lightning-solid
Berita :

Artikel "Rencana" Terkini

Tok Ku Paloh: Ulama, Penasihat Sultan dan Pejuang Bangsa yang Terbilang
Tok Ku Paloh: Ulama, Penasihat Sultan dan Pejuang Bangsa yang Terbilang
Tok Ku Paloh, atau nama sebenarnya Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad al-Idrus, merupakan seorang ulama besar yang sangat dihormati di Terengganu pada abad ke-19. Beliau dikenali dengan pelbagai gelaran termasuk Engku Sayyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan juga Syaikh al-Islam Terengganu, mencerminkan kedudukannya yang tinggi dalam masyarakat Islam ketika itu. Beliau dilahirkan pada tahun 1233 Hijrah bersamaan 1817 Masihi di kawasan Chabang Tiga, berhampiran Masjid Tok Ku. Tok Ku Paloh meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 Hijrah bersamaan September 1917 Masihi. Mengikut perkiraan tahun Hijrah, beliau hidup selama kira-kira 102 tahun, manakala dalam kiraan Masihi, usianya mencecah sekitar 100 tahun. Tok Ku Paloh berasal daripada keluarga ulama yang masyhur. Ayahandanya ialah Sayyid Muhammad bin Zainal Abidin Hussain bin Mustafa al-Idrus, yang lebih dikenali sebagai Tok Ku Tuan Besar. Beliau merupakan seorang tokoh agama yang berperanan penting dalam pemerintahan Terengganu ketika era Sultan Baginda Omar, dan memegang gelaran Syaikh al-Ulama Paduka Indera. Ibunya pula, Hajjah Aminah, merupakan isteri pertama Tok Ku Tuan Besar. Sebagai anak kedua dalam keluarga, Tok Ku Paloh mempunyai beberapa orang adik-beradik, baik yang seibu sebapa mahupun berlainan ibu. Adik-beradik kandungnya termasuklah Sayyid Zain al-Idrus yang dikenali sebagai Engku Sayyid Seri Perdana; Sayyid Ahmad al-Idrus, yang bergelar Tuan Ngah Seberang Baroh; Sayyid Mustafa al-Idrus, dikenali sebagai Tuan Dalam; dan Sayyid Hassan, yang digelar Tuan Senik Parit. Beliau juga mempunyai adik-beradik lain seperti Sayyid Abu Bakar, dikenali sebagai Tuan Embong Solok atau Tuan Kecik; Sayyid Abdul Kadir, yang digelar Engku Sayyid Syaikh Aishadat; dan Sayyid Hussain, yang dikenali sebagai Tuan Muda Wakaf. Adik-beradik perempuannya pula ialah Tuan Nik, Tuan Hitam, Tuan Senik, Tuan Puteh, Tuan Mariam, Tuan Saripah dan Tuan Wook. Dari segi keturunan, Tok Ku Paloh merupakan generasi ke-32 daripada Rasulullah SAW melalui nasab ayahandanya yang bersambung kepada Sayidina Hussein r.a., anak kepada Sayidatina Fatimah az-Zahrah r.ha. Beliau berasal daripada kabilah al-‘Aidrus, sebuah keturunan yang terkenal dalam kalangan ahlul bait. Keluarga ini bukan sahaja mulia dari segi nasab, malah juga dikenali kerana kekuatan pegangan agama dan sumbangan terhadap masyarakat. Semua adik-beradik Tok Ku Paloh turut aktif dalam bidang agama dan pentadbiran. Antara yang menonjol ialah Sayyid Zain yang pernah dilantik sebagai Menteri Besar pada tahun 1864 oleh Sultan Omar, Sayyid Ahmad yang menjadi tokoh agama di Seberang Baroh, dan Sayyid Mustafa, seorang ulama yang turut menjadi ahli Majlis Mesyuarat Negeri dan pernah dilantik sebagai pemangku pemerintahan sewaktu Sultan Zainal Abidin III melawat Siam pada tahun 1896. Tok Ku Paloh menerima pendidikan awal daripada ayahandanya sendiri sebelum berguru dengan ulama tempatan terkenal, Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani, atau lebih dikenali sebagai Tok Syeikh Duyung. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke Mekah, pusat keilmuan Islam terkemuka pada masa itu. Di sana, Tok Ku Paloh menimba ilmu daripada tokoh-tokoh besar seperti Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Selain itu, beliau turut menjalin persahabatan ilmiah dengan ramai ulama Nusantara seperti Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani dan Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, seorang ulama kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu. Sekembalinya dari Mekah, Tok Ku Paloh menetap di Kampung Paloh, Terengganu, yang menjadi pusat pengembangan ilmu dan spiritual. Kampung ini dikunjungi oleh pelajar dan penuntut ilmu bukan sahaja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani. Malah, Sultan Zainal Abidin III sendiri dikatakan pernah berguru dengan beliau. Tok Ku Paloh memainkan peranan besar dalam pentadbiran negeri Terengganu. Beliau dilantik sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan dan menjadi penasihat rapat kepada Sultan Zainal Abidin III. Peranan beliau dalam memberi pandangan dan nasihat terhadap urusan kerajaan sangat dihargai, dan pendiriannya banyak persamaan dengan pandangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang turut menulis surat dan puisi nasihat kepada Sultan Terengganu. Ketegasan Tok Ku Paloh dan Sultan dalam mempertahankan kedaulatan negeri berjaya menghalang campur tangan British dalam urusan pentadbiran Terengganu semasa hayat mereka. Hanya selepas pemergian Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III, barulah British berjaya mencampuri pentadbiran Terengganu pada 24 Mei 1919. Selain sebagai ulama dan penasihat sultan, Tok Ku Paloh juga dikenang sebagai seorang pejuang yang berani. Beliau melindungi para pejuang Melayu-Islam yang menentang penjajah, termasuk Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Janggut, yang diriwayatkan sebagai antara muridnya. Beliau terkenal sebagai seorang tokoh yang tidak gentar menanggung risiko tinggi demi mempertahankan agama, bangsa dan tanah air daripada penjajahan. Sebagai ulama yang aktif dalam bidang penulisan, Tok Ku Paloh turut menghasilkan beberapa buah kitab penting, khususnya dalam bidang tasawuf dan tarekat. Antara karya beliau yang terkenal ialah kitab Dhiya’ ‘Uqud ad-Durratain dan Ma‘arij al-Lahfan, yang bermaksud “Tangga Orang Yang Sangat Dahaga Untuk Naik Kepada Hakikat-Hakikat Pengenalan.” Karya-karya ini mengandungi intipati ilmu kerohanian yang mendalam dan menjadi rujukan dalam kalangan pengamal tarekat dan pencinta ilmu tasawuf. Tok Ku Paloh ialah lambang ulama pewaris nabi yang bukan sahaja mendidik dan membimbing ummah, malah turut terlibat secara langsung dalam pentadbiran negara serta perjuangan menentang penjajahan. Ketokohan dan sumbangannya yang menyeluruh dalam bidang agama, pendidikan, pentadbiran dan perjuangan menjadikan beliau antara tokoh paling agung dalam sejarah Terengganu dan dunia Melayu-Islam. Warisannya terus hidup dalam jiwa umat Islam, khususnya di Terengganu, sebagai satu lambang kegemilangan ulama terdahulu yang sukar dicari ganti.
03 Aug 25
852
Tanjung Nesan Empat : Jejak Silaturrahim di Tanah Warisan
Tanjung Nesan Empat : Jejak Silaturrahim di Tanah Warisan
Di tengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu, terdapat sebuah mukim besar yang dikenali sebagai Tanjung. Di dalamnya terdapat banyak kampung seperti Tanjung Kapur, Tanjung Jati, Tanjung Surau Pasir, Tanjung Teluk (yang telah pupus akibat hakisan pada tahun 1986), Tanjung Che Mat Tauke, Tanjung Surau Haji Mat Kerinchi, Tanjung Batu Satu, Tanjung Paya dan Tanjung Nesan Empat. Kedudukan mukim Tanjung ini berdekatan dengan Istana Maziah, iaitu pusat pentadbiran Kerajaan Melayu Terengganu sebelum kedatangan Inggeris. Oleh itu, ramai pembesar negeri memilih untuk tinggal di sekitar istana bagi memudahkan urusan mereka. Tinggalan rumah Dato' Ratna.  Di Kampung Tanjung Nesan Empat, sekurang-kurangnya empat orang pembesar yang banyak berjasa kepada Kerajaan Terengganu pernah menetap di situ. Antaranya ialah Dato' Biji Sura Nik Mohamad Nik Hitam, yang berkhidmat di bawah tiga orang Sultan Terengganu (Sultan Zainal Abidin III hingga Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah), Dato' Sangsura Pahlawan, Wan Long Mohd Salleh Ahmad (Mufti Terengganu 1952–1957), serta Dato' Bentara Ratna Haji Abdullah Yunus, ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri pada zaman Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Dato Bentara Ratna - Berdiri kiri.  Turut berasal dari kampung ini ialah mantan Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Dato' Seri Amar Diraja Wan Mokhtar Ahmad. Pada 8 Jun 2025, satu majlis perjumpaan penduduk Kampung Tanjung Nesan Empat telah diadakan bertujuan mengeratkan kembali hubungan sesama jiran tetangga yang telah lama terpisah akibat tuntutan kehidupan masing-masing. Seramai lebih kurang 300 orang penduduk hadir bersama keluarga mereka, mengimbau kembali kenangan silam yang kekal terpahat dalam ingatan. Abd Manan.  Saudara Abd Manan Embong, 66, yang mencetuskan idea perjumpaan ini, berkata rancangan ini diadakan untuk menyatukan semula penduduk Kampung Tanjung Nesan Empat kerana baginya, hubungan sesama mereka amat berharga. "Saya mengajak beberapa lagi rakan sekampung untuk melakukan korban di Nesan Empat tahun ini dan menawarkan dua ekor lembu sebagai korban untuk dikongsi bersama. "Alhamdulillah, semua bahagian lembu tersebut telah habis dibeli oleh rakan-rakan sekampung dan sebahagian daging itu dijadikan lauk kenduri bagi majlis perjumpaan kami, manakala selebihnya diserahkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Nesan Empat/Kolam untuk diagihkan kepada penduduk setempat. "Saya tidak menyangka sehingga 300 orang hadir kerana pada awalnya hanya sekitar 150 orang yang menyatakan hasrat untuk turut serta. Alhamdulillah, pada saat akhir ramai yang hadir dan mujurlah lauknya mencukupi," jelas beliau dengan rasa gembira. Tambah beliau lagi, pada usia sebegini, tiada yang lebih utama daripada menjaga hubungan sesama manusia kerana ramai yang kini telah menghampiri penghujung usia, dan sifat bermaaf-maafan perlu dipupuk sebagai teladan kepada generasi muda. Azizah Embong.  Sementara itu, Azizah Embong, cucu kepada Dato' Biji Sura Nik Mohamad Nik Hitam salah seorang tokoh yang pernah ditugaskan oleh Sultan Zainal Abidin III untuk menggubal Undang-Undang Tubuh Negeri Ittakul Muluk Bi Takdil Suluk pada tahun 1910 berkata bahawa beliau tidak begitu mengenali datuknya secara peribadi, namun menurut sejarah, datuknya telah dilantik menjadi hakim selepas kes Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong pada tahun 1928. "Dahulu banyak rumah besar milik dato’-dato’ di Tanjung Nesan Empat yang dibina daripada kayu cengal dan dihiasi dengan seni ukiran Terengganu. Rumah datuk saya juga antara yang terawal, dibina atas tanah hampir 1.5 ekar. "Jika dahulu, satu rumah didiami oleh ramai keluarga tanpa masalah kerana hubungan mereka amat rapat dan saling menjaga ibu bapa. "Sekarang zaman sudah berubah, ramai yang lebih selesa tinggal sendiri atau merantau mencari peluang di luar," ujar beliau, yang juga sepupu kepada pemilik syarikat pengangkutan Sani Ekspres. Tapak rumah Dato' Biji Sura Majoriti penduduk Tanjung Nesan Empat turut berharap agar kampung bersejarah yang terletak di jantung bandar raya ini dapat dibangunkan dengan baik oleh kerajaan negeri bukan sahaja untuk kemajuan, tetapi untuk mengekalkan nilai warisan. Bagi mereka, pembangunan memang penting lebih-lebih lagi memandangkan kedudukan tanah yang sangat strategik, tetapi kelestarian dan khazanah sejarah yang terdapat di kampung-kampung seperti ini amat wajar dilestarikan agar tidak mengalami nasib seperti Kampung Baru di Kuala Lumpur yang berdepan pelbagai isu pemilikan tanah.  
11 Jun 25
2196
Kerajaan Ambil Alih Kuala Kijal Bela Nasib Nelayan
Kerajaan Ambil Alih Kuala Kijal Bela Nasib Nelayan
Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan mengambil alih kawasan Kuala Kijal sebagai usaha membela nasib para nelayan dan memelihara alam sekitar di kawasan berkenaan. Kuala Kijal merupakan kawasan strategik yang menjadi nadi ekonomi komuniti nelayan setempat, terutamanya di sekitar Kampung Penunjuk dan Kampung Che Wan, yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut sebagai sumber pendapatan utama. Pada zaman kerajaan terdahulu, tanah ini telah dipajak kepada Resort World Awana selama 90 tahun, dan kini telah berlalu 30 tahun. Jika kerajaan ingin mengambilnya semula, pampasan perlu dibayar. Namun, kini kerajaan berjaya mendapatkan semula tanah ini dengan cara tertentu. Dengan pengambilalihan ini, nelayan kini mempunyai akses lebih baik kepada sumber rezeki, dan pantai Kijal akan kekal terpelihara untuk generasi akan datang. Sebelum ini, nelayan dibenarkan mencari rezeki di situ, tetapi mereka menghadapi pelbagai cabaran. Antaranya, kekurangan infrastruktur yang sesuai kerana tiada tempat parkir bot yang selesa serta kemudahan asas untuk nelayan.  Selain itu, mereka sering berdepan masalah muara tertutup akibat pasir yang berkumpul dari Kampung Che Wan dan Penunjuk Kijal, menyebabkan laluan keluar masuk bot terganggu. Disebabkan hal ini, kerajaan tidak dapat menggunakan bajet rasmi untuk membuka muara tersebut, menyebabkan nelayan terpaksa bergotong-royong serta mengeluarkan wang sendiri bagi menyelesaikan masalah ini.  Layout kawasan Kuala Kijal selepas proses pengukuran Resort Awana hanya menjalankan program CSR sekali setahun, sedangkan muara tertutup sebanyak dua hingga tiga kali setahun, menjadikan bantuan tersebut tidak mencukupi. Beban kewangan ke atas nelayan semakin berat kerana jika mereka ingin mempercepatkan proses membuka laluan, mereka perlu mengeluarkan wang sendiri. Oleh itu, kerajaan mengambil tindakan untuk membetulkan keadaan dan memastikan kebajikan nelayan terbela.   Mengapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris memperjuangkan pengambilalihan ini? Hal ini kerana terdapat dua sebab utama yang mendesak kerajaan mengambil langkah tersebut. "Pertama, pembinaan struktur pemecah ombak (breakwater) yang bukan sahaja memberikan perlindungan kepada bot nelayan daripada ombak besar, tetapi juga menyediakan kawasan parkir bot yang lebih selamat.  "Kedua, keperluan untuk mengawal hakisan pantai yang semakin serius di Penunjuk dan Kampung Che Wan, dengan kehilangan tanah antara tujuh hingga sepuluh kaki setiap tahun," katanya dalam kenyataan media pada hari ini. Tambahnya lagi, dengan adanya breakwater, hakisan dapat dikawal, sekali gus memelihara keindahan pantai di Kijal.  Muhammad Hafizuddin Rosli/Wartawan TRDI      
06 Apr 25
730
Politik Simplistik Merosakkan Persekutuan Malaysia
Politik Simplistik Merosakkan Persekutuan Malaysia
Permainan politik murahan dan simplistik mengaitkan KDNK, kemunduran dan kemajuan negeri-negeri semata-mata kerana kelemahan atau kehebatan parti politik tertentu sebenarnya memberi kesan negatif kepada kesatuan persekutuan Malaysia yang telah dibina oleh pemimpin-pemimpin negara sewaktu kemerdekaan dahulu. Sewaktu pembentukan sebuah persekutuan Tanah Melayu atau kemudiannya Malaysia, secara kasarnya semua negeri menyerah kuasa dan hasil sekitar 80 peratus kepada Kerajaan Persekutuan untuk diuruskan, manakala yang kekal di negeri hanyalah sekitar 20 peratus. Sebagai timbal balik, Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab membangunkan negeri-negeri ini dengan ADIL dalam pelbagai sektor seperti infrastruktur, pelaburan, pendidikan, kesihatan, keselamatan, pengangkutan dan lain-lain.  Maksudnya, jika berlaku jurang yang besar dari segi kemajuan dan kemunduran negeri-negeri (anak) dibawah sebuah persekutuan (keluarga), ia petanda kelemahan pengagihan kekayaan dan pembangunan dibawah Kerajaan Pusat (bapa) yang ditangannya kuasa dan hasil yang diperah daripada ‘anak-anak’ nya. Malah, ahli-ahli akademik bidang federalisma mendapati sistem persekutuan Malaysia ini antara sistem yang paling berpusat di dunia dalam kuasa dan hasil berbanding negara-negara berkonsep federalisma yang lain. Contohnya Australia, negeri-negeri di dalamnya boleh mengutip hasil melalui cukai jalan, dan di Canada pula cukai korporat turut dikutip oleh negeri-negeri. Namun, di Malaysia, negeri-negeri hanya dibenarkan mengutip hasil cukai yang rendah dan terhad kepada tanah, sumber alam dan kerajaan tempatan sahaja. Jadi, tidak mengejutkan, secara purata, perbelanjaan SEMUA negeri sebenarnya lebih tinggi dari hasil cukai sendiri. Lalu, semua perlukan kepada dana bantuan Pusat untuk kelangsungan termasuklah negeri-negeri kaya yang dibangunkan sejak zaman penjajah seperti Selangor dan Pulau Pinang. Tinggal lagi, mahu dipolitikkan ataupun tidak sahaja. Sistem Persekutuan Malaysia sekarang ini yang terlalu berpusat kutipan hasil dan kuasanya juga terdedah kepada kelemahan yang boleh meruntuhkan kesatuan itu sendiri. Antaranya pengagihan peruntukan yang tidak bertanggungjawab dan tidak berdasarkan merit serta dijadikan alat penderaan politik. Malah, data-data menunjukkan negeri-negeri kaya dan tinggi KDNK terus menerima peruntukan terbesar, manakala negeri-negeri miskin sebaliknya sehingga melebarkan jurang perbezaan. Negeri-negeri yang kaya sejak zaman penjajah hasil pembinaan infrastruktur pelaburan seperti pelabuhan antarabangsa di Selangor dan Pulau Pinang terus mendapat manfaat terbanyak daripada agihan persekutuan ini. Malah apabila digabungkan dengan faktor bias politik dalam agihan, jurang pembangunan semakin buruk. Antara solusinya adalah melaksanakan reformasi fiskal yang lebih bersifat penyamaan horizontal (horizontal equalization) dengan Kerajaan Persekutuan menurunkan lebih banyak kuasa kutipan hasil kepada negeri-negeri. Pada masa yang sama meningkatkan proses audit dan integriti agar perbelanjaan yang diuruskan negeri lebih cekap dan sampai secara maksimum kepada rakyat. Ini bertepatan dengan falsafah sains politik iaitu ‘the best government is the closest to its people.’ Kerajaan negeri berserta jentera-jenteranya lebih rapat dan mengetahui permasalahan rakyat masing-masing. Sebarang kelemahan yang terbuka kepada pencabulan dan penyalahgunaan politik seperti yang berlaku kepada perjanjian royalti minyak Terengganu juga perlu diperbaiki secara perundangan untuk mengembalikan kepercayaan bahawa sistem persekutuan Malaysia ini masih bermaruah dan tidak lagi menjadi permainan politikus-politikus usang. Jika tidak, sebarang parti politik yang berjaya menguasai Kerajaan Persekutuan akan berterusan menyalahguna dan menjadikannya sebagai alat politik dendam. Jika berterusan dijadikan alat politik murahan negeri mundur vs negeri kaya berpunca daripada ketidakcekapan atau kepandaian parti politik semata-mata, sedangkan tanggungjawab utama bermula di Persekutuan ditambah pula negeri-negeri itu maju sejak zaman penjajahan British dan wujud kelemahan struktural sistem persekutuan, ia berisiko memberi kesan negatif kepada falsafah pembentukan persekutuan Malaysia yang kita cintai ini. Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob, Ketua Pegawai Eksekutif TSIS. (Rujukan bahan slides: Prof. Madya Dr. Tricia Yeoh, University of Nottingham Malaysia dan Dr. Judhiana Abdul Ghani, pakar fiskal federalisma, Universiti Putra Malaysia)
25 Mar 25
431
Belanjawan 2025 : Umum Dulu, Fikir Kemudian?
Belanjawan 2025 : Umum Dulu, Fikir Kemudian?
Pada 18 Oktober lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Belanjawan Madani 2025 bertemakan 'Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat,' di Dewan Rakyat. Seperti dijangka Belanjawan kali ini sekali lagi digambarkan sebagai bajet yang memberi fokus kepada usaha meringankan kos sara hidup dan memperkukuh kesejahteraan rakyat. Selepas beberapa hari pembentangan berlangsung, pelbagai pandangan dilontar ahli politik, ahli ekonomi dan rakyat marhaen sama ada golongan bawah, pertengahan serta atasan. Melihat dengan teliti kesemua komentar tersebut, satu kesimpulan yang menjadi kerisauan ramai adalah berkait pelaksanaan pelbagai inisiatif terutamanya membabitkan kantung rakyat. Tidak dinafikan belanjawan ini ada perkara baik, namun beberapa inisiatif yang diumumkan mengelirukan rakyat terbanyak. Perdebatan hangat yang berlaku adalah berkait T15 dan subsidi, Anwar ada menyebut mengenai kumpulan pendapatan 15 peratus teratas (T15) dan beberapa subsidi dikurangkan bagi golongan tersebut. Sudah tentu yang paling menarik perhatian ramai ialah mengenai penarikan subsidi pukal petrol (RON95), ini menyaksikan golongan maha kaya disebut Anwar itu tidak dapat menikmati subsidi itu bermula pertengahan tahun depan. Kata Anwar pelaksanaan itu boleh menjimatkan sehingga RM8 bilion kerana 40 peratus subsidi RON95 ketika ini dinikmati warga asing dan golongan T15. Jika disemak data daripada Jabatan Statistik Malaysia (DOSM), jelas dalam dokumen tersebut menyebut pendapatan T15 adalah pada julat RM13,000 hingga RM13,999 ke atas.  Namun, sehingga kini, majoriti rakyat Malaysia tertanya-tanya, siapa sebenarnya golongan T15 kerana tiada jawapan rasmi daripada kerajaan. Ini yang menjadi persoalan sebilangan rakyat Malaysia yang bimbang sekiranya mereka tergolong dalam kumpulan tidak layak lagi menerima subsidi. Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika ditanya mengenai T15 dua hari selepas pembentangan belanjawan berkata, pengkelasan kategori T15 sedang diperhalusi bagi memastikan penyasaran subsidi Kerajaan adil kepada semua pihak. "Tetapi bila PM sebut T15, itu merujuk kepada kaedah-kaedah yang akan diumumkan nanti. 'If you ask me' sekarang, T15, saya ingat Kerajaan perlu melalui proses itu dan kita mahu jadikan benda ini adil berbanding sebelum ini. Saya tidak rasa (kita gunakan) pendapatan isi rumah seperti sekarang," katanya. Kenyataan itu menimbulkan tanda tanya tentang keseriusan kerajaan Persekutuan dalam isu berkenaan, ini mengundang persepsi negatif daripada banyak pihak. Ada yang mempersoalkan, bagaimana bajet dibuat sedangkan pengkelasan kategori belum dimuktamadkan, adakah angka-angka yang digunapakai seperti penjimatan RM8 bilion boleh dijadikan asas?, kerana ia penting demi perancangan ekonomi negara. Bagi rakyat pula terutamanya yang bakal ditarik subsidi, sudah tentu mereka mahu ia dijelaskan seberapa segera, supaya mereka boleh membuat persediaan sepatutnya. Jika ia berlaku secara tiba-tiba, hidup mereka mungkin berubah sekelip mata dengan bebanan melampau. Akhirnya, usaha untuk menangani krisis kos sara hidup tidak berjaya, rakyat kekal hidup dalam tekanan dan masalah baru muncul akibat sikap 'kluk-klek' ini. Semoga permasalahan ini berjaya dirungkai Kerajaan Madani. Ima Wahida Mohd Zaid, Editor TRDI News
22 Oct 24
282
Cengkaman Kos Sara Hidup, Rakyat Tagih ‘Penawar’ PM
Cengkaman Kos Sara Hidup, Rakyat Tagih ‘Penawar’ PM
Menjelang pembentangan Belanjawan 2025, Kerajaan Persekutuan sekali lagi dijangka meletakkan krisis kos sara hidup sebagai tumpuan utama. Penumpuan terhadap kenaikan melampau harga barang, inflasi dan gaji minima rakyat mengulangi janji ketika pengumuman Belanjawan 2024 dan sebelumnya. Tahun-tahun terdahulu, Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah acap kali berikrar untuk menoktahkan miskin tegar, mengatasi kenaikan harga barang dan menyelesaikan masalah ketiadaan bekalan makanan asas terutama beras tempatan. Namun, dua tahun berlalu di bawah kerajaan campuran PH-BN, tanda-tanda untuk ‘barah’ kos sara hidup reda masih tidak kelihatan, bahkan masalah itu makin meruncing. Perkara ini dibuktikan melalui kajian Pusat Penyelidikan Undian UCSI pada Julai 2024 yang menyatakan 99 peratus daripada 921 rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas bimbang akan kos sara hidup semasa. 80 peratus daripada responden merupakan golongan pekerja, satu peratus menganggur, 18 peratus pelajar dan satu peratus lagi pesara. Hasil tinjauan sama mendapati 98 peratus responden berpendapat kerajaan tidak melakukan secukupnya untuk menangani peningkatan kos sara hidup. Catatan ini merekodkan peningkatan ketara berbanding 61 peratus yang berpandangan sedemikian pada tinjauan sama tahun 2023. Masalah ini juga diakui Anwar pada 24 Ogos lalu ketika berucap dalam majlis Amanat Perdana Menteri bersama warga penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Pelancaran Portal Ihsan Madani. Menteri Kewangan itu berkata, beliau menerima kenyataan walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menangani isu kos sara hidup dan mengawal inflasi, ia masih menjadi masalah utama rakyat. “Walaupun kos sara hidup dan inflasi (naik) dua, tiga peratus berbanding 40 peratus di Turkiye tapi kita terima kenyataan kerana adanya ihsan,” katanya sebagaimana dipetik Astro Awani. Melihat keadaan semasa, rakyat Malaysia pastinya mahu langkah serius diambil Kerajaan Persekutuan bukan hanya ibarat ‘melepas batuk di tangga’ dan melakukan ‘stunt’ politik melampau dengan ucapan-ucapan ‘bombastik’ di sisi rakyat. Apatah lagi wujud banyak laporan mengenai subsidi seperti minyak RON95, telur dan gula bakal dihapuskan di samping lima cukai baharu iaitu Cukai Makanan Berlemak atau Cukai Makanan Tidak Sihat (Fat Tax), Cukai Penetapan Harga Karbon, Cukai Warisan, Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) dan Kecerdasan Buatan (AI) akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 Madani. Jika tahun ini rakyat menerima 'hadiah' kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 dan pertambahan SST kepada 8 peratus, adakah tahun depan lima cukai baharu serta penarikan subsidi petrol juga menanti warga Malaysia?. Langkah ini sangat bertentangan dengan akur janji Anwar untuk menangani kos sara hidup dalam Belanjawan yang akan dibentangkan esok di saat rakyat sudah di ‘hujung nyawa’ lemas dalam kesesakan harga barang tak masuk akal. Di pihak rakyat, mereka sudah kerap menyuarakan harapan agar kerajaan memberi tumpuan kepada isu-isu utama melibatkan kesejahteraan keluarga terutama kenaikan harga barang yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup di bandar. Kenaikan harga barang mentah makanan memberi tekanan hidup kepada mereka terutama yang memiliki anak ramai. “Barang dapur sekarang memang semua naik harga. Dulu dengan duit sebanyak RM300 penuh satu troli, sekarang tak dapat, suku sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette pada 14 Oktober 2024. Justeru, Belanjawan 2025 sekali lagi menjadi harapan baru kepada rakyat, jika berlaku jika sebaliknya amarah rakyat pasti berterusan. Ima Wahida Mohd Zaid, Editor TRDI News.
17 Oct 24
641
SG4 Miliki Kekuatan Tersendiri
SG4 Miliki Kekuatan Tersendiri
Alhamdulillah, batu penanda baharu buat SG4 setelah setahun dicetuskan. Komitmen dan kehadiran ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan anggota badan legislatif menunjukkan kekuatan tersendiri yang dimiliki SG4 dan membuktikan bahawa SG4 adalah sebuah kerjasama rasmi di peringkat kerajaan. Sekurang-kurangnya dan paling penting, telah digariskan arah, dasar dan strategi yang lebih jelas dan berobjektif sebagai landasan dalam menggerakkan SG4. Pelaksanaan dan keberhasilan sudah pasti adalah natijah yang diharapkan oleh semua. Memandangkan SG4 ialah sebuah majlis kerjasama melibatkan kerajaan negeri-negeri berbanding platform perkongsian semata-semata, justeru adalah dicadangkan agar pentadbiran SG4 diperkemas dengan : (1) Fungsi dan kuasa majlis ini dan jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan di bawahnya ditentukan semunasabahnya supaya tiada pertindanan mahupun percanggahan dengan fungsi dan kuasa kerajaan negeri atau entiti kerajaan. (2) Setiap cadangan pelan tindakan dirundingkan dengan dan mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri-negeri supaya dapat dijamin kesesuaiannya dengan kepentingan dan kemampuan negeri-negeri. (3) Jawatankuasa pelaksanaan dan penyelarasan ditubuhkan di peringkat negeri-negeri supaya dapat mengurus perancangan, pelaksanaan dan keberhasilan dengan lebih cekap dan berkesan. (4) Sebuah kumpulan wang dan akaun bank diwujudkan supaya terimaan hasil dan perbelanjaan dapat dipastikan berlaku mengikut cara-cara yang sesuai. Namun, apa yang lebih penting daripada aspek pentadbiran ini ialah agenda SG4 itu sendiri. Mohd Eikhwan. Ringkasnya, SG4 mahu jadikan Terengganu, Kedah, Perlis dan Kelantan ini sebagai destinasi pilihan utama untuk 3B - berniaga (to do business / to invest), bekerja (to work) dan bermastautin (to live). Melihat kepada 'baseline' semasa ini, antara cabarannya : (1) Jumlah pertubuhan perniagaan di negeri-negeri SG4 pada 2022 hanya 12.6% (152,034) sahaja berbanding seluruh negara (1,204,987) iaitu merosot sebanyak 11.3% berbanding pada 2021 (171,410). Sektor yang paling besar mengalami kemerosotan ialah Perkhidmatan dan Perdagangan Borong & Runcit. Sedangkan, sektor ini merupakan penyumbang utama kepada ekonomi dan indikator penting yang menggambarkan keyakinan pengguna. (2) Bilangan penduduk bekerja di negeri-negeri SG4 pada 2023 hanya 2.17 juta sahaja iaitu 13.8% berbanding bilangan penduduk bekerja di negara ini (15.8 juta) dan 39.2% berbanding jumlah populasi (5.55 juta). Sebagai 'benchmark', peratusan penduduk bekerja berbanding jumlah populasi di beberapa negeri maju adalah melebihi 45.0%. Setakat ST2 2024, jumlah penganggur di negeri-negeri SG4 ini ialah 72.6 ribu orang iaitu 13.0% daripada 557.8 ribu orang di seluruh negara. (3) Saiz ekonomi yang masih kecil bernilai hanya RM124 bilion atau 7.9% sumbangan kepada KDNK negara pada tahun 2023. Gaji dan upah penengah bulanan pekerja di negeri-negeri SG4 juga adalah lebih rendah daripada paras nasional iaitu RM2,424 (2022). Indikator ini adalah antara kriteria utama dalam menentukan tahap daya huni sesebuah negeri. Saya percaya, semua maklumat, pandangan dan cadangan ini sudah pun dipertimbangkan.  Sekadar berkongsi rasa. Tahniah kepada badan pemikir kerajaan negeri-negeri atas penganjuran program yang sangat penting ini. Mohd Eikhwan M. Ali, Ketua Jabatan Penyelidikan & Pembangunan Dasar di Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS).
07 Sep 24
311
Di Sebalik Sekatan Royati Tersimpan Rahmat Yang Tidak Terduga
Di Sebalik Sekatan Royati Tersimpan Rahmat Yang Tidak Terduga
Siapa sangka, di sebalik sekatan royalti petroleum yang dianggap sebagai suatu kezaliman terhadap rakyat Terengganu, muncul satu lembaran baharu yang bagaikan ‘cahaya di hujung terowong’. Sekatan ini bukan sahaja memberi tekanan dan cabaran kepada negeri Terengganu, tetapi juga membawa kepada penemuan sumber baru yang sangat bernilai seperti unsur nadir bumi (REE). Unsur nadir bumi adalah 17 unsur kimia yang merupakan bahagian penting dalam kebanyakan peranti berteknologi tinggi yang diperlukan bagi lebih 200 produk merentasi pelbagai aplikasi. Walaupun hasil daripada industri REE di Terengganu mungkin belum dapat dirasai pada masa kini, potensi yang ada menjanjikan harapan cerah untuk masa depan. Penemuan REE ini adalah langkah strategik yang akan membantu negeri ini mengurangkan kebergantungan kepada royalti petroleum dan memberikan manfaat yang signifikan dalam tempoh 10 tahun akan datang. Sebagai penulis, pandangan saya melihat jauh ke depan, kerana REE ternyata telah ditemui di Terengganu, dengan potensi yang besar di kawasan seperti Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman. Menurut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15 tahun 2023, unjuran potensi REE telah dilakukan melalui Kajian NR-REE di Malaysia yang dimulakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) pada tahun 2014 dengan kerjasama daripada Academy of Science Malaysia (ASM). “Kajian yang dilakukan terhadap kawasan tanah luluhawa granit di daerah Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman. “Ini menunjukkan bahawa kawasan yang berpotensi tersebut mempunyai keluasan 1,437,500 ekar dan dapat menghasilkan sebanyak 7,187,500 juta tan REE,” ujarnya. Mengapa saya mengaitkan sekatan royalti petroleum dengan penemuan REE? Kerana sekatan ini, telah memberi TEKANAN kepada negeri TERENGGANU sehingga mendorong negeri itu untuk mencari sumber alternatif lain yang bernilai. Ini menunjukkan bahawa di sebalik setiap cabaran, terdapat peluang baru yang boleh membuka lembaran kejayaan dan kemakmuran yang lebih besar untuk masa depan Terengganu. Namun terdapat persoalan yang timbul dari saya selaku penulis rencana ini yang tidak mewakili mana-mana pihak ! Sekiranya sekatan royalti petroleum tidak berlaku, adakah kita akan terlepas pandang potensi sumber REE yang tersembunyi di bawah tanah ini dan adakah ada usaha untuk menggali dan memanfaatkan kekayaan ini? Muhammad Hafizuddin Rosli|Wartawan TRDI                      
20 Aug 24
23677
Rakyat Dedikasi Lagu 'Diesel Naik Harga' Buat Kerajaan
Rakyat Dedikasi Lagu 'Diesel Naik Harga' Buat Kerajaan
Biarpun sudah lebih 10 hari berlalu, rakyat Malaysia masih belum puas bercakap tentang isu kenaikan harga diesel. Bukan hanya orang muda yang bersuara, malah masyarakat pelbagai peringkat umur dan latar belakang turut mempamerkan pandangan serta rasa ‘geram’ masing-masing. Justeru sebagai tanda ‘mengingati’ tindakan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, wujud beberapa individu dan kumpulan menghasilkan banyak lagu yang memperlihatkan 'kesakitan' dilalui oleh rakyat. Lagu-lagu berkenaan juga secara sinis mengingatkan semula pemimpin tentang janji yang pernah dilaungkan ketika bergelar pembangkang. Respons yang diterima daripada pendengar pula amatlah mengejutkan, rata-rata masyarakat suka dan sangat bersetuju dengan lirik serta penghasilan lagu tersebut yang mengambarkan isi hati mereka. “Wah, terbaik lagu ini, kena dengan suara dan perasaan rakyat ketika ini. “Dulu berjanji lain, sekarang buat perkara lain, mempermainkan hati kami,” komen seorang pengguna TikTok di klip video lagu berkenaan. Selain itu, ada juga rakyat yang bersuara supaya lagu-lagu seperti itu diperbanyakkan agar pemimpin yang berada di puncak kuasa sedar dan tidak lupa diri. “Tularkan lagu-lagu ini, biar semua orang sedar apa yang sedang berlaku. “Kita bukan ‘patung’ untuk dibuat mainan sesuka hati, rakyat ada hati dan perasaan,” jelas individu itu. Tinjauan di media sosial mendapati sekurang-kurangnya lima lagu dan klip video yang berkisar tentang kenaikan harga diesel. “Setiap hari ada lagu baru, ingatkan seminggu sekali, kreatif sungguh rakyat Malaysia,” ujar seorang pengguna media sosial. Apa-apa pun, ini adalah manifestasi rasa tidak puas hati rakyat kepada pemerintah yang sepatutnya diberi tumpuan. Jiwa ‘memberontak’ ini muncul dek kerana janji yang bukan hanya tidak ditepati, tetapi melakukan sesuatu yang sangat bertentangan dengan harapan rakyat. Lidah Pengarang.
20 Jun 24
235
‘Gear 3’ Dr Sam Pacu Terengganu ke Era Baharu
‘Gear 3’ Dr Sam Pacu Terengganu ke Era Baharu
Selepas kembali memimpin Terengganu melalui sokongan penuh rakyat, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tanpa berlengah mengumumkan Kerajaan Negeri akan terus bergerak dengan ‘gear 3’ bagi memacu negeri ini ke era baharu. Jelas Ahmad Samsuri, beliau serta barisan Exco menggunakan ‘gear’ lebih pantas dan agresif bagi melaksanakan beberapa agenda untuk memperkasakan ekonomi negeri dan rakyat selepas menyelesaikan pelbagai isu asas seperti projek ‘sakit’ di penggal lepas. Katanya, segala langkah menaikkan ekonomi negeri ke tahap lebih tinggi adalah berpandukan Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu yang mengandungi tujuh strategi. “Strategi tersebut termasuk kajian semula cukai, serahan GLC, sumber galian dan mineral, sumber batuan, sumber air, sumber hijau serta fi pelancongan dan rekreasi dengan jumlah jangkaan nilai hasil (secara berfasa) sebanyak RM1 bilion pada tahun 2030. “Menerusi tindakan ini kita mahu mengurangkan kebergantungan kepada hasil royalti petroleum dan gas serta krisis kekurangan simpanan minyak, penggal lalu kita berjaya mengurangkan tiga hingga empat peratus kebergantungan kepada royalti. “Pelan ini juga menggariskan tiga objektif utama iaitu mengoptimumkan sumber negeri sedia ada, mengeksplorasi sumber baharu negeri serta mencari peluang jana pendapatan baharu terutamanya dalam sektor teknologi hijau dan Unsur Nadir Bumi (REE),” katanya. Industri Hidrogen Hijau Potensi Majukan Terengganu Kesungguhan Kerajaan Negeri merealisasikan era baharu Terengganu terbukti apabila, Ahmad Samsuri dan pasukannya giat menjalankan perbincangan dengan pelabur dan pemain utama industri hidrogen hijau terutama dari Korea Selatan. Ujar Pakar Aeroangkasa itu, Empangan Hidroelektrik Tasik kenyir adalah salah satu loji kuasa hidroelektrik terbesar di Malaysia, oleh yang demikian Kerajaan Negeri merancang untuk meningkatkan lagi keupayaan tenaga hijau dengan memasang loji fotovoltaik solar terapung di Tasik Kenyir. “Kerajaan negeri juga telah menandatangani MOU dengan PETRONAS Gas Berhad untuk mencari peluang dalam tenaga boleh diperbaharui terutamanya pada mini hidro. “Industri hidrogen hijau dijangka akan dibangunkan menjadi pendapatan baharu Terengganu, Sarawak yang terlebih dahulu menggunakan kaedah berkenaan telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Terengganu. “Saya juga telah bertemu dengan Duta Korea Selatan ke Malaysia H.E. Yeo Seung-bae sebanyak dua kali bagi bercakap mengenai potensi Terengganu membawa masuk pelabur Korea dalam bidang 'hydrogen energy', 'floating solar', pendidikan dan bahasa,” katanya. Terengganu Miliki Aset REE Terbesar di Malaysia Mengulas mengenai Unsur Nadir Bumi (REE), Ahmad Samsuri berkata, Kerajaan Negeri telah mengadakan pertemuan bersama pelabur China bagi membincangkan potensi sumber baharu itu. “Mengikut makLumat daripada Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman, pelabur tersebut merupakan pelabur yang mempunyai hubungan strategik dengan Malaysia sebelum ini. “Beberapa pelan pembangunan telah diutarakan oleh mereka buat negeri Terengganu,” kata beliau yang turut memaklumkan harga REE boleh meningkat sehingga 700 peratus kerana mendapat permintaan yang tinggi. Menurutnya, kajian yang dilakukan adalah terhad kepada kawasan luluhawa granit yang terdapat di daerah Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman dengan anggaran keluasan kawasan yang berpotensi adalah seluas 581,735 hektar (1,437,500 ekar) dan mampu mengeluarkan sebanyak 7,187,500 tan. “Terengganu pula mempunyai simpanan REE terbesar bernilai kira-kira RM250 bilion melibatkan lima daerah itu. "Bahan mentah ini jika diproses boleh digunakan untuk sektor pembuatan terutamanya bagi penghasilan kereta elektrik, komputer, telefon pintar, industri bateri, magnet berintensiti tinggi,pembuatan kaca dan banyak lagi produk berteknologi tinggi,” jelasnya. Terengganu Terus Diintai Pelabur Berpotensi Dalam pada itu, bagi mengurus sambutan dan kedatangan pelabur ke Terengganu yang semakin rancak, pihaknya menganjurkan Hari Pelaburan Terengganu atau TBMIC (Terengganu Business Meeting with Investor Community). Katanya, ia untuk mempermudahkan dan mempercepatkan proses permohonan dalam usaha menarik pelabur ke Terengganu dengan melibatkan MB, Exco Kerajaan Negeri, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Negeri. Menurut beliau lagi, perjumpaan itu juga membabitkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Mentri Besar Inc (MBI), Terengganu Inc (TI), PMINT, TSIS dan pakar teknokrat. "Sebanyak 12 pelabur daripada pelbagai latar belakang industri yang disenarai pendek telah membentangkan cadangan projek dan pelaburan masing-masing dengan kriteria umum serendah RM50 juta sehingga beberapa billion ringgit untuk satu tempoh jangka masa panjang. "Ia termasuk syarikat gergasi teknologi hijau antarabangsa, pembekal utama komponen kereta elektrik (EV) global, GLC negara seperti TNB Genco dan Petronas Gentari serta pelbagai lagi syarikat dari dalam dan luar negara," maklum Naib Presiden PAS itu. Manfaatkan Kawasan Stesen ECRL, Buka Kawasan Industri Baharu Sementara itu, mengulas mengenai usaha merapatkan jurang pembangunan antara daerah, beliau menegaskan pusat perindustrian baharu akan dibuka terutama di utara Terengganu iaitu Besut dan Setiu melibatkan kawasan stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Tambahnya, ini secara tidak langsung dapat merancakkan lagi perkhidmatan kargo dan dapat mengubah wajah pembangunan ekonomi di dua daerah tersebut. “Kita akan mengerahkan seluruh jentera supaya bergerak ke arah mewujudkan kawasan industri yang baharu untuk mengambil manfaat daripada kewujudan ECRL, ini bakal membangkitkan sosioekonomi rakyat,” jelasnya.
28 May 24
4678