Artikel "Semasa" Terkini
Enam Pegawai Kerajaan Negeri Bertukar
Wisma Darul Iman, pusat pentadbiran negeri.Enam pegawai tadbir negeri Terengganu ditukarkan ke jawatan baharu berkuatkuasa 16 Mei lalu.Pertukaran yang dinyatakan dalam surat yang ditandatangani Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya bertarikh 16 Mei itu melibatkan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zainal Abidin Husin yang mengisi kekosongan jawatan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian dan Setiausaha Sulit Kanan YAB Menteri Besar, Md Kamaru Al-Amin Ismail ditukarkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC dan jawatan itu kini digantikan Ketua Penolong Pentadbir Tanah Setiu, Azran Amin Mazlan.Manakala Setiusaha Khas Kepada YAB MB, Ahmad nizam Abd Karim ditukarkan untuk mengisi kekosongan Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Masyarakat) Hulu Terengganu; Pegawai Khas Kepada YAB MB, Fatima Az Zuhra Aziz pula ditukarkan ke jawatan Penolong Setiausaha Pembangunan Sumber Manusia) Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu dan Setiausaha Akhbar Kepada YAB MB, Wan Nabila Aisha Wan Bakhri pula mengisi kekosongan jawatan Pegawai Korporat Dan Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Dungun.
17 May 18
446
Tabika Kemas Beroperasi Seperti Biasa
Dr Samsuri mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai. Foto Harish Fadzillah KassimOperasi Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di negeri ini akan berjalan seperti biasa dalam proses peralihan kuasa yang berlaku.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rakyat tidak perlu bimbang dengan dakwaan kononnya operasi agensi yang ditubuhkan Kerajaan Persekutuan ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) itu bakal ditutup kerana persoalan tersebut tidak pernah dibincangkan kerajaan negeri di bawah PasBagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan yang operasi Tabika Kemas itu akan terus diperkasakan di masa depan sekiranya tiada sebarang keputusan dimuktamadkan."Apa yang kita bincang di peringkat pentadbiran kerajaan negeri ketika ini adalah perkara yang lebih penting untuk masyarakat dan isu mengenai Tabika Kemas tidak menjadi keutamaan dalam perbincangan itu."Kita biarkan semua proses berjalan seperti biasa sebab di awal ucapan saya semasa istiadat angkat sumpah lalu, saya ingin memastikan sebarang penambahbaikan yang dibuat kelak tidak menimbulkan rasa tidak senang dalam masyarakat terutama dalam isu-isu pendidikan anak-anak, " katanya.Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis pengagihan bubur lambuk di Masjid Abidin, Kuala Terengganu, petang semalamHadir sama, isterinya, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman; Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin; Pengarah Tanah dan Galian negeri, Datuk Wan Mohd. Wan Ibrahim dan Imam Besar Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz.Dalam majlis itu, sebanyak 2,000 bekas bubur lambuk yang disumbangkan kerajaan negeri diagihkan secara percuma kepada orang ramai sempena bulan Ramadan.Aizi Saidi berkata, agihan bubur lambuk itu bermula pukul 3.30 petang itu merupakan acara tahunan di Masjid Abidin sejak lapan tahun lalu."Setiap hari kita akan mengagihkan 2,000 bekas bubur lambuk kepada masyarakat sehingga hari ke-28 Ramadan."Orang ramai yang datang bukan sahaja dalam kalangan umat Islam tetapi bangsa-bangsa lain kerana ramai mengatakan bubur lambuk di sini lebih enak berbanding di tempat lain," katanya.
17 May 18
58
Kerajaan Negeri Pimpinan Pas Teruskan Dana Raya
Kerajaan negeri mengumumkan untuk meneruskan Bantuan Dana Raya 2018 sebagai menambahkan keceriaan dan kemeriahan sambutan perayaan Aidilfitri di kalangan rakyat negeri ini terutama kepada golongan berpendapatan kecil.Menteri Besar, Prof Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, permohonan dana raya yang diteruskan secara atas talian seperti sebelum ini, turut terbuka kepada pemohon baru yang layak.“Mengambil kira kita hendak menyambut Ramadan dan tradisi yang dilaksanakan di Terengganu, maka kita membuat keputusan untuk meneruskan pemberian dana raya berjumlah antara RM300 hingga RM400 mengikuti kelayakan masing-masing.“Pengagihan akan dibuat pada bulan puasa dan dalam masa yang sama kita membuat penambahbaikan dengan membuka kepada permohonan baru,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco yang pertama di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahari Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah.Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata, selaras dengan usaha untuk memastikan rakyat menerima manfaat tanpa melalui kerenah birokrasi, kerajaan negeri turut memutuskan untuk menghapuskan keperluan tandatangan sokongan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk sebarang urusan permohonan bantuan daripada kerajaan negeri.“Bagi mengurangkan kerenah birokrasi yang menyusahkan rakyat maka proses permohonan yang melibatkan tandatangan JKKK telah ditiadakan.“Sebarang permohonan termasuk borang-borang yang berkaitan dengan permohonan yang dibuat hanya perlu diisi oleh pemohon tanpa tandatangan JKKK dan boleh terus kepada Majlis Daerah atau agensi berkaitan,” katanya.
16 May 18
41
Kerajaan Negeri Tunai Janji, Beri Air Percuma
Ahmad Samsuri ketika sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Mingguan Exco yang pertama di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto oleh: Harish Fadzillah Abu Kasim Rakyat yang kurang berkemampuan di negeri ini dan mendaftar dalam program e-Kasih akan mendapat bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu sebulan seperti yang dijanjikan dalam Manifesto Pas Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini.Menteri Besar, Prof Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan perkara itu dalam Majlis Mesyuarat Mingguan Exco yang pertama di Wisma Darul Iman, hari ini.“Atas rasa tanggungjawab terhadap keperluan rakyat miskin dan menunaikan sebahagian daripada manifesto yang dijanjikan dalam PRU14,, kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberikan 20 meter padu air secara percuma kepada rakyat miskin negeri ini yang tersenarai dalam e-Kasih.“Ini adalah pelaksanaan manifesto kita dan terdapat perbezaan dengan dengan apa yang telah dibuat kerajaan negeri sebelum ini,” ujarnya kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Mingguan Exco tersebut.Menurut Ahmad Samsuri, pengguna hanya perlu membayar nilai meter padu air yang digunakan melebihi jumlah 20 meter padu yang diberikan secara percuma.“Sebagai contoh, jika penggunaan 21 meter padu , jumlah yang perlu dibayar hanya satu meter padu sahaja, berbanding sebelum ini perlu membayar jumlah penuh (21 meter),” ujarnya.Katanya, pemberian bekalan air secara percuma itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat selepas segala proses berkaitan termasuk dari segi pentadbiran dan sebagainya selesai.“Kita telah buat keputusan secara dasar dan dari segi pelaksanaan akan dibuat seberapa segera.“Pentadbiran akan teliti perkara ini kerana ianya melibatkan proses-proses pentadbiran yang perlu dibuat. Jadi, selesai proses ini termasuklah dengan agensi yang terlibat membekalkan air, maka ianya akan terus dilaksanakan,” ujarnya.
15 May 18
65
Terengganu Umum 11 Barisan Exco Baharu
Barisan 11 exco kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar (duduk, tengah) bersama pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A Rahman Yahya (tiga dari kiri) dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azhar Abd Hamid (dua dari kiri).Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim Kerajaan negeri Terengganu, hari ini mengumumkan senarai portfolio 11 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (exco) yang baharu di bawah kepimpinan Pas.Mendahului senarai, Menteri Besar, Prof Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli.ADUN Paka, Satiful Bahari Mamat dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, manakala ADUN Bukit Tunggal, Dr Alias Razak pula menyandang portfolio Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar serta ADUN Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah memegang portfolio Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan.Bagi portfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa dipegang ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim dan portfolio Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran pula dipegang ADUN Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar. Sementara portfolio Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat dipegang ADUN Alur Limbat, Ariffin Deraman; manakala ADUN Chukai, Hanafiah Mat pula memegang portfolio Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Dan Perpaduan Nasional.ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah memegang portfolio Pembangunan Belia, Sukan dan NGO; ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh menyandang Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau serta ADUN Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman pula memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja.Menteri Besar berkata, barisan portfolio dan tugas baru yang dibentuk berbeza dengan kepimpinan sebelum ini selepas menimbangkan keperluan semasa selain mengambil kira pengalaman lepas dan jawatan sama dibentuk kerajaan negeri lain. "Objektif akhir kita adalah untuk memastikan kelancaran dan juga penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan sampai kepada sasaran. "Portfolio daripada kerajaan sebelum ini kita tidak tolak semua dan tidak juga mengambil semua sebaliknya terdapat perbezaan sedikit dengan melakukan penambahbaikan. Ada portfolio yang baru dimasukkan seperti pelaksanaan syariah disekalikan dengan pendidikan dan pengajian tinggi sesuai dengan manifesto (Pas) kita,"katanya.Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco yang pertama di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.
15 May 18
540
Kerajaan Negeri Laksana Manifesto Secara Berperingkat-Peringkat
Ribuan rakyat Terengganu hadir pada Himpunan Kesyukuran Kerajaan Rakyat Terengganu. Foto Tengku Syami Tengku IsmailKerajaan negeri akan memastikan semua janji dalam manifesto dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Menteri Besar, Prof Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaksanaan 20 janji dalam Manifesto Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini akan dilaksanakan mengikut keutamaan dengan mengambil berat perihal kebajikan golongan yang memerlukan.Katanya, semua perkara termasuk menganjuran program, perlaksanaan projek mega, tawaran bantuan dan potongan subsidi akan melalui proses perbincangan, kajian dan penilaian."Setiap perkara yang ingin dilaksanakan juga haruslah mengambil kira kepentingan rakyat secara menyeluruh dan tidak membebankan kewangan negeri."Ini kerana, kita ingin pastikan rakyat memperoleh manfaat daripada projek yang akan dilaksanakan kerajaan negeri nanti,"katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Kesyukuran Kerajaan Rakyat Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Kuala Nerus, malam tadi.Hadir sama, Presiden Pas, Dato’Seri Abdul Hadi Awang, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Hussain Awang serta kepimpinan tertinggi Pas yang lain.Ahmad Samsuri juga turut mengajak semua pimpinan negeri di semua peringkat untuk sama-sama membangunkan Terengganu ke arah yang lebih baik berlandaskan syariat dan al-Quran.Sementara itu, kira-kira 20,000 tetamu hadir memberi sokongan pada program terbuka julung kali diadakan Pas selepas berjaya menawan kembali Terengganu pada 9 Mei lalu.
15 May 18
38
Jalinan Kerjasama Dua Pegangan Politik Terengganu
Ahmad Samsuri menerima dokumen serah tugas daripada Ahmad Razif. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu KasimMajlis penyerahan tugas antara mantan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman kepada Menteri Besar baharu, Prof Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berlangsung dengan lancar di Wisma Darul Iman, hari ini.Ahmad Samsuri berkata, majlis ini merupakan satu permulaan yang baik di Terengganu kerana membuktikan rakyat negeri ini boleh berpolitik dengan apa sahaja pegangan dan kefahaman.“Walaupun berbeza tetapi akhirnya kita mencari jalan yang terbaik untuk rakyat Terengganu dan negeri khususnya.“Sekali lagi saya bagi pihak pentadbiran kerajaan mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Seri Ahmad Razif kerana hadir bersama kita pada hari ini,”katanya kepada pemberita di sidang media selepas majlis penyerahan tugas yang diadakan di Wisma Darul Iman, hari ini.Turut hadir Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya dan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang lain.Sementara itu, Ahmad Razif mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar baharu dan juga Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta parti Pas yang telah memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 baru-baru ini.“Sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Terengganu, saya menerima kekalahan ini dengan berlapang dada dan yang paling penting hari ini adalah untuk rakyat dan saya tak ada masalah untuk membantu sekiranya tenaga saya dan rakan-rakan diperlukan kerana apa yang paling penting pada hari ini kita kena saling bantu membantu dan tolong menolong…yang lepas biarlah lepas.“Yang penting bagaimana kita nak ‘moving forward’ untuk pastikan rakyat mendapat manfaat daripada apa yang diperjuangkan mana-mana parti apabila menang… mereka akan memberi perkhidmatan terbaik jadi bagi pihak saya tiada masalah kerana kita perlu berjiwa besar..kita perlu manfaat masa-masa yang mendatang dengan sebaik mungkin,”ujarnya.
15 May 18
40
Projek Benteng Pemecah Ombak Sungai Merchang Dijangka Siap pada 2020
Ahmad Samsuri ketika meninjau muara Sungai Merchang Marang. Foto Tengku Syamim Tengku Ismail Kerajaan negeri meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mempercepatkan pembinaan benteng pemecah ombak di muara Sungai Merchang, Marang bagi kemudahan laluan bot nelayan di kawasan itu.Menteri Besar, Prof Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pihaknya berharap projek bernilai RM43 juta yang sedang berjalan dapat disiapkan secepat mungkin bagi memudahkan kegiatan nelayan untuk keluar masuk dari muara sungai ke perairan laut.“Kerajaan memberi jaminan, nelayan boleh menggunakan laluan ini dalam tempoh terdekat selepas selesai kerja-kerja mendalam sungai.“Kerja-kerja ini hanya bersifat sementara sebelum pembinaan benteng pemecah ombak dijangka siap dalam tempoh dua tahun,” katanya.Beliau berkata demikian ketika meninjau Projek Benteng Pemecah Ombak di Sungai Merchang, Marang, hari ini.Hadir sama, Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya.Ahmad Samsuri, pihaknya ada berbincang dengan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, wakil penduduk dan nelayan bagi mencari alternatif serta jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit.“Jalan terbaik adalah membina benteng pemecah ombak bagi mengelak pelbagai kemungkinan berlaku di pesisiran pantai termasuk hakisan pasir dan runtuhan tebing,”katanya.Difahamkan, kerajaan sebelum ini ada memperuntukkan lebih RM20,000 setiap tahun bagi kerja-kerja mendalamkan muara itu.Bagaimanapun, kerja menggali dan mendalamkan laluan-laluan untuk ke laut ini sentiasa dibuat dari semasa ke semasa dan ia hanya penyelesaian sementara.
15 May 18
432
Kadar Zakat Fitrah Terengganu Minimum RM7
Osman (kiri) menunjukkan kadar zakat fitrah bagi Negeri Terengganu pada Majlis Pengistiharan Ketetapan Fitrah Bagi Tahun 2018 di Pejabat Maidam, hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu KasimMajlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menetapkan kadar fitrah bagi tahun ini tidak kurang RM7 setiap orang. Yang Dipertua Maidam, Dato’ Osman Muda berkata, kadar tersebut dikira berdasarkan kepada harga beras Gred Super Tempatan di pasaran setelah mengambil kira nilai bersamaan dengan beras 10 peratus hancur serta lima peratus hancur."Kadar fitrah yang ditetapkan dibuat setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.“Bagi mana-mana orang yang memakan beras dari jenis Super Import, maka kadar bayarannya adalah senilai dengan kadar beras yang dimakannya iaitu bersamaan 2.60 kilogram atau sukatan 2.97 cupak yang bersamaan satu gantang Baghdad,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pengistiharan Ketetapan Fitrah Bagi Tahun 2018 di Pejabat Maidam, hari ini.Turut hadir, Timbalan ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Ismail Sahaimi Wan Omar.Osman berkata, pada tahun ini bayaran fitrah hanya boleh dibuat dengan wang tunai sahaja.“Untuk membayar fitrah, orang Islam di negeri ini bolehlah membayarnya di mana-mana kaunter bayaran zakat Maidam dari 8.30 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja biasa.“Bagi memberi kemudahan kepada orang ramai, bermula 1 Jun hingga 14 Jun ini, kaunter bayaran zakat Maidam termasuk kaunter di Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan dibuka tujuh hari seminggu bermula 8.30 pagi hingga 4 petang dan bagi kaunter zakat UTC dibuka sehingga 9.30 malam,” ujarnya.Menurut beliau, Maidam turut melantik seramai 1,021 amil pada tahun ini dan mereka akan menjalankan pungutan fitrah serta zakat harta di setiap masjid dan surau di seluruh negeri ini.“Setelah selesai bayaran dibuat, para pembayar jendaklah memastikan menerima resit rasmi Maidam daripada amil berkenaan bagi mengelak berlakunya sebarang kesulitan,” katanya.Dalam perkembangan lain, katanya, Maidam akan mula mengagihkan bantuan zakat sempena Ramadan kepada asnaf yang layak di seluruh negeri bermula 20 Mei ini.“Tahun ini Maidam memperuntukkan sebanyak RM12,825,600 di bawah sinf faqir/miskin melibatkan seramai 26,435 bilangan ketua isi rumah.“Manakala bagi sinf mualaf, Maidam memperuntukkan sebanyak RM550,000 dan diagihkan kepada 1,100 ketua isi rumah,” katanya.Dalam pada itu katanya, Maidam telah memungut sebanyak RM6,154,278.60 yang menyumbang kepada 4.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pungutan zakat bagi negeri Terengganu yang berjumlah RM137,949,523.03 pada tahun lalu.
14 May 18
145
Kerajaan Negeri Tidak Mahu Dibayangi Sejarah 1999
Prof. Dr. Ahmad Samsuri memulakan tugas hari pertama sebagai Menteri Besar Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku IsmailKerajaan negeri akan memfokuskan kepada usaha memperkukuh pentadbiran negeri dan melangkah ke hadapan untuk kepentingan rakyat tanpa dibayangi sejarah politik yang berlaku pada tahun 1999.Menteri Besar, Prof.Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pentadbiran negeri tidak mahu membandingkan era pemerintahan pada tahun 1999 sehingga 2003 dengan masa kini berikutan suasana politik yang berbeza mengikut perubahan waktu. “Saya tidak mahu banding senario politik dan pentadbiran pada tahun 1999 dengan sekarang kerana kita berada di era yang berbeza. Semuanya berbeza dari segi cabaran, media sosial, internet, kita berada dalam berlainan era.“Kita mesti berubah untuk membaiki diri dan mesti melangkah ke hadapan bermula sekarang untuk kearah yang lebih baik,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memulakan tugas hari pertama sebagai Menteri Besar Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, jam 8.55 pagi ini.Sebelum itu, dalam ucapan ringkas beliau, Dr Samsuri berkata, prinsip dan dasaranya ialah menjadikan al-Quran dan panduan Nabi Muhammad SAW, ilmu, akhlak dan inovasi sebagai asas membina pelan induk negeri ke arah yang cemerlang serta menjadi contoh negeri yang `maju, berkat dan sejahtera’.Beliau berkata, dalam bahasa yang paling ringkas dan mudah, pentadbiran negeri mempunyai sasaran untuk menjadikan Negeri Terengganu yang dicintai ini sebagai Terengganu Koridor Pelancongan Islam Antarabangsa, Hab Pendidikan Islam Antarabangsa dan Hab Industri Produk dan Makanan Laut Serantau.“Hab Industri Batik Dunia, Hab Industri Pembangunan dan Pembaikpulih Kapal Negara, Hab Pembangunan Sumber Manusia bagi Industri Minyak dan gas, Hab Industri Galian Negara, Hab Industri Pembekalan Air, Pembangunan Bersepadu dengan Jaringan LPT2, ECER, ECRL dan lain-lainnya serta pemerkasaan pertanian dan asas tani menerusi Rantaian Nilai Lengkap (Complete Value Chains),” ujarnya.
13 May 18
74