lightning-solid
Berita :

Artikel "Politik" Terkini

Peratusan Keluar Mengundi PRK Kemaman Dijangka Tidak Lebih 80 Peratus
Peratusan Keluar Mengundi PRK Kemaman Dijangka Tidak Lebih 80 Peratus
KUALA TERENGGANU, 28 November- Peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman Sabtu ini dijangka tidak melebihi 80 peratus.  Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Dato' Razali Idris berkata, jumlah itu dilihat tidak banyak berbeza berbanding peratusan keluar mengundi yang direkodkan di kawasan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.  "Saya jangka peratusan pengundi keluar mengundi tidak berubah tapi tidak lebih 80 peratus. Kita jangka ia kurang 80 peratus tetapi undian kita insya-Allah akan kekal, cuma kita nak pastikan pengundi yang tinggal di luar Parlimen Kemaman pulang mengundi.  "Kita sedang berusaha untuk pastikan mereka balik dan kita ramal berlaku pertambahan undian sekali gus mencapai sasaran kita majoriti 30,000, "katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Menurut Razali, jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) telah bersiap siaga dengan semua kemungkinan yang akan berlaku disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu kerana Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda Terengganu ketika ini.  "Kita doakan agar keadaan cuaca pada hari mengundi baik dan tidak hujan. Kalau hujan kita bersedia dengan pengangkutan jentera kita, kita telah kenalpasti mana-man pengundi yang terkesan dengan banjir.  "Persiapan di PPS (pusat pemindahan sementara) pun begitu hebat dan memuaskan. Saya telah melihat keseluruhan (persialan) terutama di DUN (Dewan Undangan Negeri) saya (DUN Kijal) semua PPS bersiap siaga dan jentera kita pun dah siap sedia untuk mengangkut mangsa-mangsa banjir yang juga pemilih, "katanya.  PRK Kemaman menyaksikan Pas mempertaruhkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu untuk menentang calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
28 Nov 23
151
PAS Lapor Polis BN Salah Guna Agensi Kerajaan
PAS Lapor Polis BN Salah Guna Agensi Kerajaan
KEMAMAN, 26 November - PAS akan membuat laporan polis berhubung beberapa perkara berkait kesalahan dilakukan BN sepanjang kempen PRK Kemaman. Ahli Dewan Undangan Negeri Paka yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, pihaknya mendapati BN menjalankan aktiviti kempen dengan menyalahi peraturan pilihan raya membabitkan penggunaan jentera dan agensi kerajaan. "Ia melibatkan program Pengerusi Felda Ahmad Shabery Cheek bersama warga Felda yang berlangsung dalam tempoh kempen," katanya dalam sidang media di Pusat Media PAS di sini semalam. Ujar Satiful lagi, terdapat juga Jualan Rahmah di Kemaman bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam tempoh PRK Kemaman. “Ini sama seperti Jualan Rahmah di DUN Pelangai yang berhadapan PRK pada September lepas. “Kali ini ia berlangsung di empat dewan undangan negeri (DUN) dalam Parlimen Kemaman,” jelasnya.
25 Nov 23
156
'Kerja Keras, Teguh Pertahankan Kemaman'
'Kerja Keras, Teguh Pertahankan Kemaman'
KEMAMAN, 23 November- Ahli dan penyokong PAS diingatkan perlu bekerja keras untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman yang dimenangi sebelum ini dan tidak terlalu selesa dengan kekuatan parti sendiri. Calon PAS Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jentera parti perlu mengekalkan momentum dan bekerja sehingga saat yang terakhir dalam tempoh kempen yang hanya berbaki sembilan hari lagi. “Kita belum lagi dikira pemenang sehingga kita sampai ke garis penamat, jadi tentulah kita kena bergerak dengan begitu cermat dan berstrategi, Insya-Allah,  sama-sama kita mencapai kemenangan di garis penamat pada 2 Disember (hari pengundian). “Kita kena anggap bahawa ini (PRK) adalah sama seperti pilihan raya lain yang kita hadapi dan setiap kali pilihan raya yang kita lalui selama puluhan tahun sejarah perjuangan PAS, kita hadapinya dengan penuh serius. “Tidak kira sama ada kita ada potensi menang atau pun tidak, kita anggap ia adalah sama, gerak kerjanya tetap sama dan cabaran yang ada pada kita hari dalam pilihan raya kecil ini tentulah lebih besar,” katanya. Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian  ketika berucap pada Ceramah Perdana PRK Parlimen Kemaman di Dewan Sivik Pekan Kijal di sini malam tadi. PRK Parlimen Kemaman kali ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu  antara Barisan Nasional (BN) dan PAS. BN mempertaruhkan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor manakala Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS diberi tanggungjawab mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman yang dimenangi parti itu sebelum ini.
23 Nov 23
168
Dr. Sam Tak Kempen Sambil 'Menjamu', Elak Kesalahan
Dr. Sam Tak Kempen Sambil 'Menjamu', Elak Kesalahan
KEMAMAN, 23 November- Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Dato' Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan dirinya bersikap ekslusif dalam berkempen berikutan tidak dilihat menghadiri majlis-majlis, jamuan dan ber'jalan-jalan' di kedai-kedai makan bertemu rakyat. Menteri Besar Terengganu itu sebaliknya bersikap cermat bagi memastikan kempen dilaksanakan PAS tidak melanggar peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). "Kita sangat berhati-hati ketika berkempen ini. Sebenarnya penjamuan, makan di kedai dan sebagainya tidak dibolehkan dalam peraturan pilihan raya menurut aspek larangan-larangan ketika kempen, sebab itu saya sangat cermat kerana lawan kita ini, dia tidak ikut peraturan dan apabila tidak puas hati, dia terus petisyen pilihan raya. "Jadi, kita sangat cermat untuk pastikan bahawa kita tidak pergi ke tempat-tempat yang boleh dipertikaikan, itu antara sebabnya saya tidak berada di tempat-tempat makan dan seumpama dengannya," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Walkabout di Mesra Mall, di sini semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang itu turut mengulas dakwaan terhadap kemampuannya dalam melaksanakan tugas sebagai ahli parlimen sekiranya dipilih. "Pada saya, itulah realiti yang perlu dihadapi bahawa apabila saya menjadi ahli parlimen Kemaman nanti, tugas mengurus tadbir negeri tetap berjalan seperti biasa di samping tugas-tugas yang lain. Itu realiti yang kita semua kena terima. "Bagi saya, ia tidak memberi apa-apa masalah kerana keempat-empat DUN di Kemaman ini sudah dimenangi oleh PAS, jadi dengan keupayaan ADUN dalam parlimen ini sangat baik dan sangat membantu tugas parlimen, ini termasuk parlimen-parlimen lain dalam negeri Terengganu," katanya.    
23 Nov 23
183
Rakyat Tidak Setuju Tindakan BN Fail Petisyen - Kajian
Rakyat Tidak Setuju Tindakan BN Fail Petisyen - Kajian
KEMAMAN, 21 November - Hasil tinjauan mendapati sebanyak 61 peratus responden tidak bersetuju dengan tindakan Barisan Nasional (BN) memfailkan petisyen membatalkan kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen Kemaman yang lepas. Kajian yang dilaksanakan Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) itu turut mendapati 53 peratus responden menganggap keputusan Mahkamah Pilihan Raya terhadap keputusan petisyen adalah tidak konsisten. Jelas TSIS, 52 peratus responden pula beranggapan bahawa keputusan tersebut adalah didorong oleh motif politik. "Manakala, majoriti 58 peratus responden juga berpendirian bahawa pemberian bantuan tunai oleh Kerajaan Negeri kepada beberapa kumpulan penerima golongan rentan tidak menjadi masalah. "Antaranya, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas yang dikaitkan dalam dakwaan-dakwaan Pempetisyen adalah tidak menyalahi undang-undang atau ajaran agama. "Hasil kajian itu dijalankan selama 12 hari bermula 29 Oktober hingga 9 November," ujar TSIS menurut kenyataan media pada hari ini. Tambah TSIS, kajian itu dijalankan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 26 September lalu mengisytiharkan bahawa PRU Parlimen Kemaman (P.040) yang diadakan pada 19 November 2021 adalah tidak sah dan terbatal. "Parti dari BN mendakwa berlakunya perbuatan penyogokan dan rasuah, pihak TSIS telah melaksanakan kajian bagi meninjau persepsi rakyat terhadap keputusan ini.  "Kajian yang dijalankan menggunakan kaedah temu bual secara dalam talian dan panggilan telefon serta secara tatap muka ini adalah melibatkan seramai 1,356 responden. "Ia terdiri daripada 1,279 orang Melayu, 71 orang Cina dan 6 orang India; 686 orang lelaki dan 670 orang wanita, iaitu bersifat representatif kepada komposisi sebenar pengundi bagi kawasan pilihan raya ini.   "Mengenai pilihan raya yang akan diadakan semula bagi Parlimen Kemaman (P.040) pada 2 Disember ini, sejumlah besar iaitu 74 peratus responden mengatakan bahawa mereka akan keluar mengundi," jelasnya. Justeru tegas TSIS, suatu undang-undang atau peraturan atau garis panduan yang jelas mengenai pemberian semasa pilihan raya ini perlu diperkenalkan dan dikuatkuasakan.
22 Nov 23
263
Pihak Lawan Tak Tenteram Apabila Dr Sam Jadi Calon
Pihak Lawan Tak Tenteram Apabila Dr Sam Jadi Calon
KEMAMAN, 20 November - Kalangan pimpinan UMNO ramai yang terkejut serta mungkin tidak menjangkakan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dipertaruhkan oleh PAS sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, sehingga timbul suasana tidak tenteram dalam kem kerajaan gabungan parti tersebut. Ahmad Samsuri berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri dalam kalangan parti UMNO mengenai situasi tersebut sehingga mengeluarkan pelbagai kenyataan seperti perlu meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar,. Katanya, ada juga pihak lawan menyatakan beliau tamak jawatan sedangkan perkara itu merupakan perkara biasa dalam sistem demokrasi negara. "Terkejut di belah belah sana, (kerana) mereka (UMNO) tidak menjangkakan, orang Terengganu kata 'settok' dalam keadaan demikian macam-macam keluar (daripada) pemikiran dan (pelbagai) persoalan yang ditimbulkan oleh beberapa orang menteri yang berkenaan. "Mungkin 'stres' dalam keadaan begitu, lari habis perancangan dia, maka timbullah kenyataan-kenyataan demikian," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam program sembang santai yang disiarkan melalui platform media sosial, di sini, hari ini. Justeru, Ahmad Samsuri menasihatkan pihak lawan agar menghadapi PRK kali ini dengan penuh tenang serta bersaing secara sihat. "Nasihat saya kepada mereka 'cool down'. rileks, jangan rasa 'stress' jadi kita hadaplah pilihan raya ini dengan penuh ketenangan, insya-Allah," ujarnya.
20 Nov 23
187
Razali Sedia Beri Keterangan Isu SPRM Dikawal Kerajaan
Razali Sedia Beri Keterangan Isu SPRM Dikawal Kerajaan
KEMAMAN, 17 November - Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Razali Idris bersedia dipanggil Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjawab isu berhubung Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikawal kerajaan semasa. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri itu berkata pihaknya boleh membuktikan kenyataan yang dikeluarkan adalah benar. "Saya bersedia dengan hujah-hujah yang mengiakan (membenarkan) apa yang saya kata. "Insya-Allah ibu pejabat polis daerah (IPD) Kemaman teleh telefon (menghubungi) saya dan bersedia memberikan kerjasama yang baik untuk memastikan perjalanan siasatan akan berkeadaan lancar selancarnya," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pengisytiharan Calon Parlimen Kemaman, di Dewan Terbuka Kemaman Arena Square, di sini, semalam. Terdahulu SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan laporan berkenaan isu berkaitan Ketua Penerangan BERSATU itu telah dilaporkan kepada polis. Mengenai satu hantaran yang dibuat pada Rabu melalui aplikasi TikTok atas nama pemilik akaun @wancin 11 yang memaparkan kenyataan Razali sewaktu pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 10 November lalu yang menyatakan bahawa jentera kerajaan, SPRM dan hakim dikawal oleh kerajaan semasa.    
17 Nov 23
135
Peluang Ahmad Samsuri Bawa Isu Rakyat Lebih Luas
Peluang Ahmad Samsuri Bawa Isu Rakyat Lebih Luas
KEMAMAN, 17 November - Peluang untuk membawa isu rakyat akan lebih meluas jika calon PAS bagi PRK Kemaman, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dipilih sebagai Ahli Parlimen Kemaman. Menteri Besar Terengganu itu berkata, pencalonan beliau di Parlimen itu tidak akan menjejaskan tanggungjawab sebagai Menteri Besar, sebaliknya menambah ruang untuknya mengangkat permasalahan rakyat. Katanya, prinsip yang dibawa dalam penampilan sulong sebagai ahli parlimen ialah memberikan khidmat terbaik termasuk dengan membawa permasalahan rakyat negeri dan negara ini ke peringkat  lebih tinggi. "Kita boleh membawa permasalahan Kemaman ke peringkat nasional dan sebagai Menteri Besar saya percaya bukan sekadar isu daerah ini sahaja boleh dibawa tetapi isu-isu berkaitan seluruh negeri Terengganu. "Jadi sudah tentulah peranannya ini besar serta sangat memberi impak dan manfaat kepada rakyat negeri ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberi semasa sidang media, di Majlis Pengisytiharan Calon Parlimen Kemaman, Di Dewan Terbuka Arena Square, di sini, semalam. Tambah Ahmad Samsuri, sebelum ini di peringkat parlimen telah ada tiga Menteri Besar masing-masing dari negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, yang turut berperanan sebagai ahli parlimen. "Mereka masih dapat melaksanakan tugas dengan baik hatta di negeri yang dilihat sibuk sekalipun seperti Pulau Pinang dan Selangor dilihat mampu untuk menjalankan tugas dengan baik sebagai ahli parlimen dan juga menteri besar," ujarnya.
17 Nov 23
142
Menteri Besar Terengganu Calon Parlimen Kemaman
Menteri Besar Terengganu Calon Parlimen Kemaman
KEMAMAN, 16 November - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah diumumkan sebagai calon PAS untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman. Nama calon parlimen itu telah diumumkan Timbalan Presiden PAS, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, di Dewan Terbuka Kemaman Arena Square, di sini, malam ini. Pengumuman calon tersebut juga telah menamatkan teka-teki calon PAS bagi kerusi parlimen terbabit. Sebelum ini, beberapa nama besar diramalkan menjadi calon PAS termasuk Tan Sri Annuar Musa. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember  ini manakala tarikh penamaan calon dan hari pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 dan 28 November. PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September, yang membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada PRU15. Pada PRU15, calon BN Datuk Seri Ahmad Said tewas kepada Che Alias dengan majoriti 27,179 undi sekali gus menyaksikan Pas mendominasi kesemua 14 kerusi Parlimen di negeri berkenaan.
16 Nov 23
796
Negara Haram Israel Menghitung Hari Kehancuran
Negara Haram Israel Menghitung Hari Kehancuran
ALOR SETAR, 15 November - Negara haram Israel sedang menghitung hari kejatuhannya walaupun hari ini bala tenteranya sedang menembak, mengebom, menyerang, membantai  penduduk di Gaza.  Pengerusi, Sekretariat #Aid4Palestine, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata negara yang tertegak di atas jasad-jasad kanak-kanak, wanita-wanita yang dibunuh dengan kejam, tidak akan kekal dan pasti jatuh.  "Bayangkan, bumi  Gaza yang begitu kecil hanya 42 km panjang lebih kurang 7 km lebar dihuni oleh lebih 2 juta rakyat Palestin dikepung berbelas tahun daripada darat, udara dan laut," ujarnya.Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu berkata demikian ketika berucap Himpunan Solidariti Untukmu Palestin di pekarangan Stadium Darul Aman pada malam ahad lalu.  Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Zubir Ahmad; Pengarah Himpunan Solidariti Untukmu Palestin, Mohd Azam Abd Samat;  Penasihat Yayasan Kedah Sejahtera, Datuk Ahmad Yahaya dan Pengerusi Yayasan Kedah Sejahtera, Musoddak Ahmad. Di majlis tersebut juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan Kerajaan negeri Kedah berjaya mengumpulkan sumbangan RM2.07 juta untuk membantu rakyat Palestin yang sedang  dizalimi oleh  Zionis Israel.  Beliau turut mengingatkan jihad untuk membebaskan bumi Palestin hukumnya adalah fardu ain ke atas setiap setiap umat Islam lebih-lebih lagi saudara-saudara seIslam di bumi Palestin.  "Setiap umat Islam di seluruh pelusuk  dunia wajib berjihad mengikut cara, kaedah dan  kemampuan masing-masing paling kurang doa pada Allah," jelasnya.
15 Nov 23
716