lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

'Selalunya Saya Pakai Baju Raya Lama, Kini Dapat Baju Baru' - Anak Yatim
'Selalunya Saya Pakai Baju Raya Lama, Kini Dapat Baju Baru' - Anak Yatim
KUALA TERENGGANU, 16 Mac – “Selalunya saya hanya pakai baju lama, tapi kali ini saya dapat pakaian baru,” luah Alya Maizara Wan Saifulizan, 11, dengan wajah penuh keceriaan selepas memilih sendiri busana raya dalam program 'Masih Ada Yang Sayang' anjuran Pertubuhan Skuad Amal Ajil (Amal Care). Program itu meraikan 100 anak yatim dari sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil dalam usaha membawa kegembiraan kepada mereka menjelang Aidilfitri. Antara aktiviti yang diadakan termasuk sesi membeli baju raya serta majlis berbuka puasa bersama sukarelawan. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, berkata program seperti itu sangat bermakna kerana memberi peluang kepada anak-anak yatim untuk merasai kemeriahan Ramadan dan Syawal seperti kanak-kanak lain. "Kami amat menghargai usaha penganjur yang memastikan anak-anak yatim ini tidak terpinggir dalam menikmati keindahan bulan Ramadan serta kegembiraan menyambut Aidilfitri. "Kerajaan negeri sentiasa menyokong program kebajikan seperti ini dan menggalakkan lebih banyak pihak tampil membantu golongan yang memerlukan," katanya. Beliau turut menegaskan bahawa program sebegini bukan sahaja memberi kegembiraan kepada anak-anak yatim tetapi juga mendidik masyarakat tentang kepentingan sifat prihatin dan kasih sayang terhadap golongan kurang bernasib baik. "Kita mahu masyarakat lebih peka terhadap kebajikan anak-anak yatim dan golongan yang memerlukan. Semangat memberi dan berkongsi amat digalakkan dalam Islam, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini," tambahnya. Jelas Maliaman, pada sebelah pagi, anak-anak yatim ini dibawa ke pasar raya besar Giant dan Mydin Mall untuk memilih sendiri pakaian raya mereka. Katanya, senyuman jelas terpancar di wajah mereka apabila dapat mengenakan busana baharu di Aidilfitri nanti. "Seperti Alya Maizara, ramai lagi anak yatim yang teruja kerana dapat merasai pengalaman memilih baju sendiri buat pertama kali. Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Duit Raya. "Program 'Masih Ada Yang Sayang' DUN Ajil ini mendapat sambutan hangat dan diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan kebajikan anak-anak yatim terus terbela serta memberi mereka kegembiraan menyambut Syawal," ujarnya.
16 Mar 25
151
'Waspada Agenda Pluralisme Agama'
'Waspada Agenda Pluralisme Agama'
KUALA TERENGGANU, 16 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, mengingatkan umat Islam agar berwaspada terhadap agenda pluralisme agama yang semakin merebak kebelakangan ini. Menurutnya, terdapat segelintir pihak sedang giat mempromosikan konsep kesamarataan agama dengan menyatakan bahawa semua agama menyeru kepada kebaikan. "Jangan fikir sifir agama sama seperti sifir Matematik. Sebaliknya, sifir agama mestilah berpandukan petunjuk Allah, bukan sekadar akal semata-mata. "Walaupun semua agama menyeru kepada kebaikan, hakikatnya hanya agama Islam yang diterima oleh Allah sebagai agama yang benar, yang dibawa oleh semua nabi-nabi. "Islam adalah agama yang mentauhidkan Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain," ujarnya dalam satu kenyataan di sini, semalam. Beliau menjelaskan bahawa semua agama yang wujud pada hari ini pada asalnya adalah agama Islam yang dibawa oleh para nabi dalam zaman yang berbeza, namun telah diselewengkan oleh manusia sehingga Islam diperbetulkan kembali melalui ajaran Nabi Muhammad SAW. "Walaupun begitu, Islam tetap menyeru penganutnya untuk menghormati agama lain dan berhujah dengan cara yang baik. "Namun, menghormati agama lain tidak bermakna kita boleh terbabas sehingga melakukan amalan yang bercanggah dengan akidah Islam," tegasnya. Beliau turut menekankan bahawa toleransi dalam beragama tidak bermaksud umat Islam harus menggadaikan prinsip-prinsip Islam yang telah ditetapkan.
16 Mar 25
129
URA : Ahmad Amzad Tolak Dakwaan Perdana Menteri
URA : Ahmad Amzad Tolak Dakwaan Perdana Menteri
KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menolak sekeras-kerasnya kenyataan Perdana Menteri yang menuduh penentang Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) mempunyai agenda untuk memastikan orang Melayu terus miskin dan berpendidikan rendah. Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan bertujuan mengalihkan perhatian daripada kelemahan ketara dalam cadangan akta tersebut. “Kebimbangan terhadap URA bukan kerana menolak pembangunan tetapi kerana ia membuka ruang kepada pengambilan tanah secara paksa atas nama pembangunan yang akhirnya lebih menguntungkan pihak berkepentingan berbanding rakyat. “Dengan syarat persetujuan 80 peratus bagi hartanah berusia 30 tahun dan 75 peratus bagi hartanah lebih 30 tahun. walaupun 20 peratus atau 25 peratus pemilik membantah, mereka tetap boleh kehilangan hak milik mereka. “Keadaan ini jelas bercanggah dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan dan boleh membawa kepada pemindahan secara paksa pemilik asal khususnya golongan Bumiputera yang menghuni kawasan perumahan kos rendah dan setinggan di bandar. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media melalui hantaran Facebook rasminya, semalam. Ahmad Amzad turut menegaskan bahawa URA berpotensi menyebabkan pemilik asal tidak mampu membeli atau menyewa unit baharu yang dibina di lokasi asal, memaksa mereka berpindah ke kawasan pinggir bandar atau luar bandar yang mempunyai peluang ekonomi lebih terhad. “Sejak era Tun Abdul Razak, dasar pembangunan dirangka untuk mengukuhkan kedudukan Bumiputera dalam ekonomi bandar. "Namun, URA boleh menggagalkan usaha ini dengan menyingkirkan mereka akibat pembangunan yang tidak mengambil kira kemampuan pemilik asal untuk terus tinggal di kawasan tersebut,” tambahnya. Sehubungan itu, Ahmad Amzad menggesa kerajaan agar tidak menyalahkan rakyat yang menyuarakan kebimbangan terhadap URA sebaliknya mendengar pandangan mereka dan memperbetulkan dasar ini. “Pembangunan bandar mesti dilakukan tanpa menjejaskan hak pemilikan rakyat serta tanpa mengorbankan keseimbangan sosioekonomi yang telah lama diperjuangkan,” tegasnya.
16 Mar 25
382
Terengganu Tegas Haram Vape Demi Generasi Baru Walau Berisiko Hilang Undi
Terengganu Tegas Haram Vape Demi Generasi Baru Walau Berisiko Hilang Undi
SERDANG, 16 Mac – Kerajaan Terengganu menyedari bahawa keputusan mengharamkan penggunaan vape mungkin tidak popular dan berisiko menjejaskan sokongan politik, namun ia tetap dilaksanakan atas dasar tanggungjawab demi menjaga kesihatan serta masa depan generasi akan datang. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa keputusan tersebut bukan dibuat untuk meraih populariti, sebaliknya berlandaskan kepentingan rakyat secara menyeluruh. "Kami faham mungkin ada yang tidak bersetuju dan ini bukan keputusan yang disenangi semua pihak. Namun, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kami tidak boleh hanya memikirkan aspek politik semata-mata. "Kami perlu melihat kepentingan jangka panjang, khususnya dalam melindungi generasi muda yang masih bersekolah daripada bahaya vape yang semakin menular," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Majlis Berbuka Puasa Anak Terengganu di Perantauan Bersama Kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu, di Dewan D, MAEPS, Serdang, semalam. Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menegaskan meskipun ada risiko kehilangan sokongan akibat keputusan tersebut, kerajaan negeri tetap teguh dalam pendirian demi maslahat lebih besar kepada rakyat. "Kami tidak mahu generasi muda menjadi mangsa kepada budaya yang boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan mereka. Suka atau tidak, ini adalah amanah yang perlu kami laksanakan. "Saya berharap anak muda, terutama mereka yang masih menggunakan vape, memahami bahawa keputusan ini bukan untuk menyusahkan sesiapa, tetapi untuk memastikan kesejahteraan mereka sendiri dalam jangka panjang," ujarnya.  
16 Mar 25
1199
Majlis Berbuka Bersama Perantau Meriah, Eratkan Pemimpin dan Rakyat
Majlis Berbuka Bersama Perantau Meriah, Eratkan Pemimpin dan Rakyat
SERDANG, 16 Mac - Majlis berbuka puasa bersama anak-anak Terengganu di perantauan berlangsung dengan penuh kemeriahan dan bermakna, sekali gus menjadi platform untuk kepimpinan negeri mendekati rakyat walau di mana mereka berada. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program itu telah menjadi acara tahunan setiap kali Ramadan bagi merapatkan hubungan antara kerajaan negeri dan perantau. "Ia memberi ruang kepada kita untuk berinteraksi secara langsung dengan anak-anak Terengganu yang berada di luar negeri, bertanya khabar serta mengeratkan hubungan silaturahim. "Selain itu, mereka juga berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan kepimpinan kerajaan negeri, sekali gus memperkukuhkan jalinan ukhuwah," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Majlis Berbuka Puasa Anak Terengganu di Perantauan Bersama Kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu, yang diadakan di Dewan D, MAEPS Serdang, semalam. Dalam pada itu, Dr. Ahmad Samsuri turut berpesan kepada para perantau yang bakal pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri supaya berhati-hati ketika memandu. "Pastikan perjalanan pulang disertai dengan kegembiraan dan kembali semula ke ibu kota dengan penuh semangat," ujarnya.  
16 Mar 25
420
180 Asnaf Hulu Besut Gembira Terima Pakaian Raya
180 Asnaf Hulu Besut Gembira Terima Pakaian Raya
HULU BESUT, 15 Mac – Seramai 180 asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut rata-ratanya gembira menerima sumbangan pakaian raya menerusi Program Sinar Aidilfitri yang berlangsung selama dua hari.   Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, berkata inisiatif ini dilaksanakan bagi membantu persiapan Aidilfitri melalui pemberian baucar bernilai RM150 bagi setiap satu, membolehkan penerima memilih pakaian yang sesuai untuk anak-anak mereka di Pasaraya Econjaya dan Pusat Pakaian Hari-Hari. “Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha saya sendiri untuk memastikan keperluan mereka dapat dipenuhi dengan lebih sempurna dan sesuai bagi menyambut Aidilfitri,” katanya ketika ditemui dalam majlis tersebut, di sini, semalam. Beliau turut berharap sumbangan kecil ini dapat membawa kegembiraan kepada penerima serta menjadi simbol kasih sayang dan keprihatinan terhadap komuniti setempat. “Saya mendoakan agar semua diberikan keberkatan, kesihatan, dan kebahagiaan dalam menyambut bulan Syawal yang bakal tiba,” tambahnya. Program ini mendapat sambutan baik daripada penerima yang berterima kasih atas keprihatinan dan bantuan yang diberikan bagi meringankan beban mereka menjelang Hari Raya.
16 Mar 25
134
Jadikan UPDI Sumber Perantau Dapatkan Maklumat Tepat
Jadikan UPDI Sumber Perantau Dapatkan Maklumat Tepat
SERDANG, 16 Mac - Kerajaan Terengganu berharap anak-anak Terengganu yang berada di perantauan menjadikan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sebagai sumber untuk mendapatkan maklumat yang tepat serta sahih bagi mengetahui apa jua perkembangan terkini yang dilakukan kerajaan negeri dalam usaha memberi manfaat dan kebaikan kepada seluruh rakyat. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setiap perantau merupakan ejen menyampaikan berita serta informasi yang benar mengenai apa yang berlaku di Terengganu agar ia diketahui oleh seluruh rakyat Terengganu yang berada di mana sahaja. "Terdapat anak-anak negeri yang berada di luar mungkin tidak menyertai persatuan jadi masing-masing perlu memberikan maklumat yang tepat kepada seluruh warga yang berada di luar dari negeri Terengganu. "Maklumat itu bukan sahaja akan diketahui oleh rakyat Terengganu yang berada di luar bahkan akan turut menjadi perhatian seluruh anggota masyarakat dalam negara kita,"ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu hadir ke Majlis Berbuka Puasa Anak Terengganu di Perantauan, yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, pada Sabtu. Tambah Samsuri, penting untuk setiap rakyat Terengganu berada di luar mendengar penjelasan yang tepat daripada kerajaan melalui ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. "Maka, dengan 'update' yang betul, insya-Allah kita akan berjaya mewujudkan suasana yang lebih harmoni dalam masyarakat," katanya.  
15 Mar 25
100
Giliran OKU Terima Bantuan
Giliran OKU Terima Bantuan
KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Seramai 50 orang golongan orang kurang upaya (OKU) menerima bantuan kewangan dan barangan keperluan asas dalam usaha berterusan kerajaan negeri memastikan kebajikan mereka terpelihara. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata, bantuan itu bukan sekadar memenuhi keperluan harian tetapi juga sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap golongan ini. "Alhamdulillah, seramai 50 orang OKU menerima bantuan dalam bentuk wang tunai dan barangan dapur. "Ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri bagi memastikan mereka tidak terpinggir dan terus mendapat sokongan sewajarnya," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program Bual Bicara Peranan Wanita Kepada OKU di Perkarangan Masjid Tengku Tengah Zaharah, pada semalam. Zuraida turut memperakui bahawa kewujudan golongan OKU adalah sebahagian daripada kekuasaan Allah sebagai ujian dan anugerah kepada manusia.  Malah, menurutnya, Mantan Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menyifatkan OKU sebagai 'golongan pelindung umat' menjadi perisai daripada azab Allah akibat maksiat yang dilakukan manusia lain.  Dalam usaha memperkasa kehidupan OKU, kerajaan Terengganu telah menubuhkan Majlis Tindakan Orang OKU negeri Terengganu (MTOT) yang dianggotai oleh pelbagai agensi kerajaan, pakar perubatan, akademik serta pihak berkaitan. Menurut Zuraida, MTOT berperanan menyelia pelaksanaan dasar negara dan negeri dan memantau aktiviti jabatan, agensi serta badan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan pelan tindakan kebajikan OKU dapat dilaksanakan dengan baik. "Kita sedar golongan OKU memerlukan perkhidmatan istimewa yang membolehkan mereka hidup berdikari.  "Orang cacat penglihatan perlu kepada kemahiran membaca dan menulis braille sebelum mereka menggunakan kemahiran tersebut untuk mereka berdikari. "Serta cacat pendengaran mereka perlukan kemahiran untuk memahami dan menggunakan bahasa isyarat sebelum boleh menggunakannya berinteraksi dengan orang lain," ujarnya. Tambah beliau, komitmen kerajaan negeri dalam membela nasib golongan ini akan terus diperkukuhkan dengan dua agenda utama, iaitu memastikan sokongan yang mencukupi kepada OKU serta mengubah persepsi masyarakat terhadap mereka. "Pertama kita menengahkan orang kurang upaya ini kepada masyarakat dengan dicukupkan sistem sokongan yang semampu dan sewajarnya. "Kedua mendorong dan mendidik masyarakat umum untuk menerima keberadaan orang kurang upaya tanpa sebarang halangan," katanya. Beliau menambah, Kerajaan Negeri amat cakna dan komited dalam memastikan kebajikan golongan OKU terus terjamin.  "Kami mahu mereka menjalani kehidupan sejahtera serta mampu berdikari seperti individu lain," katanya. Ujar Zuraida lagi, inisiatif ini membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan setiap lapisan masyarakat, termasuk OKU, mendapat hak dan peluang yang sama dalam arus pembangunan negeri.
15 Mar 25
726
“Syukur, Bantuan Ini Sangat Bermakna Buat Kami” – Asnaf Terharu
“Syukur, Bantuan Ini Sangat Bermakna Buat Kami” – Asnaf Terharu
KEMAMAN, 15 Mac – Seramai 571 asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menerima sumbangan berupa wang tunai dan beras dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Kompleks Paya Lasir pagi semalam. Seorang penerima, Kamariah Ibrahim, 40, meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima dan menyifatkan sumbangan tersebut amat bermakna bagi golongan asnaf sepertinya. ”Saya sangat bersyukur kerana sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam menyediakan keperluan harian, terutamanya ketika Ramadan hampir tiba. "Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Sumbangan Asnaf DUN Kijal di Dewan Kompleks Paya Lasir di sini. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman, Hazri Jusoh serta Ahli-Ahli Majlis DUN Kijal. Sementara itu, ADUN Kijal, Datuk Razali Idris, berkata program tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu golongan yang memerlukan di kawasan tersebut. ”Kita sentiasa berusaha memastikan kebajikan rakyat terjaga, lebih-lebih lagi golongan asnaf yang memerlukan perhatian khusus. "Bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban mereka dalam menghadapi bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Insya-Allah, pelbagai lagi inisiatif akan terus diusahakan bagi membantu masyarakat di DUN Kijal,” katanya.  
15 Mar 25
302
Ops Supik Hitam: Dua Kedai Dikompaun RM2,500
Ops Supik Hitam: Dua Kedai Dikompaun RM2,500
KUALA TERENGGANU, 14 Mac - Dua buah kedai di daerah ini dikompaun keseluruhan RM2,500 dalam operasi bersepadu Ops Supik Hitam yang dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dengan kerjasama Pusat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), semalam. Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, operasi berkenaan dijalankan bermula pukul 10.30 pagi hingga 1.30 petang di premis makanan sekitar bandar raya ini. "Kita nasihatkan semua umat Islam untuk sentiasa menjaga kesucian bulan Ramadan dengan tidak sesekali terjebak dengan mana-mana kesalahan jenayah syariah," ujarnya. Sehubungan itu, beliau meminta para peniaga mematuhi waktu operasi premis sebagaimana arahan yang telah dikeluarkan MBKT.  "JHEAT dengan kerjasama agensi berkaitan dari semasa ke semasa akan membuat pemantauan dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang terlibat dengan kesalahan ini," ujarnya. 
14 Mar 25
709