Artikel "Politik" Terkini
Politik Berpecah Melayu Jadi Lemah
KUALA TERENGGANU, 23 November - Umat Islam di Malaysia hari ini berpecah kerana bergaduh sesama sendiri sehingga terpecah kepada beberapa blok.
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sewajarnya orang-orang Melayu di negara ini bersatu hati agar Malaysia berupaya menjadi contoh serta permulaan yang baik untuk negara Islam bangkit dan tidak ditindas.
"'Political Party' yang memecah belahkan kita, kalau dahulu kita hanya ada satu (blok) sekarang sudah berpecah kepada lima.
"Sebab itu parti di Malaysia sudah melemahkan orang Melayu khususnya kerana kita berpecah dan berlawan sesama sendiri," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media semasa berlansungnya Terengganu International Summit (TIS), di Duyong Marina Resort, di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, bermula tahun hadapan apabila Malaysia mengepalai Asean, negara ini perlu berusaha bagi memastikan United Nation diubah.
"Supaya tidak ada kuasa veto oleh mana-mana pihak dan itu boleh dibuat secara beransur-ansur, cadangan itu cuma Malaysia yang pernah cadangkan tetapi tidak ada susulan.
"Apa jua perkara ia perlu bermula dengan kecil-kecilan selepas itu diperbesarkan apabila lebih banyak negara-negara bersetuju untuk melakukan satu-satu tindakan," ujarnya.
23 Nov 24
164
Mahasiswa Perlu Bebas Dari Kongkongan Politik - Muhammad Khalil
KUALA TERENGGANU, 20 November - Kerajaan Negeri Terengganu menyatakan pendirian tegas untuk membela kebebasan mahasiswa selepas pembatalan Majlis Perasmian Penutup Islamic Youth Leadership Conference 2024 oleh pihak penganjur, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, menzahirkan rasa simpati terhadap situasi tersebut, menyifatkan tindakan tersebut sebagai langkah ke belakang yang mengekang kebebasan intelektual golongan mahasiswa.
“Mahasiswa adalah kumpulan terpilih dalam masyarakat, mereka memiliki daya intelektual yang tinggi dan seharusnya diberi ruang bebas untuk berkembang.
“Malangnya, apa yang berlaku menunjukkan satu tindakan tidak demokratis dan bercanggah dengan semangat politik matang serta terbuka,” katanya ketika mengulas tentang permohonan maaf dari pihak UniSZA.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Muhammad Khalil menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa menyokong program yang merangsang pemikiran kritis mahasiswa.
“Langkah-langkah yang menyekat mereka daripada mendengar pandangan berbeza, hanya akan merencatkan pembangunan intelektual golongan muda ini.
“Kita mahu mahasiswa diberi kebebasan untuk mendengar dan menilai pelbagai pandangan, tidak kira daripada mana-mana pihak.
“Mahasiswa perlu menjadi generasi yang berani bersuara untuk kebenaran, kerana hanya melalui cara itu mereka mampu menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Terengganu turut mengkritik tindakan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat mengongkong mahasiswa daripada mengadakan program-program ilmiah yang membuka minda.
Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk turut menyifatkan pendekatan mengongkong kebebasan mahasiswa sebagai tindakan tidak bertamadun dan bersifat dendam politik.
“Politik hari ini seharusnya bergerak ke hadapan, lebih terbuka, dan matang.
“Namun, apa yang kita lihat adalah politik lama yang bersifat kolot, yang cuba menyekat ruang intelektual mahasiswa, ini amat menduka citakan,” ujarnya dengan penuh kecewa sambil menyeru pihak Kerajaan Madani agar mengutamakan nilai demokrasi dan membuka ruang kebebasan berfikir kepada mahasiswa, tanpa rasa takut atau pilih kasih.
Jelasnya lagi, komitmen kerajaan negeri dalam mendukung golongan mahasiswa adalah kerana belia berperanan menjadi agen perubahan yang mampu membawa idea-idea segar demi masa depan yang lebih gemilang.
“Kami di pihak kerajaan negeri amat menyokong segala usaha untuk memperkasakan minda mahasiswa. “Mereka adalah aset berharga negeri ini, jangan sesekali belenggu mereka dengan sekatan yang tidak perlu,” tambahnya.
20 Nov 24
185
'Wakil Kerajaan Disekat, Penceramah Kontroversi UMNO Dialukan'
KUALA TERENGGANU,19 November - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, membidas tindakan songsang pihak tertentu yang menyekat wakil Kerajaan Negeri merasmikan program pendidikan sebuah Institut Pengajian Tinggi bersama mahasiswa baru-baru ini.
Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, lebih mendukacitakan ahli politik tidak bertauliah daripada UMNO pula diberi kebebasan bertemu pelajar.
“Bayangkan pemimpin UMNO boleh keluar masuk dengan bebas dalam institusi pendidikan tapi kami pemimpin yang diberikan amanah dan mandat dihalang dengan pelbagai alasan untuk masuk ke sekolah bagi memandaikan anak bangsa.
“Dijemput penceramah UMNO yang kontroversi di media sosial yang tidak tahu sejauh mana kelayakan pendidikannya sebagai pemberi motivasi kepada pelajar, sedangkan ADUN, ada yang bekas guru, ada yang mempunyai ijazah dalam pelbagai bidang bahkan Batu Buruk yang ada PHD pun dihalang masuk berjumpa pelajar.
“Kami bukannya masuk untuk membawa mesej politik, hanya sekadar menyantuni dan memberikan semangat kepada anak-anak pelajar dibawah amanah dan jagaan kami,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2025 di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Dalam masa yang sama, beliau dengan tegas menyeru agar politik Terengganu menuju ke arah yang lebih matang, sambil mencabar Ketua Pemuda UMNO dan Ketua Pemuda Pakatan Harapan untuk berdebat secara terbuka.
“Saya ingin mencabar Ketua Pemuda UMNO dan Ketua Pemuda Harapan, mari kita berdebat dan berdiskusi di hadapan mahasiswa UniSZA atau UMT.
“Sediakan tarikh, dan tajuk, Sura sentiasa bersedia untuk berdebat dan berdiskusi syaratnya hendaklah dibuat dalam kampus UniSZA atau UMT.
“Platform seperti ini amat penting untuk memupuk politik idea, bukannya politik sekat-menyekat yang dianggap ketinggalan zaman,” katanya.
Menurut ADUN Sura itu, Belanjawan Terengganu 2024 harus menjadi peluang untuk memperkukuh pendidikan dan membangun negeri dengan politik kerjasama, bukan sebaliknya.
“Politik baru ialah politik matang dan sejahtera, bukan politik zaman dulu yang menyekat kemajuan,”
“Perbezaan politik antara negeri dan persekutuan tidak sepatutnya menghalang usaha bersama untuk mendidik generasi muda,” ujarnya.
Cabaran debat terbuka itu kini menanti respons daripada pihak lawan, sebagai langkah pertama menuju politik berwibawa yang diidamkan oleh generasi muda negeri Terengganu.
20 Nov 24
240
Mengapa Ahli Parlimen dan Negeri Pembangkang Diberi Layanan Berbeza?
KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, dalam Dewan Rakyat semalam melontarkan kritikan keras terhadap Kerajaan Persekutuan berhubung isu penyaluran peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang dan juga pembayaran royalti petroleum yang tertangguh kepada negeri Terengganu.
Beliau menegaskan bahawa dasar yang diamalkan ketika ini bukan sahaja membebankan wakil rakyat, malah tidak adil kepada negeri yang berhak menerima manfaat secara langsung.
“Kenapa kerajaan masih berdolak-dalik dalam isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang?.
“Mekanisme sedia ada yang mengagihkan dana melalui projek-projek tertentu bukan sahaja kurang telus, malah menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat,” ujarnya ketika berucap dalam perbahasan Belanjawan Madani 2025 di Dewan Rakyat, semalam
Selain itu, isu royalti petroleum untuk negeri Terengganu juga turut dibangkitkan oleh Shaharizukirnain.
“Terengganu hanya menerima RM425.17 juta daripada jumlah keseluruhan royalti RM792.3 juta, manakala bakinya sebanyak RM367.15 juta masih belum disalurkan.
“Lebih mengejutkan, anggaran hasil royalti petroleum bagi tahun 2024 adalah RM1.52 billion, namun beliau mempersoalkan sama ada kerajaan pusat akan melunaskan pembayaran secara penuh kepada kerajaan negeri.
“Mengapa royalti Terengganu tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri seperti negeri lain?," tegas Shaharizukirnain yang menganggap penggunaan projek sebagai kaedah penyaluran adalah alasan semata-mata.
Beliau turut menyoal apakah tindakan ini akan diteruskan sebagai bentuk diskriminasi politik, memandangkan negeri-negeri lain menerima royalti mereka tanpa melalui projek pembangunan yang melengahkan bayaran.
Shaharizukirnain menuntut agar kerajaan pusat segera menilai kembali dasar ini supaya hak rakyat Terengganu dan kawasan-kawasan pembangkang terjamin.
“Rakyat berhak tahu ke mana perginya dana yang dijanjikan untuk pembangunan mereka,” katanya menggesa ketelusan serta keadilan dalam pengurusan peruntukan dan royalti di seluruh negara.
30 Oct 24
159
Himpunan Taufan Al-Aqsa Peringati Darah Syuhada
DUNGUN, 4 Oktober - Penganjuran Himpunan Taufan Al-Aqsa bertujuan untuk memperingati serangan ke atas Palestin, dengan perkembangan terbaru serangan zionis sudah merebak ke Lubnan dan Syria.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Muhammad Tengku Fakhruddin Tengku M. Fauzi berkata ia juga sebagai menunjukkan solidariti, kebersamaan bersama dengan perjuangan umat Islam di bumi Palestin.
"Himpunan Taufan Al-Aqsa Di Hati, Darah Syuhada Diperingati yang cukup penting ini akan diadakan di Surau Tuan Guru Haji Zainal Abidin pada Isnin 7 Oktober pada jam 9.00 malam," katanya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan, Pemuda PAS Dungun berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 3 Oktober.
Dr Fakhruddin amat berharap seluruh warga Dungun dapat turun beramai-ramai hadir membawa keluarga bersama sebagai tanda protes atas pembunuhan beramai-ramai umat Islam dengan rakus tanpa rasa bersalah Yahudi Laknatullah.
"Jika kita masih lagi ada jiwa untuk membela saudara kita yang sedang diratah. Ayuh, sama-sama kita hadir bersama bagi menunjukkan solidariti kita," tegasnya.
04 Oct 24
277
Ahli Parlimen Bukan Golongan 'Untouchables' - Johari
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Ahli Parlimen digesa menyedari bahawa mereka bukan golongan 'Untouchables' sehingga besar kepala dan tidak boleh ditegur serta menerima kritikan rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, sebaliknya mereka yang memegang amanah sebagai ahli parlimen perlu menyedari bahawa mereka datangnya daripada rakyat yang memilih.
"Kerana Parlimen itu sendiri adalah untuk rakyat dan hendak tahu apa yang berlaku di Parlimen kerana itu orang yang dipanggil wakil rakyat itu merupakan hak rakyat, bukan milik dewa.
"Mereka rakyat biasa yang boleh ditegur jadi jangan ada sifat kerana aku wakil rakyat maka tidak boleh ditegur," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang medianya sempena Program Jelajah Yang Dipertua Dewan Rakyat Ke Dewan Undangan Negeri di Semenanjung, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Turut hadir, Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah dan Timbalannya, Khazan Che Mat.
Dalam pada itu, Johari berkata lawatan ke DUN Terengganu itu bertujuan memperkukuhkan kerjasama dan hubungan di antara Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.
"Terengganu merupakan negeri kesembilan dan selepas ini kami akan ke Pahang dan Selangor sebelum semua speaker-speaker berkumpul di Sarawak pada 11 hingga 14 September tahun ini.
"Tujuan jelajah ini adalah untuk berkenalan mesra dengan semua sepaker dan setiausaha dewan dalam masa yang sama banyak benda yang kita telah bincang dan perhalusi melalui soal jawab yang kita perlu diperkemaskan.
"Insya-Allah semua ini akan kita jadikan panduan dan ada perkara dijadikan resolusi untuk dibawa ke persidangan speaker-speaker pada September nanti," katanya.
12 Aug 24
412
Terengganu Tunggu Persekutuan Lulus Peruntukan Laluan Berkembar
KUALA TERENGGANU, 2 Ogos - Terengganu masih menunggu Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan bagi menyiapkan projek laluan berkembar jalan pantai Terengganu dari Kemaman ke Besut.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, peruntukan itu penting bagi memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan segera.
"Kita telah mohon peruntukan dengan Kerajaan Persekutuan selaku pihak yang bertanggungjawab, (dan) tunggu kelulusan daripada mereka untuk memberikan peruntukan bagi menyiapkan jalan tersebut.
"Jadi kita harap Perdana Menteri mempercepatkan proses penyaluran peruntukan tersebut," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman, di Dewan Besar Wisma Darul Iman kelmarin.
Justeru katanya, kerajaan Negeri hanya menunggu lampu hijau daripada pihak Kerajaan Persekutuan untuk memulakan kerja.
"Saya yakin (peruntukan) akan diserahkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan.
"Saya berharap dalam akhir tahun ini dapat dilaksanakan," tambah beliau.
03 Aug 24
5498
Malaysia Baharu Perlu Dibina Semula
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Perikatan Nasional (PN) melihat bahawa Malaysia Baharu perlu dibina demi menjamin kehidupan rakyat yang lebih sejahtera di masa akan datang.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sentiasa didatangi pelbagai pihak yang menyatakan ingin bersama dengan komponen PN dan PAS sendiri yang akan dipertimbangkan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian serta kepentingan bersama bagi membangunkan negara.
"Kami melihat masa depan negara yang lebih baik 'a new Malaysia' harus kita bina dengan (memperkasakan) muafakat politik sedia ada antara PAS bersama dengan rakan-rakan dalam PN.
"Ia perlu kita kembangkan dari semasa ke semasa (dan) ini akan menjadi satu tawaran yang baik untuk Malaysia baru, insya-Allah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa sidang akhbarnya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, baru-baru ini.
Mengulas mengenai kenyataan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan pihak pembangkang iaitu PN datang untuk berunding dengannya serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad Samsuri menyatakan pihaknya tidak berminat untuk melayan kenyataan yang tidak berasas itu.
"Apa yang dia sebut dia punya pasal, saya tidak campur apa yang disebut, (selama ini) berjumpa di parlimen, selisih dalam mesyuarat itu pertemuan dengan peranan masing-masing sama ada sebagai Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ataupun kerajaan.
"Itu bukan diklasifikasikan sebagai pertemuan perbincangan politik, itu akan kalau bertemu dengan Ahli Parlimen UMNO sekalipun itu adalah pertemuan dalam konteks mengurus tadbir sesuai dengan perananan sebagai Ahli Parlimen dan ADUN di negeri masing-masing," ujarnya.
Menjawab mengenai akan berlaku atau tidak kerjasama dengan UMNO pada masa akan datang, katanya perkara pada masa hadapan sukar untuk diramal.
"Jadi saya tidak akan komen tentang perkara akan datang, setakat ini tiada apa-apa perancangan, tidak ada untuk mengadakan pertemuan dan seumpama dengannya," jelasnya,
31 Jul 24
270
Calon Nenggiri Diumumkan Petang Ini
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Calon Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan diumumkan pada petang nanti.
Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PN akan menggunakan lambang PAS bagi PRK itu sebagai strategi mengekalkan kemenangan.
"Respon yang kita terima dari tinjauan di lapangan , yang sara rasa 'survey' cara ini lebih penting berbanding secara atas talian terutamanya di luar bandar yang ketepatannya boleh diragui.
"Melaui 'survey' di lapangan kita telah mendapat respon yang sangat baik di kalangan rakyat dan masyarakat di Nenggiri," ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Menteri besar Terengganu itu berkata demikian ketika ditemui pihak media pada sidang akhbarnya, selepas menghadiri Mesyarat Kedua Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Dalam pada itu katanya, Nenggiri merupakan satu DUN yang memeliki keluasan yang lebih besar dari negeri Perlis.
"Sangat besar walaupun penduduknya tidak ramai, dan insya-Allah dengan mendapat respon positif yang sangat baik daripada masyarakat di sana kita berupaya untuk mengekalkan kemenangan," ujarnya.
29 Jul 24
86
Pemberian Air Percuma Diteruskan Walau Royalti Disekat
KUALA TERENGGANU, 23 Julai – Kerajaan negeri Terengganu menegaskan pemberian bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu kepada golongan B40 tetap diteruskan meskipun bayaran royalti disekat.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata, kerajaan negeri juga meneruskan pembekalan air percuma kepada masjid di seluruh negeri.
“Kita masih lagi mengikut perancangan apa yang dilaksanakan kepada (golongan) B40 berkenaan termasuklah kita teruskan walaupun berlaku sekatan pada royalti.
“Kami masih berikan kepada masjid-masjid yang didaftarkan, kita tetap teruskan kerana kita rasa ini tanggungjawab sosial daripada kerajaan negeri yang perlu dilaksanakan juga,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) di Pusat KOnvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, hari ini.
Menurutnya program bekalan air percuma telah dilaksanakan sejak beberapa tahun yang lalu dan sampai ke hari ini tiada pengurangan dari segi penerima bantuan tersebut.
Beliau menambah bahawa dalam apa jua keadaan, usaha untuk bertahan walau menghadapi tekanan perlu diteruskan.
"Seperti mana manusia perlu makan untuk hidup, usaha tidak boleh berhenti walaupun dalam keadaan sukar.
“Jadi setakat ini kita boleh teruskan kehidupan walaupun dalam keadaan sedemikian tapi pada kerajaan negeri yang hak itu hak yang perlu diselesaikan,” ujarnya.
23 Jul 24
3153