Artikel "Politik" Terkini
Isu Pandemik Sepatutnya Menjadi Keutamaan Semua
SETIU, 14 Oktober - Pemimpin Pembangkang dan Kerajaan seharusnya tidak membincangkan perkara-perkara yang dapat memberi impak negatif kepada kestabilan negara serta ekonomi.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, setiap sebaliknya perlu memberikan fokus kepada isu rakyat terutamanya dalam berhadapan dengan virus COVID-19 kini.
"Semua pemimpin sama ada dari parti Kerajaan mahupun pembangkang mesti terus memberi tumpuan sepenuhnya terhadap isu rakyat terutama berkenaan dengan pandemik.
"(Terdapat) golongan yang kritikal terjejas terutama peniaga-peniaga kecil, B40 malah yang terbaru golongan dari sektor penerbangan juga terjejas teruk," ujarnya semasa ditemuramah oleh wartawan semalam.
Beliau juga gusar dengan pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengumumkan bahawa Malaysia kini memasuki gelombang ketiga pandemik ini.
"Ramai pihak yang terjejas akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu kini bimbang tentang nasib yang akan mereka terima akibat gelombang ketiga COVID-19.
"Sepatutnya, kita haruslah mendahulukan rakyat daripada kepentingan peribadi," tambahnya lagi.
Beliau menyeru agar seluruh rakyat Malaysia berjaga-jaga, mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan menyeru agar semua pimpinan menjalankan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka sebaik mungkin.
13 Oct 20
259
Daftar Sebagai Pengundi Sebahagian Fardu Kifayah
KUALA TERENGGANU, 16 September – Mengambil tanggungjawab untuk mendaftarkan diri sebagai pengundi dianggap sebagai salah satu daripada fardu kifayah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata perbuatan mendaftarkan diri untuk mengundi adalah salah satu daripada tanggungjawab Umat Islam, sama seperti fardu kifayah.
Menurut beliau lagi, bila menjadi seorang pengundi yang berdaftar, kita sebenarnya sedang menzahirkan perasaan sayang kepada negara dengan mengambil serius perihal tersebut.
“Anak-anak muda mesti peka dan cakna akan hari sambutan seperti Hari Malaysia, 16 September kerana ia mencerminkan sejauh mana kita sayang akan negara kita.
“Samalah juga halnya dengan daftar mengundi, itu manifestasi kita sayang dan ambil berat akan keadaan semasa negara kita.
“Daftar mengundi adalah fardu kifayah, dikira sebagai jihad untuk mempertahankan kedaulatan negara,”ujarnya ketika dihubungi, pagi tadi.
Terdahulu, Ahli Parlimen Marang merangkap Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Awang ada mengulas perihal kewajipan sebagai seorang muslim untuk menjadi pengundi (terlibat dalam politik).
Katanya ramai yang menganggap politik bukan satu kewajipan, kebanyakkannya menganggap fardu kifayah hanyalah sembahyang mayat semata-mata, sedangkan pada hakikatnya, memerintah negara juga termasuk dalam fardu kifayah.
“Mereka tidak sedar, fardu kifayah menjadi fardu ain kepada orang tertentu dan keadaan tertentu, dalam suasana kita pada hari ini, ianya sudah menjadi fardu ain.
“Kalau kita buka kitab feqah, kitab feqah mengatakan kalau jihad dalam suasana yang biasa adalah fardu kifayah, tapi kalau dalam keadaan darurat ia menjadi fardu ain. Dikira sebagai jihad itu,”ulasnya.
Dalam pada itu, Zuraida turut melahirkan harapan agar anak muda terutamanya wanita ambil cakna serta celik politik semasa.
Beliau yang juga merupakan Ketua Pengarah Ameerah Malaysia menyeru anak muda terutamanya Melayu-Islam untuk mendaftar sebagai pemilih kerana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15) akan berlangsung tidak lama lagi.
16 Sep 20
1008
Muafakat Nasional Terengganu Terus Dipertahan
KUALA TERENGGANU, 15 September – Kerjasama antara parti dalam Muafakat Nasional Terengganu akan terus diperkasa dan dipertahankan demi kepentingan rakyat serta negara.
Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran termasuklah usaha untuk menghancurkan Muafakat Nasional daripada musuh, kekangan itu dihadapi dengan penuh tekad dan istiqamah bagi memastikan persepakatan itu kekal relevan termasuk di negeri ini.
“Sempena ulang tahun yang pertama, mudah-mudahan Muafakat Nasional di peringkat Terengganu akan semakin baik, ia sudah tentu menjadi harapan dan sesuatu yang dinanti oleh rakyat jelata bukan sahaja di sini bahkan seluruh negara,” katanya ketika diminta mengulas tentang Muafakat Nasional Terengganu selepas menziarahi rakyat di Wakaf Mempelam semalam.
Wan Sukairi yang juga Ketua Penerangan PAS Terengganu berkata, tidak timbul soal sebulu atau tidak kerana penyatuan yang dibina itu berasaskan kesedaran demi agama, bangsa dan negara.
“Kita di Terengganu tiada masalah yang berlaku, isu yang agak panas di sidang DUN baru-baru ini adalah sesuatu perkara yang biasa dan insya-Allah itu tidaklah menggambarkan hubungan atau keadaan Muafakat Nasional Terengganu sebenar.
“Insya-Allah ia berada dalam baik-baik sahaja, dalam program-program bersama pun kita semua telah menyaksikan kesungguhan semua pihak, walaupun setahun itu bukan satu tempoh yang panjang namun terlalu banyak cabaran daripada dalam dan luar dihadapi dengan baik.
“Asalkan kita mempunyai tekad bahawa Muafakat Nasional harus diperkasa dan diperkukuhkan insya-Allah Muafakat Nasional akan terus menjadi teras kepada kerajaan di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 15 nanti,” tambah beliau.
15 Sep 20
1058
Jentera PAS Sedia Bantu PRN Sabah Walaupun Tidak Bertanding
KUALA TERENGGANU, 12 September - PAS tetap bersedia menggerakkan jentera parti itu bagi membantu calon Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.
Pengarah Institut Strateginya, Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, ia bagi memastikan kemenangan calon MN dan PN walaupun tidak diperuntukkan sebarang kerusi dalam pilihan raya itu.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan kemenangan PN di Sabah sekaligus pentadbiran Sabah kelak seiring dengan pemerintahan di peringkat Persekutuan dan memudahkan urusan membawa mesej kepada rakyat.
“PAS akan memastikan kemenangan mana-mana calon bertanding walau daripada parti mana sekali pun asalkan mereka bersama MN dan PN.
“Jadi PAS akan tetap turun padang malah saya sendiri di samping semua menteri, timbalan menteri dan wakil-wakil rakyat diarahkan membantu semaksimum yang boleh,” katanya dalam sidang akhbar selepas menutup Kursus Pengenalan Keusahawanan Sistem Binaan Berindustri (IBS) Kenaf Terengganu di Hotel Paya Bunga (PB) di sini hari ini.
Sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dipertandingkan dalam PRN kali ini berbanding 60 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah, Julai lalu.
Mohd. Khairuddin yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi turut berkata, tugasan turun padang akan diketuai jentera PAS Sabah manakala bagi jentera di Semenanjung perincian lanjut akan dibincangkan dalam masa terdekat.
Kelmarin, Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang memutuskan untuk tidak menyertai PRN Sabah bagi memberi laluan kepada rakan-rakan MN dan PN demi memelihara permuafakatan yang terjalin serta mengambil kira implikasi politik pada masa depan.
"Keutamaan PAS adalah untuk memberi fokus kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat di samping mengukuhkan kerjasama dalam MN dan PN," ujarnya.
12 Sep 20
474
Bila Dah Tua Jadi Parti Apa Pula - Abdul Hadi
MARANG, 6 September - "Semua orang muda akan jadi tua. Bila dah tua akan jadi parti apa pula," itu ulasan ringkas Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang mengenai hasrat bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahu menubuhkan parti khusus golongan muda.
Bagaimanapun katanya, Ahli Parlimen Muar itu berhak menubuhkan parti baharu yang dikatakan khusus untuk golongan muda selagi ia tidak melanggar undang-undang.
"Kita negara demokrasi, bebas buat parti, Ikut peraturan dia, tak menyalahi undang-undang, buatlah. Relevan atau tidak, boleh pergi jauh atau tidak, saya tidak tahu masa depan. Cuma orang muda bila tua nak jadi parti apa pula," jelasnya bersahaja.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menerima kunjungan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Kampung Rusila di sini, petang semalam.
Terdahulu Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah menyerahkan kertas cadangan langkah-langkah yang boleh diambil kerajaan bagi memulihkan ekonomi pasca COVID-19 khususnya melalui peluang kerjasama dengan negara-negara Islam di rantau Timur Tengah.
Kertas cadangan yang mengandungi syor dan saranan tersebut diserahkan kepada Tengku Zafrul.
06 Sep 20
2599
Penyertaan Bersatu Kukuhkan Muafakat Politik
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam Muafakat Nasional (MN) diyakini mampu memperkukuhkan persefahaman politik sekali gus menghasilkan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan MN yang menerima penyertaan Bersatu adalah petanda positif dan sangat dialu-alukan semua pihak.
“Saya ada baca satu kajian yang mengatakan bahawa peratusan rakyat yang bersetuju dan mahu tiga parti ini iaitu PAS, UMNO dan Bersatu bergabung adalah tinggi.
“Alhamdulillah, saya juga sangat teruja dengan perkembangan semasa ini,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Manis FM dan Bernama Radio di Damai Lounge, U2, Wisma Darul Iman hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS menegaskan, situasi terkini politik itu akan dipastikan bergerak dengan jaya termasuk penerimaan di peringkat akar umbi.
Katanya, peranan pimpinan setiap parti dalam memberi penjelasan sangat penting bagi merealisasikan hasrat dan matlamat MN.
“Sudah menjadi adat, perkara baharu ini biasalah, ia memerlukan sedikit masa sebelum ia mampu difahami dan dilaksanakan dengan sempurna di peringkat sana.
“Samalah macam anak-anak kita pergi sekolah, hari, minggu dan bulan pertama masih belum dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam persekitaran baharu, selepas beberapa tempoh barulah semuanya akan serasi.
“MN benda baharu, jadi mereka memerlukan sedikit masa untuk mereka membuat ubah suai kefahaman dan cara bertindak dalam masyarakat,” tambah beliau.
27 Aug 20
520
Dedahkan Dunia Politik Kepada Anak Muda - Zuraida
Oleh: Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 23 Ogos - Anak muda harus didedahkan dengan dunia pendidikan politik kerana mereka adalah pemimpin pada masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Mohd Noor berkata, mereka seharusnya dididik dengan ilmu pengetahuan bagi mendepani cabaran dunia masa kini.
"Mereka wajar didedahkan dengan hal-hal yang kritikal seperti skil kepimpinan.
"Dan juga diberi kesedaran kepentingan pendidikan politik dalam diri masing-masing," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjung hormat bersama Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES) ke Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini baru-baru ini.
Menurutnya, lawatan itu adalah satu alternatif yang baik kepada wanita muda yang mahu menceburi bidang tersebut.
"Selain itu, ia juga bagi memastikan ahli HANEES mendapat gambaran yang jelas tentang peranan DUN dalam sesebuah negeri," tambah beliau.
19 Aug 20
228
Tidak Perlu Ada ‘Abang Long’ Dalam Muafakat Nasional - Dr Samsuri
KUALA TERENGGANU, 16 Ogos - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan pihak yang menyertai Muafakat Nasional (MN) supaya memahami hasrat dan tujuan sebenar pakatan itu dalam perjuangan politik negara.
Menurut beliau, apabila tiga pihak iaitu PAS, UMNO dan Bersatu bersama-sama mendokong MN, yang menjadi keutamaan adalah kebersamaan sebagai rakan kongsi.
“Saya rasa kebersamaan semua pihak daripada ketiga-tiga parti dalam MN ini adalah sebagai ‘equal partner’ iaitu semua pihak haruslah faham dengan hasrat MN, dan tidak ada mana-mana pihak yang menjadi ‘abang long’.
“Jadi, sebagai rakan kongsi saranan atau nasihat itu boleh diberi namun masing-masing kena cermin diri supaya kita bersama-sama dapat mencapai objektif dalam MN, bukan menunjuk siapa yang kuat, senior, lebih ramai pengikut, dan sebagainya,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) Kali Ke-45 di Dewan Utama SESMA, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan Barisan Nasional (BN) mahu mana-mana parti yang ingin bekerjasama dengan mereka agar ikhlas dan bersedia untuk menterjemahkannya dalam semua bentuk kerjasama.
Menurut Zahid, parti terbabit juga perlu bersedia untuk mengetepikan perbezaan pendapat, kerana kejujuran dan keikhlasan penting dalam perkongsian politik.
Samsuri berpendapat, sekiranya mana-mana parti menunjukkan sikap kurang enak dari awal, ia tidak akan mencapai objektif MN.
Sementara itu, beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, Gabungan Perikatan Nasional (PN) sudah mula berunding tentang pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang namun ia baru di peringkat permulaan dan masih lagi dalam proses.
“Insya-Allah semua itu masih lagi dalam proses. Kita ada banyak kerusi iaitu 222 dan bermacam kategori.
“Saya sangat optimis kita akan mencapai persetujuan di akhir perbincangan, soal orang itu nak ini dan macam-macam ‘wishlist’ (kehendak) itu perkara biasa.
“Bila kita duduk di meja perundingan kita kena ‘give and take’ dan tengok ‘plus minus’ setiap parti itu sendiri sebagai rakan kongsi dalam perbincangan,” ujarnya.
16 Aug 20
16551
Terengganu Lulus Belia 18 Tahun Jadi Calon Pilihan Raya
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Terengganu menjadi negeri terbaharu yang menurunkan had usia calon pilihan raya daripada 21 kepada 18 tahun apabila Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu meluluskan pindaan Enakmen Undang-Undang bagi diri Kerajaan Negeri Terengganu (Bab Yang Pertama) (Pindaan) 2020 hari ini.
Usul yang dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat itu diterima sebulat suara 32 ADUN.
Satiful berkata, pindaan itu selaras dengan perkembangan di peringkat Parlimen yang memberikan kelulusan kepada individu yang berusia 18 tahun menjadi calon Parlimen.
"Jadi kita menuruti langkah itu dengan meluluskan pindaan ini sekali gus memberi kelayakan kepada mereka yang berusia 18 tahun menjadi calon ADUN mana-mana parti
"Kita bersedia untuk melaksanakan ini walaupun ada negeri-negeri yang tidak bersedia dan menolak untuk melaksanakannya," katanya ketika ditemui media selepas penangguhan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.
Menurut beliau, pindaan itu boleh digunapakai sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang turut melibatkan DUN.
"Ini pengiktirafan kepada orang muda dengan menjadi calon dan boleh mengundi pada usia 18 tahun," ujarnya.
12 Aug 20
3029
Parti Baharu : 'Terpulang Kepada Tun' - Abdul Hadi
MARANG, 7 Ogos - Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, semua pihak bebas untuk menubuhkan sebarang parti politik selagi tidak melanggar undang-undang.
Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, ia terpulang kepada mana-mana kumpulan atau individu termasuk bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika mahu menubuh parti baharu.
“Itu terpulang kepada dia, Malaysia negara demokrasi dan sesiapa boleh menubuhkan parti. Kita tidak boleh halang,” katanya diminta mengulas dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bakal menubuhkan sebuah parti baharu dinamakan Parti Bersatu Rakyat Malaysia pada petang ini.
Bercakap mengenai pilihan raya negeri (PRN) Sabah, Presiden PAS itu berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan Sabah dalam masa terdekat bagi berbincang beberapa perkara.
“Saya akan berjumpa pemimpin Sabah mungkin dalam masa terdekat sama ada di Kuala Lumpur atau di sini (Rusila).
“Tentang kerusi kita kena lihat laporan daripada Sabah dan kita pernah bertanding di samping ada cawangan dan calon,” jelasnya.
Untuk rekod, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lepas, Pas bertanding di 26 kerusi dengan lapan kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN di samping julung kali meletakkan calon bukan Islam.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, PAS mempunyai kekuatan di bahagian utara dan tengah Sabah, bahkan pernah bertanding di lebih 20 kerusi di negeri itu dalam pilihan terdahulu.
“Kekuatan kita ada di utara dan tengah misalnya di Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu kita pernah bertanding,” tambah beliau.
07 Aug 20
1994