Artikel "Semasa" Terkini
Kerajaan Negeri Terima Satu Tan Kurma, Air Mineral Dari Giant
KUALA TERENGGANU, 9 Mac- Kerajaan negeri menerima satu tan kurma dan 20 karton air mineral yang disumbangkan oleh pasar raya besar Giant untuk dibahagikan kepada umat Islam di negeri ini sempena Ramadan.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Hal Ehwal Korporat Dan Kerajaan, GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd, Azahari Mohamed Noh kepada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Maliaman Kassim dalam satu majlis ringkas yang diadakan di pasar raya berkenaan, hari ini.
Maliaman berkata, kerajaan negeri menghargai dan berterima kasih kepada pasar raya terkemuka itu atas inisiatif yang dilakukan.
Katanya, kurma dan air mineral itu akan diagihkan ke beberapa masjid dan surau di negeri ini bagi dijadikan juadah sampingan sewaktu berbuka puasa kepada jemaah.
Sementara itu, Azahari berkata, sumbangan kurma dan air mineral merupakan antara aktiviti kebajikan yang dirancang pihaknya sepanjang bulan Ramadan ini dan Terengganu merupakan negeri pertama yang menerima sumbangan itu.
"la bertepatan dengan kedatangan Ramadan yang mulia dan sumbangan ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak kami yang diharap dapat memberi impak positif kepada komuniti," ujarnya.
09 Mar 25
173
Nikmati Santai-Santai Ramadan Moreh Serendah RM15 di Primula
KUALA TERENGGANU, 9 Mac – Sempena Ramadan kali ini, Primula Beach Hotel menawarkan program Santai-Santai Ramadan Moreh bagi mereka yang ingin menjadikan pengalaman berbuka atau moreh lebih unik dengan keindahan langit senja di di Anjung Garden dan Anjung Truck.
Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata ia dibuka sepanjang bulan Ramadan bermula jam 10 malam hingga 1 pagi dengan harga makanan bermula serendah RM15, tetamu dapat menikmati pelbagai hidangan moreh dalam suasana santai di tepi pantai dengan dekorasi yang menarik dan suasana nyaman.
"Kami ingin memberikan pengalaman unik kepada tetamu dengan menyediakan tempat yang santai dan selesa untuk mereka menikmati moreh.
“Dengan pelbagai pilihan hidangan pada harga berpatutan dan suasana pantai yang menenangkan, Anjung Garden & Anjung Truck menjadi lokasi ideal untuk berkumpul selepas solat tarawih," katanya.
Menurutnya, di Anjung Garden, para pengunjung boleh menikmati hidangan tempatan seperti Nasi Goreng Kampung, Mee Goreng Mamak, Laksa Kuah Merah, Sambal Udang dan Mantou serta aneka makanan pencuci mulut seperti Pisang Cheese, Churros, dan Waffle Croissant.
Sementara itu, minuman seperti Air Balang, Lai Chee Kang, dan Primula Lemonade turut disediakan untuk menyegarkan tekak selepas solat tarawih.
Suaibah berkata, program itu bukan sekadar menyediakan juadah moreh tetapi juga menggalakkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan dalam suasana yang selesa.
Manakala, Anjung Truck pula menawarkan menu istimewa seperti Mac & Cheese, Hot & Spicy Chicken Wing, Beef Lasagne, dan Pasta Tomyam Seafood, menjadikannya pilihan sempurna bagi mereka yang ingin menikmati juadah dengan konsep street food di tepi pantai.
Untuk maklumat lanjut atau tempahan, sila hubungi Primula Beach Hotel di 06-6222100 atau layari media sosial rasmi hotel di @primulabeachhotel.
09 Mar 25
200
Pesta Moreh Rhu Berderu, Inspirasi Dari Filem Arwah Mamat Khalid
DUNGUN, 9 Mac – Pesta Moreh Rhu Berderu 2.0 yang berlangsung di Laman Pokok Rhu, berhadapan SMK Sura, berjaya menarik perhatian ramai dengan konsep santai dan unik yang diinspirasikan daripada filem-filem lagenda arwah Mamat Khalid.
Pengerusi Koperasi Majlis Perbandaran Dungun Berhad (KOPEDU), Ahmad Tarmizi Ghazali, berkata filem arwah seperti Man Laksa dan Hantu Kak Limah menjadi inspirasi dalam mewujudkan suasana kampung, nama gerai jualan, serta gaya dekorasi yang mencerminkan kehidupan masyarakat desa yang harmoni dan penuh jenaka.
“Kami cuba hidupkan semula suasana yang sering dipaparkan dalam filem arwah Mamat Khalid, yang penuh dengan nilai kemasyarakatan dan nostalgia kampung.
"Sebab itu, gerai-gerai di sini dihias dengan konsep warung kampung dan ditambah dengan elemen tradisional yang mengingatkan kita kepada filem-filem beliau,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selpas Majlis Perasmian Pesta Moreh Kampung Rhu Bederu 2.0 Anjuran bertempat di Laman Pokok Rhu SMK Sura Dungun, Jalan Pantai kelmarin.
Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris.
Sementara itu, Razali berkata sebanyak 60 gerai menyertai pesta itu, menawarkan pelbagai juadah moreh dan makanan tempatan, termasuk menu istimewa seperti laksa, kuih tradisional, serta pelbagai jenis minuman popular.
“Saya menyambut baik usaha tersebut kerana bukan sahaja mempromosikan keindahan Kampung Sura Tengah, malah menjadikannya sebagai produk pelancongan yang unik di Terengganu.
“Saya mencadangkan supaya kawasan ini diwartakan sebagai destinasi pelancongan baharu di Dungun, kerana ia bukan sahaja menarik pada bulan Ramadan, tetapi berpotensi menjadi tarikan sepanjang tahun jika program seperti ini diteruskan,” katanya
08 Mar 25
933
Qabil Irfan Bersiap Sedia Ke Jerez, Sepanyol Untuk Cabaran ESBK 2025
KUALA TERENGGANU, 8 Mac – Pelumba cilik sensasi negara, Qabil Irfan, bakal berangkat ke Jerez, Sepanyol pada 11 Mac ini bagi menghadapi Ujian Pra-Musim dan Pusingan Pertama Espana Superbike Championship (ESBK) 2025.
Kejohanan itu bakal menjadi satu lagi medan penting buat pelumba berusia 13 tahun berkenaan untuk mengasah kemahirannya di peringkat antarabangsa.
Qabil, yang baru sahaja dinobatkan sebagai ‘Young Rider of The Year’ semasa MAM Award Night anjuran Persatuan Sukan Bermotor Malaysia, akan bersaing dalam kategori ‘ESBK Talent Cup’ menggunakan jentera NSF 250.
Ini merupakan satu lagi pencapaian besar dalam kariernya selepas menjuarai MiniGP World Championship 2023 dan memenangi perlumbaan ESBK Moto4 pada awal tahun ini.
Menerima kunjungan istimewa Qabil bersama ibu bapanya di Wisma Darul Iman baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan anak muda itu.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus menyokong dan membimbing atlet muda berbakat untuk mencapai kejayaan di peringkat global.
“Selamat berangkat ke Jerez, Sepanyol pada 11 Mac 2025 untuk menghadapi Ujian Pra-Musim dan Pusingan Pertama ESBK.
“Sesungguhnya, ramai lagi atlet muda berbakat yang perlu digilap agar potensi mereka tidak disia-siakan.
“Pihak Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa menyokong atlet sukan kelahiran Terengganu untuk terus berjaya dalam apa jua jenis sukan,” ujarnya dalam satu hantaran melalui laman sosial media rasminya baru-baru ini.
Qabil, yang sering mengunjungi Hishamuddin sebelum berlepas ke luar negara, menyatakan kesyukurannya atas sokongan berterusan yang diterima daripada pihak kerajaan negeri serta rakyat Malaysia.
08 Mar 25
129
TATI UC Raih Status 'Reporter' dalam Ranking Universiti Dunia
KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri, Kolej Universiti TATI (TATI UC) mencatat kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih status 'Reporter' dalam ranking Universiti Dunia 2025 oleh Times Higher Education (THE).
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, mengucapkan tahniah kepada seluruh warga TATI UC atas pencapaian tersebut.
Beliau menekankan bahawa kejayaan itu adalah hasil usaha gigih semua pihak institusi berkenaan dalam memastikan ia terus berkembang dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
"Tahniah diucapkan kepada Kolej Universiti TATI atas pencapaian yang cemerlang dalam mencapai status 'Reporter' dalam ranking Universiti Dunia 2025 Times Higher Education (THE).
“Pencapaian ini merupakan bukti kesungguhan dan dedikasi pasukan Kolej Universiti TATI dalam meningkatkan kualiti pendidikan serta penyelidikan.
“Melalui usaha gigih semua pihak, terutama para akademik dan pengurusan, kejayaan ini sudah pasti akan mengukuhkan lagi kedudukan sebagai institusi pendidikan yang berwibawa serta mampu bersaing di peringkat global.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran Facebook rasminya, sebentar tadi.
Dr. Ahmad Samsuri turut menyatakan harapan beliau agar kejayaan ini menjadi pemangkin kepada penghasilan graduan yang berdaya saing serta mampu memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan negeri dan negara.
Pengiktirafan ini menjadi bukti kesungguhan dan dedikasi institusi itu dalam meningkatkan kualiti pendidikan serta penyelidikan.
“Melalui status ini, semoga Kolej Universiti TATI terus memperluas jaringan antarabangsa, mengukuhkan kerjasama dengan institusi pendidikan global, serta memacu penyelidikan yang lebih inovatif,” ujar beliau dalam hantaran tersebut.
Pencapaian ini menandakan langkah positif bagi TATIUC dalam mengorak langkah ke arah menjadi sebuah institusi pendidikan yang lebih dikenali di peringkat antarabangsa.
Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, diharapkan TATIUC akan terus mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.
Sebagai makluman, status 'Reporter' diberikan kepada institusi yang mengambil bahagian dalam penilaian THE tetapi tidak memenuhi kriteria untuk disenaraikan dalam ranking utama.
Walaupun begitu, status ini menunjukkan keterlibatan TATIUC dalam penilaian global serta komitmen terhadap peningkatan kualiti akademik dan penyelidikan.
08 Mar 25
255
Saman Anwar, Amzad Selesai Tanpa Pengakuan Salah dan Kos
KUALA TERENGGANU, 7 Mac – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menegaskan bahawa penyelesaian kes saman sivil antara beliau dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah dipersetujui tanpa sebarang pengakuan salah, tanpa permohonan maaf dan tanpa pembayaran kos oleh mana-mana pihak.
Menurutnya, penyelesaian itu dicapai atas dasar muhibah bagi mengelakkan perbicaraan berpanjangan yang boleh memberi kesan kepada kedua-dua pihak.
“Penyelesaian ini dibuat dengan mengambil kira kepentingan semua pihak agar tidak memanjangkan isu yang boleh merugikan kedua-dua belah pihak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan laporan media yang menggunakan istilah 'kenyataan fitnah' kerana dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan, hanya dinyatakan bahawa kenyataan terdahulu ditarik balik tanpa sebarang rujukan kepada fitnah.
“Setahu saya, dalam kenyataan bersama dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, hanya disebut ‘menarik balik kenyataan’. Tidak ada perkataan ‘fitnah’. Jadi, frasa ‘kenyataan fitnah’ yang digunakan oleh media ini datang dari keputusan mahkamah mana?,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa oleh kerana kenyataan tersebut menjadi pertikaian, adalah munasabah untuk menyelesaikannya dengan meninggalkan perkara yang dipertikaikan.
“Itu sahaja, mudah,” katanya ringkas.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan komitmennya untuk terus membawa suara rakyat dan memperjuangkan kepentingan negara.
“Dengan penyelesaian ini, isu berkenaan tidak lagi relevan, dan perhatian seharusnya diberikan kepada perkara yang lebih penting demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan negara,” tegasnya.
Beliau turut menghargai sokongan yang diterima dan berharap keputusan ini dihormati oleh semua pihak demi keharmonian Malaysia
07 Mar 25
264
Kerajaan Terengganu, Giant Lancar 'Jom Sedekah' Sempena Ramadan
KUALA TERENGGANU, 7 Mac- Kerajaan Terengganu dengan kerjasama pasar raya besar Giant yang dimiliki oleh GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd. melancarkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) 'Jom Sedekah' bagi membantu golongan memerlukan sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Ketua Hal Ehwal Korporat Dan Kerajaan, GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd, Azahari Mohamed Noh berkata, melalui inisiatif berkenaan, Bank Makanan Ramadan (Jom Sedekah) akan diperkenalkan di semua cawangan Giant di Terengganu.
"Ia melibatkan Giant Kuala Terengganu, Giant Jerteh, Giant Dungun, dan TMC Mesra Mall.
"Melalui program ini, pelanggan boleh membeli barangan keperluan asas pada harga istimewa dan menyumbang ke dalam (Kotak Donasi) yang disediakan di pintu masuk pasar raya," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran program tersebut yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Maliaman Kassim di Pasaraya Giant Kuala Terengganu, semalam.
Menurut beliau, setiap sumbangan akan dikumpulkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu dan disalurkan kepada masjid serta golongan asnaf di seluruh negeri.
"Pelanggan boleh memilih untuk menyumbang sama ada dalam bentuk set kotak makanan bernilai RM30 atau barangan secara individu," ujarnya.
Selain itu katanya, kempen 'Jom Sedekah' turut merangkumi program khas di mana Giant bersama Kerajaan Negeri Terengganu akan menaja anak-anak kurang berkemampuan pada 15 Mac ini untuk mendapatkan pakaian baharu sempena Aidilfitri.
"Pada hari sama kita juga akan menganjurkan program agihan bubur lambuk percuma yang akan diedarkan kepada masyarakat di beberapa lokasi terpilih di Terengganu," katanya.
Dalam pada itu Azahari berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Kerajaan Terengganu bagi menjayakan kempen tersebut yang telah bermula 1 Mac lalu sehingga 23 Mac ini.
"Kerjasama erat ini membolehkan kami menyalurkan bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan, terutama dalam menghadapi bulan Ramadan.
"Kami percaya bahawa usaha ini bukan sahaja meringankan beban golongan kurang bernasib baik, tetapi juga menggalakkan budaya bersedekah dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat," ujarnya.
Sementara itu, Maliaman merakamkan penghargaan kepada Giant kerana memperkenalkan program yang memberikan manfaat besar kepada rakyat Terengganu.
"Dengan adanya inisiatif ini, lebih ramai golongan memerlukan termasuk asnaf dan masjid dapat menikmati bantuan sepanjang Ramadan ini.
"Kami berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang," ujarnya
07 Mar 25
2751
25 Pelajar SK Paya Bunga Terima Sumbangan Baju Raya
KUALA TERENGGANU, 7 Mac – Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) telah memperuntukkan sebanyak RM25,000 bagi menyantuni 25 orang pelajar terpilih daripada Sekolah Kebangsaan Paya Bunga, Kuala Terengganu sempena “ Program ‘Jom Shopping Raya’ kali ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata pihaknya menzahirkan penghargaan di atas keprihatinan Terengganu Inc terhadap keperluan persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tiba.
Menurutnya, program ‘Jom Shopping Raya’ mendekati pelajar-pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan bagi meringankan kos persiapan memberi baju raya untuk anak-anak, juga sebagai satu bentuk sokongan moral kepada mereka agar dapat menyambut Hari Raya dengan penuh keceriaan.
“Di dalam program ‘Jom Shopping Raya’ ini, pelajar-pelajar dari keluarga yang terpilih akan menerima kelengkapan baju raya termasuk set pakaian baju baru beserta kasut dan serta duit raya bagi melengkapkan keceriaan sambutan hari raya mereka.
“Setiap pelajar berkenaan akan menerima sumbangan bernilai RM300 bagi membeli keperluan baju raya dan RM100 sebagai duit raya bagi menceriakan lagi suasana kali ini,” ujarnya di Program 'Jom Shopping Raya' bersama Terengganu Inc di KTCC Mall di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, kemeriahan bershopping ini menjadi platform bagi kakitangan Terengganu Inc yang terlibat untuk mendekati komuniti setempat secara lebih dekat dan memahami keperluan sebenar mereka.
07 Mar 25
593
UMT Baik Pulih Kapal Tinggalan 'Monsun Cup'
KUALA NERUS, 10 Mac - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mendapatkan enam kapal layar 'tinggalan' Monsun Cup daripada kerajaan negeri untuk digunakan sebagai kapal latihan bagi aktiviti kokurikulum pelajar dan komuniti setempat.
Naib Canselor UMT, Profesor Ir Ts Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, ia sebagai salah satu usaha memperkasakan kemudahan untuk pengajaran dan latihan selaras usaha UMT sebagai peneraju sukan air diperingkat institusi pengajian tinggi (IPT).
Tambahnya, UMT merupakan satu-satunya universiti dalam negara yang menawarkan program dan kursus berkredit berteraskan aktiviti pelayaran.
"Sejak 2019, para pelajar UMT telah dihantar mewakili negara di dalam kejohanan kapal layar diperingkat kebangsaan dan antarabangsa.
"Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah menawarkan kapal layar melalui Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) kepada UMT dengan harga yang agak mampu dibeli, lebih kurang dalam RM5,000 sebuah. Dengan pemilikan ini, pihak UMT berhasrat menghidupkan semula muara Sungai Terengganu dengan kemeriahan aktiviti pelayaran.
"Namun, sudah tentu kos untuk membaik pulih kapal itu agak tinggi dan mencecah ratusan ribu. UMT juga berterima kasih kepada pihak kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kerana kita telah mendapat peruntukan untuk kita gunakan bagi usaha baik pulih dan menugas semula enam unit kapal layar yang telah dibeli.
Keadaan semasa kapal layar sedang dalam proses pembaikan.
"Kita akan segerakan pembaikan supaya boleh digunakan pelajar. Selain daripada aktiviti kokurikulum, kita juga akan gunakan kapal layar ini untuk program Pembangunan belia dan akan menganjurkan regatta di peringkat nasional dan antarabangsa. Pada tahun lepas, kita menganjurkan kejohanan kapal layar di peringkat UMT dan mungkin pada masa akan datang, kita merancang untuk menjadi hos kejohanan sebegini diperingkat IPT," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perutusan Naib Canselor 2025 di Dewan Sultan Mizan, baru-baru ini.
Menurutnya, UMT turut menjalankan aktiviti pemindahan ilmu pelayaran kepada komuniti setempat terutamanya pelajar sekolah,pelajar OKU dan ahli Persatuan Pengakap Malaysia yang bertempat di UMT-Community Sailing Clubhouse di Duyong Marina Resort, Pulau Duyong.
"Pada tahun lepas, kita telah menghantar enam orang pelajar bagi mewakili Malaysia di kejohanan FISU World University Championship (bagi kategori pelayaran) di Densenzano del Garda, Itali.
"Jadi, untuk itu UMT berazam mempertingkatkan keupayaan menjadi peneraju bidang marin termasuk aktiviti sukan dan penyelidikan termasuk menaik taraf Pusat Selaman UMT di Pulau Bidong.
"Ini kerana kami ingin melahirkan penyelam terlatih daripada kalangan pelajar dan juga warga UMT. Pihak unversiti juga serius memastikan setiap perancangan yang dibuat tahun ini dapat dilaksanakan berdasarkan peruntukan yang diluluskan oleh KPT," katanya.
06 Mar 25
617
Terengganu Inc Peruntuk RM130 Ribu Laksana CSR Sempena Ramadan
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) memperuntukkan sebanyak RM 130,000 untuk program-program di sepanjang bulan Ramadan tahun 2025.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, ia merupakan misi pihaknya untuk memperkasa komuniti melalui inisiatif strategik dalam menyokong usaha Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Katanya, pelbagai pengisian kebajikan sepanjang bulan puasa ini termasuk agihan bubur lambuk, Jejak Ramadan yang melibatkan program bakul makanan dan pelbagai lagi pengisian.
“Ini termasuk program ‘Jom Shopping Raya’ yang diadakan bersama 25 orang pelajar daripada Sekolah Kebangsaan Paya Bunga, Kuala Terengganu pada hari ini.
“Terengganu Inc amat mementingkan usaha kebajikan dengan tujuan untuk membantu masyarakat tempatan dan golongan kurang bernasib baik, sekaligus menjalin hubungan baik dengan pihak-pihak berkepentingan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah Burhanuddin Hilmi, Terengganu Inc bertekad untuk terus melaksanakan program-program CSR yang memberi impak positif kepada masyarakat dan membantu membentuk masa depan yang lebih cerah bagi generasi akan datang.
“Kumpulan Terengganu Inc telah memperuntukkan sebanyak RM12.02 juta CSR pada tahun 2024 kepada negeri Terengganu dengan bagi memberi manfaat kepada sektor pendidikan, sukan, komuniti, agama dan alam sekitar.
“Selain itu, Terengganu Inc turut menawarkan bantuan pendidikan seperti biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship yang diperkenalkan mulai tahun 2022 sehingga kini dengan jumlah peruntukan sehingga kini adalah sebanyak RM2.5 juta dalam tempoh tersebut,” ujarnya.
06 Mar 25
425