lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Empty Image
Sidang DUN : Pesakit Wad Kelas Tiga Bakal Nikmati Rawatan Perubatan Percuma
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak memberi jaminan pesakit wad kelas tiga di seluruh hospital kerajaan negeri ini akan menikmati rawatan perubatan secara percuma tidak lama lagi.Katanya, ketika ini semua draf dan dokumen akhir telah siap dan cuma menunggu untuk dibentangkan dalam mesyuarat Exco bagi mendapat kelulusan."Kita telah berbincang dengan pihak hospital dan jawatankuasa untuk perlaksanaan perkara ini kerana kerajaan tidak akan mengabaikan tanggungjawab khususnya kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah."Janji kita adalah untuk memberi rawatan percuma kepada semua pesakit yang dimasukkan ke wad kelas tiga seluruh hospital di negeri Terengganu tanpa mengira latar belakang ekonomi dan taraf hidup," ujarnya ketika menggulung titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di Wisma Darul Iman, hari ini.Katanya, bagi menjelaskan caj yang dikenakan ke atas pesakit, kerajaan negeri berkemungkinan akan menggunakan Tabung Darul Iman yang akan diperluaskan fungsinya.Dalam perkembangan lain, Alias berkata kerajaan negeri akan mengagihkan kad sejahtera seperti yang dijanjikan dalam manisfesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 selewat-lewatnya hujung tahun ini. “Kad sejahtera adalah untuk rakyat yang berpendapatan rendah di negeri ini. Sekarang ini, kira-kira 6,000 penerima yang berada di dalam rekod e-kasih dan Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) layak untuk memiliki kad ini. “Namun ini bukanlah jumlah yang muktamad kerana kita akan minta pegawai kita kenal pasti lebih ramai rakyat yang layak bagi memastikan mereka mendapat kemudahan tersebut,” katanya.Kad bernilai RM500 itu akan diberikan kepada golongan berpendapatan rendah bagi membolehkan mereka membayar kos rawatan segera di klinik-klinik berdekatan jika mengalami masalah kesihatan.
04 Jul 18
34
Empty Image
Sidang DUN : Husain Dipilih Sebagai Senator
HusainPesuruhjaya PAS Terengganu,  Dato’ Husain Awang , 72, dipilih sebagai Ahli Dewan Negara menggantikan kekosongan kuota senator dari Terengganu.Nama beliau dicadangkan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada persidangan DUN petang ini, kemudian disokong ADUN Buloh Gading, Ridzuan Hashim."Saya mencadangkan Dato’ Husain Awang dipilih sebagai Ahli Dewan Negara untuk mewakili DUN Terengganu di Dewan Negara," katanya.Husain dari Besut yang mempunyai 10 cahayamata sebelum ini pernah dilantik sebagai Yang Dipertua DUN Terengganu dari 1999 hingga 2014 selepas PAS berjaya menawan Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-10.Beliau yang juga bekas pensyarah di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (kini UniSZA) merupakan Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu dan Pengerusi Lajnah Tarbiah Dewan Ulamak PAS Pusat.
04 Jul 18
137
Empty Image
Sidang DUN : Kerajaan Kaji Semula Bayaran Atas Pengeluaran Sumber Galian
Kerajaan negeri masih dalam proses mengkaji semula bayaran yang dikenakan ke atas pengeluaran pelbagai sumber galian di Terengganu sebagai langkah untuk menambah hasil negeri dan mengurangkan pergantungan kepada sumber petroleum.Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar ketika sesi penggulungan Sidang DUN hari ini berkata, pihaknya mengkaji semula bayaran supaya kadarnya kadar lebih munasabah dan tidak terlalu rendah.Katanya, perkara itu jelas dapat dilihat pada ‘fee’ bagi pengeluaran silika yang kadarnya dikatakan sangat tidak berpatutan iaitu cuma RM1.50 bagi setiap tan atau RM1,500 bagi 1,000 tan.“Terengganu ada banyak bahan galian yang sepatutnya memberikan hasil yang juga banyak namun apa yang diterima tidak seberapa dan kita tubuhkan jawatankuasa bagi menjalankan kajian itu dengan memberi  tumpuan bagi menyemak semula peraturan dan enakmen berkaitan dengan bayaran yang dikenakan dalam pelbagai urusan perkhidmatan.“Ini termasuklah urusan transaksi tanah iaitu bagi daftar pindah milik yang cuma RM40 walaupun harga tanah RM1 juta. Cuma `duty stamp’ yang banyak tetapi hasil itu pergi kepada Pusat,”ujarnya ketika menjawab soalan lisan Bazlan Abdul Rahman (BN-Batu Rakit).Bazlan mengusulkan soalan mengenai langkah yang dipertimbangkan oleh kerajaan negeri yang baharu dibentuk itu untuk menambah hasil negeri melalui pelbagai sumber.Menurut Tengku Hassan lagi, pihaknya juga sedang meneliti kadar caj yang boleh dikenakan terhadap agensi pembangunan Pusat seperti Felda dan Felcra berhubung pengggunaan sumber bekalan air negeri dalam sektor perladangan.“Kita berharap bahawa kerajaan negeri tidak akan mempunyai masalah untuk berdepan dengan kemerosotan sumber hasil dan kekangan kewangan dalam urus tadbir kerajaan negeri pada tahun ini kerana Kerajaan Pusat berjanji untuk mengembalikan royalti,” ujarnya.
04 Jul 18
39
Empty Image
Sidang DUN : Ucapan Penggulungan YAB Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri
Menteri Besar ketika sesi penggulungan Sidand DUN. Foto oleh Tengku Syamim Tengku IsmailAssalamualaikum WBTYang Berhormat Yang Dipertua Dewan,Ahli-ahli Yang Berhormat1. Alhamdulillah bersyukur kita panjatkan kepada Allah S.W.T kerana memberikan kesempatan kepada kita untuk berada dalam dewan yang mulia ini. Bagi melunaskan tanggungjawab membawa suara dan hasrat rakyat yang telah memilih kita dalam PRU14 lalu.2. Izinkan saya untuk mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat, khususnya pandangan yang bernas dan membina samaada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang. Begitu juga kepada ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian dalam perbahasan Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.MENJANA HASIL NEGERIYang Berhormat Tuan Yang Dipertua3.  Berkenaan soalan yang menyentuh isu penjanaan hasil negeri selain daripada kebergantungan dengan royalti minyak yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tepuh dan Bandar, telah dijawab oleh ADUN Ladang.4. Sebagai tambahan Jawatankuasa Hasil Negeri yang ditubuhkan ini juga boleh mengkaji mekanisma yang telah digunapakai di negeri-negeri lain untuk dilaksanakan di negeri ini mengikut kesesuaian, ke arah meningkatkan hasil negeri di samping melaksanakan dasar berbelanja secara berhemat.TANAH KELULUSAN KERAJAAN NEGERI Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua5. Saya juga ingin menggunakan kesempatan ini untuk menjawab soalan yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat Manir berkenaan kelulusan tanah-tanah untuk dimiliki pada Januari 2014 sehingga Disember 2017, terdapat 8 kategori penerima yang telah menerima kelulusan tanah seluruh negeri Terengganu dalam tempoh tersebut.6. Sebanyak 2,622 kelulusan telah diberikan kepada individu, 168 kelulusan kepada Agensi Kerajaan Negeri, 98 kelulusan kepada Agensi Kerajaan Persekutuan, 53 kelulusan kepada syarikat-syarikat, 35 kelulusan tanah kepada Pertubuhan (UMNO). Manakala koperasi mendapat 5 kelulusan, Persatuan mendapat 12 kelulusan dan 3 kelulusan tanah telah diberikan kepada IPTA.* Mana-mana pertubuhan atau orang yang tersenarai dalam Jadual kedua seksyen 9 (iii)(av) Enakmen Rizab Melayu no 17/13607. Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat juga, kerajaan negeri pada pentadbiran kali ini telah meletakkan manifesto untuk mengembalikan semula tanah-tanah yang dirampas BN selepas pemerintahan PAS 2004 dan membuka permohonan tanah baru dengan pemberian geran/hak milik yang sah.MAJLIS PETROLEUM TERENGGANU (TPC)Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua8. Menyentuh berkenaan TPC, dengan izin, Terengganu Petroleum Council atau Majlis Petroleum Terengganu sebagaimana yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tepuh dan Kemasik, berkait usaha dan hasil yang dilakukan oleh TPC sepanjang penubuhannya.9. Sebagai makluman ahli-ahli Yang Berhormat, TPC telah mengenalpasti beberapa projek yang melibatkan kerja-kerja dan operasi di perairan Negeri Terengganu yang mampu dilaksanakan oleh syarikat Negeri Terengganu dengan anggaran projek bernilai sekitar RM5 billion.10. Melalui rundingan ini juga, sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri telah dianugerahkan projek oleh Petronas sekitar harga RM30 juta. Ianya sebagai permulaan untuk kerja-kerja berkaitan yang lebih besar nilainya.11. TPC juga sedang berbincang dengan Petronas tentang minat Kerajaan Negeri untuk menerokai bidang Penerokaan dan Pengeluaran dengan keutamaan diberi kepada, dengan izin, Brown Field atau Marginal Field.(Brown Field oil atau gas field yang sudah matang dan mungkin ada tanda tanda pengurangan pengeluaran)(Marginal Field oil atau gas field yang berkemungkinan menghasilkan production yang sedikit (perlaburan berisiko tinggi)12. Manakala, berkenaan Telaga Minyak Bertam, Jawatankuasa Bersama Teknikal (JBT) yang akan dipengerusikan bersama oleh Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang dan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu akan bersidang bagi mendapatkan persetujuan bersama berkaitan perkara berikut ;1. Mengkaji Titik Akhir Sempadan Darat  Negeri Terengganu dan Negeri Pahang ;2. Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Negeri Pahang boleh memulakan rundingan sempadan maritim antara kedua-dua Negeri ;dan3. Menjalankan kerja-kerja penandaan dan pengukuran baki sempadan darat Negeri Terengganu  dan Pahang ke Titik Akhir Sempadan Darat.13. Setelah persetujuan bersama Negeri dicapai bagi penentuan sempadan darat dan sempadan maritim dicapai, pihak Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan bersama pihak Kerajaan Persekutuan dan Petronas berkaitan tuntutan royalti minyak Telaga Bertam.14. Berkaitan dengan royalti petroleum pula, sebagaimana yang semua maklum, kita berpegang kepada komitmen yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri yang secara prinsipnya royalti petroleum akan diberikan secara terus kepada kerajaan negeri tanpa melalui jabatan atau agensi yang lain.INDUSTRI SILIKA DI NEGERI TERENGGANUYang Berhormat Tuan Yang Dipertua15. Sekali lagi, saya ingin menarik perhatian ahli ahli Yang Berhormat sekalian berkenaan usaha kerajaan terhadap mineral/silika yang ada di negeri Terengganu.16. Kerajaan Negeri telah mengenalpasti dan menyedari bahawa bahan mineral/silika berpotensi besar sebagai penggerak ekonomi Negeri Terengganu dan penjanaan pendapatan Kerajaan Negeri. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri akan mengkaji semula Enakmen Mineral Negeri Terengganu khususnya mencapai matlamat-matlamat seperti :-1. Menggalakkan pembangunan industri mineral/silika bagi menjadikan Terengganu sebagai Hab Galian Negara. Kajian ini akan melibatkan perubahan-perubahan polisi dan prosedur untuk menggalakkan pelaburan swasta dan kerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu. Penekanan utama adalah memaksimakan guna tenaga kerja dari anak-anak negeri Terengganu sendiri.2. Mengukuhkan rantaian ekonomi industri mineral/silika dengan sektor-sektor lain dalam pembangunan ekonomi Negeri Terengganu. Ini termasuklah menggerakkan pemprosesan hiliran, dengan izin, (downstream) produk-produk akhir yang berasaskan mineral/silika di Terengganu.3. Meningkatkan pendapatan Kerajaan Negeri. Ini termasuklah perubahan kepada kadar bayaranlesen, pajakan dan royalti bahan mineral/silika kepada Kerajaan Negeri Terengganu.17. Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk membangunkan satu kawasan seluas 4,000 hektar di Jambu Bongkok, Marang yang dikenali dengan Lembah Silika Terengganu. Lembah Silika Terengganu adalah satu kawasan perindustrian bersepadu khusus untuk industri yang berasaskan Silika dan Kuartz. Kawasan perindustrian ini adalah tempat pemprosesan produk-produk akhir yang berasaskan silika dan kuartz.18. Lembah Silika Terengganu akan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan paip gas dari Kerteh, sebuah, bulk terminal dan conveyor belt, independent power plant, (dengan izin), kawasan perumahan, bangunan komersil dan kemudahan-kemudahan lain.19. Lembah Silika Terengganu akan berjaya menarik pelaburan langsung asing dari pemain-pemain utama di dalam industri ini kerana kelebihan kualiti bahan mentah (silika), penjimatan kos pengangkutan, eko sistem yang ditawarkan dan pakej insentif yang kompetitif oleh MIDA, dengan izin (Malaysia Investment Development Authority) atau lain lain agensi yang diwujudkan oleh kerajaan pusat.20. Secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri menjangkakan 7,600 peluang pekerjaaan baru dapat diwujudkan dengan nilai anggaran pelaburan sebanyak RM 13 billion melalui industri ini. Perkara ini sekaligus mempermudahkan usaha kerajaan menunaikan manifesto menyediakan 20 000 peluang pekerjaan dalam masa 4 tahun.21. Di samping itu, sektor Pembuatan, Minyak dan Gas akan terus diberi penekanan bqgi menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat, fokus utama adalah kepada anak negeri Terengganu. Kerajaan Negeri juga akan mempergiatkan peluang-peluang di dalam sektor pertanian, keusahawanan serta potensi industri lain termasuk di dalam bidang perkhidmatan, Information Technology (sebagai contoh: Online business dan Digital worker) dan Revolusi Industri 4.0POLITIK MATANG DAN SEJAHTERAYang Berhormat Tuan Yang Dipertua22. Bagi mendepani perjalanan sebagai kerajaan negeri, pada awal perlantikan saya sebagai Menteri Besar, kita telah memperkenalkan Politik Kasih Sayang sebagai budaya politik Terengganu. Politik yang dinatijahkan daripada pembudayaan Politik Matang dan Sejahtera.23. Ini merupakan satu anjakan paradigma. Memahamkan masyarakat supaya jangan takut melakukan perubahan, kita mahu bawa politik keharmonian kasih sayang, tidak timbul kebencian. Tiada pendekatan balas dendam, penuh kesederhanaan dan cakna kepada setiap permasalahan. Dalam masa yang sama semua jentera pentadbiran di semua peringkat, harus melaksanakan tugas dengan penuh amanah, tegas dengan prinsip dan integriti kerja.24. Sudah terlalu lama kita bermain politik, sehingga berlaku ketegangan, bergaduh antara keluarga, tidak bertegur sapa, nafsu amarah. Ini tidak membantu kearah keharmonian negeri, tanpa keharmonian timbullah masalah sosial yang lain. Kita harus berani melakukan perubahan dengan politik kasih sayang.25. Dengan politik baru ini juga peralihan kuasa yang berlaku di negeri Terengganu berlangsung dengan tenang dan lancar tanpa sebarang masalah. Saya sangat menyanjung tinggi dan berterima kasih di atas kesediaan mantan Menteri Besar Terengganu Yang Berhormat Dato’ Seri Ahmad Razif Bin Abd Rahman, ADUN Seberang Takir di atas kesudian menghadiri majlis serah tugas baru-baru ini. Ini juga boleh menjadi contoh kepada mana-mana pihak diperingkat nasional.26. Saya mengharapkan budaya ini akan menjadi satu panduan politik kepada semua ahli-ahli Yang Berhormat, dalam memacu pembangunan Negeri Terengganu.27. Bahkan melalui budaya politik ini kita tidak mengamalkan politik tergopoh gapah dalam mengambil setiap keputusan. Bagi menjawab persoalan tentang projek-projek yang dirancang dan sedang dilaksanakan oleh pentadbiran dahulu kerajaan akan lakukan kajian terperinci sebelum memutuskan sesuatu keputusan terhadap projek-projek tersebut. Dengan mengambil kira situasi kewangan negeri dan manfaat kepada rakyat negeri Terengganu. Aspek perlaksanaan projek akan dipastikan berjalan dengan penuh efisen, berintegriti tanpa sebarang ketirisan yang boleh membebankan kerajaan negeri.HALA TUJU NEGERI TERENGGANUYang Berhormat Tuan Yang Dipertua28. Bagi membangunkan negeri Terengganu, kerajaan telah merangka satu pelan induk yang kita namakannya Pelan Induk Terengganu Sejahtera atau singkatannya PITAS 2030.29. PITAS 2030 ini merupakan model pembangunan yang dicadangkan oleh Parti Islam Semalaysia (PAS) yang merangkumi 3 dasar, 7 prinsip, 9 strategi, 5 bidang utama, 10 program induk, 6 sasaran dan 3 teras pelaksanaan.30. PITAS 2030 akan menjadi agenda pembangunan negeri Terengganu sesuai dengan tema Maju, Berkat,  Sejahtera. Pembangunan pelan ini akan mengambil beberapa fasa penting bermula dari sekarang sehingga ke tahun 2030.31. Kerajaan negeri sangat optimis, menerusi PITAS 2030, pembangunan insan dan penjanaan ekonomi dapat ditingkatkan sesuai dengan pendapatan dan kuasa beli rakyat.PENUTUP32. Akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Speaker, ahli-ahli Yang Berhormat yang berpartisipasi dalam perbahasan sepanjang sidang DUN ini dijalankan.Sekian, Terima kasih.
04 Jul 18
113
Empty Image
Sidang DUN: Peruntuk RM4.4 Juta Bina Kompleks Ibu Tunggal
Foto oleh Harish Fadzillah Abu KasimKompleks Ibu Tunggal di Chendering, Kuala Terengganu yang bernilai RM4.4 juta mula  beroperasi sejak  Disember lalu menjadi pusat aktiviti utama golongan berkenaan di Terengganu.Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kompleks yang dilengkapi sebuah bilik mesyuarat, tiga buah bilik aktiviti (spa, memasak, menjahit), sebuah pejabat pengurusan persatuan, surau, perpustakaan, gimnasium, cafe, enam buah kedai usahawan berserta lima buah kiosk.Beliau berkata, kompleks ini dibina untuk memperkasakan golongan ibu tunggal di Terengganu dengan memberi tumpuan kepada empat fokus iaitu bimbingan ekonomi dan kemahiran, bimbingan perundangan, bimbingan kekeluargaan dan bimbingan kesihatan dan kemasyarakatan."Selain itu, kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) turut mewujudkan Program Pinjaman Jaya Diri (PJD) bagi memberikan kemudahan dan bantuan secara langsung kepada ibu tunggal yang ingin menceburi bidang perniagaan. "Kebanyakan bidang yang diceburi adalah bidang kecantikan, pakaian dan perusahaan makanan dengan jumlah pinjaman sebanyak RM474,000 membabitkan 52 orang bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini," katanya.Beliau berkata demikian  ketika menjawab soalan tambahan Alias Harun (PAS-Rantau Abang) mengenai kos keseluruhan dan fokus utama pembangunan kompleks berkenaan serta jumlah peminjam dan kos yang diperuntukkan kerajaan negeri menerusi program PJD.Hanafiah turut memaklumkan bilangan ibu tunggal di Terengganu kini mencecah seramai 32,411 orang berdasarkan perangkaan hingga akhir bulan lalu.Katanya, Kemaman merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 5,279 orang ibu tunggal, diikuti 4,768 orang di Besut, Marang (4,305 orang), Dungun (4,182 orang) dan Kuala Terengganu (3,925 orang).“Kuala Nerus pula seramai 3,658 orang, Setiu (3,307 orang) dan Hulu Terengganu (2,987 orang)."Daripada jumlah itu seramai 28 orang ibu tunggal berumur di bawah 20 tahun manakala 2,010 orang (21 hingga 30 tahun), 4,783 orang (31 hingga 40 tahun), 6,506 orang (41 hingga 50 tahun), 9,556 orang (51 hingga 60 tahun) dan 9,528 orang di atas 61 tahun," katanya.
04 Jul 18
65
Empty Image
Takziah Ibu Bapa Adam Raykal - YAB MB
Dr. Ahmad SamsuriSeperti semua sedia maklum, berkenaan tragedi yang telah menimpa adik Adam Raykal yang ditemui di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves dan disorokkan di bahagian sejuk beku peti ais di rumah tersebut. Perkara ini amat mendukacitakan kita semua.Saya difahamkan ibu bapa kepada Adam Raykal merupakan anak negeri Terengganu dan saya dimaklumkan bahawa jenazah Adam Raykal akan dibawa pulang ke Terengganu selepas urusan bedah siasat dijalankan.Saya mengambil kesempatan ini mewakili Kerajaan Negeri Terengganu merakamkan ucapan takziah kepada Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi dan isterinya, Farah Madiha Othman atas kehilangan anak mereka. Diharapkan mereka dan keluarga bersabar atas ujian yang dihadapi kini.Saya juga mengharapkan siasatan menyeluruh dijalankan dan semoga kejadian seperti ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang.Terima kasihDr Ahmad Samsuri bin MokhtarMenteri Besar Terengganuhttps://www.instagram.com/p/BkzR744AuA0/?utm_source=ig_share_sheet&igshid=pqmftmi7mc0k
03 Jul 18
40
Empty Image
Haji Cilik Little Caliph 12 Julai Ini
Little Caliphs International Sdn. Bhd. (LCSISB) dengan kerjasama pengusaha The Little Caliph seluruh Malaysia menganjurkan Program Simulasi Haji bagi murid Tadika Little Caliph berusia enam tahun buat kali keempat sepanjang 2018, pada 12 Julai ini.Program dijalankan serentak seluruh negara dan dibahagikan mengikut lapan zon/negeri iaitu Zon Tengah (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya), Zon Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak), Zon Selatan (Melaka, Negeri Sembilan), Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.Di Terengganu, program dilaksanakan di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun.Ketua Pegawai Eksekutif LCSISB, Roslan Nordin berkata,  peserta didedahkan dengan keadaan sebenar sebelum dan semasa mengerjakan ibadah haji bagi memastikan mereka memahami konsep sebenar Rukun Islam ke lima  itu. Jelasnya, seramai 150 orang pengusaha daripada 350 buah tadika termasuk Sabah dan Sarawak bersedia bertungkus-lumus menyantuni anak-anak cilik untuk ‘Naik Haji’.“Semua peserta memakai ihram dan urusetia turut menyediakan replika Kaabah, kaunter imigresen, tempat wukuf, mengutip batu dan melontar jamrah, Bukit Safa dan Marwah serta kawasan bertahallul.“Jika sebelum ini kebanyakan kanak-kanak menghantar ahli keluarga mereka seperti datuk dan nenek ke Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, namun hakikatnya tidak ramai yang mengetahui konsep, motif dan cara sebenar mengerjakan haji," katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam.Menurut Roslan, objektif utama penganjuran Program Simulasi Little Hajj 2018 adalah bermotifkan gambaran praktikal yang jelas kepada murid-murid berumur enam tahun seiring dengan kaedah pembelajaran secara simulasi seiring dengan pendekatan Metodologi Project Based Learning secara hands-on The Little Caliphs Program.Sementara itu, penyertaan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya melibatkan 5,642 peserta,  manakala 587 orang guru-guru Tadika Little Caliph bertindak sebagai tenaga Mutawwif dan juga sukarela yang membantu melaksanakan program ini. Manakala jumlah peserta seluruh negara tahun ini mencatatkan jumlah 10,264 orang anak-anak cilik berusia enam tahun. Roslan turut menambah, program itu juga antara latihan praktikal yang amat berguna kepada kanak-kanak kerana mereka pastinya akan mengingati setiap latihan yang diajar dan pernah dilakukan. "Little Caliph sentiasa menyediakan ruang dan peluang yang luas untuk kanak-kanak yang aktif dan sering mahu meneroka dunia yang penuh warna-warni ini. Moga-moga tersemat dalam hati mereka dan menyimpan impian besar untuk ke Tanah Suci Mekah kelak,"ujarnya lagi.Untuk rekod, Little Caliph 2017 dilaksanakan secara serentak seluruh negara berjaya mencatatkan sejarah gemilang dengan merangkul gelaran Malaysia Book of Records sebagai penyertaan serentak terbesar oleh kanak-kanak untuk simulasi ibadah haji yang melibatkan 6,456 pelajar Tadika Little Caliph berumur enam tahun, 150 orang pengusaha dari 212 buah tadika.
03 Jul 18
1951
Empty Image
Sidang DUN: Pembinaan SM Imtiaz Marang Ditangguh
  Dr. Mamad   Pembinaan Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) di Kampung Tok Muchong, Wakaf Tapai, Marang yang membabitkan peruntukan RM60 juta terpaksa ditangguhkan berikutan kekangan kewangan.   Buat sementara waktu,  Sekolah Menengah Imtiaz Marang itu kini beroperasi di bangunan di Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Tapai melibatkan 113 pelajar Tingkatan Satu dan Dua seramai 113 orang.   Manakala asrama pelajar pula menggunakan kuarters kediaman guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Tapai.   Bilangan itu akan bertambah pada sesi persekolahan tahun hadapan dengan kemasukan 100 pelajar Tingkatan Satu.   Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, penempatan kekal SM Imtiaz Marang  yang dirancang kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu di Kampung Tok Muchong itu melibatkan kawasan seluas hampir 16 hektar.   “Bagaimanapun  buat masa sekarang pembinaan sekolah itu terpaksa ditangguh kerana kerajaan negeri mengalami masalah kewangan. Hanya akan diteruskan sebaik ekonomi Terengganu kembali stabil,” katanya.   Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Sulaiman Sulong (Pas-Pengkalan Berangan) dalam Sidang DUN Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.   Matlamat utama penubuhan SM Imtiaz Marang itu adalah kesinambungan untuk melahirkan generasi Ulul Albab yang bercirikan quranik, ensiklopedik dan ijtihadik bagi melahirkan modal insan berkualiti.   Dua program khas diperkenalkan di SM Imtiaz Marang ialah `Interactive Coaching for Learning and Academic Success Strategy (iClass)' dan `International General Certificate of Secondary Education (IGCSE)'.   Sebelum ini,  majlis perasmian dan pendaftaran SM Imtiaz Marang di Wakaf Tapai disempurnakan oleh mantan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang.     
03 Jul 18
526
Empty Image
Badan Korporat Perlu Contohi Petronas
Alias                                        Kerajaan negeri menggalakkan lebih banyak syarikat dan badan korporat  untuk menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing bagi membantu golongan yang memerlukan dan kurang bernasib baik di seluruh Terengganu.Ahli Parlimen Kemaman, Alias Abdul Hamid berkata, semua badan korporat di Terengganu wajar mencontohi usaha syarikat minyak negara seperti Petronas yang banyak melakukan aktiviti kemasyarakatan dan menghulurkan bantuan melalui pelbagai program yang dirancang bersama komuniti.Katanya, inisiatif melalui program `Sentuhan Kasih Petronas' menjadi antara platform terbaik bagi menyatupadukan dan membina kesejahteraan di kalangan rakyat."Kita lihat pada program ini ramai golongan yang kurang bernasib baik telah dibantu oleh pihak Petronas dan mereka sendiri telah menyumbang tenaga dengan turun bersama-sama membantu kumpulan sasar berkenaan," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Petronas di Kelab Golf dan Rekreasi Rantau Petronas, Kertih, Kemaman, kelmarin.Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasek, Ir Saiful Azmi Suhaili dan Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan M Hasnan Abdullah.Alias berkata, program seumpama itu perlu dilaksanakan setiap tahun, selain mengalu-alukan badan korporat yang lain untuk bergabung tenaga bagi merapatkan lagi ukhwah di antara syarikat dan penduduk setempat."Kecaknaan yang dilakukan oleh pihak Petronas amatlah disanjungi dan rakyat setempat merasai nikmat dari hasil pembangunan industri minyak yang dijalankan di bumi Terengganu ini dan ianya satu usaha yang murni," katanya.  Alias (empat dari kanan) bergambar kenangan bersama tetamu yang hadir.Alias berkata, Kemaman antara daerah tumpuan selain Dungun dan Kuala Nerus kerana dikenali sebagai daerah perindustrian dan pusat pengoperasian Petronas di negara ini."Sekurang-kurangnya masyarakat setempat di daerah ini dapat merasa sendiri nikmat hasil daripada pembangunan yang telah dilakukan di sini dan pihak Petronas selepas ini perlu mengadakan kerjasama dengan pemimpin kampung untuk mendapatkan lebih maklumat mengenai golongan yang perlu dibantu,"katanya.Malah, bermula Mei hingga April 2019, Petronas turut memperuntukkan sebanyak RM1 juta  bagi melaksanakan program `Sentuhan Kasih Petronas' sebagai tanda komitmen mereka sebagai sebuah syarikat minyak nasional yang sentiasa membantu golongan yang kurang berkemampuan di negeri ini.
03 Jul 18
90
Empty Image
Sidang DUN: MB Respon 70 Peratus Aduan Rakyat
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan hampir 70 peratus permasalahan yang disuarakan rakyat melalui pelbagai saluran terutama laman rasmi Facebook Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sudah diberi jawapan balas sebelum tindakan susulan diambil kerajaan negeri.Katanya, pelbagai kaedah diguna pakai bagi mendekatkan kerajaan dengan rakyat serta mesej dapat disampaikan secara terus dan efisyen antaranya  menerusi penganjuran majlis dialog dan pertemuan bersama semua lapisan masyarakat.“Umpamanya seperti Majlis Berbuka Puasa Perantau Anak Terengganu Bersama Menteri Besar  dan Kepimpinan Negeri di Lembah Klang, Selangor, baru-baru ini.“Melaluinya  anak perantau dan rakyat boleh menyuarakan masalah dan pendapat, sekiranya  ada masalah yang dibangkitkan, pihak kerajaan boleh menyelesainya secara terus  oleh agensi berkaitan mahupun portfolio berkenaan yang bergantung kepada isu yang dibangkitkan,”katanya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri ke 14, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.Ahmad Samsuri berkata, wakil rakyat dinasihatkan supaya bijak mengguna pakai laman media sosial terutama dalam menyampaikan sesuatu maklumat kepada rakyat.“Setiap maklumat perlu diteliti agar tidak melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP), selain mengelak wujudnya salah faham,”katanya.Ahmad Samsuri turut memaklumkan persidangan DUN hari ini dan hari sebelum ini berlangsung sangat baik dan tenang, semua wakil-wakil rakyat termasuk daripada pihak pembangkang menjalankan tugas mengikuti peraturan yang ditetapkan.“Saya berharap perkara itu berterusan sehingga berakhirnya sesi penggulungan esok,”katanya.
03 Jul 18
23