Artikel "Politik" Terkini
'PAS Tak Campur Urusan Dalaman Parti Lain'
KUALA TERENGGANU, 6 Januari – PAS hari ini mengulangi pendirian untuk tidak mencampuri urusan dalaman parti lain.
Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebaliknya berkata, parti itu akan memberi komitmen sepenuhnya untuk memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) demi kepentingan rakyat serta negara.
"PAS tidak akan masuk campur dan tidak akan menjawab dalam hal urusan parti lain.
“Kami tetap dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan baik antara MN dan PN kerana itu adalah jalan terbaik untuk keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dalam negeri dan negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani MOU Antara Terengganu Football Club Sdn Bhd Dan Universiti Sultan Zainal Abidin di Wisma Darul Iman, tengah hari tadi.
Mengulas mengenai hasrat UMNO Terengganu yang ingin bertanding semua kerusi Parlimen dan DUN di negeri terbabit beliau berkata ia hanyalah masih di peringkat awal.
"Selagi rundingan kerusi (antara parti) belum selesai ia dilihat sebagai ‘wishlist’ sahaja.
“Pada masa sama, pengeluaran watikah pelantikan calon bagi semua parti-parti diputuskan di peringkat pusat dan dikeluarkan oleh presiden parti masing-masing,” ulasnya.
06 Jan 21
2158
Tunjuk Kepimpinan Cara Orang Muda - Zuraida
KUALA TERENGGANU, 30 Disember – Golongan pemuda yang dilantik menjawat posisi penting dalam pentadbiran negara, mesti menggunakan peluang tersebut bagi menunjukkan cara memimpin dari perspektif seorang pemuda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata pelantikan tersebut merupakan peluang keemasan yang wajar dimanfaatkan oleh mereka bagi menunjukkan bagaimana seorang pemuda mentadbir dan berfikir.
Pada masa yang sama, beliau turut melahirkan kegembiraan apabila golongan muda begitu diraikan, diberi pengiktirafan serta peluang untuk menerajui tampuk penting dalam pentadbiran negara walaupun dalam usia yang masih muda.
“Bukanlah kami meminta jawatan, jauh sekali ingin menyaingi golongan yang lama, kami tetap hormat dan sanjung cumanya sinergi antara kaum muda dan kaum yang lebih berpengalaman, pastinya akan memberi lebih kelicinan pada gerak kerja seperti pepatah arab, semangat para pemuda dan kebijaksanaan orang lama.
“Kelebihan orang muda adalah dari segi semangat dan tenaganya manakala orang lama miliki pengalaman dan ilmu yang banyak, kalau kita seiringan, mengatur gerak langkah secara harmoni, insya-Allah banyak perkara yang akan diselesaikan bersama,” ujarnya.
Zuraida yang juga merupakan Ketua Pengarah Ameerah Malaysia berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin.
Terdahulu, beliau mengucapkan tahniah kepada Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin atas pelantikan selaku Ahli Dewan Negara, yang telah mengangkat sumpah pada 28 Disember 2020 yang lalu.
Untuk rekod, Khairil merupakan Ketua Dewan Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (DPPM) dan merangkap Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN).
30 Dec 20
266
Penubuhan Majlis Presiden Kukuhkan Perikatan Nasional
MARANG, 21 Disember - Tanggal 17 Disember 2020, semua parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan Majlis Presiden yang dianggotai oleh para ketua parti masing-masing.
Mengulas lanjut hal tersebut, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, signifikan penubuhan majlis tersebut adalah sebagai pembuat sebarang keputusan dan secara tidak langsung kerajaan PN akan diperkukuhkan lagi.
"InsyaAllah, apa-apa keputusan melalui Majlis Presiden. Segala dilakukan demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media, sebaik selesai majlis Sumbangan Musim Tengkujuh untuk Nelayan di Dewan Tok Guru, Rusila, di sini,kelmarin.
Tambahnya lagi, tertubuhnya majlis tersebut juga sebagai persediaan awal Pilihanraya Umum ke-15 dalam mengukuhkan kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan.
"Dengan penubuhan Majlis Presiden PN ini juga adalah untuk mengendalikan kerajaan PN di ambang menghadapi Pilihanraya," katanya
Ditanya mengenai komitmen PAS sama ada kepada PN atau MN, beliau menjawab komitmen PAS kepada kedua-duanya, kerana semuanya ibarat dalam satu keluarga.
20 Dec 20
344
Peruntukan RM250 Ribu ADUN UMNO, Kukuhkan Muafakat Nasional
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 16 Disember – Peruntukan sebanyak RM250 ribu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO adalah bukti Muafakat Nasional di Terengganu terus diperkukuh.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, perkara tersebut telah diluluskan dalam Persidangan DUN (Bajet 2021) pada 25 November yang lalu.
“Untuk menggambarkan Muafakat Nasional, dalam Bajet 2021 kita telah meluluskan RM250 ribu kepada ADUN Bukan Kerajaan. Ini satu komitmen yang sangat tinggi daripada kerajaan sebenarnya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam lintas langsung Bicara Khas Pasca Pembentangan Belanjawan Terengganu 2021 di Manis FM semalam.
Menurutnya, penglibatan ADUN dalam Sidang DUN sangat baik dan persidangan berjalan dengan lancar serta berjaya mewujudkan suasana demokrasi dalam persidangan bajet 2021.
“Sebenarnya ini kali pertama saya memberi peluang yang lebih ramai di kalangan ADUN Bukan Kerajaan yang mana tujuh orang daripada bukan ADUN dan lima orang daripada pihak kerajaan.
“Ini nak menggambarkan suasana demokrasi yang saya sebut iaitu suasana Muafakat Nasional,” ujarnya.
16 Dec 20
1510
Loceng Kecemasan Berbunyi Di Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR, 1 Disember - Waktu bersidang terhenti seketika setelah penggera keselamatan berbunyi di Bangunan Dewan Rakyat.
Arahan dikeluarkan pada 10.18 pagi melalui pembesar suara di Bangunan Dewan Rakyat semasa soalan lisan yang pertama dibaca oleh Ahli Parlimen Padang Terap.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Amzad Hashim ketika ditemui di luar dewan berkata, arahan dikeluarkan ketika Ahli Parlimen Padang Terap menanyakan solan lisan pertama kepada kementerian saya.
"Saya belum sempat menjawab terus mengikut arahan keluar dewan dengan segera," katanya.
Setelah 15 minit Ahli Dewan berada di luar dewan, kedengaran loceng dewan rakyat berbunyi memanggil ahli-ahli dewan untuk masuk ke dewan.
Dewan rakyat bersambung seperti biasa dengan pertanyaan lisan seterusnya.
01 Dec 20
531
Speaker Naik Angin, Ahli Parlimen DAP Dihalau
KUALA LUMPUR, 12 November - Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, dihalau dari Dewan Parlimen selepas menyatakan Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun 'bodoh' dalam membuat keputusan.
Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu juga berkeras dengan kenyataan beliau walaupun telah diminta untuk ditarik balik.
"Kenapa saya perlu tarik balik apabila 'Speaker' telah membuat satu 'ruling' yang bodoh?," ujar beliau dalam Dewan Rakyat hari ini.
Beliau juga bertindak menghalau Yang Dipertua Dewan Rakyat apabila keputusan halau keluar dewan dijatuhkan kepadanya.
"Speaker yang patut keluar!," laung beliau.
Lim telah bangkit bagi mempertahankan kenyataan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang juga merupakan Setiausaha Agung parti yang beliau anggotai.
Ahli Parlimen DAP itu juga digantung dari memasuki Dewan Parlimen selama lima hari akibat tindakan kurang ajar tersebut.
12 Nov 20
779
Henti 'Politicking', Patuhi Titah Agong
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Ahli politik diseru supaya mentaati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, titah baginda bertepatan dengan keadaan semasa negara yang sedang berperang menentang wabak COVID-19.
Menurut Zuraida lagi, seruan ‘no politicking’ (meninggalkan permainan politik) wajar disahut oleh semua ahli politik tanpa mengira parti atau blok, sebaliknya bersatu sebagai satu bangsa dengan tujuan serta matlamat yang satu iaitu membebaskan negara daripada kemelut virus tersebut.
“Kita diseru untuk meninggalkan ‘politicking’ yang berlebihan, sebaliknya menumpukan segenap usaha bersama rakyat Malaysia untuk melawan wabak COVID-19.
“Ingatlah barisan hadapan yang sedang mengorbankan masa-masa senang mereka bersama keluarga demi untuk negara, serta rakyat yang terhimpit desakan ekonomi kerana pandemik ini.
“Semoga Allah mengurniakan bantuan dan petunjuk-Nya kepada kita,” ujarnya ketika ditemuramah oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin.
Beliau yang juga merupakan Ketua Pengarah Ameerah Pusat mengingatkan bahawa aulawiyat (keutamaan) bagi Malaysia ialah memastikan negara pulih sepenuhnya, baik dari segi kesihatan mahupun ekonomi, maka perkara yang tidak berkaitan perlu diketepikan buat masa sekarang.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda bertitah, mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politicking’ (mainan politik) yang boleh mengganggu-gugat kestabilan pemerintahan negara termasuklah sebarang tindakan tidak bertanggungjawab, yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan yang sedia ada.
Pada masa yang sama, Al-Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang bakal dibentangkan, adalah amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan terutamanya oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.
27 Oct 20
294
Kekal Tenang Dan Doakan Kesejahteraan Negara
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober – Rakyat Malaysia diseru supaya tidak berada dalam kekhuatiran, sebaliknya terus mendoakan keharmonian negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, terdapat segelintir pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dengan sengaja menimbulkan ketakutan dan salah faham kepada rakyat.
Menurut Zuraida, mereka sengaja menimbulkan pelbagai spekulasi dengan tujuan untuk memburukkan kerajaan dan pada masa yang sama menghakis kepercayaan rakyat.
“Macam-macam salah faham mengenai ‘darurat’ yang mereka timbulkan, rakyat cuba dimomok-momokkan dengan maklumat yang tidak tepat.
“Walaupun begitu, kita bersyukur apabila ada pakar-pakar perundangan yang tampil memberi penjelasan secara sukarela kepada rakyat.
“Jadi, menjadi kewajiban kepada kita untuk baca, hadam dan fahami tentang apa sebenarnya situasi sebenar yang berlaku pada hari ini,” ujarnya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Zuraida yang juga merupakan Ketua Pengarah Ameerah Malaysia menasihatkan rakyat supaya tidak ‘menelan bulat-bulat’ naratif yang dibawa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Kebelakangan ini, suhu politik negara seperti tidak reda panasnya bahkan bertambah panas apabila ada ura-ura mengatakan ‘darurat politik’ bakal dilaksanakan disebabkan ‘drama kemelut politik’ yang semakin buruk.
“Apa-apa pun jua keputusan Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja Melayu nanti, pastinya itu yang terbaik.
“Sebagai seorang rakyat yang cintakan keamanan dan kestabilan negara, kita kekal tenang dan berdoa agar Allah pelihara negara kita dari sebarang kekacauan,” katanya.
25 Oct 20
413
Perebutan Kuasa, Tuan Guru Presiden 'Steady' Sampaikan Kuliah Dhuha
MARANG, 18 Oktober - "Di saat kekalutan dengan landskap politik tanah negara berdepan situasi sukar, Tuan Guru tetap setia berkuliah dhuha menabur ilmu buat ummah," demikian antara komentar warga maya apabila memerhatikan tuan guru tidak pernah ketinggalan saban Jumaat untuk menyampaikan kuliah Dhuha secara dalam talian walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang atau lebih mesra disapa Tuan Guru tetap meneruskan kuliah dhuha walaupun menjadi tumpuan masyarakat berikutan pergolakan politik tanah air minggu lalu.
Dalam kuliah tersebut, Abdul Hadi berbicara tentang pelindung orang-orang yang beriman daripada segala kejahatan dan keburukan dunia.
"Semua agama, teori-teori ideologi yang bercanggah dengan Islam adalah kegelapan. Cahaya Allah SWT hanyalah pada agama Islam semata-mata.
"Barangsiapa yang layak mendapat hidayah, Allah SWT akan menyelamatkannya daripada segala jenis kejahatan sehinggalah dia meninggal dunia dengan husnul khatimah. Kita diajar bergantung kepada Allah SWT dan diajar untuk meminta pertolongan daripadaNya pada setiap rakaat solat.
"Pelindung orang kafir terdiri daripada kalangan jin yang tidak dapat dilihat, manusia yang mengaku sebagai tuhan seperti Firaun termasuklah ahli-ahli nujum yang berlagak umpama Allah SWT yang tahu perkara yang akan datang. Maka atas sebab itulah kita disarankan supaya menghadiri majlis-majlis ilmu yang memberikan manfaat dan nasihat yang baik. Mintalah kepada Allah SWT supaya kita dilindungi daripada api neraka, kesesatan, serta syaitan yang kita nampak dan tidak nampak," katanya lagi.
18 Oct 20
231
Anwar Sudah Tidak Releven, Wajar Berundur
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tidak releven dalam politik tanah air selepas beberapa tindak tanduknya menggugat kestabilan negara.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, rakyat boleh melihat dengan jelas beliau berbohong ketika sidang media petang tadi dengan mendakwa telah menyerahkan butiran lengkap sokongan yang diperolehi seperti akuan bersumpah ahli parlimen kepada Yang Dipertuan Agung.
"Perkara tersebut diperjelaskan semula Istana Negara bahawa Anwar hanya memaklumkan angka tanpa sebarang senarai nama Ahli Parlimen atau bukti berkaitan.
"Saya fikir beliau telah mengecewakan seluruh penyokong dia sendiri, negara sementelah lagi. Beliau akan menjadi semakin tidak relevan oleh peristiwa ini.
"Mungkin sudah tiba ketikanya beliau memikirkan untuk mengundurkan diri," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, Timbalan Menteri Sains, Tenaga dan Inovasi (MOSTI) itu berkata, pihaknya mengambil pendirian untuk tidak terlalu terbabit dalam sandiwara politik tidak berkesudahan itu.
"Sebaliknya, kami (Perikatan Nasional) akan terus bekerja keras untuk memperbaiki kesejahteraan rakyat dan negara. Kita tidak mahu tumpuan kita disibukkan dengan permainan sandiwara politik yg merugikan semua pihak.
"Kerana itu kita tidak terkejut apa yg berlaku hari ini. Kita tahu Anwar Ibrahim tiada angka itu," tambah beliau.
14 Oct 20
1468