Artikel "Semasa" Terkini
Masalah Bau Busuk Dari Kilang Industri Kerteh Dijangka Selesai
Alias RazakMasalah bau busuk dari sebuah kilang memproses makanan haiwan di kawasan perindustran Kerteh , Kemaman, yang membelenggu penduduk di sekitar Bandar Paka sejak sekian lama dijangka akan selesai apabila pihak pengurusan kilang tersebut bersetuju untuk menambahbaik beberapa perkara yang berkaitan dengan masalah tersebut.Keputusan tersebut diambil setelah pertemuan selama tiga jam oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak bersama pihak pengurusan kilang tersebut semalam.Turut hadir, wakil Jabatan Alam Sekitar, Majlis Perbandaran Kemaman dan penduduk.Pada pertemuan tersebut, Alias telah diberi penerangan berkenaan pengoperasian kilang itu dan beberapa perkara yang membawa kepada permasalahan yang timbul sehingga menimbulkan rasa kurang senang di kalangan penduduk sekitar.Alias ( kanan , hadapan ) sedang diberikan taklimat berkenaan pengoperasian kilang oleh pihak pengurusan kilangMenurut beliau, pertemuan itu atas dasar tanggungjawab kerajaan bagi membela dan menyelesaikan masalah rakyat susulan daripada banyak aduan yang dibuat berkenaan perkara tersebut."Sebanyak 14 aduan telah dibuat oleh penduduk dan kita juga dimaklumkan kilang ini pernah diambil tindakan oleh mahkamah dan juga pernah disaman namun perkara yang sama masih berulang."Jadi lawatan pada kali ini sebagai untuk mendapatkan maklumat lengkap berkenaan perkara tersebut agar satu penyelesaian yang terbaik dapat dibuat oleh pihak pengurusan kilang," katanya. Menurutnya, beliaau juga memandang serius permasalahan itu kerana melibatkan kesejahteraan penduduk yang terjejas apabila terpaksa menghidu bau busuk pada sepanjang masa.Tambahnya, kerajaan negeri juga akan memikirkan untuk mengambil tindakan perundangan sekiranya pihak pengurusan kilang tersebut gagal atau ingkar dengan arahan untuk menyelesaikan masalah tersebut."Kita dari pihak kerajaan mahu pelabur dari luar untuk melabur di negeri ini supaya banyak peluang pekerjaan dapat diberikan kepada penduduk setempat dan pada masa yang sama juga kita juga tidak mahu pelaburan yang dibuat membawa perkara negatif kepada masyarakat,"katanya. Alias berkata, pihak pengurusan kilang sudahpun melantik konsultan bagi membuat siasatan di sekitar kilang tersebut dan mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi isu masalah bau yang membelenggu penduduk sejak sekian lama itu."Pihak pengurusan kilang juga perlu bersama melakukan banyak program komuniti sosial (CSR) bersama penduduk agar sebarang permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dan penduduk dapat mengetahui sendiri setiap penyelesaian yang dilakukan oleh pihak pengurusan kilang tersebut,"katanya.
24 Jul 18
410
Musim Buah Perah Jadi Pesta Penduduk Kampung Pauh
Rohana(kanan)bersama rakannya Rosmaria menunjukkan buah perah yang berjaya dikutip di perkarangan tanah perkuburan Kampung Pauh.Sesiapa sahaja yang pernah menikmati buah perah pasti terbayang keenakan isinya sama ada direbus, jeruk atau bakar yang mampu memikat hati penggemarnya.Bagi penduduk Kampung Pauh, Hulu Terengganu, musim buah perah merupakan satu pesta untuk mereka berkumpul bersama-sama dan mengutip buah luruh yang hanya muncul setahun sekali.Seorang penduduk yang ditemui, Rohana Ahmad,57, berkata nostalgia mengutip buah perah sewaktu kecil sentiasa menggamit dirinya dan kini aktiviti berkenaan masih diteruskan walaupun sudah berusia apabila tiba musimnya."Seronok bila dapat bersama orang ramai, berlumba mengutip buah perah setiap kali buahnya meletup dan luruh dengan suasana yang kecoh tetapi akrab."Saya kutip buah ini secara suka-suka dan kadang-kadang kami makan dengan cara bakar menggunakan arang, rasanya lebih enak dimakan begitu ,"katanya lagi ketika ditemui di perkarangan Tanah Perkuburan Kampung Pauh.Buah PerahRohana berkata, terdapat lebih sepuluh batang pokok perah di Tanah Perkuburan tersebut yang dianggarkan berusia hampir 100 tahun dan sentiasa berbuah lebat malah menjadi salah satu punca rezeki kepada penduduk tempatan sebagai barang jualan."Buah perah dijual RM5 bagi seratus biji dan ada yang menjualnya mengikut timbangan kilo, terpulang kepada masing-masing tentang cara jualannya," katanya.Tambahnya, terdapat kepercayaan yang menyatakan bahawa buah perah perlukan kemahiran untuk memasaknya dan bergantung kepada kemahiran."Buah perah memang memabukkan jika dimakan mentah-mentah kerana getahnya boleh memberi kesan sampingan namun bergantung juga kepada ketahanan badan si pemakan."Sebab itu, kita gunakan pelbagai cara untuk prosesnya sebelum dimakan seperti merebus, jeruk bersama petai atau bakar dan rasanya memang enak, lemak manis seolah-olah memakan kacang.Menurutnya, pokok perah mengeluarkan buahnya semusim dengan pokok durian dan penduduk menyifatkannya sebagai kembar durian kerana berbuah hampir serentak.Buah ini akan gugur sendiri ke bumi apabila 'letupan' buahnya yang matang ataupun sudah cukup tua berlaku dalam cuaca panas dan terdapat antara dua hingga tiga biji dalam satu kulit.Sementara itu, bagi Rosmaria Ibrahim, 38, berasal dari Kelantan pula hanya mengenali buah perah selepas mengikuti suaminya Junaidi Mohd Adnan berpindah ke kampung setelah berkahwin."Pada mulanya saya tak kenal apa itu buah perah sehinggalah melihat orang ramai berpusu ke sini untuk mengutip buah yang luruh."Rasa teruja tengok dan saya pun menyertai mereka sambil belajar makan buah perah, dari situ saya mula menggemarinya malah menjadikan sumber rezeki apabila tiba musimnya berbuah,"katanya.Menurut Rosmaria lagi, setiap hari dia berjaya mengutip antara 150 hingga 250 biji buah perah dan ia bergantung kepada nasib dan cuaca."Saya jual kepada pembeli dengan harga RM5 seratus biji dan permintaan agak tinggi hingga ada masanya saya tak mampu untuk menyediakannya,"ujarnya.
24 Jul 18
2455
Kesedihan Ibu Insafkan Penagih Tegar
Nor Amirul AswadLinangan air mata seorang ibu berjaya melembutkan hati seorang penagih dadah tegar untuk kembali ke pangkal jalan setelah bergelumang dengan najis tersebut lebih 10 tahun.Nor Amirul Aswad Zakaria, 28, yang berasal dari Kemaman berkata kesedaran datang dengan tiba-tiba untuk keluar dari dunia hitam itu setelah ibunya menangis melihat dia dipenjarakan pada 2016."Saya mahu melakukan penghijrahan ini untuk diri sendiri dan membuat ibu saya gembira sekali lagi bagi memastikan dia tidak akan menangis lagi kerana saya,"katanya.Anak kepada imam dan seorang guru tadika itu berkata, dia memulakan tabiat buruk itu sebagai cara untuk menyesuaikan diri dengan kawan-kawan di sekolah menengah dan kawan melepak yang jauh lebih lebih baik dari segi kewangan."Hidup saya tak mampu tapi keinginan untuk hidup bergaya dan mewah begitu meruap dan pada umur 16 tahun saya mula terjebak dengan urusan dadah kecil-kecilan untuk cepat kaya dan penyalahgunaan dadah kategori 'hardcore' tidak lama selepas itu."Saya mendapat lingkungan RM12,000 sebulan dari hasil jualan dadah dan menghabiskan kebanyakan wang untuk membeli motosikal besar dan topi kerana saya peminar tegar motor," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Madrasah Khairul Insan, Jenagor, Hulu Terengganu, hari ini.Nor Amirul berkata, kesedaran untuk berhenti menagih terbuka apabila timbul rasa berdosa kepada diri sendiri tetapi dalam masa yang sama masih meneruskan urusniaga jual beli dadah."Tak lama selepas berhenti menagih, saya terjebak pula dengan arak dan menjadi pemabuk selama empat tahun. Pada 2016, saat dipenjarakan atas kesalahan dadah, ibu datang sambil menangis, saya memutuskan untuk berubah dan kembali ke jalan yang benar."Saya cukup lemah sehingga saya memutuskan untuk datang ke sini setelah mendapat tahu kewujudannya melalui kawan-kawan di mana ia aman dan ada kumpulan sokongan yang hebat," katanya.Beliau menambah, dalam komuniti itu, dia mula mengenali dirinya dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dengan solat, berpuasa, berzikir dan melakukan aktiviti kerohanian.Katanya, kewajipan sedemikian dapat dilakukan dengan lebih mudah hasil sokongan masyarakat terutama ibu bapanya yang masih menerimanya dengan baik.Apabila ditanya sama ada beliau pulih sepenuhnya selepas dua tahun berada bersama komuniti berkenaan, Nor Amirul berkata ia tetap akan diteruskan sehingga nafas terakhirnya."Saya akan terus bekerja untuk diri saya, masa depan saya dan jika saya meninggal..saya ingin dikebumikan di sini juga," katanya.
24 Jul 18
57
NGO Jadi Mata Dan Teliga Kerajaan
Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di negeri ini diharap menjadi medium terbaik untuk membantu kerajaan negeri dalam menyampaikan pelbagai maklumat kepada masyarakat.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO Negeri , Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata tanggungjawab tersebut perlu dipikul bersama selaras dengan pelbagai pendekatan yang diambil kerajaan negeri terutamanya dalam berdepan pelbagai cabaran ekonomi dan teknologi kini.Katanya, kerajaan negeri meletak harapan yang cukup tinggi kepada kumpulan NGO untuk bantu kerajaan dalam pelbagai aspek terutamanya kebajikan yang melibatkan kesejahteraan rakyat.“Selain itu, mereka (NGO) boleh jadi mata dan telinga kepada kita supaya setiap masalah rakyat terjaga,”katanya.Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman, di pejabatnya hari ini.Sementara itu Wan Sukairi turut memberitahu bahawa kerajaan negeri berhasrat mahu melahirkan ahli sukan profesional yang patuh syariah bagi mencipta nama di persada antarabangsa.“Kita akan mendalami perkara itu supaya apa yang dilakukan Terengganu menjadi ikutan pihak lain terutama berkaitan aspek pemakaian, displin dan sebagainya,”katanya
23 Jul 18
39
Lesen Memandu Motosikal, Sasar 30,000 Belia Nikmati RM300
Kerajaan negeri mensasarkan kira-kira 30,000 belia terutama berumur 15 tahun ke atas layak menikmati tawaran RM300 bagi mendapatkan Lesen Memandu Motosikal (B2) seperti yang dijanjikan dalam Manifesto Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO Negeri , Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata dia menjangkakan perkara itu dapat direalisasikan dalam Bajet 2019 yang bakal dibentangkan Menteri Besar hujung tahun iniKatanya, pelaksanaan program yang membabitkan peruntukan RM9 juta itu, berkemungkinan awal tahun depan.“Pihak kami telah bertemu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) , pemilik institut memandu dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) berkaitan perkara itu dan tahap perancangan dan perangkaan kerja kini dalam peringkat akhir. “Tumpuan utama pelaksanaan janji itu, mahu mengurangkan bebanan keluarga yang sebelum ini terpaksa membayar RM350 untuk mendapatkan Lesen Memandu B2, mengurangkan kadar kemalangan, sifat kadar merempit dan mendidik belia memahami undang-undang jalan raya,”katanya.Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman, di pejabatnya hari ini.Katanya, berdasarkan kajian, peningkatan kadar kemalangan dan adanya aktiviti merempit, kurangnya pengetahuan undang-undang jalan raya.“Oleh itu, kerajaan negeri bersetuju mendidik mereka belajar undang-undang jalan raya melalui cara mendapatkan lesen memandu dengan kadar harga RM50 dimana sebelum ini perlu membayar RM350,”katanya.
23 Jul 18
52
Fama Saran Pekebun Tanam Durian Klon
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyarankan pekebun durian di Terengganu lebih menumpukan penanaman pokok durian cantuman (klon) kerana harga pasaran yang lebih tinggi serta tempoh memperoleh hasil sangat singkat.Pengarah jabatan itu, Fauzi Mohamad berkata, pekebun sewajarnya peka dengan pemintaan pasaran berikutan pelanggan yang lebih gemar memilih durian klon, termasuk musang king, raja udang merah, D1, D13, D24 dan D101 berbanding durian kampung atau durian asli.“Berdasarkan harga pasaran, durian klon boleh mencecah antara RM40 hingga RM50 sekilo berbanding durian kampung hanya RM5 hingga RM10 sekilo. “Lebih menarik, durian klon mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh singkat iaitu antara empat hingga tujuh tahun selepas ditanam,”katanya.Beliau berkata demikian kepada media ketika menyertai Program Jom Kenduri Durian, di perkarangan Rumah Kelab wartawan Media Terengganu (Kawat), Chendering, petang semalam.Hadir sama, Pengerusi Kawat, Wan Abdul Rahman Hayat.Sebelum itu, sekumpulan ahli Kawat menunaikan Solat Hajat dan Solat Asar secara berjemaah.Fauzi memberitahu, pihaknya melalui Unit Pendidikan Fama berhasrat menganjurkan Kursus Penanaman Durian Musang King dalam tempoh terdekat sebagai usaha menggalakkan orang ramai menanam durian jenis itu.Katanya, program sama pernah dianjurkan di Kelantan dan Negeri Sembilan mendapat sambutan sangat menggalakkan sehingga mencecah lebih 1,000 peserta pada satu-satu masa.“Langkah itu pastinya boleh menanam minat, menambah ilmu pengetahuan dan memberi semangat terutama kepada pekebun dan pengemar durian untuk menambah pendapatan keluarga,”katanya.
23 Jul 18
89
MB Adakan Pertemuan Dengan Ketua Menteri Sarawak Berkait Isu Royalti
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. Difahamkan, pertemuan yang memfokus isu royalti minyak itu turut dihadiri Menteri Muda Perundangan, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan pegawai kanan Kerajaan Sarawak.Ahmad Samsuri berkata, secara khususnya kedua-dua negeri bersetuju dan komited untuk memastikan yang terbaik bagi negeri Terengganu dan Sarawak serta negeri pengeluar minyak dan gas yang lain.“Pembayaran royalti adalah perlu mengikut perjanjian yang dimeterai, dan kami juga sepakat bahawa ianya adalah royalti dari pengeluaran minyak dan gas, dan bukannya dari keuntungan bersih,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
23 Jul 18
227
Sultan Mizan Berkenan Rasmi Taman Herba Pasir Raja
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menurunkan tandatangan pada plak perasmian sebagai gimik perasmian pembukaan Taman Herba Pasir Raja di Mukim Pasir Raja, Dungun, hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu Kasim Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan pembukaan Taman Herba Pasir Raja yang dinamakan Pembangunan Kluster Bersepadu Herba (HICD) di Mukim Pasir Raja, Dungun hari ini.Keberangkatan baginda diiringi anakanda, Yang Dipertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mua'az.Hadir menyambut baginda Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya; Pengerusi Bioalpha Holdings Berhad, Tan Sri Abdul Rahman Mamat dan Ketua Pegawai Eksekutif ECER, Dato’ Seri Jebasingam Issace John.Terdahulu Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, pembukaan Taman Herba Pasir raja dibawah pelan induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) adalah selaras dengan harapan kerajaan untuk merealisasikan potensi permintaan herba tropikal yang tinggi dalam industri farmaseutikal, nutraseutikal dan kosmeseutikal.“Projek usahasama awam-swasta menerusi Model Syarikat Induk yang diperkenalkan Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECERDC) dengan sebuah syarikat pembuatan produk suplimen kesihatan, Bioalpha menawarkan manfaat yang besar kepada rakyat disamping mempercepatkan pertumbuhan ekonomi tempatan.“Menerusi model ini, pihak kerajaan menyediakan pelaburan dan pembangunan prasarana manakala sektor swasta pula mengusahakan bahagian komersial,” ujarnya ketika berucap di majlis Perasmian Pembukaan Taman Herba Pasir Raja yang disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Mukim Pasir Raja, Dungun, hari ini.Katanya, pembukaan HICD juga membawa pelbagai peluang pekerjaan buat komuniti setempat dimana sehingga kini lebih daripada 50 penduduk sekitar diambil bekerja sebagai kerani umum, penjaga tapak semaian, penanam herba dan lain-lain jawatan.Sementara itu, Abdul Rahman berkata, projek Taman Herba Pasir Raja yang ditanam dengan 20 jenis tanaman herba di atas tanah seluas 1,004 ekar sejak 2015 berjaya melahirkan 32 peladang satelit herba di mukim ini.“Seluas 260 ekar tanah setakat ini ditanam dengan 20 jenis tanaman herba termasuk Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Misai Kucing, Hempedu Bumi, Dukung Anak, Pecah Beling dan Mas Cotek."Menerusi projek ini peladang satelit berpeluang menjadi usahawan tani berjaya menerusi sistem bayar balik yang akan memberi pendapatan berpatutan sekaligus membangunkan ekonomi negeri ini," katanya.
22 Jul 18
510
JBPM Jangka Ambil Masa Lebih Lama Selesai Siasatan KBC
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Mohammad Hamdan Wahid menyampaikan Anugerah Menteri (Terbaik Keseluruhan) kepada Muhammad Jazli Hafiz Jafar Jafari pada Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2018 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf TapaiJabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjangkakan perlu mengambil tempoh masa lebih lama untuk menyelesaikan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran tiga tangki minyak mentah milik Kemaman Bitumen Company (KBC), Kemaman baru-baru ini.Ketua Pengarahnya, Mohammad Hamdan Wahid berkata, tragedi melibatkan kawasan yang luas dan besar antara punca yang menyukarkan pihaknya mengesan bahan bukti bagi mengenal pasti puncanya."Kami masih lagi menganalisa punca yang mengambil sedikit masa sebelum kita boleh rumuskan 'finding' dan ia melibatkan siasatan yang rapi."Sedikit rumusan yang boleh dibuat, oleh sebab kebakaran ini cukup besar, ia menyukarkan kita mencari bukti-bukti tetapi kita percaya dengan keupayaan yang ada pada Bahagian Siasatan Jabatan Bomba akan mengenal pasti punca dan membuat rumusan laporan eksekutif tentangnya,"katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, Marang, hari ini.Mohammad Hamdan berkata, pihaknya akan mengemukakan laporan penuh kepada pihak terlibat termasuk tuntutan insurans sebaik sahaja penyiasatan selesai sepenuhnya.Tambahnya, pihaknya juga tidak akan berkompromi jika terdapat unsur kecuaian dalam kes terbabit dan tindakan mengikut Akta 341, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 akan diambil.Di majlis itu, seramai 201 pelatih menyertai latihan kebombaan selama empat bulan setengah di Akademi Kebombaan dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai.Kumpulan itu akan memulakan perkhidmatan di balai bomba sekitar di Kuala Lumpur dan Selangor bermula 31 Ogos ini.
21 Jul 18
456
Terengganu Teliti Penyaluran 20 Peratus Royalti Minyak
Terengganu akan meneliti secara keseluruhan mengenai penyaluran royalti minyak sebanyak 20 peratus kepada negeri pengeluar minyak sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri berkata, pihaknya masih kurang jelas dengan maklumat tersebut sama ada pendirian Kerajaan Pusat itu akan menambah atau mengurangkan hasil berbanding kadar yang lazim diterima sebelum ini.Katanya, apa yang difahami mengenai kenyataan perdana menteri adalah pengeluaran keuntungan bersih bagi Petronas di negeri terlibat. Jadi jika berdasarkan untung bersih, maka tentulah nilainya tidak sama dengan yang dibaca sekarang, iaitu royalti sebanyak lima peratus yang diterima bersamaan RM1.2 bilion.“Saya rasa kami perlu tengok dulu berapakah jumlah pengeluaran minyak Terengganu dan berapakah hasil yang telah ditolak cukai, kemudian baru dikira 20 peratus daripada itu.“Nilai itu mungkin kurang daripada RM1.2 bilion atau mungkin lebih. Jadi untuk memberi sokongan atau tidak setuju kami perlu lihat dengan lebih terperinci perkara tersebut,” katanya.Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas Majlis Makan Malam Dana Maahad Darul Quran (MDQ) sempena Ihtifal Idul Ilmi MDQ 2018 di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, Marang malam tadi.Semalam, Dr.Mahathir memaklumkan Kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan Pakatan Harapan memenuhi janji menyalurkan 20 peratus keuntungan minyak dan hasil petroleum negara kepada empat negeri pengeluar sumber itu.Menurut Ahmad Samsuri, bagi negeri-negeri yang sebelum ini hanya menerima wang ehsan termasuk Terengganu, kadar royalti sepatutnya dibayar adalah sekurang-kurangnya lima peratus.Walaubagaimanapun beliau berkata, kerajaan negeri bersetuju dengan prinsip Kerajaan Persekutuan untuk menyalurkan wang royalti minyak secara terus kepada kerajaan-kerajaan negeri tanpa mengira parti mana yang mentadbir negeri berkenaan.“Kita komited dengan prinsip itu dan akan menggunakan wang berkenaan untuk rakyat cuma dari segi penjelasan terperinci sama ada lima peratus kedudukan sekarang ini atau 20 peratus daripada untung bersih itu kita akan tengok balik mana yang lebih mendatangkan keuntungan kepada kerajaan negeri,” katanya.
21 Jul 18
41