lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

UMT Perkenal Program AI Bantu Pelajar Kuasai Teknologi
UMT Perkenal Program AI Bantu Pelajar Kuasai Teknologi
KUALA NERUS, 6 Mac- Dalam usaha beradaptasi dengan arus kemodenan dunia, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengorak langkah memperkenalkan Program Kecerdasan Buatan (AI) dan Pendigitalan kepada seluruh warga institusi tersebut. Menurut Naib Canselor UMT, Profesor Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim, ia merupakan satu usaha dengan menyahut seruan kerajaan untuk memastikan setiap warga memiliki kemahiran dalam AI. "Kami telah memperkenalkan subjek atau modul AI ini kepada semua pelajar dan ia menjadi kursus wajib sebelum mereka bergraduasi. Mereka perlu mahir mendalami ilmu berkaitan AI bahkan, ia bukan sahaja kepada pelajar sahaja, tetapi untuk staf juga. "Untuk itu, kita akan melaksanakan subjek ini secara wajib bermula semester akan datang (Oktober). Buat masa ini, kita cuma buat secara elektif dahulu yang kita tawarkan secara 'micro credential', jadi bila-bila masa sahaja pelajar boleh mengikuti program tersebut secara dalam talian. "Untuk staf pula, program ini sudah bermula melalui bahagian bakat staf yang kita perkasakan," katanya kepada pemberita. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perutusan Naib Canselor 2025 yang membawa tema 'Memperteguh Kebersamaan ke Arah Universiti Marin Terkemuka' di Dewan Sultan Mizan, di sini hari ini. Tambahnya, semua staf merentasi kumpulan akademik atau sokongan akademik, profesional dan sokongan perlu melengkapkan diri dengan kemahiran baharu yang diperkenalkan . "Program latihan AI akan diperluaskan melalui modul-modul latihan yang lebih berstruktur dan berasaskan tahap.  "Pendekatan ini memberi peluang kepada lebih ramai staf untuk menyertai program latihan dalam meningkatkan kemahiran dengan mengaplikasi teknologi AI dalam urusan kerja sama ada pentadbiran atau pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan.  "Latihan ini bertujuan memberi pendedahan AI dalam bidang yang lebih spesifik, seperti pendidikan adaptif, pengurusan pintar dalam universiti, dan analisis ramalan untuk membantu perancangan strategik," katanya. Dalam pada itu, UMT telah menyasarkan sebanyak lapan tumpuan dan 45 strategi yang perlu dilaksanakan seluruh warganya bagi tahun 2025 bertujuan mengangkat UMT sebagai Universiti Marin Berfokus. Banyak perkara yang dirancang antaranya untuk menyokong kriteria Universiti Marin Berfokus seperti menawarkan program akademik yang baharu berkaitan industri marin. "Contohnya ialah Sarjana Muda Pengurusan Perkapalan dan Pelabuhan, Sarjana Muda Logistik dan Pengurusan Rantaian Bekalan, dua program yang dicadangkan untuk ditawarkan bagi mengukuhkan institusi ini sebagai universiti marin," katanya.
06 Mar 25
201
JPNT Senarai 101 Aktiviti Meriahkan Ramadan
JPNT Senarai 101 Aktiviti Meriahkan Ramadan
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) buat julung kalinya telah menyenaraikan 101 aktiviti termasuklah Bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri, Bazar Moreh, Madinah Ramadan serta pelbagai program lain bagi memeriahkan Ramadan di negeri ini.   Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar & Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, memaklumkan bahawa kesemua aktiviti yang dianjurkan di setiap daerah telah disenaraikan sebagai acara utama dalam program Indahnya Ramadan @ Terengganu. "Diharapkan pendekatan baharu ini, yang kini dimasukkan dalam kalendar tahunan pelancongan, akan menjadi daya tarikan baharu bagi menggalakkan kehadiran pelancong ke Terengganu sepanjang bulan Ramadan. "Selain menikmati pelbagai variasi makanan tradisional Terengganu, pelancong juga berpeluang menyertai pelbagai program keagamaan yang diadakan di seluruh daerah," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media dalam sidang media Program Peliter Raya @ KSNT yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa 1, Tingkat 6, Wisma Darul Iman (WDI), semalam. Mengulas lebih lanjut, semua aktiviti itu akan dihebahkan secara e-brosur untuk rujukan para pelancong sebelum dan semasa berada di negeri ini. "Di antara acara utama Indahnya Ramadan @ Terengganu yang disenaraikan adalah Bazar Ramadan Pasar Chabang Tiga, Moreh Ramadan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Carfood Sahur 8.0, Terengganu Drawbridge Moreh Festival, Selepek Sahur Payang Walk. "Antaranya lagi ialah, program Madinah Ramadan Peringkat Negeri Terengganu dan Sambutan Nuzul Quran dan Badan Qubra Peringkat Negeri di Kuala Terengganu. "Selain itu turut tersenarai membabitkan daerah Kula Nerus ialah Bazar Ramadan Teluk Ketapang dan Moreh Nostalgia Studio Jalan Ampas (NoSJA). Manakala di Kemaman ialah Bazar Ramadan Persatuan Usahawan Perwira dan Bazar Moreh Kelab Anak Muda Prihatin Kampung Tengah,"ujarnya. Tambah beliau lagi antara aktivti yang tersenarai membabitkan Daerah Dungun pula ialah Bazar Ramadan Sura Gate dan D'Moreh. "Untuk Daerah setiu ialah Bazar Ramadan Rhu 10 dan Program Qiamullail Perdana dan Pahlawan Subuh. "Di Hulu Terengganu Bazar Aidilfitri Bandar Kuala Berang dan Bazar Ramadan Ajil, turut tersenarai Bazar Ramadan Bandar Marang di Daerah Marang. "Besut pula yang tersenarai ialah Bazar Ramadan Dataran Limbongan dan Bazar Ramadan di Kampung Raja,"jelasnya.
06 Mar 25
363
DAP Tabur Tuduhan Karut Dakwa JKPK Tidak Pernah Bermesyuarat
DAP Tabur Tuduhan Karut Dakwa JKPK Tidak Pernah Bermesyuarat
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Dakwaan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Thiong bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang diketuai pembangkang (Perikatan Nasional) tidak penah bermesyuarat merupakan tuduhan yang sangat karut. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, pihaknya sangat terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen itu sedangkan pada waktu itu JKPK sedang bermesyuarat. Tegasnya, tuduhan itu tidak berasas kerana seluruh rakyat dan orang ramai boleh melihat setiap kali aktiviti mesyuarat yang diadakan kerana ia dimuat turun dalam facebook rasmi Parlimen Malaysia.. "Sebaik selesai mesyuarat saya terus kembali ke Dewan Rakyat dan memohon speaker mengeluarkan petua atas kenyataan menyeleweng daripada ahli parlimen DAP ini. "Untuk pengetahuan, bagi tahun 2023, JKPK telah mengadakan 10 mesyuarat dan satu lawatan kerja ke Lynas (manakala) bagi tahun 2024, JKPK telah mengadakan 16 mesyuarat, 5 lawatan kerja ke MCRE Resources, Agensi Angkasa, MGTC, NAHRIM dan Agensi Nuklear, serta telah membentangkan empat penyata dalam dewan. "Bagi tahun 2025 pula setakat bulan Februari, JKPK telah pun mengadakan dua mesyuarat dan satu lawatan kerja ke Sarawak. Malah, saya baru sahaja selesai mempengerusikan satu lagi mesyuarat JKPK pada 2.30 petang tadi (semalam),"ujarnya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di facebooknya, semalam. Dalam pada itu beliau mencabar Ahli Parlimen Kota Melaka itu sekiranya dakwaannya itu benar maka keluarkan sekali lagi kenyataan yang sama. "Jika berani, Ahli Parlimen Kota Melaka boleh mengulangi fitnah ini di luar dewan,"tegas beliau. Dalam perkembangan yang sama, beliau menyatakan beliau telah mempengerusikan mesyuarat JKPK Untuk Alam Sekitar Sains dan Perladangan dengan menerima kehadiran Kementerian Perladangan dan Komoditi. Jelasnya, apa yang menjadi perbincangan selalu berkait dengan kepentingan rakyat sebagaimana minggu lepas pihaknya telah berbincang mengenai Industri Sawit. "Hari ini (semalam) kami membincangkan Industri Getah,"ujar beliau.  
06 Mar 25
229
Terminal Bas Sementara Jerteh Beroperasi Minggu Depan
Terminal Bas Sementara Jerteh Beroperasi Minggu Depan
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Terminal Bas Jerteh kini berpindah ke tapak operasi sementara bagi memberi laluan pembinaan terminal bas baharu bermula 18 Februari 2025. Melalui notis yang dikongsikan di laman rasmi Facebooknya semalam, Majlis Daerah Besut (MDB) memaklumkan stesen bas sementara akan mula beroperasi pada 11 Mac 2025 sebagaimana dua ketetapan berikut. “Pertama, bas henti-henti dan teksi akan berpindah ke tepi bangunan Jerteh Souq. “Kedua, bas ekspress dan kaunter tiket akan berpindah ke kawasan rehat dan rawat (R&R) Jabi,” jelasnya dalam kenyataan tersebut. Tegas MDB, tiada hentian lain yang akan dibenarkan beroperasi selain daripada hentian yang telah disenaraikan di atas. Dalam pada itu, pihak MDB mengharapkan kerjasama dan perhatian daripada semua pihak serta memohon maaf terhadap sebarang kesulitan berikutan pemindahan itu.
06 Mar 25
1105
Jalan Rosak Akibat ECRL, Ahli Parlimen Gesa Kerajaan Persekutuan Bertindak
Jalan Rosak Akibat ECRL, Ahli Parlimen Gesa Kerajaan Persekutuan Bertindak
Oleh : Abdul Hafiz KUALA LUMPUR, 6 Mac - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dikaitkan dengan kerosakan jalan persekutuan di Setiu, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, membangkitkan isu ini di Dewan Rakyat semalam, termasuk keadaan jalan mendap di Kampung Air Sejuk yang dikatakan berisiko tinggi kepada pengguna. "Saya ingin tahu sejauh mana usaha kerajaan dalam membaik pulih jalan ini.  "Selain itu, banyak jalan persekutuan mengalami kerosakan akibat projek ECRL.  "Apakah langkah kerajaan untuk menangani isu ini?,” katanya dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat. Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, memaklumkan bahawa kerajaan akan memberikan jawapan bertulis berkenaan masalah jalan mendap di Kampung Air Sejuk. Beliau juga menjelaskan bahawa penyelenggaraan jalan persekutuan dilakukan secara berkala bagi memastikan keselamatan pengguna. Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memantau keadaan jalan di kawasan terjejas dan mengambil tindakan segera bagi mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya
06 Mar 25
203
Senator DAP Desak Persekutuan Salur Royalti Terus Kepada Kerajaan Terengganu
Senator DAP Desak Persekutuan Salur Royalti Terus Kepada Kerajaan Terengganu
KUALA LUMPUR, 5 Mac - Senator DAP, Dato' Kesavadas A. Achyuthan Nair, menegaskan bahawa pembayaran baki royalti minyak kepada kerajaan negeri Terengganu perlu dilakukan secara langsung demi memastikan kebajikan rakyat negeri itu terjamin serta memperkukuh pembangunan ekonomi negara. Dalam sesi perbahasan di Dewan Negara, beliau mengakui kepentingan Akta Kemajuan Petroleum 1974 serta perjanjian yang dimeterai antara kerajaan negeri dan Petronas sejak 1978. Menurutnya, rakyat Terengganu berhak menerima manfaat penuh daripada hasil minyak dan gas yang diperoleh dari perairan negeri tersebut. “Terengganu dan seluruh rakyatnya berpegang bahawa minyak dan gas yang diperolehi di perairan Terengganu adalah hak negeri ini sejak 1978. “Saya juga percaya dengan pembayaran baki royalti itu, kerajaan negeri dapat menambah hasil negeri yang seterusnya membantu menjaga kebajikan rakyat selain memberikan impak positif kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya. Beliau turut mempersoalkan mengapa wang hasil petroleum tersebut tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri, sebaliknya diberikan kepada pihak ketiga. Baginya, ketelusan dalam pembayaran royalti adalah penting agar hak negeri tidak dinafikan. Sementara itu, Ahli Dewan Negara Terengganu, Senator Hussin Ismail menyatakan bahawa isu royalti itu bukan sekadar hak rakyat Terengganu, tetapi telah termaktub dalam perjanjian sah yang dimeterai antara kerajaan negeri dan Petronas. "Perjanjian itu turut disaksikan oleh Menteri Kewangan ketika itu," tegasnya. Menjawab perkara tersebut, Kesavadas mengesahkan bahawa Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian berkaitan memang termaktub dalam dokumen rasmi dan beliau tidak menafikan fakta tersebut. Namun, beliau tetap menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu bekerjasama dalam memastikan ekonomi negara berkembang dengan baik. “Saya beranggapan sekiranya tiada kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan, maka amat susah, sukar untuk membangunkan ekonomi negara,” tambahnya.  
05 Mar 25
2489
Thailand, Bangladesh, Myanmar, Nepal Sahkan Sertai Pelita Raya Terengganu
Thailand, Bangladesh, Myanmar, Nepal Sahkan Sertai Pelita Raya Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 Mac - Pelita Raya Terengganu 2025 bakal mencipta sejarah baru dengan penyertaan negara luar antaranya Thailand, Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Nepal. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar & Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, empat buah negeri itu telah mengesahkan kehadiran bagi menyertai program Pelita Raya Terengganu. Kata Razali, dengan tema 'Membudayakan Khazanah Warisan Kita' program itu bakal diadakan pada 13 hingga 16 Mac di Perkarangan Tasik Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak bermula jam 8.45 malam hingga 11.30 malam. "Kita cuba mengangkat program ini ke peringkat antarabangsa dengan menjemput banyak negara untuk menyertai termasuk Singapura, Brunei, Pakistan namun yang mengesahkan untuk hadir ialah empat negara terbabit. "Namun, kita masih menunggu beberapa negara lagi yang akan sertai, kita sedang menunggu senarai daripada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat. "Penyertaan dari luar negara pada peringkat awal mereka tidak akan bertanding, tetapi untuk menunjukkan kepada kita bahawa mereka juga ada pelita tradisi dengan cara serta budaya yang tersendiri," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Sidang Media Program Peliter Raya @ KSNT, di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa 1, Tingkat 6, Wisma Darul Iman (WDI), di sini, hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar & Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridzwan Abdul Rahman. Mengulas lebih lanjut Razali berkata, program itu juga akan turut disertai oleh negeri Kelantan dan Perlis melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK). "Mereka bertanding dalam kategori Agensi dan Badan Kerajaan yang akan disertai oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Majlis Sukan Negeri Terengganu, Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu, MOTAC/Tourism Malaysia. "Ia termasuk KETENGAH, Terengganu Inc, Pusat Sains Kreativiti Terengganu (PSKT), Tenaga Nasional Berhad (TNB). "Lapan daerah di negeri Terengganu ini pula akan menyertai kategori Pejabat Daerah,"ujarnya. Dalam masa yang sama menurut Razali, bagi memastikan acara berprestij itu lebih meriah, satu rakan strategik telah dibentuk dengan turut menjemput seluruh negeri menyertainya. "Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Pahang, Johor , Melaka, Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya akan menyertai Pelita Raya ini," ujarnya. Sementara itu, katanya kerajaan negeri menjemput khas Persatuan Cina Peranakan Terengganu, Persatuan India dan orang Asli untuk turut sama memeriahkan. "Apabila kita jemput, mereka sangat gembira untuk menyertai tambahan pula tradisi pelita raya ini telah dikenali dan telah sebati dalam diri mereka kerana tradisi ini telah diadakan turun temurun dan diamalkan oleh masyarakat Islam di negeri ini," katanya.    
05 Mar 25
890
ADUN Agih 300 Pek Kurma di Bazar Ramadan Kijal
ADUN Agih 300 Pek Kurma di Bazar Ramadan Kijal
KEMAMAN, 4 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris mengagihkan 300 pek kurma kepada peniaga dan pengunjung di Bazar Ramadan Kijal, semalam.   Beliau memaklumkan, program edaran kurma itu merupakan inisiatif tahunan bagi meraikan kehadiran bulan Ramadan serta mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.   Tambahnya, pengagihan kurma ini bukan sahaja sebagai tanda penghargaan kepada para peniaga yang bertungkus-lumus mencari rezeki sepanjang Ramadan, tetapi juga sebagai usaha menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk Kijal.   “Ramadan adalah bulan penuh keberkatan, dan kita mahu berkongsi rezeki serta kebahagiaan dengan semua. Semoga amalan ini membawa keberkatan kepada kita semua,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program berkenaan.   Program tersebut mendapat sambutan hangat daripada peniaga dan pengunjung yang menghargai keprihatinan wakil rakyat mereka.   Seorang pengunjung bazaar, Iskandar Alias, 25, yang juga pelajar Kolej Universiti TATI, meluahkan rasa teruja dengan kehadiran ADUN Kijal ke tapak bazar tersebut.   “Terima kasih kepada Tok Li atas sumbangan pek kurma ini. Saya berharap program seperti ini dapat diadakan di setiap bazar agar lebih ramai yang memperoleh manfaat.   “Semoga bulan Ramadan tahun ini membawa kita ke arah yang lebih baik dengan memperbanyakkan ibadah kepada Allah SWT,” ujarnya.  
04 Mar 25
144
Pakar Perubatan Sokong Hasrat Terengganu Haramkan Vape
Pakar Perubatan Sokong Hasrat Terengganu Haramkan Vape
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah menyambut baik dan menyokong penuh hasrat Kerajaan Terengganu untuk mengharamkan vape secara total. Katanya, langkah itu sangat tepat dan wajar demi membebaskan generasi hari ini daripada terus terlibat dalam ketagihan vape yang semakin membimbangkan. Menurut beliau, pengharaman vape itu bukan sahaja menyebabkan penjualan, pengiklanan dan sebarang berkaitan vape di seluruh negeri akan terhenti tetapi akan memastikan undang-undang ketat dikuatkuasakan sepenuhnya. "Ini adalah langkah yang sangat penting untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat Terengganu, terutamanya golongan muda yang mudah terpengaruh dengan penggunakan vape. "Dalam masa yang sama, kami juga menggesa supaya premis-premis yang melibatkan penjualan rokok diperketatkan lagi oleh Kerajaan Negeri Terengganu. "Langkah ini adalah penting untuk memastikan bahawa penjualan rokok, termasuk rokok elektronik dikawal dengan lebih ketat bagi melindungi generasi muda daripada terus rosak akibat vape dan rokok,"ujarnya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, baru-baru ini. Mengulas lebih lanjut, pihak beliau yakin dan percaya bahawa usaha tersebut akan dapat membina masyarakat yang lebih sihat dan bebas daripada ketagihan vape dan rokok. "Marilah kita semua menyokong usaha kerajaan Negeri Terengganu dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara," ujarnya.
03 Mar 25
327
Kerajaan Digesa Pertimbang Peruntukan Khas Jayakan Kad Sejahtera
Kerajaan Digesa Pertimbang Peruntukan Khas Jayakan Kad Sejahtera
KUALA LUMPUR, 3 Mac - Kerajaan Persekutuan digesa untuk mempertimbangkan peruntukan khas sebanyak RM5 juta bagi membolehkan program Kad Sejahtera Terengganu diteruskan demi manfaat golongan rentan dan B40 di negeri itu. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata, skim berkenaan yang pernah diperkenalkan sebelum ini namun terpaksa dihentikan berikutan kekangan berkait pembayaran royalti petroleum. “Sebelum ini, Terengganu ada membuat skim yang hampir sama iaitu Kad Sejahtera, tetapi oleh kerana kekangan kewangan negeri, ia terpaksa dihentikan. “Pihak kerajaan negeri telah memohon secara rasmi kepada Menteri Kesihatan untuk diberi peruntukan khas sekitar RM5 juta setahun bagi skim ini, yang melibatkan 20,000 keluarga golongan rentan dan B40,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini. Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu beban kerja tinggi yang menjadi punca ramai jururawat kerajaan berhijrah ke sektor swasta atau berhenti kerja. “Maklumat yang diberikan kepada kita setakat 31 Disember 2024 menunjukkan masih ada 14,731 kekosongan jawatan jururawat yang belum diisi. “Berdasarkan kenyataan Menteri Kesihatan pada Julai tahun lepas, seramai 2,445 jururawat telah memohon untuk berhenti kerja, sama ada untuk ke luar negara atau ke sektor swasta,” ujarnya. Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan kerajaan untuk menambah waktu bekerja jururawat. “Cadangan untuk menambah waktu bekerja daripada 42 jam kepada 45 jam seminggu akan menambahkan lagi beban kepada jururawat kita. “Selain itu, kenaikan premium insurans kesihatan serta pelaksanaan sistem copayment akan menyebabkan lebih ramai pesakit beralih ke hospital kerajaan, yang akhirnya akan meningkatkan tekanan kepada sektor awam,” katanya lagi. Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyokong inisiatif kerajaan memperkenalkan Skim Perubatan Madani. “Usaha ini sangat baik kerana sebahagian pesakit boleh dialihkan ke sektor swasta. Bila mereka mendapat rawatan awal di sektor swasta, tahap kesihatan primer dapat dipertingkatkan dan bilangan pesakit yang perlu dimasukkan ke hospital dapat dikurangkan. “Namun, adakah kerajaan bersedia untuk memperluaskan Skim Perubatan Madani ke seluruh negara? Setakat ini, ia hanya melibatkan 10 daerah sahaja,” soalnya.
03 Mar 25
169