Artikel "Politik" Terkini
PRU14 : Tengku Asmadi Mahu Bangunkan Modal Insan, Seiring Pembangunan Fizikal
Perbezaan fahaman politik bukan jurang untuk Tengku Asmadi (kanan) merapatkan silaturrahim dengan calon Pas. Foto Harish Fadzillah Abu KassimPakar motivasi tersohor negara, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad mahu mengimplementasikan kekuatan yang ada pada dirinya untuk membangunkan modal insan selari dengan kepesatan pembangunan fizikal di Kuala Nerus.Menurutnya, Daerah Kuala Nerus dan juga Kuala Terengganu kini membangun dengan pelbagai prasarana dan pelbagai projek kesejahteraan rakyat hasil usaha berterusan Kerajaan Barisan Nasional (BN) diketuai pemimpin utama, Menteri Besar yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir.Dr Tengku Asmadi anak jati Seberang Takir berasal dari keluarga miskin berkata, menjadi matlamatnya untuk memberi fokus kepada penguasaan kemahiran tinggi terutama dalam kalangan generasi muda, bagi memberi peluang golongan yang kurang cemerlang dalam pelajaran untuk turut sama mencipta kejayaan."Saya mahu menggunakan kelebihan sebagai pakar motivasi untuk memberi kesedaran kepada masyarakat setempat terutama di Kuala Nerus bahawa ilmu dan pelajaran sahajalah yang dapat membawa kita keluar dari kepompong kemiskinan."Keutamaan saya kini adalah membawa penduduk keluar dari kemiskinan sepertimana saya sendiri bangkit dari kesusahan zaman kecil dahulu melalui pendidikan. Malah, sepanjang 25 tahun di bidang ini, saya juga sudah memberi motivasi kepada lebih 400,000 pelajar dari kalangan yang pelbagai latar belakang dan masalah seperti mat rempit, ponteng sekolah, namun mampu berjaya dengan pendidikan. "Jika boleh, biarlah nanti di Kuala Nerus sekurang-kurangnya ada satu graduan setiap rumah dan ada orang yang berkemahiran tinggi supaya golongan ini kelak yang akan membantu keluarga pula keluar daripada kemiskinan,"katanya kepada pemberita ketika mengunjungi Pusat Media PRU14 Terengganu, di Kuala Terengganu, kelmarin.Dr Tengku Asmadi akan bertanding menentang calon Pas yang juga penyandang, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali serta Parti Keadilan Rakyat, Abdullah Mohamad.Ketika ditanya mengenai kemampuan beliau untuk merampas semula kerusi parlimen itu, beliau yakin cabaran itu mampu dipikul dan akan memastikan suara rakyat di Kuala Nerus mampu dibawa ke Parlimen."Saya tahu ramai yang mahu berada di kerusi (parlimen) ini, namun sudah ditakdirkan ia rezeki dan tanggungjawab buat saya memikul amanah ini. Sebagai menerima pencalonan ini, perkara utama saya selain meneruskan rasa syukur saya tidak lupa merendah diri dan menghubungi semua mantan pemimpin kawasan serta yang berhormat untuk mendapatkan restu serta pandangan daripada mereka."Saya hadir dalam kancah politik ini tanpa sebarang isu dan ini antara kelebihan saya untuk terus memberi fokus perihal rakyat dan mendengar suara hati mereka untuk dilaksanakan nanti apabila mendapat mandat daripada rakyat,"katanya.Beliau menerima tanggungjawab itu dengan penuh rendah diri dan tawaduk selepas mendapat restu daripada Allahyarham ibunya, Fatimah A Rahman dan dua isteri, Nor Sarina Zakaria dan Tun Nurul Huda Abdul Rahim serta lapan anaknya."Pencalonan ini amanah dan tanggungjawab besar buat saya. Saya terima kerana yakin boleh menyumbang bakti dan berkhidmat untuk masyarakat setempat. Saya akan berkhidmat dengan sebaik mungkin dan menunaikan segala janji saya untuk manfaat rakyat."Isteri-isteri bersama anak-anak serta seluruh keluarga merestui perjuangan saya demi agama dan bangsa ini. Malah, ketika nama saya disebut-sebut akan menjadi calon PRU pada akhir tahun lalu, ibu saya juga merestui dan memberi sokongan penuh," ujar beliau lagi.Pun begitu, menurut pemilik MAP Training & Consultancy Sdn. Bhd itu lagi, ibunya tidak sempat melihat pencalonannya menjadi realiti kerana meninggal dunia pada Disember tahun lalu akibat sakit tua.
29 Apr 18
370
PRU14 : Tiada Kawasan 'Panas' Di Dungun
Oleh : Ezzuan AhmadKhabar angin yang menyatakan Dungun antara lokasi dijangka panas dan berisiko berlaku kekecohan sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah tidak benar sama sekali.Bagi calon kerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen P039, Dato' Din Adam berkata, ia hanya sekadar tanggapan semata-mata kerana terbukti tiada sebarang insiden buruk yang terjadi sepanjang proses penamaan calon hari ini."Isu kerusi panas atau kawasan berisiko berlaku kekecohan tidak akan berlaku kerana semua pihak sudah bersepakat."Kita nafikan Dungun adalah lokasi panas yang akan menimbulkan kekecohan ketika proses PRU berlangsung " katanya.Beliau mengulas demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Pejabat Daerah Dungun, hari ini.Din menyeru dan meminta penyokong BN dan UMNO supaya jangan menimbulkan gangguan kepada parti lawan, begitu juga pembangkang juga diminta tidak melakukan sebarang provokasi terhadap BN."Kita bukan nak berkelahi dan jangan memburuk-burukkan sesama calon sebaliknya tonjolkan kemampuan masing-masing."Pimpinan Parti juga akan memerhati supaya semua jentera mengamalkan politik matang dan sejahtera."Setakat ini kita tidak terima sebarang aduan , dakwaan ini timbul mungkin kerana dahulu kita masih tidak amalkan politik matang dan sejahtera,"katanya.Menurut Din lagi, semua petugas parti juga telah diberikan penerangan dan nasihat supaya dapat mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi menjamin suasana harmoni dan aman.
28 Apr 18
106
PRU14 : Krisis Dalaman Di Kemaman Selesai
Penyokong BN bersama sepanduk menzahirkan sokongan kepada calon yang bertanding. Foto oleh Aliffah Hanisfarhana SuhaidiIsu dalaman yang berlaku ketika pengumuman calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Barisan Nasional (BN) Parlimen Kemaman pada Ahad lalu yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli parti itu dianggap sudah selesai.Dato’ Seri Ahmad Said yang juga mantan Menteri Besar itu berkata, setiap ahli parti kini sudahpun menyatakan persetujuan dan akan bersatu hati menggerakkan jentera BN bagi memenangi pilihan raya kali ini.“Pada masa ini semua jentera parti lebih fokus bagi memastikan BN memenangi kesemua lima kerusi yang dipertandingkan pada PRU14 kali ini."Ini termasuklah keyakinan masyarakat Tionghua terhadap BN yang masih lagi kuat dan pasti kerusi bagi DUN Chukai akan dapat dirampas kembali kali ini,” katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai penamaan calon yang diadakan di Dewan Berlian, Majlis Pembandaran Kemaman (MPK), hari ini.Menurut Ahmad, beliau menaruh keyakinan yang sangat tinggi kepada calon BN bagi DUN Chukai, Dato' Mohamed Awang Tera untuk merampas kembali kerusi tersebut yang kini disandang parti Pas.Sementara itu, Mohamed Awang Tera berkata, krisis dalaman yang berlaku adalah satu perkara yang biasa dan semuanya telah diselesaikan."Kini yang penting, jentera BN akan memberikan tumpuan untuk menangkis setiap tuduhan yang dilemparkan pihak pembangkang bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat tepat,"katanya lagi.Pada kali ini DUN Chukai akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara beliau dengan penyandangnya dari Pas, Hanafiah Mat dan Wan Anies Wan Adnan dari PKR.
28 Apr 18
46
PRU14 : 5,000 Berarak Zahir Sokongan Untuk Calon BN Kemaman
Lebih 5,000 penyokong Barisan Nasional (BN) berkumpul di perkarangan Bangunan UMNO Bahagian Kemaman di Bandar Cukai sebelum berarak bersama calon menuju ke pusat penamaan calon di Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).Calon Pas pula diiringi hampir 4,000 penyokong bergerak dari Persimpangan Mak Cili, manakala calon PKR bersama kira-kira 300 penyokong turut berarak dari kawasan berhampiran Masjid Sultan Ahmad melalui Jalan Sentosa menghala ke MPK.Kesemua penyokong terbabit bergerak mengikut laluan berbeza bermula jam 8 pagi dan tiba di perkarangan bangunan MPK di Jalan Air Putih, kira-kira jam 9 pagi.Semua 15 calon yang bertanding mula memasuki Dewan Berlian MPK untuk memulakan proses penyerahan borang pencalonan dan penamaan calon.Lima calon BN terdiri daripada Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek (Parlimen Kemaman), Dato’ Seri Ahmad Said (DUN Kijal), Dato’ Mohamad Awang Tera (Chukai), Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (Air Putih) dan Ir. Rosli Othman (Kemasek).Calon Pas pula terdiri daripada Che Alias Hamid (Parlimen Kemaman), Ir. Saiful Azmi Suhaili (Kemasek), Hazri Jusoh (Kijal), Hanafiah Mat (Chukai) dan Ab. Razak Ibrahim (Air Putih)Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula, Dato’ Wan Marzuki Wan Sembok (Kijal), Ir. Rizan Ali (Kemasek), Husain Safri Muhammad (Chukai), Mohd. Zukri Aksah (Air Putih) dan Mohd Huzaifah Md. Suhaimi (Parlimen Kemaman).Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kemaman, Zahari Mohd Azahar membuat pengumuman secara rasmi kesemua calon PRU14 yang mewakili parti masing-masing di parlimen itu layak bertanding tanpa sebarang bantahan.
28 Apr 18
404
PRU14 : Wanita UMNO Dungun Nekad Serang Habisan
Oleh : Ezzuan AhmadPergerakan Wanita UMNO Dungun akan melancarkan perang habis-habisan ke setiap pelusuk Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi bertemu pengundi sepanjang tempoh berkempen.Ketuanya, Datuk Zainun Abu Bakar berkata , pihaknya sudah merangka strategi bagi bertemu rakyat untuk memberikan informasi yang tepat mengenai kerajaan.Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) Sura berkata, rakyat khususnya di kawasan pedalaman mudah dipengaruhi oleh dakyah sonsang yang dimainkan oleh pembangkang dalam meraih undi pada kali ini."Pembangkang sering memainkan isu lapuk bagi mempengaruhi pengundi untuk membenci kerajaan dan ini yang akan kita tangkis dengan turun sendiri bagi memberi penerangan," katanya.Tambah beliau, pada masa kini rakyat sudah mula sedar akan pembangunan yang telah dilakukan kerajaan dan tindakan pembangkang itu diibaratkan sesuatu tindakan yang terdesak.Menurut Zainun, pengundi atas pagar juga sudah mula sedar dan menunjukkan sokongan kepada BN kerana mereka sudah sedar apa yang mereka perolehi selama ini adalah hasil usaha UMNO dan juga Kerajaan BN.Katanya, program pemutihan yang dilakukan berjumpa dengan pengundi tegar yang menyokong pembangkang juga sudah mula membuahkan hasil dan ada sebahagian daripada mereka sudah mula menunjukkan kesanggupan untuk mengundi BN."Mereka sedar kita (BN) yang banyak membantu mereka dengan pelbagai jenis bantuan dan kita tidak memilih bulu dalam memberikan bantuan. Mereka sudah mula sedar siapa yang membantu mereka selama ini."Pembangkang hanya pandai menabur janj kosong sahaja dan bila tiba saat untuk dibantu, kami (BN) juga yang turun memberikan bantuan tapi bukan mereka (pembangkang)," katanya.Menurutnya, pelbagai program yang telah dirangka dalam membantu calon BN yang bertanding untuk memastikan kemenangan parti itu di semua kawasan yang ditanding kali ini.
28 Apr 18
121
PRU14 : Penamaan Calon Di Hulu Terengganu Berlangsung Aman
Proses penamaan calon bagi Parlimen Hulu Terengganu berjalan dengan lancar, walaupun selesai selepas empat jam borang pencalonan dihantar kepada petugas Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di Pejabat Daerah Hulu Terengganu.Proses penamaan calon menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Pas dan PKR bagi parlimen dan empat Dewan Undangan Negeri (DUN).Perarakan mengiringi calon bermula pada jam 8.30 pagi diketuai calon P038 Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahid diikuti Dato' Rozi Mamat (Telemong), Yusof Awang Hitam(Manir), Dato' Tengku Putera Tengku Awang(Kuala Berang) dan Dr Ghazali Taib ( Ajil) menuju ke dewan syarahan di mana proses pencalonan di adakan.Diikuti calon-calon Pas yang diketuai Muhyidin Abdul Rashid (Parlimen Hulu Terengganu) dan Kamaruzaman Abdullah (Telemong), Hilmi Harun (Manir), Mamad Puteh (Kuala Berang) dan Maliaman Kassim (Ajil).Manakala calon PKR pula Dato' Razali Idris (Parlimen Hulu Terengganu), Sharifah Norhayati Syed Omar (Telemong), Hafizuddin Hussin (Manir), Mohd Nor Othman (Kuala Berang) dan Zamani Mamat(Ajil).Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Mohd Adli Mat Daud, berkata proses penamaan calon berjalan tanpa sebarang perkara yang tidak diingini dengan kawalan dan kekuatan 130 anggota yang bertugas sepanjang proses tersebut.
28 Apr 18
802
PRU14: Penamaan Calon Parlimen Marang Penuh Debaran
Calon-calon Parlimen dan DUN Marang bergambar setelah selesai penamaan calon.Proses penamaan calon Parlimen Marang (P037) berlangsung penuh debaran berikutan semua calon dan penyokong terpaksa menunggu sehingga hampir jam 1 petang sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Marang, Mat Azmi Arshad mengesahkan semua calon layak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).Seawal jam 8 pagi proses penamaan calon berjalan lancar apabila kesemua calon berarak diiringi penyokong ke pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Marang, pagi ini.Calon PKR Mohd Dalizan Abd Aziz (Bukit Payung), Aidi Ahmad (Pengkalan Berangan) dan Azri Alias (Alur Limbat) diketuai Dr. Zarawi Sulong (Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang) hadir seawal jam 8.30 pagi di pusat penamaan. Manakala, calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Nor Endut hadir (Parlimen Marang) bersama To' Puan Zaitun Mat Amin (Bukit Payung), Dato' Saiful Bahri Baharuddin (Alur Limbat), Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (Rhu Rendang) dan A. Latiff Awang (Pengkalan Berangan) memasuki pusat penamaan pada jam 8.55 pagi.Calon Pas Ariffin Deraman (Alur Limbat), Mohd Nor Hamzah (Bukit Payung), Sulaiman Sulong (Pengkalan Berangan) dan Profesor Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (Rhu Rendang) yang diketuai Presiden Pas, Dato' Seri Abdul Hadi Awang (Parlimen Marang) pula tiba jam 9.05 pagi.Kesemua calon menyerahkan borang pencalonan sebaik pusat penamaan calon dibuka dan berakhir jam 10 pagi.Mat Azmi Arshad mengumumkan kesemua calon-calon diterima bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke- 14 menyaksikan parlimen Marang dan kesemua empat DUN iaitu Alur Limbat , Bukit Payung, Pengkalan Berangan dan Rhu Rendang menghadapi saingan tiga penjuru antara Barisan Nasional, Parti Islam SeMalaysia (Pas) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).Calon Parlimen Marang (P037) dari kiri Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Dr. Zawawi Sulong dan Mohamad Nor Endut.
28 Apr 18
617
PRU14 : Pertandingan Bersaudara Di Parlimen Besut
Pertembungan calon bersaudara pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi Parlimen Besut (P033) menarik perhatian pengundi khususnya penyokong parti yang bertanding.Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman bakal berdepan sepupunya, mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), Che Ku Hashim Che Ku Mat.Manakala calon Parlimen Besut, Dato' Seri Idris Jusoh (BN) akan bertemu dua sepupunya, Dato' Ir Wan Nazri Wan Jusoh (PKR).Bagi calon PKR DUN Jertih, Dato' Dr Kamaruzzaman Wan Su pula adalah dua sepupu kepada Tengku Roslan Tengku Othman juga dari PKR yang bertanding bagi merebut kerusi DUN Kota Putera.Bagi Tengku Zaihan, pertembungan kekeluargaan itu adalah satu fenomena yang baru berlaku dalam Parlimen Besut sekaligus menjadikan pilihan raya ke 14 ini sejarah bagi parlimen berkenaan."Malah, calon PKR yang bertanding bagi kerusi Parlimen Besut itu adalah ketua saya ketika bertugas di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebelum terpilih sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2013," katanya.Menurut Tengku Zaihan, dia tidak berasa janggal untuk berdepan dengan sepupunya, kerana sangat mengenali Che Ku Hashim."Kami hanya berlainan fahaman politik tetapi dalam keluarga kami tidak ada masalah malah hubungan kekeluargaan kami sangat rapat," katanya yang ditemui selepas penamaan calon di Besut, hari ini.Menurut Tengku Zaihan, dia yakin kehadiran sepupu yang dianggap sebagai abang pada PRU14 ini tidak memberi kesan dan yakin mampu menang bagi mengekalkan kerusi yang disandangnya sejak memenangi PRK 2013 lalu.Tambahnya, sokongan kuat daripada keluarga Che Ku Hashim memberi lebih keyakinan kepada beliau untuk mengekalkan kerusi berkenaan."Sebenarnya dia sudah lama cenderung dalam politik iaitu sejak tahun 1985 lagi. Ketika itu dia adalah ahli BN dan mengambil keputusan keluar parti bagi menyertai Pas pada tahun."Kecewa dengan perjuangan Pas selepas kematian Presiden Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, dia membuat keputusan meninggalkan parti itu dan menumpukan perhatian terhadap kerjayanya sebagai seorang doktor dan memiliki klinik sendiri di Pasir Putih, Kelantan," katanya.
27 Apr 18
1180
PRU14 : Gelombang Kebangkitan Iringi Calon BN
Oleh : Ezzuan AhmadProses penamaan calon bagi P039, Parlimen Dungun berjalan lancar tanpa melibatkan sebarang provokasi dari setiap penyokong parti bertanding.Kesemua penyokong parti mula berarak menuju ke Pejabat Daerah Dungun sekitar jam 8.00 bagi mengiringi calon mereka untuk menyerahkan borang pendaftaran calon.Kerusi Parlimen Dungun turut melibatkan pertandingan tiga penjuru antara Parti Barisan Nasional (BN), Pas dan PKR .Calon BN kerusi parlimen, Dato Din Adam, Tengku Hamzah Tengku Deraman (DUN Paka) , Roslee Daud (Bukit Besi), Datuk Zainun Abu Bakar (Sura) dan Wan Zaulkfli Wan Gati (Rantau Abang).Calon Pas bagi kerusi parlimen, Wan Hassan Wan Mohd Ramli , Ghazali Sulaiman (Bukit Besi), Alias Harun (Rantau Abang), Wan Hapandi Wan Nik (Sura) dan Satiful Bahari Mamat (Paka).Calon PKR bagi kerusi parlimen, Abdul Rahman Yusof , Mohammad Padeli Jusoh (Rantau Abang), Mohamad Arif Arifin (Bukit Besi ) , Zulkifli Ali ( Sura ) dan Hasbie Muda ( Paka ).Seramai 4,000 orang penyokong parti Barisan Nasional (BN) berarak mengiringi calon BN untuk proses penyerahan borang pendaftaran calon di Pejabat Daerah Dungun.Semetara itu, Din berkata semangat yang ditunjukkan oleh penyokong BN dari setiap akar umbi yang turun bagi mengiringi calon menunjukkan gelombang kebangkitan BN di Daerah Dungun dapat dilihat pada pagi ini."Saya terharu dengan semua yang turun bagi memberikan sokongan moral kepada kami ( BN) dan ini menunjukkan kesemua mereka setia bersama parti dan akan berjuang untuk kemenangan kali ini""Melihat kepada pembangkang yang suram pada pagi ini menunjukkan seolah-olah berlaku satu konflik dalaman dalam parti tersebut dan ini menambahkan keyakinan kami (BN) untuk menang pada kali ini," katanya.
27 Apr 18
71
PRU14: Calon Di Parlimen Setiu Layak Bertanding
Ribuan penyokong BN membanjiri pekarangan Pusat Penamaan Calon SetiuPenamaan calon bagi Parlimen Setiu (P034) berjalan lancar apabila semua calon yang akan bertanding menyerahkan borang di Pusat Penamaan Calon di Pejabat Daerah Setiu bermula jam 9.00 pagi.Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Setiu, Rosdi Awang mengumumkan kesemua calon layak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi (N05), Permaisuri (N06), Langkap (N07) dan Batu Rakit (N08) kira-kira jam 11.45 pagi.Parlimen Setiu dan empat DUN menyaksikan perlawanan tiga penjuru antara Barisan Nasional, Pas dan PKR.Bagi calon BN Parlimen Setiu, Dato' Mohd Jidin Shafee, menyerahkan borang pencalonan jam 9.03 pagi.Manakala calon PKR, Datuk Dr. Mohd Faudzi Musa selesai jam 9.14 pagi, Shaharizukirnain Abd. Kadir pula selesai menyerahkan borang pencalonan jam 9.30 pagi.Calon BN DUN Jabi pula, Mohd. Iskandar Jaafar selesai menyerahkan borang percalonan tepat jam 9.04 pagi, diikut calon Pas, Dr. Azman Ibrahim pada jam 9.40 pagi manakala calon PKR, Abd. Aziz Abas jam 9.16 pagiSementara calon BN DUN Permaisuri, Dato' Abd. Halim Jusoh menyerahkan borang pada jam 9.05 pagi, calon PKR Wan Mokhtar Wan Ibrahim (PKR) dan Zul Bhari A. Rahman dari Pas masing-masing jam 9.16 dan 9.30.Bagi calon BN DUN Langkap, Dato’ Sabri MohdNoor, menyerahkan borang pencalonan seawal jam 9.03 pagi manakala Azmi Maarof dari Pas pada jam 9.23 pagi serta diikuti calon PKR, Mustaffa Abdullah pada jam 9.12 pagi.Calon BN Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman (9.03 pagi) pula akan ditentang calon Pas, Mohd. Shafizi Ismail (9.25 pagi) dan PKR, Amir Long jam 9.15 pagi.Sebelum kira-kira 4,000 penyokong calon BN hadir seawal jam 7.30 pagi untuk memberi sokongan kepada calon mereka.
27 Apr 18
983