Artikel "Politik" Terkini
MB Terengganu Setuju Tangguh PRU-15
MARANG, 7 Mei - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersetuju dengan saranan mantan Perdana Menteri ketujuh, Tun Mahathir Mohamad supaya pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) ditangguhkan sehingga akhir penggal pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
"Saya setuju seratus-peratus," jawabnya ketika disoal pemberita dalam sidang media di Dewan Perpustakaan Marang, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu bagaimanapun tidak mengulas panjang kenyataannya dan beredar sejurus selepas itu.
Dr. Samsuri hadir ke lokasi berkenaan bagi menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Tablet di DUN Rhu Rendang yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed @Harun.
Dalam majlis tersebut, kira-kira 50 pelajar menerima bantuan tablet berserta kad sim dengan subsidi nilai langganan sebulan bagi pelan Redone.
Terdahulu, Tun M melalui kenyataannya di Utusan Malaysia mencadangkan supaya PRU-15 diadakan pada tahun 2023 iaitu apabila tamat penggal Parlimen.
Jelasnya, pertimbangan serius perlu diberikan mengambil kira situasi pandemik Covid-19 yang semakin meningkat dan bakal mengakibatkan penularan lebih dahsyat jika sebarang bentuk pilihan raya diadakan.
07 May 21
1067
Penggiat Media: Pertahan Kerajaan Melalui Penerangan
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 27 April- Seluruh penggiat dan aktivis media di dalam negeri diseru memperkukuhkan kerajaan Islam di Terengganu melalui pencerahan efektif, tepat dan sahih.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, masyarakat perlu diyakini akan kerajaan sekarang melalui pemberitaan dan penyampaian inisiatif dan hasil yang telah dibuat untuk rakyat.
“Kita sebagai orang yang berperanan dalam media mesti meyakinkan rakyat menerima kerajaan sekarang ini sebagai sebuah pemerintahan yang lebih baik daripada sebelum ini agar dikekalkan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.
“Saya yakin kita sebagai penggiat media sama ada pengiat media kerajaan, NGO atau mana-mana pertubuhan yang menyokong pemerintahan ini mesti memainkan peranan secara di luar kotak dan luar biasa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Kelab Aktivis Media Inspirasi (KAMI) di Permai Hotel, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Menurutnya, peperangan sengit akan berlaku sama ada dalam media umum sosial sekiranya berlaku pilihan raya dalam keadaan norma baharu akibat COVID-19.
“Sejauh mana peranan kita sebagai pengamal dan penggerak media telah dapat menyakinkan rakyat bermula dengan anggota perkhidmatan awam yang ada di sekeliling kita.
“Dan secara umumnya boleh menerima kita (PAS) sebagai sebuah kerajaan yang lebih baik daripada pelbagai pihak yang bercita-bercita menjadi kerajaan termasuk pemerintah sebelum daripada ini,” jelasnya.
Tambah Dato’ Yahaya, Kelab Aktivis Media Inspirasi (KAMI) merupakan 'training ground' (latihan lapangan) tempat untuk melatih pengamal media supaya mereka mempunyai kemahiran, pengalaman yang akhirnya menjadi sebahagian orang 'penting' dalam kerajaan.
“Kita tidak boleh dilihat kerajaan yang ada ini milik Menteri Besar, Exco, tidak boleh. Mereka melaksanakan tanggungjawab mereka tapi kita sebagai orang yang berperanan dalam media mesti mengukuhkan kerajaan dalam apa bentuk sekalipun.
“Pada saya, mereka telah melaksanakan tugas dengan baik tetapi untuk menjadi sebuah kerajaan yang ideal.
“Bagaimana seorang pemimpin apabila berada dalam suasana mencabar ini, buat kerja mesti berlipat kali ganda. Tidak boleh biasa, kerajaan yang ada ini adalah kerajaan bersama,” tegasnya.
Justeru itu, beliau menambah pemerintahan yang ada ini mesti dilihat kerajaan yang kuat, yang sangat memberikan kebaikan pada rakyat.
“Kerajaan yang balik pada Islam, kerajaan yang berkomitmen tinggi dalam menguruskan kepentingan pada rakyat,” tambahnya.
Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said, Pengerusi KAMI, Naraza Muda dan Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Khairul Azlam Mohamad.
Barisan penggiat media KAMI
27 Apr 21
149
‘Gugurkan’ Kes Sekutu Politik, Perundangan Era PH Bermasalah
KUALA TERENGGANU, 7 Mac – Beberapa peristiwa yang berlaku ketika era pemerintahan kerajaan terdahulu seperti pengguguran kes sekutu politik membuktikan sistem perundangan Pakatan Harapan (PH) bermasalah.
Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ia laksana lampu Aladdin yang memanggil jin iaitu untuk membebaskan pemimpin-pemimpin dengan cepat atau tidak melalui proses yang betul.
“Lebih parah ketika itu, PH berani membuat kenyataan yang mencabar kedudukan Islam, Raja-raja Melayu, hak istimewa bumiputera, dan beberapa asas dalam Perlembagaan yang lain.
“Semuanya berlaku sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke Putrajaya,” ujar Presiden PAS itu dalam satu kenyataan sempena setahun Pemerintahan Perikatan Nasional (PN) hari ini.
Tegas Abdul Hadi, kegelojohan PH tidak terhenti setakat itu sahaja apabila mereka turut ‘berebut’ menentukan kerusi siapa yang akan menjadi Perdana Menteri.
“Laksana berebut pusaka ketika si ayah masih hidup segar. Masing-masing menunjukkan penumbuk sesama sendiri, selepas beberapa hari pilihan raya berlalu.
“Sehingga mereka yang bersama dalam PH mula menyedari bahawa sudah tiada harapan lagi, yang tinggal hanya harapan pada namanya sahaja,” jelasnya.
Katanya lagi, kedudukan pakatan politik PH yang rapuh juga memberi kesan besar kepada negara dan rakyat.
“Laksana sudah mahu bercerai dan bersedia membahagikan perabot rumah dan membahagi-bahagikan anak pinak. Bahkan sekarang pun mereka sedang berebut anak pinak antara PAN dan PKR, apabila slogan amanahnya berkecai, keadilannya terpilih,” ujar Abdul Hadi.
Tambah Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu, kini wujud dakwaan pihak tertentu yang mengatakan Pakatan Harapan (PH) tidak berpolitik secara melampau ketika tempoh darurat tidak ubah seperti Burung Kasuari Padang Pasir.
“Padahal mereka tetap juga berpolitiking dengan mendesak agar diadakan Sidang Parlimen ketika tempoh masa darurat kerana Tuanku yang mengisytiharkannya boleh bersidang.
“Telatah mereka yang kononnya tidak berpolitiking, seperti burung kasuari padang pasir yang menyembunyikan diri dengan menyorok kepalanya yang kecil ke dalam tanah, dan mendedahkan badannya yang besar nampak dari jauh mata memandang,” katanya.
07 Mar 21
795
Dakwaan Jatuhkan Presiden PAS Tidak Masuk Akal
KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan bahawa dakwaan menjatuhkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah tidak masuk akal.
"Itu adalah khabar angin yang tidak betul dan yang sengaja diada-adakan apatah lagi pada zaman media sosial sekarang,"katanya.
Menurutnya lagi, seluruh kepimpinan parti PAS itu berada dalam keadaan yang baik dan tidak mempunyai sebarang masalah.
"Saya merasakan dakwaan itu tidak masuk akal kerana saya tidak fikir ada sesiapa yang merasai diri mereka berada di tahap seperti Presiden Pas sekarang ini.
"Jadi tidak timbul sebarang dakwaan dan saya percaya itu hanya perkara yang diadakan oleh pihak-pihak luar sahaja."
Katanya ketika ditemubual wartawan dalam sidang media sebaik sahaja selesai Program Vaksinasi COVID-19 Peringkat Negeri Terengganu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, petang semalam.
Mengulas lanjut, berkaitan Sidang Parlimen, beliau berkata, biarlah Putrajaya yang putuskan sama ada mereka hendak bersidang atau tidak.
"Saya percaya jemaah menteri akan mempunyai pandangan mereka sekiranya perlu mengadakan sidang parlimen dalam masa dan waktu yang sesuai," tambahnya.
27 Feb 21
703
PN Berjaya Keluarkan Rakyat Daripada Suasana Tak Harmoni
KUALA TERENGGANU, 27 Februari – Selama hampir setahun memegang tampuk pemerintahan negara, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya mengeluarkan Malaysia daripada suasana tidak harmoni sejak awal 2018.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan kepimpinan kerajaan PN yang diketuai Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjalankan tugas yang terbaik.
“Walaupun berdepan dengan kedudukan yang sukar terutamanya menghadapi ketidaktentuan politik dan keadaan ekonomi yang merudum, banyak perkara telah dibatalkan dan sebagainya, kita masih berjaya mengawal dengan baik.
“Dalam masa sama kita juga berdepan dengan kekangan pandemik COVID-19, namun kerajaan PN telah melakukan yang terbaik bagi mengeluarkan Malaysia daripada suasana yang tak begitu harmoni pada tahun sebelum ini semasa awal 2018,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Program Vaksinasi COVID-19 Peringkat Negeri Terengganu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, petang semalam.
Mengulas berkenaan dakwaan UMNO yang ingin ‘merampas' semula Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15), beliau berkata perbincangan masih berjalan di peringkat pusat.
“Ada formulanya, selagi belum berakhir perundingan kita akan pertimbangkan apa juga kemungkinan, tentulah mana-mana parti ingin mempertahankan hak masing-masing.
“Kita akan melihat kerusi-kerusi lain dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dan menentukan siapa yang sesuai bertanding atas faktor boleh menang kerana kita ingin mencapai kemenangan yang maksimum dalam PRU-15,” tambahnya.
27 Feb 21
439
PAS Optimis Bersama Bersatu, Umno Dalam PRU15
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - PAS optimis kerjasama parti itu dengan Bersatu dan Umno akan terus berjalan termasuk dalam mendepani Pilihan Raya Umum akan datang.
Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun Bersatu dan Umno kini dilihat tidak sehaluan tetapi pihaknya yakin ia dapat diselesaikan dengan baik.
"Langkah akan diambil oleh barisan kepimpinan PAS, Bersatu dan Umno dalam mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu yang berbangkit.
"PAS sendiri sudah menyatakan pendirian mereka terhadap kepimpinan kedua-dua parti itu bagi menjamin keharmonian antara parti," katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman, pagi tadi.
Menjawab tuduhan pihak tertentu mengenai proses agihan kerusi antara ketiga-tiga parti menemui jalan buntu, beliau yang juga Menteri Besar Terengganu menafikan perkara tersebut.
"Dalam pendapat saya, situasi sekarang masih tidak buntu, dan pihak kami telah mengadakan dua pertemuan, jadi keadaan sekarang tidak boleh dikatakan menemui jalan buntu.
"Kita optimis dalam kerjasama ini supaya ia akan berjaya," jelasnya.
Katanya, itu adalah pandangan peribadi mereka dan sebagai kepimpinan utama semua pihak perlu mencari jalan terbaik.
Baru-baru ini, Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilaporkan berkata, perbincangan dengan rakan sekutunya di Terengganu mungkin sudah menemukan jalan buntu berikutan Umno negeri itu menuntut 16 kerusi DUN dan empat parlimen.
Difahamkan tuntutan itu juga tidak selari dengan persetujuan agihan kerusi di peringkat pusat iaitu pengekalan status quo atau PAS dan Umno kekal bertanding di kerusi yang mereka menangi.
24 Feb 21
273
Harmonikan Muafakat Nasional Demi Kebajikan Rakyat
KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Semangat Muafakat Nasional diteruskan antara PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk dan UMNO DUN Batu Buruk dengan jalinan kerjasama dalam bentuk agihan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT), semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan gandingan tersebut adalah penting bagi memastikan kebajikan rakyat terbela secara keseluruhannya.
“Tumpuan utama kerajaan negeri Terengganu adalah berkhidmat untuk rakyat, tanpa mengira fahaman parti politik masing-masing.
“Perkara ini amat releven terutamanya ketika mendepani cabaran ekonomi yang genting dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," jelasnya.
Tambahnya, seramai 100 orang yang terjejas pendapatan sepanjang tempoh PKP telah menerima sumbangan berupa wang tunai RM100 seorang manakala selebihnya telah disampaikan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat dalam Dun Batu Buruk.
Beliau berkata ketika menghadiri majlis serahan Bantuan BERKAT di Dewan Terbuka Balai raya Kg. Padang Gong Pak Maseh, semalam.
Turut hadir, Ketua Urusetia UMNO DUN Batu Buruk, Latif Ibrahim serta ahli-ahli Jawatankuasa UMNO DUN Batu Buruk.
Sementara itu, Ketua Urusetia UMNO DUN tersebut, Latif Ibrahim, merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur khususnya ADUN Batu Buruk yang telah menjemput pihaknya dalam majlis agihan tersebut.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada ADUN Batu Buruk atas sumbangan ini dan saya harapkan kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.
Untuk pengetahuan, majlis dijalankan secara sederhana mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan menjaga penjarakan fizikal antara penerima dan mengimbas suhu sebelum membuat pendaftaran.
23 Feb 21
370
Anti-Politik, Punca Dan Penyelesaian
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Isu anti-politik merupakan suatu dilema yang dihadapi oleh masyarakat generasi kini berpunca daripada pelbagai faktor dalaman dan luaran, namun jalan penyelesaian boleh dilihat dari sudut Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, berdasarkan kajian, anak muda dari umur 18 ke atas tidak gemar mengambil tahu berkenaan wacana politik.
“Punca pertama adalah dari dalaman, kerana kita jahil atau tidak tahu akan politik dari segi definisi Islam iaitu siasah, hasilnya kita akan jadi musuh kepada perkara yang tidak diketahui.
“Kedua, pengaruh hawa nafsu di mana kita tidak mahu ambil tahu. Pemikiran atau ideologi luaran turut mempengaruhi seseorang itu memandang serong kepada politik.
“Punca luaran pula seperti propaganda yang dibawa oleh penjajah, seperti sekularisme yang memisahkan agama dengan politik manakala perangai orang politik juga memainkan peranan dalam memburukkan persepsi landskap tersebut,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini.
Mengulas tentang jalan penyelesaian sikap kurang cakna dalam siasah, Mohd Nor menjelaskan, kecelaruan minda mempengaruhi sifat membezakan perkara baik dan buruk.
“Oleh itu, minda perlu dibersihkan melalui perbincangan ilmiah dan melihat politik dari sudut Islam, merujuk kepada mengurus dan mentadbir masyarakat bertepatan dengan syariah,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) yang juga ahli panel forum, Kamaruzaman Abdullah menyifatkan persepsi orang ramai perlu diubah dan melihat politik sebahagian daripada 'addin' (agama), seperti sembahyang, zakat dan sebagainya.
“Contohi Nabi Muhammad SAW kerana baginda juga merupakan ahli politik yang besar, mengajar para sahabat supaya mengambil cakna tentang bidang tersebut,” tambahnya.
14 Feb 21
723
Kerajaan Perikatan Nasional Masih Kerajaan Sah
SETIU, 10 Januari - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih sebuah kerajaan yang sah dan tidak tergugat dengan penarikan sokongan Ahli Parlimen Machang, Dato’ Ahmad Jazlan Yaakub.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, dengan majoriti 110 sokongan ia membolehkan kerajaan terus berfungsi seperti biasa.
“Kerajaan yang ada sekarang ini adalah kerajaan yang ‘valid’ (sah), mempunyai bilangan yang cukup dan yang penting bagi kita adalah kerajaan yang berfungsi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu yang baharu di Sungai Tarom di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.
Dalam laporan media sebelum ini Ahmad Jazlan berkata, keputusan menarik sokongan terhadap kerajaan PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin tersebut dibuat tanpa desakan daripada mana-mana pihak.
Menurutnya, tindakan berkenaan dilakukan atas dasar memperjuangkan prinsip parti serta maruah Barisan Nasional (BN) dan bukannya kepentingan peribadi.
10 Jan 21
241
Tunggu COVID-19, Banjir Berakhir Baru PRU-15 - Abdul Hadi
MARANG, 8 Januari - "Biar selesai COVID-19 dan banjir dahulu. Tak kan tengah banjir dan COVID-19 merebak hendak buat pilihan raya," tegas Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.
Katanya, PAS tidak bersetuju dengan desakan UMNO untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ketika negara masih bergelut dengan pandemik dan bencana bah.
Ujarnya, ia hanya akan menambah bebanan kepada rakyat Malaysia.
"Kita kena berbincang dengan pihak berkenaan termasuk dengan Kementerian Kesihatan terutama dalam suasana cuaca banjir yang tidak menentu kerana kita tidak mahu membebankan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan pihak tertentu supaya PRU-15 disegerakan selepas menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di Masjid Rusila di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi mengulangi pendirian PAS terus memperkukuh gabungan Perikatan Nasional (PN) di samping mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin dipertahan sebagai Perdana Menteri.
“Kita telah membina PN terus mengukuhkan gabungan itu, bukan untuk merobohkannya,” katanya.
08 Jan 21
923