Artikel "Semasa" Terkini
'Mimpi' Sambut Aidilfitri di Rumah Baharu Tercapai
Oleh : Mohd Syauqi Harun
KUALA TERENGGANU, 11 Mac – Sambutan Ramadan dan Aidilfitri kali ini pasti lebih bermakna buat dua beranak selepas mereka menerima rumah baharu melalui Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS), hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, objektif utama penyediaan kediaman baharu itu merupakan salah satu penyelesaian masalah miskin tegar di kawasan Batu Buruk.
“Kerajaan negeri sentiasa komited menyediakan rumah sendiri kepada rakyat Terengganu di samping menepati syarat-syarat yang ditetap.
"Semoga kediaman baharu ini menjadi tempat berteduh yang selesa dan penuh keberkatan buat beliau sekeluarga.
"Usaha ini melambangkan komitmen berterusan dalam memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan," katanya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata sedemikian kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis penyerahan replika kunci rumah PPTS, sebentar tadi.
Ibu tunggal kepada seorang anak, Sakirah Mat Yunus, 43, dari Kampung Kolam Kuala Ibai, Batu Buruk mengakui sebak dan terharu kerana hasrat untuk meraikan Aidilfitri di kediaman sendiri akhirnya tercapai.
“Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada YB Dr. Khalil dan semua pihak yang terlibat atas usaha untuk mendapatkan saya sebuah rumah untuk kami sekeluarga berteduh.
“Sekian lama saya nantikan kerana sebelum ini hanya dengan menumpang rumah ibu saya,” tambahnya.
Kata Sakirah lagi, pemberian itu juga amat bermakna baginya dalam menyediakan ruang yang lebih selesa untuk anaknya yang masih bersekolah.
“Selepas ini anak saya dapat belajar dan berehat dengan lebih selesa berbanding sebelum ini, terima kasih kepada kerajaan,” ujarnya.
11 Mar 25
228
Delegasi Malaysia Ke London Kaji Reformasi Pengasingan Perundangan
LONDON, 12 Mac – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh kini berada di London, United Kingdom, sebagai wakil blok pembangkang dalam lawatan kajian empirikal mengenai pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Lawatan ini turut disertai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bersama delegasi yang terdiri daripada Ahli Parlimen, pegawai kerajaan, serta wakil Majlis Peguam Malaysia.
Kajian ini bertujuan meneliti model pengasingan fungsi pendakwaan dan penasihatan undang-undang yang diamalkan di United Kingdom bagi menilai keberkesanan pelaksanaannya di Malaysia.
Delegasi telah menghadiri sesi perbincangan meja bulat yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), JPM, Fakulti Undang-Undang University College London dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Sesi ini turut dihadiri oleh mantan Peguam Negara UK, The Rt. Hon. Victoria Prentis KC, serta mantan Pendakwa Raya England dan Wales, Sir Max Hill KCB KC, yang berkongsi pengalaman mereka mengenai struktur pentadbiran perundangan di negara tersebut.
Selain perbincangan dengan pakar perundangan, delegasi juga mengadakan sesi libat urus dengan organisasi berkepentingan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan pertubuhan masyarakat sivil yang menekankan aspek tadbir urus dan integriti dalam sistem kehakiman. Perbincangan ini memberi peluang kepada delegasi untuk memahami cabaran dan keperluan dalam pelaksanaan pengasingan peranan ini, sejajar dengan reformasi institusi yang sedang dirangka.
Lawatan ini merupakan kesinambungan daripada kajian terdahulu yang telah dijalankan di Australia dan Kanada, dalam usaha memperkukuh sistem keadilan negara. Hasil dapatan daripada siri kajian ini akan menjadi asas kepada cadangan model terbaik yang boleh diadaptasi dalam rangka kerja perundangan Malaysia bagi memastikan sistem pendakwaan yang lebih bebas dan telus.
Sebagai wakil pembangkang dalam delegasi ini, Zulkifly terus memainkan peranan aktif dalam memastikan setiap aspek reformasi yang dicadangkan mengambil kira kepentingan semua pihak. Beliau menegaskan bahawa sebarang perubahan dalam sistem perundangan negara mestilah berlandaskan prinsip keadilan, ketelusan, dan kesejahteraan rakyat.
11 Mar 25
252
Epic Berhad Peruntuk RM60 Ribu Rai Anak Asnaf
KUALA TERENGGANU, 11 Mac – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (“EPIC Berhad”) meraikan 170 anak asnaf dengan memperuntukkan RM60,000 melalui Program Jalinan Kasih Ramadan 2025.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim berkata inisiatif itu bukan sekadar sebuah program tahunan, tetapi satu amanah sosial yang telah menjadi sebahagian daripada budaya korporat EPIC Berhad sejak hampir dua dekad lalu.
“Tahun ini, ia memberi manfaat kepada 170 anak asnaf dari dua daerah, iaitu Kemaman dan Kuala Terengganu yang mana setiap orang menerima RM300 untuk menyambut ketibaan bulan Syawal dengan penuh kegembiraan.
“Pada edisi pertama program ini, seramai 100 anak asnaf dari Parlimen Kuala Terengganu telah diraikan menerusi pelbagai pengisian istimewa.
“Mereka dibawa membeli pakaian baharu di Pasar Raya Pacific KTCC Mall sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, sebelum menghadiri majlis berbuka puasa di Raia Hotel Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas Program Jalinan Kasih Ramadan 2025 di KTCC Mall, semalam.
Tambah Amzad, beliau menyambut baik usaha EPIC Berhad dalam memperkukuh peranan sektor korporat dalam menyantuni golongan kurang bernasib baik.
"Sesungguhnya, bantuan diberikan bukan sekadar sumbangan material, tetapi satu manifestasi keprihatinan yang pastinya akan meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa anak-anak asnaf terpilih.”
“Usaha sebegini harus dipuji kerana ia tidak hanya memberi manfaat kepada penerima, tetapi juga menjadi inspirasi kepada lebih banyak organisasi dan individu untuk turut serta dalam kerja-kerja kebajikan," ujarnya yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah EPIC Berhad.
11 Mar 25
158
Terengganu Jadi Destinasi Latihan Skuad Kebangsaan Bola Sepak Pantai
KUALA TERENGGANU, 11 Mac - Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan di bawah kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah memilih Terengganu sebagai destinasi latihan skuad kebangsaan pada kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan rancak melakukan persiapan selama dua minggu bagi menghadapi Piala Asia Bola Sepak Pantai 2025 di Pattaya, Thailand bermula 21 Mac 2025 ini.
"Pihak kerajaan Negeri Terengganu tiada halangan dan membuka sepenuhnya peluang untuk mewujudkan sebarang kerjasama melibatkan penggunaan fasiliti sukan di negeri ini dengan sebaiknya.
"Usaha mempersiapkan Padang Bola Sepak Pantai di Kompleks Sukan Negeri Terengganu tidak sempat untuk disiapkan buat kegunaan latihan pasukan kebangsaan kali ini.
"InsyaAllah, tahun-tahun mendatang diharap ia akan menjadi lokasi pilihan. Padang berkenaan dijangka siap pada pertengahan Mac ini.
Hishamuddin berkata demikian dalam satu hantaran Facebook rasminya selepas meninjau persiapan akhir Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan yang membuat latihan akhir di Gelanggang Bola Sepak Pantai Telaga Batin, Kuala Nerus baru-baru ini.
Turut bersama, Mohd Saiful Md Noor, Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan sepanjang tinjauan tersebut berlangsung.
Tambah beliau, jurulatih bagi skuad kebangsaan itu menjelaskan bahawa pemain yang dipilih juga memiliki pengalaman beraksi di pentas Asia dengan menggabungkan pemain-pemain muda menyarung jersi pasukan.
Dalam pada itu, Hishamuddin yang juga menganggotai jawatan sebagai Jawatankuasa Eksekutif FAM sempat merakamkan pesanan semangat beliau untuk memberi keyakinan kepada pemain.
"Selamat maju jaya buat semua yang terpilih mewakili Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan yang akan mewakili Malaysia bertanding di peringkat Asia," ujarnya mengakhiri hantaran tersebut.
11 Mar 25
883
Peliter@KSNT 2025 Sasar 200,000 Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 11 Mac -Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) menyasarkan sehingga 200,000 pengunjung pada Program Pelita Raya Terengganu (Peliter@KSNT 2025) tahun ini.
Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman berkata, bertemakan 'Membudayakan Khazanah Warisan Kita' program itu bakal diadakan pada 13 hingga 16 Mac ini di Perkarangan Tasik Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), Gong Badak bermula jam 8.45 malam hingga 11.30 malam.
“Berdasarkan pengalaman penganjuran Program Pelita Raya sebelum ini, kami jangkakan kehadiran pengunjung adalah hampir 200,000.
“Dengan pemilihan KSNT yang lebih luas dan memberi kemudahan aksesibiliti serta lebih keselesaan untuk pengunjung, kita sasarkan peningkatan seramai 50,000 orang di mana pada tahun lepas kita telah berjaya mencatat seramai 150,000 pengunjung,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung di TV Darul Iman (TVDI), Temubual Selamat Pagi Terengganu (SPT), di sini, semalam.
Mengulas lanjut katanya, beliau yakin dapat capai sasaran tersebut kerana kali ini terdapat 19 penyertaan dari pejabat daerah, agensi badan berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Lebih membanggakan katanya, Peliter@KSNT 2025 bakal mencipta sejarah baru apabila berjaya menarik penyertaan dari luar negara antaranya Thailand, Bangladesh, Myanmar dan Indonesia.
Dalam pada itu Ahmad Ridzwan berkata, program tersebut turut dimeriahkan dengan penyertaan 32 vendor serta usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) selain jualan makanan tradisonal dari setiap daerah.
“Turut diadakan demonstrasi makanan tradisional seperti loklik, jalam mas, ketupat palas dan lain-lain.
“Serta demo kraf dan permainan tradisional seperti anyaman, ting-ting bulu ayam, batu seremban, musang berjanggut, tuju selipar dan sebagainya,” katanya.
11 Mar 25
158
Moreh Selepek Sahur Perkenal Warisan Terengganu Kepada Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 11 Mac – Program 'Moreh Selepek Sahur' yang berlangsung di Payang Walk bukan sekadar moreh biasa, malah turut menjadi platform untuk memperkenalkan seni, budaya serta warisan tradisional Terengganu kepada pengunjung.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, program itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dalam memperkasakan promosi produk pelancongan berasaskan warisan tempatan.
“Moreh Selepek Sahur bukan sekadar jamuan makanan, tetapi membawa elemen pendidikan dan pengalaman kepada pengunjung.
“Mereka bukan sahaja dapat menikmati juadah tradisional seperti kuih akok, sagupal, puding raja dan loklik, malah berpeluang melihat demonstrasi seni kraf seperti batik, kaligrafi dan pemakaian tanjak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika merasmikan Program Voluntourism & Volunsharing bertempat di Payang Walk, Taman Shah Bandar, Kuala Terengganu di sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Terengganu, Mazshidal Roslal, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ridzwan Abdul Rahman dan Pengurus Besar Kampung Budaya Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani.
Program tersebut kerjasama antara MOTAC bersama Payang Walk dengan dihadiri oleh pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang turut mengagihkan juadah berbuka kepada orang ramai di sekitar Pesisir Payang.
Razali berkata, beliau juga ingin melihat lebih ramai anak muda mengenali dan menghargai budaya serta makanan tradisi Terengganu.
“Selain mengagihkan juadah berbuka kepada orang ramai di sekitar Pesisir Payang, para sukarelawan juga diberi peluang untuk mencuba sendiri pembuatan kuih tradisional sebelum menghidangkannya kepada pengunjung.
“Program ‘Moreh Selepek Sahur’ dijangka akan diteruskan sebagai acara tahunan dalam usaha memperkasakan pelancongan budaya negeri Terengganu menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Terengganu 2027,” ujarnya.
11 Mar 25
412
'Drawbridge' Jambatan Pertama di Dunia Beroperasi Guna Tenaga Solar
KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Drawbridge) bakal dinobatkan sebagai jambatan pertama di dunia yang beroperasi menggunakan 98 peratus tenaga solar tidak lama lagi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata Jambatan Angkat Kuala Terengganu telah didaftarkan di bawah Green Energy Tariff dan telah menerima sijil pengiktirafan daripada The International Tracking Standard Foundation.
"Sepanjang tahun 2024, kadar penggunaan elektrik di jambatan angkat ialah sebanyak 176 megawatt untuk menara utara dan 294 megawatt di menara selatan.
"Peralihan kepada tenaga solar ini adalah usaha kita untuk menyahut seruan kerajaan ke arah melestarikan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (Environmental, Social and Governance - ESG)," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pengendalian dan Pengurusan Operasi Jambatan Angkat Antara Kerajaan Terengganu Dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Trg Inc) Serta Penyerahan Perjanjian Pengendalian Dan Pengurusan Operasi Kepada TI Properties Sdn Bhd di sini, petang semalam.
Melalui perjanjian itu, Terengganu Inc melalui anak syarikatnya, TI Properties Sdn Bhd terus diberi kepercayaan untuk mengendalikan operasi jambatan angkat selama lima tahun hingga 31 Mei 2029.
Tambahnya, kos pengoperasian dan penyelenggaraan Jambatan Angkat bagi tempoh 2019 hingga Disember 2024 telah mencecah RM11.75 juta.
“Yang mana sehingga kini, Terengganu Inc telah menanggung sebanyak RM8.12 juta bagi kos penyelenggaraan terlibat,”ujar beliau lagi.
Burhanuddin Hilmi juga berkata, keunikan Jambatan Angkat sebagai mercu tanda ikonik negeri Terengganu terbukti apabila menerima anugerah dan pengiktirafan oleh pelbagai pihak.
“Pada 2019, Jambatan Angkat telah dianugerahkan ‘Best New Tourism Icon Kuala Terengganu’ dan Malaysia Tourism Council, (Gold Award) Kuala Terengganu drawbridge.
“Manakala pada tahun 2023, ia diberi pengiktirafan Malaysia Tourist Quality Assurance (Gold Award) yang memberikan imej positif kepada pelancongan di Terengganu,” katanya.
10 Mar 25
1994
Terengganu Anjur Majlis Berbuka Puasa Bersama Perantau
KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Kerajaan negeri akan bertemu anak Terengganu yang berada di perantauan sekali gus akan meraikan mereka di dalam satu majlis berbuka puasa istimewa.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Urus Setia Majlis berbuka Puasa Anak Terengganu di Perantauan di Wisma Darul Iman bagi memastikan agenda itu berjalan lancar.
"Alhamdulillah, kerajaan Negeri Terengganu akan menganjurkan acara tahun di bulan Ramadan bersama anak-anak Terengganu di perantauan.
"Majlis berbuka puasa ini akan diadakan pada 15 Mac di Dewan D'MAEPS Serdang Selangor," jelasnya dalam satu kenyataan.
Justeru beliau menjemput anak-anak perantau yang berada di sekitar Lembah Kelang untuk sama-sama hadir bagi memastikan majlis itu nanti akan meninggalkan kenangan yang penuh bermakna.
"Pihak kami memohon jutaan kemaafan ekoran kapasiti muatan dewan agak terhad dan terpaksa membuat sistem pendaftaran.
"Semoga majlis ini dipermudahkan," ujarnya.
10 Mar 25
2243
Jambatan Angkat Sasar 150 Ribu Pengunjung Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 10 Mac- Kerajaan negeri menyasarkan kedatangan 150,000 pengunjung ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Drawbridge) melalui pelbagai pelaksanaan program yang dianjurkan sepanjang tahun.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Terengganu, Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, sasaran tersebut juga berdasarkan kerjasama strategik di antara semua pihak terlibat sekaligus menyokong komitmen Kerajaan Negeri untuk membangunkan industri Pelancongan serta meningkatkan lagi taraf sosial rakyat Terengganu.
“Keunikan Jambatan Angkat ini telah berjaya merekodkan bilangan pengunjung seramai 595,579 orang terdiri daripada pengunjung domestik dan antarabangsa pada tahun lepas.
”Rekod ini adalah bagi tahun pertama pengoperasian iaitu tahun 2019 sehingga bulan Mac 2025,”ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pengendalian dan Pengurusan Operasi Jambatan Angkat Antara Kerajaan Terengganu Dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Trg Inc) Serta Penyerahan Perjanjian Pengendalian Dan Pengurusan Operasi Kepada TI Properties Sdn Bhd di sini, petang semalam.
Berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh pihak Terengganu Inc, Kerajaan Negeri melalui keputusan MMKN pada 7 Ogos 2024 telah bersetuju bagi penyambungan dan perlanjutan tempoh pengendalian dan pengurusan operasi Drawbridge bagi tempoh lima tahun berikutnya iaitu bermula 1 Jun 2024 hingga 31 Mei 2029.
Tambah Tun Ahmad Faisal yang juga Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), bagi memastikan kelancaran pengoperasian dan pengurusan Jambatan Angkat, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pemantauan Operasi Drawbridge telah menetapkan had muatan berat lima tan ke bawah yang boleh melalui jambatan berkenaan dengan kelajuan 30 kilometer sejam.
“Kita akan memasang 20 papan tanda di kawasan sekitar sebagai peringatan kepada orang ramai.
“Langkah pencegahan lain yang akan dilaksanakan dengan kadar segera ialah pemasangan palang ketinggian dan penyediaan garisan kuning ”Speed Breaker” sebagai kawalan had laju kenderaan yang melalui Drawbridge,” katanya.
10 Mar 25
136
Duyong Marina Kongsi Rezeki, Rai Pelajar Asnaf
KUALA TERENGGANU, 10 Mac – Sempena keberkatan bulan Ramadan tahun ini, Duyong Marina & Resort (DMR) mengambil kesempatan untuk menceriakan pelajar-pelajar asnaf terpilih berbuka puasa di Fiesta Ria Ramadan.
Pengurus Besarnya, Wan Faizul Wan Abas berkata program dibawah tanggungjawab sosial korporat(CSR) itu bertujuan untuk berkongsi rezeki serta menyemai nilai kebersamaan dalam masyarakat, sejajar dengan semangat Ramadan yang menggalakkan keikhlasan dalam memberi dan membantu mereka yang memerlukan.
Menurutnya, sebagai permulaan DMR telah meraikan para pelajar dari Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Tok Jiring dengan pelbagai hidangan istimewa berbuka puasa dalam suasana yang penuh kehangatan.
“Alhamdulillah, DMR mengambil peluang mengadakan majlis ini di bulan Ramadan di mana ia mampu membawa kepada nilai-nilai murni dalam diri setiap insan seperti mengeratkan kasih dan silaturahim,
“Amalan berpuasa memiliki fadilatnya yang tersendiri dari sudut kemasyarakatan dan kerohanian.
“Apabila kita berasa lapar dan dahaga, kita akan dapat merasai sendiri kesusahan golongan yang memerlukan, tidak salah untuk kita berkongsi sedikit kegembiraan buat mereka yang memerlukan,” ujarnya kepada pemberita ketika dihubungi.
Wan Faizul juga berkata, program tersebut bukan sekadar satu inisiatif kebajikan, tetapi juga sebagai satu platform untuk membina hubungan erat antara pihak DMR dan komuniti setempat.
Justeru itu katanya, DMR akan meneruskan usaha itu dengan menjemput lebih ramai pelajar asnaf untuk menikmati berbuka puasa bersama di resort.
“Selepas ini, kita akan meraikan, pelajar asnaf dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri diikuti oleh Madrasah Darus Salam dan Madrasah Darul Ulum Chendering .
“Dengan adanya program ini, DMR berharap dapat memberikan sedikit kegembiraan kepada para jemputan serta menyemarakkan semangat keprihatinan dalam kalangan masyarakat.
Tambahnya, DMR komited dalam melaksanakan inisiatif sosial yang memberi manfaat kepada komuniti dan berharap usaha ini akan menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk turut serta dalam menyumbang kepada mereka yang memerlukan.
10 Mar 25
114