lightning-solid
Berita :

Artikel "Rencana" Terkini

Muafakat Semua Pihak, Jayakan Ibadah Korban
Muafakat Semua Pihak, Jayakan Ibadah Korban
Kebimbangan umat Islam khususnya di negara ini mengenai Aidiladha dan ibadah korban berakhir, sekali gus boleh menarik nafas lega apabila Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaannya. Ini membuktikan mesej kerajaan hari ini yang amat mengambil berat hal ibadah umat Islam dan hak Muslim untuk melaksanakan korban yang menjadi simbolik kepada pengabdian hamba kepada Allah SWT. Pada masa sama, kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sangat tegas mengawal penularan wabak COVID-19 melalui arahan tetap serta garis panduan pelaksanaan ibadah lain dengan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Tanpa kerjasama dan muafakat semua kementerian, kerajaan sukar memperhalusi hal ehwal umat Islam di negara ini dalam situasi penularan wabak mengorbankan ratusan ribu nyawa. Ia bukan sekadar jawatan dan duduk di kerusi pejabat, sebaliknya memerlukan pengorbanan hampir semua agensi kerajaan sesuai dengan peranan masing-masing. Pengorbanan ini memerlukan kerahan fizikal, mental dan emosi tanpa pengecualian. Kesediaan kerajaan memperhalusi pelaksanaan ibadah korban wajar dipuji walaupun dalam senario pandemik. Ini bertepatan dengan Islam yang mendidik manusia agar menyediakan strategi dan tindakan kemudian barulah menyerahkan semua urusan kepada-Nya. Pengorbanan perlu menyeluruh dan konsisten. Ia bukan sekadar dibaca dan didengar, bahkan membabitkan pengorbanan dalam menyokong usaha kerajaan. Ibadah korban normal baharu ini wajib dipatuhi atas kriteria kepentingan umum yang dibenarkan syarak. Umat Islam ditegah memperlekeh dan tidak memperdulikannya. Contohnya, kepatuhan aktiviti berkaitan ibadah korban adalah mengelakkan menerima kehadiran tetamu dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI) dan pesakit bawah pemantauan (PUS). Jamuan secara berhidang atau layanan pramusaji juga dibenarkan kecuali bufet layan diri. Selain itu, penganjur perlu melaporkan program korban yang akan dijalankan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD). Tepat pada masanya untuk umat Islam menekuni falsafah di sebalik pelaksanaan korban ini dengan berkorban mematuhi syarat baharu. Pada masa sama, pihak penganjur boleh memberi idea lebih baik untuk pelaksanaan sembelihan lebih efisien dan sistematik sesuai dengan pelaksanaan 3S, iaitu elakkan sesak, sempit dan sembang dalam jarak dekat. Kawalan terhadap pelaksanaan ibadah korban penganjur sama ada masjid, surau atau individu memperlihatkan normal baharu, sekali gus lambang ketinggian iman dan Islam. Dengan melihat kepatuhan terhadap pelaksanaan korban dalam era PKPP ini, kita juga mahu umat Islam meluaskan ciptaan kreatif dan inovatif khususnya di masjid dan surau agar seiring kemajuan teknologi memudahkan Muslim melaksanakan ibadah. Penggunaan alat pengimbas suhu auto, khutbah lebih padat dan bertenaga sehingga teknologi mesin penyembelihan akan menjadi norma baharu dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Dengan pengorbanan semua, segala pendekatan direncana kerajaan selepas ini akan membawa perubahan ketara dalam masyarakat dan umat Islam di negara ini khususnya. Kerajaan sudah melaksanakan tanggungjawab secara serius memastikan rakyat berada keadaan terkawal. Cuma, jika bukan kita menyokongnya, siapa lagi hendak dipersalahkan. Penulis adalah Pensyarah Kolej GENIUS Insan, Universiti Sains Islam Malaysia.  
01 Aug 20
737
Usah Biar Palestin Lenyap Daripada Peta Dunia
Usah Biar Palestin Lenyap Daripada Peta Dunia
Selepas sekian lama, akhirnya Israel dengan sokongan penuh Amerika Syarikat (AS) berjaya mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya. Kini, langkah seterusnya adalah memperluaskan negaranya ke tanah milik Palestin di sekeliling secara haram dan kuku besi. Negara Islam tidak harus membiarkan hal itu. Namun, apa yang mendukacitakan, ada sebahagian negara Islam bertolak ansur dengan regim Yahudi dan kuasa AS yang amat gelojoh itu, demi muslihat sendiri. Dunia Islam sepatutnya bersatu menentang penaklukan haram itu, mengambil kira beberapa fakta dan hakikat sebenar Palestin serta kesucian Masjid al-Aqsa selaku kiblat pertama umat Islam. Kerajaan dan umat Islam harus sedar bumi Palestin amat penting dari segi fizikal serta spiritual kepada kesucian Islam dan misinya kepada keseluruhan umat manusia. Kepentingannya juga mempunyai hubungan dengan kesucian bumi ini dan sejarahnya dalam konteks Nabi Muhammad SAW diutuskan Allah SWT untuk membawa rahmat serta kesejahteraan kepada manusia dan dunia. Al-Quran menyatakan Nabi yang turun dan mendiami bumi suci Palestin ini dengan jelas seperti Nabi Ibrahim, Lut, Ismail, Ishak, Yaaqub, Yusuf, Salih, Daud, Sulaiman dan Isa AS. Nabi dan Rasul terakhir, Muhammad SAW diberikan penghormatan amat mulia oleh Allah SWT dengan pengembaraannya ke bumi suci ini dan persinggahannya pada malam Israk di Masjid al-Aqsa dalam peristiwa Israk dan Mikraj, iaitu mukjizat besar disebutkan al-Quran. Masjid al-Aqsa terletak di Palestin. Seperti dijelaskan, ia kiblat pertama umat Islam dan antara masjid suci, di samping Masjidilharam di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. Umat Islam kini bebas melawat dan beribadah di kedua-dua masjid itu. Namun, amat malang apabila masjid suci yang juga kiblat pertama, iaitu Masjid al-Aqsa kini dikuasai rejim Israel, selepas kekalahan Arab dalam Perang Lima Hari pada Jun 1967. Sejak penaklukan Zionis itu, mereka melakukan pelbagai aktiviti merosakkan Masjid al-Aqsa. Hanya beberapa hari selepas penaklukan, mereka merobohkan dinding Al-Magharibah di sebelah barat masjid dan diratakan untuk menjadi tempat ibadat bagi orang Yahudi. Dalam usaha mencari bukti sejarah mengenai kehadiran apa yang dipanggil Kuil Solomon di kawasan utara dan barat kota Baitulmaqdis, mereka menjalankan kerja galian dan pembongkaran besar di kawasan berkenaan, tetapi tidak menemui bukti yang dicari. Malah, bukti sejarah yang mereka temui menunjukkan bandar dan kota ini ialah kota suci umat Islam. Sekurang-kurangnya tiga faktor menjadikan Palestin penting kepada umat Islam - kesucian Masjid al-Aqsa sebagai kiblat pertama, kekejaman hebat rejim Israel dan gerakan Zionis antarabangsa terhadap umat Arab serta Islam dan serangan mental serta fizikal dilakukan AS dan Eropah hingga memecahbelahkan tanah Palestin dan rakyatnya serta seluruh umat Islam. Negara Zionis itu ditubuhkan pada 14 Mei 1948 di atas sekeping tanah kecil sahaja, tetapi mereka merampas 77 peratus tanah Palestin dan mengusir kira-kira 800,000 penduduknya yang menjadi pelarian perang ketika Israel memenangi peperangan dengan Arab antara 1948 hingga 1967. Dalam peperangan Jun 1967, baki tanah Palestin dirampas, termasuk Tebing Barat, Timur Baitulmaqdis dan Semenanjung Gaza. Rejim ini juga menakluki Pergunungan Golan seluas 1,150 kilometer (km) persegi dari Syria dan Semenanjung Sinai (61,198km persegi) daripada Mesir. Akibatnya kira-kira 300,000 lagi rakyat Palestin menjadi pelarian perang, terpaksa meninggalkan tanah air mereka. Namun, Sinai dikembalikan kepada Mesir ketika negara berkenaan memenangi peperangan dengan Israel pada 1974 dengan beberapa syarat diletakkan termasuk perjanjian damai dengan Israel dan bantuan kewangan daripada AS selaku sekutu Israel. Kini, sebahagian besar kawasan yang pernah ditakluk itu akan dijadikan kawasan milik Israel seterusnya. Ini berdasarkan berita Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada 1 Julai lalu yang akan mengisytiharkan kawasan Lembah Jordan dan Lautan Mati Utara sebagai sebahagian milik negara Israel. Apakah umat Islam hanya akan berdiam diri dengan tindakan ini? Ahli Lembaga Pengarah Institut Intergriti Malaysia (IIM)
12 Jul 20
593
Maju, Berkat, Sejahtera Pacu Dasar Inklusif Terengganu - MB
Maju, Berkat, Sejahtera Pacu Dasar Inklusif Terengganu - MB
Terengganu mempunyai sejarah panjang yang mengikat akar pemikiran rakyatnya, bermula dengan penemuan Batu Bersurat yang tercatat 1303 sehingga kini. Islam menjadi rantaian sejarah yang mengikat sosiobudaya kehidupan rakyat Terengganu, termasuk memberikan pengaruh kepada pemikiran politik rakyat. Maka, menjadi tanggungjawab kerajaan yang mempunyai lebih 95 peratus rakyatnya adalah orang Melayu-Islam, untuk meraikan dan menjadikan Islam sebagai kearifan tempatan, terutama dalam membangunkan dasar pentadbiran kerajaan yang sesuai dengan kehendak dan pautan sejarah panjang negeri Darul Iman ini. Disebabkan itu, dasar dan perancangan teliti perlu dibangunkan untuk membawa Terengganu dan rakyatnya mendapat kebaikan dan kesejahteraan hidup, serta mendapat rahmat dan kasih sayang daripada Allah SWT, sebagai mana firman-Nya : "Jikalau penduduk kota-kota beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat daripada langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya. (surah Al-A'raf, ayat 96) Terdapat tiga dasar kerajaan negeri yang dibangunkan sebagai asas untuk kemajuan Terengganu dan kesejahteraan rakyat. Tiga dasar itu terangkum dalam tiga perkataan iaitu Maju, Berkat dan Sejahtera. Maju yang ingin dicapai membabitkan tiga aspek iaitu Pembangunan Infrastruktur dan Ekonomi, Pembangunan Modal Insan dan Kelestarian Pembangunan. Sementara itu, terdapat dua aspek penting bagi dasar Berkat untuk Terengganu iaitu Prinsip Islam dan Penghayatan Takwa yang menjadi asas kepada pembangunan negeri. Dasar Sejahtera pula menekankan tiga konsep utama iaitu keselamatan, berkebajikan dan kemakmuran. Dalam usaha menjayakan dasar ini, kita memperkenalkan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 sebagai pelan pembangunan dan perancangan yang lebih holistik serta komprehensif kepada rakyat. Perkara yang lebih penting selain pembangunan dasar adalah aspek pelaksanaan dasar yang sudah digariskan itu. Sebagai contoh, dalam aspek pembangunan ekonomi dan infrastruktur, kerajaan negeri melihat serta meneliti projek yang boleh menjadi pembawa perubahan dan pemangkin kepada ekonomi rakyat serta negeri. Oleh itu, kerajaan negeri meneruskan Projek Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) membabitkan pembangunan di Muara Sungai Terengganu bagi mengembangkan sektor ekonomi dan pelancongan. Pembangunan membabitkan anggaran 72.8 hektar di muara utara dan selatan Sungai Terengganu ini sedang rancak berjalan. Begitu juga dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan bagi menaik taraf infrastruktur pengangkutan melalui Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu dengan jajaran sepanjang 250 kilometer (km). Kita menjangka sebanyak 23,000 peluang pekerjaan akan disediakan melalui pembinaan dan pembangunan menyeluruh di sepanjang ECRL. Pada masa sama, pembangunan modal insan harus digerakkan secara bersama dengan pembangunan fizikal negeri. Jadi, pendidikan menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam membangunkan sistem pendidikan formal bermula daripada prasekolah, Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI), Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) sehinggalah penubuhan Kolej Universiti Quran Terengganu. Penumpuan juga diberikan kepada pendidikan kemahiran berasaskan Pendidikan dan Latihan Kemahiran dan Teknikal (TVET), yang kini menjadi keperluan dalam pasaran kerja. Kolej yang berada di bawah kerajaan negeri diperkasakan dengan kursus berkaitan TVET supaya anak Terengganu mampu memenuhi pasaran kerja berasaskan TVET ini. Di samping itu, kelestarian pembangunan amat ditekankan dalam pembangunan negeri. Kerajaan negeri mewartakan dua Taman Negeri iaitu 30,000 hektar hutan sebagai Taman Negeri Kenyir dan 432 hektar tanah bencah sebagai Setiu Wetland bagi memelihara alam semula jadi. Dalam soal menjamin keberkatan, suatu konsep dan dasar yang tiada pada pemikiran dan agama lain, yang ada pada Islam sahaja. Dasar ini ditekankan supaya kerajaan negeri sentiasa meletakkan syariat Islam sebagai rujukan dalam setiap keputusan dan pelaksanaan keputusan. Lantaran itu, kerajaan negeri membangunkan satu garis panduan patuh syariah terutamanya dalam sektor hiburan, kebudayaan, sukan dan pelancongan. Garis panduan ini bukan untuk menghalang, namun sebagai pedoman supaya aktiviti dijalankan berlandaskan syariah dan budaya orang timur. Perkara paling utama kepada kerajaan adalah kesejahteraan dan kebajikan rakyat, kerajaan yang menjaga kebajikan akan disayangi rakyat. Namun, konsep ini tidak boleh disalah tafsir sehingga menyebabkan rakyat tidak dapat berdikari dan hanya menunggu bantuan kerajaan. Oleh itu, konsep berkebajikan yang berasaskan kepada falsafah 'berikan joran bukan ikan' menjadi pendekatan pihak kerajaan membangunkan potensi dan menyediakan fasiliti untuk rakyat mendapatkan pendapatan dengan usaha sendiri. Kerajaan pula bertindak sebagai pemantau dan pendorong melonjakkan potensi serta ekonomi rakyat. Sebagai contoh, kerajaan negeri menyediakan bantuan berbentuk produktif seperti Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS), Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) dan pelbagai bantuan biasiswa pengajian sama ada formal mahupun pendidikan kemahiran. Ini suatu bantuan yang membangunkan potensi rakyat untuk lebih berdaya saing. Akhirnya, dasar yang baik ini tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa kerjasama semua pihak bermula pada peringkat kampung, mukim, daerah dan juga negeri. Saya mengharapkan dengan kerjasama semua, Terengganu Maju Berkat Sejahtera dapat kita realisasikan. Penulis adalah Menteri Besar Terengganu
12 Jul 20
757