Artikel "Semasa" Terkini
MB Menikmati Suasana Malam Di Muara Sungai Terengganu
Dr Ahmad Samsuri (tengah) bersama Dato' Tengku Hassan ((kanan sekali) dan Encik Ariffin (dua dari kanan) di suasana malam sekitar TTI Muara Sungai Terengganu.Kuala Terengganu, 4 September - Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Isteri, Tuan Faizah Tuan Ab Rahman dibawa menikmati suasana malam di muara Sungai Terengganu sambil memerharti bagaimana produk pelancongan boleh dihasilkan untuk manfaat rakyat dan negeri TerengganuTerengganu. Turut serta Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman dan isteri masing-masing.Mereka dijemput oleh River Cruise Taman Tamaddun Islam (TTI) untuk majlis makan malam sambil menyelusuri sungai Terengganu.TTI adalah satu produk pelancongan terkenal di Malaysia, Pelancong dalam dan luar negeri datang ke situ untuk melihat kecantikan Masjid Kristal khususnya sebagai mercu tanda pelancongan di muara sungai Terengganu.Ada yang datang dari Korea Selatan, Jepun, Amerika Syarikat dan lain-lain negara terkenal dunia menunjukkan Masjid Kristal popular sebagai produk pelancongan dunia.Mereka datang ke Terengganu, tidak sah jika tidak singgah sebentar untuk mengambil gambar 'selfie' atau seumpamanya sebagai kenangan untuk dibawa pulang ke negara masing-masing.Bagaimanapun masjid itu mengalami beberapa kerosakan bahagian dalaman yang perlu dibaiki segera bagi memelihara dan menjaga keindahan masjid itu dan orang ramai dilarang memasukinya. Masjid itu bukan sahaja menjadi tempat pelancongan tetapi ia juga menjadi tempat ibadat pengunjung dan penduduk sekitar. Kerajaan menggaji imam dan bilal khas untuk menghidupkan sembahyang lima waktu di masjid berkenaan sebelum ini.
04 Sep 18
456
Tidak Tunai Manifesto, PH Bakal Dihukum!
Ustaz Ahmad Shah Muhamed (tengah) sedang berkempen untuk calon PAS, Dr Halimah Ali .Oleh: Syed Abdul RahmanPETALING JAYA - Kerajaan Pakatan Harapan yang tidak melaksanakan manifestonya wajar dihukum oleh rakyat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia kali ini dengan mengundi dan memberi peluang kepada calon yang ditampilkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Dr Halimah Ali.Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ustaz Ahmad Shah Muhamed berkata, beliau melihat sambutan yang baik daripada penduduk tempatan terhadap Dr Halimah Ali."Saya yakin bahawa dalam tempoh berkempen ini, timbul kesedaran dalam diri pengundi bahawa Kerajaan Pakatan Harapan di peringkat negeri mahupun pusat tidak dapat melaksanakan manifesto sepertimana yang dijanjikan."Lakukanlah perubahan sekarang dengan memberi sokongan kepada calon PAS untuk menjadi wakil yang mampu membawa suara rakyat.Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, semalam (4 September).Menurut Ustaz Ahmad Shah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, rombongan PAS Kawasan Kuala Terengganu telah berkampung di DUN Seri Setia bermula 1 hingga 4 September."Saya berharap agar pengundi di DUN Seri Setia mengundi Dr Halimah Ali bagi merealisasikan hasrat menjadi pembangkang yang berkesan dalam sidang DUN yang akan datang," ujarnya.PAS Kuala Terengganu telah menghantar wakil seramai 12 orang dari setiap DUN dan bermula hari ini, petugas dari DUN Ladang dan Wakaf Mempelam akan mengambil alih tugasan kempen sehingga hari mengundi.Turut hadir dalam tempoh berkempen pada kali ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ketua Pemuda PAS Kuala Terengganu, Azrin Aris.
04 Sep 18
43
42 Rumah Di Kampung Jerangau Dilanda Ribut
Haji Ghazali Sulaiman meninjau keadaan rumah mangsa yang rosak teruk akibat ribut semalam.Oleh: Adli MohamadDUNGUN - Kampung Jerangau, sekali lagi dilanda ribut melibatkan 42 buah rumah rosak teruk dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang semalam. Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Haji Ghazali Sulaiman berkata, tragedi ribut di DUN Bukit Besi seolah-olah berlaku secara secara bersiri."Sebelum Aidiladha ribut telah berlaku di kawasan sama melibatkan 20 buah rumah rosak teruk, manakala Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dianggarkan 205 rumah rosak,” katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat rumah mangsa kejadian ribut di Kampung Jerangau, petang semalam (3 September).Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jerangau, Arfan Tahir memaklumkan kejadian pada petang ini (semalam) lebih teruk berbanding pada Aidiadha lalu.Katanya, sebanyak 40 buah rumah rosak, pokok-pokok tumbang dan lebih berbahaya apabila wayar bekalan elektrik turut terputus."Kita telah memaklumkan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia serta Jabatan Bomba berkenaan hal ini."Kejadian pada petang ini agak dahsyat kerana dilanda angin ribut yang sungguh kencang, awan berwarna hitam serta kelam ibarat puting beliung.Turut hadir, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Besi, Khaziman Khalik, Penolong Penyelia i-Mits, Zakiah Alias dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Jerangau Cawangan A, Muhd Sidek Muhamad.
04 Sep 18
187
560 Buah Rumah Rosak Dibadai Ribut
Ustaz Ridzuan Hashim (kiri).Oleh: Mohd Haniff AbasKUALA TERENGGANU - Sebanyak 560 buah rumah mengalami kerosakan dalam kejadian ribut petang semalam dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading.Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, masyarakat perlu saling bantu membantu antara satu sama lain lebih-lebih lagi pada ketika ini."Saya memohon setiap mangsa ribut agar bersabar kerana pihak jawatankuasa bencana DUN Buluh Gading sedang berusaha untuk menyelesaikan pembaikan rumah yang rosak."Semua pihak perlu prihatin dan menghulurkan bantuan kepada mangsa dengan memberi sumbangan berikutan kos pembaikan yang agak besar," katanya.Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita pada hari ini (4 September).Sementara itu, Pegawai Khas ADUN Buluh Gading, Ustaz Saufi Hashim berkata, sebanyak 25 buah kampung terlibat dalam kejadian ribut pada petang semalam yang membabitkan kerosakan atap, struktur kediaman dan juga infrastruktur awam.“Kita sangat bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan walaupun kejadian ribut ini membabitkan kerosakan yang sangat banyak”, tambahnya.Beliau juga memaklumkan kutipan derma kilat telah dilancarkan untuk membantu mangsa ribut yang terlibat.Kejadian ribut yang berlaku selama 30 minit itu bermula pada jam 3.40 petang dan berakhir pada jam 4.10 petang dengan kerugian yang masih belum dapat dipastikan lagi.Menurut Ustaz Saufi Hashim, antara kampung yang teruk dilanda ribut adalah Kampung Kebor Besar, Kampung Banggul Tok Esah dan Kampung Kebor Air.“Saya mengucapkan takziah kepada mangsa yang terlibat dan diharap dapat bersabar dengan ujian ini kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya."Insya-Allah kita akan berusaha untuk menyelesaikan pembaikan kediaman penduduk dalam masa yang singkat”, ujarnya.
04 Sep 18
29
Sebatan Syarie Kejayaan Kepada Institusi Mahkamah Syariah
Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi (kanan) ditemu bual oleh wartawan Isma Web.Oleh: Fidee AzizKUALA TERENGGANU - Sebatan syarie buat pertama kali ke atas pasangan lesbian di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, semalam merupakan suatu kejayaan yang mengangkat martabat dan kewibawaan institusi mahkamah syariah.Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ianya suatu kejayaan kepada hukuman syariah dan pemerkasaan mahkamah syariah di dalam negara yang selama ini sinonim dipandang serong dan diserang oleh pelbagai pihak.“Saya melihat ia menjadi tumpuan kepada seluruh dunia termasuk Laman Web BBC.COM yang memaparkan isu ini dan menjadi salah satu tajuk penting di dalam laman web mereka," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh wartawan Isma Web di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini (4 September).Ustaz Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk menjelaskan bahawa Negeri Terengganu dan Kelantan yang diperintah oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) meletakkan Islam sebagai dasar dan agenda pemerintahan."Walaupun hukum hudud dan qisas tidak dapat dilaksanakan kerana halangan daripada kerajaan persekutuan, kita laksanakan undang-undang takzir terlebih dahulu."Hukuman takzir tidak boleh melebihi Akta 356 iaitu, 3 tahun penjara, denda RM5000 dan 6 kali sebatan, itulah had yang kita mampu lakukan.“Pelaksanaan hukuman tersebut bukan bertujuan untuk menghukum kerana itulah roh sebenar kepada perundangan Islam yang hanya bertujuan untuk mendidik."Tambahan pula, golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) ini semakin berleluasa di seluruh pelusuk dunia malah setiap apa yang berlaku dan menyentuk hak mereka akan dibela oleh semua pihak yang menyokong mereka," ujarnya.
04 Sep 18
95
Amzad Puji Hukuman Sebat Dijalan Secara Aman
Oleh: Syed Kamal RizuanKUALA TERENGGANU- Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Amzad Hashim memuji tindakan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu yang menjalankan hukuman sebat sebanyak enam kali kepada pasangan lesbian secara aman, semalam.Pada 18 Ogos lalu, kedua-dua wanita itu dijatuhi hukuman denda sebanyak RM3,300 setiap seorang dan enam sebatan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.Amzad yang turut menjadi salah seorang daripada 100 saksi ketika hukuman dijalankan di Dewan 2 mahkamah itu mengucapkan tahniah kepada pihak mahkamah kerana dapat menjalankan hukuman dalam suasana yang baik tanpa sebarang kekecohan.“Semoga Allah S.W.T mengurniakan pahala berlipat ganda kepada semua yang berusaha didalam meningkatkan perlaksanaan syariah Islam di dalam negara kita.“Dan semoga rakyat terus memberi sokongan dalam usaha memperkasakan peranan Mahkamah Syariah sehingga mampu mencapai sebagaimana yang dihasratkan didalam memartabatkan hukumNya,” ujar beliau.
04 Sep 18
37
Menjadi Tokoh Hebat Tidak Mudah -Dr Ahmad Samsuri
Dr Ahmad Samsuri berucap di Program Bicara Tokoh UMT Gong Badak Kuala Nerus.-Foto Saiful MustafaKUALA NERUS - Percaya pada potensi diri sepenuhnya dan berusaha mencapai kejayaan menjadi tokoh yang hebat, satu usaha yang tidak mudah.Dalam menangani masalah itu Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberitahu, pelajar universiti perlu meninggalkan kegagalan dan meneruskan kehidupan mereka jika mahu berjaya."Mulailah hidup semula dan maju ke hadapan. Jangan biarkan keadaan negatif anda menghantui diri anda dan menjejaskan tumpuan anda dalam pelajaran."Malah orang terkenal seperti (pencipta Amerika) Thomas Alva Edison telah gagal beberapa ratus kali sebelum berjaya mencipta lampu elektrik," kata Dr Ahmad Samsuri, yang juga seorang pakar kejuruteraan aeroangkasa.Beliau menyeru mahasiswa supaya percaya kepada diri sendiri dan mempunyai keyakinan diri untuk berdepan dengan cabaran semasa yang berubah-ubah ketika mengejar impian dalam pelajaran."Biarkan masa lalu berlalu. Jangan bawa sentimen negatif atau kegagalan berterusan dalam kehidupan."Terokai potensi diri anda untuk membina masa depan yang lebih baik, hargailah pengorbanan yang dilakukan oleh ibu bapa dan keluarga untuk membawa anda ke tahap hari ini.Dr Ahmad Samsuri (tengah) menyampaikan Dermasiswa Al-Ikhlas kepada wakil pelajar."Beri mereka rasa bangga dan berusahalah untuk muncul sebagai tokoh yang menjulang tinggi," katanya kepada mahasiswa yang baharu dilantik semasa program 'Bicara Tokoh' di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Gong Badak, 4 September.Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang mengingatkan mereka supaya bercita-cita tinggi dengan menentukan matlamat yang jelas untuk mencapai cita-cita."Sebaik sahaja anda melakukan ini, pergilah menggapai apa yang anda cita-citakan!" Katanya.Dr Ahmad Samsuri menambah bahawa universiti menyediakan ruang untuk pelajar, 'belajar berenang' (bagaimana cara berusaha) menghadapi cabaran dalam kerjaya mereka, di kemudian hari."Optimalkan pengetahuan yang diperolehi dan memanfaatkannya untuk berdiri sendiri, kerana sebaik sahaja anda meninggalkan universiti, pensyarah anda tidak akan berada di sana untuk membimbing anda."Oleh itu, gunakan sepenuhnya masa anda di sini (di universiti)," katanya.Dr Ahmad Samsuri, bagaimanapun, memberi amaran kepada pelajar bahawa walaupun universiti adalah tempat latihan, seseorang itu tidak boleh menjadi perfeksionis (manusia yang terlalu fokus kepada kesempurnaan) kerana mereka akan menghadapi penyimpangan dalam hidup."Menjadi manusia, tiada siapa yang boleh sempurna. Anda perlu menyesuaikan diri dengan situasi dan perubahan."Cabaran, sama ada dalaman atau luaran, menjadikan kita lebih matang dan orang yang lebih baik. Belajar dari kesilapan anda dan buat pembetulan untuk memperbaiki, "katanya.Beliau menambah bahawa cabaran sedemikian menimbulkan ketidakupayaan individu untuk mengendalikan tekanan rakan, tekanan, menguruskan kewangan atau emosi lain.MB bertanyakan sesuatu kepada pelajar baharu UMT."Jangan berputus asa dengan mudah. Tidak salah untuk jatuh, tetapi anda mesti berusaha untuk bangkit."Ia sama seperti kata-kata legenda tinju Muhammad Ali yang mengatakan anda boleh jatuh dalam gelanggang semasa pertandingan tetapi boleh pergi dan menang jika anda berdiri untuk bertarung," kata Menteri Besar.Beliau mengingatkan pelajar supaya bersuara dan berkongsi masalah mereka dengan pensyarah dan rakan-rakan supaya perkara-perkara tersebut boleh ditangani dengan baik.Pada masa yang sama, Dr Ahmad Samsuri menggesa mereka untuk membangunkan kemahiran 'Soft Skills' (Perhubungan Awam), berinteraksi dengan orang lain, menghadiri ceramah dan seminar, membuat kawan baharu untuk memperoleh pengalaman dan pengetahuan.
03 Sep 18
91
Muzium Sebagai Institusi Pendidikan Masyarakat
Oleh: Noor Safinah MohdKUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri berharap institusi muzium bukan sekadar tempat untuk memaparkan bahan-bahan sejarah, sebaliknya menjadi bahan pendidikan kepada masyarakat. “Adalah sangat penting menarik golongan muda untuk meminati dan memahami bahan-bahan sejarah ini kerana ia mampu mengajar mereka tentang susur galur kehidupan mereka, tentang budaya, tatacara dan akhlak untuk menjadi warga masyarakat yang mampu menyumbang kepada perkembangan Negeri Terengganu dan Malaysia”. ucapnya ketika merasmikan Majlis Perasmian Seminar Kearifan Tempatan di Muzium Negeri Terengganu hari ini. Namun, pada zaman teknologi maya ini, ia memberi cabaran yang sangat besar kepada agensi seperti ini kerana tarikan pengunjung terutamanya golongan muda terhadap tempat-tempat sejarah semakin mengecil. Jika suatu ketika dahulu muzium dijadikan tempat utama untuk dikunjungi, kini tidak lagi. “Kita tidak mahu muzium kita dan lain-lain seumpamanya bukan sekadar menjadi tempat memaparkan sejarah, tetapi muzium sendiri menjadi bahan sejarah”. ujarnya. Sehubungan itu, Dr Ahmad Samsuri berharap pelbagai inisiatif harus dilakukan untuk menarik masyarakat terutamanya golongan muda untuk meminati dan memahami bahan-bahan sejarah ini agar ia tidak ketinggalan dalam arus globalisasi dan revolusi maya ini. “Saya berharap agensi-agensi kerajaan dan swasta boleh bekerjasama dengan universiti-universiti tempatan dan luar negara untuk berkongsi kepakaran masing-masing bagi membantu memartabatkan agensi-agensi kerajaan. Dengan pelancaran E-Commerse Muzium Maya, ia menunjukkan satu nilai tambah yang positif kepada Muzium Negeri Terengganu.” ucap beliau lagi.Dalam pada itu, Dr Ahmad Samsuri juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada pihak muzium kerana kejayaan mendapat pengiktirafan lima (5) bintang Audit Pengurusan Kewangan dan Akauntabiliti 2018. Beliau turut mengingatkan agensi-agensi kerajaan lain berusaha untuk tingkatkan Pengurusan Kewangan, menjaga kepentingan awam dan jauhkan dari sebarang salahlaku atau kepincangan urustadbir. Seminar Kearifan Tempatan-Tekstil menghimpunkan ahli akademik dan penyelidik dari seluruh tanah air termasuk peserta dari luar negara seperti Switzerland, Taiwan, Vietnam, Indonesia, Singapore dan Tahiland untuk perkongsian intelektual yang mengfokuskan kepada bidang tekstil. Seminar ini akan berlansung selama tiga hari berturut-turut bermula hari ini sehingga 5 September 2018.
03 Sep 18
116
10,000 Dijangka Hadir Muktamar PAS
Dr Ahmad Samsuri melihat bahan penulisan yang dipamerkan sempena Seminar kearifan Tempatan-Tekstil Serta Pelancaran e-Commerce Muzium Maya Dan Pelancaran Buku Kearifan Tempatan di Kompleks Muzium Negeri. Foto Oleh: Abu Ubaidah Mohd NoorKUALA TERENGGANU - Kira-kira 10,000 orang dijangka menghadiri Muktamar Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat 2018 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Terengganu selama tiga hari mulai 14 September ini.Muktamar PAS Pusat akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak diikuti Dewan Pemuda Pas di Duyong Marina Resort, Dewan Muslimat di Taman Tamadun Islam (TTI) manakala Dewan Ulama PAS di Hotel Permai.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mohktar berkata, kerajaan negeri berhasrat menjadikan program tahunan yang memilih Terengganu sebagai tuan rumah itu, sebuah acara yang melibatkan seluruh masyarakat bukan setakat anggota parti sahaja.“Orang ramai boleh datang untuk melihat pameran, melakukan aktiviti riadah bersama keluarga dan sebagainya kerana pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung.“Malah, pengunjung luar juga diharap tidak melepaskan peluang untuk menerokai Terengganu kerana terdapat agensi berkaitan akan turut mempamerkan produk pelancongan menarik yang ada di negeri ini,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar kearifan Tempatan-Tekstil Serta Pelancaran e-Commerce Muzium Maya Dan Pelancaran Buku Kearifan Tempatan di Kompleks Muzium Negeri, semalam.Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman; Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Dato’ Kamarul Bahrin A. Kassim dan Pengarah Lembaga Muzium Terengganu, Che Muhammad Azmi Ngah.Sementara itu, mengulas mengenai kandungan ucapan dasar yang akan dibentangkan oleh Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang untuk dibahaskan oleh perwakilan ketika menyempurnakan perasmian muktamar tahunan itu kelak, antaranya termasuk kepentingan mewujudkan kerjasama politik baharu dalam mencorak masa depan PAS.Menurut beliau, selain itu Abdul Hadi juga dijangka menggariskan beberapa hala tuju PAS untuk dipertimbangkan oleh kepemimpinan PAS di setiap peringkat seiring dengan suasana politik negara semasa.“Contohnya mengenai kepentingan untuk memastikan Islam sebagai agama persekutuan dipertahankan dan kebajikan rakyat terutama yang menjadi majoriti dalam negara ini terpelihara, begitu juga dari segi budaya dan akhlaknya,” ujarnya.
03 Sep 18
32
MB Hadir Di Stadium Suntik Semangat TFC
MB (depan, tiga dari kiri) bersama Ustaz Hishamuddin (empat dari kiri) menyaksikan perlawanan bolasepak antara TFC dan Perak di Stadium Sultan Ismail Nasarudin Shah Kuala Terengganu. -Foto Harish FadzillahKUALA TERENGGANU - Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turun menyaksikan perlawanan bolasepak Piala Malaysia antara Skuad Terengganu FC (TFC) dan Perak bagi menyuntik semangat juang pasukan Penyu itu di Stadium Sultan Ismail Nasarudin Shah, 2 September.Turut hadir memberi semangat, Timbalan Pengerusi Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Ustaz Hishamuddin Abdul Karim menyaksikan pertarungan sengit untuk mempastikan skuad Penyu layak ke separuh akhir bersama Perak.Walaupun skuad TFC kecundang 1-2 kepada Perak namun kedua-dua pasukan berkungsi 10 mata dalam saingan Kumpulan A bagi menempah tempat ke suku akhir piala berkenaan.Bagaimanapun skuad Penyu tetap unggul sebagai pendahulu kumpulan berdasarkan kelebihan jaringan.Skuad Penyu bimbingan jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim bermula garang dengan beberapa percubaan bahaya menerusi rangkaian penyerangnya yang diketuai kapten, Kipre Tchetche dan Mohd Ashari Samsudin, namun berjaya dipatahkan pertahanan skuad The Bos Gaurus.Pelawat yang hadir dengan misi wajib menang berjaya menyerap tekanan dengan melakukan serangan balas untuk meledak jaringan pendahuluan menerusi penyerang sensasinya, Gilmar Da Silva tapi kubu tuan rumah terus kebal bertahan.Pada minit ke-20, Gilmar yang mendapat peluang di dalam kotak penalti hasil kealpaan benteng tuan rumah tidak melepaskan peluang berkenaan dengan mencetak nama sebagai penjaring gol buat pasukannya untuk mendahului 1-0.Kelibat pemain TFC dan Perak lincah bertarung di padang.Skuad TFC yang dilihat tertekan nyaris dibolosi buat kali kedua sembilan minit kemudian melalui tolakan mengelirukan Muhammad Firdaus Saiyadi, tapi bola bergolek melepasi tiang gol sekali gus terselamat pintu gol tuan rumah.Bersambung babak kedua, skuad kendalian Irfan Bakti yang sudah mengesahkan tempat ke suku akhir terus diasak pasukan The Bos Gaurus yang ghairah untuk menambah jaringan dengan beberapa percubaan bahaya yang nyaris menemui mulut gol.Hasil sepakan sudut Lee Tuck, Mohd Ashari yang tidak dikawal melakukan rembatan kencang di dalam kotak penalti pada minit ke-65 sekali gus berjaya menyamakan kedudukan 1-1.Semangat juang tinggi pemain Perak akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya mendapat jaringan kemenangan 2-1 sekali lagi menerusi Gilmar pada minit ke-86 perlawanan.
03 Sep 18
53