KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menetapkan kadar zakat fitrah bagi umat Islam tidak kurang RM10 dan RM21 seorang pada tahun ini.
Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, penetapan dua kadar bayaran zakat fitrah itu adalah mengikut jenis beras yang dimakan setiap hari.
"Kategori pertama ialah tidak kurang RM10 bagi mereka yang menggunakan beras tempatan biasa.
"Ini berdasarkan harga jualan beras fitrah bagi gred pertengahan iaitu jenis Beras Super Import @ Beras Siam dijual dengan kadar RM10.00 segantang atau RM2.60 sekilogram mengikut harga purata beras.
"Manakala kadar zakat fitrah bagi individu yang menggunakan beras premium seperti Basmathi pula ialah RM21 seorang," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Agihan Bantuan Zakat Asnaf Fakir Miskin Sempena Ramadan Tahun 1446H/2025M di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan seramai 998 amil zakat dilantik di seluruh Terengganu sepanjang Ramadan tahun ini bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah.
Sementara itu, seramai 28, 829 penerima bantuan zakat sempena Ramadan kali ini melibatkan peruntukan sebanyak RM15,493,100.
23 Feb 25
737
Rakyat Perlu Buat Bantahan Tegas Terhadap URA
KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Usaha untuk menghalang Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) terletak di tangan rakyat dengan cara menunjukkan bantahan yang keras terhadap akta itu.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, dengan cara itu ia akan menghalang hasrat DAP untuk teruskan akta yang bakal menekan golongan kurang berkemampuan yang masih menjadi pemilik hartanah di tengah bandar.
"Penentangan terhadap cadangan akan beri kekuatan kepada ahli-ahli parlimen yang berada di dalam kerajaan untuk tidak menyokong akta ini," ujarnya melalui hantaran di facebooknya, semalam.
Mengulas lebih lanjut, katanya jika menunggu akta itu dibentangkan dahulu di parlimen kemudian dibuat bantahan dikhuatiri akan terlewat.
"Sudah terlambat jika berbuat demikian. 'tyranny of the majority' seperti yang dimasukkan dalam akta melalui penurunan had ambang persetujuan akan mereka lakukan di parlimen.
"Menggunakan bilang ahli parlimen yang jadi komponen sekarang," katanya.
Tambah beliau, ketika Perikatan Nasional dahulu menjadi kerajaan, akta itu tidak pernah digubal sebaliknya hanya meneliti cadangan daripada Kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung had ambang persetujuan pemilik hartanah.
"Termasuk menurunkan had ambang persetujuan pemilik strata, tanah, cadangkan itu ditelitikan oleh PlanMalaysia dan dibincangkan.
"Tetapi PN tidak pernah gubal akta baru seperti yang dibuat oleh kerajaan sekarang,"jelas beliau.
Tambah beliau cadangan pengubalan akta baru itu telah dibawa ke sesi taklimat kepada ahli-ahli parlimen minggu lalu yang memperincikan tentang had ambang persetujuan.
"Sebelum ini sejak tahun lalu, KPKT telah secara aktif melaksanakan pelbagai penerangan mengenai cadangan akta ini kepada kerajaan kerajaan negeri.
"Pertemuan dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan juga sekect committee parlimen," ujarnya.
23 Feb 25
241
21,582 Peserta Gegar Terengganu Marathon 2025!
KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Penganjuran premier acara Terengganu Marathon 2025 (TM2025) dengan sokongan penuh kerajaan negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menyaksikan penyertaan 21,582 peserta di Dataran Pantai Batu Buruk, di sini, hari ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan syabas kepada semua peserta yang bertanding menjayakan program sehingga mendapat pengiktirafan Persatuan Marathon Antarabangsa dan Perlumbaan Jarak Jauh (AIMS).
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua peserta Marathon Terengganu 2025 yang berjaya menamatkan larian mengikut kategori masing-masing, sama ada berjaya naik podium atau sekadar menamatkan larian, anda semua adalah juara.
“Anda semua adalah hebat dan luar biasa kerana memberikan komitmen untuk meneruskan larian sejauh 42 kilometer, 21 kilometer, 10 kilometer hatta 100 meter sekalipun.
“Keazaman dan semangat inilah yang kita kena ada dalam diri kita,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu ucapan penutup bagi acara TM2025, pagi tadi.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato' Nara Setia, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham, Pengerusi Lembaga Pengarah Unisza; Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh serta Ahli Parlimen Kuala Terengganu; Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Dr. Ahmad Samsuri turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan penuh dalam menjayakan acara tersebut.
Antara pihak terlibat dalam penganjuran acara yang telah menarik kunjungan peserta dari pelbagai negeri itu tadi termasuklah KBSM, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Terengganu Running Community, penaja utama Him & Her Coffee, Kaharo Jewels dan lain-lain penaja.
TM2025 menawarkan pelbagai kategori perlumbaan, termasuk Maraton Penuh (42KM) untuk peserta lelaki dan wanita berusia 18 tahun ke atas, serta Separuh Maraton (21KM) bagi mereka yang berumur 16 tahun ke atas, dengan kategori veteran untuk peserta berusia lebih 40 tahun.
Selain itu, terdapat Larian 10KM, terbuka kepada individu berumur 15 tahun ke atas termasuk kategori veteran, serta Larian Santai 5KM bagi peserta berusia 13 tahun ke atas, dengan kategori khas untuk golongan muda (10-18 tahun) dan veteran.
Bagi kanak-kanak, terdapat kategori Kid Flash 1KM dan 2KM, khusus untuk peserta berumur antara 6 hingga 13 tahun.
Di samping trofi kemenangan yang diberikan kepada penamat larian mengikut kategori tersendiri, acara larian yang telah disertakan dalam Calender Of Event (COE) Terengganu 2025 itu turut menyediakan hadiah utama kategori cabutan bertuah jongkong emas bernilai RM100,000.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim mengumumkan bahawa acara larian ini turut akan dibawa kedalam perancangan tahun depan.
“Saya merakamkan rasa syukur dan Insya-Allah dengan kelancaran program yang telah terbukti pada hari ini, Terengganu Marathon akan berulang kembali pada 2026 nanti.
“Dan mengikut jadual penganjuran kami, tahun ini turut akan diadakan Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud,” ujar beliau.
22 Feb 25
738
Kolej Islam Darul Iman Institusi Pendidikan Pertama Dibina Secara Wakaf
DUNGUN, 22 Februari - Kolej Islam Darul Iman menjadi institusi pendidikan pertama di negeri Terengganu yang dibina berdasarkan konsep wakaf di atas tanah hasil sumbangan orang ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, pihaknya sangat menyokong penubuhan institusi pengajian tinggi itu sekali gus menyuburkan pendidikan Islam di Terengganu.
Ujarnya, insititusi itu akan dibina di atas tanah anugerah kerajaan berkeluasan 70 ekar di Santong berhampiran balai bomba yang dijangka memulakan operasi pertamanya dalam masa dua tahun lagi.
"Setelah siap bangunan pentadbiran yang kosnya dijangka hampir 10 juta, akan terus dibuka kerana di situ akan ada dewan kuliah dan sebagainya di samping itu keluasan tanah ini akan digunakan untuk menampung pembinaan satu kompleks yang dilengkapi asrama, masjid dan kompleks sukan.
"Di bangunan pentadiran ini juga di samping adanya bilik-bilik kuliah juga akan ada dewan besar dan sebagaiya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas merasmikan Majlis Solat Hajat dan Pecah Tanah Pembinaan Kolej Islam Darul Iman, di Jalan Santong, Paka, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Satiful berkata kolej itu dibina berdasarkan konsep wakaf kerana ia menjadi milik orang ramai bukan hak mana-mana individu mahupun kerajaan tetapi institusi milik masyarakat.
"Kita turut sama berbangga dan menyokong serta memberikan sumbangan bagi memastikan institusi milik umat kita sendiri ini berjaya dibina,"ujarnya.
Tambah beliau, pihak kerajaan negeri juga turut membantu bagi memastikan pengajian yang ditawarkan oleh pihak kolej itu membabitkan peringkat Diploma, Ijazah, Sarjana dan Doktor Falsafah (PHD) untuk Pengajian Islam maka ia telah didaftarkan di bawah pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
22 Feb 25
506