lightning-solid
Berita :

Artikel "Politik" Terkini

PAS Komited Pertahan MN, Perkukuh PN
PAS Komited Pertahan MN, Perkukuh PN
KUALA TERENGGANU, 18 Ogos - Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, perkembangan politik semasa tanah air tidak menggugat kerjasama parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN). "Setakat ini tiada apa-apa perubahan yang negatif dan saya percaya, PAS tetap komited mempertahankan Muafakat Nasional dan memperkukuhkan Perikatan Nasional. "Kerana, itu adalah 'the end game' (penentu) bagi kesatuan seluruh masyarakat Melayu Islam yang ada dalam negara kita, barulah kita menjadi satu kelompok yang kuat dan disegani dalam masyarakat," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Menurut Menteri Besar Terengganu itu, isu yang berlaku adalah ibarat percanggahan dalam keluarga. "Itu hanyalah pergerakan yang berlaku dalam 'keluarga' sahaja, apabila pinggan mangkuk bersentuhan, (pastilah) adalah berbunyi sedikit. "Namun, apabila kita duduk bersama-sama, pinggan mangkuk akan duduk di tempatnya," katanya.
18 Aug 21
594
Muhyiddin Kunjungi Abdul Hadi Di Rusila
Muhyiddin Kunjungi Abdul Hadi Di Rusila
MARANG, 12 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan Dato' Seri Abdul Hadi Awang, di kediaman Presiden PAS itu di Rusila, di sini, hari ini. Menurut Perdana Menteri itu, kunjungan beliau ke kediaman Abdul Hadi hanya sekadar kunjungan biasa. "Pertemuan biasa sahaja kerana sudah lama tidak jumpa. Nak ziarah. "Sudah lama tidak jumpa, kali terakhir di hospital sebelum beliau dibenarkan balik ke sini,” kata Muhyiddin dalam sidang media di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Taman Tamadun Islam (TTI). Perdana Menteri dilihat meninggalkan kediaman Abdul Hadi selepas lebih satu jam bertemu pemimpin utama PAS itu  Terdahulu, Perdana Menteri tiba di rumah Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sekitar jam 5 petang. Kehadiran Muhyiddin diiringi Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Sebelum itu, beliau melakukan tinjauan di PPV TTI sempena lawatan kerjanya ke Terengganu.  
12 Aug 21
1302
Krisis Air : Usah Politikkan Isu, Tumpu Selesai Masalah
Krisis Air : Usah Politikkan Isu, Tumpu Selesai Masalah
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos – Krisis air dihadapi dua daerah sejak isnin lalu sewajarnya tidak dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu sebaliknya semua perlu memainkan peranan dalam membantu masyarakat terkesan, jelas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah. Menurutnya, punca masalah paip pecah tersebut sedang disiasat oleh agensi bertauliah seperti Syarikat Air Terengganu (SATU) dan spekulasi tentangnya hanya menimbulkan polemik tertentu dalam keadaan rakyat yang terjejas. “Seperti kita sedia maklum, paip rosak di Sungai Terengganu ini sudah lama dimakan usia dan mengalami perubahan alam sekitar di dasarnya. “Kerajaan sedar dan sedang menangani isu ini serta mengerakkan pelbagai inisiatif dalam memastikan bekalan asas tidak terputus. “Kita juga tidak menyalahkan mana-mana pihak terdahulu kerana ini adalah bencana tidak disangka,” katanya selepas mengagihkan sebanyak 1,000 kotak air bersih dalam Misi Bantuan Air DUN Buluh Gading, di Dewan Sivik Buluh Gading, petang tadi. Tambahnya lagi, usaha tersebut adalah sambungan daripada semua pihak termasuk semua syarikat bekalan air seluruh negara, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan serta pihak persendirian dalam menumpukan usaha bekalan air minuman bersih sampai kepada semua penduduk yang terjejas. Sementara itu, Mohd Nor turut berkongsi perancangan mengerakkan agensi kerajaan seperti Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS) terutamanya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam bekerjasama dengan jawatankuasa masjid. “Ini adalah bagi mengagihkan bekalan asas air kepada rumah-rumah berdekatan masjid di DUN-DUN terjejas. “Kerajaan juga sedang dalam perbincangan dalam menyelaraskan inisiatif penyaluran air bersih ke rumah-rumah terkesan,” katanya lagi. Terbaharu, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan air percuma kepada semua akaun terlibat selama dua bulan setelah baik pulih selesai.  
09 Aug 21
756
Kerajaan Negeri Kekal Dokong Kepimpinan PM - Ahmad Samsuri
Kerajaan Negeri Kekal Dokong Kepimpinan PM - Ahmad Samsuri
KUALA TERENGGANU, 5 Ogos - Kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS tetap teguh mendokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, susulan kemelut politik yang melanda ketika ini termasuk penarikan sokongan UMNO terhadap Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN), ia tidak menggugat kerajaan Terengganu. Menurut beliau, walaupun ada segelintir pihak yang mendakwa mempunyai lebih sokongan untuk membentuk kerajaan, namun hakikatnya blok dipimpin Muhyiddin merupakan blok terbesar pada masa ini. “Situasi ini macam pasaran saham, pukul 10 pagi ada nilaian tertentu dan 30 minit kemudian nilainya mungkin lain, jadi kita tunggu dan lihat dari semasa ke semasa perkembangannya. “Bagaimanapun, blok yang dipimpin Perdana Menteri merupakan blok terbesar berbanding blok lain yang membuat pelbagai andaian bagi pihak lain,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook beliau, hari ini. Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, sekarang bukan masa yang sesuai untuk berpolitik, sebaliknya semua pihak perlu menggembleng tenaga dan bersama-sama menyelesaikan masalah rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19. “Saya tidak faham bagaimana ada pihak yang sanggup mengambil kesempatan daripada penderitaan rakyat dengan menambah lagi seksaan baru untuk kepentingan politik dan peribadi mereka hingga sanggup mengheret parti dan negara,” katanya.
04 Aug 21
141
Pemuda Perikatan Nasional KT Agih Sumbangan
Pemuda Perikatan Nasional KT Agih Sumbangan
KUALA TERENGGANU, 25 Julai – Dewan Pemuda PAS Kuala Terengganu (DPPKT) bersama  Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kuala Terengganu telah turun ke beberapa rumah dalam daerah tersebut untuk menyampaikan sumbangan bakul makanan, semalam. Menurut Ketua DPPKT, Ahmad Asyraf Mohd, sebanyak 100 pek bakul makanan telah diagihkan dengan 50 pek diagihkan oleh pihak DPPKT manakala 50 pek lagi diagihkan oleh Armada Kuala Terengganu. “Petang ini kami turun menyantuni anak-anak muda di samping menyampaikan sedikit sumbangan bakul makanan kepada mereka. “Mudah-mudahan program ini dapat membantu meringankan beban anak muda yang terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dijalankan,” katanya ketika kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan di Kg. Che Kundur.  Sementara itu, Ketua Armada Kuala Terengganu, Ahmad Hariz menzahirkan ucapan terima kasih atas kerjasama yang julung kali diadakan antara DPPKT dan Armada Kuala Terengganu. “Saya harap agar kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.  
25 Jul 21
422
Pegawai Exco Terengganu Lapor Polis Berhubung Kenyataan Fitnah
Pegawai Exco Terengganu Lapor Polis Berhubung Kenyataan Fitnah
KUALA TERENGGANU, 19 Julai – Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Mohd Sukri Mazlan membuat laporan polis susulan kenyataan mengfitnah Ariffin Deraman. Menurut Mohd Sukri, dakwaan jahat dan tidak benar yang disebarkan individu tersebut adalah menyatakan Ariffin sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan satu tuntutan palsu bernilai RM1.65 juta. Mohd Sukri Mazlan “Kenyataan ini adalah satu fitnah terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat dan berniat untuk menjatuhkan kredibiliti beliau. “Saya berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan segera supaya masyarakat tidak terpalit dengan taburan fitnah sebegini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis hari ini. Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin menyuarakan kekecewaan terhadap penyebaran berita palsu dengan menyifatkannya seperti ‘membaling batu, sembunyi tangan’. Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin “Jika ada bukti-bukti boleh terus ke SPRM, jangan berselindung di sebalik permainan politik murahan ini yang berniat sinis untuk menjatuhkan kerajaan negeri dan seorang exco yang banyak mengharumkan industri pelancongan negeri. “Terutamanya ketika kerajaan sedang giat berusaha membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19, perkara sebegini tidak membawa sebarang kebaikan kepada masyarakat,” katanya lagi. Laporan polis dibuat bagi mewakili Ariffin di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu kira-kira jam 11.40 pagi.
19 Jul 21
3703
Terengganu Komited Dengan Agenda Penyatuan Ummah
Terengganu Komited Dengan Agenda Penyatuan Ummah
KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Kerajaan komited dengan agenda penyatuan ummah kerana ia mampu menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri yang maju, berkat dan sejahtera.  Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kesatuan dalam kalangan rakyat Terengganu yang hidup saling berkasih sayang, hormat menghormati dan bantu membantu bakal menyumbang ke arah itu. “Bagi menjayakan agenda Penyatuan Ummah dan atas dasar keadilan bantuan kebajikan kerajaan negeri kepada seluruh rakyat yang memerlukan disalurkan melalui agensi kerajaan seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Pejabat Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tanpa mengira kumpulan atau fahaman politik kepartian. “Kerajaan juga sentiasa bersifat telus dan sentiasa berusaha supaya amalan tadbir urus kerajaan negeri dibina atas asas kemahiran, kecekapan dan integriti, dengan penglibatan semua pihak yang layak dalam pentadbiran kerajaan tanpa pilih kasih serta tidak mengira latar belakang parti politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Mengulas mengenai Muafakat Nasional (MN) di Terengganu, Mohd Nor berkata, kerajaan negeri memahami bahawa MN merupakan salah satu agenda Penyatuan Ummah dan ia diwujudkan setelah terbentuk serta berjalannya kerajaan negeri. “Setelah PAS mendapat mandat daripada rakyat PRU14 lepas. Oleh itu, pembentukan kerajaan dan penyusunan pentadbirannya yang berlaku ketika itu adalah selaras dengan mandat rakyat pada ketika itu.  “Walaupun demikian, agenda MN merupakan agenda masa depan, ini perlu diteruskan bagi membina penyatuan ummah dan mengembalikan kekuatan politiknya demi negara dan juga negeri. Bahkan pembentukan PN merupakan agenda memperluaskan dan pengukuhan penyatuan ummah,” jelasnya. Tegas Mohd Nor lagi, sewajarnya rakyat bergembira dan semua pihak bersama dalam usaha penyatuan ini dengan hati yang lapang demi masa depan ummah.  “Jangan dilayan, malah perlu diabaikan sikap-sikap negatif yang menghalang usaha murni dan boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam. "Usaha penyatuan ini memerlukan pengorbanan besar, keikhlasan dan kesediaan daripada semua pihak untuk mengharungi rintangan berbagai-bagai dalam menjayakan misi besar untuk kepentingan negeri, negara, ummah dan rakyat,” tambahnya.
16 Jul 21
349
'Cukup Bermain Politik, Fokus Kepada Rakyat' - Exco Terengganu
'Cukup Bermain Politik, Fokus Kepada Rakyat' - Exco Terengganu
KUALA TERENGGANU, 9 Julai – ‘Cukup bermain politik seketika, fokus kepada rakyat,” seru Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, ketika diminta mengulas tentang isu politik dihadapi negara pada masa kini. Katanya, rakyat dalam negara sedang bertarung dengan tekanan ekonomi dan pendapatan terjejas dalam mengharungi kesan pandemik COVID-19. “Buat masa kini ada yang sedang mengalami cabaran dalam Unit Rawatan Rapi (ICU), pusat kuarantin dan sebagainya. Kita harap agar ahli-ahli politik lupa tentang semua yang tidak berkenaan dan fokus terhadap Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya. Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung sempena Munajat Rakyat 5.0 di TVDI, semalam. Sementara itu, beliau turut mengajak semua umat Islam dalam Terengganu untuk menghadiri program Munajat Rakyat sempena Hari Arafah yang akan diadakan secara maya pada minggu hadapan. “Ini adalah satu inisiatif khusus untuk mengambil kemuliaan pada hari peristiwa itu, walaupun kita tidak dapat menunaikan ibadat Haji, namun bermunajat pada hari Arafah ada kelebihannya,” tambahnya lagi. Ketika diminta mengulas berkenaan Terengganu membenarkan solat fardu, Jumaat dan solat sunat Aidiladha mengikut keluasan masjid dan surau dan prosedur operasi standard (SOP), beliau mengingatkan rakyat negeri untuk tidak bersikap sambil lewa dengan kelonggaran tersebut. “Ingatlah bahawa kita masih belum mencapai tahap pemvaksinan yang tinggi dan SOP perlu diutamakan, namun begitu ayuh kita kembali mengimarahkan masjid dan surau untuk solat,” nasihatnya.
09 Jul 21
476
Sidang Parlimen Sebelum Ogos
Sidang Parlimen Sebelum Ogos
PUTRAJAYA, 2 Julai - Dalam satu kenyataan rasmi pada hari ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata sidang parlimen dijangka akan diadakan dalam masa terdekat. Katanya, Kerajaan Persekutuan sentiasa menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam semua hal berkaitan pemerintahan negara termasuk berkait persidangan parlimen. "Sehubungan dengan itu Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin, selaku ketua Majlis Parlimen telah memutuskan akan memanggil sidang Parlimen Malaysia sebelum 1 Ogos 2021. "Perkara ini akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Julai 2021 nanti," ujarnya. Terdahulu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya persidangan Parlimen segera diadakan sebelum Ogos bagi membolehkan proklamasi darurat dan ordinan-ordinan darurat dibentangkan di Dewan Rakyat seperti yang termaktub dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan. Pandangan itu susulan sesi menghadap oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara pada 30 Jun baru-baru ini.  
02 Jul 21
249
'Keadaan Terengganu Tenang, Tiada Pergolakan Politik' - Polis
'Keadaan Terengganu Tenang, Tiada Pergolakan Politik' - Polis
HULU TERENGGANU, 9 Jun - Polis hari ini mengesahkan bahawa keadaan politik di Terengganu berada dalam keadaan tenang sekali gus menafikan dakwaan yang tular semalam berkait perubahan Menteri Besar. Ketua Polis Terengganu, Dato' Rohaimi Md Isa berkata, tiada bukti dan sumber kukuh yang boleh mengesahkan berlaku masalah perkara terbabit. Katanya, sehubungan dengan itu orang ramai diingatkan agar tidak menyebar atau berkongsi maklumat tidak sahih di media sosial. "Tindakan tegas dari segi undang-undang boleh diambil ke atas mereka yang terlibat dengan berita palsu sebegini. "Dan saya nasihatkan masyarakat agar tidak memviralkan isu sensitif yang boleh menjejaskan ketenangan negeri," ujarnya ketika ditemui dalam lawatan ke lokasi Sekatan Jalan Raya di Kampung Kuala Kejir, hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang laporan sebuah portal berita berhubung kedudukan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang didakwa dalam situasi genting ketika ini.  Terdahulu, Setiausaha Politik Menteri Besar (MB) Terengganu, Muhyiddin Abd Rashid membuat laporan polis terhadap portal berita yang menyiarkan artikel fitnah membabitkan MB, pentadbiran kerajaan negeri dan pihak istana. Laporan portal itu antara lain mendakwa Ahmad Samsuri hilang sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS selain wujud usaha-usaha menjatuhkan beliau daripada seorang Ahli Parlimen parti berkenaan. Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan selepas laporan polis lain turut dibuat oleh wakil-wakil rakyat daripada PAS dan penegasan Yang Dipertua PAS Kawasan melalui satu kenyataan hari ini.
09 Jun 21
2272