lightning-solid
Berita :

Artikel "Rencana" Terkini

Kampung Tanjung Gamitan Sejarah dan Kenangan
Kampung Tanjung Gamitan Sejarah dan Kenangan
Pastinya semua rakyat Terengganu mengetahui tentang keberadaan Kampung Tanjung yang terletak di pinggir muara Sungai Terengganu, berhampiran dengan Istana Maziah, pusat pemerintahan Kesultanan Negeri Terengganu suatu masa dahulu, Pejabat Pos Besar, Pasar Payang dan juga Bukit Puteri. Pernah menjadi pusat ekonomi rakyat Terengganu dengan adanya Pasar Tanjung, Taman Selera Tanjung ketika itu.  Sebenarnya, banyak nama-nama Tanjung yang ada sepanjang kira-kira 1.5 km itu yang mungkin tidak diketahui orang. Antaranya Tanjung Jati, Tanjung Pantai Teluk, Tanjung Haji Kasim, Tanjung Che Mat Taukey, Tanjung Kapor, Tanjung Atap, Tanjung Batu Satu, Tanjung Paya, Tanjung Surau Besar, Tanjung Surau Pasir, Tanjung Taman Selera, Tanjung Haji Mat Lintar, Tanjung Jamban Hijau, Tanjung Kelab Pantai, Tanjung Surau Haji Mat Kerinci, Tanjung Mengabang dan Tanjung Longgey.  Pada kebiasaannya perkampungan yang terletak berhampiran istana adalah tempat tinggal samada bagi pembesar dan juga pekerja yang terkait rapat dengan istana seperti batik, tembaga, pembuat keris, kumpulan kesenian istana. Dan sememangnya benar, kerana terdapat banyak sekali perusahaan sebegitu, dibuat di rumah-rumah di Kampung Tanjung sehingga awal tahun 90 an. Demikian juga dengan beberapa rumah agam milik pembesar-pembesar istana yang sehingga kini, masih ada yang kukuh berdiri dengan binaan kayu-kayu bermutu seperti cengal. Tidak ketinggalan juga kumpulan besar keluarga nelayan.  Bergerak kearah zaman lebih moden sewaktu itu, Kampung Tanjung mengalami perubahan. Pada sekitar 50 an dan 60 an, ada beberapa tempat seperti Tanjung Longgey, menjadi tumpuan kepada beberapa aktiviti yang tidak bermoral seperti pelacuran, dadah dan perjudian. Disebut orang, kawasan ‘belakang mati’. Kawasan itu kemudiannya hilang, mungkin kerana hakisan ombak yang besar yang sentiasa berlaku pada musim tengkujuh. Di Tanjung Kelab Pantai dahulu ada kelab judi berlesen.  Banyak sudah kampung-kampung di Tanjung, hilang ditelan hakisan. Antaranya ialah Tanjung Pantai Teluk yang hilang seluruhnya pada tahun 1986, sewaktu banjir dan ombak besar melanda Terengganu. Juga sebahagian Tanjung Kapor, Tanjung Surau Pasir dan Tanjung Taman Selera. Dan penduduk dipindahkan ke kawasan-kawasan perpindahan yang sesuai. Kebanyakkan mereka adalah setinggan, namun ramai juga yang mempunyai tanah sendiri.  Dalam menghadapi cemuhan orang ramai berkenaan keadaan Kampung Tanjung yang dikenali dahulu dengan cerita negatif seperti dadah, kaki pukul, perkelahian sesama sendiri, mulut yang celupar, perjudian, ia sebenarnya, tidaklah seteruk sangkaan itu. Hanya sebahagian yang hidup dengan cara itu, manakala yang lain, hidup sebagai insan biasa, malah telah membuktikan dengan kejayaan-kejayaan yang cemerlang.  Antara tokoh yang yang dikenali ramai ialah Tuan Guru Haji Mat Lintar, seorang ulamak yang mendapat pendidikan di Mekah dan menjadi pembantu bagi Sultan Terengganu. Haji Mat Kerinci yang menjadi qari dan dihadiahkan sebidang tanah, Surau Haji Mat Kerinci sekarang bagi beliau mengajar al-Quran. Taun Haji Shafruddin Ali Hussin mantan Pengarah Pendidikan Terengganu, penulis tersohor, Awang Goneng, Profesor Madya M. Zaki Hamzah, CEO Golden Pharos, Dato’ Zulkifli Mohamad, pegawai Kerajaan Terengganu dan ramai lagi.  Tidak kurang juga anak kelahiran Tanjung yang berjaya dalam kehidupan mereka, keluar dari stigma negatif itu menjadi peguam, pensyarah, usahawan dan banyak lagi berada dalam kerjaya-kerjaya yang membawa kebaikan kepada masyarakat.  Sayang sekali, Kampung Tanjung sekarang sudah tinggal nama sahaja. Atas nama pembangunan, kampung-kampung di sebelah pantai telah diambil tanahnya. Semua rumah kediaman di situ, dirobohkan dan diganti dengan bangunan-bangunan seperti KTCC, Mayang Mall dan MBKT. Tapak-tapak bangunan ini, suatu masa dahulu menjadi padang bolasepak pantai bagi mengisi masa lapang sebelah petang dan bermain ‘surfing board’ yang diperbuat daripada ‘plywood’ sebelum solat Jumaat. Momen-momen indah kanak-kanak yang tidak akan tidak akan luput ke akhir hayat.  Dan demi menjaga kelangsungan ikatan persaudaraan, jiran dan kawan di Kampung Tanjung, walaupun hampir 80 peratus Kampung Tanjung sudah diambil tanahnya, sebuah NGO, Persatuan Anak Tanjung, telah ditubuhkan. NGO ini bertujuan bagi merapatkan kembali hubungan sesama penduduk yang semakin jauh terpisah kerana pembangunan. Saudara Abdullah Mohd Noor, selaku penaung persatuan mengharapkan supaya NGO ini akan dapat membantu lebih ramai lagi bekas penduduk Tanjung yang mana tugasan tersebut telah dijalankan sewaktu negara dilanda Covid-19 baru-baru ini dengan sedikit bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas, bantuan kebakaran rumah, mereka yang sakit juga diziarahi dan dibantu. Diharap hal seperti ini dapat menjadi contoh kepada generasi seterusnya. Pasti nanti, Kampung Tanjung hanya tinggal nama sahaja, tetapi biarlah nama yang baik, dikenang orang. Mohd Nasir Abdullah, 29 Julai 2022.
29 Jul 22
4324
Meneruskan, Membaikpulih Dan Menambahnilai Apa Yang Ada
Meneruskan, Membaikpulih Dan Menambahnilai Apa Yang Ada
Tajuk atas ini merupakan antara pendekatan menarik yang diamalkan oleh Kerajaan PAS Terengganu sejak dari 2018 hingga kini.  Kita bukannya mengambil pendekatan, mengabaikan dan meminggirkan hasil kepimpinan lepas hanya kerana perbezaan politik.  Malah, sebelum ini sesama parti pun mereka mengabaikan polisi atau pembangunan pimpinan sebelum mereka. Walhal itu sesama parti.  PAS tidak lakukan sedemikian, jika apa yang ditinggalkan itu baik, maka ianya akan diterus, dibaikpulih dan ditambahnilainya.  Tidaklah kita robohkan KTCC, Drawbridge, Masjid Kristal dan sebagainya, kerana pendekatan inilah yang PAS amalkan.  Nah, Masjid Kristal yang bermasalah tahun 2017, kini telah dibaikpulih infrastrukturnya dan boleh digunakan kembali. Malah, ianya dihidupkan dengan majlis ilmu kini.  Lebih menarik, Masjid Kristal ini bakal menerima jemaah yang tetap bukan lagi sekadar persinggahan pelancong. Berseri-seri masjid kristal bukan dari biasan cahayanya tapi dari majlis ilmu dan jemaah dalamnya.  Lihat bagaimana pimpinan PAS berfikir, masjid yang ada perlu diimarahkan, buat masjid tapi orang kampung tak gi solat situ itu satu masalah.  Takkan nak roboh? Maka diambil pendekatan untuk imarahkan masjid kena ada orang duduk dalam kawasan Taman Tamadun Islam iti.  Maka kerajaan negeri telah membangunkan Pusat Tafaqquh Fiddin Tok Sheikh Duyong disana.  Pusat pengajian ini untuk anak muda mahu melanjutkan pengajian turath diperingkat yang lebih tinggi, kini mereka ditempat sementara di Masjid Seberang Takir, Kuala Nerus. Malah akan diadakan juga pengajian sepanjang hayat (long life learning). Pusat ini menginspirasikan kewibawaan ilmu Tok Sheikh Duyong ulama besar Terengganu. Alhamdulillah, beberapa hari lepas Dr Sam merasmikan majlis pecah tanah, walaupun tiang-tiang bangunan sudah pun berdiri. Bukan sahaja Masjid Kristal bakal mempunyai jemaah yang tetap, malah Taman Tamadun Islam juga menerima insan yang menjadi pemangkin pembangunan tamadun.  Lebih manis, insan yang mendiam disana akan disirami dengan ilmu turath, dimana ilmu itu lah yang menjadi akar utama dalam ketamadunan dunia.  Mengambil pula nama seorang tokoh ulama' yang bukan sahaja alim dengan kuliah dan lebih 74 buah karya dan buku catatan, malah ulama' ini merupakan rujukan besar dalam soal pentadbiran kepada pemerintah ketika abadnya.   Maka, Taman Tamadun Islam dan Masjid Kristal ditambahnilainya oleh Kerajaan PAS dengan penubuhan Pusat Tafaqquh fiddin Tok Sheikh Duyong. Melengkapkan ketamadunan, in sya Allah. Begitulah PAS dalam pendekatannya.  Ahmad Fahmi Mokhtar
14 Jun 22
245
Kuala Terengganu Akan Alami Fenomena Tengah Hari Tanpa Bayang
Kuala Terengganu Akan Alami Fenomena Tengah Hari Tanpa Bayang
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Rakyat di Kuala Terengganu bakal merasai serta menyaksikan peristiwa 'ekuinoks' iaitu waktu tengah hari tanpa bayang pada 3 April ini.  Menurut kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kelmarin, fenomena berkenaan turut berlaku lebih awal di Kota Tinggi, Johor pada 25 Mac sementara Putrajaya pada 28 Mac dan disusuli Kuala Terengganu. Perkara itu disebabkan pada 21 Mac 2022, matahari akan berada betul-betul di garisan Khatulistiwa pada sepanjang hari tersebut. "Seluruh dunia akan mengalami masa siang dan malam yang sama panjang iaitu 12 jam siang, dan 12 jam malam. Bagi kawasan yang betul-betul berada di atas garisan Khatulistiwa seperti di Pontianak, Indonesia dan Quito, akan berlaku peristiwa siang hari tanpa bayang tersebut dan Malaysia akan mengalami sedikit lewat," ujar kenyataan tersebut, semalam. Dalam pada itu fenomena itu juga akan turut akan berlaku sekali lagi pada 22 September ini yang dikenali sebagai ekuinoks musim luruh. Untuk rekod, ekuinoks merupakan satu fenomena astronomi apabila kedudukan matahari sejajar dengan Garisan Khatulistiwa, ia menjadikan bumi dan matahari berada pada jarak paling dekat dalam sistem solar. Pertukaran posisi matahari dari Hemisfera Utara ke Hemisfera Selatan menyebabkan suhu bumi meningkat selain jangka masa siang dan malam menjadi sama iaitu 12 jam. Di Malaysia apabila berlaku, kebiasaan suhu dijangka antara 30 hingga 35 darjah Celsius.  
22 Mar 22
23311
Gajah Liar Ditangkap Sabtu, Mati Dua Hari Kemudian
Gajah Liar Ditangkap Sabtu, Mati Dua Hari Kemudian
BESUT, 1 Februari- Gajah jantan yang ditangkap di Kampung Padang Tapong, Jertih di sini Sabtu lalu, didapati mati di kebun getah di kampung berkenaan, petang semalam. Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Loo Kean Seong, berkata pihaknya mendapati gajah berusia lingkungan 15 tahun itu mati kira-kira jam 2.30 petang. "Saya menerima berita sedih itu daripada kakitangan yang bertugas di lapangan dan bedah siasat dilakukan oleh doktor veterinar PERHILITAN pagi ini bagi mengetahui punca sebenar kematian. "Setakat ini, saya masih menunggu laporan rasmi punca kematian gajah terbabit, manakala bangkainya ditanam di lokasi ia dirantai," katanya ketika dihubungi, hari ini. Kean Seong berkata, gajah seberat kira-kira dua tan itu sebelum ini dijadual dipindahkan ke lokasi yang ditetapkan dengan bantuan gajah denak esok. Ahad lalu, PERHLITAN Terengganu berjaya menangkap seekor gajah jantan di Kampung Padang Tapong dekat Kampung Padang Luas, di sini selepas menerima aduan orang awam berhubung gajah liar yang berkeliaran sekitar kampung termasuk menghampiri kawasan taman perumahan. Kakitangan PERHILITAN Terengganu berjaya menangkap gajah berkenaan dengan menggunakan kaedah tembak ubat pelali dan haiwan itu dirantai kakinya pada pokok getah sementara menunggu ia dipindahkan. - BERNAMA
01 Feb 22
369
Lebih 20 Ribu Pekerjaan Di Terengganu Dalam Tempoh 3 Tahun
Lebih 20 Ribu Pekerjaan Di Terengganu Dalam Tempoh 3 Tahun
Janji PAS Terengganu adalah untuk menyediakan sebanyak 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh empat hingga lima tahun pentadbiran.  Sasaran ini adalah ‘achievable’ jika dapat dipastikan sejumlah antara 4,000 hingga 5,000 peluang pekerjaan wujud setiap tahun di negeri ini dalam sektor kerajaan dan swasta. Alhamdulillah, berdasarkan data THRDC yang dikongsikan daripada JTK dan PERKESO, sebanyak 10,122 penempatan pekerjaan telah dibuat di negeri ini pada 2019, 3,487 pada 2020 dan 8,368 sehingga Oktober 2021 menjadikan jumlahnya sebanyak 21,977 pekerjaan. Lebih daripada itu, sehingga 10 Disember 2021 lalu, masih terdapat 8,917 kekosongan jawatan aktif di Terengganu yang boleh diisi oleh rakyat di negeri ini.  Ini bermaksud, secara purata kasarnya, terdapat lebih 10 ribu peluang pekerjaan setahun yang tersedia dalam pasaran buruh di negeri ini dalam tempoh tiga tahun ini.  Ini semua adalah hasil usaha yang bersungguh-sungguh daripada semua pihak di dalam dan luar kerajaan. Terima kasih saya ucapkan.  Saya fikir data ini pun sudah memadai untuk menjawab tohmahan liar sesetengah pihak yang berterusan mahu memburukkan Kerajaan Negeri Terengganu. Tapi, kenapa masih ramai yang mengadu tidak ada kerja?  Insya-Allah saya akan bincangkannya dalam hantaran seterusnya disamping menjelaskan apa usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Terengganu. YB Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu.
06 Jan 22
934
Pengangguran Terengganu Bertambah Baik Bawah Paras Nasional
Pengangguran Terengganu Bertambah Baik Bawah Paras Nasional
Sejak 2012, kadar pengangguran di Terengganu menunjukkan trend peningkatan iaitu daripada 2.9 peratus kepada 3.4 peratus (2013), 4.1 peratus (2014), 4.0 peratus (2015), 4.2 peratus (2016), 4.5 peratus (2017) dan 4.8 peratus (2018). Jumlah penganggur bertambah dengan ketara daripada 14.4 ribu kepada 22.5 ribu dalam tempoh 6 tahun tersebut. Kadar ini juga melepasi kadar nasional yang berada dalam julat antara 2.9 hingga 3.4 peratus sahaja bagi tempoh yang sama. Melihat kepada trend yang membimbangkan inilah, menjelang PRU14 lalu PAS Terengganu mengemukakan tawaran untuk menyediakan sebanyak 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh sepenggal pentadbiran. Isu pengangguran adalah isu besar yang melibatkan banyak faktor. Ia memerlukan usaha dan fokus. Kerajaan melihat bidang sumber manusia ini memerlukan satu agensi khusus bagi menangani permasalahan pengangguran dan pencarian kerja kepada rakyat. Jika sebelum ini isu pengangguran dan pencarian kerja tiada data khusus yang boleh digunapakai oleh pihak kerajaan negeri sendiri. Di sinilah terwujudnya THRDC (Terengganu Human Resource Development Centre). Antara perkara pertama yang dilakukan oleh THRDC adalah membentuk kolaborasi erat antara agensi dan jabatan kerajaan serta industri. Alhamdulillah, setelah lebih 18 bulan mengambil alih kerajaan, dengan wujudnya THRDC dan dengan sokongan dan kerjasama daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, kadar pengangguran berjaya diturunkan kepada 3.5 peratus pada 2019 iaitu menghampiri kadar nasional 3.3 peratus. Dalam masa yang sama, THRDC telah mengadakan kerjasama erat dengan agensi Kerajaan Persekutuan seperti PERKESO dan Jabatan Perangkaan Negara bagi berkongsi data-data yang lebih bermaklumat untuk kegunaan negeri. Melalui pelaporan yang lebih terperinci dan bersasar itu kerajaan dapat meneliti fenomena pengangguran mengikut daerah-daerah dan bidang-bidang yang diperlukan dalam pasaran kerja. Kerajaan juga dapat memahami kedudukan permintaan dan tawaran tenaga kerja (Demand and Supply of Labour) dalam negeri Terengganu, seterusnya memahami jurang (gap) yang wujud. Daripada kefahaman itu, kerajaan negeri menggariskan beberapa strategi jangka pendek dan panjang untuk menangani masaalah pengangguran ini. Walaupun pasaran buruh merosot teruk akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia, kadar pengangguran di negeri ini masih terkawal pada kadar 4.1 peratus pada 2020 dan antara 3.7 peratus hingga 4.4 peratus pada suku pertama hingga suku ketiga tahun 2021. Kadar ini adalah lebih baik daripada yang direkodkan di peringkat nasional iaitu 4.6 peratus pada 2020 dan antara 4.7 peratus hingga 4.8 peratus pada suku pertama hingga suku ketiga tahun 2021. Statistik kehilangan pekerjaan di negeri ini bagi tempoh Mac 2020 hingga September 2021 juga berada di kedudukan keempat terendah iaitu seramai 1,547 orang daripada keseluruhan 136,374 orang bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Data-data ini saya kongsikan dahulu untuk memberikan gambaran umum mengenai tahap 'kesihatan' pasaran buruh di negeri kita ini sejak beberapa tahun lalu sehingga sekarang. Insya-Allah, dalam hantaran berikutnya nanti, saya akan menjawab pula sama ada janji untuk menyediakan sebanyak 20,000 peluang pekerjaan itu sudah ditunaikan atau sebaliknya. YB Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu.
04 Jan 22
2340
Kerjasama Antara Agensi Bantu Sejahterakan Rakyat
Kerjasama Antara Agensi Bantu Sejahterakan Rakyat
MARANG, 13 November - Kerjasama agensi negeri dan persekutuan merupakan antara asas kesejahteraan dan pembangunan dakwah di Terengganu.  Pengerusi Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata kerajaan negeri sentiasa komited dalam memperkukuh hubungan dan interaksi dengan badan-badan bukan kerajaan persekutuan Islam dalam menyampaikan mesej dakwah di negeri ini. "Kita bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti YADIM, JAKIM, YAPeIM, dan JaPen bagi memastikan agenda pembangunan insan itu tercapai. "Kolaborasi yang baik antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan sangat diperlukan bagi pelaksanaan gerak kerja dengan lebih berkesan kepada rakyat Terengganu," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program Komuniti Sejahtera Darul Iman Di Hatiku (K.O.S.D.I) @Marang, dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) peringkat daerah ini, di Dewan Sebaguna Kg. Sena Rendang , di sini, pada hari ini. Turut hadir, Pengarah YADIM negeri, Nasrul Hadi Saidin, Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu Jabatan Penerangan Malaysia, Aszahari Abdul Rahman dan Pengurus YAPeIM negeri, Kartina Ahmad. Tambah Mohd Nor, usaha berterusan untuk melaksanakan aktiviti dakwah di negeri ini perlulah disokong oleh semua pihak. "Maka sudah pasti agenda untuk menyeru masyarakat kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran dapat kita lestarikan dengan sebaik mungkin apabila wujudnya kerjasama dan sokongan tersebut. "Marilah sama-sama kita jadikan dakwah sebagai suatu kebiasaan dalam hidup kita," katanya.
13 Nov 21
250
Erti Sebuah Pengorbanan Dan Keikhlasan
Erti Sebuah Pengorbanan Dan Keikhlasan
Oleh : Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali/ Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Pengorbanan datang dalam perbagai warna. Warna-warna inilah yang mulai mengisi keindahan kehidupan manusia. Tanpa pengorbanan sudah pastilah tiada bernilai erti kasih sayang dan keikhlasan. Kisah tentang pengorbanan ini tidak pernah lekang daripada kehidupan manusia. Adalah menjadi lumrah berlakunya pengorbanan dalam kehidupan. Meneliti di sebalik sejarah umat manusia yang diminta untuk mempersembahkan korban pertama. Pastinya kembali diingatkan kepada kisah Nabi Adam diturunkan ke bumi oleh Allah dan takdirkan Hawa menjadi isterinya yang diciptakan dari tulang rusuk kiri Baginda. Takdirnya menyebutkan baginda diturunkan ke bumi, dengan nikmat kasih sayang Allah maka lahirlah dua pasang anak kembar. Allah memerintahkan Qabil berkahwin dengan kembar Habil, manakala Habil berkahwin pula dengan kembar Qabil. Walaubagaimanapun Qabil tidak dapat menerima perkara sedemikian dan memprotes perintah berkenaan kerana mahu berkahwin dengan kembarnya sendiri. Sesetengah riwayat menyatakan, Qabil dan kembarnya dikandungkan di syurga dengan memiliki rupa paras yang tampan dan cantik menyebabkan berlakunya konflik dalaman. Sebagai solusi paling adil, Nabi Adam mengadu kepada Allah. Lalu Allah berfirman, jika hendak tahu siapa yang layak mengahwini adik Qabil, maka mereka perlu mempersembahkan korban. Itu antara kisah ikon simbol yang pertama dalam sejarah kehidupan manusia. Dalam kisah ini jelas menunjukkan pengorbanan ini berlaku dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah Taala. Dalam memilih korban yang baik, Habil memberikan korban yang terbaik kerana dia pengembala kambing.Dia memberikan kambing paling elok dan gemuk sebagai persembahan kepada Allah. Manakala Qabil yang juga abang kepada Habil adalah petani. Malangnya, dia memberikan hasil pertaniannya yang sudah rosak selain korban yang dilakukan atas dasar hasad dengki. Lalu Allah menurunkan api dari langit dan menyambar korban Habil sebagai isyarat korban itu diterima Allah. Sorotan pengorbanan tidak berakhir di sini, pastinya membawa kepada perintah Allah kepada Nabi Ibrahim untuk memyembelih anaknya sendiri Nabi Ismail. Atas dasar kasih sayang, dan keimanan yang tinggi, berdua mereka pun tanpa ragu lantas mengikut perintah Allah. Siap Nabi Ismail untuk dikorbankan. Dipusingkan Baginda ke arah kiblat, seperti mana ibadah korban, diletakkan pisau dileher untuk disembelih oleh Nabi Ibrahim, Allah Taala menurunkan rahmat dan kasih sayangNya dengan menggantikan kibas sebagai sembelihan. Maka bergembira mereka berdua dalam rahmat dan kasih sayang Allah diturunkan bagi mereka yang bersabar mengikut perintah serta ujian kehidupan. Dalam melaksanakan ibadat kepada Allah, sudah tentu kita tidak kisah berkorban wang ringgit dan harta benda untuk mencapai tahap ketakwaan. Begitu juga menggunakan semula konsep ibadah korban dalam kehidupan. Pengorbanan diangkat sebagai isitilah yang amat mulia di sisi nilai kehidupan. Keadaan situasi bencana virus COVID-19 sangat memerlukan kesabaran dan pengorbanan yang amat tinggi. Terutamanya dalam menempuhi era kehidupan yang mencabar ini. Nilai keikhlasan yang ditunjukkan daripada barisan hadapan sudah tidak disangsi lagi. Mereka rela berkorban seadanya masa, tenaga, juga nyawa dalam memastikan keselamatan serta kesihatan rakyat jelata. Hampir dua tahun, mereka dikelubungi dengan ‘personal protective equipment’ (PPE) yang bukan sekadar membasah keringat malah ada nyawa turut terkorban. Alfatihah disedekahkan kepada mereka yang berjuang di medan jihad ini, semoga Allah memberikan tempat terbaik buat mereka. Kini kita sebagai masyarakat perlu mengambil cakna, serta turut memberikan penumpuan penuh kepada usaha mambanteras virus COVID-19 yang semakin menggila ini Varient baru ini memerlukan kita mengambil langkah lebih protektif, duduk di rumah dan menjaga kebersihan diri, untuk berkorban menghadapi situasi COVID-19 ini. Pergorbanan kita sebagai entiti masyarakat ini menzahirkan kasih sayang serta keikhlasan yang turut dinilai di hadapan Allah nanti. Kasih sayang inilah yang membawa kepada perasaan kita sebagai jiran dan warga masyarakat mengambil cakna kepada keperluan jiran yang memerlukan bantuan makanan. Sekali gus, dapat menyelesaikan isu, kehabisan barang makanan di rumah bagi mereka yang kurang berkemampuan akibat tidak dapat bekerja mahupun sepanjang situasi PKP berlangsung. Ini kembali kepada konsep korban yang mahu menghilangkan sifat sombong, bongkak dan ego golongan kaya. Konsep inilah yang turut diterapkan bagi mereka yang menjalankan ibadat Haji, kembali dalam keadaan fitrah. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika Aidiladha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat sebagai saksi dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, berbahagialah dirimu dengannya.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Hakim)  
21 Jul 21
1551
Terengganu Fokus Jana Peluang Kerja, Tingkat Kemahiran Rakyat
Terengganu Fokus Jana Peluang Kerja, Tingkat Kemahiran Rakyat
Oleh : Imana Mahadi/Pegawai Penyelidik Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) Pandemik COVID-19 telah menyebabkan ramai penduduk di seluruh dunia terkesan, jutaan rakyat kehilangan pekerjaan sehingga menimbulkan masalah kewangan dalam kehidupan seharian. Menurut Laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa, krisis COVID-19 ini akan menyebabkan 195 juta orang kehilangan pekerjaan sepenuh masa. Di negara kita, berdasarkan statistik daripada Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sehingga 28 Oktober 2020 seramai 90,470 orang telah kehilangan pekerjaan. Dalam konteks Negeri Terengganu pula, menurut Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, kadar pengangguran di Terengganu telah meningkat kepada 3.8 peratus pada suku kedua 2020 berbanding 3.3 peratus pada suku pertama tahun 2020.  Menghadapi fenomena ini, Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Belanjawan Terengganu 2021 telah memperuntukkan sebanyak RM7.52 juta untuk Latihan Kemahiran dan Peluang Pekerjaan. Langkah yang disenaraikan sebagai salah satu Inisiatif Khas COVID-19 ini menunjukkan fokus dan keutamaan Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2021. Di bawah inisiatif ini, program-program yang disusun antaranya ialah program perantisan sebagai laluan kerjaya sebelum ke pasaran kerja dan program peningkatan latihan kemahiran seperti Terengganu Young Executive Program (TYEP) dan T-JOB. Program ini harus diberi pujian kerana turut memberi peluang kepada golongan OKU untuk mendapat bimbingan dan sokongan kerjaya. Malah dapat memberi pendedahan awal kepada graduan sebelum masuk ke pasaran kerja yang lebih mencabar sekaligus meningkatkan kebolehpasaran mereka.  Selain itu, Kerajaan Negeri juga memberi penekanan terhadap pembangunan kemahiran usahawan di Terengganu khususnya untuk golongan belia dan beliawanis dengan melaksanakan program seperti Kursus Keusahawanan Terengganu dan Program Jati Diri Generasi Sejahtera. Dengan adanya program sebegini, kita dapat menggalakkan lebih ramai rakyat menceburi bidang keusahawanan dan tidak hanya bergantung kepada pekerjaan makan gaji, 'white collar job'. Tambahan pula, COVID-19 telah menyebabkan permintaan tinggi dalam bidang keusahawanan digital berbanding industri lain. Inilah peluang terbaik untuk diceburi menerusi inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri. Inisiatif ini juga turut memberi tumpuan terhadap pemerkasaan pusat kemahiran seperti TESDEC dan TATIUC melalui Terengganu Training Program (TTP) serta melatih kemahiran golongan lepasan sekolah menerusi program berkonsepkan ‘Place & Train’ iaitu Terengganu Skill Enhancement Program for School Leavers (T-SEPS).  Di samping itu, bagi mempersiapkan mentaliti anak Terengganu dan membantu mereka bersedia menghadapi suasana kerja berbeza di luar Terengganu, Program Transformasi Pekerja Itqan akan dilaksanakan. Bukan itu sahaja, Karnival Pekerjaan 2021 juga akan diadakan bagi memastikan rakyat Terengganu dapat memanfaatkan sepenuhnya daripada peluang-peluang pekerjaan yang ada di Terengganu dan di luar Terengganu.  Semua inisiatif ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sangat prihatin dalam memastikan kebolehpasaran dan kebolehgajian graduan serta membantu penganggur dan pekerja yang terjejas akibat pandemik COVID-19 mendapatkan semula pekerjaan dan mempunyai sumber pendapatan bagi menyara kehidupan sekaligus merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.  Kerajaan Negeri juga perlu memainkan peranan yang lebih berkesan untuk memastikan agensi pelaksana yang terlibat menjalankan tanggungjawab dan mengurangkan birokrasi bagi memudahkan urusan golongan yang terjejas ini.
20 Jan 21
1228
Cinta Tanah Air Selaras Anjuran Agama
Cinta Tanah Air Selaras Anjuran Agama
  Rakyat Malaysia menyambut kemerdekaan negara pada setiap 31 Ogos saban tahun. Namun, apakah kita benar-benar mengerti makna sebuah kemerdekaan dan kebebasan yang diperjuangkan nenek moyang kita selama hampir 500 tahun lalu? Negara merupakan anugerah daripada Allah SWT kepada sesuatu bangsa atau umat. Perlu kita sedari, keamanan, keselesaan dinikmati yang dikecapi hari ini, perlu sentiasa disyukuri dan dipelihara dengan sebaiknya. Kewujudan sesuatu bangsa dan tamadun terletak pada kesungguhan dan kecintaan anggotanya untuk membangun dan mensejahterakan kehidupan berpandukan wahyu Ilahi dan sunnah Rasulullah SAW. Sebaliknya, kaum yang cenderung melakukan kerosakan dalam erti kata melanggar perintah, hukum serta larangan Allah SWT dan Rasul-Nya akan membawa mudarat kepada negaranya sebagaimana yang dialami oleh kaum Aad, kaum Tsamud dan kaum Nabi Lut. Allah SWT telah mengingatkan manusia melalui Surah al-Baqarah, ayat ke-122 yang bermaksud: “Dan apabila dikatakan kepada mereka; janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: sesungguhnya kami orang yang hanya membuat kebaikan. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang yang sebenarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.” Kecintaan kita pada negara perlu dibuktikan dengan tindakan yang positif dan konsisten. Orang yang mencintai negara akan selalu menjaganya dari sebarang ancaman dan kerosakan. Hakikatnya, setiap manusia itu memiliki kecintaan kepada tanah airnya sehingga dia berasa aman menetap di dalamnya dan selalu merindukannya apabila jauh darinya, malah mempertahankannya ketika diserang dan berasa marah ketika negaranya dicela. Dengan kata lain, mencintai tanah air itu sudah menjadi tabiat asal manusia. Rasulullah SAW sendiri pernah menzahirkan kecintaannya kepada Mekah sebagai tempat kelahirannya. Hal ini dapat dilihat dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas RA yang bermaksud: “Dari Ibnu Abbas RA beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda, ‘Alangkah baiknya engkau sebagai sebuah negeri, dan engkau merupakan negeri yang paling aku cintai. Seandainya kaumku tidak mengusirku dari engkau, nescaya aku tidak tinggal di negeri selainmu” (Hadis riwayat Ibnu Hibban). Berdasarkan tindakan Baginda itu, jelas memberi kesimpulan bahawa mencintai negara merupakan suatu sifat semula jadi yang ada dalam diri manusia dan ia dianjurkan dalam Islam. Sesungguhnya bumi yang dipijak ini ialah tanah tumpah darah kita. Di sinilah perlunya kita memelihara keamanan untuk hidup berpadu penuh kedamaian. Pada masa sama, kita turut bertanggungjawab menjaga kesucian agama dan kedaulatan negara daripada sebarang anasir keganasan, kezaliman mahupun penindasan.
04 Aug 20
354