Artikel "Semasa" Terkini
11 Pelajar Pusat Tahfiz Di Chukai Nyaris Rentung
Api dilihat sedang membakar bahagian atap pusat tahfiz tersebut.KEMAMAN - Seramai 11 pelajar dan seorang guru perempuan nyaris rentung setelah asrama Pusat Tahfiz, Hafizatul Quran, hampir musnah dalam satu kebakaran di Bandar Chukai, di sini, semalam.Kejadian pada pukul 8.30 malam itu memusnahkan sebahagian tempat penginapan, peralatan peribadi pelajar seperti buku, katil, tilam dan beberapa barangan yang lain.Rumah yang dijadikan sebagai asrama itu menempatkan pelajar perempuan yang terdiri daripada anak yatim yang berusia sembilan hingga 15 tahun dan ketika kejadian, kesemua pelajar tiada di dalam asrama tersebut.Abdul Latif Abdul KadirMenurut pengetua pusat tahfiz tersebut, Abdul Latif Abdul Kadir, 50, ketika kejadian kesemua pelajar berada di dalam bangunan bersebelahan kerana mengikuti kelas pengajian al-Quran ."Salah seorang pelajar yang hendak mengambil wuduk terlihat api melalui tingkap asrama dan apabila dia mendekati melalui pintu belakang, dia terlihat sebuah bilik sedang terbakar."Apabila saya tanya di bilik tersebut mempunyai soket elektrik atau tidak dan pelajar terbabit menyatakan tiada soket elektrik berhampiran dengan katil dan keadaan menjadi sedikit kelam kabut apabila semua pelajar melihat kebakaran tersebut," katanya.Keadaan asrama pelajar yang musnah dalam kejadian tersebut.Menurutnya, akibat dari kebakaran tersebut, dia mengalami kerugian hampir RM20,000 selepas semua peralatan yang berada di dalam asrama tersebut musnah mengakibatkan semua muridnya trauma sejurus insiden itu."Kita telah benarkan semua pelajar pulang ke kampung masing-masing kerana banyak kerja pembaikian yang perlu dilakukan sebelum kami benarkan pelajar untuk pengajian dan pada masa yang sama dapat menghilangkan rasa trauma mereka," katanya.Ketua Zon Dua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM ) Negeri Terengganu, Azmi Ab Rahim ketika ditemui berkata, pihaknya bersama kekuatan 20 orang anggota bersama tiga pegawai kanan bersama kekuatan empat buah jentera dan satu unit EMRS bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berkenaan kejadian tersebut pada jam 8.38 malam."Operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.12 malam dan kita akan mengarahkan Unit Forensik Kebakaran untuk melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran tersebut," katanya.
28 Aug 18
72
Wakil Rakyat Contoh Terbaik Pupuk Perpaduan-YB Maliaman
YB Maliaman bersama sebahagian Masyarakat Cina Ajil sempena Majlis Ramah Mesra bersama mereka baru-baru ini.HULU TERENGGANU - Kepelbagaian kaum, agama dan fahaman politik bukan satu kekangan untuk bersatu padu bagi mengekalkan keharmonian rakyat Malaysia.Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Maliaman Kassim berkata, faktor politik dan perbezaan agama bukan penghalang untuk masyarakat di negeri ini saling mengukuhkan perpaduan dan jalinan ukhwah."Sebagai orang politik yang sentiasa dilihat dan menjadi perhatian rakyat, kita harus memberikan contoh yang terbaik buat mereka."Jangan wujudkan provokasi seperti menyentuh sentimen agama dan sebagainya bagi menjaga perhubungan antara pemimpin dan rakyat,"katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, di sini, baru-baru ini.Maliaman yang juga ADUN Ajil berkata, peranan ini perlu dimainkan bersama dan rakyat turut bertanggungjawab untuk menjaganya bagi mengukuhkan perpaduan dan keharmonian ini."Hormatilah agama masing-masing, bersikap toleransi dan paling penting menghormati Islam sebagai agama rasmi negara ini,"ujarnya lagi .Dalam pada itu, Maliaman berkata, DUN Ajil sendiri cukup bertuah kerana semangat perpaduan masih menebal tanpa mengambil kira perbezaan agama dan bangsa."Masyarakat di sini seperti seperti satu keluarga, bersahabat baik dulu hingga kini dan boleh duduk semeja dalam pelbagai hal tanpa masalah."Sebagai wakil rakyat, saya turut turun padang bagi menjaga dan jalinkan hubungan baik antara semua kaum termasuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang layak secara adil dan telus,"katanya.
28 Aug 18
307
Tujuh Negara Sertai IPCB 2018
Peserta dan pembentang persidangan.KUALA NERUS - Seramai 154 peserta dari tujuh negara menyertai International Symposium Postgraduate Conference on Biotechnology (IPCB) 2018 yang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kampus Gong Badak, DI SINI, selama tiga hari dan berakhir hari ini.Persidangan itu menampilkan lebih 100 pembentang dari Indonesia, Jepun, Singapura, Thailand, Iraq, Australia dan tuan rumah, Malaysia.Prof. Dr. Mazlan.Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, persidangan dwitahunan itu merupakan pertemuan para pelajar pascasiswazah untuk bertukar idea dan kajian dalam bidang sains marin terutama dalam kajian terhadap rumpai laut."Tahun ini, kita terima peningkatan penyertaan berbanding empat negara pada dua tahun lalu di Surabaya, Indonesia."Di sini, kita mengumpulkan hasil dapatan penyelidikan untuk kelestarian kehidupan marin dan sebagainya," katanya.Prof. Dr. Ketut menerima penghargaan sebagai wakil dari Indonesia.Dalam pada itu, wakil dari Institut Teknologi Sepuloh Nopember, Indonesia, Prof. Dr. Ketut Buda Artana yang menjadi tuan rumah IPCB lalu berkata, menjadi kewajipan kita untuk mendukung kelestarian maritim supaya kekal terjaga."Kita mengharapkan dengan IPCB, kerjasama antara negara akan meningkat dalam usaha mengekalkan sumber maritim yang amat penting dalam kehidupan kita," katanya.IPCB ditaja oleh Japan International Corporation Agency (JICA) yang diwakili Shinsaku Fukazawa.
28 Aug 18
70
Hanafiah Lawat Lokasi Kebakaran Pusat Tahfiz
Hanafiah ( tiga dari kanan ) menyerahkan sumbangan kepada pihak pengurusan tahfiz tersebut.Syukur kerana tiada kehilangan jiwa dan kecederaan terhadap pelajar dalam kejadian ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat ketika menziarah pelajar dan meninjau kesan kemusnahan kebakaran sebuah asrama Pusat Tahfiz, Hafizatul Quran, di Chukai, di sini, malam tadi. Dalam kejadian jam 8.30 malam, semua 11 penghuni terbabit terselamat kerana berada di bangunan bersebelahan sedang menghafaz al-Quran. Hanafiah yang tiba tidak lama selepas kejadian tersebut meluangkan masa meninjau keadaan pelajar dan bangunan asrama yang hampir musnah keseluruhannya.Menurutnya, kejadian yang menyedihkan itu berlaku tanpa dijangka dan difahamkan ketika kejadian kesemua pelajar berada di sebuah bangunan lain untuk mengikuti kelas sebelum disedari oleh seorang pelajar yang mahu mengambil wuduk.Hanafiah Mat"Saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dan ini amat melegakan saya kerana sebelum ini kita sudah banyak mendengar dan melihat kecederaan dan kehilangan nyawa pelajar pusat tahfiz dalam kejadian kebakaran," katanya.Hanafiah yang juga ADUN Chukai berkata, bagi membantu meringankan beban mangsa, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan segera berupa tilam, selimut, tuala, tikar dan lain-lain keperluan asas."Saya juga sudah bincang dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan MAIDAM akan menghulurkan sedikit bantuan untuk membaiki rumah banglo yang menjadi asrama pelajar anak yatim ini."Bagaimanapun, untuk menampung kos pembaikian keseluruhannya kita tidak akan gunakan peruntukan dari kerajaan tapi akan buat kutipan derma daripada orang ramai kerana saya yakin, ramai akan terpanggil untuk membantu pusat tahfiz ini," katanya.Tambah beliau, berdasarkan kesan kemusnahan, kos baik pulih dijangka menelan belanja sekitar RM20,000 dan dijangka pusat tahfiz itu hanya akan dapat beroperasi semula selepas dua bulan sebaik dahaja kerja baik pulih siap.Katanya, kerja membaik pulih akan melibatkan penggantian atap, kayu kekuda bumbung dan sistem pendawaian elektrik.Dalam pada itu, Hanafiah berharap agar ada pihak yang sudi menghulurkan sumbangan untuk kerja - kerja pembaikian asrama pelajar tersebut agar ianya dapat digunakan dalam masa yang singkat untuk pelajar kembali menyambung pengajian mereka di Pusat Tahfiz tersebut.
28 Aug 18
38
Pendedahan Sejarah Ubah Persepsi Golongan Muda
Wan Sukairi merasmikan program.KUALA TERENGGANU- Pendedahan sejarah dalam konteks berbeza dapat menarik golongan muda untuk mengenali golongan sebenar yang berjuang dalam memerdekakan tanah air.Timbalan Pengarah Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (Hanees), Zuraida Md Nor berkata, Seminar Asal-usul Negeri Terengganu: Peranan Ulama dan Pejuang diadakan untuk menarik minat anak muda kepada sejarah negara dan negeri terutamanya.Zuraida Md Nor."Intipati program ini bertujuan mengubah pemikiran anak muda akan kepentingan sejarah dan menanamkan rasa cintakan negara," katanya dalam temubual oleh pemberita dalam program di Muzium Negeri Terengganu, di sini, semalam.Program berkenaan dianjurkan Hanees dengan kerjasama Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri serta dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa berkenaan, Wan Sukairi Wan Abdullah.Lutfil Hadi.Dalam pada itu, Lutfil Hadi Azmi, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad, teruja mendapat lebih banyak pendedahan tentang sejarah pejuang di Terengganu."Seminar ini membuka minda dan memperbaiki persepsi saya bahawa ulama berperanan penting dalam mengetuai gerakan memperjuangkan kemerdekaan."Banyak juga pendedahan mengajar dan memberi kesedaran kepada golongan muda supaya tidak mengulangi kesilapan terdahulu dalam menjaga kemerdekaan," katanya.Wan Aqeela Yasmin.Bagi Wan Aqeela Yasmin Wan Ahmad Ridzuan,16, pelajar dari Sekolah Menegah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek pula, banyak mengetahui perkara baru tentang negeri Terengganu."Saya mula faham tentang perjuangan ulama dan perana agama dalam menyatupadukan gerakan-gerakan yang berjuang untuk negara ini," katanya.Seminar ini dibentangkan oleh dekan fakulti Tamadun Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Kamaruzaman Yusoff dan penulis buku 'Ulama Dalam Sorotan Pejuangan Kemerdekaan', Dr. Riduan Mohamad Nor.Program dihadiri lebih 200 peserta terdiri daripada pelajar, institusi kerajaan dan universiti.
28 Aug 18
89
ADUN Ajil Segera Baik Pulih 13 Rumah Rosak Akibat Ribut
ADUN Ajil, Ustaz Maliaman meninjau keadaan salah sebuah rumah yang terlibat yang terlibat dalam kejadian ribut di Felda Jerangau Barat, hari ini.HULU TERENGGANU - Lebih 13 rumah di Felda Jerangau Barat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, rosak akibat kejadian ribut, petang semalam.Seorang mangsa, Razali Ismail,62, berkata ketika kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, dia bersama lima orang anak dan menantu sedang bersembang di balkoni rumah sebelum dikejutkan dengan tragedi berkenaan."Ketika ribut berlaku, saya berada di luar dan apabila tengok angin kuat serta dengar bunyi yang bising, saya merasa takut sebab ia seolah datang menerpa dengan laju."Saya melihat bagaimana angin menerbangkan atap di rumah jiran saya dan terpaku apabila ia meruntuhkan serta menerbangkan atap rumah saya selepas itu dan rumah dibanjiri air selepas atap melayang akibat ribut,"katanya.Razali ditemui pemberita selepas lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim yang mengunjungi rumahnya serta rumah lain yang mengalami kerosakan akibat kejadian ribut di Felda Jerangau Barat, Ajil, di sini, hari ini.Turut hadir, Penolong Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Badriah Omar dan Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Hulu Terengganu, Norazmy Adenan.Razali memberitahu, sebahagian dari bumbung di hadapan ruang tamu rumahnya tercabut ketika kejadian.Katanya lagi, ini merupakan kejadian kedua sepanjang tinggal di kawasan Felda tersebut.Prihatin terhadap masalah itu, Maliaman yang ditemui berkata, pihaknya akan menghulurkan bantuan secepat mungkin kepada mangsa bagi meringankan beban mereka.Jelasnya, ini melibatkan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi membaik pulih keseluruhan rumah-rumah yang terlibat dalam bencana kali ini."Kita akan pastikan empat buah rumah yang rosak teruk akan dibaiki segera dengan peruntukan ADUN dan saya beri jaminan akan diselesaikan dalam masa terdekat kerana kita faham situasi sekarang dengan cuaca yang tidak menentu."Bagi rumah selebihnya,ini akan diambil inisiatif oleh JKM dan Pejabat Daerah melalui kolaborasi antara jabatan,"katanya.Beliau berkata, kerjasama antara jabatan dan agensi ini adalah satu kaedah terbaik untuk selesaikan masalah rakyat secara menyeluruh demi menjamin keselesaan mereka.Sementara itu, Norazmy pula berkata pihaknya meninjau kawasan yang terlibat selepas menerima panggilan itu untuk meneliti tindakan sewajarnya susulan kejadian petang semalam."Hasil tinjauan pasukan unit krisis dan bencana kami, sebanyak 13 rumah terjejas akibat ribut dan jumlah mangsa yang terlibat masih dikenal pasti."Kita juga dah gerakkan pegawai psikologi untuk pastikan mana-mana mangsa yang terkesan dan trauma agar sesi kaunseling dapat dijalankan untuk menghilangkan ketakutan akibat peristiwa tersebut,"katanya.Menurut Norazmy lagi, gerakan bantuan pemulihan dalam bentuk pakaian dan makanan turut dilaksanakan bagi meringankan beban mangsa.
28 Aug 18
113
Jangan Pilih Bulu, Fokus Kebajikan Penduduk Setempat
Oleh: Muhd LukmanDUNGUN - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlu memainkan peranan mengambil tahu dan mendapatkan maklumat mengenai masalah setempat untuk disalurkan ke Pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) berhampiran supaya diselesaikan segera.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Ustaz Saiful Bahri Mamat berkata, kerajaan negeri memberikan kepercayaan penuh kepada semua Ahli Jawatankuasa MPKK supaya berkhidmat sebaik yang mungkin dan menumpukan kebajikan penduduk setempat tanpa memilih bulu.Katanya, oleh yang demikian, kerajaan juga memerlukan kerjasama semua pihak supaya bantuan dapat sampai secara menyeluruh dan menumpukan kepada rakyat yang memerlukan."MPKK wajib ambil cakna dan peka dengan masalah penduduk setempat. Janganlah kita gunakan alasan 'warna parti politik' untuk menidakkan bantuan kebajikan kepada yang berkenaan."Kita perlu gunakan saluran sedia ada untuk menyampaikan maklumat kepada penduduk terutama melalui masjid dan surau. MPKK juga perlu pandai menggunakan media baru seperti facebook, instagram dan twitter," kata beliau.Saiful berkata demikian di majlis penyampaian sijil watikah pelantikan kepada Pengerusi dan semua AJK MPKK DUN Paka di Dewan Masjid Pinang Merah, kelmarin.Kira-kira 250 peserta hadir pada majlis kelmarin.Turut hadir, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Parlimen Dungun,Ustaz Jamaludin Jusoh dan Penyelia i-MiTS DUN Paka,Ustaz Mohd Kamal Mohd. Saiful juga memaklumkan akan wujud dari kalangan MPKK yang dilantik sebagai penguatkuasa syariah atau sukarelawan dalam membantu kerajaan meningkatkan pelaksanaan syariah di negeri ini.Di samping itu, beliau menambah, semua pemimpin setempat perlu melaksanakan segala kerja dengan ikhlas dan meyakini bahawa segala tindakan dan amalan kita disaksikan Allah Taala.
28 Aug 18
78
Pemuda Kuala Berang Menang Pertandingan Cipta Logo Hari Kebangsaan
Seorang pemuda dari Kuala Berang, Terengganu, Nik Zulkifli Nik Itam tidak menyangka rekabentuk yang dihasilkan untuk Pertandingan Mencipta Logo Sempena Hari Kebangsaan 2018 anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia dipilih sebagai pemenang utama.Lebih membanggakan, logo ciptaannya bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku’ itu menjadi pilihan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.Menurut Nik Zulkifli, logo yang dihasilkannya membawa maksud warganegara yang terdiri daripada berbilang bangsa hidup dalam kepelbagaian, harmoni, seia sekata, bersatu padu dan terpahat perasaan kasih sayang yang kukuh kepada negara.“Dapat je tema tu, terus buat lakaran ‘’Sayangi Malaysiaku’, saya mula dengan lakaran menggunakan garisan-garisan yang lembut sebab ‘Sayangi Malaysiakukan’, ada jenis rekaan dia bersegi, petak jadi saya elakkan perkara-perkara macam tu.“Saya mulakan dengan huruf lakaran S dan M dan saya olahkan menjadi bentuk love, bentuk sayang, bentuk hati, S jadi bentuk orang dan sebagainyalah secara manual. Apabila puas hati barulah saya siapkan reka bentuk menggunakan komputer,” ujarnya ketika bersiaran di TV1, semalam.Logo ‘Sayangi Malaysiaku’ ciptaan Nik Zulkifli adalah antara 623 penyertaan yang diterima kementerian untuk dipilih sebagai logo rasmi Hari Kebangsaan 2018.Logo tersebut yang dipilih sendiri oleh Perdana Menteri pada 25 Julai lalu, menggambarkan simbol rakyat melakukan gerakan riang mengangkat tangan dengan satu bentuk hati di hadapan menyatukan mereka.
28 Aug 18
285
Yakin, Percayalah Kemerdekaan Di Dunia Dan Akhirat
Foto : Sinar Harian OnlineMoga kemerdekaan ini berkekalan dengan suasana harmoni dan disambut dengan penuh kesedaran bahawa ianya merupakan kurniaan Allah SWT yang perlu dijaga, kerana bila bila masa sahaja Allah SWT boleh membolak balikkan suasana dan keadaan, demikian kata Zul Bhari A Rahman.Menurut Penyelaras Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri itu, menjelang 31 Ogos 2018 negara akan menyambut hari kemerdekaan yang ke-61 dan hari istimewa itu perlu diraikan dengan penuh keinsafan."Untuk itu saya mengucapkan kepada seluruh rakyat negara ini khususnya warga DUN Permaisuri dengan ucapan selamat menyambut hari kemerdekaan,"katanya dalam kenyataan dari laman Facebook rasmi beliau hari ini.Zul Bhari berkata, kerana itulah kita semesti dan sewajibnya menyambut hari kemerdekaan ini dengan penuh semangat patriotik cintakan negara dan cintakan keamanan, kedamaian dan keharmonian.Menurutnya, sambutan itu berasaskan syariat daripada Allah SWT dengan memerdekakan manusia daripada memperhambakan diri kepada sesama manusia kepada memperhambakan diri kepada Allah SWT, mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat."Memerdekakan manusia daripada kegelapan kehidupan dunia kepada cahaya Islam yang menerangi alam dengan kebenaran."Insyaallah dengan konsep dan kesedaran ini kita akan selamat di dunia dan akhirat. Yakin dan percayalah bahawa kemerdekaan yang sebenar adalah apabila kita berjaya di dua negeri iaitu dunia dan akhirat."Mudah mudahan kita semua termasuk dalam golongan yang merdeka disisi Allah SWT,"katanya.
28 Aug 18
63
Dr Mohammad Serah Tugas Kepada Timbalan
Dr. Mohammad Omar (kanan) menyerahkan surat serah tugas kepada Dr. Mohd Jusoh (kiri) di Bilik Mesyuarat Gunasama, Wisma Persekutuan, hari ini. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku IsmailDr. Mohammad Omar hari ini menyerahkan jawatan Pengarah Kesihatan negeri kepada timbalannya, Dr. Mohd Jusoh yang akan secara rasmi memulakan tugas barunya sebagai peneraju Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu esok.Majlis serah terima tugas tersebut berlangsung di Bilik Mesyuarat Gunasama, Wisma Persekutuan.Dr. Mohammad yang berpegang kepada prinsip meningkatkan perkhidmatan kesihatan di negeri ini telah berkhidmat sebagai penjawat awam selama 35 tahun akan bersara mulai esok.Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Dr. Mohammad turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri atas segala kerjasama yang diberikan sepanjang beliau menerajui jabatan kesihatan negeri ini.Menurut beliau, kenangan dan pencapaian sepanjang berkhidmat yang tidak akan dilupakan termasuk berkaitan pembinaan Hospital Setiu dan penubuhan Tabung Darul Iman.“Bermula dengan kerja-kerja penghasilan kertas cadangan, pencarian tapak dan lain-lain lagi segalanya saya usahakan bersama pasukan sehingga terbinanya sebuah hospital dan tabung berkenaan adalah antara kenangan manis sukar dilupakan,” ujarnya.Sementara itu, Dr. Mohd yang akan meneruskan legasi Dr. Mohammad memberitahu, beliau akan meneruskan apa yang telah dilaksanakan termasuk memperkemaskan lagi perkhidmatan jabatan kesihatan di negeri ini.“Kita sangat mengharapkan sokongan dari semua pihak untuk meneruskan kesinambungan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat,” ujarnya.
28 Aug 18
42