Artikel "Semasa" Terkini
Pantau Projek Elak Terbengkalai
Ahmad Samsuri bermesra dengan kanak-kanak Orang Kurang Upaya. Foto Harish Fadzillah KassimKerajaan negeri akan memantau secara serius semua projek pembangunan yang dilaksanakan di kawasan Kuala Nerus bagi mengelak terbengkalai.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemantauan lebih kerap itu dibuat memandangkan ada beberapa projek yang lewat siap daripada tarikh sepatutnya.Katanya, hari ini dia diberi taklimat mengenai projek pembangunan di Kuala Nerus dan dimaklumkan terdapat beberapa projek mengalami kelewatan, termasuk projek tebatan banjir.“Perkara itu perlu dipandang serius kerana berkait dengan masalah penduduk setempat di mana di antara mereka terutama yang tinggal berhampiran pantai dibelenggu kehilangan rumah,”katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Daerah Kuala Nerus di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.Hadir sama, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato’ Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, ADUN Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim dan ketua-ketua jabatan lain.Ahmad Samsuri turut memberitahu, seboleh-bolehnya setiap projek yang bakal dilaksanakan kerajaan kelak akan mengambil kira pandangan rakyat bagi mengelak rasa tidak puas hati.“Perkara itu sememangnya menjadi dasar kerajaan, apa yang disuarakan rakyat akan dibincangkan dalam mesyuarat.“Bagaimanapun ada juga projek yang perlu dilaksana tanpa pandangan mereka, sebaliknya memerlukan khidmat beberapa pakar dalam bidang berkaitan,”katanya.
26 Jun 18
43
Kerajaan Negeri Bantu Mangsa Digilis Lori
Ariffin melihat keadaan Naufal di hospital.Kerajaan negeri akan berusaha membantu kanak-kanak berusia lapan tahun, Mohammad Naufal Yazid Mohd Salleh yang cedera parah dan kudung kaki akibat digilis lori pasir di Kampung Banggol Cempedak, Marang, baru-baru ini.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Ariffin Deraman ketika mengunjungi mangsa turut terkesan dengan nasib yang menimpa kanak-kanak itu dan berharap keluarga mangsa tabah dengan ujian kepada keluarga mereka ketika umat Islam sedang meraikan Aidilfitri."Kita sedih dengan kejadian yang berlaku. Namun, ini adalah ujian buat keluarga ini dan diharap mereka kuat menghadapinya, katanya ketika melawat mangsa di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, semalam.Dalam kejadian pada 20 Jun (6 Syawal) lalu, menyebabkan adik Naufal putus kaki kanan dan hancur tangan kirinya.Mangsa dikatakan sedang mengayuh basikal dari Kampung Baharu Serada ke Banggol Cempedak secara tiba-tiba berpatah balik menyebabkan sebuah lori pasir yang bergerak di belakangnya tidak sempat mengelak.Dalam pada itu, penduduk Kampung Baharu Serada turut bekerjasama bagi meringankan bebanan yang sedang ditanggung keluarga mangsa dengan melaksanakan kutipan derma kilat.
26 Jun 18
28
Jambatan Angkat Beroperasi Dalam Tempoh Setahun Dari Sekarang
Menteri Besar bergambar dengan pegawai dan kakitangan Bahagian Arkitek Jabatan Kerja Raya yang memenangi gerai tercantik dalam pertandingan antara agensi sempena Majlis Hari Raya Wisma Negeri. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail Mercu tanda negeri, jambatan angkat (drawbridge) yang menghubungkan muara selatan di pusat Bandar Raya Kuala Terengganu dengan muara utara di Seberang Takir dijangka siap dan dibuka untuk kegunaan umum dalam tempoh setahun dari sekarang. Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembinaan jambatan ikonik pertama di Asia Tenggara yang dibangunkan oleh kerajaan terdahulu menerusi Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECER) itu diteruskan seperti biasa.“Jambatan angkat masih dalam pembinaan dan ada beberapa isu berbangkit mengenai projek itu kerana sedikit sebanyak mengganggu pergerakan kapal yang terpaksa mengambil penumpang pekerja di pelantar minyak. Bagaimanapun, ia sudahpun dibincang dan pada masa ini ia berjaya diselesaikan.“InsyaAllah dalam tempoh setahun menara jambatan angkat akan dapat disiapkan sebelum beroperasi,”katanya.Beliau berkata demikian kepada media selepas mengunjungi Majlis Hari Raya Aidilfitri di Wisma Negeri, Kuala Terengganu, hari ini. Turut hadir, isteri beliau, Tuan Faezah Tuan Ab. Rahman. Hadir sama, ketua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan di wisma berkenaan. Projek sepanjang 638 meter mampu menyuraikan aliran trafik di Jambatan Sultan Mahmud, selain menjadi mercu tanda ikonik yang dapat menarik minat lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke Terengganu.Sementara itu, ketika mengulas mengenai cadangan pembinaan Universiti al-Quran oleh kerajaan negeri sebelum ini, beliau memberitahu kerajaan negeri juga akan meneliti semula perkara itu sebelum sebarang keputusan diambil dengan mengambil kira pelbagai faktor.Terengganu sebelum ini menawarkan tapak bagi penubuhan sebuah Universiti al-Quran sebagaimana terkandung di dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) yang diumumkan (mantan) Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.Difahamkan Kerajaan BN ketika itu telah membeli Kolej Islam Sains Teknologi (KIST) di Kuala Berang, Hulu Terengganu melibatkan kos RM30 juta untuk dijadikan kampus tetap universiti berkenaan.Tambah beliau lagi, dalam tempoh baru sebulan setengah kerajaan pimpinan PAS mengambil alih pentadbiran negeri, banyak perkara termasuk projek pembangunan yang perlu dikaji semula sebelum diteruskan dengan mengambil kira beberapa syarat iaitu tidak membebankan kewangan kerajaan, memberi kesan yang baik kepada masyarakat sekitar serta menguntungkan kerajaan negeri terutama dalam sektor pelancongan dan ekonomi. Menteri Besar turut mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa kepimpinan kerajaan masa kini akan kekal memberi komitmen dan meneruskan semua projek yang dibangunkan oleh kerajaan terdahulu, sekiranya ia mampu memberi manfaat kepada rakyat.“Bagaimanapun, yang mana (projek) tidak beri limpahan ekonomi kepada rakyat, ianya akan ditambah baik semula supaya dapat memberi kesan secara langsung terutama kepada kemajuan ekonomi setempat.“Bukan sahaja Zoo Kemaman yang sempat saya kunjungi beberapa hari lepas akan diperbaiki dan ditambah baik aktivitinya supaya memberi manfaat kepada ekonomi penduduk sekitar, malah ini juga kita tekankan kepada semua projek lain,"katanya.
26 Jun 18
47
Pemberian Air Percuma Sasar Golongan Berpendapatan Rendah
Mohd Nor Kerajaan negeri tidak memberi jaminan untuk memberikan air 20 meter padu (m3) setiap bulan secara percuma kepada semua golongan, tetapi mensasarkan hanya golongan miskin dan berpendapatan rendah sebagai satu penyelesaian untuk meringankan beban kos sara hidup golongan itu.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata perkara ini telah diputuskan melalui kajian pihaknya yang terperinci dalam membuat manifesto dan tidak mahu memberikan satu janji yang sangat besar, dianggap melampau dalam berjanji yang akhirnya membebankan kewangan negeri, dan rakyat turut merasa tertipu.Jelasnya, kerajaan yang baharu, sebelum ini telah menawarkan dalam manifesto PRU 14 kepada rakyat Terengganu untuk memberi 20 m3 air percuma kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah sahaja. Ini jelas tertulis dalam tawaran yang kelapan dalam manifesto yang memfokuskan kepada golongan miskin, berpendapatan rendah dalam negeri.“PAS dalam manifestonya juga tidak pernah berjanji untuk melaksanakannya segera atau dalam tempoh 100 hari pemerintahan atau waktu-waktu tertentu tetapi dilakukan secara berperingkat. Walaupun demikian, kerajaan negeri agak cepat bertindak untuk melaksanakan segera tawaran ini dalam tempoh 30 hari supaya rakyat berpendapatan rendah dan miskin dapat mengecapi janji ini.“Pihak kami meletakkan asas dalam pembangunan ekonomi rakyat dan kebajikan hidup mereka berteraskan Islam. Ekonomi Islam meletakkan keutamaan dalam sumbangan kebajikan dan bantuan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah. Ekonomi Islam meletakkan asas kawalan agar jangan kekayaan itu berlegar antara golongan kaya dan mewah sahaja,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.Tambahnya lagi, pada peringkat permulaan, tawaran ini akan dikecapi oleh golongan miskin yang disenaraikan dalam e-Kasih sahaja dahulu. Sebagaimana yang Kerajaan Negeri Terengganu tekankan sebelum ini, apa-apa sistem tinggalan kerajaan terdahulu yang difikirkan baik, akan diguna pakai sebagai rujukan, sebelum sebarang perubahan dilakukan. “Kerajaan negeri sedang merancang untuk mengkaji semula senarai e-Kasih, di samping itu sedang membina mekanisma baru untuk mengenalpasti golongan miskin dan berpendapatan rendah yang tiada dalam senarai e-Kasih bagi sama-sama menikmati kemudahan ini,”kata Mohd Nor.Beliau turut berkata perkara ini boleh dilihat ketika pemerintahan Kerajaan BN Terengganu penggal lalu, yang telah merealisasi air percuma kepada rakyat yang menggunakan kurang daripada 21 m3 sahaja di penghujung kepimpinan Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman.“Sesiapa yang menggunakan air lebih daripada 20 m3, dia mesti membayar sepenuhnya. Contohnya penggunaan 19 m3 adalah percuma, tetapi apabila digunakan 22 m3, anda mesti membayar sepenuhnya harga 22 m3 itu. Cuba bayangkan, satu pasangan miskin yang mempunyai anak yang ramai, pasti tahap penggunaan airnya tinggi maka mereka terpaksa membayarnya penuh dengan sebab penggunaan melebihi daripada 20 m3.“ Bandingkan pula pasangan yang kaya hanya tinggal berdua atau memiliki keluarga kecil yang tahap penggunaan airnya sedikit, maka dia tidak perlu membayar dengan sebab penggunaan air kurang daripada 20 m3. Mekanisma ini jelas hanya memberi peluang golongan kaya seperti contoh di atas untuk mendapat kelebihan daripada tawaran ini, tidak kepada keluarga miskin yang besar. Adil atau tidak mekanisma,”ujarnya.Mohd Nor juga meminta supaya rakyat Terengganu bersabar untuk melihat kejayaan perlaksanaan tawaran ini agar dapat dirasai oleh golongan yang benar-benar layak untuk meringankan beban hidup keluarga di samping menyeru agar segala maklumat berkenaan perkara melibatkan dasar kerajaan negeri, rakyat mendapatkannya melalui saluran rasmi, dan bukannya khabar-khabar angin di alam maya yang mungkin dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
25 Jun 18
90
Keputusan Teruskan ECRL Tindakan Wajar - MB
Ahmad Samsuri menaiki bot meninjau kawasan Setiu Wetland. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sekiranya terma-terma dalam kontrak perjanjian itu boleh dirunding semula adalah satu tindakan wajar.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat termasuk melibatkan perkara tersebut.“Kita sedar ada masalah-masalah tertentu dalam projek ECRL ini yang menjadi punca kebimbangan bukan sahaja kepada rakyat tetapi kepada kerajaan sama ada kerajaan negeri mahupun Pusat.“Kepentingan projek tidak boleh dinafikan, tetapi apa yang penting sekarang ialah sekiranya ada kebimbangan yang wujud kita perlu berunding balik untuk meneliti dan mengkajinya dari pelbagai aspek.“Termasuk dari segi kos, terma perjanjian, pelaksanaan projek serta kesan kepada masyakarat dan sebagainya kerana ini yang perlu kita perbetulkan bukan dengan membatalkan terus sesuatu projek,”ujarnya kepada pemberita selepas meninjau kawasan Setiu Wetland dalam lawatan kerja sehari ke Setiu, semalam.Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberitahu sebuah portal berita bahawa Kerajaan Pakatan Harapan akan meneruskan ECRL selepas perbincangan semula kosnya dan sejumlah RM20 bilion juga sudah dibayar.Katanya, beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat berikutan membuat pertimbangan yang sewajarnya berhubung perkara itu dan menjawab persoalan yang membelenggu rakyat negeri ini.“Bagaimana kita hendak mengatasi masalah terma-terma dan sebagainya itu kita akan hadapi bersama antara kerajaan negeri dengan Pusat dan juga kontraktor dari negara China,” ujarnya.
25 Jun 18
47
Kerjasama Kerajaan Dan Rakyat Penting Bina Terengganu Lebih Baik
Ahmad Samsuri menceduk kuah laksa kepada tetamu di Majlis Sambutan Hari Raya Perdana Peringkat Daerah Setiu di Dewan Majlis Daerah Setiu. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku IsmailSeluruh rakyat negeri ini diharap memberi kerjasama utuh kepada kerajaan negeri agar usaha membina Terengganu yang lebih baik tercapai.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerjasama yang baik dan erat antara kepimpinan pentadbiran kerajaan dan rakyat negeri ini sangat penting dalam merealisasikan pembangunan dan kemajuan negeri.“Apa yang lepas, biar lepas. Sekarang ini, kita hendak bergerak ke hadapan. Kelemahan yang lepas kita cuba baiki termasuk sebagai kerajaan baharu, kita akan membaik pulih dan meningkatkan kesejahteraan penduduk kepada suatu tahap yang lebih cemerlang.“Terengganu dikurniakan oleh Allah S.W.T sumber hasil bumi yang banyak dan sekiranya ianya dapat dimanfaatkan melalui kerjasama kerajaan dan rakyat , InsyaAllah kita mampu menjadi sebuah negeri yang lebih baik daripada yang ada sekarang ini,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Raya Perdana Peringkat Daerah Setiu di Dewan Majlis Daerah Setiu, semalam.Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya serta Pegawai Daerah Setiu Rosdi Awang.Di majlis itu, Ahmad Samsuri turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Petronas secara khususnya yang telah mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu program kemasyarakatan bukan sahaja di daerah Setiu bahkan di seluruh negeri ini.Terdahulu, beliau turut menghadiri taklimat khas berkaitan projek-projek pembangunan dan permasalahan yang ada di Setiu menerusi penerangan yang diketuai oleh Rosli dan juga ketua-ketua jabatan daerah itu di Pejabat Daerah Setiu.
25 Jun 18
48
Kembalikan Tanah Rumah Mayat Tionghua Di Jalan Jakar, Kemaman
Ahmad Samsuri berswafoto dengan seorang pengunjung Tionghua di majlis hari raya. Foto oleh Aliffah Hanisfarhana SuhaidiKerajaan Negeri bersetuju untuk mengembalikan semula tanah rumah mayat kepada Tionghua di Jalan Jakar, Kemaman.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebelum ini tanah rumah mayat itu dibenar penggunaanya pada 1999 namun setelah PAS kalah pada 2004 tanah tersebut diambil alih oleh pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN).“Jadi kita ingin kembalikan tanah rumah mayat yang kita usahakan 20 tahun dulu untuk mereka kerana itu adalah hak mereka kerana mereka juga membayar cukai dalam negeri mahupun negara kita,"katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan hari raya bersama Kaum Tionghua Parlimen Kemaman, di Chukai, Kemaman, malam tadi.Turut hadir Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat, ADUN Air Putih, Ab Razak Ibrahim dan ADUN Kemasik, Saiful Azmi Suhaili.Ahmad Samsuri berkata, apabila terdapat kematian kaum Tionghua akan ada satu rumah transit sebelum mayat berkenaan diproses.“Mengikut orang Islam apabila ada kematian dalam satu atau dua jam jenazah akan diselesaikan (pengebumian) segera. Bagaimanapun, kaum Cina pula akan simpan mayat dalam tiga hari atau seminggu dan mereka perlu tempat untuk simpan mayat tersebut.“Tanah rumah mayat yang ada sekarang ini adalah tidak mencukupi dan hanya boleh memuatkan satu mayat sahaja, jikalau berlaku dua kematian itu agak menyukarkan untuk melakukan proses pengebumian,” katanya.Tambahnya, pihak kerajaan akan berbincang bersama pegawai daerah mekanisma terbaik bagi menyelesaikan masalah itu di Kemaman.Sementara itu, kerajaan negeri turut meluluskan pembinaan pintu gerbang di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kemaman yang akan menjadi lambang kewujudan dan peranan kepada kaum Cina di Kemaman.Mengulas mengenai pintu gerbang tersebut, ADUN Chukai, Hanafiah Mat berkata, kemudahan itu akan direka bentuk sama seperti mana pintu gerbang di kawasan perkampungan masyarakat Tionghua di Kuala Terengganu jika kewangan bagi membinanya mencukupi.
25 Jun 18
95
Gangguan Bekalan Air Tidak Berjadual Di Daerah Marang
Pekerja dilihat sedang melakukan pembaikan paip pecah.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong melalui laman Facebooknya sebentar tadi memaklumkan terdapat gangguan bekalan air daripada Suruhanjaya Air Terengganu (SATU) di kawasan Kampung Lubuk Pandan, Kampung Sungai Serai dan kawasan sekitarnya sejak pagi ini.Gangguan bekalan tersebut berpunca daripada paip pecah di Kampung Bukit Lubuk Pandan yang menyalurkan air dari sumber tangki Bukit Belat.Beliau menyatakan sebanyak 300 akaun pelanggan terlibat dan bekalan air telah ditutup.Dijangkakan, proses pembaikan yang dilaksanakan ABS Warisan akan selesai sekitar jam 2.00 petang nanti.
24 Jun 18
46
JHEAT Jadi Tonggak Jayakan Terengganu Maju, Berkat Dan Sejahtera
Mohd Nor menyampaikan cenderahati sempena persaraan pegawai dan kakitangan JHEAT. Foto oleh Abu Ubaidah Mohd NoorKerajaan negeri meletak harapan tinggi kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) supaya menjadi agensi utama yang mampu menjayakan tema `Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera'.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, agama menjadi asas untuk membina kemajuan dan ianya datang dari kesedaran masyarakat itu sendiri.Jelasnya, apabila minda dan hati manusia menjadi miskin, ini akan menyebabkan mereka tidak mampu bekerja dan bersikap proaktif. Oleh yang demikian, pejabat agama memainkan peranan untuk mengkayakan hati dan minda mereka supaya bersikap positif untuk memajukan negeri, kehidupan mereka dan keluarga."Keduanya melalui agama, sudah tentu memberi garis panduan kepada masyarakat untuk mendapat berkat dalam kerja yang dilakukan termasuk negeri ini akan mendapat berkat dari Allah yang sudah tentunya diatur dengan agama.. datang melalui penyusunan dari pejabat agama."Akhirnya sejahtera yang paling asas iaitu kesejahteraan hati yang perlu diwujudkan oleh pejabat agama dengan ilmu, dakwah, pendidikan, kerohanian dan sebagainya oleh agensi ini melalui agenda mereka bagi mengimarahkan seluruh ruang-ruang bagi memberi kefahaman kepada masyarakat dengan agama dan beramal agar tema negeri terlaksana dengan baik," katanya.Beliau berkata demikian kepada Teganukita di Majlis Meraikan Persaraan Pegawai dan Kakitangan JHEAT bagi tahun 2018 di Dewan Auditorium, Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu,hari ini.Turut hadir Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Wan Ismail Sahaimi Wan Omar.Seramai 32 pegawai dan kakitangan JHEAT pelbagai peringkat diraikan sempena persaraan dan pertukaran pada tahun ini.Sementara itu, Wan Ismail berkata majlis yang diadakan itu merupakan tanda penghargaan dan penghormatan sebagai mengenang bakti yang dicurahkan sepanjang bergelar penjawat awam."Walaupun saya merasakan penghargaan yang diberikan pada hari ini tidak setimpal jika dibandingkan dengan jasa sepanjang mereka berkhidmat namun sedikit sebanyak jasa mereka tetap dikenang dengan penganjuran majlis serta pemberian cenderahati dalam penganjuran majlis kali ini," katanya.
24 Jun 18
347
Rujuk Pakar Atasi Hakisan Pantai Geliga, Kuala Kemaman
Kerajaan negeri akan mendapatkan khidmat pakar kejuruteraan pantai dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam masa terdekat susulan ancaman hakisan yang berlarutan di Pantai Geliga, Kuala Kemaman.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pada masa sama akan merujuk penyelidik dari mana-mana universiti bagi mencari alternatif, sumbangan idea dan kepakaran yang boleh membantu mengatasi pemasalahan itu tanpa menanggung kos yang terlalu tinggi.Katanya, kerjasama dengan Kerajaan Pusat juga diharapkan dapat berterusan bagi membina benteng pemecah ombak sepanjang 2.5 kilometer yang membabitkan kos RM30 hingga RM40 juta.“Kerajaan akan berusaha mengatasinya secepat mungkin kerana menyedari penting untuk keperluan nelayan keluar dan masuk mencari rezeki, pelancong dan masyarakat setempat,”katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan tinjauan Taman Rekreasi dan Zoo Mini Bukit Takal, Kemaman, semalam.Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman YahyaAhmad Samsuri turut memberitahu perkhidmatan Kemaman Shuttle akan disambung semula dengan beberapa penambahbaikan."Kita akan tengok dan perincikan kembali sama ada dari segi kekerapan serta jalan mana yang akan dilalui dan semua itu akan dilihat kembali mengikut keperluan yang diperlukan rakyat,"katanya.
24 Jun 18
498