Artikel "Semasa" Terkini
ADUN Rai 300 Pelajar Tahfiz Berbuka Puasa
KEMAMAN, 13 Mac – Seramai 500 pelajar institusi pondok dan tahfiz dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal diraikan dalam satu Majlis Iftar Institusi Pondok dan Tahfiz bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris yang berlangsung di Dewan DITC, Kemaman semalam.
Pengarah program, Mohamad Rosli AB Rahman berkata, majlis tersebut bertujuan menghimpunkan pelajar tahfiz untuk mempereratkan ukhuwah selain mengimarahkan bulan Ramadan dengan pengisian rohani yang bermanfaat.
“Majlis bermula pada jam enam petang diawali dengan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Isma Azim Ismaizam, tenaga pengajar dari Maktab Asy Syarif, yang memberikan peringatan mengenai kelebihan Ramadan serta kepentingan menuntut ilmu sebagai asas kejayaan dunia dan akhirat.
“Seramai enam institusi tahfiz terlibat dalam majlis ini, termasuk Raudhatul Hijrah, Maktab Asy Syarif, Madrasah Darul Uloom, Pusat Pengajian Tahfiz Raudhah Ribat Assyafie, Darul Huffaz TATI Skills, dan Madrasah Jamiah Raudhah Al Ilm,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.
Program yang dirasmikan oleh ADUN Kijal, Datuk Razali Idris itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif DITC, Suhaimi Embong, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS) DUN Kijal, Wahab Ahmad dan Pengerusi Jawankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Teluk Kalong, Mohd Zuki Abdul Ghani.
Sementara itu, Razali berkata program itu bukan sahaja sekadar berbuka puasa bersama, tetapi juga sebagai satu wadah untuk memperkukuhkan jaringan antara institusi tahfiz dan pondok di DUN Kijal.
“Saya berharap program ini dapat diteruskan setiap tahun sebagai penghargaan kepada pelajar yang gigih menuntut ilmu agama,” katanya.
Majlis diteruskan dengan solat Maghrib berjemaah sebelum para pelajar dan tetamu menikmati jamuan berbuka puasa yang disediakan.
13 Mar 25
133
Iftar di Sawah Padi Diteruskan, Pukau Perhatian Ramai
BESUT, 13 Mac - Suasana berbuka puasa dikelilingi kehijauan sawah padi terus menjadi daya tarikan di daerah ini apabila mencipta memori terindah kepada mereka yang hadir di Majlis Iftar Perdana yang diadakan petang kemarin di Kampung Padang Baloh.
Majlis yang diadakan itu telah diadakan selama tiga tahun berturut-turut menjelangnya Ramadan telah dihadiri lebih 600 penduduk kampung Padang Baloh serta mereka yang berada di sekitarnya rata-ratanya merupakan golongan petani dengan lebih 100 hidangan disediakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata pihaknya sangat bersyukur kerana acara itu dapat diteruskan serta telah dijadikan acara tradisi sekali gus majlis itu dapat mengeratkan hubungan antara penduduk setempat serta menghidupkan semangat kebersamaan.
"Majlis seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada kita untuk menikmati juadah berbuka puasa bersama, tetapi juga menjadi wadah mempekukuh ukhwah dalam komuniti.
"Saya berharap tradisi ini dapat diteruskan dan menjadi inspirasi kepada penduduk di kampung lain untuk mengadakan program yang menggalakkan perpaduan seumpama ini,"ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, ketika hadir ke majis ini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim.
Sementara itu, Ketua Tani Kumpulan Pengguna Air (KPA)TPBA, Wan Abdullah Wan Abdul Kadir turut berkongsi rasa bangga dengan sambutan luar biasa yang diterima.
"Sebagai petani, kami sangat terharu melihat sokongan yang diberikan oleh masyarakat terhadap majlis ini.
"Sawah padi bukan sekadar sumber rezeki, tetapi juga menjadi tempat yang menyatukan kami semua antara petani dan masyarakat akan terus erat,"ujarnya.
Dalam pada itu ,Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus bagi menyakannya majlis itu.
"Kita berharap agar tradisi tahunan ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang,"ujarnya.
13 Mar 25
3610
Madinah Ramadan Dungun Disambut Meriah
DUNGUN, 13 Mac – Program Madinah Ramadan yang diadakan di Masjid Al Mustaqim, Paya Pelandang, menjadi acara tahunan yang dinantikan di daerah Dungun.
Program ini dilaksanakan dengan penuh meriah bagi bertujuan untuk mendidik masyarakat tentang keindahan hidup mengikut syariat Islam.
Pelbagai aktiviti keagamaan, termasuk ceramah dan pengajian, diadakan untuk memanfaatkan keberkatan bulan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi berkata, seluruh umat Islam diseru untuk mengambil peluang terbaik dalam bulan Ramadan dengan menambah amal ibadah dan ilmu.
"Di saat kita menahan diri daripada makanan jasmani pada siang hari, kita harus mengisi makanan rohani pada saat berpuasa. Itulah sebaik-baik puasa di bulan Ramadan.
"Program Madinah Ramadan bukan sekadar memperingati bulan suci Ramadan, tetapi juga memberi peluang kepada masyarakat untuk memperdalam ilmu agama melalui majlis-majlis ilmu yang telah disediakan oleh pihak penganjur," katanya ketika ditemui selepas perasmian Madinah Ramadan daerah Dungun, di sini semalam.
Program berkenaan telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang menegaskan pentingnya program-program seperti ini dalam memperkukuhkan kefahaman agama dalam kalangan masyarakat dan memupuk semangat perpaduan.
Mohd Fadhli turut mengajak semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama memeriahkan program Madinah Ramadhan kali ini, dengan harapan agar ia dapat memberi manfaat yang besar kepada semua yang terlibat.
Dengan kerjasama padu antara pihak penganjur dan masyarakat, program Madinah Ramadhan di Dungun tahun ini dijangka akan terus memberi impak positif dalam mempertingkatkan kesedaran agama dan sosial dalam kalangan penduduk setempat.
13 Mar 25
126
Kerjasama Terengganu-PNB Lonjak Ekonomi dan Peluang Pelaburan Baharu
KUALA TERENGGANU, 13 Mac - Kerjasama antara kerajaan negeri bersama Permodalan Nasional Berhad (PNB) bakal membuka ruang kepada perbincangan mengenai potensi kerjasama strategik dalam usaha memperkukuhkan ekonomi negeri melalui pelbagai inisiatif pelaburan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya amat berbesar hati atas kunjungan hormat daripada PNB yang diketuai Pengerusinya, YM Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Raja Tun Uda, semalam.
Beliau menzahirkan keyakinannya bahawa kerjasama itu bakal memberikan impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan Negeri juga sentiasa positif untuk membuka peluang kerjasama antara kedua-dua pihak terutamanya bagi mengukuhkan ekonomi yang lebih mampan melalui projek-projek yang dilaksanakan.
“Saya juga amat menggalakkan masyarakat khususnya di Terengganu untuk mengambil peluang dalam pelaburan yang ditawarkan oleh PNB," ujarnya, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.
Kerjasama yang erat ini bukan sahaja akan meningkatkan daya saing Terengganu, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan rakyat melalui pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan.
Dr. Samsuri percaya, dengan langkah proaktif, inisiatif-inisiatif yang bakal dilaksanakan akan memberi manfaat jangka panjang kepada negeri Terengganu sejajar dengan matlamat memperkukuhkan ekonomi negeri dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
13 Mar 25
1058
Laluan Pelayaran Muara Merang Hanya Untuk Sementara
KUALA TERENGGANU, 13 Mac - Setiap tahun selepas musim tengkujuh berakhir, kerajaan negeri, komuniti nelayan dan pihak berkepentingan di muara Merang berdepan dengan satu tugas penting yang telah menjadi rutin tahunan mereka - menggali muara yang tertimbus akibat mendapan pasir.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, tindakan menggali muara selepas musim tengkujuh itu bukanlah sebagai satu langkah penyelesaian jangka panjang.
"Sebelum ini tiada sebarang projek mendalamkan muara dan pembinaan benteng pemecah ombak yang diluluskan. Sebab itulah semua langkah bersifat sementara.
"Kini sukacita dimaklumkan pada tahun 2023 dalam RMKe-12, apa yang ditunggu selama ini oleh warga Merang, kita telah berhasil mendapatkan kelulusan sebanyak RM239 juta.
"Projek bernilai ratusan juta untuk membina breakwater dan mendalamkan Muara Merang sedang dalam proses reka bentuk. Ia akan menjadi 'turning point' kepada masalah puluhan tahun yang telah dihadapi," jelasnya.
Mengulas lebih lanjut, Azman menegaskan bahawa penglibatan warga Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Mukim Merang sebagai pengguna utama muara ini memainkan peranan penting untuk menguruskan usaha penggalian sementara itu.
Hal ini kerana, beliau berpendapat bahawa mereka lebih arif dengan segala pergerakan pasir dan aliran air di kawasan tersebut.
Muara Merang merupakan pintu masuk utama bagi nelayan dan pelancong ke beberapa destinasi terkenal seperti Pulau Redang, Pulau Bidong, dan Pulau Lang Tengah.
Namun, berbeza dengan pantai lain yang sering berhadapan dengan hakisan, Muara Merang berdepan dengan masalah sebaliknya, iaitu pemendapan pasir yang menyebabkan laluan perairan menjadi cetek dan sukar dilalui oleh bot serta kapal.
“Fenomena ini bukanlah sesuatu yang baru, malah telah berlanjutan sejak puluhan tahun.
“Setiap kali musim tengkujuh melanda, ombak kuat membawa timbunan pasir ke muara, menyebabkan laluan utama menjadi cetek dan tidak selamat untuk dilalui.
“Ini mengakibatkan nelayan mengalami kesukaran untuk keluar ke laut, manakala sektor pelancongan turut terjejas akibat bot pelancong tidak dapat beroperasi seperti biasa.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran Facebook rasminya, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu juga menaruh harapan dengan pelaksanaan projek besar itu di masa hadapan, komuniti nelayan serta sektor pelancongan di Muara Merang bakal menikmati manfaat jangka panjang.
Sekali gus memastikan kelangsungan ekonomi setempat tidak lagi terganggu akibat masalah mendapan pasir tahunan.
13 Mar 25
510
'My Safe Road' Usaha Kurangkan Kadar Kemalangan Kalangan Belia
KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Kerajaan Terengganu telah mengadakan perbincangan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai 'My Safe Road Terengganu' dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan di negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan(NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, apa yang merisaukan adalah golongan belia mencatatkan angka tertinggi dalam kemalangan jalan raya di Terengganu yang kebiasaannya merupakan pengguna motosikal.
"Insya-Allah, pihak Kerajaan Negeri amat berbesar hati atas usaha kerjasama ini dan akan membuka ruang buat pihak JPJ terlibat sama dalam aktiviti melibatkan belia.
"Dalam usaha memberikan kesedaran semasa (ketika) berada di jalan raya," ujarnya melalui satu kenyataan, di sini, semalam.
Dalam pada itu beliau merakamkan penghargaan terima kasih kepada Pengarah JPJ negeri Terengganu bersama delegasi pihak terbabit yang telah mengadakan kunjungan hormat di Wisma Darul Iman, bagi membincangkan usaha mengurangkan kemalangan di negeri Terengganu.
12 Mar 25
130
Terengganu, HRD Corp Jalin Kerjasama Strategik
KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Kerajaan Terengganu menjalin satu kerjasama strategik dengan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) sekali gus bakal manfaat kepada rakyat negeri ini dalam memiliki kemahiran mencukupi dalam kerjaya.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sangat berterima kasih atas kesudian HRD menjalinkan kerjasama strategik dengan kerajaan negeri.
"Pendekatan kolaboratif yang diambil oleh HRD Corp ini dilihat sebagai satu inisiatif yang sangat positif dalam menyokong Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030) untuk memastikan pembangunan modal insan dan ekonomi di negeri ini dapat dipertingkatkan dengan lebih berkesan.
"Untuk pengetahuan umum, syarikat ini juga bernaung di bawa kelolaan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA)," ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.
Dalam pada itu, beliau menyatakan keyakinan bahawa visi HRD Corp untuk memastikan setiap rakyat Malaysia memiliki kemahiran yang mencukupi dan berupaya untuk bekerja akan turut memberi manfaat kepada rakyat Negeri Terengganu.
"Ini sekali gus dapat membuka peluang bagi mereka untuk menempatkan diri dalam bidang kerjaya dan merealisasikan impian mereka,"ujar beliau.
12 Mar 25
585
Anak Asnaf Terima Sumbangan Istimewa Melalui Projek Baju Raya
KUALA TERENGGANU, 12 Mac – Seramai 60 orang anak asnaf dari daerah Kuala Nerus dan Setiu menerima sumbangan istimewa menerusi Program Projek Baju Raya 2025, yang bertujuan memastikan mereka dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna.
Menurut Pengerusi AKRAB SUK Terengganu, Zuwislan Awang, penerima bantuan terdiri daripada anak-anak yatim, keluarga miskin, serta mereka yang berpendapatan rendah, bagi membolehkan mereka merasakan kegembiraan Syawal seperti kanak-kanak lain.
"Kami mahu mereka merasai sendiri pengalaman membeli pakaian raya baharu, menjadikan Aidilfitri mereka lebih istimewa dan penuh kegembiraan," katanya kepada pemberita di Mayang Mall, di sini kelmarin.
Dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM18,000, program itu bukan sahaja memberikan kegembiraan kepada anak-anak asnaf, malah turut memberi peluang kepada mereka untuk menikmati pengalaman memilih sendiri pakaian raya seperti rakan-rakan sebaya mereka.
Majlis penyampaian sumbangan tersebut turut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, serta Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Terengganu, Wan Radziah Wan Mokhtar.
Ujar Zuwislan, setiap anak asnaf menerima bantuan sebanyak RM300 yang diperuntukkan oleh MAIDAM untuk membeli pakaian raya pilihan mereka.
"Sekiranya ada keperluan tambahan, ibu bapa angkat akan membantu menampung lebihan perbelanjaan di pusat beli-belah ini," tambah Zuwislan.
Beliau turut memaklumkan bahawa program berkenaan telah memasuki tahun kelima dan akan diteruskan dengan pelbagai inisiatif lain, termasuk Projek Baju Sekolah bagi membantu pelajar mendapatkan kelengkapan persekolahan yang mencukupi.
"Insya-Allah, program ini akan diteruskan bagi memastikan lebih ramai golongan yang memerlukan mendapat manfaat, terutama dalam aspek kebajikan dan pendidikan," katanya.
Dengan adanya program seperti ini, diharapkan lebih ramai anak-anak asnaf dapat merasai kemeriahan Aidilfitri tanpa kekangan kewangan, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dalam masyarakat.
12 Mar 25
244
Santuni Peniaga, Raih Rezeki di Bulan Ramadhan
KUALA NERUS, 9 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, meluangkan masa menyantuni 170 orang peniaga di Bazar Ramadan Gong Badak, Kuala Nerus beru-baru ini.
Hishamuddin berkata, kunjungan itu sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen mereka dalam menyediakan juadah berbuka puasa kepada masyarakat.
Dalam kunjungan tersebut, beliau turut mengagihkan apron dan kurma kepada para peniaga serta menyampaikan hadiah cabutan bertuah sebagai galakan kepada mereka untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang bulan Ramadan.
“Saya sempat menyampaikan pesanan buat peniaga bazar supaya mengambil keberkatan bulan Ramadhan dengan melakukan amalan-amalan sunat seperti berzikir sementara menunggu pengunjung datang membeli selain mengingatkan peniaga menjaga kebersihan dan menjual dengan harga berpatutan,” katanya.
Hadir sama dalam program itu ialah Yang Dipertua Persatuan Peniaga Melayu Pasar Malam Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus (PEMATUN), Azaha Yusof.
Menurut Hishamuddin, Bazar Ramadan Gong Badak terus menjadi destinasi pilihan penduduk setempat kerana menawarkan pelbagai jenis juadah, daripada makanan tradisional Terengganu seperti nasi dagang, akok, nekbat dan sata hingga ke hidangan barat yang digemari ramai.
Kedudukannya yang strategik turut menjadikannya lokasi tumpuan para pelajar dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), serta Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail (IPG KDRI) yang mencari hidangan berbuka puasa yang enak dan berpatutan.
12 Mar 25
86
Projek Rumah Mampu Milik Bukit Gasing II Hampir Siap
KUALA TERENGGANU, 12 Mac – Projek pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing II di Marang kini telah mencapai tahap kemajuan sebanyak 78 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, satu sesi kunjungan dilakukan daripada pengurusan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang bagi mendapatkan pemakluman terkini mengenai status pembinaan.
Menurut beliau, pertemuan itu membincangkan beberapa aspek penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek sehingga siap sepenuhnya.
"Projek ini menunjukkan perkembangan yang positif dengan kerja-kerja utama seperti struktur bangunan, pemasangan bumbung, serta sistem perpaipan dan pendawaian elektrik hampir siap sepenuhnya," Wan Sukairi berkata demikian melalui hantaran Facebook rasminya semalam.
Sebagai rekod, projek di bawah kerajaan negeri itu merangkumi 238 unit rumah dan terbahagi kepada dua jenis; jenis A sebanyak 133 unit dan jenis B sebanyak 65 unit.
Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Wakaf Mempelam pernah menjelaskan punca atau isu yang mengakibatkan kelewatan bagi penyiapan projek perumahan tersebut.
Antara punca dan isu yang berlaku adalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika COVID-19 melanda sehingga terpaksa ditangguhkan dan beberapa lagi isu berkaitan yang membantutkan proses penyiapan.
Walau bagaimanapun, kemajuan pembinaan yang telah berjaya dicapai pada masa ini menandakan perkembangan positif dalam usaha kerajaan negeri menyediakan kediaman berkualiti untuk rakyat.
"Kerajaan negeri terus komited dalam memastikan projek ini berjalan lancar, dengan pemantauan rapi dari semasa ke semasa bagi memastikan kualiti pembinaan menepati standard yang ditetapkan," ujarnya.
12 Mar 25
1242