lightning-solid
Berita :
Tok Ku Paloh: Ulama, Penasihat Sultan dan Pejuang Bangsa yang Terbilang
Tok Ku Paloh: Ulama, Penasihat Sultan dan Pejuang Bangsa yang Terbilang
Noraini Jusoh
03 Aug 25
851

Tok Ku Paloh, atau nama sebenarnya Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad al-Idrus, merupakan seorang ulama besar yang sangat dihormati di Terengganu pada abad ke-19.

Beliau dikenali dengan pelbagai gelaran termasuk Engku Sayyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan juga Syaikh al-Islam Terengganu, mencerminkan kedudukannya yang tinggi dalam masyarakat Islam ketika itu.

Beliau dilahirkan pada tahun 1233 Hijrah bersamaan 1817 Masihi di kawasan Chabang Tiga, berhampiran Masjid Tok Ku. Tok Ku Paloh meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 Hijrah bersamaan September 1917 Masihi.

Mengikut perkiraan tahun Hijrah, beliau hidup selama kira-kira 102 tahun, manakala dalam kiraan Masihi, usianya mencecah sekitar 100 tahun. Tok Ku Paloh berasal daripada keluarga ulama yang masyhur. Ayahandanya ialah Sayyid Muhammad bin Zainal Abidin Hussain bin Mustafa al-Idrus, yang lebih dikenali sebagai Tok Ku Tuan Besar.

Beliau merupakan seorang tokoh agama yang berperanan penting dalam pemerintahan Terengganu ketika era Sultan Baginda Omar, dan memegang gelaran Syaikh al-Ulama Paduka Indera. Ibunya pula, Hajjah Aminah, merupakan isteri pertama Tok Ku Tuan Besar.

Sebagai anak kedua dalam keluarga, Tok Ku Paloh mempunyai beberapa orang adik-beradik, baik yang seibu sebapa mahupun berlainan ibu. Adik-beradik kandungnya termasuklah Sayyid Zain al-Idrus yang dikenali sebagai Engku Sayyid Seri Perdana; Sayyid Ahmad al-Idrus, yang bergelar Tuan Ngah Seberang Baroh; Sayyid Mustafa al-Idrus, dikenali sebagai Tuan Dalam; dan Sayyid Hassan, yang digelar Tuan Senik Parit.

Beliau juga mempunyai adik-beradik lain seperti Sayyid Abu Bakar, dikenali sebagai Tuan Embong Solok atau Tuan Kecik; Sayyid Abdul Kadir, yang digelar Engku Sayyid Syaikh Aishadat; dan Sayyid Hussain, yang dikenali sebagai Tuan Muda Wakaf. Adik-beradik perempuannya pula ialah Tuan Nik, Tuan Hitam, Tuan Senik, Tuan Puteh, Tuan Mariam, Tuan Saripah dan Tuan Wook.

Dari segi keturunan, Tok Ku Paloh merupakan generasi ke-32 daripada Rasulullah SAW melalui nasab ayahandanya yang bersambung kepada Sayidina Hussein r.a., anak kepada Sayidatina Fatimah az-Zahrah r.ha. Beliau berasal daripada kabilah al-‘Aidrus, sebuah keturunan yang terkenal dalam kalangan ahlul bait.

Keluarga ini bukan sahaja mulia dari segi nasab, malah juga dikenali kerana kekuatan pegangan agama dan sumbangan terhadap masyarakat. Semua adik-beradik Tok Ku Paloh turut aktif dalam bidang agama dan pentadbiran. Antara yang menonjol ialah Sayyid Zain yang pernah dilantik sebagai Menteri Besar pada tahun 1864 oleh Sultan Omar, Sayyid Ahmad yang menjadi tokoh agama di Seberang Baroh, dan Sayyid Mustafa, seorang ulama yang turut menjadi ahli Majlis Mesyuarat Negeri dan pernah dilantik sebagai pemangku pemerintahan sewaktu Sultan Zainal Abidin III melawat Siam pada tahun 1896.

Tok Ku Paloh menerima pendidikan awal daripada ayahandanya sendiri sebelum berguru dengan ulama tempatan terkenal, Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani, atau lebih dikenali sebagai Tok Syeikh Duyung. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke Mekah, pusat keilmuan Islam terkemuka pada masa itu.

Di sana, Tok Ku Paloh menimba ilmu daripada tokoh-tokoh besar seperti Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Selain itu, beliau turut menjalin persahabatan ilmiah dengan ramai ulama Nusantara seperti Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani dan Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, seorang ulama kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu.

Sekembalinya dari Mekah, Tok Ku Paloh menetap di Kampung Paloh, Terengganu, yang menjadi pusat pengembangan ilmu dan spiritual. Kampung ini dikunjungi oleh pelajar dan penuntut ilmu bukan sahaja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani. Malah, Sultan Zainal Abidin III sendiri dikatakan pernah berguru dengan beliau.

Tok Ku Paloh memainkan peranan besar dalam pentadbiran negeri Terengganu. Beliau dilantik sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan dan menjadi penasihat rapat kepada Sultan Zainal Abidin III. Peranan beliau dalam memberi pandangan dan nasihat terhadap urusan kerajaan sangat dihargai, dan pendiriannya banyak persamaan dengan pandangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang turut menulis surat dan puisi nasihat kepada Sultan Terengganu.

Ketegasan Tok Ku Paloh dan Sultan dalam mempertahankan kedaulatan negeri berjaya menghalang campur tangan British dalam urusan pentadbiran Terengganu semasa hayat mereka. Hanya selepas pemergian Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III, barulah British berjaya mencampuri pentadbiran Terengganu pada 24 Mei 1919.

Selain sebagai ulama dan penasihat sultan, Tok Ku Paloh juga dikenang sebagai seorang pejuang yang berani. Beliau melindungi para pejuang Melayu-Islam yang menentang penjajah, termasuk Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Janggut, yang diriwayatkan sebagai antara muridnya.

Beliau terkenal sebagai seorang tokoh yang tidak gentar menanggung risiko tinggi demi mempertahankan agama, bangsa dan tanah air daripada penjajahan. Sebagai ulama yang aktif dalam bidang penulisan, Tok Ku Paloh turut menghasilkan beberapa buah kitab penting, khususnya dalam bidang tasawuf dan tarekat.

Antara karya beliau yang terkenal ialah kitab Dhiya’ ‘Uqud ad-Durratain dan Ma‘arij al-Lahfan, yang bermaksud “Tangga Orang Yang Sangat Dahaga Untuk Naik Kepada Hakikat-Hakikat Pengenalan.” Karya-karya ini mengandungi intipati ilmu kerohanian yang mendalam dan menjadi rujukan dalam kalangan pengamal tarekat dan pencinta ilmu tasawuf.

Tok Ku Paloh ialah lambang ulama pewaris nabi yang bukan sahaja mendidik dan membimbing ummah, malah turut terlibat secara langsung dalam pentadbiran negara serta perjuangan menentang penjajahan. Ketokohan dan sumbangannya yang menyeluruh dalam bidang agama, pendidikan, pentadbiran dan perjuangan menjadikan beliau antara tokoh paling agung dalam sejarah Terengganu dan dunia Melayu-Islam.

Warisannya terus hidup dalam jiwa umat Islam, khususnya di Terengganu, sebagai satu lambang kegemilangan ulama terdahulu yang sukar dicari ganti.


Tag :

Artikel Berkaitan